You are on page 1of 24

G

Falsafah Pendidikan Guru, Hubungannya dengan Pemikiran dan


Amalan Profesionalisme Keguruan

Nama No. Matrik Program


Siti Aishah binti Abdul Latiff D 20081032348 AT16

Kursus: Perkembangan Pendidikan di Malaysia: Falsafah dan Dasar


Kod Kursus: EDU 3012
Nama Pensyarah: Pn. Norila Md. Salleh
Tarikh Serahan: 2 Februari 2009

1
Isi kandungan

Bil. Isi Kandungan Muka Surat

1.0 Pengenalan 1

2.0 Pemikiran dan Amalan Profesionalisme Keguruan 2


2.1 Pemikiran Profesional Guru 3-8
2.2 Amalan Profesional Guru 8-11

3.0 Syarat-syarat dan Kepentingan Profesionalisme 12-14

4.0 Etika Profesional Guru 15-19

5.0 Penutup 20

Bibliografi ii
Lampiran iii

1.0 Pendahuluan

2
Falsafah pendidikan sangat penting dalam membantu pembentukan personaliti seorang
guru. Falsafah pendidikan memberikan perspektif makro untuk sistem dan bidang
pendidikan, kerana setiap komponen tidak dilihat secara berasingan tetapi ditinjau di segi
pertalian di antara komponen-komponen yang membentuk kesuluruhan (Sufean Hussin,
2004). Justeru itu, sekiranya sistem pendidikan tidak mencapai apa yang telah digariskan
dalam hasrat pendidikan, maka falsafah pendidikan mampu dijadikan sebagai perspektif
mikro bagi mengkaji sebarang halangan dan masalah bagi membetulkan sesuatu atau
beberapa komponen tersebut.

Profesion bermaksud pekerjaan yang memerlukan didikan yang tinggi dan latihan
yang khusus seperti dalam bidang perubatan, senibina dan perguruan. Profesionalisme
pula dapat ditakrifkan sebagai “tingkahlaku, kemahiran atau kualiti yang dapat menunjukkan
bahawa seseorang itu mempunyai pengalaman dan standard yang tinggi yang boleh
diharapkan daripada ahli sesuatu profesion itu”. Manakala keguruan pula membawa
maksud tugas dan tanggungjawab (kerjaya) sebagai guru (Kamus Pelajar, 1997). Dari
pandangan sebagai seorang guru, amalan dan pemikiran profesionalisme keguruan adalah
sangat berkaitan dengan Falsafah Pendidikan Guru (FPG) kerana falsafah tersebut
dijadikan sebagai garis panduan ke arah pembentukan seorang guru yang bersedia
menjunjung aspirasi negara dalam usaha membentuk masyarakat yang bersatu padu,
demokratik, progresif dan berdisiplin.

Falsafah pendidikan guru adalah bersifat realisme-pragmatisme kerana lebih


menekankan aspek modenisasi individu dan budaya hidup masyarakat. Maka boleh
disimpulkan bahawa falsafah pendidikan guru tidak menghayati fahaman pemikiran dan
aspirasi dalam falsafah pendidikan negara kerana gagasan tanggapan falsafah pendidikan
guru tidak memegang teras yang sama. Falsafah pendididikan guru lebih bersifat realistik
dan praktis dalam konteks pembangunan masyarakat (Sufean Hussin, 2004).

2.0 Pemikiran dan Amalan Profesionalisme Keguruan

3
Secara umumnya, pemikiran bermaksud ”cara atau hal memikirkan sesuatu” manakala
amalan pula bermaksud ”perbuatan yang baik-baik atau perbuatan yang biasa dilakukan”
(Kamus Pelajar, 1997). Pemikiran dan amalan profesionalisme keguruan membawa
maksud cara berfikir serta perbuatan yang biasa dilakukan oleh seseorang guru sama ada
di dalam mahupun di luar bilik darjah. Profesion perguruan atau bekerja sebagai guru
adalah antara beberapa jenis pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan
manusia, masyarakat dan negara. Profesion perguruan merupakan profesion paling utama
dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Di dalam
era globalisasi sekarang, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar.
Golongan guru hendaklah memastikan martabat perguruan sentiasa dipertingkatkan dari
semasa ke semasa sehingga ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati seterusnya dapat
merealisasikan Misi Nasional seperti yang digariskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia
dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9).

Guru merupakan penggerak utama dalam pembentukan modal insan yang telah
digariskan dalam aspirasi membina negara bangsa seperti yang telah disampaikan oleh
Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom dalam ucapannya semasa Persidangan
Kebangsaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu,

“Dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan, Kerajaan telah memperkenalkan


rangka kerja pelaksanaan baru yang dinamakan Misi Nasional dengan tujuan
menjamin pencapaian wawasan dan matlamat negara dalam jangka masa 15
tahun akan datang iaitu satu jangka masa yang tidak panjang.  Lima teras
utama Misi Nasional ini adalah (a) meningkatkan ekonomi dalam rantaian
nilai lebih tinggi, (b) meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi
negara serta memupuk minda kelas pertama, (c) menangani masalah
ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan
produktif, (d) meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup, dan (e)
mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.”

Justeru itu, dapat kita lihat dengan sangat jelas di sini bahawa Misi Nasional sangat
memberi penekanan kepada pembangunan modal insan sebagai pendekatan utama bagi
melonjakkan Malaysia ke status negara maju.  Peranan pendidikan adalah amat penting
dalam menjayakan kelima-lima teras Misi Nasional terutama sekali Teras 2 dan Teras 3. 
Justeru kerana itu, PIPP telah menggariskan Pembangunan Modal Insan sebagai teras
kedua.  

4
2.1 Pemikiran Profesional Guru

Yang Berhormat Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia,
dalam ucapannya pada perhimpunan bulanan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
bertarikh 3 April 2006 menyatakan bahawa salah satu dasar yang telah ditetapkan oleh
KPM untuk dilaksanakan dalam RMK9 ialah Memartabatkan Profesion Keguruan.
Sebagai penjana masyarakat berilmu dan bertamadun, martabat guru sememangnya
wajar untuk ditingkatkan ke tahap yang tinggi berbanding profesion lain. Usaha kerajaan
ke arah itu bukanlah sesuatu yang baru dalam pendidikan negara. Apa yang dilakukan
oleh kerajaan dalam RMK9 itu merupakan kesinambungan daripada usaha-usaha
pemimpin terdahulu dengan beberapa penambahbaikan dan peruntukan yang lebih jelas
sesuai dengan keperluannya yang semakin mendesak dalam era globalisasi yang
menuntut guru agar berperanan dengan lebih luas lagi.

Menurut Dr. Jamil Adimin (2006), profesion keguruan dapat ditingkatkan


martabatnya melalui proses pentaksiran. Istilah profesion keguruan (teaching profession)
bermaksud bidang pekerjaan yang berkaitan dengan pemindahan dan pembinaan ilmu,
seni, kemahiran dan nilai kepada seseorang dengan cara kuliah, tunjuk ajar, teladan,
nasihat, indoktrinasi, amali, bekerja bersama, berhujah dan berdiskusi sehingga terpahat di
minda, pekerti dan perlakuan orang itu terhadap perkara yang dikehendaki (Pendidik, 2006).
Pengertian ini jelas menunjukkan bahawa profesion keguruan bukan sekadar pekerjaan
yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran tertentu
sahaja. Sebaliknya, profesion keguruan adalah lebih luas dan mencabar berbanding
profesion lain.

