You are on page 1of 4

SEJARAH BENAR & KRONOLOGI KEMUNCULAN FAHAMAN WAHHABI DI SAUDI ARABIA.

- Fahaman Wahhabi atau Salafiyyah Wahhabiyah ialah suatu aliran pemikiran yg diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab bin Sulaiman bin Ali (1703 Masihi 1792 Masihi) di negeri Najd (Riyadh, Makkah, Saudi Arabia). SEJARAH AWAL MUHAMMAD BIN ABDUL WAHHABI Fahaman ini diperolehi hasil daripada pembelajaran yang singkat beliau dgn beberapa orang guru. Ayah kepada Muhammad bin Abdul Wahhab adalah seorang ulama yang juga Qadhi di dalam Mazhab Hanbali. Ayahnya banyak berkhilaf dengannya kerana Muhammad bin Abdul Wahhab banyak mengambil pandangan yang keras di dalam Mazhab Hanbali serta fanatik kepada Ibnu Taimiyyah Al-Harani & Syeikh Ibnu Qayyim Al-Jauzi. Kemudian pandangan beliau disimpulkan dengan beberapa pengalaman & pemerhatiannya sendiri. Tindakan ini menjadikan beliau lebih agresif daripada Syeikh Ibnu Taimiyyah walaupun keduanya tidak pernah bertemu dalam satu masa. Ini menyebabkan ayahnya begitu kecewa dengan sikap fanatik anaknya Muhammad bin Abdul Wahhab itu. Ayahnya juga pernah menasihati masyarakat pada zaman itu dengan mengatakan : berhati-hatilah kamu dengan kebejatan yang ditimbulkan oleh Muhammad. Lalu ditaqdirkan berlaku apa yang diperkatakan olehnya. Demikian juga abangnya iaitu Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab turut menentang seruan pemikiran adiknya itu. Terdapat 2 objektif Wahhabi : 1. Objektif Zahir : dikatakan kononnya Wahhabi bersifat islah untuk menghapuskan syirik, bidah & pemujaan kepada para wali. 2. Objektif Batin : untuk mendapatkan kuasa politik dan merealisasikan pemikiran songsangnya. Sikap Muhammad bin Abdul Wahhab yang suka memandang salah dan menghukum orang lain akhirnya memakan dirinya apabila fahamannya ditentang oleh ahli keluarga sendiri dan para alim ulama Haramain (Mekah & Madinah). Oleh kerana seruannya bersifat keras maka seruannya kurang mendapat sambutan dikalangan masyarakat. Tambahan pula seruan yang tidak disulami dengan kuasa politik sememangnya lambat mendatangkan hasil. Lalu beliau mula mencari alternatif melalui saluran politik yang ada bagi mencapai misi cita-citanya itu.

USAHA PENYEBARAN FAHAMAN WAHHABI MELALUI KUASA POLITIK Perkongsian politik beliau di peringkat awal dikesan bersama Uthman bin Hammad bin Muammar (Gabenor Uyainah) tetapi gagal kerana fahaman Muhammad bin Abdul Wahhab yang agresif dan keras. Gabenor ini meminta beliau supaya bertoleransi dengan pemikirannya tetapi mereka gagal mencapai kesepakatan. Bahkan mereka berdua bertegang leher. Setelah lapan bulan bersama akhirnya perkongsian politik itu terpaksa dibubarkan. Lalu Uthman bin Hammad telah menghalau Muhammad bin Abdul Wahhab dari Uyainah. Bahkan sebahagian para ahli sejarah menyebut bahawa Gabenor ini juga bercadang untuk membunuh Muhammad bin Abdul Wahhab. Muhammad bin Abdul Wahhab berjaya melarikan diri dan mendapat rakan kongsi politik baru iaitu bersama Muhammad bin Saud.

PERSEPAKATAN BARU DEMI PENYEBARAN FAHAMAN WAHHABI Muhammad bin Saud merupakan penghulu masyarakat Arab Badwi di Dariyyah. Ketika itu Dariyyah merupakan sebuah kawasan terpencil yang terletak di pedalaman Madinah. Persepakatan diantara mereka menghasilkan satu janji setia bahawa Muhammad bin Saud akan mentadbir urusan pemerintahan. Manakala Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab akan mentadbir urusan agama. Pakatan ini menghasilkan satu gerakan ketentaraan yang berpusat di padang pasir negeri Najd secara rahsia dari Kerajaan Islam Uthmaniyyah. Sebagaimana yang kita tahu bahawa Kerajaan Uthmaniyyah berpegang kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah Al-Asyairah Al-Maturidiyyah. Imam Muhammad Abu Zahrah menjelaskan : Fahaman Wahhabi bukan sekadar berkisar pada dakwah semata-mata. Bahkan mereka menghunus pedang untuk memerangi golongan yang menentang gerakan mereka. Golongan yang menentang mereka dianggap sebagai golongan mungkar (sesat) yang wajib diperangi. Pakatan mereka akhirnya membuahkan hasil yang dihajati. Pakatan mereka mendapat harta yang melimpah ruah hasil daripada serangan dan serbuan yang dilakukan bersama pengikut mereka terhadap suku-suku Arab Badwi dan Kota-Kota yang berhampiran yang didakwa telah melakukan amalan bidah, syirik dan khurafat. Harta itu kemudiannya dibahagikan sesama mereka sebagai harta ghanimah (harta rampasan perang). Tidak cukup dengan itu, pakatan mereka secara kemuncaknya melancarkan peperangan terhadap Kerajaan Uthmaniyyah dengan beberapa siri peperangan yang

