You are on page 1of 9

PUSAT

PENGAJIAN ILMU
PENDIDIKAN

SIDANG AKADEMIK 2009/2010

KURSUS TEKNIKAL: DASAR NEGARA DAN ISU SEMASA (DPP 411)

OLEH: PROFESOR MADYA DR SUBADRAH NAIR

PROFESOR MADYA DR ISHAK RAMLY

TAJUK TUGASAN:

PENJELASAN TENTANG GAGASAN DAN MATLAMAT YANG MENJADI TERAS


DASAR WAWASAN NEGARA (2001-2010). KEPERCAYAAN DAN HARAPAN RAKYAT
TERHADAP DASAR WAWASAN TERSEBUT.

DISEDIAKAN OLEH:

MOHD HAIRI BIN SAPUAN DP/2705/09

LIZA BT ALI DP/2700/09

TARIKH SERAHAN:

27 JULAI 2009
Pengenalan konsep, gagasan dan matlamat
Menyedari akan kemajuan pesat yang telah dicapai dalam pembangunan sosio-ekonomi negara
dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu di bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua,
1991-2000 dan Dasar Pembangunan Nasional; mengambil maklum dan merestui usaha
berterusan yang dijalankan oleh Kerajaan dalam melaksanakan dasar, strategi dan program bagi
mencapai matlamat Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua menerusi Dasar Pembangunan
Nasional iaitu untuk mencapai pembangunan seimbang bagi mewujudkan sebuah masyarakat
yang lebih bersatu padu dan saksama dan kini kerajaan melulus dan mengesahkan Rangka
Rancangan Jangka Panjang Ketiga, 2001-2010 dan Dasar Wawasan Negara yang bertujuan
menyediakan objektif pembangunan negara dan dasar yang akan dilaksanakan dalam dekad ini
sebagaimana terkandung dalam Kertas Perintah Bil. 11 Tahun 2001 yang menggariskan bahawa
dalam meluluskan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Dasar Wawasan Negara,
setiap lapisan rakyat Malaysia dikehendaki berusaha dengan gigih bagi mencapai kejayaan yang
gemilang dalam menghadapi cabaran dari dalam dan luar negara yang semakin meningkat pada
masa hadapan dan bersatu dalam usaha membangunkan sebuah negara yang berdaya tahan dan
berdaya saing.

Gagasan merupakan buah fikiran yang dijadikan saranan atau cita-cita dalam mencapai
satu matlamat sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Gagasan biasanya digunakan dalam
melahirkan sebuah idea atau secara teori yang akan dizahirkan dalam bentuk tindakan dan
amalinya pada suatu tempoh yang telah ditetapkan. Matlamat pula merupakan tujuan, hasrat dan
misi untuk mencapai sesuatu dan biasanya untuk tempoh jangka panjang. Dalam konteks
perbincangan tentang gagasan dan matlamat Dasar Wawasan Negara ini, kita perlulah melihat
sejauh mana perkaitan antara perancangan dan perlaksaan yang dijalankan bagi menilai
keberkesanannya. Perincian kepada konsep dasar, wawasan dan negara pula membawa kepada
pemahaman tentang suatu pengisytiharan hasrat dan ideologi kerajaan yang dibuat dari semasa
ke semasa untuk mencapai objektif atau hasil. Rangkuman mengenai visi strategik jangka
panjang sebagai panduan arah dasar yang luas meliputi pelbagai aspek pembangunan negara,
sosial, ekonomi, politik dan hubungan luar antarabangsa pula menjelaskan tentang apakah yang
ingin dicernakan melalui wawasan negara. Aspek merealisasikan atau praktikalnya pula
diselaraskan dalam konteks negara yang melibatkan suatu masyarakat atau komuniti yang
mendiami sesuatu kawasan atau wilayah secara tetap dan diperintah oleh sebuah kerajaan.

