You are on page 1of 18

PENGURUSAN INTEGRITI DALAM ORGANISASI PENDIDIKAN

1.0 PENGENALAN Sesebuah organisasi yang berintegriti tinggi mampu berdaya saing di peringkat global. Setiap anggota harus digembleng dan diperkasakan bagi membina sebuah masyarakat yang beretika, menghayati erti integriti, bebas daripada amalan rasuah serta amalan negatif yang lain. Kejayaan atau kegagalan usaha-usaha ke arah mewujudkan masyarakat dan budaya kerja individu dan organisasi yang berintegriti, menghayati nilai-nilai murni dan etika kerja yang baik serta cemerlang banyak bergantung pada komitmen, kesungguhan dan keazaman pemimpin serta semua warga organisasi (Mustafar Haji Ali 2005). Sehubungan dengan itu, pelbagai cabaran dan isu yang perlu ditangani dalam memastikan pengurusan integriti di dalam sesebuah organisasi mencapai hasrat yang diharapkan.

Pada tanggal 23 April 2004, Pelan Integriti Nasional atau dikenali sebagai PIN telah dilancarkan oleh Perdana Menteri iaitu YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya. Pelan ini dilancarkan selaras dengan cabaran ke empat Wawasan 2020 iaitu untuk Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur. Pelan ini dibangunkan dengan fokus utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia dan memperbaiki imej Malaysia di arena antarabangsa (Sulaiman 2005). Selaras memenuhi objektif dan tekad PIN, Institut Integriti Malaysia ditubuhkan dan didaftarkan sebagai badan bebas untuk mengkoordinasikan dan memantau pelaksanaan PIN (Institut Integriti Malaysia 2006).

Konsep integriti juga dibincangkan di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010). Menerusi Kerangka PIPP, beberapa komponen asas pembangunan seperti Pelan Integriti Nasional (PIN) diterapkan untuk mencapai strategi bagi mencapai matlamat iaitu

pendidikan berkualiti untuk semua (Kementerian Pelajaran Malaysia 2007). Sifat mulia ini seharusnya dihayati oleh warga pendidik dalam membentuk modal insan kelas pertama. Berdasarkan pendidikan, para pelajar dibentuk menjadi seorang yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian yang mulia, berpengetahuan dan

berkemahiran tinggi dalam membina kemajuan negara. 2.0 INTEGRITI DALAM PENDIDIKAN Integriti dalam pendidikan berkait rapat dengan akauntabiliti . Akauntabiliti merujuk kepada tanggungjawab guru mendidik pelajar dalam pencapaian akademik serta membentuk potensi pelajar secara menyeluruh. Manakala aspek integriti adalah guru melaksanakan tugas dengan amanah, mempunyai ciri keprihatinan, penuh kasih sayang ,tahap ketabahan yang tinggi dan tidak mengambil kesempatan. Dalam konteks pengajaran guru di dalam kelas pula, guru seharusnya mengutamakan kepentingan murid melebihi kepentingannya sendiri. Contohnya, guru memilih tajuk dan kaedah yang sesuai untuk keperluan murid berbanding kaedah yang disukai guru. Guru hendaklah bersikap jujur dan memberi layanan yang adil kepada muridmurid ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Nilai integriti adalah penting dan sewajarnya dihayati semua pihak. Sesebuah organisasi pendidikan, guru atau tenaga pengajar serta kakitangan akademik memainkan peranan dalam mengamalkan budaya integriti dalam tugasan yang dilakukan. Seseorang guru atau tenaga pengajar seharusnya mengikut kod etika perguruan bagi memastikan isu integriti tidak dipersoalkan. Dengan adanya kod etika perguruan, para guru dapat menjaga tingkah laku sebagai seorang guru, memahami dengan jelas etika guru iaitu tanggungjawab terhadap pelajar, ibu bapa, rakan sejawat, masyarakat dan negara, bukannya mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku terhadap pelajar tetapi hendaklah membantu mereka menyelesaikan masalah (Baharin dan Suzana 2010).

Justeru itu, guru atau tenaga pengajar yang berintegriti dan beretika sangat diperlukan dalam dunia pendidikan. Etika dan integriti yang dimiliki seorang guru akan menjadikan beliau itu bertanggungjawab kepada Tuhannya. Guru atau tenaga pengajar diibaratkan lautan yang luas dan pelajar adalah ikan. Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, sebaliknya benih yang

baik jatuh ke darat menjadi gunung. Oleh yang demikian, guru sewajarnya bertanggungjawab terhadap pelajar serta memupuk kerjsama dan permuafakatan dengan ibu bapa dan komuniti setempat bagi merealisasikan misi nasional negara secara ikhlas dan bersifat penyayang.

