You are on page 1of 8

Cabaran Bahasa Melayu Menongkah Zaman

Apabila kita membincangkan perihal bahasa Melayu, hala tuju bahasa Melayu, masa depan bahasa Melayu, kita tidak terlepas daripada membincangkan soal cabaran bahasa Melayu terutamanya dalam mengharungi arus perubahan globalisasi. Walaupun perbincangan demi perbincangan, seminar demi seminar dilaksanakan nasib bahasa Melayu masih berada ditakuk yang sama. Adakah perbincangan dan perbahasan-perbahasan selama ini gagal mencapai kata sepakat atau hanya perbincangan mencukupkan waktu atau sasaran kerja yang perlu dilaksanakan. Kadang kala kita harus dan perlu berbangga dengan sejarah bahasa Melayu yang megah terukir dan tidak akan berubah untuk sekian lamanya. Walaupun sesetengah pihak mendakwa bahawa sejarah yang berlaku jangan dilihat kembali. Namun, bagi penulis sejarah yang tercipta perlu dibanggakan dan perlu dilihat semula kerana dengan sejarah kita mampu melihat kekuatan dan kelemahan yang kita ada. Manifestasi ini jugalah penulis sandarkan terhadap perkembangan bahasa Melayu ketika ini. Kita boleh melihat kekuatan bahasa Melayu yang mampu menjadi bahasa lingua franca di persisiran Selat Melaka sejak kurun pertama Masihi lagi. Malah, bahasa Melayu juga dipercayai menjadi bahasa rasmi kerajaan Srivijaya pada abad ke-7 hingga abad ke-13. Menurut Allahyarham Hassan Ahmad dalam pidatonya Cabaran Dunia Bahasa Melayu 1995 telah menyatakan bahawa 84 bahasa digunakan di pelabuhan Melaka dan bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca. Seiring itu juga bahasa Melayu turut menjadi wahana penyebaran pelbagai ilmu pengetahuan dan falsafah dengan wujudnya pusat-pusat intelektual terkemuka seperti di Pasai, Melaka, Acheh,

Patani,Palembang, Banjar, Betam dan Riau. Namun, kehadiran penjajah yang silih berganti bermula Portugis yang menakluki Melaka, seterusnya Belanda sehingga British telah mematikan sama sekali perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi serta bahasa persuratan Melayu. Bermodalkan kuasa politik yang ada bahasa Inggeris secara sinis telah diguna pakai untuk menggantikan fungsi bahasa Melayu daripada segenap sudut. Hal ini dilakukan oleh penjajah British adalah disebabkan tidak mahu menggalakkan orang Melayu menuntut ilmu bukan sahaja di dalam bahasa Melayu malah di dalam bahasa Inggeris sekalipun. Hal ini disebabkan, British bimbang sekiranya orang Melayu terlalu pandai dalam segenap ilmu pengetahuan dikhuatiri orang Melayu akan bangkit memberontak dan menentang penjajah British, seterusnya menggugat potensi British menguasai ekonomi Tanah Melayu dengan lebih

