You are on page 1of 8

Reka Bentuk Ukiran Kayu

Rupa dan bentuk serta makna kesenian orang Melayu seperti anyaman, tenunan, batik, songket, telepok, kesenian logam emas dan perak dan ukiran kayu banyak dipengaruhi oleh alam semulajadi tukang dan pegangan serta kepercayaan mereka. Rupa dan jiwa Melayu adalah manifestasi agama, sejarah, tradisi lisan dan bertulis, budaya, kepercayaan, jampi mentera, azimat, lagenda dan mitos. Rupa seni bukan sahaja mencerminkan nilai weltanschauung dan aspirasi budaya, tetapi mereka juga adalah alat komunikasi spiritual masyarakat. Hubungan erat antara makna dan rupa sesuatu kesenian itu termasuk seni ukir dapat dilihat pada karya tukang-tukang lama. Asal bentuk yang dijumpai dalam motif ukiran kayu orang Melayu bermula dari kepercayaan animisme, dituruti oleh elemen Hindu, Buddha dan akhirnya Islam sebagai akidah dan pegangan orang Melayu kini. Unsur dalam bentuk seni ukir Melayu tradisi sebelum dan selepas kedatangan Islam termasuklah:

Sebelum Islam (Pra A 14) Dewa Kala Makara Gunungan Pohon Bodhi Stupa Padma/ Teratai Naga Garuda

Selepas Islam (Pasca A14) Tuhan Punca Bunga Ukir Sulur Bayu Kepala Pohon Beringin/P. Hayat/ D. Budi Buah Buton Telipok Naga (elak penggunaan) Geroda (elak penggunaan)

Jenis-Jenis Bunga Ukir Atau Corak Terdapat lima corak bunga ukir yang terdapat dalam reka corak tradisional, antaranya awan larat, awan silang atau kerawang, awan bentuk huruf, larik dan semetri.

Awan Larat Awan larat berilham daripada alam iaitu awan yang berarak apabila ditiup angin. Ada pula mengatakan bahawa nama ini diambil sempena nama seorang anak kecil bernama Awang yang menggaris tanah hingga melarat-larat menjadi bentuk yang cantik. Gambaran inilah yang diabadikan oleh pengukir dalam ukirannya. Kebiasaannya pengukir mencipta daun, buah dan bunga hasil ilhamnya sendiri. Awan larat ini corak yang paling dimuliakan dalam apresiasi seni ukir Melayu Klasik. Ukiran jenis ini tidak diletakkan di paras pusat. Awan larat terbahagi kepada dua jenis yakni Awan Larat MelayuAsli dan Awan Larat Jawa. Awan Larat Melayu Asli juga dikenali sebagai Awan Larat Jawi. Bentuknya mempunyai bunga yang besar dan jarang. Coraknya bermula dari satu tempat dan melarat memenuhi ruang yang lain. Batangnya berlingkar dan bertembung dengan daunnya yang berlipat lunak. Awan Larat Jawa pula bentuknya lebih kecil daripada Awan Larat Melayu Asli. Daun dan bunganya rapat-rapat. Terdapat banyak bunga dan daun saling bertindih. Bentuk daunnya lurus dan tidak berlipat.

Silang / Kerawang Bunga ukir bentuk ini adalah dalm garis yang bengkang-bengkok. Garisan bersimpangsiur seumpama akar yang berlegar. Ukiran corak ini biasanya terdapat dalam bentuk papan tebuk tidak silat.

Awan Bentuk Huruf Jenis ukiran berbentuk huruf yang dimaksudkan ialah huruf-huruf dalam al- Quran. Ukiran ini biasanya banyak terdapat di masjid.

Awan Jenis Larik Awan jenis Larik berbentuk gerlang-gerlang pada batang bulat. Keindahan jenis ini terletak pada gerlang yang berkala dan tersusun. Ukiran ini biasanya terdapat pada tongkat, tiang-tiang ulu senjata dan sebagainya. Kebanyakannya mempunyai dua jenis larik.

