You are on page 1of 18

45 KRL 3033 Kaedah Penyelidikan DalamPendidikan Sekolah Rendah

UNIT 4
TEORI DAN MASALAH KAJIAN

HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini, anda diharapkan dapat:
1. Menyatakan konsep asas dan definisi teori
2. Membincangkan kepentingan teori dalam penyelidikan
3. Menyatakan konsep masalah kajian dan sumber-sumber yang
mencetuskan idea memilih masalah kajian tersebut
4. Mengaplikasi teori pendidikan dengan masalah kajian yang
bakal dijalankan nanti
5. Memberikan justifikasi kesesuaian teori yang dipilih dan
masalah kajian yang ingin dikaji

PETA KONSEP

Teori & Masalah Kajian
Definisi teori Fungsi teori dalam kajian Masalah kajian
Definisi masalah kajian
& konsep asasnya
Sumber yang
mencetuskan idea
memilih masalah kajian
Perkaitan teori dan
masalah kajian

46 Unit 4 Teori dan Masalah Kajian


PENGENALAN

Dalam bab ini akan membincangkan secara ringkas pekara-pekara penting iaitu
konsep serta definisi teori, fungsi teori dalam penyelidikan, definisi masalah kajian
dan sumber-sumber yang membantu mencetuskan idea pemilihan isu kajian.
Perkaitan antara teori dan masalah kajian turut diterangkan agar ianya menjadi
panduan dalam memilih teori bersesuaian dengan masalah kajian. Kesemua aspek-
aspek ini perlu difahami sebelum sesuatu kajian dijalankan.

ISI KANDUNGAN

Definisi Teori

Teori merupakan pekara-pekara asas dalam sesuatu bidang sama ada bidang sains,
sains sosial, ekonomi dan sebagainya. Begitu juga dalam pendidikan, sub-sub
bidangnya seperti sosiologi, psikologi, pedagogi dan sebagainya, turut mempunyai
teori-teorinya yang tersendiri.
Namun, apakah teori? Menurut Kerlinger (1964) dan Babbie (1992) teori
adalah satu penerangan, di mana ianya memberitahu kita bagaimana dan mengapa
sesuatu perkara atau benda berkait antara satu sama lain (dalam Bohamn, 2001).
Leedy dan Ormrod (2005) menyatakan teori adalah konsep yang tersusun dan suatu
prinsip untuk menerangkan fenomena tertentu. Manakala menurut Mc Millan dan
Schumacher (2006), teori dapat meramal dan menerangkan fenomena semulajadi.
Othman Lebar (2009), pula mendefinisikan teori merupakan kenyataan tentang apa
yang berlaku terhadap fenomena yang ingin difahami. Ia bukan sahaja satu
kerangka, malah ianya merupakan satu cerita tentang apa yang kita fikirkan berlaku
dan mengapa.
Maka, secara rumusannya teori adalah suatu penyataan yang mampu
menerangkan sesuatu kejadian, mengaitkan pekara-pekara yang menyebabkan
terjadinya kejadian tersebut, meramalkan sesuatu kejadian dan ianya amat berguna
sebagai panduan bagi menjalankan kajian. Teori boleh diterangkan dalam pelbagai
cara, misalnya frasa ayat-ayat atau rajah-rajah tertentu (cth; teori ekologi
brofenbrenner, teori hieraki maslow). Namun, menurut Suter, (1998), teori-teori

47 KRL 3033 Kaedah Penyelidikan DalamPendidikan Sekolah Rendah


akan lebih difahami apabila ianya diterangkan melalui paparan visual, seperti rajah
ataupun model-model geometri tertentu.
Dengan ini, sebagai bakal pengkaji, kita perlu memahami definisi sebenar
teori dan idea atau konsep asas yang ingin diutarakan oleh sesuatu teori.
Pemahaman tentang pengertian dan maksud teori amat penting, kerana ianya
merupakan asas utama dalam melaksanakan kajian. Memandangkan ianya penting,
pada bahagian berikutnya akan diterangkan peranan atau fungsinya pula.










Fungsi Teori dalam Kajian

Menurut Bogdan dan Biklen (1998), teori digunapakai oleh manusia dalam pelbagai
cara, misalnya ia digunakan oleh penyelidik kuantitatif dalam bidang pendidikan
untuk menguji set-set data yang boleh diuji secara empirikal, namun kegunaan teori
adalah lebih meluas dalam penyelidikan kualitatif, iaitu untuk memahami semua
kejadian dan masalah yang berlaku. Teori mempunyai beberapa fungsi dan ianya
diolah dengan pelbagai cara oleh penulis-penulis berbeza.