3.0 MODEL PEMANTAPAN INTEGRITI

Model pemantapan

integriti (IIM 2012) adalah secara meluas dan menyeluruh

iaitu

merangkumi masyarakat sivil, keluarga dan komuniti yang berhubungkait dengan peringkat negara serta masyarakat. Aspek integriti disepadukan dalam pelbagai bahagian kegiatan seperti politik, pentadbiran, ekonomi, agama dan sosiobudaya. Model pemantapan integriti berkaitan dengan gerakan pemantapan integriti yang dizahirkan dalam Pelan Integriti Nasional (2004). PIN yang dilancarkan untuk menggaris tindakan-tindakan yang perlu

diambil bagi meningkatkan integriti di kalangan rakyat Malaysia (Sulaiman 2005) adalah bertujuan seperti berikut :

1. Memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu

padu,berharmoni,berintegriti, bermoral dan beretika

2. Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang. 3. Menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti 4. Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara, dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat 5. Meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke 21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan

Matlamat pemantapan integriti telah disusun dan ditetapkan sasaran menerusi TEKAD 2008 dalam tempoh lima tahun (2004-2008). Terdapat lima sasaran yang telah ditetapkan iaitu: 1. Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan 2. Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah biokrasi 3. Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan 4. Memantapkan institusi keluarga 5. Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat

Selain itu, TEKAD 2008 tidak mengenepikan peranan sektor swasta dalam usaha meningkatkan integriti di kalangan pekerja. Sektor swasta juga wajar meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan supaya usaha membawa pertumbuhan ekonomi secara adil dan saksama di bawah peranan peniaga dan pengusaha negara ini ( Sulaiman 2005) . Oleh itu, setiap komponen atau sektor hendaklah melaksanakan strategi dan program integriti masingmasing selaras dengan pendekatan PIN. Pendekatan umum PIN adalah menggerakkan semua komponen dan sektor negara seperti keluarga, komuniti, masyarakat sivil (pertubuhanpertubuhan masyarakat) supaya menghayati objektif dan matlamat PIN dengan memberikan kerjasama dan berkoordinasi antara satu sama lain untuk meningkatkan integriti. Pelbagai aktiviti pemantapan integriti seperti seminar, ceramah, persidangan, forum, kajian, laporan

dan pertandingan dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia yang dibahagikan berdasarkan sektor pengurusan iaitu sektor awam, swasta,sosiobudaya dan politik (IIM 2012). Di antara aktiviti-aktiviti pemantapan integriti yang dilaporkan di laman web seperti Debat Perdana Integriti Antara IPT 2011 (Fairus 2011) dan Seminar Integriti Warga Pendidik (SIWP) pada 21.2.2011 di kalangan warga pendidik sekolah-sekolah sekitar kawasan Sri Aman dan Lubok Antu di Sarawak .

4.0 DEFINISI Bahagian ini mengemukakan beberapa istilah penting yang digunakan dalam perbincangan berdasarkan tajuk. Ini membolehkan isu yang dikupas menurut kefahaman dan pengertian setiap sesuatu yang dibincangkan. Oleh itu, istilah yang digunakan untuk memahami isu yang ingin dipaparkan. 4.1 Integriti Integriti bermaksud seseorang yang mempunyai peribadi yang utuh, berakhlak mulia, telus, jujur, ikhlas, sabar, berani, berilmu, berakal, beriman, beramal, berhemah, tekun dan bertanggungjawab. Integriti berasal daripada perkataan latin:integer yang bermaksud menyeluruh, sempurna dan kesatuan yang teguh ( Widung dan Fridlund 2003, dalam Jamiah et. al 2006). Di peringkat individu, integriti ialah keselarasan di antara apa yang dikatakan dengan apa yang dilakukan; keselarasan di antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum, dengan erti kata lain apa yang dilakukan individu itu pula tepat dan bermutu (Sulaiman Mahbob 2005).Selain itu, integriti organisasi melalui perumusan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika organisasi ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi ( Sulaiman 2005). 4.2 Organisasi Istilah organisasi berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) bermaksud agensi yang mengendalikan sesuatu perkhidmatan atau kesatuan yang terdiri daripada bahagian-bahagian

dalam sesuatu pertubuhan (contohnya perkumpulan dan perbadanan) untuk tujuan-tujuan tertentu. Organisasi merupakan sistem sosial yang mana pengurusan sumber manusia dianggap faktor terpenting untuk kejayaan dan keberkesanan organisasi (Sim 2002 dalam Mohammad Said dan Zulhamri 2012). Dalam konteks pendidikan, organisasi terdiri daripada pelajar, guru-guru, para pentadbir dan pelbagai jenis kakitangan yang memberikan perkhidmatan termasuk kerani dan pekerja am.

5.0 PERANAN DAN KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM ORGANISASI Kepentingan integriti dalam sesebuah organisasi pendidikan adalah mencapai sasaran utama iaitu mencapai kualiti khidmat lebih tinggi. Pencapaian kualiti menerusi pengurangan kesilapan dalam urus tadbir, masalah pelajar juga dapat diminumkan terutamanya kes disiplin, mencapai kesetiaan lebih tinggi di kalangan staf, mencapai fokus yang sama, memenuhi kepuasan pekerja atau pelanggan termasuk ibu bapa, menjaga imej profesion keguruan, meningkatkan keimanan dan mengawal tingkah laku warga pendidikan. Integriti merupakan asas penting kesejahteraan staf (Jamiah et. al 2006) dan membentuk staf yang mempunyai tingkah laku yang baik (Ones et. al 2003, dalam Jamiah et. al 2006). Sebaliknya, sekiranya integriti terhakis di kalangan staf maka ia akan menyumbangkan kepada keruntuhan nilai moral dan kerosakan sesuatu profesyen pekerjaan (Hardingham 2004, dalam Jamiah et. al 2006).

