You are on page 1of 5

Selipar Nenek

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak


Dewan Pelajar, September 2009

H ari ini Jumaat. Muhaimin akan bersolat Jumaat di


masjid. Dia hendak menunggang basikal.
Datuknya berkata, “Lebih baik kita berjalan kaki. Jarak
rumah kita ke masjid tidak sampai satu kilometer.
Lagi jauh perjalanan, lebih banyak pahala kita dapat.”

Muhaimin menyarung kasutnya. Datuknya berkata


pula, “Aimin, kasut kamu itu berjenama dan baharu.
Kasut begitu kesukaan orang. Baik kamu pakai selipar
nenek.”

“Selipar nenek ini besar, atuk.”

Haji Rahmat memahami keengganan cucunya. Dia


memegang bahu cucunya dan berkata dengan suara
yang lembut, “Besar sedikit sahaja, Aimin. Pakai
sahajalah, ya. Kalau pakai kasut, atuk khuatir kamu
akan balik berkaki ayam.”

Muhaimin memahami dan mematuhi kata-kata


datuknya. Dia menyarung selipar neneknya.
Kemudian dia beriringan dengan datuknya menuju ke
masjid. Dia melihat datuknya tersengeh-sengeh
mendengar bunyi cepak-cepuk seliparnya.

Solat Jumaat selesai. Haji Rahmat menunaikan solat


sunat. Muhaimin berdiri di ambang pintu. Orang ramai
keluar dari masjid. Muhaimin melihat pergerakan
mereka menuju ke pintu pagar.
Kini Muhaimin melihat datuknya berdoa. Panjang doa
datuk, kata hatinya. Dia terus menunggu. Dia
bersandar pada jenang pula. Kini cuma tinggal
seorang pemuda di tangga. Pemuda itu melihat ke
arahnya dan bertanya “Adik tunggu siapa?”

“Tunggu atuk,” jawabnya.

Pemuda itu menyarung selipar. Muhaimin nampak


selipar itu macam selipar neneknya. Si pemuda
menoleh. Muhaimin melihat senyumannya sungguh
manis. Baik pemuda ini, kata hati Muhaimin.

“Assalamualaikum, adik,” kata si pemuda. Dia


bergegas ke keretanya. Muhaimin tetap menjawab
salam dengan suara yang perlahan.

Kini Muhaimin berdiri pula di tengah ambang pintu.


Dia melihat datuknya melipat sejadah. Datuknya
menyusun sejadah yang sudah berlipat itu di sebelah
mimbar. Kemudian datuknya bergerak untuk keluar.
Muhaimin pula bergerak ke tangga. Dia melihat kereta
pemuda itu sudah berada di luar pagar.

“Atuk!”

Haji Rahmat menutup pintu masjid. Kemudian dia


merapatkan kedua-dua belah gril. “Kenapa Aimin?”

“Selipar nenek sudah diambil orang,” kata Muhaimin


dengan suara yang sayu. “Mungkin pemuda itu yang
mengambilnya.”

“Sudahlah, Aimin. Pakailah selipar atuk. Biar atuk


berkaki ayam.”
“Mungkin pemuda itu tadi yang mengambil selipar
nenek.”

“Sudahlah. Tidak baik bersangka buruk. Pakai sahaja


selipar atuk. Mari kita pulang.”

“Biarlah Aimin yang berkaki ayam. Atuk pakailah


selipar ini.”

“Aimin orang bandar. Orang bandar tidak biasa


berkaki ayam. Atuk orang kampung. Sejak kecil atuk
biasa berkaki ayam. Lagipun atuk bekas askar. Biarlah
atuk yang berkaki ayam. Aimin pakailah selipar ini.”

Muhaimin tetap menolak tawaran datuknya. “Biarlah


Aimin yang berkaki ayam. Atuk tengok nanti, orang
bandar juga boleh berkaki ayam”

Haji Rahmat menyarung seliparnya. Dia berkata, “Elok


juga Aimin belajar menjadi budak lasak. Atuk tidak
pernah berkasut waktu budak-budak. Pada masa itu
kulit kaki atuk keras dan berkematu.”

Mereka melangkah pulang. Dari tangga masjid ke


pintu pagar lebih kurang seratus meter. Pohon
mangga dan rambutan berbaris di kiri kanan jalan.
Dahan pohon-pohonan di sebelah-menyebelah
bertemu dan membentuk separuh bulatan. Bentuk itu
seolah-olah pintu gerbang. Kini Haji Rahmat dan
Muhaimin sedang berjalan di bawah naungan pohon-
pohonan itu.

Haji Rahmat menutup pintu pagar. Kemudian dia dan


cucunya menuju ke rumah mereka. Jalan yang mereka
lalui bertar. Jalan itu berupa permatang. Lebarnya
lima kaki sahaja. Di kiri kanan jalan terbentang sawah
padi yang baru dituai. Muhaimin berjalan terjengket-
jengket kerana jalan itu menyimpan haba. Dia tetap
menolak tawaran datuknya untuk mengambil giliran
memakai selipar.

Sebaik-baik tiba di rumah, Muhaimin berehat di sofa.


Dia menggosok-gosok tapak kaki kanannya. Warna
merah yang bertompok-topok kelihatan pada tapak
kakinya. Haji Rahmat terus ke dapur. Dia
menceritakan kisah kehilangan selipar itu kepada
isterinya.

Sebentar kemudian, Hajah Piah datang. Dia membawa


segelas air sirap. “Minumlah dahulu. Nanti nenek
tengok tapak kaki Aimin itu.”

Muhaimin menyambut gelas sirap berais. Dia


membaca bismillah dan meneguk air sirap itu.
“Terima kasih, nenek,” ucapnya setelah suku gelas air
sirap itu dinikmatinya. “Tidak usahlah nenek khuatir.
Kaki Aimin tidak ada apa-apa. Tetapi, Aimin rasa
pemuda itu tidak patut mengambil selipar nenek.”

Hajah Piah tersenyum. “Datuk kata, pemuda itu


memberikan senyuman kepada Aimin. Benarkah?”

“Benar, nenek. Aimin yang beritahu atuk. Rupa-


rupanya senyumannya itu ada makna.”

“Habiskan minuman. Nenek hendak beritahu sesuatu


kepada Aimin.”

Aimin menghabiskan minumannya, “Beritahulah,


nenek.”
Hajah Piah memegang kedua belah tangan cucunya.
Dengan suara yang lembut, dia berkata, “Aimin, kita
mesti bersangka baik. Pemuda itu mungkin orang luar.
Dia mungkin dalam perjalanan. Dia singgah di masjid
untuk bersolat. Mungkin dia memakai kasut. Kasutnya
diambil orang. Jadi, dia mengambil selipar Aimin ….”

“Selipar nenek.”

“Ya, dia mengambil selipar nenek yang Aimin pakai.


Selipar itu sebagai ganti kasutnya yang mahal.
Bukankah Aimin sendiri mempunyai kasut berjenama
dan mahal?”

“Ya. Tetapi kasut itu ibu yang belikan sebagai hadiah


hari jadi.”

Hajah Piah mengusap kepala cucunya. “Aimin, kasut


pemuda itu juga mungkin hadiah daripada tunang
atau isterinya. Dia masih memberikan senyuman
manis kepada Aimin walaupun dia hanya mendapat
ganti sepasang selipar.”

“Terima kasih, nenek. Aimin tidak mahu bersangka


buruk lagi.”

Hajah Piah memeluk Muhaimin. Dia mencium dahi


cucunya itu dengan penuh kasih sayang.

Tamat.

You might also like