You are on page 1of 16

SARAWAK

Disediakan oleh, LEONARDO

Sarawak yang terkenal dengan nama jolokannya Negeri Bumi Kenyalang mempunyai rakyat yang terdiri dari pelbagai suku kaum. Terdapat kira-kira 30 kumpulan etnik di Sarawak. Kaum Iban merupakan suku kaum yang terbesar di Sarawak, diikuti oleh kaum Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan kaum-kaum etnik yang lain. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai pelbagai bangsa dan suku kaum, sudah pasti terdapat pelbagai kebudayaan dan adat resam yang diamalkan. Bagi masyarakat Sarawak, adat resam merupakan satu warisan tradisi yang begitu dititikberatkan dan telah sebati dengan kehidupan seharian mereka. Maklumat berkaitan adat resam masyarakat etnik Sarawak dalam laman web ini akan difokuskan kepada tiga aspek utama iaitu kelahiran, perkahwinan dan kematian yang hanya merujuk kepada tiga suku kaum utama di Sarawak iaitu masyarakat Iban, Melanau dan Bidayuh.

SUKU-SUKU KAUM DI SARAWAK


IBAN Masyarakat Iban merupakan golongan majoriti di negeri Sarawak. Terdapat pelbagai suku kaum masyarakat Iban seperti Balau, Sebuyau, Lemanak dan lain-lain. Masyarakat Iban masih kuat berpegang dengan identiti tradisi mereka di samping mengamalkan pelbagai jenis adat resam yang unik. Dari segi geografi, kebanyakan masyarakat Iban mendiami beberapa kawasan pedalaman yang tertumpu di tengah-tengah negeri Sarawak dan sebilangan kecilnya menetap di kawasan-kawasan bandar. Maklumat berkaitan adat resam dan kebudayaan yang diamalkan oleh masyarakat Iban berikut akan memfokuskan tiga aspek utama dalam kehidupan mereka iaitu kelahiran, perkahwinan dan kematian.

IBAN(KELAHRAN)
Pengenalan Kaum Iban banyak mengamalkan pantang larang dan adat-adat tertentu dalam aspek kelahiran. Peranan bidan juga sangat penting semasa membuat persiapan menyambut kelahiran dan juga selepas bersalin. Adat-adat tersebut dapat dilihat dari peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.

IBAN (KELAHIRAN)
Sewaktu Mengandung Dalam tempoh tujuh bulan sewaktu mengandung, wanita Iban dan suaminya dikenakan pelbagai pantang larang, antaranya seperti berikut; Mereka dilarang menggali parit di kawasan padi atau di mana-mana sahaja. Mereka dilarang memotong pokok yang menjalar di atas tanah, kerana dibimbangi akan menghalang pendarahan yang berterusan semasa melahirkan anak.

Wanita yang mengandung dilarang menuang minyak ke atas tapak tangan untuk disapu pada rambut supaya bayi yang bakal lahir tidak akan bernanah.
Kedua suami isteri tidak boleh mengetuk telur menggunakan pisau atau kayu kerana dikhuatiri bayi itu akan cacat penglihatan. Mereka tidak boleh menanam pokok pisang supaya si bayi tidak berkepala besar. Mereka tidak boleh memikul batu-bata tajam di dalam raga kerana dikhuatiri bayi akan lumpuh. Mereka tidak boleh membawa kura-kura ke dalam bilik supaya bayi tidak tersekat di dalam rahim semasa dilahirkan

BERSALIN Berikut merupakan beberapa adat yang dilakukan oleh masyarakat Iban semasa menyambut kelahiran bayi. Pontong Dalam masyarakat Iban, sebaik sahaja bayi dilahirkan, buluh yang dipanggil Pontong akan dipalu untuk memanggil jiran-jiran. Selain pontong, tembakan senapang juga turut digunakan. Potong Tali Pusat dan Berurut Sejurus selepas bayi dilahirkan, tali pusatnya akan segera dipotong dan bayi akan dimandikan. Seterusnya bayi dibedung dengan kain Pua Kumbu atau selimut yang ditenun cantik. Ketika bersalin, si isteri akan dibantu oleh seorang bidan dan dia akan memastikan ibu dan bayi dalam keadaan baik dan teratur. Seterusnya badan si ibu akan diurut oleh bidan bertujuan untuk menghilangkan rasa sengal-sengal badan akibat bersalin tadi. Selepas diurut, badan si ibu akan diusap pula dengan ubat yang diperbuat daripada halia dan entemu yang dibalut dengan tekalung, sejenis kain yang dibuat daripada kulit kayu.