Sehubungan dengan itu, setiap warga sesebuah organisasi perlu menghayati nilai-nilai murni yang telah ditegaskan dan diulangi oleh pentadbir urus yang berintegriti baik. Contohnya, sebagai penjawat awam aspek integriti disepadukan dalam nilai dan etika perkhidmatan awam. Penghayatan nilai integriti hendaklah dijadikan amalan hidup dan amalan kerja supaya mencapai kecemerlangan, kecekapan, malahan organisasi tersebut akan dipercayai dan dihormati.

6.0 ISU-ISU BERKAITAN 6.1 RASUAH Menerusi teks ucapan Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Haji Hassan iaitu Isu-isu tadbir urus dan integriti dalam perkhidmatan awam: dulu kini dan masa depan di Kota Kinabalu, Sabah pada 23.11.2006 menyatakan sebuah tadbir urus yang baik mempunyai elemen integriti yang kukuh. Namun begitu, isu yang menggugat integriti dalam tadbir urus adalah rasuah. Beliau menegaskan punca-punca rasuah adalah disebabkan sifat tamak seseorang bagi memenuhi kehendak nafsunya dan peluang untuk melakukan kegiatan tersebut. Apakah maksud rasuah? Rasuah berasal daripada perkataan Arab iaitu al-risywah yang digolongkan dalam kata umum batil, meliputi juga perbuatan jenayah seperti merompak, memeras ugut dan menipu (Zulkipli 2005; Nursyakiran dan Md Zawawi 2004). Selain itu, rasuah dari segi istilah Inggeris iaitu corrupt berasal daripada dua perkataan Latin iaitu cor bermakna bersama dan rupt bermakna kehancuran (Zulkipli 2005). Dengan kata lain, rasuah adalah satu perbuatan yang melanggar nilai-nilai murni dan membawa kehancuran kepada seseorang yang mengamalkannya sama ada penerima atau pemberi serta mengurangkan kecekapan kepada sesebuah organisasi.

Integriti individu atau organisasi akan terjejas oleh gejala rasuah akibat beberapa faktor. Di peringkat individu, kawalan dalaman yang lemah (Mustafar 2005) atau kelemahan individu tersebut dalam kurang menghayati agama dan pendidikan akhlak, bersifat tamak dan sikap yang sering mengejar kebendaan dan kemewahan iaitu hamba kepada kebendaan (Nur Syakiran dan Md Zawawi 2004), kos sara hidup yang meningkat saban hari, tekanan modenisasi & keperluan , sikap yang mudah terpedaya dengan gelojak nafsu dan bisikan syaitan serta kurang faham sistem dan prosedur jabatan (Yusri n.d).

Dalam konteks organisasi pendidikan di sekolah seperti rasuah masa di kalangan guru adalah satu perkara yang tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang pendidik. Setiap guru dikehendaki tepat pada masanya dalam memulakan waktu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Amalan rasuah masa adalah berkaitan dengan pencarian rezeki yang halal dan amanat yang telah diberikan. Sekiranya guru lewat secara sengaja, sebarang kemalangan atau kecederaan

yang berlaku di dalam kelas adalah di bawah tanggungjawab guru yang seharusnya memastikan keselamatan pelajar terjamin. Guru seharusnya mempunyai sifat akauntabiliti iaitu tanggungjawab yang harus difahami dan dilaksanakan oleh seorang guru terhadap profesionalisme keguruan dan bersifat integriti iaitu guru perlu melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Guru-guru merupakan penentu utama kejayaan dalam melahirkan generasi berintegriti melalui penerapan nilai integriti yang diserap di dalam mata pelajaran seperti Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral melalui program dan aktiviti yang bersesuaian (Hishammuddin 2007).

6.2 SALAH GUNA KUASA Salah guna kuasa ditakrifkan sebagai menggunakan kedudukan atau jawatan rasmi untuk kepentingan diri. Membuat keputusan atau apa-apa tindakan untuk diri sendiri, saudara atau sekutu yang mempunyai kepentingan (Seksyen 15, APR, 1997). Kebiasaannya salah guna

kuasa sering berlaku di kalangan pentadbir atau pengurus sekolah. Menerusi penulisan Marzita 2004, Timbalan pendakwa raya Badan Pencegahan Rasuah, Zulkarnaian Hasan menyatakan salah guna kuasa di kalangan pengurus sekolah dilakukan secara sengaja. Pihak ini melakukannya kerana dipengaruhi sikap tamak, mahukan kemewahan dan berasa selamat. Di antara kes yang sering berlaku adalah melantik syarikat yang mempunyai kepentingan. Maksud kepentingan adalah melantik sesebuah syarikat yang dikendalikan oleh adik, adik ipar atau ahli keluarga lain walaupun mereka bukan pengurus syarikat berkenaan. Beliau juga memberikan contoh kes seperti melantik syarikat yang mempunyai kepentingan dalam mengendalikan pembekalan alat tulis dan kertas, mengendalikan kantin, pembinaan pagar sekolah dan terdapat kes pengurus sekolah menerima tiket kapal terbang untuknya dan keluarga dari syarikat buku.