Secara umumnya terdapat empat fungsi teori dalam penyelidikan, (Wiersma,
1986; Wiersma & J urs, 2005) iaitu membentuk kerangka bagi penyelidikan,
mensintesis idea baru, menjelaskan sesuatu fenomena dan terakhir sekali adalah
untuk pembentukan generalisasi yang dapat diuji. Namun bagi memudahkan
pemahaman umum, fungsi teori diolah dan dinyatakan seperti di bawah.



AKTIVITI 4.1

Bincang bersama rakan atau tanya diri anda, apakah teori-teori yang
sering digunakan dalam penyelidikan pendidikan. Senaraikan dan
nyatakan fungsinya

Tips: Anda boleh merujuk jurnal dalam dan luar negara untuk melihat
teori-teori yang sering digunakan oleh pengkaji dalam bidang pendidikan.

48 Unit 4 Teori dan Masalah Kajian


1. Membantu pengkaji dalam membina kerangka konseptual kajian

Menurut Bogdan dan Biklen (1998), teori akan menghubungkan data-data antara
satu sama lain, membantu pengkaji agar lebih terarah dalam menjalankan kajiannya.
Maka, secara amnya teori akan membantu pengkaji untuk menjalankan kajian
secara sistematik, terarah dan dapat menghubungkaitkan pelbagai aspek-aspek
penting yang ada kaitannya dengan isu kajian, melalui pembentukan kerangka
konseptual kajian. Menurut Othman Lebar (2009), teori penting dalam membentuk
kerangka konseptual kajian kerana dapat membantu penyelidik membuat gambaran
visual tentang teori yang akan digunakan, gambaran tentang apa yang difikirkan
sedang berlaku dengan fenomena yang sedang dikaji.
Secara umumnya, kerangka konseptual adalah satu rajah yang
menggambarkan beberapa aspek penting dalam kajian, misalnya teori yang
digunakan, objektif kajian atau soalan-soalan kajian tersebut, pembolehubah yang
digunakan dan hubungannya dalam kajian. Berikut merupakan contoh satu kerangka
konseptual yang mengkaji interaksi sosial pelajar pelbagai etnik di Sekolah
Menengah Kebangsaan. Dalam rajah 4.1 di bawah, dua teori dalam bidang sosiologi
digunakan bagi membina kerangka kajian ini, iaitu teori fungsionalisme dan teori
pemilihan rasional.
Sebagai panduan umum kepada bakal-bakal pengkaji, dalam membina
kerangka konseptual kajian, pelbagai bentuk geometri (petak, bulatan, segitiga dan
sebagainya) boleh digunakan. Tidak ada betul atau salahnya dalam memilih bentuk-
bentuk geometri tersebut, asalkan ianya menggambar keseluruhan kajian yang ingin
kita dilaksanakan kelak. Namun elemen-elemen penting seperti teori yang diguna
pakai, soalan kajian atau objektif kajian teori yang ingin diuji dan isu kajian perlu
dimasukkan dalam kerangka konseptual ini. Bagi penyelidikan kuantitatif pula, pada
kebiasaanya pemboleh ubah bersandar dan pemboleh ubah dimasukkan dalam
kerangka konseptual ini. Penggunaan anak panah dapat memberi lebih kefahaman
kepada pembaca atau penilai untuk memahami perkaitan atau hubungan antara
pemboleh ubah dalam kajian.



49 KRL 3033 Kaedah Penyelidikan DalamPendidikan Sekolah Rendah
























Rajah 4.1: Contoh kerangka konsetual kajian

Secara amnya, dengan adanya teori yang mendasari sesuatu kajian, ianya dapat
memberi gambaran yang lebih menyeluruh tentang isu kajian tersebut dan ianya
boleh dipaparkan dalam bentuk rajah tertentu agar mudah difahami oleh pembaca.

2. Menjelaskan sesuatu fenomena, isu, kejadian atau masalah

Menurut Othman (2009), teori dapat menceritakan tentang sesuatu fenomena,
memberi pemahaman baru serta memperluaskan pemahaman kita tentang
fenomena tersebut. Menurut Suter (1998) pula, teori bukan hanya memfokuskan
penerangan terhadap fenomena yan boleh dilihat (observable), malah boleh
menerangkan konstruk (construct) yang abstrak (cth; kepandaian, motivasi, dan
sebagainya). Dengan ini jelaslah betapa pentingnya teori dalam menghuraikan apa
Cara
pengumpulan
data:
-Temubual
- Pemerhatian
-Analisis
Dokumen


Aplikasi teori
sosiologi dalam
kajian:
Teori
Fungsionalisme
Teori Pemilihan
Rasional



Soalan-soalan Kajian:
i. Bagaimanakah bentuk
interaksi sosial dalam kalangan
pelajar tingkatan 4 yang
pelbagai etnik di SMK?

ii.Apakah faktor-faktor yang
mempengaruhi interaksi sosial
pelajar tingkatan 4 yang
pelbagai etnik di SMK?

iii. Apakah strategi yang di
gunakan oleh sekolah ini dalam
meningkatkan interaksi sosial
pelajar pelbagai etnik ini?

