You are on page 1of 2

Memartabat bahasa Melayu, memperkukuh bahasa Inggeris

July 25, 2009 — Saadiah binti Bahari (Views: 31)

KUALA LUMPUR: Pendapat bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat


negara ini boleh menentukan jatuh bangun negara di masa akan datang, bukanlah
sesuatu yang keterlaluan. Ini kerana bahasa Inggeris menjadi lingua franca dalam aktiviti
ekonomi global, yang akan menentukan kelangsungan negara ini di pentas dunia.

Ramai yang berpendapat bahawa bahasa Inggeris (BI) perlu dikuasai rakyat untuk
membolehkan negara ini terus maju dan keputusan kerajaan memansuhkan pelaksanaan
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
membimbangkan beberapa pihak dan dianggap satu langkah ke belakang.

“Kenapa perlu dimansuhkan PPSMI. Macam mana anak kita nak bersaing dengan dunia
luar,” rintih seorang ibu ketika memberi reaksi kepada keputusan kerajaan itu awal bulan
ini. Kabinet memutuskan memansuhkan PPSMI pada 2012 setelah mendapati dasar itu
gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di
kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya di
luar bandar dalam kedua-dua subjek itu.

Secara tidak langsung, PPSMI juga dikatakan menghakis kedudukan bahasa Melayu (BM)
sebagai bahasa kebangsaan, yang menjadi bahasa pengantar persekolahan sejak awal
1970-an. Lantaran itu, timbul polemik sama ada keputusan kerajaan itu bermakna usaha
untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar sudah diketepikan atau isu PPSMI
tidak dilihat secara holistik?

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kebimbangan ibu bapa
berlaku kerana mereka keliru dengan pemansuhan PPSMI yang hanya menekankan
kepada dua subjek, tetapi dasar itu sebenarnya akan diganti dengan dasar yang lebih
baik. “Matlamat asal penguasaan BI dikekalkan, malah ia ditambah baik dengan fokus
kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih berkesan,” katanya di sini.

PPSMI sebenarnya diganti dengan dasar “Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh


Bahasa Inggeris” atau MBMMBI yang disifatkan sebagai strategi pendidikan serampang
dua mata. Melalui dasar baru itu, penekanan terus diberikan kepada subjek BI dan
bukannya melalui subjek Sains dan Matematik, bagi meningkatkan penguasaan bahasa
itu di kalangan pelajar. Alimuddin berkata antara strategi memperkukuh penguasaan BI
itu ialah dengan menambah masa pengajian subjek BI, memperbanyakkan bahan bacaan
dalam BI di sekolah, menambah guru terlatih dan memperkemaskan kaedah P&P subjek
berkenaan.

Sebagai contoh, masa pengajian BI bagi Tingkatan Satu hingga Tiga yang kini 200 minit
seminggu akan dinaikkan kepada 280 minit menjelang pelaksanaan MBMMBI pada 2012.
Strategi sama turut dilakukan kepada subjek BM dilihat akan menutup “kepincangan”
PPSMI yang sebelum ini tidak memberikan penekanan kepada bahasa kebangsaan itu,
menyebabkan ia ditentang pejuang bahasa.

Prof Diraja Ungku Aziz pernah menyifatkan PPSMI sebagai “satu kesilapan”, yang bukan
sahaja menjejaskan pencapaian pelajar di luar bandar, terutama pelajar Melayu, tetapi
mengikis kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ungku Aziz juga menolak
andaian BM tidak setanding BI sebagai bahasa ilmu. Alimuddin menegaskan bahawa
pertimbangan kerajaan memansuhkan PPSMI bertujuan menambah baik dasar
pendidikan sedia ada untuk kepentingan semua pihak.
“Ia bukan soal kaum tapi lokaliti. Kita tak mahu anak luar bandar tertinggal dalam arus
pendidikan negara. Pertimbangan kita dalam perkara ini adalah untuk semua,” katanya.
Sekalipun PPSMI dilihat mempunyai beberapa kelemahan, beberapa pihak mengakui
dasar yang dicetuskan dan dilaksanakan pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir
Mohamad itu bukanlah suatu dasar yang tidak baik.

“Apa dilakukan adalah untuk membiasakan pelajar menguasai ilmu khususnya Sains dan
Matematik dalam bahasa ilmu itu berkembang, khususnya pada masa kini,” kata pejuang
bahasa Prof Madya Dr Lim Swee Tin, dari Universiti Putra Malaysia, yang pernah menjadi
guru Matematik dan Bahasa Melayu selama lebih 28 tahun.

Bersetuju dengan strategi penekanan kepada kaedah P&P subjek BI, Lim turut
mencadangkan supaya istilah Sains dan Matematik dalam BI yang dialih bahasa
dikekalkan. “Ini bagi membolehkan istilah itu difahami bukan sahaja dalam lingkungan
kita tetapi di peringkat antarabangsa,” katanya sambil memberikan contoh
“photosintesis” yang dikekalkan sebagai “fotosintesis” dalam BM.

Dilaksanakan pada 2003, PPSMI bertujuan meningkatkan penguasaan BI pelajar dengan


hujah kebanyakan terma dan istilah dalam dua disiplin ilmu itu adalah dalam BI,
membolehkan penguasaan ilmu itu dikatakan menjadi lebih mudah. Namun selepas
enam tahun pelaksanaannya, kerajaan membuat keputusan memansuhkan PPSMI
selepas kajian menunjukkan PPSMI mengalami kegagalan dalam pelaksanaannya,
melebarkan jurang pencapaian pelajar bandar dan luar bandar dan secara tidak langsung
menghakis kedudukan BM.

Pada 8 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri
Pelajaran, mengumumkan PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya pada 2012 dan dua
subjek itu akan diajar menggunakan bahasa Melayu selain bahasa ibunda di sekolah jenis
kebangsaan. Kabinet juga meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk
memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Antara sebab menyumbang kepada kegagalan PPSMI kerana guru di luar bandar tidak
menggunakan PPSMI sepenuhnya, sebaliknya menggunakan dwibahasa ketika mengajar
kerana kompetensi guru dan pelajar yang lemah dalam BI. Bagi mengatasi kelemahan itu
melalui MBMMBI, kerajaan akan menambah guru terlatih termasuk 1,000 guru penutur
asli yang diimport dari negara luar di mana bahasa Inggeris adalah bahasa asalnya.

Tumpuan akan diberikan kepada kawasan luar bandar di mana peratusan kelulusan
dalam BI adalah rendah. Pada masa yang sama penekanan kepada BM akan diteruskan.
Apa yang pasti ialah usaha Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa
Inggeris bukanlah kisah “antara dua darjat” kerana kedua-dua bahasa itu sama penting
dalam mencorak generasi akan datang mengikut acuan Malaysia.

Mana-mana pihak termasuk ibu bapa tidak perlu bimbang kerana akhirnya matlamat asal
penguasaan BI itu tetap kekal malah dimantapkan lagi, selain jati diri bahasa kebangsaan
tidak diabaikan.

Sepertimana kata Ungku Aziz kepada Bernama sebelum ini: “Untuk negara kita maju,
kita perlu belajar bahasa lain seperti bahasa Inggeris, tapi untuk negara kita kuat dan
kukuh, kita perlu satu bahasa perpaduan iaitu bahasa Melayu”. - Bernama

You might also like