You are on page 1of 4

Buah Tangan Daripada Ayah Assalammualaikum w.t.b Terima kasih puan pengacara majlis.

Yang dihormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana serta hadirin dan hadirat sidang majis sekalian. Saya Nurul Syafiah bt Shamsuddin akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk Buah Tangan daripada Ayah. Jika tuan-tuan dan puan-puan serta rakanrakan telah sedia, marilah dengarkan cerita saya ini bersama-sama. Dalam sebuah kampung tinggal sepasang suami isteri yang hidup aman dan bahagia. Encik Murad bekerja sebagai arkitek manakala isterinya Puan Melina adalah suri rumah sepenuh masa. Mereka telah lama mendirikan rumah tangga tetapi masih tidak dikurniakan cahaya mata. Walaupun seorang yang terpelajar tetapi Encik Murad mempunyai satu tabiat yang tidak baik iaitu dia suka menghisap rokok. Semakin banyak kerja yang perlu disiapkannya makin banyaklah rokok yang dihisap oleh Encik Murad. Puas isterinya memujuk dan menasihatinya supaya berhenti merokok tetapi Encik Murad tidak mengendahkan teguran isterinya itu. Abang, saya lihat abang semakin kuat merokok sekarang ni. Berhentilah bang. Merokok tu banyak bahayanya. Kata Puan Melina pada suatu hari. Mel, abang tahu merokok tu membahayakan kesihatan tapi ini soal periuk nasi kita. Kalau Abang tak merokok, tumpul kepala Abang ni. Macam mana abang nak dapatkan idea-idea yang bernas? Tanpa idea-idea yang bernas macam mana Abang nak dapatkan projek? Tak ada projek tak adalah kerja.Abang buat semua ni untuk kebahagiaan kita Mel. Badan abang ni pula rasa sengal-sengal sahaja kalau tidak merokok. Macam mana abang hendak bekerja, kata Encik Murad beralasan pada Puan Melina setiap kali isterinya itu memujuknya agar berhenti merokok. Encik Murad percaya hanya dengan merokok dia boleh mendapat banyak idea yang bernas. Puan Melina terpaksalah menahan hati dengan sikap suaminya itu.

Pada suatu hari, sebaik sahaja Puan Melina bangun dari tidur dia berasa tidak sedap badan. Tekaknya merasa mual sementara kepalanya pula berasa pening. Dia segera ke klinik yang berhampiran dengan rumahnya untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan. Dia bimbang jika lewat menerima rawatan penyakitnya akan bertambah serius. Tahniah puan. Puan akan menjadi ibu dalam tempoh lapan bulan lagi kata doktor kepadaPuan Melina. Puan Melina terpinga-pinga. Doktor itu segera menerangkan kepada Puan Melina bahawa dirinya telah hamil dan bakal menjadi ibu. Doktor juga menasihati Puan Melina supaya banyak berehat dan mengambil makanan yang berkhasiat untuk kesihatan dirinya serta bayi yang di dalam kandungannya itu. Berita yang baru disampaikan oleh doktor itu benar-benar membuat Puan Melina berasa gembira. Dia bersyukur akhirnya impian untuk memiliki anak akhirnya dimakbulkan tuhan. Tidak berapa lama kemudian Puan Melina telah melahirkan seorang bayi perempuan yang sungguh comel tetapi malangnya bayi itu dilahirkan tidak cukup bulan serta kurang berat badan. Bayi itu juga mengidap penyakit jantung Maafkan saya puan, anak puan kami dapati mengalami beberapa masalah kesihatan. Biasanya penyakit ini adalah disebabkan oleh asap rokok. Adakah puan merokok? tanya doktor yang merawat Puan Melina. Puan Melina berasa terkejut dengan terketar-ketar Puan Melina menjawab, Tidak doktor, saya tidak pernah menghisap rokok kerana saya tahu yang merokok itu akan membahayakan kesihatan tetapi. suami sayamemang seorang perokok sambung Puan Melina lagi. Kalau begitu saya akan berbincang dengan suami puan berhubung dengan masalah ini, kata doktor itu lagi. Doktor itu kemudiannya mengarahkan jururawat untuk memanggil Encik Murad. Encik Murad masuk ke dalam wad dengan tergesa-gesa. Encik Murad, saya Doktor Julia. Doktor yang merawat Puan Melina kata doktor sewaktu memperkenalkan dirinya. Sebenarnya ada beberapa perkara yang ingin saya maklumkan kepada encik berhubung dengan kesihatan anak serta isteri encik. Kata doktor itu lagi. Ya, doktor. Apa masalah isteri dan anak saya? Tanya Encik Murad tidak sabar sabar lagi. Sebenarnya begini Encik Murad, saya dapati isteri Encik Murad