lama. Penulis yakin kegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa persuratan Melayu pasti akan kembali memihak kepada bahasa Melayu. Walaupun bahasa Melayu ketika ini menerima hambatan begitu hebat dalam bentuk nasional dan supernasional. Kita sebagai pengguna, penutur, dan pencinta bahasa Melayu perlu bersiap siaga dan berusaha lebih gigih untuk meletakan bahasa Melayu mampu duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa terutama dunia lebih-lebih lagi bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Kita tidak menafikan bahawa globalisasi adalah salah satu fenomena dunia tanpa sempadan yang menghambat negara-negara di dunia dan Malaysia tidak terkecuali daripada menerima hambatan yang begitu hebat ini. Hal ini, menyebabkan bahasa Melayu tutur mengharungi satu cabaran getir dalam bentuk dimensi baru yang memerlukan perhatian semua pihak terutamanya golongan pejuang-pejuang dan aktivis-aktivis bahasa. Cabaran dimensi baru ini menurut pandangan penulis bukanlah mudah untuk ditangkis, jika strategi berkesan tidak dilakukan sewajarnya. Ditambahkan lagi, saban waktu kita sering dihujani dengan pelbagai persoalan yang dikira menguji tahap kesabaran kita sebagai pencinta bahasa Melayu. Mampukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu? Jika dilihat kepada kegusaran ini bukanlah sesuatu yang baru. Ketidakyakinan ini berlaku disebabkan serangan-serangan dan momokanmomokan yang mana melihat bahasa Inggeris adalah satu-satunya bahasa yang mampu membawa kemodenan dan kemajuan sesuatu bangsa dan negara. Hal ini sangat sukar untuk diyakini kerana kemajuan yang dicapai bukan terletak secara mutlak kepada bahasa sesuatu bangsa tetapi terlatak kepada tahap kesungguhan dan strategi yang berkesan. Apabila kita melihat negara-negara yang sudah sememangnya maju dari segi sains dan teknologi seperti Jepun, Korea, dan Perancis. Mereka membangun dengan pesat berdasarkan keupayaan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu. Malah negara-negara berkenaan tetap mempertahankan bahasa ibunda mereka dan menjadikan bahasa berkenaan sebagai bahasa wahana ilmu pengetahuan dan bahasa sains teknologi. Hal ini berlain pula apabila di Malaysia, yang mana ramai dalam kalangan kita tidak yakin dengan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa sains teknologi. Menurut, Asiah Idris dalam makalahnya Bahasa Melayu sebagai Bahasa ilmu Pelita Bahasa 1995, petikan syarahan Prof.Dr.Abdul Hamid Mahmood menyatakan bahasa Inggeris bukanlah faktor yang menentukan sama ada sesebuah negara akan menjadi maju atau rakyatnya akan menjadi kaya. Yang menjadi faktor penentu dalam hal ini bukanlah

bahasa tetapi orang yang menggunakan bahasa itu. Malah, beliau menambah lagi yang penting jika kita benar-benar mahu menjadikan bahas Melayu sebagai bahasa ilmu, kita perlu mengubah sikap negatif dan keraguan kita terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu

termasuklah dalam bidang sains dan teknologi. Ternyata daripada pandangan yang diberikan oleh beliau mengenai keraguan segelintir pihak yang tidak yakin dengan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah sesuatu masalah besar kepada perkembangan bahasa Melayu ketika ini. Ramai melihat potensi bahasa Melayu sebagai bahasa peneraju dunia keilmuan, bahasa sains teknologi adalah masih lagi jauh. Menurut Hassan Ahmad masalah kita sebenarnya bukan cabaran bahasa Inggeris tetapi masalah orang kita yang tidak mengetahui ketidakupayaan kita setelah sekian lama kita merdeka untuk memajukan bangsa dengan menggunakan bahasa sendiri sebagai alatnya yang utama. Hal ini terbukti apabila, bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi beransur-ansur ditukar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Adakah kita perlu menyalahkan bahasa Inggeris yang membawa bencana kepada bahasa Melayu. Penulis melihat kita tidak perlu menyalahkan bahasa asing tersebut seperti yang dinyatakan oleh Hassan Ahmad kerana bahasa itu tidak harus dipersalahkan, namun diri kita sendiri yang perlu dipersalahkan kerana mengangkat bahasa itu lebih tinggi sehingga bahasa Melayu tenggelam daripada kedudukan sebenarnya. Tindakan institusi-institusi pengajian tinggi yang meminggirkan bahasa Melayu secara tidak langsung telah menyekat kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu itu sendiri. Bagaimana mungkin istilah-istilah yang sedia ada dapat digunakan secara meluas jika buku tidak ditulis di dalam bahasa Melayu dan penerbitan buku bahasa Melayu kian mengecil di sebab semua ilmu tersebut telah diajar di dalam bahasa Inggeris.