Seorang guru seharusnya sedar bahawa apa yang perlu mereka bina dalam diri para
pelajar bukan semata-mata ilmu, pengetahuan dan kemahiran dalam sesuatu bidang
malahan nilai, pekerti mulia, jati diri sebuah negara bertamadun dan keupayaan mental,
fizikal, spiritual dan sosial. Menurut Shimon Peres, Perdana Menteri Israel, pendidikan
moden hendaklah mengajar murid-murid tiga perkara iaitu pembelajaran berterusan;
bekerja dengan orang yang berbeza-beza tetapi boleh hidup; dan membangun serta
menyumbang dalam keadaan yang serba berubah (Jamil Adimin, 2006). Sekiranya inilah
yang dituntut oleh pendidikan moden, profesion keguruan nyata jauh lebih luas daripada
sekadar memenuhi objektif, matlamat dan kandungan kurikulum kebangsaan seperti yang
tercatat dalam Ministry of Education Malaysia (1982).

5
Tanggungjawab mengkaji semula makna, skop, tujuan dan keberkesanan profesion
keguruan pastinya terletak di bahu pemimpin pendidikan dan pembuat polisi sesebuah
negara. Walau bagaimanapun, guru yang mencintai profesion keguruan pasti ingin agar
kehadirannya dalam masyarakat dan sistem pendidikan di negara ini membawa makna.
Justeru itu, guru juga dituntut untuk sama-sama berfikir bagaimana profesion keguruan
dapat diberi erti yang lebih luas daripada yang sedia ada. Proses memartabatkan profesion
perguruan bukan suatu proses yang mudah tetapi memerlukan komitmen yang tinggi
daripada semua pihak dalam masyarakat. Proses ini bukan sahaja merupakan keperluan
tempatan (local trend) malahan juga merupakan kecenderungan global (global trend).
Keperluan tempatan dalam hal ini dapat dilihat daripada wawasan negara untuk mencapai
negara maju menjelang tahun 2020 dengan sembilan cabaran di mana sebahagian
besarnya boleh dipacu melalui sistem pendidikan.

Selain itu, keperluan tempatan untuk memartabatkan profesion keguruan juga boleh
dilihat dari aspek pengajaran, pentaksiran dan pembelajaran yang memerlukan perubahan
selaras dengan kehendak masyarakat majmuk yang rata-ratanya mahukan pendidikan
kebangsaan yang berkualiti setaraf dengan standard antarabangsa. Hal ini dapat dilihat
dalam masyarakat sekarang di mana banyaknya sekolah dan institusi swasta yang
menawarkan pendidikan bermutu untuk menarik masuk lebih ramai anak-anak tempatan
dan antarabangsa. Manakala kecenderungan antarabangsa mutakhir ini juga ke arah
meletakkan profesion keguruan pada kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Sebagai
contoh, kedudukan guru bersama polis dan jururawat adalah sama di mana golongan ini
merupakan penerima gaji yang tinggi mengatasi profesion lain dalam perkhidmatan awam
mereka. Dalam hal ini, Malaysia tidak ketinggalan dalam usaha menawarkan banyak
insentif dalam bentuk kenaikan pangkat, skim gaji yang menarik dan imbuhan gaji.

Profesion keguruan merupakan profesion yang amat penting, dipandang tinggi dan
berperanan penting dalam masyarakat. Dengan kedudukan dan peranan yang penting itu,
jangkaan masyarakat terhadap guru juga amat tinggi. Apabila sedikit kesilapan yang
dilakukan oleh guru, perkara tersebut akan dipandang sangat serius atau besar implikasinya
oleh masyarakat. Hal ini menyebabkan cabaran profesion keguruan juga amat besar.
Pandangan dan jangkaan masyarakat terhadap guru berubah-ubah mengikut tahap umur,
latar belakang, sosio-ekonomi dan budaya seseorang. Sebagai contoh, apabila ditanya
kepada pelajar sekolah menengah, mereka akan menjawab, ” Saya suka guru yang wangi”
dan ”Saya suka guru yang berpakaian kemas”. Oleh itu, jelaslah ditunjukkan di sini

6
bahawa guru sering dipandang dan diambil teladan oleh murid malahan mereka juga sering
memandang tinggi terhadap guru terutamanya guru yang sering mengambil berat terhadap
diri mereka. Selain itu, banyak kajian lain yang telah dilakukan berhubung jangkaan umum
terhadap ciri-ciri guru yang baik antaranya ialah guru yang baik mestilah mempunyai minat
yang mendalam (enthusiasm), sentiasa bersedia, suka berjenaka (humour), adil (fairness),
mampu melayan murid secara individu dan memeriksa kerja murid tanpa bertangguh.

Tugas mendidik bukanlah suatu perkara yang mudah dan boleh dianggap remeh
oleh guru mahupun masyarakat. Hal ini demikian kerana, pelbagai cabaran dan masalah
dihadapi oleh guru mutakhir ini, lebih-lebih lagi dalam era ledakan informasi dan globalisasi.
Hal ini sekaligus menuntut guru agar lebih peka dengan segala perubahan yang berlaku di
sekelilingnya dan juga di luar lingkungannya. Tuntutan ke atas guru untuk melaksanakan
dan mengambil tanggungjawab tidak terhad kepada proses pengajaran, pembelajaran dan
pentaksiran dalam bilik darjah semata-mata. Sebaliknya, guru diberi amanah dan
tanggungjawab untuk memupuk individu murid sebagai modal insan cemerlang yang
mampu menjadi aset kepada pembangunan dan kemajuan negara. Perkara ini sekaligus
menuntut guru mempertingkatkan tahap profesionalisme mereka dalam mengenal pasti
masalah, mengumpul maklumat, menganalisis dan menilai maklumat sebelum dapat
menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.

Menyimpul hasrat Dato’ Seri Hishammuddin melalui empat strategi utama beliau
untuk memartabatkan profesion keguruan, iaitu melalui penekanan terhadap aspek
pemilihan guru, usaha pemantapan karier keguruan, usaha penambahbaikan persekitaran
kerja guru dan akhir sekali usaha meningkatkan rasa bangga dan keyakinan diri guru serta
mengembalikan penghormatan masyarakat terhadap profesion keguruan. Dato’ Seri
Hishammuddin sangat menekankan kepentingan untuk memilih calon guru yang bukan
sahaja mempunyai kecemerlangan akademik dan sahsiah, malah memiliki ciri keguruan,
mempunyai kesungguhan untuk menjadi seorang guru, bangga dengan profesion tersebut
serta meyakini kebolehan diri untuk memikul amanah mendidik generasi muda.

