You are on page 1of 7

C.

KEMAHIRAN BEREMPATI

Islam amat menekankan umatnya memiliki sifat empati melalui pelbagai panduan dan galakan.Malah lebih tinggi nilai dirinya kerana berkait rapat dengan keimanan seperti sifat ithar. Antaranya Allah menyebut dalam Surah al-Dahr mengenai golongan Abrar (yang berbuat kebaikan) dan kenikmatan kekal disediakan baginya. Antara sifat mereka ialah memberi makan kepada orang miskin, anak yatim dan yang dalam tahanan walaupun mereka memerlukannya.

Menurut kamus dewan edisi ke-4, empati (mpati) bermaksud daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain: kemahiran bahasa, pengetahuan tentang masyarakat yg dikaji, dan rasa ~ terhadap masyarakat tersebut telah mengubah bentuk penulisan Sejarah Asia Tenggara; perkembangan sifat ~ terhadap orang yang menghadapi masalah dadah. Empati merupakan suatu kebolehan untuk merasai dan mengaitkan terhadap pemikiran, emosi ataupun pengalaman orang lain. Empati adalah melebihi simpati, di mana ianya merupakan kebolehan untuk memahami dan menyokong orang lain dengan perasaan belas kasihan dan sensitiviti. Menyampaikan emosi secara empati ditakrifkan sebagai untuk memahami apa yang sedang dirasai oleh orang lain (Duan, 2000; Duan & Hill, 1996; Goleman, 2006), kebolehan untuk berkongsi emosi secara aktif dengan orang lain dan mengalami perasaan orang lain secara pasif supaya menjadi lebih efektif (Kellett, Humphrey, & Sleeth, 2006).

Empati merupakan kebolehan seseorang untuk menghargai apa yang dihadapi oleh orang lain ( Barbuto & Wheeler, 2006). Pemimpin berkhidmat berusaha untuk memahami dan bersikap empati terhadap orang lain. Mereka menerima dan mengetahui bahawa setiap individu mempunyai semangat dan keinginan yang berbeza. Setiap individu mahu kehebatan diri mereka diterima dan dihargai. Oleh itu, pemimpin perlu memahami kehendak kakitangan yang mahu diri mereka dihargai dan diiktiraf sebagai manusia yang ada kekuatan dan kelemahan diri.

Dalam dunia pendidikan, empati, baik untuk guru dan murid, semakin diperlukan dalam mencapai kejayaan dalam proses pembelajaran . Jika kita mempunyai persoalan tentang karakter pelajar yang berjaya, banyak ahli psokologi pendidikan menjawab: berpengetahuan, mampu menentukan diri sendiri, strategi dan empatik (Jones, 1990).Empati merujuk Jones (1990), penting kerana para professional yang berjaya dalam setiap bidang menunjukkan kemampuan komunikasi yang efektif dalam kerjayanya. Mereka juga mampu memandang diri

sendiri dan dunia dari sudut pandangan orang lain. Ertinya mereka mampu meniliti dan menilai keadaan orang lain dengan berpegang kepada tujuan mengembangkan pemahaman dan penghargaan.

Seterusnya, guru perlu menyelami dan menghayati diri murid tersebut. Guru perlu memahami bahawa setiap insan yang dilahirkan mempunyai karakter berbeza-beza dan perjalanan hidup yang tidak sama. Segala-galanya merupakan ketentuan daripada pencipta. Sebagai guru, adalah sangat penting untuk guru menyelami jiwa murid supaya guru sendiri dapat merasakan bagaimana dirinya jika berada di pihak murid tersebut. Hal ini penting kerana kadangkala masalah-masalah yang berlaku adalah disebabkan oleh faktor persekitaran murid tersebut. Contohnya, faktor keluarga yang berbalahan, faktor kemiskinan, faktor kekurangan perhatian dan kasih sayang dan sebagainya. Guru harus berfikir dengan wajar bahawa kadangkala masalah yang berlaku bukanlah sepenuhnya berpunca daripada diri murid tersebut. Sikap memahami ini sangat penting untuk melahirkan perasaan empati dalam diri seorang guru.

Selain itu, sikap empati yang perlu ada pada seorang guru adalah menjaga hati muridnya. Seorang guru itu perlu bijak dalam melaksanakan satu hukuman supaya tidak menjatuhkan maruah murid tersebut. Berkisarkan filem Cikgu Limau Kasturi yang pernah ditayangkan dalam rancangan televisyen tempatan, kita dapat melihat bagaimana seorang guru bijak mengawal perasaan marah dalam kelas walaupun seorang murid nakal membaling

kertas ke arahnya ketika dia menulis di papan hitam. Guru tersebut telah memanggil pelajar tersebut kehadapan namun dia tidak memarahinya tetapi dia memberi satu nasihat yang menyebabkan murid tersebut insaf dan menjadi semakin rapat dengan guru.