Selain itu, kes penyalahgunaan wang juga terlibat di kalangan guru disiarkan di media massa. Petikan Berita Harian tahun 2008, seorang guru telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana memalsukan invois dan pesanan kerajaan yang mempunyai butiran palsu. Terdapat juga guru yang mengutip yuran khas tanpa menyerahkannya kepada pihak sekolah bagi tujuan

membelanjakan wang tersebut untuk kepentingan diri ,tidak menyerahkan resit bayaran sekolah kepada pelajar, mengeluarkan arahan paksaan kepada pelajar untuk membeli buku kerja bagi mendapatkan komisen daripada pengedar, melakukan tatacara pembelian barangan tanpa mengikut prosedur yang betul.

6.3 PENYELEWENGAN Isu seterusnya adalah penyelewengan di kalangan warga sekolah sama ada pelajar mahupun pihak berkaitan. Penyelewengan adalah satu perbuatan yang menyimpang atau mengelirukan dari satu dasar yang ditetapkan. Ucaptama Tan Sri Mohd Sidek Bin Haji Hassan mengenai isu-isu tadbir urus dan integriti dalam perkhidmatan awam: dulu , kini dan masa depan pada 23.11.2006 menyatakan bahawa salah satu isu yang menggugat integriti perkhidmatan awam ialah penyelewengan. Dalam konteks pendidikan penyelewengan juga berlaku di peringkat sekolah. Sekolah merupakan institusi yang menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar menerusi penerapan nilai yang dipertanggungjawabkan kepada guru. Penerapan nilai murni menerusi beberapa teknik seperti melalui mata pelajaran tertentu ( Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral), penerapan nilai merentasi kurikulum iaitu dalam mata pelajaran lain dan menerusi aktiviti ko-kurikulum seperti persatuan, kelab dan badan beruniform. Oleh itu, budaya sekolah mengamalkan pembentukan sahsiah bermoral tinggi dalam membentuk generasi muda yang berintegriti dalam memainkan peranan sebagai seorang pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Namun begitu, segelintir pelajar yang bermasalah dari segi disiplin tidak menghayati budaya positif yang diajar, malahan mereka mewujudkan satu subbudaya yang tidak formal dan jauh menyimpang dari nilai-nilai murni seperti budaya lepak, ponteng sekolah, botak dan black metal (Sean 2012).

Selain itu, kepimpinan sekolah juga menghadapi isu penyelewengan dalam pembangunan infrastruktur pendidikan (Sarvinder Singh 2008) . Misalannya keruntuhan makmal komputer sekolah, keretakan bangunan sekolah dan keruntuhan atap telah dilaporkan. Perkara ini melibatkan keselamatan para pelajar dan menyebabkan pengurus sekolah menghadapi banyak masa dalam menghadapi soal pembangunan di kawasan sekolah sehingga menjejaskan tugas hakiki yang sepatutnya dilakukan.

Menerusi slaid oleh Che Man Hamid

seorang Penolong Pengarah Sektor Pengurusan

Sekolah di Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, bertajuk Pengurusan Integriti beliau memaparkan beberapa kes penyelewengan yang berlaku. Di antaranya, menerusi Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2008, mendapati Kementerian Pelajaran membelanjakan hampir RM60 000 untuk kerja membekalkan, menanam dan menyelenggarakan taman sebuah sekolah di Pasir Puteh, Kelantan kerana membayar harga pokok-pokok yang terlalu mahal. Beliau juga menyatakan dalam Laporan Ketua Auditor Negara 2009 mendapati Rancangan Makanan Tambahan oleh kerajaan tidak menepati sepatutnya iaitu sandwich yang dijanjikan sepatutnya mempunyai timun, tomato dan salad hanya dibekalkan dengan dua keping roti yang disapu marjerin di Sekolah Kebangsaan Jeroco di Lahad Datu. Perkara ini turut dipersetujui oleh Muhammad Lutfi (2001) dalam penulisan beliau di bahagian Isu Semasa dalam web Tutor.com.my. Pada tahun 1989, Rancangan makanan tambahan (RMT) diutamakan kepada pelajar-pelajar sekolah yang berasal dari keluarga miskin berdasarkan pendapatan bulanan ibu bapa atau penjaga pelajar berkenaan dan program ini masih berterusan hingga ke hari ini. Namun begitu, masih terdapat sesetengah sekolah yang menjalankan program ini secara lepas tangan dan sambil lewa menyebabkan pengusaha kantin yang tidak bertanggungjawab menyediakan makanan tanpa mengikuti prosedur yang ditetapkan oleh pihak kementerian. 6.4 KETIDAKCEKAPAN SISTEM DAN PROSEDUR Setiap organisasi mempunyai sistem dan prosedur dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Ketidakcekapan dalam sistem dan prosedur di kalangan staf atau kakitangan menjejaskan integriti seterusnya mencemarkan imej organisasi. Antara faktor-faktor yang menjejaskan integriti adalah kurang ketelusan, kelemahan sistem dan prosedur serta garis panduan, kurang penguatkuasaan, penguatkuasaan terpilih, kurang pemantauan dan penilaian, keupayaan sumber manusia dan bahan yang terhad serta kerangka undang-undang lapuk dan percanggahan undang (Sulaiman 2004). Petikan rencana utusan pada 14 Disember 2012 memaparkan penggunaan telefon pejabat adalah dibayar oleh wang awam untuk urusan kerja. Penulis menyatakan jika telefon pejabat digunakan untuk urusan peribadi seperti berbual dengan kekasih, menempah tiket konsert, melakukan urus niaga saham maka kos panggilan telefon sepatutnya dibayar oleh pemanggil. Namun begitu, segelintir kakitangan awam menyalahgunakan kemudahan yang diberi. Selain itu, kurang pemantauan di kalangan