Kemuncak kepada keraguan bahasa Melayu ini direalisasikan dengan terlaksananya sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris

(PPSMI). Pelaksanaan dasar ini yang mula dilaksanakan pada 2003 adalah sesuatu peristiwa yang cukup mengguris hati-hati para pejuang bahasa. Pelaksanaan PPSMI adalah output daripada polemik-polemik yang sekian lama membelenggu yang mana perasaan ketidakyakinan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa keilmuan dan bahasa sains teknologi tercerna melalui pelaksanaan PPSMI. Namun, pandangan ini lantas disanggah oleh Prof. Dr James T. Collins dengan memberi penegasan bahawa kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang telah digunakan berpuluh tahun di Malaysia dan juga Indonesia tidak perlu dipersoalkan lagi. Malah beliau menambah, sejak 140 tahun bahasa Melayu sudah digunakan sebagai bahasa ilmu bukan sahaja orang Melayu malah orang asing. Jangan menganggap bahasa Inggeris itu sebagai mantera atau azimat yang dapat melindungi kejayaan yang telah dicapai selama ini, tetapi kemajuan itu lebih bergantung pada azam dan kesungguhan. Bagi menyatakan bahawa bahasa Melayu mampu atau tidak mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain dari sudut keilmuan penulis nyatakan bahawa bahasa Melayu lebih cukup mampu dan hebat untuk bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Ha ini terbukti dengan kelahiran beberapa tokoh ilmuwan seperti Syeikh Nuruddin al-Raniri, Hamzah Fansuri, Samsudin ai-Sumatrani, Tun Sri Lanang dan Raja Ali Haji, yang mana kesemua hasil karya mereka di jana melalui bahasa Melayu. Sekiranya Sejarah Melayu kitab yang tulisan oleh Tun Sri Lanang lahir di England dalam bahasa Inggeris, saya kira ia akan menjadi karya terkenal seluruh dunia (Hassan Ahmad, 1995). Dalam usaha kita untuk memperkasa bahasa Melayu sebagai ilmu pengetahuan, kita tidak menafikan bahawa cabaran bahasa Melayu pada masa kini tidak terhenti setakat di situ sahaja tetapi semakin mencabar terutama dalam usaha kita untuk membentes penggunaan bahasa Melayu bukan standard dan bahasa Inggeris dalam urusan-urusan rasmi khasnya urusan melibatkan jabatan-jabatan kerajaan. Kita tidak menolak bahawa sikap yang masih menebal dalam kalangan sebilangan kecil kita yang acuh tidak acuh dalam menggunakan bahasa Melayu standard dan lebih parah lagi menggunakan bahasa Inggeris. Mungkin berbangga bertutur dalam berbahasa Inggeris sepatah dua atau ingin menunjuk yang kita lebih pandai dalam bahasa tersebut perlulah dirujuk pada diri masing-masing. Kita bukan bersikap rasis terhadap bahasa Inggeris atau anti bahasa Inggeris.

Namun bagi mendukung bahasa Melayu sebagai rasmi negara yang telah termaktub di dalam perlembagaan. Justeru, wajar untuk kita mengambil semangat ini dan meletakan bahasa Melayu pada kedudukan tertinggi. Usaha ini perlulah diterjemahkan di dalam urusan seharian kita. Kita tidak menghalang sesiapa pun untuk bertutur atau menggunakan bahasa tersebut, tetapi perlulah bijak untuk melihat kepada suasana atau situasi wajar atau tidak untuk kita menggunakannya. Bagi menterjemahkan hasrat negara, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) komited di bawah pimpinan Prof.Dr. Awang Sarian telah mengambil pendekatan untuk melaksanakan audit bahasa bagi kesuma agensi