Jika kita lihat situasi dalam arena pendidikan kebangsaan pada masa kini, terdapat sesetengah guru yang melakukan eksplotasi terhadap muridnya. Tugas yang berat dan menyiksa murid merupakan salah satu tanda rendahnya empati seorang yang insan yang bergelar pendidik. Contohnya, pada 25 Januari 2014, satu insiden telah menggegarkan arena pendidikan kebangsaan, tindakan seorang guru lelaki di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng, telah melayan dua orang muridnya seperti seekor lembu dengan memaksa murid-murid tersebut memakan rumput. Berdasarkan kepada situasi ini, kita dapat lihat betapa rendahnya sikap empati guru tersebut. Tindakan itu bukan sahaja menimbulkan reaksi negatif dalam kalangan penjaga terhadap guru Pendidikan Malaysia. malah memberi tempias kepada Kementerian

Di samping itu, semasa memberi bimbingan kepada murid, seorang guru itu perlu menerima dan menyokong murid sama ada dengan perlakuan atau perkataan yang dilakukan. Seorang guru perlu mencari kekuatan dan aset positif dalam diri murid. Lebih jelas dan kukuh perkara ini didefinasikan sebagai memilih aspek positif dalam penceritaan murid dan aspek positif dalam pernyataaan murid. Ini penting kerana perkara ini sebagai satu asas kepada empati yang efektif semasa mendengar permasalahan murid. Sebagai contoh guru meminta muridnya yang menderita kemurungan atau bermasalah bercakap mengenai masalahnya. Pada masa yang sama guru tersebut terus mencari kekuatan dan juga sikap positif yang ada dalam diri murid tersebut.

Seterusnya, perasaan empati dapat dilahirkan melalui perasaan kasih sayang seorang guru kepada murid. Guru perlu menanam sikap sayang kepada murid-muridnya. Guru yang baik adalah guru yang menganggap murid sebagai anaknya sendiri. Guru tidak boleh berasa benci kepada murid-muridnya atas kesalahan mereka seperti tidak menyiapkan kerja sekolah, murid ponteng sekolah, murid suka membuli, dan sebagainya. Kewujudan sikap kasih sayang ini akan menyebabkan guru mengambil berat kepada murid-murid. Seperti dalam kehidupan seharian, kita akan mengambil berat tentang orang-orang yang kita sayangi. Sebagai seorang pendidik, perasaan sayang kepada murid-murid sangat perlu supaya kita dapat melahirkan perasaan empati untuk membantu murid-murid yang memerlukan bimbingan.

Selain itu, untuk melahirkan rasa empati, guru perlu menganggap tanggung jawab sebagai seorang pendidik merupakan amanah besar daripada Allah dan akan dipersoalkan kelak. Oleh itu, guru akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan tanggung jawabnya. Tanggung jawab yang dipikul meliputi segala aspek sama ada mengajar, mendidik dan membentuk peribadi murid-murid. Kesedaran akan tanggung jawab yang besar ini akan melahirkan perasaan empati dalam diri guru. Guru pasti akan mengambil sesuatu masalah yang dihadapi oleh murid sebagai tanggung jawab yang besar dan perlu dibantu.

Untuk melahirkan perasaan empati, sikap ikhlas perlu ada dalam diri seorang guru. Guru harus mengikhlaskan hatinya untuk membantu murid-murid. Guru perlu menanamkan rasa ingin membantu murid , ingin melihat perkembangan murid, dan ingin melihat kejayaan dalam diri murid. Guru perlu mengubah persepsi bahawa seorang murid yang cemerlang haruslah berjaya dalam bidang akademik semata-mata. Pembangunan sahsiah dalam diri murid adalah perkara

utama yang seharusnya menjadi ukuran guru. Sifat empati dalam diri guru dapat dilahirkan melalui keikhlasan hati dalam mendidik.

Akhir sekali, sebagai seorang guru, kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan rasa empati terhadap murid-murid. Kita harus menanamkan dalam diri bahawa murid merupakan amanah terbesar daripada Allah kepada kita. Setiap amanah pasti akan dipersoalkan kelak. Seorang guru yang berempati tidak akan memandang remeh akan setiap masalah yang dihadapi oleh murid walau sekecil apa pun masalah tersebut. Hal ini kerana setiap manusia tidak mempunyai tahap ketabahan dan kesabaran yang sama. Oleh itu, sebagai guru, adalah menjadi tanggung jawab untuk kita membantu murid-murid yang memerlukan bimbingan dan perhatian supaya akan lahirlah generasi yang sihat dari segi mental, sahsiah intelek dan fizikal. Kita haruslah rasa bersyukur jika murid memilih kita sebagai saluran untuknya meluahkan perasaannya kerana hal ini menunjukkan bahawa kita merupakan seorang guru yang dipercayainya.

E. REFLEKSI

Semester ini, saya telah mengikuti kursus Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak (EDU 3107). Bimbingan dan kaunseling adalah sesuatu yang sangat penting di sekolah dalam melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).