10

pentadbir secara berterusan menyebabkan kakitangan atau staf sering kali tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan. 6.5 KEMEROSOTAN ETIKA KEGURUAN Etika adalah berkaitan dengan nilai dan moral sesuatu kelompok atau kumpulan. Selain itu, etika juga berkaitan dengan persepsi atau pandangan terhadap sesuatu perkara atau tindakan sama ada ia dilakukan secara betul atau salah (Malike 2004). Seorang guru yang merupakan penjawat awam bertanggungjawab memahami dan mengamalkan nilai-nilai dalam semua tindakan dan tingkah laku semasa menjalankan tanggungjawab dan tugas. Jika seseorang penjawat awam yang melakukan sesuatu yang keluar dari standard atau piawai etika yang ditetapkan maka individu tersebut telah menyalahi apa yang telah ditetapkan melalui peraturan, dasar dan arahan kerajaan (Malike 2004).

Pelbagai salah laku berkaitan guru yang melanggar etika telah dilaporkan di keratan akhbar. Di antaranya adalah pada Julai 2007, akhbar Berita Harian melaporkan bahawa seorang guru warden wanita Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan di Sibu, Sarawak telah terbabit dalam merendam 200 orang pelajar perempuan di dalam kolam ( Mohd Nasir dan Sakina 2009). Selain itu, pada 4 Mac 2011 dalam akhbar Harian Metro mencatatkan seorang ketua guru disiplin di sekolah menengah di Pandan Indah, Ampang di dakwa mencabul kehormatan dengan meletakkan tangannya di atas dada 12 orang pelajar perempuan berusia 15 dan 16 tahun di dalam bilik guru disiplin. Perkara ini menggambarkan bahawa kemerosotan isu di kalangan guru perlu ditangani dengan segera bagi memastikan profesion perguruan terpelihara. Selain itu, terdapat penampilan guru yang menjolok mata, gangguan seksual di kalangan pelajar, guru yang pecah amanah dan mengambil cuti sakit palsu. Perkara ini jelas menunjukkan seorang guru tidak berpegang pada akauntabiliti dan integriti dalam perkhidmatannya.

6.6 INTEGRITI KEPIMPINAN DIPERSOALKAN Kepimpinan melalui teladan. Kajian Mumtaz dan rakan-rakan (2010) mengenai pengaruh integriti kepimpinan terhadap pelaksanaan pengurusan kualiti menyeluruh di Institut Pendidikan Tinggi Mara (IPTMa) bertujuan untuk mengenal pasti hubungan dan sumbangan 11

integriti kepimpinan dengan pembentukan visi, misi dan matlamat pelaksanaan pengurusan kualiti menyeluruh (TQM) mendapati IPTMa memerlukan kepimpinan yang berintegriti sebagai penjana pelaksanaan TQM dan membentuk visi, misi dan matlamat berasaskan nilai. Pengkaji menyatakan kepimpinan perlu mempunyai kekuatan personaliti, keberanian dalaman, berintegriti, berkarisma, mempunyai pertimbangan kemanusiaan, berani membuat penambahan dan penambahbaikan serta menanggung risiko berasaskan ilmu dan kemahiran. Sesebuah organisasi di tadbir oleh pemimpin yang akan menguruskan sumber manusia dengan sewajarnya. Dalam menguruskan sumber manusia, pemimpin mempunyai cabaran di mana dia memberikan tumpuan kepada matlamat organisasi, menyelenggara tugasan dan mengatur, menugaskan kerja, menjalinkan saluran komunikasi, menggariskan hubungan dengan orang bawahan serta menilai prestasi kumpulan kerja. Cabaran yang dihadapi merangkumi semua aktiviti, perlakuan, kemahiran, sikap dan pengetahuan yang mencerminkan kebolehan dan kesediaan untuk mempengaruhi, menggerakkan, membimbing dan melatih individu ke arah menapai objektif warga cemerlang di dalam organisasinya.

