You are on page 1of 3

Syeikh Nuruddin ar-Raniri Ulama ahli debat

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PADA mukadimah dan penutup tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri keluaran yang lalu,
telah saya singgung gambar imaginasi. Dalam artikel ini disiarkan gambar imaginasi
Syeikh Nuruddin ar- Raniri yang juga tiada siapa yang tahu penciptanya, seperti
Syeikh Hamzah al-Fansuri juga. Sebagaimana Syeikh Hamzah al-Fansuri, nama Syeikh
Nuruddin ar-Raniri cukup banyak mendapat perhatian dan ditulis orang. Jauh sebelum
kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri ke Aceh, pada masa pemerintahan Sultan Husein
(pengganti Sultan sebelumnya), yang mangkat tahun 975 H/1567 M, di Aceh telah ada
seorang ulama yang digelar Syeikh Nuruddin. Mengenainya disebut dalam Hikayat
Aceh.

Perlu dibezakan, apabila kita menulis nama lengkap Syeikh Nuruddin ar-Raniri
dengan nama ayah saudaranya yang pernah datang ke Aceh. Syeikh Nuruddin ar-Raniri
yang diriwayatkan ini nama lengkapnya berdasarkan kepada karya-karyanya ialah
Syeikh Nuruddin Muhammad ibnu 'Ali ibnu Hasanji ibnu Muhammad Hamid ar-Raniri al-
Quraisyi. Syeikh Nuruddin ar-Raniri walau pun berasal daripada keturunan Arab di
India dari pihak ayahnya dan bangsa Melayu dari sebelah ibu, namun beliau lama
tinggal di Pahang dan Aceh, dan banyak mengarang kitab-kitab dalam bahasa Melayu.
Sebahagian besar karangannya ditujukan membantah fahaman 'Wahdatul Wujud' yang
diajarkan oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i.

Banyak perkara menarik mengenai ulama ini, di antaranya kitab fikah dalam bahasa
Melayu yang pertama sekali berjudul ash-Shirath al-Mustaqim adalah karya beliau.
Demikian juga mengenai kitab hadis yang berjudul al-Fawaid al-Bahiyah fi al-
Ahadits an-Nabawiyah atau judul lainnya Hidaya al-Habib fi at-Targhib wa at-
Tarhib, adalah kitab membicarkan hadis yang pertama sekali dalam bahasa Melayu.

Hampir semua penulis menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri dilahirkan di


Ranir, berdekatan dengan Gujarat. Asal usul beliau ialah bangsa Arab keturunan
Quraisy yang berpindah ke India. Tetapi salah seorang muridnya bernama Muhammad
'Ali atau Manshur yang digelarkan dengan Megat Sati ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa'id
Ja'far Shadiq ibnu 'Abdullah dalam karyanya Syarab al-'Arifin li Ahli al-Washilin
menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah "Raniri negerinya, Syafi'ie nama
mazhabnya, Bakri bangsanya."

Pendidikan asasnya dipercayai diperolehnya di tempat kelahirannya Raniri atau


Rander. Raniri/Rander, sebahagian riwayat mengatakan berdekatan dengan Kota Surat,
dan riwayat lain mengatakan dekat Bikanir, kedua-duanya di negeri India. Syeikh
Nuruddin ar-Raniri berhasil berangkat ke Mekah dan Madinah dalam tahun 1030 H/1621
M dan di sana beliau sempat belajar kepada Syeikh Abu Hafash 'Umar bin 'Abdullah
Ba Syaiban atau nama lain ulama ini ialah Saiyid 'Umar al-'Aidrus. Kepada ulama
ini beliau mengambil bai'ah Thariqat Rifa'iyah. Dalam sektor Thariqat Rifa'iyah
itu syeikh yang tersebut adalah murid kepada Syeikh Muhammad al-'Aidrus. Selain
Thariqat Rifa'iyah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri juga pengamal Thariqat Qadiriyah.

Kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri buat pertama kalinya ke Aceh diriwayatkan


dalam tahun 1577 M, tetapi ada juga ahli sejarah mencatat bahawa beliau sampai di
Aceh pada tahun 1637 M. Ini bererti setahun setelah mangkatnya Sultan Iskandar
Muda (memerintah dari tahun 1606 M hingga 1636 M). Syeikh Nuruddin ar-Raniri
seakan-akan kedatangan pembawa satu pendapat baru, yang asing dalam masyarakat
Aceh. Setiap sesuatu yang baru selalu menjadi perhatian dan pengamatan orang, sama
ada pihak kawan atau pun pihak lawan. Fahaman baru yang dibawa masuk oleh Syeikh
Nuruddin ar-Raniri itu ialah fahaman anti atau penolakan tasawuf ajaran model
Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Kedua-dua ajaran
ulama sufi itu adalah sesat menurut pandangan beliau.
Syeikh Nuruddin ar-Raniri mendapat tempat pada hati Sultan Iskandar Tsani, yang
walaupun sebenarnya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda beliau tidak
begitu diketahui oleh masyarakat luas.

Oleh sebab ketegasan dan keberaniannya ditambah lagi, Syeikh Nuruddin ar-Raniri
menguasai berbagai-bagai bidang ilmu agama Islam, mengakibatkan beliau sangat
cepat menonjol pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Tsani itu. Akhirnya Syeikh
Nuruddin ar-Raniri naik ke puncak yang tertinggi dalam kerajaan Aceh, kerana
beliau mendapat sokongan sepenuhnya daripada sultan. Beliau memang ahli dalam
bidang ilmu Mantiq (Logika) dan ilmu Balaghah (Retorika). Dalam ilmu Fikah, Syeikh
Nuruddin ar-Raniri adalah penganut Mazhab Syafie, walaupun beliau juga ahli dalam
ajaran mazhab-mazhab yang lainnya. Dari segi akidah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri
adalah pengikut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang berasal daripada Syeikh Abul
Hasan al-Asy'ari dan Syeikh Abu Manshur al-Maturidi. Pegangannya dalam tasawuf
ialah beliau adalah pengikut tasawuf yang mu'tabarah dan pengamal berbagai-bagai
thariqah sufiyah. Tetapi suatu perkara yang aneh, dalam bidang tasawuf beliau
menghentam habis-habisan Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-
Sumatra-i. Walau bagaimanapun Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak pernah menyalahkan,
bahkan menyokong Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Abi Yazid al-Bistami, 'Abdul Karim
al-Jili, Abu Manshur Husein al-Hallaj dan lain-lain. Perkataan yang bercorak
'syathahiyat' yang keluar daripada ulama-ulama sufi yang tersebut itu tidak pernah
beliau salahkan tetapi sebaliknya perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang
berasal daripada Syeikh Hamzah al- Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i
selalu ditafsirkan secara salah oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Di dalam karyanya
Fath al-Mubin 'ala al-Mulhidin, Syeikh Nuruddin ar-Raniri berpendapat bahawa al-
Hallaj mati syahid. Katanya: "Dan Hallaj itu pun syahid fi sabilillah jua."
Padahal jika kita teliti, sebenarnya Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh
Syamsuddin as-Sumatra-i itu pegangannya tidak ubah dengan al-Hallaj.

Ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i berpunca


daripada ajaran Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Syeikh Abi Yazid al-Bistami, Syeikh
'Abdul Karim al-Jili dalam satu sektor. Dan bahagian lain juga berpunca daripada
ajaran Imam al-Ghazali, Syeikh Junaid al-Baghdadi dan lain-lain, adalah dipandang
muktabar, sah dan betul menurut pandangan ahli tasawuf. Bahawa ajaran tasawuf
telah berurat dan berakar di kalbi, bahkan telah mesra dari hujung rambut hingga
ke hujung kaki, dari kulit hingga daging, dari tulang hingga ke sumsum pencinta-
pencintanya, yang tentu saja mereka mengadakan tentangan yang spontan terhadap
Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Bahkan kepada siapa saja yang berani menyalah-nyalahkan
pegangan mereka. Pengikut-pengikut Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin
as-Sumatra-i menganggap kedua-dua guru mereka adalah wali Allah, yang faham
terhadap pengetahuan syariat, tarekat, haqiqat dan makrifat. Mereka beranggapan,
walaupun diakui bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri sebagai seorang ulama besar, yang
dikatakan juga telah mengetahui ilmu tasawuf, namun tasawuf yang diketahui oleh
Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu hanyalah tasawuf zahir belaka. Bahawa beliau
hanyalah mengetahui kulit ilmu tasawuf, tetap tidak sampai kepada intipati tasawuf
yang sebenar-benarnya. Bahawa beliau baru mempunyai ilmu lisan sebagai hujah
belaka, tetapi belum mempunyai ilmu kalbi, yang dinamakan juga dengan ilmu yang
bermanfaat. Oleh itu, wajiblah mereka membela guru mereka yang mereka sanjung
tinggi itu.

