You are on page 1of 2

Peranan guru biasa dalam memberi bimbingan yang berterusan dalam bilik darjah

Peranan guru adalah amat penting dari segi pencapaian aspirasi dan matlamat sekolah. Begitu juga dengan memberi bimbingan yang berterusan dalam bilik darjah. Antara peranan dan tanggungjawab guru biasa adalah seperti guru sebagai tenaga pengajar yang merancang aktiviti pengajaran, penggerak pembelajaran, pengurus bilik darjah, ibu bapa kepada murid-murid, pendisiplin, contoh model hidup, pembimbing dan juga sebagai pemeriksa dan penilai kepada muridnya. Guru sebagai tenaga pengajar bertanggungjawab untuk merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan sukatan pelajaran dan melaksanakannya di dalam bilik darjah berdasarkan sukatan pelajaran dan melaksanakannya di dalam bilik darjah mengikut strategi pengajaran yang sesuai. Ini kerana gaya pembelajaran setiap murid adalah berlainan dari satu individu ke individu yang lain. Guru perlu mengambil tahu jenis-jenis gaya pembelajaran muridnya supaya tidak ada yang tercicir di dalam setiap pengajaran. Seterusnya guru sebagai penggerak pembelajaran bermaksud guru harus membimbing murid supaya mereka berusaha belajar secara individu atau secara berkumpulan. Selari dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu JERIS, yakni kepentingan mempertingkatkan perkembangan sosial adalah salah satu daripadanya dimana setiap murid perlu diajar supaya pandai bergaul, menghormati, bertolak ansur, bekerjasama dan memupuk nilai-nilai murni dikalangan mereka di awal usia lagi. Guru juga bertindak sebagai pengurus bilik darjah seperti menguruskan jadual tugas bilik darjah, menentukan corak penyusunan kerusi, meja dan peralatan serta mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang sesuai. Menurut teori tingkah laku (behaviorisme) yang diperkenalkan oleh Ivan Pavlov dan dikembangkan oleh Thorndike dan Skinner, mazhab ini berpendapat bahawa pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Pengajaran dan pembelajaran akan mempengaruhi segala perbuatan atau tingkah laku pelajar sama ada baik atau sebaliknya. Maka gurulah yang bertanggungjawab dalam membentuk tingkah laku yang baik tersebut bermula di bilik darjah. Selain itu, guru juga dianggap seperti ibu bapa kepada pelajar, terutamanya dalam menjaga keselamatan dan kebajikan mereka. Sikap ambil berat atau ambil tahu ke atas setiap murid adalah sangat digalakkan kerana ini akan membantu murid-murid menyesuaikan diri dalam bilik darjah mahupun sekolah sebagai sebahagian daripada keluarga mereka.

Guru sebagai pendisiplin bererti guru yang bertanggungjawab menjaga disiplin murid serta membantu mereka membentuk sahsiah dan kelakuan yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat.Guru juga adalah contoh model hidup di mana tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada murid. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah secara tidak langsung diterapkan dalam jiwa murid. Albert Bandura seorang tokoh mazhab sosial menjelaskan bahawa aspek pemerhatian murid terhadap apa yang disampaikan atau dilakukan oleh guru dan juga aspek peniruan (pendekatan permodelan) oleh murid akan dapat memberikan kesan yang optimum kepada kefahaman murid. Di samping itu juga guru adalah seorang pembimbing dan kaunselor dengan memberi nasihat dan bantuan kepada murid yang menghadapi masalah dalam proses pembelajaran atau masalah peribadi.Manakala guru sebagai pemeriksa dan penilai bermaksud guru perlu memeriksa buku kerja murid, kertas ujian dan peperiksaan, dan berdasarkan hasil pemeriksaan, menilai prestasi murid serta mengenalpasti kelemahan yang terdapat dalam pembelajaran mereka. Berdasarkan punca kelemahan yang telah dikenalpasti, guru dapat merancang aktiviti pemulihan untuk membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang dihadapi. Oleh yang demikian, dalam menjalankan tugas dan peranannya, guru mestilah menjadi seorang yang penyabar dan sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku. Peranan yang amat besar dan mencabar ini menjadikan guru seorang yang dihormati dan disanjungi di mata masyarakat. Cabaran ini disahut oleh setiap insan bergelar guru yang mendukung satu falsafah keguruan iaitu Falsafah Pendidikan Guru Malaysia, iaitu: Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik dan berdisiplin

You might also like