Kejayaan sesebuah sekolah terletak kepada keberkesanan sesuatu sistem, nilai kepercayaan, iklim, semangat, dan budaya yang diamalkan oleh warga sekolah iaitu pelajar, kakitangan sekolah dan golongan guru (Jamilah & Yusof Boon 2011) . Pihak yang bertanggungjawab adalah penerajunya iaitu pengetua atau guru besar dalam memastikan organisasi sekolah mencapai kejayaan dan kecemerlangan berpaksikan matlamat yang ditetapkan. Kajian kes pengurusan pendidikan Malaysia Institut Aminuddin Baki oleh Mohamad Idris (2004) mendapati pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Pinggir Pantai menghadapi masalah dengan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar ( GPK HEM) kerana beliau tidak berfungsi sebagai GPK HEM yang sepatutnya. Antara yang dilaporkan adalah GPK HEM tidak mengendalikan mesyuarat pendaftaran tingkatan 1, tidak cekap dalam mentadbir urus tuntutan takaful daripada pihak keluarga, kurang komitmen dalam menyediakan perancangan strategik tahunan unit HEM, bermasalah dalam mengendalikan surat-menyurat urusan sekolah, tidak pernah mengendalikan mesyuarat induk unit HEM dan tidak

bertanggungjawab dengan masalah disiplin sekolah. Malahan penulis juga mendapati GPK mendapat pandangan negatif di kalangan rakan sejawat kerana tidak memainkan peranan proaktif dalam pengurusan hal ehwal pelajar. Realitinya, dalam dunia pendidikan pemilihan pengurus sekolah adalah berdasarkan tempoh perkhidmatan, bukannya berdasarkan

12

kompetensi ( PPP KPM 2012). Dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan (20132025) menyatakan pelantikan berdasarkan tempoh perkhidmatan memberi kesan iaitu mengekang sistem pelantikan mendapatkan calon jawatan kepimpinan sekolah yang terbaik dari keseluruhan perkhidmatan perguruan dan bagi calon pengetua atau guru besar yang berbakat tempoh perkhidmatan adalah singkat. Sebaliknya, negara lain seperti Singapura telah membangunkan satu program iaitu Program Pemimpin Masa Depan bagi mengenal pasti dan membangunkan pemimpin sekolah sejak tempoh awal perkhidmatan guru.

7.0

IMPLIKASI

Pendedahan salah laku guru-guru boleh menyebabkan kewibawaan profesion keguruan tercemar pada mata masyarakat. Akhbar Utusan Malaysia pada 18 September 2008

menyatakan, Datuk Mahadzir Mohd Khir iaitu Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan memberitahu bahawa daripada tahun 1995 hingga tahun 2008, sebanyak 41 kes keruntuhan akhlak membabitkan guru seperti perbuatan sumbang mahram, bersekedudukan, guru memukul murid dan guru besar menyembunyikan kes-kes disiplin telah dilaporkan dan telah menarik perhatian umum. Perkara in jelas bercanggah dengan peranan dan tatasusila perguruan di Malaysia yang seharusnya setiap pendidik perlu mematuhi kod etika perguruan.

Natijahnya, pada individu yang tidak mematuhi nilai dan etika yang ditetapkan akan mengakibatkan maruah dan kerjaya di tahap kritikal. Sebagai contoh kes ketua guru disiplin di Pandan Indah seperti yang dibincangkan menyebabkan individu tersebut secara tidak langsung telah mengambil risiko masa depan sendiri walaupun beliau masih belum benar disabitkan dengan kesalahan. Pada rakan-rakan sejawat yang lain akan lebih berhati-hati dalam memberikan hukuman yang sewajarnya kepada pelajar. Manakala dari sudut pelajar, golongan pelajar akan tidak mempercayai institusi disiplin yang di ketuai oleh guru disiplin dan persepsi atau tanggapan mereka terhadap ketua disiplin adalah negatif. Mangsa yang terlibat dengan salah laku oleh guru akan berasa terancam akibat gangguan seksual daripada guru sendiri.

Selain itu, dari segi profesion perguruan, imej sebagai guru telah tercemar dengan perbuatan yang melanggar kod dan etika perguruan. Ini mengakibatkan profesion guru dipandang 13

rendah oleh masyarakat. Masyarakat menganggap guru merupakan satu profesion mendidik dan membentuk modal insan yang cemerlang serta melahirkan satu golongan generasi yang akan berjaya di masa hadapan. Namun begitu, akibat daripada segelintir guru yang tidak komited dengan etika yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia serta tidak berfikiran wajar dalam melaksanakan hukuman mahupun keputusan secara terburu-buru, maka kesannya kepada masyarakat ialah mereka akan hilang kepercayaan kepada institusi pendidikan dan tidak memberikan kerjasama sepenuhnya. Seorang guru yang berintegriti seharusnya sedar bahawa maruah dan profesion perguruan adalah di dalam tangan mereka sendiri (Nor Salmi dan Lim 2012).

8.0

CADANGAN

Usaha menangani isu berkaitan integriti telah dirancang di dalam Pelan Integriti Nasional (2004). Justeru itu, melalui institusi sosiobudaya yang merangkumi pendidikan (sekolah, kolej dan universiti) turut memainkan peranan membina dan mengukuhkan integriti masyarakat dan negara. Institusi ini berperanan dalam memberikan sumbangan pembinaan modal insan dan di antara agendanya bagi mencapai objektif yang dihasratkan adalah :

i. Pembinaan insan yang berintegriti dalam persekitaran sosiobudaya yang berintegriti ii. Peningkatan integriti dalam pengurusan jasmani, rohani dan kesihatan iii. Pemantapan nilai-nilai murni, perpaduan dan pembentukan identiti warga negara