kerajaan. Pendekatan ini diambil oleh DBP adalah untuk memastikan agensi-agensi yang terlibat menggunakan bahasa Melayu dengan betul terutama dalam urusan rasmi. Langkah ini diambil oleh DBP disebabkan menyedari akan krisis serta cabaran bahasa Melayu yang kini semakin hebat dihambat dengan arus globalisasi. Jika elemen ini tidak dibendung dengan segara dengan langkah menyedarkan rakyat akan kepentingan penggunaan bahasa Melayu standard dengan baik dan betul. Hal ini, adalah seiring dalam usaha kita untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dalam kerangka 152 perlembagaan Malaysia. Ditambahkan lagi, menurut Rozali Rejab dalam makalahnya Cabaran Bahasa Melayu Dalam Menghadapi Abad 21, beliau telah menyenaraikan beberapa elemen yang membawa cabaran getir kepada bahasa Melayu. Salah satunya elemen tersebut ialah sikap penutur bahasa Melayu itu sendiri. Penulis amati tetarik dengan huraian yang diberikan oleh beliau yang mana kita tidak menafikan bahawa ramai dalam kalangan penutur bahasa Melayu sendiri tidak mahu bertutur di dalam bahasa Melayu dan berbangga pula apabila bertutur di dalam bahasa Inggeris, walaupun bahasa Inggeris yang dituturkan itu tidak sebaik yang diharapkan. Mungkin situasi menggunakan bahasa Inggeris ketika berkomunikasi ini sudah sebati di dalam kalangan penutur bahasa Melayu itu sendiri. Tidak hairan jika di dalam sesuatu majlis kalau terdapat seorang sekali pun warga asing kita sanggup menukar ucapan kita daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris, walhal lingkungan tetamu majlis tersebut majoritinya memahami bahasa Melayu. Persoalannya, di manakah ketegasan kita dalam berbahasa? Tiadanya sifat kasih, ambil kisah dan prihatin dengan bahasa ibunda (bahasa kebangsaan) adalah sikap yang harus dikikis dalam jiwa dalam setiap kalangan kita.

Menurut Ibnu Khaldun (1332-1406), sarjana sosiologi dan falsafah Islam pernah menyatakan bahawa bangsa yang pernah ditakluki oleh sebuah kuasa lain lazimnya terus menjadi kagum terhadap penakluknya. Oleh sebab itu, mereka gemar meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang menakluki mereka. Mereka menyangka bangsa yang mengalahkan mereka ialah bangsa yang agung. Akibatnya mereka tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor yang biasa sahaja. Oleh sebab itu, kita tidak berasa hairan apabila ada dalam kalangan kita yang terus mengagumi kuasa Inggeris. Mereka terus terkesima dengan bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat melihat kejayaan bahasa Melayu dalam memandaikan rakyat kerana minda mereka sudah terjajah oleh Inggeris. Bagi mereka, bahasa Inggeris dapat digunakan untuk menjayakan segala-galanya. Minda sudah lama terjajah. Itulah yang membelenggu masyarakat kita hari ini. Mengikis minda yang telah lama terpaku bak sekian lama bukanya sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan masa dan juga kerjasama semua pihak. Ditambahkan lagi, cabaran bahasa Melayu terus menerima persaingan dan hambatan daripada pelbagai sudut, kehadiran berpuluh-puluh universiti, kolej swasta sejajar dengan Akta Institusi Pengajian Tinggi swasta (IPTS) 1996 yang lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar menghimpitkan lagi peranan bahasa Melayu. Mahu tidak mahu, suka atau tidak bahasa Melayu terpaksa bersaing dalam situasi sebegini. Persoalannya mampukan bahasa Melayu bersaing? Mampu atau tidak ia terletak di bahu kita semua sebagai pengguna bahasa Melayu itu sendiri. Kita sedar bahawa bahasa Melayu dijamin di dalam perlembagaan 152. Namun, status quo bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bukanlah satu jamin yang kukuh. Menurut Abang Patdeli Abng Muhi dalam makalahnya Bahasa Melayu Menyongsong Era Cabaran menyatakan nilai sosial dan nilai ekonomi bahasa Melayu tidak dapat dielakkan dengan bayangan dengan bahasa Inggeris. Hal ini disebabkan, suasana dan juga persepsi masyarakat Malaysia yang masih cenderung menanggap sesuatu yang berbau Inggeris dan barat itu lebih superior. Tidak mustahil tiba satu tahap lulusan bahasa Melayu juga dianggap sebagai lulusan kelas kedua berbanding mereka yang memperoleh lulusan berbahasa Inggeris. Fenomena ini bukan asing tatkala pasaran pekerjaan yang mana menekankan kepada penguasaan bahasa Inggeris sebagai ciri utama temu duga.