Gagasan Dasar Wawasan Negara


Dasar Wawasan Negara menggabungkan teras kritikal dasar pembangunan yang lepas, iaitu
Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional dengan objektif utama mencapai
perpaduan nasional. Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula
masyarakat dan pembangunan yang seimbang masih menjadi strategi utama. Dasar Wawasan
Negara juga berpandu kepada cabaran strategik Wawasan 2020 yang menyediakan hala tuju
kepada Malaysia untuk menjadi negara maju sepenuhnya menjelang 2020. Secara khususnya,
DWN merupakan gabungan semua usaha pembangunan yang lepas dengan tujuan mewujudkan
Bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif dan makmur yang dapat hidup dalam suasana
harmoni dan ikatan perkongsian yang saksama. Bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh
negara untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri, penekanan juga
akan diberi kepada membina negara yang berdaya tahan dan berdaya saing serta masyarakat
yang bersatu padu dan saksama dari perspektif ekonomi untuk memastikan perpaduan dan
kestabilan sosial.

Matlamat Dasar Wawasan Negara


Dasar Wawasan Negara bermatlamat untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang progresif
dan makmur yang hidup dalam keharmonian serta berkongsi untung nasib sepenuhnya dengan
saksama. Pertumbuhan ekonomi akan terus diusahakan di samping tumpuan kepada pengurangan
kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat serta pengurangan ketidakseimbangan sosial,
ekonomi dan wilayah. Di samping meningkatkan tahap kebendaan dan kemakmuran, usaha
khusus akan diambil untuk menanam nilai sosial dan kerohanian bagi mengimbang sikap
kebendaan yang keterlaluan. Dasar Wawasan Negara juga akan terus memberi keutamaan
kepada pembangunan yang mampan dan mesra alam untuk memastikan alam sekitar yang bersih,
sihat dan menarik serta berupaya memenuhi aspirasi negara. Menyedari cabaran globalisasi yang
akan dihadapi pada masa hadapan, dasar pembangunan negara akan ditumpukan ke arah
membina sebuah negara yang berdaya tahan dan mampu bersaing di pasaran dunia. Sempadan
negara tidak lagi boleh diharapkan untuk melindungi pasaran tempatan bagi produk yang
berkualiti rendah dan berharga tinggi. Untuk menghasilkan khidmat dan barangan yang berdaya
saing di seluruh dunia, kita rakyat Malaysia perlu lebih berdisiplin dan lebih bijak dalam segala
urusan kerja kita. Krisis kewangan yang baru berlalu menunjukkan pentingnya kepintaran
berfikir dan daya tahan dipertingkatkan kerana dalam persekitaran dunia tanpa sempadan,
perubahan di mana sahaja di dunia boleh memberi kesan yang ketara kepada negara kita.

Dalam era maklumat, ekonomi dunia yang lebih bersepadu dan terbuka telah merubah
peraturan berhubung dengan persaingan. Kedudukan daya saing negara akan ditentukan oleh
pengetahuan dan bukannya faktor input sahaja. Kelebihan daya saing Malaysia dalam bidang
pembuatan tradisional kini dicabar oleh negara membangun lain yang dapat menawarkan kos
yang lebih rendah manakala negara maju terus mara ke hadapan dengan memberi tumpuan
kepada pengetahuan dan informasi teknologi dan maklumat. Sebagai sebuah negara, kerajaan
dan rakyat perlulah mempergiatkan usaha untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing.
Usaha ini bukan sahaja untuk membolehkan kita terus di hadapan negara membangun lain malah
dapat pula seiring dengan negara maju dan mencapai hasrat semua untuk muncul sebagai sebuah
negara maju menjelang 2020.