Isu kajian: Interaksi sosial pelajar pelbagai etnik di SMK

50 Unit 4 Teori dan Masalah Kajian


sahaja pekara, termasuklah yang bersifat abstrak (cth:kenapa adanya peningkatan
motivasi dalam seseorang individu).
Secara amnya, kesemua teori-teori yang ada dalam bidang-bidang
pendidikan (sosiologi, psikologi) ini berguna bagi menerangkan sesuatu isu atau
fenomena yang berlaku dalam sistem pendidikan, bermula daripada peringkat
pembuat dasar (Kementerian Pelajaran Malaysia), sekolah sehinggalah dalam bilik
darjah. Sebagai contoh, dalam isu kajian yang dinyatakan di atas Interaksi sosial
pelajar pelbagai etnik di Sekolah Menengah Kebangsaan, melalui pendekatan dua
teori sosiologi ini (Teori Fungsionalisme, Teori Pilihan Rasional), isu atau fenomena
interaksi sosial pelajar di sekolah akan lebih difahami dengan lebih mendalam.
Menurut Schaefer (2009), perspektif fungsionalisme menekankan setiap bahagian
dalam masyarakat mempunyai fungsi tertentu yang harus dimainkan, agar
kestabilan dapat di kekalkan. Maka melalui pendekatan teori ini, memberi pengkaji
kefahaman, iaitu bagi memastikan interaksi pelajar dalam keadaan baik, guru dan
sekolah harus memainkan peranan masing-masing. Apabila guru tidak memainkan
peranannya khususnya untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan, atau pihak
sekolah yang kurang komited menjalankan usaha mengeratkan interaksi dan pelajar
yang tidak menunjukkan sikap positif bergaul dengan rakan berbeza etnik, maka
berlakulah disfungsi mengikut kefahaman aliran teori fungsionalisme.
Manakala, menurut teori pilihan setiap individu akan bertingkah laku
berdasarkan rasionalnya dan faedah yang bakal di perolehi hasil tingkah laku
tersebut, (Yasmin Ahmad & Najeemah Mohd Yusof, 2010). Dalam kajian yang
dinyatakan di atas, pelajar memilih untuk berinteraksi dengan rakan pelbagai etnik
adalah atas pilihan sendiri, misalnya agar hubungan erat terjalin, untuk berbincang
pelajaran dan sebagainya. Selain itu, pelajar tidak berinteraksi dengan etnik lain juga
adalah atas pilihannya dan ianya mungkin disebabkan oleh sikap negatif yang
terdapat dalam diri mereka seperti prejudis, stereotaip, perbezaan budaya dan lain-
lain lagi.
Dengan ini, dapatlah dirumuskan berdasarkan sesuatu teori, ianya
menerangkan kenapa sesuatu isu atau fenomena itu berlaku. Ini kerana di
persekitaran kita, akan terdapat pelbagai isu yang perlu difahami dan dijelaskan
melalui penerangan berbentuk ilmiah, iaitu melalui penggunaan teori.

51 KRL 3033 Kaedah Penyelidikan DalamPendidikan Sekolah Rendah


3. Membantu pengkaji meramalkan sesuatu pekara

Menurut Wiersma dan J urs (2005), selain daripada bersifat deskriptif, teori juga
berupaya meramal sesuatu keadaan. Dengan ini, sesuatu teori yang baik akan
membantu seseorang pengkaji meramal apakah keputusan yang bakal di perolehi.
Oleh itu, berdasarkan pemahaman pengkaji terhadap teori-teori yang dikuasainya,
ramalan atau andaian awal dapat di buat. Namun, menurut Amir Hasan Dawi (2006).
untuk memastikan andaian awal yang di buat terhadap sesuatu fenomena adalah
bertepatan atau sebaliknya, memerlukan satu penyelidikan untuk membuktikannya,
Berikut antara contoh-contoh teori yang digunakan untuk meramal sesuatu pekara
dalam bidang pendidikan.