Awan Jenis Simetri Awan jenis simetri biasanya terdapat dalam bentuk geometri Islam, misalnya corak swastika. Awan jenis ini biasanya terdapat di masjid atau mimbar.

Pengaruh Motif Corak Ukiran Tradisional Motif ukiran kayu secara langsung dipengaruhi unsur-unsur alam sekitar dan cara hidup masyarakat zaman dahulu. Adat resam, kepercayaan, agama, iklim, geografi dan persekitaran amat kuat pengaruhnya kepada pengukir. Antara pengaruh yang dimaksudkan ialah unsur tumbuh-tumbuhan, unsur makhluk hidup, unsur kaligrafi, unsur geometri dan unsur kosmos.

Unsur Tumbuh-Tumbuhan Unsur ini biasanya diambil daripada tumbuhan yang menjalar. Antara tumbuhan yang paling popular di kalangan pengukir ialah jenis kacang, labu, ketubit, ketam guri, salad, bunga lawang, bunga raya, bunga cina dan sebagainya. Unsur ini merupakan unsur yang dominan dalam rekaan seni ukir tradisional.

Unsur Makhluk Hidup Unsur ini kebanyakannya dipengaruhi oleh semangat dan kepercayaan. Pada zaman pengaruh Hindu, unsur-unsur seperti kepala burung, ayam, itik dan naga sangat disukai oleh pengukir. Setelah kedatangan Islam, pengaruh ini semakin berkurangan. Ukiran unsur makhluk hidup banyak terdapat pada kapal atau perahu nelayan di pantai timur.

Unsur Kaligrafi Setelah kedatangan Islam di Tanah Melayu, unsur kaligarfi Jawi dan ayat al-Quran mula diukir oleh pengukir-pengukir tempatan. Unsur kaligrafi ini digabungkan dengan unsurunsur tumbuh-tumbuhan.

Unsur Geometri Unsur ini dikenali sebagai tumpal. Unsur ini mempunyai kaitan dengan unsur geometri Islam. Pola-pola geometri disusun berulang-ulang.

Unsur Kosmos Unsur ini menggambarkan alam semesta seperti matahari terbit, bintang, bulan dan gunung-ganang. Ukiran seperti ini banyak terdapat di tebar layar rumah-rumah Melayu Trasidional.

Bentuk Ukiran
Dalam memahami karya ukiran kayu, kita perlu melihat jenis ukiran tersebut. Ada tiga jenis ukiran yang umumnya diperoleh di tanah air kita ini. Ukiran yang menjadi rujukan adalah dari Pantai Timur dengan tumpuan kepada ukiran Kelantan dan Terengganu. Ini adalah kerana artifak ukiran kayu masih lagi disimpan dan dijaga dengan baik serta penghasilan ukiran kayu mengikut reka bentuk tradisi masih diamalkan dan dihasilkan di sana. Ianya adalah suatu hasil kerajinan tangan dan kesenian yang masih bertahan. Barangan kegunaan harian daripada kayu dan senibina tradisi masih lagi kelihatan, baik yang lama mahupun yang baru.Tiga jenis ukiran yang dimaksudkan ialah: Ukiran Panel Ukiran panel adalah panel dinding kayu yang terdapat pada senibina rumah tradisional yang merupakan hiasan dua dimensi.Ukiran panel ini mempunyai panjang dan lebar yang pelbagai dan ketebalan yang seragam mengikut ketebalan dinding.Panel ini diukir dengan teknik tebuk tembus atau tebuk separuh/ tebuk timbul. Teknik ukiran kedua-duanya boleh dikemaskan dengan silatan ukir seperti silat belah rotan, silat sodok, silat bunuh juring dan sebagainya. Panel berukir biasanya tidak digunakan bersendirian tetapi dipadankan dengan elemenelemen lain seperti panel kosong, jendela, pintu dan lubang angin. Elemen ini digubah dengan begitu teliti sehingga mencapai suatu reka bentuk komposisi dinding yang begitu indah dan tidak jemu mata memandang.