Teras Dasar Wawasan Negara


Dasar Wawasan Negara telah menggariskan beberapa teras yang menjadi pemacu ke arah
merealisasikan hasrat dan cita-cita negara antaranya ialah membina bangsa yang berdaya tahan
dengan memupuk perpaduan, menyemarak semangat, membentuk kematangan politik, membina
masyarakat supaya lebih bertolak ansur dan penyayang serta meningkatkan kualiti hidup dan
keutuhan ekonomi. Kualiti hidup rakyat perlu ditingkatkan bagi menjamin hak dan kewajaran
masyarakat Malaysia tiada lagi yang tertinggal dalam mengejar kemajuan negara. Teras ini juga
telah menggariskan untuk berusaha menggalakkan pewujudan masyarakat yang saksama melalui
pembasmian kemiskinan dan pengurangan ketidakseimbangan dikalangan dan di dalam
kumpulan etnik wilayah. Kesaksamaan ini perlulah selaras dengan pengekalan pertumbuhan
ekonomi yang tinggi dengan mengukuhkan sumber pertumbuhan, institusi kewangan dan
korporat serta pengurusan ekonomi makro.

Dasar Wawasan Negara juga berpandukan usaha untuk meningkat daya saing bagi
menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi. Pelaksanaan strategi yang sesuai pada masa
yang tepat dan secara berkesan adalah penting bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh
negara dalam membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan. Sehubungan dengan ini,
Kerajaan perlulah memastikan pendekatan menyeluruh dan seimbang diambil dalam
melaksanakan agenda pembangunan negara. Melalui pendekatan ini, penekanan bukan sahaja
akan diberi kepada pembangunan sumber manusia dari segi ekonomi tetapi juga pembangunan
aspek-aspek penting yang lain iaitu sosial, kebudayaan dan psikologi bagi diseimbangkan dengan
dunia globalisasi masa kini. Usaha untuk membangunkan ekonomi yang berasaskan pengetahuan
merupakan satu langkah strategik bagi meningkat nilai tambah bagi semua sektor ekonomi.
Dalam usaha membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan ini, penekanan khusus adalah
perlu bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan menerusi pembangunan sumber manusia,
peningkatan aktiviti penyelidikan serta penggunaan teknologi terkini, terutamanya teknologi
maklumat. Pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan ini pula perlu dikukuhkan dengan
pembangunan sumber manusia bagi menghasilkan tenaga kerja yang cekap, produktif dan
berpengetahuan. Aspek terpenting bagi menjamin kesinambungan dan kelangsungan ekonomi
ialah dengan meneruskan pembangunan alam sekitar yang mampan untuk memperkukuhkan
pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Dimensi Baru Dasar Wawasan Negara


Di samping mengambil kira strategi utama dasar yang lepas seperti Dasar Ekonomi Baru dan
Dasar Pembangunan Nasional, dimensi baru Dasar Wawasan Negara merangkumi usaha untuk
membangunkan malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat berpengetahuan.
Institusi pendidikan dijadikan sebagai medium asas untuk melahirkan lebih ramai masyarakat
berilmu dan dapat menyumbang ke arah modal insan yang bermanfaat dan berguna untuk
kepentingan negara. Pendidikan dijadikan sebagai aspek penting dan pelbagai usaha telah
dijalankan bagi mementapkan sistem pendidikan negara. Selain itu dimensi baru Dasar Wawasan
Negara juga ke arah menjana pertumbuhan yang didorong oleh sumber dan kekuatan tempatan
melalui pengukuhan pelaburan dalam negeri dan pembangunan keupayaan tempatan di samping
penarikan pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan ke dalam bidang strategik. Dalam
tinjauan jangka panjang, ekonomi dunia dijangka positif dengan pertumbuhan KDNK sebenar
diramalkan meningkat bagi semua rantau utama. Dalam tempoh 2001-2010, ekonomi dunia
dijangka berkembang pada kadar 2.3 peratus manakala negara membangun juga dijangka
berkembang pada kadar purata 3.7 peratus. Namun begitu, kewujudan ketidakseimbangan
ekonomi dan kewangan yang ketara di antara negara kaya dan miskin menimbulkan risiko
berterusan kepada ekonomi Malaysia. Kekurangan inisiatif yang membina secara berterusan
untuk mengukuhkan struktur kewangan antarabangsa, terutamanya dari segi pengurangan aliran
modal jangka pendek yang bersifat spekulatif, terus menjadi punca ketidakstabilan. Berdasarkan
keadaan ini, keupayaan Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang pesat bagi
tempoh RRJP3 bergantung kepada keupayaan kita mengukuhkan daya tahan dan daya saing
ekonomi. Oleh itu, pengurusan ekonomi makro akan ditumpukan kepada usaha
memperkukuhkan asas ekonomi bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan
dengan inflasi yang rendah dan harga yang stabil serta mengekalkan sumber ekonomi dan
kedudukan imbangan luar yang sihat. Pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dijangka
menyediakan landasan untuk memperbaiki produktiviti Malaysia. Oleh yang demikian, usaha
yang terarah untuk meningkatkan potensi ekonomi perlu ditekankan dan ini merupakan salah
satu faktor penyebab kepada pewujudan dimensi baru Dasar Wawasan Negara diwujudkan.
Melalui dasar ini penjanaan ekonomi bukan sahaja tertumpu kepada pelaburan luar kepada
negara Malaysia tetapi juga menjadikan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan lebih
dinamik melalui penerapan pengetahuan yang lebih tinggi.