Selain itu, beliau turut menekankan agar bakal guru mempunyai penglibatan dalam
aktiviti kokurikulum sesuai dengan penekanan negara terhadap pendidikan yang holistik.
Mutakhir ini, kerajaan telah mengambil satu langkah bijak dengan mengetatkan lagi syarat-
syarat pengambilan calon guru untuk mengikuti program pengajian agar kualiti guru
terjamin. Hal ini sememangnya perlu kerana masyarakat sememangnya mahu orang yang

7
berjiwa guru dan benar-benar berminat menjadi guru dipilih, bukan mereka yang memilih
profesion ini sebagai pilihan terakhir akibat tidak layak untuk mengikuti kursus lain yang
diminati. Sehubungan dengan itu, kewibawaan profesion perguruan akan dapat
dipertahankan pada tahap yang tinggi.

Walau bagaimanapun, tata laku ’sumbang’ guru sering kali dipaparkan di media
massa hari ini. Profesion keguruan dikatakan semakin tenat dan amat membimbangkan.
Guru dikatakan sedang menghadapi tekanan tugas yang amat berat. Seringkali
didedahkan dalam media massa bahawa guru tidak cergas, guru merokok, guru kerap
datang lewat ke sekolah dan guru yang suka mengambil kesempatan terhadap murid sama
ada merogol atau mencabul pelajar mereka. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku
dalam dunia perguruan kerana guru seharusnya menjadi contoh terbaik kepada para
pelajarnya. Justeru itu, langkah mengetatkan lagi syarat-syarat pengambilan untuk menjadi
guru dengan mewajibkan mereka menghadapi ujian personaliti serta menghadiri temuduga
adalah suatu langkah bijak yang harus dilestarikan supaya profesion ini tidak dipandang
rendah oleh masyarakat.

Guru merupakan penggerak dan penyebar kurikulum. Kurikulum merupakan nadi


utama pendidikan. Kurikulum merangkumi pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di sekolah
bertujuan mencapai matlamat pendidikan yang ditentukan. Dalam konteks Malaysia,
Falsafah Pendidikan Kebangsaan mengariskan aspek penting membimbing pembelajaran
pelajar ke arah memaksimakan potensi diri masing-masing. Kurikulum juga dilihat sebagai
hasrat, pelan atau preskripsi mengenai ‘apa’ diingini berlaku di sekolah. Dalam bentuk
pemahaman yang mudah, kurikulum menghubungkan antara hasrat dengan realiti (Salleh
Abd. Rashid, 2003).

Faktor utama yang menjadi penentu kepada penyebaran kurikulum ialah ideologi
atau pengetahuan penyebar (guru). Ideologi boleh difahami sebagai premis nilai tentang
perkara-perkara yang membawa kepada penggubalan pendidikan. Ini mencerminkan
tentang perkara yang bernilai atau bermanfaat dipelajari oleh pelajar di sekolah. Dua
konsep penting yang berkaitan dengan ideologi ialah nilai dan kepercayaan. Urutan
daripada ini ialah bagaimana guru menyebarkan kurikulum yang dihasratkan ini bersulam
dengan ideologi iaitu nilai dan kepercayaan yang tersedia dalam pemikiran para guru itu
sendiri.

8
Kepercayaan diri guru merupakan satu set tingkah laku yang merancang dan
memandu jenis-jenis tingkah laku guru kerana tingkah laku mengesahkan kepercayaan diri.
Maka, pegangan kepercayaan dan nilai guru mempengaruhi pengajaran guru berdasarkan
pemikiran yang difikirkan akan memberi manfaat kepada pelajar. Orientasi nilai
kepercayaan ini mempengaruhi pengajaran guru terhadap pelajarnya di dalam kelas. Sikap
guru terhadap kurikulum dan pengajaran menentukan kejayaan atau kegagalan penyebaran
sesuatu kurikulum. Pegangan sikap akan menentukan jumlah usaha, ketekunan dan
keputusan guru sama ada kurikulum dianjurkan bakal terlaksana atau tidak. Guru perlu
mempunyai lokus kawalan diri yang positif terhadap kurikulum dan pengajaran kerana guru
ini akan berinisiatif tinggi dan berperanan sebagai ‘pengusaha’ terbaik dalam
menterjemahkan pengajaran untuk menyebarkan kurikulum.

Secara umumnya, terdapat tiga jenis kurikulum iaitu kurikulum yang dihasratkan,
kurikulum yang beroperasi dan kurikulum yang dipelajari. Kurikulum yang dihasratkan
adalah bersifat ideologi manakala kurikulum yang beroperasi adalah meliputi kemahiran dan
nilai yang cuba diterapkan. Manakala, kurikulum yang dipelajari ialah perkara yang
diperoleh hasil daripada kurikulum yang beroperasi. Dalam hal ini, ternyata bahawa
kurikulum yang beroperasi sangat berpengaruh terhadap kurikulum yang lain. Guru telah
diberi mandat yang bertindak sebagai ’jurutera’ untuk membina dan membentuk pemikiran
pelajar hasil daripada pancaran pemikiran profesional guru itu sendiri. Walau
bagaimanapun, sejauh manakah tahap profesionalisme guru dalam mengoperasikan
kurikulum?

Terdapat empat elemen profesionalisme profesion yang besar iaitu persediaan


profesional, sikap profesional, pembangunan kerjaya profesional dan pemikiran yang
profesional. Pemikiran merupakan proses dalaman mental yang dapat difahami melalui
perlakuan seseorang. Pemikiran guru merupakan faktor penting dalam menentukan variasi
pendidikan dan sangat berpengaruh dalam menghasilkan suasana semasa sesi
pembelajaran. Perkara ini melibatkan bagaimana seseorang guru itu mengumpul,
mengorganisasi, menginterprestasi dan menilai maklumat sebelum disebarkan. Menurut
Prof. Dr. Madya Salleh Abdul Rashid (2003), semasa aktiviti ini, kraf seorang guru,
pengetahuan profesional, kemahiran ‘in-action’ dan refleksi banyak digunakan. Aktiviti ini
merupakan resipi terpenting kepada peranan guru bagi menentukan ‘apa’ yang difikir guru
dengan ‘apa’ yang dilaksanakan serta memahami penerimaan dan penolakan kurikulum

9
terhadap pelajar. Pengukuran tentang pemikiran guru ini boleh dikesan hasil interaksi tiga
perlakuan utama yang saling mempengaruhi antara satu dengan yang lain, iaitu tingkah
laku guru, tingkah laku pelajar dan pencapaian pelajar (Salleh Abd. Rashid, 2003).

2.2 Amalan Profesional Guru

Amalan profesionalisme keguruan melibatkan usaha, pengajaran dan cara sesuatu


pengajaran disampaikan oleh guru. Seorang guru yang profesional mempunyai nilai, norma
dan etika perkhidmatan yang profesional berdasarkan kepada tonggak dua belas iaitu
menghargai masa, ketekunan, keseronokan bekerja, kesederhanaan, ketinggian peribadi,
sifat baik hati, pengaruh teladan, kewajipan menjalankan tugas, kebijaksaanaan, kesabaran,
meningkatkan bakat serta mencipta sesuatu yang baru (INTAN, 1992).