Sehubungan dengan itu, peranan pemimpin atau pengurus sekolah dalam memantapkan integriti dalam sesebuah organisasi pendidikan adalah penting dalam memastikan pelajar berkualiti dan sejajar dalam pembangunan modal insan. Pihak pentadbir hendaklah melakukan pemantauan secara berterusan maka peluang guru menyalahgunakan kuasa, melakukan penyelewengan dan terkeluar dari landas kod dan etika profesion perguruan dapat dibendung. Pihak ini boleh memaklumkan atau mengingatkan guru sewaktu mesyuarat atau taklimat bagi memastikan etika profesion perguruan berada pada landas yang betul. Sekiranya, pihak sekolah khususnya pengetua atau guru besar menghadapi kesukaran dalam mendapatkan kerjasama daripada rakan sejawat atau staf yang bermasalah serius, individu berkenaan dinasihati menjalani sesi kaunseling bersama kaunselor sebelum dikenakan tindakan tatatertib. 14

Berdasarkan Pelan Awal Pembangunan Pendidikan (2013-2025), Kementerian Pelajaran Malaysia berhasrat untuk menempatkan pemimpin yang berkualiti tinggi ke setiap sekolah di Malaysia. Kini dalam abad ke 21, amalan kepimpinan instruksional dapat menyumbangkan ke arah kecemerlangan sekolah. Kepimpinan instruksional yang berjaya mempunyai kesan secara langsung terhadap guru iaitu sentiasa membuat pemantauan, memberi perangsang dan nasihat kepada guru dalam menjalankan tanggungjawab dalam tugas seharian. Tujuannya adalah memastikan setiap program yang dirancang berjaya dilaksanakan dan mengetahui masalah yang wujud yang dihadapi semasa menjalankan program tersebut (Baharom Mohamad et al. 2009).

Selain itu, rakan sejawat juga memainkan peranan dalam memastikan aspek integriti diamalkan oleh warga pendidik sesebuah institusi atau sekolah. Seseorang individu yang mempunyai nilai integriti yang sebati dengan jiwa, individu tersebut akan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap nilai yang dipegang dalam setiap tutur kata dan tindakannya ( Jamiah et. al 2007). Rakan sejawat hendaklah menasihati dan memberikan dorongan positif secara berhemah kepada rakan yang melakukan perkara yang bertentangan dengan nilai dan etika perguruan. Rakan sejawat juga boleh melaporkan terus kepada pihak pentadbir dalam menangani isu rasuah atau penyalahgunaan wang sekolah. Berdasarkan petikan tatasusila

(etika) profesion perguruan dalam tanggungjawab terhadap rakan sejawat menyatakan bahawa seorang guru tidak boleh melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan seorang guru dan senantiasa mengawal diri dengan tidak mencemarkan profesion perguruan ( Shela Subramaniam 2011).

Setiap organisasi, khususnya di sekolah atau institusi pendidikan mempunyai unit latihan dalam perkhidmatan yang mengendalikan dan menyelaras aktiviti berkaitan latihan profesionalisme kakitangan yang dirangka dalam setiap tahun. Matlamat program latihan dalam perkhidmatan (LDP) adalah bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran di kalangan staf profesional dan sokongan dalam menangani perubahan dan pembangunan yang berlaku dalam bidang pendidikan ( Shahri ,1995 dalam Mohamad Mortadza 2005). Justeru itu, unit ini juga berperanan dalam memastikan aspek integriti diterapkan menerusi aktiviti yang dirancang seperti seminar, bengkel, ceramah dan lawatan sambil belajar di kalangan kakitangan supaya menjadi amalan dalam membudayakan nilai integriti semasa

15

menjalankan tugas. Kini, menerusi kenyataan Timbalan Perdana Menteri iaitu YAB Dato Seri Tan Sri Muhyiddin (Utusan, 11.4.2012) menyatakan bahawa warga pendidik perlu melalui penilaian integriti secara berkala dari semasa ke semasa bagi tujuan penambahbaikan. 9.0 KESIMPULAN Integriti dalam pendidikan adalah berpandukan etika dan nilai. Aspek integriti dalam sesebuah organisasi pendidikan melibatkan individu (tenaga pengajar/staf), sekolah atau institusi pengajian serta pihak kementerian dalam memastikan kualiti pendidikan diberikan sama rata dalam pelbagai lapisan masyarakat. Apa yang penting sekali adalah kawalan dalaman individu iaitu berkaitan dengan soal keimanan, kemantapan rohani dan keteguhan jiwa dalam menangani pelbagai ganjaran, hadiah mahupun duit atau cubaan pihak yang tidak mengamalkan hajat yang baik dalam memenuhi keperluan sendiri berbanding kepentingan umum. Secara umumnya, pengurusan integriti hendaklah disepadukan dan diterapkan nilainilai murni di kalangan individu dan sesebuah organisasi supaya menjadi amalan hidup dan amalan kerja bagi mencapai kecemerlangan, kecekapan, dipercayai dan dihormati.

16

RUJUKAN Anon. 2011. Seminar Integriti Warga Pendidik http://sriamannews.blogspot.com/2011/02/seminar-integriti-warga-pendidik.html [22.12.2012]. 2012. Guru Perlu Lalui Penilaian Integriti Secara Berkala Muhyiddin. http://pendidikmy.net/2012/04/11/guru-perlu-lalui-penilaian-integriti-secara-berkalamuhyiddin/ [23.12.2012].

