You are on page 1of 4

Masa depan dan cabaran bahasa melayu dalam pentadbiran, pendidikan dan ekonomi.

Pucuk manis permatang budi, pucuk purut digetus rusa; Yang manis bernama budi, Yang indah bernama bahasa. Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh dan salam sejahtera pembuka bicara. Tajuk pidato saya pada hari ini ialah masa depan dan cabaran bahasa Melayu dalam pentadbiran, pendidikan dan ekonomi. Masa depan Bahasa Melayu amat cerah pada masa kini. Bahasa Melayu juga mempunyai kedudukan yang terjamin, dari segi penggunaan yang meluas oleh rakyat Malaysia dan perakuan oleh Malaysia. Persoalannya sekarang, apakah cabaran dan masa depan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, pendidikan dan ekonomi? Oleh itu hadirin sekalian mari bersama-sama saya untuk mengupas dengan lebih lanjut mengenai mauduk pidato saya pada hari ini. Untuk hujah yang pertama ialah berkaitan dengan cabaran bahasa Melayu dalam pentadbiran. Seperti yang kita tahu, kemerosotan dalam aspek mutu bahasa berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran.. Demikian juga, semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing (misalnya precinct, parcel dan boulevard). Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi tidak mengutamakan bahasa Melayu .

Selain itu, tiada penegasan dan penyelarasan penguatkuasaan pengguaan bahasa dalam sektor tertentu seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dan penyiaran. Contohnya penggunaan bahasa rojak dalam penyiaran di televisyen dan radio. Untuk hujah yang kedua pula ialah berkaitan dengan masa depan dan cabaran bahasa Melayu dalam pendidikan. Menurut Awang Sariyan (1996:88) penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan adalah bertujuan untuk memenuhi konsep dan peranan bahasa rasmi juga. Namun begitu terdapat beberapa cabaran yang dihadapi dalam penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan pada masa kini. Cabaran bahasa Melayu dalam pendidikan ialah Pengaruh bahasa Inggeris. Memang tidak dapat dielakkan tetapi hendaklah digunakan dalam bentuk dan peraturan yang betul. Kita tidak boleh menggunakan sekerat bahasa Melayu dan sekerat lagi dalam bahasa Inggeris. Perkara inilah yang dikatakan bahasa rojak atau sekerat ular, sekerat belut, dan bercampur aduk. Para pengguna bahasa perlu menggunakan bahasa yang betul dan tidak menggunakan bahasa rojak dalam majlis rasmi atau dalam tulisan. Masyarakat bandar kini yang semakin mementingkan

bahasa Inggeris telah menyebabkan pembelajaran Bahasa Melayu semakin tercabar. Tugas guru yang sedia ada dalam memberikan pengajaran dan bimbingan pengetahuan tentang bahasa Melayu serta tugas pentadbiran lain, kini menggalas satu lagi peranan baharu bagi menanamkan keyakinan terhadap kebangsaan ini. Cabaran yang seterusnya pengaruh bahasa Sistem Pesanan Ringkas juga menyebabkan masalah ini semakin buruk. Para pelajar sepatutnya tidak terpengaruh oleh bahasa sms semasa menulis karangan. Mereka seharusnya membezakan bahasa sms dengan bahasa penulisan karangan. Bahasa sms memang sesuai digunakan semasa hendak menghantar pesanan ringkas tetapi tidak sesuai digunakan dalam karangan atau dalam majlis formal. Antara bahasa sms yang popular digunakan sekarang seperti, sape, takyah, takde. xde, ko, keje, ak, gi, camne, katne, dan watpe. Selain itu, isu pengajaran Bahasa Melayu juga sering dikaitkan dengan kekurangan guru opsyen Bahasa Melayu. Akibatnya, guru besar atau pengetua bahasa

terpaksa meminta guru bukan opsyen untuk mengisi kekosongan ini. Dalam hal ini, Nik Safiah Karim (1980) berpendapat banyak guru yang bukan sahaja tidak dapat mengajar bahasa Melayu dengan baik, tetapi penguasaan bahasa Melayu mereka juga amat lemah. Jika ini berlaku, maka akan mewujudkan masalah dalam melahirkan pelajar yang benarbenar berketerampilan dari aspek penguasaan bahasanya. Lantaran itu, lahirlah masyarakat yang makin jahil tentang bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan sendiri.

Hujah saya yang ketiga pula ialah berkaitan dengan masa depan dan cabaran bahasa Melayu dalam ekonomi. Antara cabaran bahasa Melayu dalam bidang ini ialah Bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dalam bidang ekonomi. Walaupun bahasa rasmi negara ialah bahasa Malaysia namun dalam bidang ekonomi bahasa yang kerap digunakan ialah bahasa Inggeris. Contohnya, bahasa Inggeris digunakan semasa sesuatu perniagaan sedang dijalankan. Menurut kajian, Bahasa Melayu jarang-jarang digunakan semasa urusan perniagaan dijalankan. Hal ini berlaku demikian kerana bahasa Malaysia kekurangan istilah yang tepat untuk mengungkapkan maksud dalam bidang ekonomi. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja penting untuk menjamin peluang kejayaan kerjaya malah juga penting untuk menjamin hubungan yang mantap dalam bidang ekonomi. Jikalau bahasa Inggeris tidak dikuasai, maka perniagaan individu, syarikat, dan negara akan terbatas. Apabila peluang perniagaan terbatas, hal ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara malah juga menjejaskan hubungan diplomatik dan nama baik negara. Oleh itu, bahasa Inggeris amat penting dalam bidang ekonomi. Secara tidak langsungnya, situasi ini telah menjejaskan dan memberikan impak yang negatif kepada masa depan Bahasa Melayu. Setelah frasa demi frasa tajuk pidato saya ini dikupas, maka dapatlah saya menutup rumusan bahawa bahasa Melayu memikul tanggungjawab yang besar dalam mengangkat martabat bahasa dan bangsa di tanah air tercinta ini. Oleh sebab itu, untuk mengatasi cabaran dan masa depan penggunaan bahasa Melayu dalam

bidang pendidikan, pentadbiran dan ekonomi kita semua harus berganding bahu untuk sama-sama mengatasi cabaran ini. Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa, tersalah kata, tersilap sebut atau tercanggah gerak tangan, mulut, kepala dan mata. Saya mengakhiri pidato saya ini dengan serangkap pantun; Alang-alang menyeluk pekasam, Biar sampai ke pangkal lengan; Alang-alang bahasa dijulang, Biar kekal sepanjang zaman.

Sekian,

Wabillahi

Taufik

WaJhidayah

Wasalamualaikum

Warohmatullahi

Wabarokatuh

You might also like