Pembangunan masyarakat tidak sesekali diketepikan dengan usaha kerajaan untuk membasmi
kemiskinan dikalangan kelompok kecil yang miskin di kawasan terpencil, orang asli dan
kumpulan minoriti bumiputera di sabah dan sarawak serta meningkatkan pendapatan dan kualiti
hidup kumpulan pendapatan 30 peratus terendah.Usaha dan tindakan ini dapat membantu
meningkatkan kesaksamaan ekonomi semua lapisan masyarakat di Malaysia. Dimensi baru ini
juga menumpukan kepada usaha mencapai penyertaan bumiputera yang berkesan serta pemilikan
ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2010 dan meningkatkan penyertaan bumiputera
dalam sektor utama ekonomi. Pembentukan modal insan juga diselaraskan dengan usaha untuk
mengorientasikan semula pembangunan sumber manusia bagi menyokong pembentukan
masyarakat yang berasaskan pengetahuan dan dapat menyumbang kepada pembangunan Negara
yang lebih efisien.
Kepercayaan dan harapan rakyat
Hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang maju dari pelbagai
perspektif adalah amat disokong oleh rakyat yang kebanyakannya bersetuju kerana ia adalah
untuk kepentingan semua. Hasrat rakyat untuk melihat keraajaan dapat mewujudkan negara
Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama adalah
bersesuaian dengan teras Dasar Wawasan Negara yang bukan sahaja mementingkan kepentingan
Negara tetapi melihat jauh kepada kepentingan rakyat. Rakyat Malaysia beranggapan dan
memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan Malaysia untuk mewujudkan negara yang aman,
berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya,
secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan
dedikasi kepada negara. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi iaitu
masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama di mana
wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat
sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan
kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum. Di sinilah kerajaan dianggap sebagai medium
penyampai maklumat berkesan kepada semua lapisan rakyat agar penyaluran ekonomi secara
adil dapat dilaksanakan di semua peringkat.

Dalam usaha menjadi sebuah negara maju sepenuhnya seperti terkandung dalam
Wawasan 2020, rakyat mengharapkan kerajaan dapat memupuk semangat identiti bersama
terhadap Negara berasaskan warisan dan pencapaian yang lepas serta meningkat dan
mengoptimumkan potensi yang sedia ada. Semangat identiti bersama dan berkongsi tujuan
sangat penting dalam usaha pembangunan nusa bangsa. Pemupukan nilai positif dan kepercayaan
terhadap nilai moral dan tingkah laku beretika sebagai satu cara hidup di kalangan rakyat akan
terus menjadi asas kepada kejayaan negara.

Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan adalah berasas dan tertumpu kepada usaha–usaha
yang boleh dijalankan oleh pihak kerajaan bagi meningkatkan perolehan ekonomi semua lapisan
masyarakat tanpa ada diskriminasi terhadap mana-mana kaum. Untuk membina asas yang kukuh
bagi pertumbuhan yang didorong oleh sumber dan kekuatan dalam negeri, rakyat mengharapkan
kerajaan dapat menggandakan usaha yang perlu dilaksanakan untuk memantapkan keupayaan
tempatan dalam pembangunan inovasi dan teknologi serta modal manusia (Abdul Rahman Abdul
Aziz,2007). Langkah sewajarnya perlu diambil untuk memperbaiki tahap pendidikan,
mempergiatkan latihan kemahiran dan menarik warga asing dan rakyat Malaysia dari luar negara
yang berkepakaran tinggi untuk kembali dalam pasaran tempatan. Adalah menjadi harapan dan
kepercayaan rakyat terhadap kerajaan adalah untuk meningkatkan kefungsian semua lapisan
masyarakat, membantu masyarakat dalam bidang ekonomi dan mewujudkan serta mengekalkan
keamanan dan kedaulatan negara bagi menjamin kemakmuran rakyat dan seterusnya negara
Malaysia yang dicintai.

Kesimpulan

Kejayaan Dasar Wawasan Negara memerlukan komitmen sepenuhnya daripada kita semua dan
setiap orang hendaklah bersedia untuk bekerja kuat bagi mencapai matlamat dasar tersebut. Kita
hendaklah bersedia mencipta semula diri kita, mengubah cara pemikiran kita, berinovatif, pintar
dan berdisiplin serta mempunyai kekuatan dalam menghadapi cabaran yang mendatang. Rakyat
Malaysia juga perlulah sentiasa menghargai keamanan dan keharmonian yang dinikmati di
negara ini. Keamanan dan keharmonian merupakan asas penting kepada semua usaha
pembangunan negara kita. Sekiranya negara berada dalam keadaan kucar-kacir disebabkan oleh
perbalahan dan keterlaluan dalam perbezaan pendapat, kemajuan sebenarnya tidak akan tercapai
( Abdullah Sanusi Ahmad, 1982). Oleh itu, kita perlu meningkatkan usaha memupuk perpaduan
negara dan membina masyarakat yang bertolak-ansur serta penyayang demi kesejahteraan dan
kemakmuran kita semua. Sekiranya seruan supaya bersikap rasional dalam meluahkan perasaan
tidak puas hati mengenai isu politik, ekonomi dan sosial diketepikan, kita terpaksa menerima
keperluan untuk melaksanakan undang-undang negara dengan lebih tegas lagi.

Sekali imbas Dasar Wawasan Negara seolah-olah merupakan wawasan ekonomi


semata-mata kerana ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi
negara perindustrian, tetapi jika dihalusi ia sebenarnya lebih daripada itu oleh kerana ia juga
menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan aspek sosialdan cara hidup seperti pembentukan
dan keperibadian bangsa, moral dan etika, kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber
manusia dan lain-lain. Wawasan dan harapan rakyat bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan,
tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan “framework of action” bagi setiap rakyat untuk
mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-
benar maju dan makmur. Dalam konteks ini Dasar Wawasan Negara tersebut memerlukan
beberapa perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem
pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan keada sains dan teknologi, perancangan,
dan peranan sektor swasta dan kerajaan yang lebih dinamik dan sistematik.

Rujukan

Abdullah Sanusi Ahmad (1982). Kerajaan dan Pentadbiran Malaysia. Dewan Bahasa dan

Pustaka. Kuala Lumpur.

Mustapa Kassim, Abdul Rahman Abdul Aziz, Muhamed Nor Azman Nordin, Hasliza Shafie

(2007). Merdeka Wacana Pembangunan Dan Kedaulatan Negara. Penerbit Institut

Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, UUM, Sintok, Kedah

Mustapa Kassim, Abdul Rahman Abdul Aziz, Muhamed Nor Azman Nordin, Hasliza Shafie

(2008). Kelangsungan Pentadbiran. Penerbit Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir

Mohamad, UUM, Sintok, Kedah.

You might also like