SELEPAS LAHIR Adat-adat berikut diamalkan oleh kaum wanita Iban selepas bersalin. Berpantang Wanita Iban akan berpantang selama tiga puluh hari selepas melahirkan anak. Dalam tempoh berpantang itu, ibu akan diberi makan nasi dan ikan salai atau ikan kering yang kadangkadang dicampur dengan pucuk paku dan buah pulur. Semua makanan tersebut pula perlu dicampurkan dengan halia atau air rebusan halia supaya dapat memanaskan badan.

Berdiang/Bersalai Selepas bersalin, wanita kaum Iban perlu menjalani satu amalan yang dipanggil berdiang atau bersalai, di mana si ibu perlu duduk dekat dengan unggun api. Kayu yang digunakan untuk unggun api ini mestilah dari jenis kayu yang baik. Antara jenis kayu yang lazim digunkan ialah kayu malam, manding atau langsat. Kayu-kayu ini juga dikatakan mampu menyembuhkan penyakit ibu yang baru bersalin. Jika kayu yang digunakan untuk berdiang tersebut basah atau dari jenis beracun, dibimbangi asapnya akan memudaratkan si ibu dan bayi. Si ibu perlu berdiang atau bersalai selama empat puluh satu hari. Dalam tempoh itu, si ibu perlu menggariskan kapur pada tiang atau dinding rumah untuk menghitung hari kelahiran. Kesihatan si ibu dianggap pulih seperti sediakala apabila selesai menjalani adat-adat ini. Tanggal Pusat Adat melihat matahari atau merasa garam dijalankan apabila bayi sudah tanggal pusat iaitu ketika bayi berusia empat hari. Bayi tersebut akan dibawa oleh nenek atau saudara perempuannya ke tanju atau luar anjung untuk melihat matahari sambil mulut bayi tersebut dirasakan dengan garam. Pada masa itu juga, doa atau mentera dibacakan agar kesihatan bayi sentiasa terpelihara. `

Menamakan Bayi Kaum Iban begitu mementingkan adat memberi nama kepada anak-anak mereka yang baru lahir. Ini kerana, nama yang baik dan elok mempunyai kesan ke atas masa hadapan kanak-kanak tersebut. Lazimnya sebelum memberi nama yang rasmi, anak-anak kaum Iban akan diberi nama timangan. Bayi yang baru lahir itu seterusnya akan diberi nama sempena nama salah seorang daripada nenek moyangnya yang pernah berjasa dan handal. Tujuannya supaya bayi itu akan mewarisi jasa serta mengikut jejak langkah nenek moyangnya itu. Seterusnya upacara memilih nama akan dijalankan di mana kepalan nasi akan diletak di atas papan yang tertulis nama-nama yang dipilih itu. Kemudian seekor ayam akan dilepaskan untuk membuat pilihan dan ini dikenali sebagai Manok Tawai. Kepalan nasi yang dipatuk oleh ayam tersebut akan menjadi pilihan untuk menamakan bayi tersebut. Kemudian barulah nama itu dihebohkan kepada saudara mara yang terdekat.

IBAN (PERKHAWINAN)
Pengenalan Perkahwinan dalam masyarakat Iban agak unik kerana terdapat beberapa peraturan yang dilakukan sebelum seseorang itu layak menjadi suami isteri. Dalam masyarakat Iban, usia pengantin lelaki perlu melebihi dua puluh dua tahun. Ini disebabkan dalam usia yang sebegini, pihak lelaki telah bersedia untuk berkahwin. Bagi pihak si gadis pula, tiada umur khusus yang ditetapkan. Perkahwinan yang sempurna bagi masyarakat Iban ialah perkahwinan yang mematuhi kehendak adat. Pihak yang melanggar mana-mana adat perkahwinan dikehendaki membayar denda untuk mengelakkan pasangan suami isteri ditimpa kesusahan. Usaha mencari pasangan bergantung pada keadaan di rumah itu, kalau keluarga itu besar, anak-anak mereka lambat dikahwinkan. Sebaliknya, apabila anggota keluarga di rumah itu kecil, anak-anak mereka akan dikahwinkan secepat mungkin dengan harapan menantu dapat membantu keluarga membuat kerja-kerja tertentu. Terdapat beberapa peringkat tertentu dalam perkhawinan kaum Iban iaitu peringkat merisik, meminang, bertunang, majlis perkahwinan dan selepas majlis perkahwinan. Merisik Dalam masyarakat Iban, perkahwinan biasanya ditentukan oleh pengantin lelaki. Sekiranya seorang teruna telah berkenan kepada seorang gadis, ibu bapanya atau wakil akan bertandang ke rumah gadis untuk merisik. Perjumpaan kedua belah pihak ini juga dikenali sebagai berbunga-bunga atau berjarum-jarum. Pada masa itu syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan termasuklah berian dan sebagainya. Keluarga pihak lelaki akan menghantar rombongan meminang gadis jika hasil pertemuan itu menggalakkan.