menghadapi masalah pada paru-parunya. Saya bimbang jika masalah ini berlanjutan akan mengakibatkan kanser paru-paru. Selain daripada itu juga, pihak kami dapati bahawa bayi Encik Murad menghidapi kompilasi jantung serta kekurangan berat badan. Oleh kerana bayi ini dilahirkan pramatang, dia juga turut berdepan dengan pelbagai risiko. Kami akan menahan bayi Encik Murad untuk pemeriksaan lanjut bagi tempoh yang tidak dapat saya tentukan, kata Doktor Julia dengan panjang lebar. Kenapa boleh berlaku begitu doktor? Saya telah menyediakan pelbagai makanan tambahan serta memastikan isteri saya makan makanan yang berkhasiat sahaja sepanjang dia mengandung.Saya tidak percaya yang mereka mengidap pelbagai penyakit! Bentak Encik Murad. Doktor Julia dengan tenang berkata, Encik Murad, saya ucapkan tahniah kepada Encik Murad kerana telah menjaga isteri encik dengan baik sepanjang di mengandung tetapi encik mesti sedar bahawa makanan sahaja tidak mencukupi untuk memastikan mereka sihat. Persekitaran mereka juga mestilah sihat. Apa maksud doktor? tingkah Encik Murad dengan perasaan tidak senang hati. Begini Encik Murad, encil tahu merokok itu membahayakan kesihatan encik tetapi encik mungkin tidak tahu bahawa sebagai seorang perokok, encik sebenarnya telah mendedahkan diri isteri encik kepada risiko menjadi perokok pasif. Perokok pasif?? Tanya Encik Murad kehairanan. Ya, perokok pasif ialah orang yang menyedut asap rokok orang lain. Mereka ini biasanya terdiri daripada isteri, anak-anak serta rakan-rakan. Perokok pasif ini akan terdedah kepada risiko kanser paru-paru selain menyebabkan kemandulan, keguguran janin dan kelahiran pramatang. Jika orang dewasa pun berdepan dengan pelbagai risiko, encik bayangkan apa yang akan berlaku pada anak-anak yang masih kecil? kata Doktor Julia dengan panjang lebar. Encik Murad terdiam mendengar kata-kata doktor itu. Dia berasa menyesal kerana menurut kata hati dan tidak mendengar nasihat isterinya dahulu. Encik Murad keluar dari bilik doktor dan melangkah perlahan-lahan menuju ke katil isterinya. Mel maafkan abang Mel. Maafkan abang. Abang bersalah, abang berdosa pada Mel dan anak kita. Sesal Encik Murad. Maafkan papa sayang. Papa berdosa kerana telah menyebabkan anak papa menderita. Papa bersalah.. Ya Allah ampunkan aku. Berikanlah kesempatan untuk aku membesarkan anakku. Sihatkanlah anakku ini. Dia tidak bersalah. Dia tidak bersalah. Kata Encik Murad sambil memeluk bayinya itu. Abang janji Mel, mulai hari ini abang tak nak lagi

merokok. Abang akan lakukan apa sahaja untuk memastikan abang berhenti merokok. Jika abang boleh berusaha untuk mencari kekayaan untuk keluarga kita, abang juga akan pastikan keluarga kita akan sihat dan selamat. Puan Melina berasa terharu dengan pengakuan suaminya itu. Terima kasih, bang. Saya akan menyokong segala usaha abang itu nanti. Kata Puan Melina. Semenjak hari itu, Encik Murad telah membuang tabiat merokoknya. Puan Melina dan bayi mereka semakin sihat dan kehidupan mereka semakin bahagia. Encik Murad sedar bahawa rokok hanya mengundang bahaya. Sekian cerita saya pada hari ini. Sebelum mengundur diri, ingatlah kawan-kawan bahawa rokok membahayakan kesihatan. Katakan tak nak pada rokok kerana setiap sedutan akan membawa padah. Buanglah segala mitos tentang kebaikan merokok yang biasa kita dengari kerana merokok memang tiada manfaatnya.

Terima kasih.

You might also like