Setiap guru seharusnya mempunyai sikap menghargai masa supaya setiap


pekerjaan mahupun perancangan yang sudah direncanakan dapat disiapkan dengan
sebaiknya serta mencapai objektif yang sebenar kerana masa yang berlalu tidak akan
berulang lagi. Walau bagaimanapun, pengajaran yang ingin disampaikan kepada pelajar
seharusnya bukan sekadar untuk memenuhi silibus yang telah ditetapkan oleh pihak
sekolah. Sebaliknya, guru perlu menyampaikannnya dengan niat untuk menyebarkan ilmu
kepada pelajar supaya pelajaran mudah diterima dan difahami oleh pelajar.

Di samping itu, seseorang guru seharusnya memiliki sifat tekun dan bersederhana
dalam melakukan sesuatu. Bersederhana dalam konteks ini bukanlah bermaksud guru
tersebut adalah lemah tetapi kesederhanaan tersebut mampu menjadi aset yang paling
berharga sekiranya ditambah dengan ketekunan dalam melakukan sebarang kerja. Selain
itu, guru juga perlu mempunyai kesabaran dan kebijaksanaan yang tinggi kerana guru pada
zaman kini menghadapi situasi yang lebih sukar berbanding guru pada zaman dahulu. Hal
ini demikian kerana, kebanyakan pelajar sekarang sudah pandai melawan dan tidak
menghormati guru. Justeru itu, guru perlulah bijak dalam menghadapi pelajar yang nakal
dan suka melawan dengan penuh berhemah dan bersabar. Sabar adalah senjata yang
sangat penting dalam situasi ini supaya profesion sebagai seorang guru tidak tercalar dan
tidak dipandang rendah oleh masyarakat. Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W telah
bersabda, ”Sabar itu adalah sebahagian daripada iman”. Oleh itu, amatlah perlu bagi
seseorang guru supaya mempunyai sifat sabar kerana sifat tersebut merupakan cermin
sikapnya terhadap pelajar dan masyarakat.

10
Selain itu, guru yang baik dan profesional sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan
tidak berat sebelah terhadap para pelajar. Pelajar-pelajar tidak dibeza-bezakan sama ada
cemerlang atau lemah dalam kurikulum mahupun kokurikulum. Malahan, guru tersebut
sentiasa mempunyai sifat terbuka dan berfikir untuk kebaikan para pelajarnya serta mampu
menjadi teladan yang terbaik di hadapan mereka. Guru yang profesional juga akan
menjalankan kewajipannya dengan ikhlas serta sentiasa mempunyai idea yang bernas dan
baru supaya pembelajaran yang ingin disampaikan kepada para pelajarnya lebih berkesan
dan mampu dipraktikkan oleh mereka dan bukan secara sambil lewa seperti ’melepaskan
batuk di tangga’.

Seperti mana profesion lain, profesion perguruan juga memerlukan perancangan


dan pengurusan sumber tenaga yang kemas, tersusun dan sistematik sama ada dari segi
perancangan mahupun pelaksanaannya. Bagi menghasilkan tenaga dan sumber yang
berkualiti, sudah tentu profesion perguruan perlu mengambil kira beberapa aspek penting
dalam perancangan tenaga dan sumbernya yang merangkumi empat kategori iaitu
perancangan strategik, penentuan kualiti perkhidmatan, penentuan kualiti proses dan
penentuan kualiti tenaga manusia (Dr. Mohd. Rais, 1991). Walau bagaimanapun, selain
daripada empat aspek penting tersebut, terdapat beberapa cara atau pendekatan yang
boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti guru seperti melalui penggunaan senarai
semakan kualiti untuk menilai kesedaran setiap anggota sesebuah organisasi berkenaan
terhadap asas-asas kualiti dan pengurusannya.

Kepuasan kerja merupakan suatu aspek penting dalam kehidupan seseorang guru.
Kepuasan kerja melibatkan interaksi antara pekerja dengan pekerjaannya di samping
keadaan emosi yang menyeronokkan hasil daripada tafsiran seseorang terhadap
pekerjaannya sebagai menyenangkan dan berjaya (Rorzali Salleh, 1999). Kepuasaan
bekerja sangat penting supaya seseorang guru menjalankan pekerjaannya dengan ikhlas
sama ada dalam kerja-kerja menyediakan bahan pengajaran atau pengurusan bilik darjah.
Menurut Mahatma Gandhi, ”Work done spontaneously and joyfully is never oppressive”
yang bermaksud pekerjaan yang dilakukan secara spontan dan penuh kegembiraan tidak
akan mendatangkan keletihan. Justeru itu, perasaan ini amat perlu diterapkan dalam diri
setiap guru agar mereka dapat membiasakan diri dalam melaksanakan tanggungjawab
yang diberikan.

11
Guru yang berkesan dan kaya dengan pengalaman seharusnya menganggap
ketidakupayaan seseorang murid sebagai ’peluang’ kepada diri sendiri untuk
mempraktikkan segala bidang ilmu yang telah dipelajari semasa di institusi pendidikan atau
di universiti. Salah satu bidang ilmu dalam pedagogi yang diajarkan kepada guru-guru ialah
amalan reflektif. Amalan reflektif berbeza dengan amalan refleksif. Hakikat ini harus
diperjelas kerana amalan reflektif melibatkan pemikiran yang mendalam dan penilaian yang
kritis sedangkan refleksif hanya tindakan spontan dan semula jadi hasil daripada reaksi
kepada sesuatu kejadian.

Melalui amalan reflektif, seorang guru bukan sahaja dapat memanfaatkannya untuk
membantu murid-muridnya meminati pelajaran, malah mengelakkan mereka daripada
keciciran ilmu dalam kalangan murid sehingga menyebabkan mereka tidak lagi mahu
bersaing dengan rakan-rakan yang lebih cemerlang dan sentiasa berasa rendah diri yang
lama-kelamaan akan menyebabkan mereka menjadi kelompok murid yang gagal atau
lemah dalam pelajaran. Guru reflektif pastinya tidak akan mengabaikan potensi muridnya
sebaliknya membantu muridnya membuat refleksi agar situasi ’menang-menang’ dapat
diperoleh. Sekiranya situasi ini dapat diwujudkan, prestasi sesebuah sekolah dapat
ditingkatkan.

Tugas mendidik atau ’memanusiakan manusia’ bukanlah kerja mudah kerana


mengajar turut dianggap sebagai ’seni’. Justeru, guru-guru seharusnya bersedia menerima
segala cabaran di sekolah dan menghadapinya sebagai pengalaman berharga dan
seterusnya memperoleh kepuasan diri. Menurut Combs (1982),

”Learning always involve two things, exposure to new information or


experience and the personal discovery of what it means. Any
information will affect a person’s behavior only in the degree to which
he or she has discovered personal meaning of that information.”