Jadual 4.1: Contoh teori dan ramalan berkaitan kajian

Teori dan idea utamanya Ramalan berkaitan kajian
Teori pembelajaran Slavin

Ianya berkaitan dengan pembelajaran
kumpulan koperatif
Pembelajaran koperatif dapat
meningkatkan pencapaian pelajar.
Pembelajaran koperatif dapat
meningkatkan interaksi positif antara
pelajar.
Teori pembelajaran sosial Bandura

Pentingnya modelling dalam
pembentukan sikap seseorang individu
Individu yang terdedah kepada
rancangan televisyen bercorak ganas
akan cenderung berkelakuan agresif di
sekolah

4. Menjana dan menghasilkan penyelidikan baru

Dengan adanya teori, pelbagai hipotesis atau andaian awal akan dibentuk terhadap
isu yang berada di pesekitaran kita. Maka, akan muncullah pelbagai kajian yang
bertitik tolak daripada konsep asas teori-teori ini. Akhirnya hasil dapatan kajian
daripada penyelidikan baru ini akan menyumbang kepada informasi baru atau
penemuan baru yang memberi manfaat kepada masyarakat. Berikut digambarkan
dua isu kajian yang berbeza, tetapi menggunakan konsep dan idea teori yang sama,
iaitu teori fungsionalisme.

52 Unit 4 Teori dan Masalah Kajian




Rajah 4.2: Contoh tiga isu kajian yang berbeza berdasarkan aliran teori
fungsionalisme

Sebagai contoh, konsep asas dalam teori fungsionalisme ini bukan hanya
boleh digunakan untuk mengkaji interaksi sosial pelajar pelbagai etnik di sekolah,
namun ianya boleh digunakan untuk melihat aspek-aspek lain dalam sistem
pendidikan. Sebagai contoh yang mudah, kajian diperingkat kelas untuk melihat
komitmen guru dalam melaksana Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KSSR). J ika
guru tidak berperanan sebagaimana yang diharapkan oleh pihak Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM), iaitu melaksanakan KSSR ini dengan bersungguh-
sungguh, maka matlamat KSSR mungkin tidak tercapai. Selain itu, teori
fungsionalisme ini boleh juga digunakan untuk menganalisis masalah devian atau
salah laku di sekolah. Berlakunya devian di sekolah, mungkin disebabkan sikap
sambil lewa pihak pengurusan disiplin untuk mengatasi masalah salah laku ini. Ini
menunjukkan pihak pengurusan tidak memainkan peranan yang sepatutnya dan ini
juga merupakan satu disfungsi dalam sekolah. Rumusannya, dengan hanya
memahami satu teori sebagai contoh, ianya boleh digunakan untuk membuat
beberapa penyelidikan baru, seperti yang dibincangkan di atas.










Konsep asas dalam teori
fungsionalisme
Kajian untuk melihat
interaksi sosial pelajar
pelbagai etnik
Kajian untuk melihat
komitmen guru dalam
melaksana kurikulum baru
sekolah rendah (KSSR).
Kajian untuk melihat
peranan pihak pentadbiran
dalam mengatasi masalah
salah laku.
AKTIVITI 4.2

Secara berpasangan, kemukakan soalan-soalan di bawah kepada rakan
sekelas anda:
1. Apakah itu teori? Berikan definisinya.

53 KRL 3033 Kaedah Penyelidikan DalamPendidikan Sekolah Rendah


Masalah Kajian

Setiap kajian dimulakan dengan mengenal pasti masalah untuk dikaji. Permasalahan
merujuk kepada pekara atau fenomena yang ingin dikaji dan ianya di sampaikan
dalam bentuk isu-isu yang menimbulkan persoalan-persoalan, (Amir, 2006). Dalam
bidang pendidikan, pelbagai masalah yang memerlukan kajian-kajian dilaksanakan
bagi mengenal pasti puncanya dan apabila puncanya dapat di ketahui, maka
pendekatan yang bersesuaian boleh di ambil. Menurut Creswell (2007) pula masalah
kajian adalah sesuatu pekara yang perlu rasional dan ianya perlu diselidiki.
Pada asasnya masalah kajian adalah sesuatu yang lebih kompleks,
merangkumi pelbagai isu sama ada isu positif atau sebaliknya dan ianya
memerlukan penyelidikan khusus. Menurut Amir (2006) lagi, masalah kajian bukan
hanya terhad kepada pekara yang bermasalah sahaja atau yang bersifat negatif,
namun ianya boleh juga merangkumi aspek-aspek positif tentang sesuatu isu itu,
misalnya faktor kejayaan sesebuah sekolah.
Dalam proses mengenal pasti masalah yang bersesuaian, adalah perlu bagi
setiap individu untuk mengenal pasti dan menilai masalah kajian yang dipilih. Ini
kerana tidak semua masalah kajian tersebut sesuai untuk diuji atau sebaliknya.
Kesimpulannya, masalah kajian yang baik adalah masalah yang mengandungi
persoalan dan isu penting yang boleh dijawab serta diselesaikan melalui
penyelidikan. Maka, sebagai individu yang ingin memulakan kajian, kita seharusnya
lebih berfikiran kritis dan analitikal dalam memilih masalah kajian. J adual berikut
menggambarkan ciri-ciri masalah kajian yang baik.

