Professional Documents
Culture Documents
Diraikan Puan Sri Datin Mazlilah bt Ahmad Mansor, Pengetua SMK Bandar Tun Hussein Onn2. Yg. Berbahagia Selangor. .. Pegawai JPN,
Yg. Berbahagia .. Pegawai PPD, Daerah Hulu Langat. Yg. Berusaha YDP PIBG SMK Bandar Tun Hussein Onn 2. Yg. Dihormati Pegawai-pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat, Pengetua-pengetua dan Guru-guru Besar, Barisan Penolong Kanan, Difdif jemputan, AJK PIBG, Guru-guru, Tuan-tuan dan Puan-puan serta rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Assalammualaikum wbt, Selamat Sejahtera dan Salam Satu Malaysia. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberi saya peluang untuk berucap sepatah dua kata sempena majlis persaraan Puan Pengetua yang kita sayangi dan sanjungi. Sebagai wakil murid SMK Bandar Tun Hussein Onn 2, Cheras, saya ingin merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berbahagia Pn Sri Datin Mazlilah bt Ahmad Mansor atas sumbangan beliau sebagai seorang pendidik dan Pengetua di SMK Bandar Tun Hussein Onn2 (SMK BTHO2), Cheras. Sesungguhnya, di bawah kepemimpinan Puan Pengetua, prestasi cemerlang PMR, SPM dan STPM SMK BTHO2 telah dapat dipertingkatkan. Bermula dari tahun 2008, peratus lulus semua mata pelajaran PMR dari 84.48% telah berjaya ditingkatkan setiap tahun sehingga kepada 90.70% pada tahun 2013. Sementara peratus kelulusan SPM sentiasa meningkat dari 91.1 % pada tahun 2008 kepada 96.7 % tahun 2012. Begitu juga dengan peratus kelulusan di peringkat STPM yang mana pada tahun 2008 mencapai 98.1% dan kekal dalam
lingkungan 90 % ke atas sehingga tahun 2012. Alhamdulillah, kejayaan ini amat membanggakan kami, murid-murid SMK BTHO2. Yang pasti kecemerlangan ini akan menjadi pemangkin semangat kepada setiap warga sekolah untuk terus mencapai kebitaraan, kecemerlangan dan keterbilangan pada masa depan. Sebagai pembimbing yang berdedikasi, beliau sentiasa berusaha untuk mencungkil dan mengasah bakat terpendam murid-murid SMK BTHO2. Hasil usaha beliau selama ini telah dapat diterjemahkan apabila pasukan robotik sekolah dan juga pasukan F1 telah mengapai beberapa kejayaan bermula dari tahun 2010 hinggalah sekarang. Pasukan robotik yang baru berusia setahun jagung berjaya menyerlahkan nama SMKBTHO2 pada tahun 2012 dengan menempatkan diri di tangga ke 9 daripada 90 penyertaan dalam seluruh negeri Selangor. Sementara pasukan F1 yang dilahirkan pada tahun 2010 telah berjaya meraih beberapa kemenangan di peringkat negeri dan juga kebangsaan antaranya tempat ke enam peringkat kebangsaan dalam pertandingan vitesse daripada 24 buah penyertaan. Di samping beberapa anugerah seperti Best research and development, Best collaboration team, Best verbal presentation dan juga menduduki tempat kedua dalam pertandingan Fastest Car pada tahun 2013. Murid-murid SMKBTHO2 juga telah berjaya meraih kemenangan dalam beberapa pertandingan ko-akademik dan kokurikulum di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Kejayaan ini hanya dapat dicapai berkat dorongan dan galakan yang diberikan oleh Puan Pengetua dalam bidang kurikulum dan kokurikulum sekali gus meningkatkan imej sekolah di persada pendidikan kebangsaan selaras dengan moto SMKBTHO2, yakni Berdisiplin, Berilmu dan Berwawasan. Pada masa yang sama, Puan Pengetua juga sentiasa mengambil berat tentang sahsiah dan disiplin murid SMKBTHO2. Disiplin murid dipantau selia dengan baik agar SMKBTHO2 menjadi tempat yang selesa untuk sesi pengajaran dan pembelajaran murid-murid. Iltizam dan jasa baik Puan Pengetua akan sentiasa dikenang oleh murid-murid. Sesungguhnya, persaraan beliau merupakan suatu kehilangan besar kepada kami khususnya dan warga sekolah amnya.
Kami, murid-murid SMKBTHO2 senantiasa mendoakan agar Puan Pengetua sihat walafiat dan gembira bersama-sama keluarga yang tersayang di buana persaraan. Segala nasihat dan tunjuk ajar Puan Sri selama ini akan tersemai kukuh di kamar ingatan sebagai bekalan kehidupan kami pada masa depan.
Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga; Hancur badan dikandung tanah, Budi baik dikenang juga.
Akhir kata, We will miss you, Puan Sri. We will always be proud to say that you are our teacher. Cikgu, jasamu dikenang. Dirgahayu, guruku. Sekian, terima kasih.