Oleh itu, tidak menjadi rahsia lagi, kepuasan bekerja ialah perencah kecemerlangan.
Justeru, dalam konteks perguruan, amalan reflektif haruslah disebarluaskan, dimanfaatkan
dan dipraktikkan oleh guru-guru kerana keberkesanannya tidak diragui lagi, malahan
amalan reflektif wajib diajarkan kepada guru-guru pelatih sebagai persediaan apabila
ditempatkan di sekolah-sekolah nanti.

12
Di antara ciri-ciri guru reflektif ialah sentiasa berfikir tentang tujuan, isi kandungan
dan tindakan dalam konteks pengajaran, sentiasa mempelajari dan memahami sesuatu
yang baharu hasil daripada pengalaman yang pernah dilalui, berusaha memperbetul
sebarang kesilapan dan perlakuan semasa merancang dan melaksanakan pengajarannya,
boleh menghubungkait apa-apa yang dipelajari atau dialami dengan tugas dan kehidupan
harian, sentiasa melihat sesuatu isu atau masalah dari pelbagai perspektif agar
penyelesaian terbaik dapat dibuat dengan lebih sistematik serta sentiasa mempelajari
daripada apa yang telah dilakukan agar memberi makna kepadanya dalam konteks
peribadi, profesion, masyarakat dan negara.

Manakala, amalan refleksi dapat memperkaya diri dan merangsang amalan


profesional. Ia bertindak sebagai forum untuk membuat keputusan yang mengakibatkan
tindakan tentang konteks pengajaran. Refleksi yang dikemukakan oleh Dewey (1933)
menjadi batu asas dalam mengkaji proses kognitif guru semasa membuat keputusan
tentang pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan refleksi memerlukan perkembangan
sikap dan kebolehan seperti keterbukaan, kerelaan untuk menerima tanggungjawab untuk
membuat keputusan dan mengambil tindakan (Boon Pong Ying, 2003). Amalan refleksi
mampu memberi peluang kepada guru untuk menganalisis diri serta menyedari tentang
kekuatan dan kelemahan diri. Dengan ini, guru dapat membaiki diri serta mengubah cara
pembelajaran mereka supaya pelajaran dapat disampaikan kepada pelajar dengan lebih
efektif dan berkesan.

Walau bagaimanapun, kedua-dua reflektif dan refleksi ke atas tindakan dapat


membantu guru berkembang diri dalam bidang profesionalnya kerana kedua-dua aspek ini
adalah sangat penting dalam pembentukan profesionalisme keguruan kerana kedua-dua
aspek ini adalah saling bertindak serta mempunyai hubungan dan kesinambungan dalam
mengekalkan serta membentuk peribadi profesional dalam diri setiap guru.

13
3.0 Syarat-syarat dan Kepentingan Profesionalisme

“As teachers we must believe in change, we must know it is


possible, or we wouldn’t be teaching – because education is
a constant process of change. Every single time you “teach”
something to someone, it is ingested, something is done with it,
and new human being emerges.”
(Leo Buscaglia)

Ungkapan di atas menggambarkan betapa pentingnya peranan guru sebagai


penyampai ilmu dan kemahiran kepada pelajar-pelajar dan mencorak kehidupan mereka.
Guru sering diibaratkan sebagai lilin yang mampu memberikan sinar dalam kehidupan
pelajar di samping membantu mencorak kehidupan mereka. Namun, sebagai guru, kita
seharusnya peka terhadap perubahan yang berlaku dalam pendidikan. Guru sebagaimana
ditakrif oleh Iman Al-Ghazali sebagai seseorang yang menyampaikan sesuatu yang baik,
positif, kreatif atau membina kepada seseorang yang berkemampuan tanpa mengira
peringkat umur walau terpaksa melalui dengan pelbagai cara dan kaedah sekali pun tanpa
mengharapkan sebarang ganjaran (Hamid Fahmy Zarkasyi, 1990).

Seorang guru sangat berperanan besar dalam merealisasikan perlaksanaan


kurikulum di sekolah. Sebagai seorang guru, terdapat beberapa elemen penting
profesionalisme keguruan yang memerlukan penghayatan sebagai syarat dalam
melaksanakan kurikulum di sekolah. Elemen-elemen ini boleh dikesan terjemahan daripada
kepercayaan, nilai dan sikap guru sewaktu menyebarkan kurikulum dalam pengajaran di
bilik darjah. Hal ini disahkan lagi tertakluk kepada kekangan dan peluang yang tersedia
semasa guru-guru ini berusaha menterjemah kurikulum di bilik darjah. Ternyata guru-guru
masa kini perlu mempunyai secukupnya elemen dan kefahaman tentang profesionalisme
keguruan terhadap kurikulum dan pengajaran di bilik darjah. Hal ini bertujuan agar
kekangan dapat dikurangkan dan peluang dapat digunakan bagi memaksimakan
pengajaran, mengembangkan potensi insan sekaligus meningkatkan tahap profesionalisme
keguruan itu sendiri (Salleh Abdul Rashid, 2003).

Fenomena hari ini jelas menunjukkan bahawa pelbagai institusi awam dan swasta
sama ada di dalam mahupun di luar negara, telah melahirkan ’lambakan’ guru saban tahun
ke dalam pasaran. Namun, persoalannya sekarang, adakah lambakan guru yang dihasilkan
tersebut mampu mendokong aspirasi negara dalam usaha untuk melahirkan modal insan
yang cemerlang, gemilang dan terbilang sama ada dari segi jasmani, emosi, rohani

14
mahupun intelek? Adakah guru-guru yang dipasarkan ini benar-benar bersedia
mengharungi profesion ini? Persoalan ini perlu dijawab sendiri oleh individu yang bakal
bergelar guru kerana profesion perguruan hari ini sangat memerlukan tahap profesional
yang tinggi untuk memastikan seseorang guru itu benar-benar berwibawa. Pencapaian
yang cemerlang bagi seseorang guru tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur tahap
profesionalnya. Justeru itu, adalah perlu bagi seseorang guru itu supaya sentiasa bersedia
dan mempersiapkan diri menghadapi profesion yang mencabar ini dengan baik.

Menurut Prof. Dr. Madya Salleh Abdul Rashid (2003) lagi, beliau menyatakan
bahawa adalah sangat penting pada hari ini untuk melahirkan tenaga kerja yang
mempunyai keupayaan pemikiran yang kritikal dan bereflektif tinggi supaya ahli profesional
yang bebas dari kongkongan dan cara ’tradisi’ dalam mengidentifikasi serta menyelesaikan
masalah dapat dilahirkan. Beliau turut mengemukakan pendapat dalam penulisannya
bahawa terdapat dua komponen penting dalam pemikiran diri iaitu keupayaan untuk
membezakan antara membuat refleksi secara sedar dengan pengenalan antara nilai yang
berbeza. Dua komponen tersebut mampu membantu guru dalam membuat refleksi yang
adil dan seimbang dengan mudah tanpa mengutamakan kepentingan pemikiran sendiri.
Oleh itu, pemikiran guru mampu mempengaruhi dan menentukan sejauh mana kurikulum
yang dihasratkan dapat dilaksana kerana perkara ini adalah berkaitan dengan kepercayaan,
pemikiran, pertimbangan, pengetahuan dan keputusan guru. Selain itu, pelbagai interaksi
yang berlaku dalam proses pelaksanaan kurikulum tersebut akan menjelaskan jurang yang
wujud jangkaan sebenar guru terhadap pelajar dan amalan pengajaran yang sebenar.