Ukiran panel ini digubah diukir dengan motif dalam bentuk lingkaran (spiral) yang bergelar Awan Larat. Permulaan reka bentuk ukiran disebut punca dan dari punca inilah gubahan ukiran akan keluar dalam bentuk lingkaran hingga memenuhi ruangan panel yang hendak di ukir. Punca ukiran ini adalah benih umpama semua yang bernyawa bermula dengan benih baik tumbuhan, haiwan ataupun manusia. Panel ukir ini berfungsi tidak hanya sebagai hiasan kepada dinding rumah tetapi mengandungi makna yang lebih daripada itu. Panel ukir ini ibarat gunungan atau pohon budi atau pohon hayat pada persembahan wayang kulit yang membawa lambang kehidupan seperti juga tree of life dalam banyak budaya lain di dunia. Ini adalah kerana motif yang dihasilkan walaupun tumbuhan asasnya, tetapi bukanlah suatu pohon sebenar yang boleh dilihat di dalam alam semulajadi. Ia adalah suatu perlambangan yang membawa maksud tentang kewujudan pencipta alam ini yang maha berkuasa dan maha agung. Setiap tampak dinding bangunan atau rumah tradisi ini berbeza walaupun nampak serupa. Ia ditentukan oleh banyak faktor termasuk saiz tampak, bilangan pembukaan pintu, tingkap dan kedudukan panel berukir pada tampak bangunan. Panel-panel dinding ini selain dari mempunyai motif tumbuhan ia juga dizahirkan dengan motif khaligrafi, kosmos dan geometri. Motif motif ini adalah penghayatan pengukir tentang apa yang diperhatikan sekeliling mereka dengan panduan kepercayaan dan agama. Jelas di sini agama Islam menjadi asas pembentukan jiwa dan tercetuslah ilham rupa seni ukir kayu daripadanya. Jenis tumbuhan yang diilhamkan termasuklah tumbuhan rumput rampai, tumbuhan di air, tanaman herba dan ulam-ulaman, bunga-bungaan dan pohon buahbuahan Motif tumbuhan menggabungkan unsur-unsur pokok seperti punca, batang, sulur daun, putik, bunga, dan buah. Walau bagaimana pun karya tumbuhan yang terhasil bukanlah seperti asli tumbuhan yang boleh diperolehi dari alam sekitar pengukir. Ini adalah kerana jika diteliti pohon ciptaan ini berlainan dengan pohon yang asli. Dalam satu pohon tersebut digabungkan dua atau tiga unsur/elemen dari pohon lain menjadi satu. Ini bertujuan supaya ciptaan pengukir itu tidak serupa dengan apa yang diperolehi dalam alam semula jadi. Pegangan, asas, prinsip dan panduan ini diselitkan dalam setiap hasil karya panel ukir. Motif khat dalam ukiran kayu biasanya dihadkan kepada kedudukan yang tinggi seperti di atas dipintu, dipintu gerbang dan bahagian atas dinding rumah. Ia dirancang sejadi dengan pembinaan rumah dan bukan diadakan sebagai elemen hiasan tambahan. Oleh sebab khat ini biasanya ayat Al Quran maka kedudukannya yang tinggi dan di atas penting. Makna ayat Al Quran ini penting sebagai pelindung, pendinding dan penjaga penghuni rumah supaya selamat, sejahtera dan bahagia aman damai dan harmoni seisi keluarga.

