You are on page 1of 1

Definisi Pengayaan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 693) mentakrifkan pengayaan sebagai perihal (usaha, proses, dsb)

mengayakan, misalnya mengayakan atau meluaskan kosa kata. Pengayaan merupakan aktiviti tambahan kepada aktiviti asas pembelajaran yang dilakukan sama ada semasa sesi persekolahan atau di luar waktu persekolahan. Mok Soon Sang (1990: 55) pula menjelaskan bahawa aktiviti pengayaan disediakan untuk semua murid di dalam kelas, sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, sama ada dalam kumpulan cerdas, sederhana, atau lambat. Menurutnya lagi, melalui aktiviti pengayaan, murid-murid akan dapat memperluas pengalaman dan pengetahuan sejajar dengan kebolehan dan minat mereka dalam sesuatu bidang pelajaran tertentu. Justeru, tujuan program pengayaan adalah untuk memperluas pengetahuan dan pengalaman di samping memperkukuh kemahiran yang sedang dipelajari. Penglibatan murid-muird dalam aktiviti ini membolehkan mereka mengembangkan lagi sifat ingin tahu, minat, kreativiti, sikap berdikari dan bakat kepimpinan serta melibatkan diri dalam membuat sesuatu keputusan untuk diri sendiri, kumpulan, dan masyarakat. Aktiviti tambahan kepada aktiviti asas pembelajaran yang mengandungi unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari. Program pengayaan dirancang dan disediakan untuk membolehkan murid mendapat pengalaman dan pengetahuan yang berbagai-bagai berdasarkan aktiviti yang sesuai dengan kebolehan dan keupayaan mereka. Selain itu, aktiviti-aktiviti ini juga boleh memperkayakan dan memperkembangkan daya kreativiti murid kerana program ini memberi peluang dan merangsang murid menggunakan daya pemikiran mereka, sesuai dengan minat dan kemahiran yang telah mereka kuasai.

You might also like