You are on page 1of 4

Beli atau tempah?

Oleh Siti Nur Almizan Aripin | sitinuralmizan@mediaprima.com.my 2013/07/31 Beli atau tempah? Itu yang sering menjadi tanda tanya dalam benak fikiran apabila raya bakal menjelma. Ada yang berpendapat lebih mudah beli kerana tidak perlu fikir untuk keluar mencari fabrik dan tidak payah pilih tukang jahit. Harga pakaian siap pada masa kini juga ada kalanya lebih murah berbanding pakaian ditempah. Begitu juga dari segi kualiti untuk pakaian siap, jahitannya tetap kemas, tiada cacat-cela, sedap saja mengikut saiz badan. Lebih-lebih lagi, bagi koleksi pakaian berjenama yang diketahui sentiasa menjaga mutu pembuatan dihasilkan. Lebih menarik, pada masa kini, ada pereka terkenal yang turut menawarkan koleksi pakaian siap mereka. Justeru, bagi yang teringin membeli pakaian yang direka cipta pereka idaman, mereka boleh memilikinya pada harga berpatutan. Satu lagi kelebihan membeli pakaian siap, hari ini ia bukan saja boleh didapati di butik, kedai atau pusat beli-belah, tetapi juga boleh dibeli melalui jualan dalam talian. Tanpa bersusah payah keluar dan berjalan jauh ke kedai atau butik serta berebut-rebut dan beratur membayar, pakaian siap kini boleh dibeli dengan hanya hujung jari. Tepat pada masa, pakaian siap dibeli sudah pun berada di depan mata. Lain orang, lain cita rasa Bagaimanapun, bagi segelintir yang lain, baju tempah diakui lebih selesa terutama untuk mereka bertubuh gempal atau terlalu kecil, yang sukar mencari saiz baju siap. Bagi yang terlalu memilih dan inginkan gaya eksklusif atau lain daripada yang lain, pakaian ditempah mungkin lebih sesuai. Malah, mereka boleh memberikan idea dan mungkin mereka cipta sendiri gaya rekaan yang bagaimana diinginkan. Kemudian, suruh saja tukang jahit menyiapkan pakaian berkenaan. Begitu juga bagi yang sukakan hiasan tambahan seperti penambahan manik, labuci, kerawang dan sebagainya, lebih baik menempahnya kerana ia sudah pasti memberikan lebih kepuasan.

Bagaimanapun, semuanya terserah kepada empunya badan. Tepuk dada tanya selera kerana sekarang ini, pilihan baju siap tidak kurang cantik, malahan hasil buatannya juga elok dan kemas. Begitu juga kedai jahit, ada banyak dan terdapat di mana-mana. Cuma, anda perlulah membuat tempahan lebih awal. FAMILI mendapatkan pandangan orang ramai mengenai kecenderungan mereka sama ada ingin menempah pakaian atau beli. Beli lagi mudah Bagi Nur Hashakira Shafie, 24, beliau lebih suka baju yang dibeli siap berbanding tempah. Beli baju siap lebih cepat. Kadang kala, kalau tempah tak kena dengan cita rasa, minta lain, dijahit lain, buat kita sakit hati. Tapi saya akui, kalau pakai baju tempah yang dihasilkan mengikut rekaan seperti kita ingin, tentunya lebih bersemangat hendak sambut raya, katanya. Tahun ini Nur Hashakira yang akan menyambut Aidilfitri di Sungai Petani, Kedah memperuntukkan bajet RM200 untuk membeli baju raya. Bajet bawah RM200 sudah boleh dapat baju seperti diinginkan. Buat masa ini, saya sudah beli sepasang baju untuk diri sendiri, katanya. Ibu kepada dua cahaya mata, Sharifah Yahaya, 33, berkata, beliau lebih suka membeli baju siap kerana pilihan ditawarkan pelbagai. Rasanya sudah lima tahun tidak tempah baju raya. Jadi, setiap tahun, lokasi wajib kami sekeluarga adalah di AEON atau Parkson, kerana pilihan ditawarkan pelbagai, malah suasananya juga selesa, katanya sambil mengakui sudah lama tidak menjengah Jalan Tuanku Abdul Rahman pada musim perayaan. Tahun ini, Sharifah bakal menggayakan baju kurung, jubah berserta blaus yang bakal disuai padan dengan koleksi sedia ada. Buat apa hendak tempah kalau kita boleh beli siap dengan pilihan yang banyak. Tidak berkenan yang A, kita boleh cuba sampai jumpa yang berkenan di hati. Kalau tempah, tapi tukang jahit buat tidak menepati kehendak, tentu sakit hati dan tambah lagi, kain pun rosak, membazir, katanya yang memperuntukkan RM500 untuk persiapan raya diri sendiri.