Motif geometri atau abstrak pula berasaskan bentuk segitiga, segiempat dan bulat. Bentuk asas ini diolah dan digubah menjadi motif kompleks seperti bentuk s, relung, gulung, simpulan, silangan,swastika, jalinan, jala berliku,bentuk t, serong dan sebagainya. Bentuk geometri sangat digemari sebagai motif tebuk tembus dan ditemui pada lubang pengudaraan atau jejala angin di bahagian atas dinding, bangunan, pagar musang dan panel dinding. Panel-panel ukir ini secara lahiriahnya bertujuan untuk pengudaraan, pencahayaan, dan keindahan senibina bangunan. Pengudaraan tetap dirasakan walaupun ketika cuaca kurang baik yang tidak memungkinkan jendela dibuka tetapi panel pengudaraan menjadi penyaman udara. Pencahayaan pula membantu keadaan rumah Melayu yang asalnya gelap kerana penggunaan kayu cengal yang akan gelap kehitaman bila dimamah usia. Keindahan pencahayaan terserlah dengan ukiran tebok tembus sebagai pembayang bila waktu siangnya dari dalam kerana matahari dan waktu malamnya dari luar kerana terang pelita atau lampu. Di negeri-negeri Pantai Timur panel dinding dibina dalam konsep pasang siap seperti perabut yang dipopularkan semula kini pada bangunan konkrit. Bila kesemua empat tampak dinding bangunan telah siap dipasang barulah ia dibawa ke tapak untuk didirikan. Pemasangan adalah dalam konsep tanggam tebuk- pasak tanpa paku bagi membolehkan ia dibuka dan dirombak jika perlu. Ukiran Arca Ukiran arca pula ialah semua alatan dan artifak kegunaan masyarakat Melayu yang berbentuk tiga dimensi dan boleh digunakan bersendirian tanpa perlu sokongan elemen lain. Ini termasuk sekecil-kecil objek didapur seperti sendok, sudip, sarang putu, sengkalan, tapisan hingga kekukur kelapa. Alatan rumah biasanya berukir seperti almari pakaian, cermin muka, pengadang/ skrin ruang, penyidai pakaian, peti dan cepu kayu. Masyarakat Melayu sama ada menjadi petani atau nelayan sebagai cara kehidupan mereka mempunyai alatan daripada kayu. Pengangkutan nelayan kelaut seperti perahu nelayan, bangau perahu, okok, caping perahu, pendayung, cepu kelaut dan kotak kelaut semuanya mempunyai ukiran. Manakala didarat pula petani menggunakan tenggala dan igu yang diperbuat daripada kayu berukir, kertok lembu, perunggul, ketam dan kuku kambing juga tidak terlepas daripada air tanggan seorang pengukir. Kegiatan masa senggang dan lapang masyarakat Melayu pula dipenuhi dengan berinteraksi sesama keluarga dan masyarakat dengan bermain congkak dan gasing berukir, memelihara burung dalam sangkar berukir menjerat puyuh dengan jebak puyuh berukir. Kaum wanita pula menjahit, menganyam dan menenun kain dengan alatan daripada kayu yang berukir. Kegiatan ini dengan peralatannya kebanyakan dibuat di bawah rumah atau di serambi dan selasar dalam suasana redup lagi nyaman. Hulu senjata seperti parang, anak wali,kelewang dan pisau juga berukir untuk digunakan sebagai alat membelah, menebas, menghiris, dan menakek. Suasana bersosial masyarakat Melayu berjalan dalam keadaan santai dan penuh kemesraan dan saling hormat-menghormati. Di luar perkarangan rumah pula institusi masjid memainkan peranan sebagai pusat komuniti. Bangunan masjid juga dipenuhi dengan alatan berukir seperti rehal, tongkat khutbah, mimbar, geduk dan kertuk masjid daripada kayu. Selain daripada alatan yang berukir ini keseluruhan masjid dihiasi ukiran pada dinding, jala, angin, pagar musang, tiang, tunjuk langit, nesan bumbung, hiasan meleh/ andam-andam, buah buton dan pintu gerbang. Kemuncak kepada kehidupan harian masyarakat Melayu ialah majlis-majlis dan upacaraupacara yang diadakan untuk menyempurnakan tanggungjawab individu dalam keluarga atau masyarakat dengan adat-adat seperti kelahiran, berkhatan dan nikah kahwin. Semua adat dan tradisi ini dimulakan dengan iringan tepak atau cerana sireh junjung yang berukir dan dibuat bertingkat serta pulut kuning atau pulut semangat berbentuk kun atau gunung yang di persembahkan dalam paha berukir. Berkhatan bagi anak-anak