Jadual 4.2: Ciri-ciri masalah kajian yang baik

Ciri-ciri masalah kajian yang baik Penerangan
Boleh diselidiki Isu yang dipilih perlulah boleh dikaji, sesuai dan relevan.
Pengutipan data boleh dibuat untuk mengkaji isu ini.
Isu kajian penting dan menyumbang
kepada bidang pendidikan
Sesuatu isu yang ingin diselidiki perlulah menyumbang
kepada penambahbaikan dalam bidang pendidikan. Ianya
bukanlah sesuatu isu yang remeh dan tidak penting.
Masalah kajian tersebut boleh
dikembangkan
Isu kajian yang dipilih boleh dikembangkan dan dikaji
secara lebih mendalam oleh pengkaji-pengkaji akan
datang.

54 Unit 4 Teori dan Masalah Kajian


Isu kajian sesuai terhadap pengkaji Apa yang dimaksudkan sesuai dengan pengkaji adalah di
mana, isu yang dipilih perlulah pekara-pekara yang
diminati oleh pengkaji. J ika isu tersebut tidak diminati,
maka kajian tidak dapat di selesaikan dengan cepat.
Selain itu, pengkaji juga patut menimbangkan aspek lain
seperti kemahiran yang dimiliki, sumber-sumber untuk
menyiapkan kajian, kerana kesemuanya ini mempengaruhi
proses menjalankan kajian nanti
Isu kajian perlulah mempunyai nilai
etika
Apa yang dimaksudkan dengan etika adalah isu yang
dikaji tidak akan memberi kesan buruk pada responden
kajian. Selain itu, isu kajian tidak boleh bertentangan
dengan etika kajian. Sebagai contoh, dalam etika kajian,
pekara yang perlu dipertimbangkan adalah aspek
kerahsiaan butiran kajian, kebenaran daripada responden
untuk menyertai kajian dan lain-lain lagi.

Sumber yang Mencetuskan Idea Memilih Masalah Kajian

Masalah kajian boleh diperolehi melalui pengalaman peribadi seseorang, isu yang
berkaitan tempat kerja, tinjauan literatur, atas nasihat badan yang memberi dana
dan sebagainya. Walau bagaimanapun, secara umumnya tidak ada satu strategi
yang paling baik untuk mengenalpasti masalah kajian. Berikut antara beberapa
sumber-sumber yang boleh mencetuskan idea dalam memilih topik atau masalah
kajian yang ingin dilaksanakan.

1. Minat dan pengalaman pengkaji

Idea untuk memilih masalah kajian mungkin juga bermula daripada rasa ingin tahu
dan minat terhadap sesuatu pekara. Selain itu, pengalaman peribadi di persekitaran
kita, sebagai contoh di tempat kerja, bilik kuliah, bilik darjah turut membantu
mencetuskan idea-idea untuk menjalankan sesuatu kajian. Seorang guru mungkin
menghadapi masalah seperti dilema pendekatan teknik pengajaran berkesan,
pengurusan kelas, pencapaian peperiksaan yang lemah, masalah disiplin dan lain-
lain lagi. Sementara pentadbir sekolah pula, mungkin berdepan dengan masalah
komunikasi dengan guru atau staf, pengurusan jadual kerja, konflik dalam kalangan

55 KRL 3033 Kaedah Penyelidikan DalamPendidikan Sekolah Rendah


pelajar dan sebagainya. Kesemuanya ini boleh mencetuskan idea untuk
menjalankan kajian.

2. Tinjauan literatur

Menurut Creswell (2007), punca atau sumber yang paling baik untuk memilih
masalah kajian adalah daripada literatur-literatur lepas. Ini kerana melalui bacaan
pada kajian lepas, akan membantu pengkaji dalam memilih isu kajian yang relevan
dan bersesuaian. Selain itu dapatan, kelemahan, kekangan serta cadangan yang
terdapat daripada karya lepas dapat membantu pengkaji dalam merangka isu kajian
yang lebih baik. Sebagai contoh, dalam mengkaji interaksi etnik di sekolah,
sememangnya terdapat kajian yang dilakukan sebelum ini, namun relevan ianya
perlu dilaksanakan, mungkin di sebabkan isu interaksi etnik ini ingin diterokai
daripada perspektif berbeza serta menggunakan teori-teori yang berbeza. Dengan
kata lain, karya-karya lepas sememangnya membantu dalam mencetuskan idea
untuk memilih masalah kajian, namun segala kelemahan atau aspek-aspek yang
belum dikaji pada karya lepas, boleh diperbaiki dalam kajian-kajian yang akan
datang.

