You are on page 1of 1

Khairy bidas Zulkifli kerana kenyataan tidak sensitif kematian Karpal

2014/04/17 - 17:12:01 PMCetakEmel Kawan

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini membidas bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin susulan kenyataan tidak sensitifnya berhubung kematian pemimpin DAP Karpal Singh. Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, kenyataan Zulkifli menerusi Twitter itu tidak menggambarkan sikap sebenar seorang Islam atau rakyat Malaysia dan beliau malu dengan perbuatan itu. "Sebarang kenyataan yang mempolitikkan kematiannya (Karpal Singh) dalam bentuk sedemikian rupa yang dilakukan oleh Zulkifli Noordin langsung tidak mencerminkan sikap rakyat Malaysia dan orang Islam.

"Saya malu dengan individu ini dan saya malu beliau bertanding bagi Barisan Nasional dalam pilihan raya lepas dan kita tidak harus meletakkan beliau sebagai calon lagi," katanya selepas melancarkan Forum 'Women@Work', di sini. Zulkifli dalam entrinya menerusi @zulkiflinoordin berkata: "Dalam keadaan kemelut kerajaan Pas Kelantan mahu melaksanakan hudud dengan bantuan UMNO, Allah mematikan Karpal yang menjadi penentang utama pelaksanaannya'. Khairy membuat kenyataan balas menerusi @zulkiflinoordin dengan "Shut up. Really, shut up". (Diam. Betul-betul, diam) Dalam pada itu Khairy turut mengucapkan takziah kepada keluarga Karpal Singh. Bekas Pengerusi DAP Kebangsaan dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu serta pembantu peribadinya terbunuh dalam nahas di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Gua Tempurung, Kampar, awal hari ini. - BERNAMA

You might also like