Anon.

Baharin Abu & Suzana Mamat@Muhammad. 2010. Pengetahuan Etika Profesion Perguruan Dalam Kalangan Guru Pelatih 4sph Fakulti Pendidikan Utm. http://eprints.utm.my/10740/1/Pengetahuan_Etika_Profesion_Perguruan_Dalam_Kala ngan_Guru_Pelatih_4SPH_Fakulti_Pendidikan_UTM.pdf [20.12.12]. Baharom Mohamad, Mohd Johdi Salleh & Che Noraini Hashim. 2009. Kepimpinan Pendidikan Berkesan.Seminar Kepengetuaan Kebangsaan Ke VI. http://irep.iium.edu.my/11675/1/Proceding_-_Kepimpinan_Pendidikan_Berkesan.pdf [6.12.2012]. Che' Man Hamid. n.d. Pengurusan www.ipbl.edu.my/.../PengurusanIntegriti/PENGUR... [17.12.2012]. Integriti.

Fairus, A. M. 2011. Debat Institut Integriti Malaysia (Iim) Di Uum. http://alumnidebatmalaysia.blogspot.com/2011/03/debat-institut-integriti-malaysiaiim.html [22.12.12]. Hishammudin Tun Hussein. 2007. Mewujudkan Masyarakat Malaysia Berintegriti Melalui Sistem Pendidikan Berkesan http://www.docstoc.com/docs/20994793/1Pembentangan-Kertas-Kerja-Mewujudkan-Masyarakat-Malaysia [9.12.12]. Institut Integriti Malaysia 2006. Pelan Integriti Nasional. Jamiah Manap, Azimi Hamzah, Ezhar Tamam, Sidek Mohd Noah, Amini Amir Abdullah, Norizan Yahya, Halimah Aima Othman & Hanina Halimatus Saadiah Hamsatun. 2006. Pemantapan Nilai Integriti Sebagai Teras Pembangunan Staf Berkualiti. http://jurnalakademik.blogspot.com/2006/09/pemantapan-nilai-integriti-individu.html [11.12.2012]. Jamilah Ahmad & Yusof Boon. 2011. Amalan Kepimpinan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBP) Di Malaysia. Jurnal of Edupres , 1. hlmn: 323-335. Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia 2007. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010). Kementerian Pelajaran Malaysia 2012. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

17

Malike Ibrahim. 2004. "Yang Menurut Perintah"- Nilai Penjawat Awam. hlmn: 1-12. http://repo.uum.edu.my/2129/1/55.pdf [14.12.2012]. Mohamad Idris. 2004. 5. hlmn : 49-57. Pentadbir Rapuh. Penulisan Kajian Kes Pengurusan Pendidikan.

Mohamad Said Awang & Zulhamri Abdullah. 2012. Hubungan Antara Pertimbangan Pemimpin,Pertukaran Komunikasi Dan Komitmen Organisasi. Jurnal Komunikasi ; Malaysian Journal of Communication 28(1): 121-136. Mohd Sidek Haji Hassan. 2006. Isu-Isu Tadbir Urus Dan Integriti Dalam Perkhidmatan Awam: Dulu,Kini Dan Masa Depan. http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=sidek&id=3745 [11.12.2012]. Mortadza., M. 2005. Program Latihan Dalam Perkhidmatan : Pemangkin Perkembangan Profesionalisme Guru. Jurnal Akademik . hlmn : 1-17. Muhammad Lutfi Ishak. 2001. Memastikan Prosedur Rmt Dipatuhi Pengusaha Kantin. http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2009&dt=&sec=Isu_Semasa&in=arc&st art=30 [20.12.2012]. Mustafar Haji Ali. 2005. Membina Integriti Untuk Memerangi Rasuah. Dlm. Mazilan Musa, Izal Arif Zahrudin & Suzanna Che Moin (pnyt.). Etika Dan Integriti Di Malaysia, hlmn: 53-61. Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia. Nur Syakiran Ismail & Md Zawawi Abu Bakar. 2004. Rasuah.....? Katakan Tidak. hlmn: 1-15. http://repo.uum.edu.my/1908/1/47.pdf [9.12.2012]. Sarvinder Singh. 2008. Kepimpinan Dalam Menghadapi Isu-Isu Pendidikan.Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidikan PKPGB. http://eprints.uthm.edu.my/2712/1/21._PKPGB_2008_1.pdf [9.12.2012]. Subramaniam, S. 2011. Isu Etika Guru. http://www.scribd.com/doc/52680169/Isu-EtikaGuru-ip [10.12.2012]. Sulaiman Mahbob. 2005. Pelan Integriti Nasional(Pin). Dlm. Mazilan Musa, Izal Arif Zahrudin & Suzanna Che Moin (pnyt.). Etika Dan Integriti Di Malaysia, hlmn: 313. Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia. Zulkipli Mat Nor. 2005. Badan Pencegah Rasuah (BPR) Dalam Membasmi Rasuah Di Malaysia. Dlm. Mazilan Musa, Izal Arif Zahrudin & Suzanna Che Moin (pnyt.). Etika Dan Integriti Di Malaysia, hlmn: 29-52. Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia.

18

You might also like