3. Mengaplikasi teori

Setiap bidang seperti psikologi, mahupun sosiologi akan mempunyai pelbagai
rangkaian teorinya tersendiri. Maka teori-teori ini juga merupakan sumber yang
dapat memberi idea dalam memilih masalah kajian. Sebagai contoh, teori konflik
aliran Weber menyatakan punca konflik dalam hubungan, bukan hanya disebabkan
oleh faktor kelas tetapi oleh faktor-faktor lain seperti kuasa dan politik. Walaupun
teori konflik berasal daripada bidang sosiologi, tetapi ianya boleh diaplikasi dalam
pendidikan. Maka, berdasarkan teori ini, kajian boleh dibuat untuk mengenal pasti
penyebab konflik antara guru-guru di sekolah.

56 Unit 4 Teori dan Masalah Kajian











Perkaitan Teori dan Masalah Kajian

Mungkin kita kurang menyedari adanya perkaitan antara masalah yang berada
dalam di persekitaran kita dan teori yang dipelajari. Sememangnya terdapat pelbagai
teori yang dipelajari dapat menerangkan masalah yang berlaku dalam kehidupan
seharian.













Tips penting:
Cara efektif untuk memilih topik kajian atau masalah kajian yang bakal dijalankan, adalah dengan
membaca bahagian perbincangan dan kesimpulan sesuatu penyelidikan tersebut. Selain itu,
bahagian terakhir peyelidikan dalam penulisan jurnal atau disertasi kebanyakannya mempunyai
cadangan (recommendations) yang boleh membantu penyelidik untuk memilih masalah kajian
yang bersesuaian.

MARI BERFIKIR SEJENAK:

Adakah anda ingin menjadi Mak J emah (bukan nama sebenar) atau
Professor Serba Tahu (bukan nama sebenar)?


Profesor, budak-budak
sekolah merokok sebab
mereka seronok-seronok
Berdasarkan teori pilihan
rasional, segala perlakuan
individu adalah atas pilihannya
sendiri. Maka salah satu
penyebab pelajar merokok
adalah atas pilihannya sendiri,
iaitu untuk keseronokan.
AKTIVITI 4.3:
Secara berpasangan atau berkumpulan, bincangkan dan kenalpasti
beberapa isu atau masalah yang berlaku di sekeliling anda (aspek
pendidikan), sama ada berdasarkan pengalaman anda, tinjauan literatur dan
sebagainya. Bincangkan justifikasi kenapa masalah tersebut dipilih.

57 KRL 3033 Kaedah Penyelidikan DalamPendidikan Sekolah Rendah



Apabila diamati perbualan antara dua watak di atas, ianya menggambarkan apabila
individu mampu menguasai teori-teori yang berkaitan dengan bidang pengajiannya,
maka adalah mudah baginya untuk menganalisis sesuatu fenomena atau masalah
berdasarkan pendekatan teori. Sebagai contoh, dalam kes perlanggaran disiplin
(merokok), sememangnya terdapat beberapa penyebab misalnya pengaruh rakan
sebaya, keluarga dan media massa. Namun terdapat juga punca gejala merokok
disebabkan sikap pelajar itu sendiri. Menurut Ritzer (2003), dalam teori pilihan
rasional, fokus utama teori adalah pelaku, di mana setiap pelaku akan mempunyai
tujuan tertentu untuk mencapai sesuatu. Pelaku juga akan memilih tingkah laku
berdasarkan rasionalnya tersendiri. Maka, teori pemilihan rasional ini melihat sikap
manusia adalah sebagai satu pilihan individu dirinya sendiri. Perkaiatan dengan kes
di atas, pelajar tersebut merokok atas pilihannya sendiri, iaitu untuk tujuan
keseronokan, dan dia tidak menghiraukan hukuman yang bakal di kenakan jika dia
ditangkap oleh pihak sekolah. Maka teori pilihan rasional (rationale choice theory),
berupaya membantu kita memahami kenapa berlakunya masalah merokok ini. Inilah
dinamakan perkaitan antara teori (teori pilihan rasional) dan masalah kajian (punca
pelajar merokok).
Cuba anda perhatikan sekeliling anda, setiap pekara yang berlaku
mempunyai penyebabnya yang tersendiri. Kadangkala penyebab berlakunya
sesuatu pekara tidak boleh diketahui dengan hanya kita memerhati dan membuat
andaian sahaja. Berkemungkinan andaian yang kita buat adalah tidak tepat atau
sebaliknya. Maka adalah perlu kajian dijalankan dengan didasari oleh teori-teori
yang bersesuaian.
Sebagai contoh, teori-teori yang ada dalam bidang sosiologi memainkan
peranan penting kerana ia menjelaskan fenomena dalam masyarakat, keadaan
persekitaran sosial agar kita lebih memahaminya secara sistematik.