dahsyat hampir 200 tahun lamanya dengan mengorbankan beribu-ribu nyawa ummat Islam. Seorang Mufti Makkah sebelum jatuhnya Makkah ketangan Wahhabi iaitu Syeikh Ahmad Zaini Dahlan ada menceritakan : Tatkala wafatnya Syarif Surur pada tahun 1202H, golongan Wahhabi meminta izin untuk memasuki Makkah bagi menunaikan haji. Tetapi tidak diizinkan oleh Syarif Ghalib sebagai pengganti Syarif Surur sebagai penguasa Makkah. Tindakan ini mengundang kemarahan golongan Wahhabi, lalu kedua pihak mempersiapkan bala tentera masing-masing. Akhirnya tercetus pertempuran yang dahsyat diantara kedua golongan daripada tahun 1205H-1220H sehingga golongan Wahhabi Berjaya memasuki Makkah setelah Kerajaan Makkah tidak berkeupayaan menyekat kemaraan mereka. Sebelum mereka menawan Makkah dan Madinah, pada tahun 1217H, golongan Wahhabi menyerang Thaif dan qabilah sekitarnya. Mereka membunuh orang-orang tua, kanak-kanak, hamba sahaya, tetuan, kecuali mereka yang dipanjangkan usianya oleh ALLAH SWT. Mereka menyembelih bayi di atas dada ibunya, merampas harta benda, memperhina wanita dan melakukan perkara yang sukar diungkapkan. Peperangan diantara Kerajaan Uthamaniyyah dan gerakan Wahhabi berlarutan sehingga pengasas fahaman ini Berjaya dihapuskan oleh pihak Kerajaan Islam Uthmaniyyah. Akan tetapi perjuangan gerakan ini diteruskan pula anak cucu mereka. Senario ini berlarutan sehingga runtuhnya empayar Islam Uthmaniyyah dan menjelmakan pemerintahan Bani Saud di Hijaz, iaitu kawasan yang merangkumi Makkah, Madinah, Thaif dan kawasan sekitarnya yang kini disebut sebagai Negara Arab Saudi pada Tahun 1930 dengan restu kerajaan British. Kini Keturunan Muhammad bin Abdul Wahhab yang mewarisi kesinambungan autoriti agama di Arab Saudi dikenali sebagai Aali Syeikh.

DIANTARA KEZALIMAN TENTERA WAHHABI Kezaliman Wahhabi juga diungkapkan oleh Sejarahwan Wahhabi sendiri iaitu Syeikh Uthman bin Basyar An-Najd Al-Hanbali di dalam buku karangan beliau Unwan Al-Majdi fi Tarikh An-Najdi. Diantara kezaliman mereka ialah : Muharram 1220H (1805M) tentera Wahhabi membunuh ummat Islam yang menunaikan ibadah haji. Kaum Ibu dipaksa menjual harta milik masing-masing untuk menebus kembali anak-anak mereka yang masih kecil yang ditangkap oleh tentera Wahhabi.

Penduduk Makkah kelaparan kerana sekatan ekonomi yang dilakukan oleh tentera Wahhabi sehingga kanak-kanak mati kelaparan dengan bergelimpangan mayatmayat mereka. Tentera Wahhabi menjual daging-daging keldai dan bangkai kepada penduduk Islam dengan harga yang tinggi dalam keadaan penduduk kelaparan. Bukti-bukti ini jelas menunjukkan kezaliman tentera Wahhabi bukanlah suatu omongan kosong atau fitnah. Sebaliknya ianya adalah suatu fakta sejarah yang dinukilkan oleh tokoh-tokoh Ulama Sunni yang diperakui dan turut dibentangkan oleh sejarahwan Wahhabi sendiri.

FAHAMAN WAHHABI MENCETUSKAN WUJUDNYA KUMPULAN RADIKAL TERRORISME. Tindakan gerakan Wahhabi menggunakan sejata bagi memerangi ummat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka merupakan satu bukti kukuh bahawa fahaman radikal penyumbang terbesar kepada kegiatan terrorisme agama. Tidak hairan, jika modus operandi Al-Qaeda, Taliban, Jamaah Islamiyyah dan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) dilihat mempunyai persamaan dengan gerakan Wahhabi. Ini kerana kesemua mereka berasaskan kepada satu method akidah, satu fahaman dan gerakan nekad untuk menubuhkan Negara Islam mengikut acuan mereka sendiri seperti yang dilakukan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab di Saudi Arabia (Najd). Maka berhati-hatilah dengan fahaman yang semakin merebak kini. Wallahu alam.

Fakta ini saya petik daripada buku berjudul : SIAPAKAH SEBENARNYA WAHHABI? karangan Al-Fadhil Ustaz Zamihan Al-Ghari Hafizahullah. (seorang pendakwah yang aktif mempertahankan AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH di MALAYSIA daripada fahaman WAHHABI, SYIAH dan lain-lain). Ada sedikit editing dilakukan oleh saya di dalam olahan bahasa di atas bagi memudahkan faham para pembaca yang budiman. Moga fakta ini bermanfaat buat kita semua. Assalamualaikum Wrh Wbr.

You might also like