Memahami pemikiran guru mampu meningkatkan kefahaman tentang penerimaan


dan penolakan guru terhadap sesuatu inovasi dan menggambarkan kesediaan guru dalam
mengadaptasi kurikulum dalam persekitaran pendidikan yang wujud di sekitar guru. Hal ini
sekaligus mampu membaiki serta meningkatkan lagi tahap profesionalisme keguruan.
Pengajaran yang disampaikan oleh guru dengan hanya berdasarkan kefahaman konsep
guru semata-mata adalah sangat ’merbahaya’ dan seringkali mendapat kegagalan atau
penerimaan yang ’songsang’ oleh penerima. Oleh itu, penyebaran ilmu kurikulum melalui
pemikiran guru harus cuba menghampiri konteks keperluan konsep pengajaran dan
pembelajaran yang mampu mewujudkan hasrat paradigma progresif, khususnya mengenai
apa yang dihasratkan dengan ruang lingkup pemikiran guru tentang pendidikan, konsep
teori dan amalan serta organisasi sekolah dengan masyarakat.

15
Individu yang terlibat dalam sesuatu profesion seharusnya bersikap profesional
dalam setiap hal yang berkaitan profesionnya. Individu tersebut seharusnya bijak
mengasingkan perkara yang tidak berkaitan daripada profesionnya supaya perkara tersebut
tidak akan mengganggu gugat tahap profesionalismenya. Profesionalisme sangat penting
dalam setiap profesion terutamanya profesion keguruan kerana profesion ini sering
dipandang dan dinilai oleh masyarakat. Selain itu, tahap profesionalisme seseorang guru
sangat berkait rapat dengan mutu pendidikan dari beberapa segi, seperti sikap dan nilai
guru dalam pengajarannya sebagai contoh, akan mempengaruhi minat, sikap dan nilai
pelajarnya malahan, pendekatan yang digunakan juga mampu mempengaruhi tingkah laku,
tahap penerimaan dan kefahaman pelajar dalam pembelajaran.

Di samping itu, menurut Sufean Hussin (2004), mutu pendidikan negara juga berkait
rapat dengan keberkesanan dalam menggunakan sumber pengajaran secukupnya yang
turut mampu mempengaruhi minat, kefahaman, penyertaan dan pencapaian pelajar dalam
pembelajaran. Mutu pendidikan juga adalah berhubung dengan personaliti guru yang akan
menentukan iklim pembelajaran pelajar. Keberkesanan dalam profesion perguruan adalah
berkait rapat dengan keupayaan dan usaha guru yang gigih bagi menyempurnakan
terhadap pelajar, sekolah serta masyarakat. Di antara tumpuan keberkesanan dalam
profesion ini ialah sejauh mana berkesannya penggunaan sesuatu sumber dan teknologi
pengajaran, penggunaan kaedah pengajaran, bagaimana mewujudkan suasana
pembelajaran yang sihat dan kondusif dalam bilik darjah serta penerapan nilai-nilai murni di
kalangan pelajar.

Mutu perguruan pada pandangan masyarakat adalah berbeza-beza mengikut


tempat dan suasana. Teori dan praktis perguruan haruslah seimbang dengan dengan
pengetahuan-pengetahuan sampingan yang sesuai untuk bakal guru seperti kepimpinan,
pentadbiran pelajaran, sukan dan aktiviti kemasyarakatan yang perlu dititikberatkan.
Seorang guru yang profesional menjalankan tugas dan tanggungjawabnya bukan secara
rutin, sebaliknya setiap situasi atau masalah baru diselesaikan dengan cara yang tersendiri.

16
4.0 Etika Profesional Guru

Etika adalah suatu konsep yang sangat penting dalam kehidupan dan semua jenis
profesion, khususnya perguruan kerana etika mengandungi nilai dan makna untuk sesuatu
profesion. Fungsi etika ialah untuk mengembangkan faktor manusia dan kemanusiaan
dalam setiap bidang kehidupan. Daripada perspektif falsafah, etika biasanya dikaitkan
dengan nilai, moral dan estetika (Tajul Ariffin Noordin, 2007). Berdasarkan pengertian di
atas, guru yang beretika akan sentiasa mengamalkan tingkah laku yang baik, mematuhi
peraturan kerja dan menjalani kehidupan dengan budaya hidup yang sihat dan harmoni.
Manakala, menurut Sufean Hussin (2004), peraturan ialah etika peradaban dalam
bertingkah laku. Peraturan yang diinstitusikan dan yang didaulatkan menjadi undang-
undang, sementara yang lain menjadi adat istiadat atau norma implisit tetapi diketahui oleh
sebilangan besar ahli masyarakat. Individu yang tidak mematuhi norma atau melanggar
peraturan yang ditetapkan biasanya dikenakan hukuman agar tingkah lakunya normatif
(Sufean Hussin, 2004). Dari perspektif Islam pula, etika bermaksud tingkah laku
berasaskan Al-Quran dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. Oleh itu, maksud etika
profesional di sini ialah semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti,
produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua
aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku
profesion dalam masyarakat.

Merujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), kekuatan dalaman untuk


pembinaan etika keguruan boleh dimulakan dengan kekuatan potensi rohani yang
membawa maksud potensi rohani dihayati dalam potensi intelek, emosi dan jasmani.
Kekuatan dalaman boleh ditingkatkan menerusi peningkatan kepercayaan kepada Tuhan
yang merupakan antara ciri fitrah insaniah (Tajul Ariffin Noordin, 2007). Kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan akan memberi kekuatan kepada guru dalam melaksanakan
tugasnya sebagai ibadah atas prinsip ehsan. Kekuatan dalaman ini dapat memurnikan lagi
etika keguruan ke arah melahirkan perkhidmatan yang berkualiti kerana apabila potensi
rohani ditambah dengan amalan etika keguruan, perkhidmatan keguruan akan menjadi lebih
berkualiti. Perkara inilah yang dihasratkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(PIPP) 2006-2010.

17
Menurut Sufean Hussin (2004) lagi, prestij atau martabat profesion perguruan
dipercayai dapat dipelihara melalui beberapa amalan seperti seorang guru tidaklah harus
bertingkah laku buruk sehingga boleh mencemarkan sifat profesionnya dan yang akan
menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan serta dia
haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan tiap-tiap muridnya (Sufean Hussin,
2004). Selain itu, dalam semua hubungan dan tugas seseorang guru hendaklah
menjalankannya dengan jujur di samping bersedia untuk bertugas sebagai ‘pengganti ibu
bapa’ dalam usaha membentuk tingkah laku murid-murid ke arah matlamat-matlamat yang
diterima oleh masyarakat. Setiap guru mempunyai tanggungjawab terhadap pelajar, rakan
sejawat dan profesion perguruan, masyarakat dan negara serta tanggungjawab terhadap
ibu bapa pelajar.