Sociological theories is a set of interrelated ideas that allow for
systematization of knowledge of the social world, the explanation of that world and
predictions about the future of the social world( Ritzer, 2003, p. 5).

Maka, bagi memahami sesuatu fenomena sosial dalam bidang pendidikan,
teori sosiologi boleh digunakan untuk menganalisis serta memandu bakal-bakal

58 Unit 4 Teori dan Masalah Kajian


pengkaji menjalankan kajian. Seperti dibincangkan di atas, dengan menggunakan
teori pilihan rasional (teori sosiologi), ianya dapat memberi kefahaman mengenai
masalah merokok.
Namun, terdapat juga punca pelajar merokok, disebabkan oleh masalah
pembelajaran. Apabila pelajar menghadapi masalah pembelajaran, dia tidak dapat
memenuhi matlamat kecemerlangan akademik yang telah di tetapkan oleh sekolah,
maka ini menyebabkan pelajar tersebut mengalami ketegangan, kekeliruan dan
seterusnya mendorongnya melakukan devian (merokok). Maka teori yang berupaya
menerangkan keadaan ini bukan lagi teori pilihan rasional, tetapi teori anomie. Teori
Anomie merupakan teori sosiologi yang melihat bahawa punca terjadinya sesuatu
masalah di sebabkan kekacauan norma dalam masyarakat. Kekacauan norma ini
menghasilkan ketegangan dalam masyrakat dan akhirnya pelbagai masalah lain
akan muncul, sebgai contoh devian (Azlina, 2010).
Begitu juga dengan teori-teori dalam bidang lain, seperti psikolgi, di mana
ianya boleh dikaitkan dengan isu yang terdapat dalam pendidikan. Sebagai contoh
gaya kepimpinan (autokrasi, demokrasi, laissez-faire) dan perkaitannya hasil atau
pencapaian sesuatu kumpulan yang ditadbir. Maka apabila kita memahami konsep
gaya kepimpinan ini, ianya boleh di aplikasi dalam bidang pendidikan. Sebagai
contoh, untuk melihat perkaitan gaya kepimpinan pengetua dan pencapaian
akademik pelajar.
Menurut Mohd Majid (1990), penyelidik perlu pakar dalam bidang yang dikaji.
Kepakaran adalah merangkumi penguasaan teori-teori yang wujud dalam bidang
tersebut, kerana apabila penyelidik meguasai teori bidang itu, ini akan memudahkan
proses kajiannya. Selain itu, apabila seseorang individu mahir dalam sesautu teori,
maka dia adalah seorang pengkaji yang baik, (Bogdan dan Biklen, 1998).
Kesimpulannya sebagai bakal pengkaji, adalah perlu bagi kita menguasai teori-teori
yang ada dalam sesuatu bidang kerana ianya membantu kita melaksanakan kajian
nanti.

59 KRL 3033 Kaedah Penyelidikan DalamPendidikan Sekolah Rendah




Namun dalam mengaitkan teori dengan masalah kajian, adakah memadai
dengan menggunakan satu teori sahaja? Atau adakah kita boleh menggunakan lebih
daripada satu teori untuk menganalisis sesuatu masalah kajian tersebut? Pada
asasnya tiada peraturan yang menetapkan berapa banyak teori yang boleh
digunakan, namun pada kebiasaanya satu atau dua teori sudah memadai bagi
membina kerangka konseptual untuk menganalisa sesuatu masalah kajian. Sila
rujuk rajah 4.1 di atas. Kerangka konseptual ini menggunakan dua teori sosiologi
(teori pilihan rasional, teori fungsionalisme) untuk memahami masalah kajian
(interaksi sosial pelajar pelbagai etnik di Sekolah Menengah Kebangsaan). Dengan
menggunakan lebih daripada satu teori, lebih membantu memahami masalah kajian
daripada dua perspektif yang berbeza.











AKTIVITI 4.4

Masih dalam kumpulan yang sama. Kenalpasti teori-teori yang
berkaitan bidang anda dan kaitkan dengan masalah kajian yang
telah kumpulan anda pilih. Berikan justifikasi kesesuaian teori yang
dipilih dan masalah kajian tersebut. Bentangkan dalam kelas untuk
mendapat maklum balas (feedback) daripada pensyarah dan rakan
sekelas anda mengenai masalah kajian anda.
MARI BERFIKIR SEBENTAR:

Apakah perkaitan cerita enam orang buta serta seekor gajah ini dengan teori
dan masalah kajian?