Dalam tugasan ini, saya perlu menyediakan cara-cara untuk mengaplikasikan teori-teori yang telah dipelajari melalui kajian kes. Selain itu, saya juga perlu mengolahkan caracara untuk melahirkan sikap empati dalam diri guru. Tidak dapat dinafikan bahawa kerja kursus ini adalah sangat menarik perhatian saya. Dengan ini, saya mendapat peluang untuk mengkaji teori-teori kaunseling yang berguna. Saya juga berharap saya dapat memahami lebih banyak maklumat tentang khidmat bimbingan & kaunseling supaya menggunakan pada pelajar-pelajar masa depan. Kekuatan Antara kekuatan yang saya perolehi melalui tugasan ini ialah saya dapat mengaplikasikan teori-teori yang telah saya pelajari. Sejujurnya, saya sangat berminat untuk mendalami semua teori-teori dalam psikologi. Melalui tugasan ini, saya dapat merangka sendiri langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah melalui teori-teori yang telah saya kaji. Saya mengambil masa yang sangat lama untuk menyiapkan bahagian pengaplikasian teori tingkah laku. Namun begitu, saya sangat yakin bahawa langkah-langkah yang telah saya hasilkan untuk membantu menyelesaikan kes murid tersebut adalah rasional dan boleh diguna pakai.

Melalui tugasan ini, saya dapati bahawa kepentingan seorang guru untuk menguasai teknik-teknik dan kemahiran-kemahiran dalam kaunseling adalah sangat penting. Tugasan ini telah banyak menambahkan ilmu saya di dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling. Saya mendapat banyak kesedaran akan tangungg jawab-tanggung jawab yang perlu dilaksanakan sebagai seorang guru. Kesedaran ini adalah sangat penting untuk melahirkan seorang guru yang berkualiti. Saya juga akan mengaplikasikan cara-cara guru melahirkan rasa empati yang telah saya hasilkan sendiri.

Kelemahan Kesulitan yang dihadapi semasa melaksanakan tugasan ini adalah kekurangan pengalaman dalam mengendalikan kes. Sebagai guru praktikum, saya masih belum banyak pengalaman dalam mengendalikan kes-kes disiplin di sekolah, Kekurangan pengalaman ini menjadikan saya sedikit risau sekiranya cara-cara saya mengendalikan sesuatu kes itu tidak menepati prinsip-prinsip kaunseling. Sesungguhnya pengalaman adalah sesuatu yang penting untuk menyelesaikan sesuatu kes disiplin.

Selain itu, kekurangan maklumat juga antara kesukaran yang saya hadapi semasa melakukan tugasan. Saya kekurangan maklumat daripada segi pengaplikasian kes dengan menggunakan teori tingkah laku. Pada awalnya, saya juga tidak mempunyai idea tentang cara-cara mengendalikan kes dan menyelesaikannya. Segala persoalan ini bagi saya amat membebankan dan merisaukan saya.

Penambahbaikan

Banyak cara- cara yang telah saya lakukan untuk menyelesaikan segala masalah yang saya hadapi. Masalah kekurangan pengalaman ditangani dengan bertanya kepada guru-guru di sekolah tentang pengalaman-pengalaman mereka mengendalikan kes disiplin. Saya mendapat banyak maklumat tentang cara-cara menghadapi dan menyelesaikan kes melalui sesi perbincangan bersama guru-guru di sekolah . Selain itu, masalah kekurangan maklumat ditangani dengan memperbanyakkan lagi bahan bacaan. Saya memperbanyakkan lagi sumber-sumber rujukan iaitu melalui melayari internet, merujuk buku-buku ilmiah dan juga merujuk jurnal berwasik seperti yang telah dicadangkan oleh pensyarah. Melalui kaedah ini, segala persoalanpersoalan yang membebankan dan merisaukan saya dapat diselesaikan dan saya mula berasa senang hati untuk melakukan tugasan ini.

BIBLIOGRAFI Choong Lean Keow Phd. (2010). Bimbingan Dan Kaunseling Kanak-Kanak : Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian Institut Pendidikan Guru Malaysia. Subang Jaya, Selangor: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.. Dr. Zainal Abidin Ahmad dan Prof Madya Dr . Wan Abdul Kader Wan Ahmad (2008), HBEF 2203 Bimbingan dan Kaunseling. Seri Kembangan, Selangor: Meteor Doc Sdn Bhd. Kamus Dewan. (2002). Edisi Ketiga. Cetakan ke Tujuh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mok Soon Sang (2002), Bimbingan Dan Kaunseling Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3 & 4. Kuala Lumpur: Percetakan Sentosa (K.L.) Sdn. Bhd. Mok Soon Sang (2010),Bimbingan Dan Kaunseling Kanak-Kanak. Puchong, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd. SureshKumar N Vellymalay (2011). Jurnal Pendidikan Malaysia :Sikap dan Tingkah Laku Remaja Terhadap Pembelajaran di Sekolah:Satu Kajian Kes di Rumah Kanakkanak, 36(2), 25-32. http://www.slideshare.net/HazelBug/nota-ringkas-bimbingan-dan-kaunseling http://bimbingandankaunselingipg.blogspot.com/2010/01/matlamat-dalambimbingan.html . http://www.slideshare.net/eaglered007/teori-dan-amalan-kaunseling

You might also like