Seorang guru bertanggungjawab terhadap pelajar dalam mengutamakan kebajikan


dan keselamatan serta bersikap adil terhadap setiap orang pelajarnya. Tanggungjawab
guru terhadap rakan sejawat dan profesion perguruan pula ialah saling membantu rakan
sejawat terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan serta mengelakkan diri
daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik
seseorang guru di samping tidak melibatkan diri dengan kegiatan yang boleh menjejaskan
kecekapan sebagai seorang guru. Manakala, tanggungjawab terhadap masyarakat dan
negara ialah menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar,
masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan dengan Rukun Negara di samping
memupuk dalam diri sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk
menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna. Tanggungjawab
terhadap ibu bapa pula ialah menghormati tanggungjawab mereka terhadap anak-anak
mereka serta memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak
mereka.

Guru perlu memiliki kod etikanya sendiri demi memartabatkan profesion perguruan.
Kod etika dianggap penting kerana kod etika menyediakan garis panduan bagaimana
bertingkah laku dalam profesion perguruan. Oleh itu, kod etika tersebut adalah sesuai
untuk dirujuk dan diamalkan oleh guru. Selain itu, Kod Etika Perguruan menyatakan
dengan jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam bidang
pendidikan. Guru lebih faham dan jelas tentang tanggungjawab mereka atau dengan

18
perkataan lain etika keguruan bermaksud tugas hakiki guru yang menekankan dua amanah
penting iaitu konsep ibadah dan pembangunan insan.

Di samping itu, kandungan yang dinyatakan dalam Kod Etika Perguruan di negara ini
menunjukkan perbezaan tertentu berbanding kod etika di negara lain. Justeru itu, guru
dapat melihat keunikan etika yang diamalkan sama ada di negara ini ataupun di negara lain.
Kod Etika juga adalah dalam bentuk dokumen sekaligus membantu usaha untuk menyemak
semula kod ini dapat dilakukan kerana kecemerlangan sesuatu profesion boleh dilihat
menerusi sejauh mana kod etikanya boleh dipertahankan dan dikuatkuasakan. Selain itu,
secara umumnya, menerusi kod etika, guru dapat meningkatkan lagi imej profesion
perguruan secara hitam putih dan rasmi. Keadaan ini dapat membuka mata masyarakat
untuk menghayati tanggungjawab guru yang luas dan berat dan menyokong guru dalam
mencapai matlamat pendidikan dan negara. Di samping itu, etika kerja merupakan nilai-
nilai yang penting dalam sesebuah organisasi. Pengamalan etika dapat mengekal, dan
memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas, serta memupuk
tanggungjawab bersama dan mengeratkan perhubungan antara ahli dalam organisasi
(INTAN, 1992). Oleh yang demikian, adalah penting setiap guru di Malaysia wajib
memahami kod etika perguruan sebagai landasan dan arah pandu dalam membangunkan
sebuah negara bangsa.

Pembinaan Negara Bangsa amat penting bagi sebuah negara yang berbilang kaum
dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina Negara Bangsa bergantung kepada
perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Ia menjadi semakin penting lebih-lebih lagi
dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan
sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan
dari pelbagai negara. Pembinaan negara bangsa bermaksud pembangunan sesuatu
masyarakat dalam sesebuah negara. Negara berbilang kaum dan agama pula bermaksud
sesebuah kerajaan yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada berbagai-bagai suku
bangsa dan kepercayaan. Manakala perkongsian nilai memberi maksud hidup bersama-
sama dalam suatu sifat ketinggian pemikiran kemasyarakatan. Semangat patriotisme pula
merujuk kepada perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Keseluruhannya, frasa
tersebut bermaksud pembangunan sesebuah masyarakat yang terdiri daripada berbagai-
bagai suku bangsa, hidup bersama-sama dalam suatu ketinggian sifat serta perasaan cinta
yang kuat terhadap tanah air bagi memajukan negara Malaysia yang tercinta.

19
Teras strategik PIPP yang pertama ialah membina Negara Bangsa. Dalam usaha itu,
kementerian berhasrat untuk membangunkan warganegara daripada awal persekolahan
dengan ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan
budaya dan kesenian bangsa. Perkataan glokal yang digunakan di sini adalah gabungan
antara dua perkataan iaitu global dan lokal. Global bermaksud antarabangsa, internasional
dan menjangkau seluruh dunia. Lokal adalah nasional, tempatan, dalam negara kita ini.
Masyarakat glokal yang kita impikan dan hasratkan ialah masyarakat yang berakar nasional
dan berakal internasional.

Jelas sekali teras strategik PIPP yang pertama adalah usaha menyemai dan
memperkukuhkan semangat patriotisme dan sayangkan tanah air. Pembinaan negara
bangsa adalah satu elemen yang amat penting dalam kejayaan negara. Fokus kementerian
dalam membina negara bangsa mencakupi usaha seperti memperkasakan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, memantapkan perpaduan dan
integrasi nasional, memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa. Akhir
sekali ialah memupuk kefahaman yang jelas terhadap pendekatan Islam Hadhari dalam
membentuk pemikiran dan kehidupan. Ternyata semua tanggungjawab bagi mencapai
kejayaan objektif PIPP yang pertama ini tergalas di bahu seorang guru. Tentunya guru-guru
perlu mempunyai semangat yang luar biasa di samping mempunyai ciri-ciri dalaman
keperibadian yang unggul sebelum mendidik keperibadian anak murid bagi pembinaan
sebuah negara bangsa.

Peranan dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang besar dan
mendalam dalam diri setiap individu. Dari kecil hinggalah menjawat jawatan yang hebat,
semua itu adalah hasil ajaran dan didikan guru di sekolah. Walupun begitu, dunia hari ini
semakin maju dan bergerak pantas seiring dengan era ledakan maklumat ini, guru tidak
terkecuali merasai tempiasnya. Peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh guru
semakin mencabar seiring kehendak kerajaan dan PIPP nya yang kita sedia maklum. FPK
(Falsafah Pendidikan Kebangsaan), Rukun Negara, Wawasan 2020, PIPP (Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan) dan Misi Nasionalnya, semuanya menekankan faktor
kepercayaan kepada Tuhan atau dengan kata lain pendekatan dari segi agama haruslah
menjadi perkara yang ‘ first and foremost’ dalam diri seorang individu yang bergelar guru.

20
Semua ibu bapa mengharapkan sekolah dan guru dapat meningkatkan kepercayaan
pelajar kepada Tuhan. Perkara ini menjadi lebih penting dan kritikal dalam kehidupan pada
era globalisasi kini. Hal ini bermaksud, kehidupan yang terlalu bersifat materialistik,
teknologi, kemewahan dan hiburan boleh menjejaskan keinginan manusia kepada Tuhan.
Dalam keadaan kekosongan inilah guru boleh membina kekuatan dalaman iaitu kerohanian
menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kerohanian yang mantap dan suci akan
membina intelek yang sihat, emosi yang stabil dan jasmani yang sejahtera. Keharmonian
dan keseimbangan potensi rohani, intelek, emosi dan jasmani akan menyubur dan
meningkatkan kepercayaan pelajar kepada Tuhan. Pembinaan kekuatan dalaman ini
mudah dilaksanakan jika guru menjalankan tugasnya sebagai ibadah dengan matlamat
membangunkan insan.