orang bangsawan dan raja-raja disempurnakan dengan kenaikan berupa burung mitos atau geroda dengan nama-nama seperti Burung Gagak Sura, Burung Belalai, Burung Singa atau Burung Merak Mas. Simbol dan lambang budaya masyarakat Melayu terletak kepada senjata keris. Keris digunakan sebagai penanda waris atau keturunan, lambang kuasa dan adat, senjata melawan musuh dan pelengkap pakaian orang Melayu zaman dahulu. Keris adalah arca berukir paling indah dan berseni dalam seni pertukangan tangan Melayu. Bentuknya yang hebat, gagah, dan berani di diadun dengan indah dan sopan memberi kemantapan kepada suatu lambang yang sangat dihormati. Kenyataan ini diperkuat pula dengan pertukangan yang melibatkan tiga orang pandai tukang iaitu pandai besi, pandai logam halus dan pandai kayu. Tambahan pula tukang yang boleh mengukir hulu dan sarong keris boleh membuat arca berukir dan panel lain tetapi tidak semua tukang yang boleh mengukir panel dan arca lain boleh mengukir keris. Ia memerlukan tahap ketertiban, kebijaksanaan, kefahaman, penghayatan , kepekaan, kemahiran, kehalusan, disiplin, daya tumpu dan kesabaran yang paling tinggi untuk mencapai tahap tersebut. Kematangan ke tahap ini memakan masa yang begitu lama dan biasanya seseorang tukang keris itu digelar adiguru dan pakar didalam bidangnya. Ukiran Larik Kayu larik adalah cara sebatang kayu dihias dalam keadaan berpasangan iaitu bentuk cembung dan cengkung menggunakan pahat berbagai saiz dan alat bindu untuk memutar kayu. Dengan komposisi cembung dan cengkung atau istilah tempatan, jantan dan betina, kayu larik akan menghasilkan suatu gubahan sesuai untuk penggunaan sama ada pada tiang, dalam kedudukan menegak bagi barangan kegunaan harian seperti almari, meja skrin penghadang, penyidai pakaian, pintu gerbang dan mimbar. Dalam posisi mendatar, ia boleh menjadi hulu kepada alatan senjata seperti hulu parang, lembing dan anak wali manakala dalam kedudukannya sebagai penghias atau penyudah alatan, ia menjadi buah butong seperti pada penyudah tunjuk langit di atas atau di bawah bumbung pada tapak alang.

Karya Ukiran Kayu


Karya ukiran kayu di Semenanjung Tanah Melayu yang masih boleh dilihat hingga kini dapat dikenal pasti perbezaannya jika dihalusi. Ukiran yang mempunyai gaya ragaman dan pengaruh yang sama boleh dilihat dengan jelas melalui senibina rumah tradisi Melayu tempatan. Ia boleh dibahagikan mengikut zon-zon berlainan di seluruh Semenanjung seperti di utara, termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, di tengah utara termasuk Perak dan Selangor, di tengah Selatan termasuk Negeri Sembilan dan Melaka, di Selatan iaitu Johor, di Timur iaitu Pahang dan di Timur Laut termasuk Kelantan dan Terengganu. Seni ukiran kayu Melayu melibatkan bahan, tukang dan teknik dalam mengenalinya dengan lebih tepat. Bahan kayu merupakan sumber utama artifak dan barangan masyarakat Melayu kerana sumber kayu yang banyak diperolehi di sekeliling mereka. Malaysia mempunyai hutan hujan tropika yang banyak bagi menyumbangkan berbagai-bagai jenis species kayu bagi kehidupan mereka. Mengenali tukang ialah melalui hasil karya kesenian kayu mereka. Amalan, adab, nilai dan etika serta pegangan mereka terserlah melalui air tangan mereka. Barangan kegunaan harian dan senibina Melayu adalah pencerminan masyarakat terhadap persekitaran, semangat, etika dan nilai budaya Melayu.

You might also like