You are on page 1of 4

Laporan Kem Kepimpinan Pemimpin Muda SK Kampung Medan Pada 5 Februari yang lalu, satu kem kepimpinan pemimpin

muda SK Kampung Medan telah diadakan di Homestay Hajah Yamah. Kem ini bertujuan bagi membentuk peribadi pemimpin yang unggul dalam kalangan murid yang menerajui kepimpinan di sekolah. Dalam masa yang sama, sikap bertanggungjawab, amanah dalam melaksanakan tugas, berdisiplin, menepati masa, kuat semangat dan tidak mudah berputus asa serta ciri kepimpinan yang lain dapat digarap melalui kem kepimpinan seperti ini. Jumlah peserta yang mengikuti kem kepimpinan ini adalah seramai 156 orang murid. Kesemua peserta terdiri daripada murid tahap dua yang memegang jawatan sebagai pengawas sekolah, perpustakawan, ahli kelab SPBT, ketua kelas, penolong ketua kelas dan pembimbing rakan sebaya. Kem ini bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 4.30 petang. Pada 3 Februari 2014 bersamaan hari Isnin, kami telah diberitahu oleh Puan Fabilah bahawa semua guru praktikum akan terlibat dalam kem kepimpinan ini. Kami juga diberitahu bahawa kami perlu mengorganisasi satu aktiviti air yang dijadualkan berlangsung sekitar jam 2.00-4.00 petang. Justeru, kami sepakat untuk memilih satu terapi bermain yang juga digunakan dalam kaedah kaunseling bagi mengurangkan sedikit rasa tekanan dalam diri murid yang telah penat mengikuti program ini sejak dari awal pagi. Menurut Puan Fabilah lagi, kami perlu memecahkan peserta kem kepimpinan ini mengikut jantina apabila mahu melakukan aktiviti air. Justeru, perancangan yang rapi perlu disediakan bagi memastikan aktiviti air yang dikendalikan oleh guru praktikum akan berjalan lancar. Sepanjang program berlangsung, kami telah membantu guru-guru

menyediakan kad nama peserta, menjadi ahli jawatankuasa pengangkutan, menjadi ahli jawatankuasa makanan, ahli jawatankuasa teknikal juga bertindak sebagai fasilitator bagi membantu guru-guru yang sedang mengendalikan slot dalam mengawal para peserta. Sesungguhnya, pengalaman ini amat sukar ditukar ganti kerana hanya dengan pengalaman ini, kami mampu mematangkan lagi diri kami untuk menyesuaikan diri sebagai seorang guru kelak. Maka, kami semua telah mencuba sedaya upaya memberikan yang terbaik dalam menyumbangkan bakti dan tenaga sepanjang kem kepimpinan ini dijalankan.

Untuk aktiviti air, peserta perempuan diberi keutamaan untuk merasmikan kolam renang tersebut kemudian diikuti peserta lelaki. Tempoh bagi setiap permainan air bagi kedua-dua kumpulan adalah satu jam. Semasa mengendalikan slot aktiviti air, kami semua diuji untuk mengawal pergerakan para peserta apabila mereka mula masuk ke dalam air. Seperti yang dijangkakan, para peserta begitu teruja apabila diberi peluang untuk masuk ke dalam kolam renang. Oleh hal yang demikian, kami sebagai guru perlu bijak dalam memberi arahan agar setiap arahan yang diberikan mampu didengari dan difahami oleh semua peserta. Kekangan yang dihadapi oleh kami apabila mengendalikan aktiviti ini adalah para peserta tidak begitu mendengar arahan kami memandangkan mereka sudah terlalu seronok untuk bermain air. Jadi, kami telah mengambil inisiatif dengan menggunakan kaedah giliran. Aktiviti yang kami jalankan adalah bola jaring air. Peserta telah mempunyai kumpulan masing-masing dan setiap dua kumpulan akan turun beraksi di dalam air. Keadaan ini memberi peluang kepada semua peserta untuk bermain di dalam air. Alhamdulillah, keselamatan peserta sepanjang aktiviti air terpelihara dan bebas daripada sebarang bahaya. Kem kepimpinan ini berakhir pada jam 4.30 petang. Semua murid kelihatan begitu teruja dan sangat berpuas hati sepanjang kem kepimpinan ini dijalankan. Semoga setiap peserta yang mengikuti kem kepimpinan ini mampu menjadi seorang pemimpin muda yang berwibawa selaras dengan objektif yang telah digariskan oleh pihak penganjur. Kami juga berharap agar pengalaman penuh bermakna ini akan dapat kami aplikasikan apabila menjadi seorang guru kelak. Insya Allah. Berikut merupakan gambar sepanjang kem kepimpinan ini berlangsung.

Membantu guru menyediakan kad nama peserta sebelum program bermula

Sesi pendaftaran para peserta

Ucapan perasmian daripada Guru Besar

Bacaan ikrar oleh Ketua Pengawas Sekolah

Perbincangan bersama guru mengenai aktiviti air yang hendak dijalankan

Aktiviti LDK 1

Aktiviti air bersama guru praktikum

You might also like