You are on page 1of 2

Penilaian hendaklah dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P & P), bukannya semata-mata dijalankan

melalui ujian dan peperiksaan sahaja. Ia merupakan satu proses pengumpulan maklumat berkenaan dengan kemajuan dan prestasi pelajar. Dengan itu, di peringkat sekolah berbagai-bagai kaedah penilaian digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang kemajuan dan pencapaian pelajar. Matlamat sistem pendidikan adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat dan Negara ke arah melahirkan insan yang seimbang, berketerampilan, berakhlak mulia dan berilmu. Atas dasar inilah sistem pendidikan menetapkan satu standard atau benchmark yang menetapkan satu sistem yang dapat diguna pakai dan diaplikasikan dengan jayanya dalam sistem pendidikan negara (Mak Soon Sang:1988).

Penilaian boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda atau perkara. Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai. Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Justeru, penilaian berbeza dengan pengukuran yang melibatkan hanya pemberian ukuran dalam bentuk nombor tertentu yang lebih bersifat kuantitatif. Sebelumnya, Popham (1975) menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan.

Penilaian memainkan peranan penting dalam pendidikan. Penilaian dilakukan dalam semua aspek pendidikan bagi mengenal pasti status semasa dan seterusnya bagi tujuan perancangan program penambahbaikan pendidikan.

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang giat membangun ke arah mencapai Wawasan 2020 dan kemajuan dari segala aspek dan komponen pembangunan. Pelbagai usaha yang telah dijalankan bagi memperbaiki, mengekalkan dan meningkatkan kemajuan ini seiring dengan perkembangan dunia pada masa kini terutama dalam sistem pendidikan negara. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke sembilan (RMK-9) telah menggariskan enam teras strategik bertujuan untuk mengukuhkan sistem pendidikan negara. Enam teras tersebut ialah membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan,

memartabatkan profesion keguruan dan juga melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Pendidikan berperanan dalam membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri, berketerampilan, berkeperibadian mulia , berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Modal insan yang ingin dilahirkan ini juga berupaya untuk berfikir secara kreatif dan kritis, berkemahiran menyelesaikan masalah dan mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan cabaran dunia global yang sering berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Terdapat beberapa fokus utama dalam membangunkan modal insan yang telah menggariskan pelan tindakan bagi merangka strategi pembaharuan kepada struktur kurikulum pendidikan kebangsaan dan juga kepada sistem pentaksiran kebangsaan. Fokus 2: meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan dan Fokus 4: memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik serta menggariskan beberapa strategi yang perlu dilaksanakan bagi memantap dan memperkukuhkan pelaksanaan sistem pendidikan negara (Ghani, 2008).

You might also like