Hal ini berlainan pula pendapat daripada Kamal Shukri Abdullah Sani yang mana berpendapat krisis siswazah tidak mendapat pekerjaan pada hari ini bukanlah disebabkan masalah penguasaan bahasa Inggeris secara mutlak, tetapi faktor lain yang memerlukan kajian fakta yang lebih jelas seperti masalah ekonomi negara, syarat khusus pekerjaan, dominasi syarikat tertentu, dan penutupan serta perpindahan industri tertentu ke negara lain. Di tambahan pula kebanyakan masyarakat korporat dan elit tidak begitu berminat dalam soal kebahasaan dan juga sastera kerana mereka lebih menumpukan kepada kemajuan ekonomi, sains, dan teknologi. Menurut A. Azizi Deraman dalam makalahnya Bahasa Melayu Dan Cabaran Globalisasi, Dewan Bahasa 2007 menegaskan bahawa cabaran utama bahasa Melayu sebagai bahasa nasional adalah lemahnya sokongan, jagaan, kawalan, peneguhan dan penegasan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Tambah beliau lagi, wujudnya keserongan persepsi terhadap keperluan atau cara sesebuah negara memilih bahasa dan bahasa Inggeris dianggap mampu membawa kemajuan negara telah memusnahkan kemajuan dan keupayaan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu agung dengan sejarah yang dilakarnya bak sekian lama sehinggakan penjajah yang datang mengaut segala keuntungan tanah Melayu telah mematikan kagungan bahasa Melayu dengan membawa bahasanya. Untuk mengembalikan maruah bahasa Melayu yang kini semakin diheyak-henyak dari pelbagai penjuru. Justeru penulis tinggalkan sidang pembaca sekalian dengan beberapa persoalan berdasarkan pandangan Aziz Deraman: (1) Orang Melayu sendiri kurang yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu. (2) Rakyat bukan Melayu belum semunya menjiwai bahasa Melayu. (3) Bahasa Inggeris terus dianggap superior. (4) Penekanan terhadap sains dan teknologi serta perindustrian yang mencetuskan tanggapan bahawa kemajuan hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris yang dianggap bahasa sangat unggul itu.

Justeru, hala tuju, nasib, dan masa depan bahasa Melayu terletak di tangan kita semua sebagai penutur dan pencinta bahasa Melayu. Kita tidak boleh menyalahkan orang lain jika kita gagal memartabatkan bahasa kita, kerana kita sendiri menggagalkan usaha tersebut. Justeru bahasa Melayu milik kita semua wadah sendi pusaka bangsa.

Bibliografi : Sumber Majalah Hassan Ahmad.(1995, November). Cabaran Dunia Berbahasa Melayu. Pelita Bahasa, 26-31. A.Aziz Deraman.(Februari, 2007). Bahasa Melayu dan Cabaran Global. Dewan Bahasa, 26-29. Armin Azhari.(Mac, 2004). Cabaran Bahasa Melayu Sarwajagat. Dewan Bahasa, 5. Teo Kok Seong.(Ogos, 2003). Cabaran Bahasa Melayu Dalam Era Globalisasi. Dewan Bahasa,5557. Anwar Ridhwan.(April, 2002). Natujah dan Cabaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Keempat Di Dunia. Dewan Bahasa, 7-10. Datuk Omar Mohd. Hashim.(Julai, 1990). Bahasa Melayu dan Cabaran abad 21. Pelita Bahasa, 67. Abang Patdeli abang Muhi.(April, 1996). Bahasa Melayu Menyongsong Era Cabaran. Pelita Bahasa, 31-38. Asiah Idris.(Ogos, 1995). Bahasa Melayu Sebagai Bahasa ilmu: Cabaran dan Harapan. Pelita Bahasa,9-11.

You might also like