Di antara matlamat pendidikan pada masa kini ialah untuk mendidik pelajar supaya
memilih dan mengamalkan tingkah laku yang baik. Malangnya, hari ini kita berhadapan
dengan tingkah laku pelajar yang cukup negatif seperti tingkah laku ganas dan jenayah di
sekolah dan dalam masyarakat. Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku? Sebagai
jawapannya, mungkin kerana kita gagal membina konsep fitrah atau adalah tabii pelajar
tersebut menjadi liar dan ganas sehingga mereka memilih tingkah laku negatif dan tidak
normal. Jika perkara seperti ini terus dibiarkan, tingkah laku ini akan berkekalan dari alam
pelajar dan persekolahan hinggalah ke alam dewasa dan kehidupan. Oleh itu, adalah
menjadi tugas guru untuk memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran sentiasa
memelihara dan menyuburkan fitrah atau tabii pelajar supaya harmoni dan sihat. Fitrah atau
tabii murni inilah akan membina tingkah laku normal. Inilah etika guru yang diharapkan.
Sekali lagi, tugas ini hanya akan berjaya dilaksanakan sekiranya guru merealisasikan
amanah ibadah dan pembangunan insan dalam menjalankan tugas pengajaran dan
pembelajaran.

21
5.0 Penutup

Jatuh bangun institusi sosial seperti sekolah terletak di tangan guru, bukannya orang lain.
Di tangan warga pendidiklah tergenggam segala permasalahan pendidikan sejak sekian
lama, dan di pundak guru jugalah disandarkan harapan untuk mewarnakan dunia
pendidikan. Bagi mencapai agenda negara, pendidikan menjadi wahana utama. Pelajar di
semua peringkat perlu dididik dengan sempurna. Dalam hal ini, warga pendidik adalah
golongan di barisan paling hadapan dalam usaha membina generasi masa depan Malaysia
yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti kata Y.A.B Perdana Menteri Malaysia,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan
Pendidikan 2006-2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya
pada 16 Januari 2007:

“Di tangan warga pendidik hari ini kita serahkan untuk melahirkan generasi
cemerlang, yakni generasi celik minda dan mempunyai kekuatan mental bagi
menghadapi cabaran lebih kompetitif pada masa depan....”
(Berita Harian, 17 Januari 2007)

Seorang guru juga haruslah mempunyai ciri-ciri personal, ciri interpersonal, ciri profesional,
ciri intelektual yang baik, berkemahiran dalam pengurusan, kreatif dan inovatif, menguasai
ilmu pedagogi, dapat mengaplikasikan teori kepada amalan dan mengamalkan
pembelajaran ilmu sepanjang hayat. Walau bagaimanapun, tanggungjawab mendidik
bukan terletak di pundak guru semata-mata sebaliknya setiap individu masyarakat perlu
memainkan peranan masing-masing supaya pembinaan negara bangsa lebih sistematik
dan mencapai objektifnya. Justeru, dalam usaha untuk mencapai wawasan membina
negara bangsa, semua pihak harus bersatu padu dan bekerjasama.

Dalam perkara ini, Falsafah Pendidikan Guru (rujuk lampiran) merupakan garis
panduan utama yang boleh dijadikan rujukan oleh guru sebagai satu kod etika yang mampu
memberikan pemikiran dan amalan profesionalisme keguruan yang mantap dan stabil.
Oleh itu, setiap guru seharusnya mempunyai kesedaran serta semangat yang tinggi bagi
memartabatkan profesion perguruan pada tahap yang tinggi dan sepatutnya di mata
masyarakat. Sebagai konklusinya, pendidikan memainkan peranan yang sangat penting
dalam melahirkan pelajar dengan ciri-ciri individu dan masyarakat bangsa Malaysia.

22
Bibliografi

Abdullah Ahmad Badawi (2007, Januari 17). Berfikir di Luar Kotak. Berita Harian.

Boon Pong Ying (2003). Amalan Reflektif ke Arah Peningkatan Profesionalisme Diri
Guru. Diperoleh pada Januari 27, 2009 daripada http://72.14.235.132/search?
q=cache:7Gv43mBmIA0J:apps.emoe.gov.my/ipba/ResearchPaper/journal/
article11.pdf+pemikiran+dan+amalan+profesionalisme+keguruan&hl=en&ct=clnk&cd
=3&gl=my&client=firefox-a

Combs, A.W. (1982). A Personal Approach to Teaching Beliefs That Make a Difference.
Boston: Allyn and Bacon.

Dewan Bahasa dan Pustaka (1997). Kamus Pelajar (Cetakan Ketiga Belas). Kuala
Lumpur: Konsortium Dewan Edar (M) Sdn. Bhd.

Hamid Fahmy Zarkasyi (1990). Pemikiran Al Ghazali tentang pendidikan. Kuala


Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jamil Adimin (2006) . Memartabatkan Profesion Keguruan Melalui Pentaksiran.


Pendidik, 22.

Mohd. Rais bin Abdul Karim (1991). Pengurusan Tenaga dan Sumber dalam
Meningkatkan Produktiviti Guru. Dalam Jurnal Pengurusan Pendidikan 1(6),
10-18.

Rorzali Salleh (1999). Kepuasan Kerja di Kalangan Pensyarah Maktab Perguruan.


Dalam Jurnal Penyelidikan Pendidikan IPDA, 2(12), 23-36.

Salleh Abd. Rashid (2003). Pemikiran Profesional Keguruan Terhadap Kurikulum dan
Pengajaran. Diperoleh pada Januari 27, 2009 daripada http://72.14.235.132/search?
q=cache:m27PBaXE1aEJ:www.ipbl.edu.my/inter/penyelidikan/seminarpapers/2003/s
allehUMSkk.pdf+pemikiran+dan+amalan+profesionalisme+keguruan&hl=en&ct=clnk
&cd=1&gl=my&client=firefox-a

Sufean Hussin (2004). Sejarah, Sistem & Falsafah Pendidikan di Malaysia (Edisi
Kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tajul Ariffin Noordin (2007, Disember). Etika Keguruan dari Perspektif Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Pendidik, 60.

Tonggak Dua Belas (1992). Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara Malaysia
(INTAN).

Ucapan Utama Seminar “Memartabatkan Profesion Keguruan dalam Mengangkasakan


Aspirasi Negara Bangsa” (2008). Diperoleh pada Januari 27, 2009 daripada
http://72.14.235.132/search?
q=cache:7EeyvhB6C9oJ:www.ipti.edu.my/pipp/P2_Aspirasi%2520Membina
%2520Negara%2520Bangsa/Kertas%2520kerja
%2520utana_seminarPIPP180508.doc+profesion+keguruan+dalam+pembinaan+ne
gara+bangsa&hl=en&ct=clnk&cd=1&gl=my&client=firefox-a

23
24

You might also like