60 Unit 4 Teori dan Masalah Kajian



Setiap teori yang diutarakan oleh ahli sosiologi, psikologi, mahupun ahli-ahli dalam
bidang lain akan mempunyai kekurangannya. Ini kerana setiap teori yang diutarakan
hanya melihat sesuatu kejadian mengikut bahagian-bahagian tertentu dan bukannya
secara holistik. Maka, kadangkala bagi memahami sesuatu masalah, ianya
memerlukan beberapa teori bagi memahaminya secara menyeluruh.
Ini seumpama seperti enam orang buta yang dibawa berjumpa seeekor gajah.
Setiap seorang terpegang bahagian yang berbeza, iaitu ekor, kaki, gading, telinga,
badan dan belalai gajah. Masing-masing mengambarkan gajah menurut bahagian
yang dipegang. Namun, hakikatnya tiada sesorang pun yang mampu memberi
gambaran yang sebenarnya mengenai gajah. Begitu juga dengan teori yang
diutarakan oleh pelbagai tokoh, di mana ia tidak dapat mentafsirkan atau
menggambarkan sesuatu fenomena secara terperinci, hanya dapat menganalisis
sesuatu fenomena itu berdasarkan sudut-sudut tertentu sahaja. Inilah limitasi atau
kelemahan sesuatu teori. Dengan ini, kadangkala untuk membantu kita memahami
masalah atau fenomena tertentu, ianya memerlukan lebih daripada satu teori.

RUMUSAN

Apa sahaja bidang sama ada sains atau sains sosial, akan melibatkan penyelidikan
bagi membuktikan sesuatu pekara, mengkaji suatu masalah/isu, menganalisis
sesuatu kejadian, membuktikan teori yang telah sedia ada atau menghasilkan teori-
teori baru. Maka, teori merupakan asas yang penting dalam membantu pengkaji
memahami sesuatu isu, fenomena atau masalah di sekeliling kita dengan lebih
terperinci dan berasas. Sememangnya terdapat perkaitan rapat antara teori dan
masalah kajian dalam sesuatu penyelidikan kuantitatif mahupun kualitatif. Tanpa
teori, agak sukar bagi kita untuk memahami sesuatu masalah kajian dengan lebih
baik dan sistematik. Maka sebagai pengkaji kita perlu menguasai teori-teori dalam
sesuatu bidang (cth: sosiologi, psikologi dan sebagainya) kerana tanpa penguasaan
yang baik mana mungkin kita dapat menganalisa sesuatu masalah kajian dengan
tepat dan analitik.

61 KRL 3033 Kaedah Penyelidikan DalamPendidikan Sekolah Rendah



PENILAIAN KENDIRI

1. Apakah ciri-ciri masalah kajian yang baik? Bincangkan.
2. Apakah masalah kajian dan apakah perkaitan teori dan masalah kajian?
Bincangkan beserta contoh bersesuaian.


RUJUKAN

Amir Hasan Dawi. (2006). Penteorian sosiologi dan pendidikan. Tg Malim: Quantum
Books.

Azlina Abdullah. (2010). Tema dan isu penyelidikan menangani gejala social pada
dekad pertama abad ke 21 di Malaysia. Akademika 78 (J an- April) 2010, pp 3-
14.Diaksesdaripadahttp://www.ukm.my/penerbit/akademika/ACROBATAKAD
EMIKA78/akademika78%5B01%5DA4.pdf, pada 20 September 2012.

Bogdgan, R.C. & Biklen, S.K. (1998). Qualitative research for education: An
introduction to theory and methods. Bostan: Ally & Bacon.

Creswell, J . W. (2007). Qualitative inquiry & research design: Choosing among five
approaches. Thousand Oak, California: Sage Publications.

Leedy, P. D. & Ormrod, J . E. (2005). Practical Research: Planning and Design. New
J ersey: Pearson Educational International and Prentice Hall.

McMillan, J . H. & Schummacher, S. (2006). Research in education: Evidence based
inquiry. Boston: Allyn & Bacon.

Mohd Majid Konting. (1990). Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Lebar. (2009). Penyelidikan kualitatif: Pengenalan kepada teori dan metod.
Tg Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Ritzer, G. (2003). Contemporary sociological theory and its classical roots: The
basics. New York: Mc Graw Hill.

Schaefer, R.T. (2009). Sociology: A brief introduction. New York: Mc Graw Hill.

Suter, W. N. (1998). Primer of Educational Research.Boston: Ally And Bacon.

62 Unit 4 Teori dan Masalah Kajian


Wiersma, W. (1986). Research methods in education: An introduction. Boston: Ally &
Bacon.

Wiersma, W. & Jurs, S.G. (2005). Research methods in education: An introduction.
Boston: Ally & Bacon.

Yasmin Ahmad & Najeemah Mohd Yusof. (2010). Ethnic boundary among students
in malaysian primary schools and social interaction: A conceptual framework.
Procedia Social and Behavioral Sciences 7(C), pp 8291.

You might also like