Selama menetap di Pahang atau pun setelah beliau pindah ke Aceh, ramai penduduk
yang berasal dari dunia Melayu belajar kepada ulama besar yang berasal dari India
itu, namun sampai riwayat ini saya tulis, belum dijumpai tulisan yang
menyenaraikan nama murid-murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Untuk memulakan
penjejakan mengenainya di sini dapat saya perkenalkan hanya dua orang, iaitu:
Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi/al-Maqasari al-Khalwati yang berasal dari
Makasar/tanah Bugis. Tidak begitu jelas apakah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati ini
belajar kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu beliau masih di Aceh atau pun
Syeikh Yusuf datang menemui Syeikh Nuruddin ar-Raniri di negerinya, India.
Sementara pendapat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Khalwati benar-benar
dapat berguru kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu masih di Aceh lagi, dan
Syeikh Yusuf Tajul Khalwati menerima bai'ah Tarekat Qadiriyah daripada Syeikh
Nuruddin ar-Raniri. Yang seorang lagi ialah Syeikh Muhammad 'Ali, ulama ini
berasal dari Aceh.

Ada yang berpendapat bahawa beliau meninggal dunia di India. Pendapat lain
menyebut bahawa beliau meninggal dunia di Aceh. Ahmad Daudi, menulis: "Maka tiba-
tiba dan tanpa sebab-sebab yang diketahui, Syeikh Nuruddin ar-Raniri meninggalkan
Serambi Mekah ini, belayar kembali ke tanah tumpah darahnya yang tercinta, Ranir
untuk selama-lamanya. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1054 H (1644 M)." Bahawa
beliau meninggal dunia pada 22 Zulhijjah 1069 H/21 September 1658 M. Tetapi Karel
A. Steenbrink dalam bukunya, Mencari Tuhan Dengan Kacamata Barat berpendapat lain,
bahawa hingga tahun 1644 M bererti Syeikh Nuruddin masih berada di Aceh.
Menurutnya terjadi diskusi yang terlalu tajam antara beberapa kelompok pemerintah:
Seorang uskup agung (ar-Raniri) di satu pihak dan beberapa hulubalang dan seorang
ulama dari Sumatera Barat di pihak lain. Pihak yang anti ar-Raniri akhirnya
menang, sehingga ar-Raniri dengan tergesa-gesa kembali ke Gujarat. Tulisan Karel
itu barangkali ada benarnya, kerana secara tidak langsung Syeikh Nuruddin mengaku
pernah kalah berdebat dengan Saiful Rijal, penyokong fahaman Syeikh Hamzah al-
Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, perkara ini beliau ceritakan dalam
kitab Fath al-Mubin.

Ada pun tempat meninggalnya, H.M. Zainuddin, berbeza pendapat dengan Ahmad Daudi
di atas. Menurut Zainuddin dalam Tarich Atjeh Dan Nusantara, jilid 1, bahawa
terjadi pertikaian di istana, dalam perebutan itu telah terbunuh seorang ulama,
Faqih Hitam yang menentang tindakan Puteri Seri Alam. Dalam pada itu Syeikh
Nuruddin diculik orang, kemudian mayatnya diketemukan di Kuala Aceh. Menurut H.M.
Zainuddin pula, bahawa makam Syeikh Nuruddin itu dikenal dengan makam keramat
Teungku Syiahdin (Syeikh Nuruddin ar-Raniri) terletak di Kuala Aceh.

Dalam masa pemerintahan Iskandar Muda, kerajaan Aceh maju, ajaran sufi tidak
menghalang kemajuan yang berasaskan Islam. Sebaliknya masa pemerintahan Iskandar
Tsani, ajaran sufi dianggap sesat, ternyata kerajaan Aceh mulai menurun. Bantahan
terhadap sesuatu pegangan yang pernah berkembang di dunia Islam perlulah ditangani
dengan penuh kebijaksanaan. Siapa saja yang memegang urusan keislaman janganlah
tersalah penilaian, sering terjadi yang benar menjadi salah, atau sebaliknya yang
salah menjadi benar.

You might also like