Kali pertama pakai baju siap Siti Nor Hana Ibrahim, 31, berkata sebelum ini dia memang suka menempah berbanding beli siap kerana ia lebih selesa, mengikut ukuran tepat badan sendiri. Lagi pun menjadi kelaziman kalangan wanita, ingin tampil lain daripada lain terutama pada hari lebaran. Jadi apabila tempah, kita boleh gayakan baju dengan rekaan tersendiri, tidak sama dengan orang lain. Tambah lagi, apabila reka baju raya sendiri dan hasilnya sempurna, ia memberikan kepuasan berganda kepada diri sendiri, katanya. Bagaimanapun, disebabkan terlalu sibuk dengan rutin harian, Nor Hana tidak sempat menghantar kain untuk dijahit tukang jahit kegemarannya tahun ini. Tahun ini kiranya tahun pertama saya raya dengan baju siap. Ikutkan, sebelum puasa, saya sudah beli sepasang dan yang lain hanya baju sedia ada yang akan disuai padan. Cuma baju yang betul-betul niat hendak pakai pada hari raya memang belum beli lagi, katanya. Nor Hana mengaku memang susah hendak mencari baju siap yang selesa potongan dan cantik rekaannya. Justeru, beliau hanya memilih yang serasi supaya berbaloi membelinya. Bukan saya kata baju siap itu tidak elok, tapi apabila perlu bayar sesuatu dengan harga yang lebih tinggi, kita akan jadi teliti dan cerewet, katanya yang meletakkan bajet tidak melebihi RM300 bagi sepasang baju. Serik tempah baju Sementara itu, Hairun Nizah Abdul Syukur, 37, berkata terkena dengan tukang jahit yang tamak mengaut keuntungan pada musim perayaan membuatkan beliau serik menempah baju raya lagi. Dulu saya suka tempah, tapi kali pertama tukar tukang jahit, baju yang dihantar dua bulan awal tidak siap semuanya, malahan kualiti jahitan juga teruk menyebabkan saya memilih untuk membeli. Tapi, biasalah, bila baju siap mesti ada saja yang tidak kena. Macam saya, bahagian badan okey, tapi kainnya pula terlalu panjang dan perlu diubah suai, katanya yang suka gaya yang berbeza pada hari raya. Seperti tahun terdahulu, ibu kepada dua anak perempuan ini memilih untuk menggayakan baju kurung moden.

Saya akan beli apa saja yang cantik apabila raya dan tidak meletakkan sebarang had pada harga. Tahun ini kami sekeluarga sudah membeli persiapan raya dan untuk saya seorang, ada sekitar tiga hingga empat pasang baju baru, katanya yang melepas geram kerana sudah tiga tahun tidak berpeluang beraya sakan kerana mengandung dan bersalin.

INFO: Kelebihan beli siap


Mudah dan menjimatkan masa. Banyak pilihan dari segi warna, saiz, rekaan, fabrik dan harga. Tidak perlu persediaan awal. Boleh beli bila-bila masa.

Kelebihan menempah

Kepuasan kerana menepati bentuk badan sendiri. Boleh hasilkan rekaan mengikut cita rasa sendiri. Boleh jahit warna sedondon untuk satu keluarga. Boleh beli material ikut corak diingini.

Hak Cipta Terpelihara Berita Harian 2012 Emel kami untuk sebarang maklum balas.

You might also like