Meminang dan Bertunang Rombongan pihak lelaki biasanya tidak kurang daripada lima orang dan paling ramai dua puluh orang yang terdiri daripada orang-orang tua. Pada masa itu syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan termasuklah berian atau mas kahwin serta lain-lain yang berkaitan. Setelah mencapai kata sepakat, ayah pihak lelaki menanggalkan lapit atau ikat pinggang perak atau sebilah pedang sebagai tanda pertunangan. Seterusnya kedua belah pihak akan berbincang tentang tarikh dan hari perkahwinan. Mulai saat itu, perempuan itu tidak boleh lagi menerima kunjungan teruna selain tunangnya. Dua atau tiga hari kemudian wakil pihak lelaki akan memaklumkan berita pertunangan tersebut kepada saudara-mara dan jiran tetangga.

Pengantin masyarakat Iban Majlis Perkahwinan Pelbagai persiapan akan dibuat untuk majlis perkahwinan yang bakal tiba. Bagi pihak keluarga lelaki mereka akan menyediakan perbelanjaan serta barang yang harus diberikan kepada keluarga perempuan. Keluarga perempuan juga membuat pelbagai persiapan termasuk memburu binatang untuk disembelih pada hari perkahwinan. Untuk mengundang tetamu, kedua-dua pihak melantik wakil masing-masing untuk menguruskan jemputan kahwin. Wakil itu membawa beberapa utas tali bersimpul yang menunjukkan berapa hari lagi perkahwinan dilangsungkan. Sekiranya tali itu mempunyai lima simpulan, bermakna perkahwinan itu akan berlangsung dalam masa lima hari lagi. Wakil khas akan meninggalkan tali bersimpul itu kepada tuai rumah atau ketua rumah panjang yang bertanggungjawab membuka simpulan tali itu setiap hari.

Pada hari perkahwinan, rombongan lelaki biasanya berarak ke rumah panjang pengantin perempuan dengan menaiki perahu yang dihiasi kain pua kumbu sekiranya pengantin melalui jalan sungai . Jika tidak, pengantin akan berjalan kaki mengikut jalan darat. Di sepanjang jalan, rombongan yang berpakaian menarik itu akan memukul gong. Sebaik sahaja sampai di hadapan rumah pengantin perempuan, tembakan meriam akan dilepaskan. Kemudian mereka mandi beramai-ramai di sungai sebelum memakai pakaian tradisional. Sampai di tangga rumah panjang, kepala rombongan pengantin lelaki dipelawa menyembelih seekor babi sebagai penghormatan dan pada masa itu juga tembakan senapang akan kedengaran secara balas-membalas. Di kepala tangga rumah itu pula, terdapat rangka yang berbentuk seperti kota. Ketua rombongan pengantin lelaki terlebih dahulu terpaksa membuka tiga buah kota iaitu di kepala tangga, di tengah rumah dan di hujung rumah.

Pengenalan Masyarakat Iban menguruskan sesuatu kematian itu mengikut adat-adat tertentu. Setiap adat yang dilakukan mempunyai maksud dan tujuan yang tertentu. Secara keseluruhannya adat kematian masyarakat ini merangkumi peringkatperingkat berikut:

IBAN (KEMATIAN)
Semasa kematian Orang Iban menguruskan mayat dengan penuh kemuliaan. Apabila ada kematian, semua saudara mara dan sahabat handai menghadirinya. Perkara pertama yang dilakukan sebaik sahaja mendapati seseorang itu mati ialah merapatkan mulutnya. Ini dilakukan oleh ahli keluarganya. Kemudian mayat dimandikan, disikat dan dikenakan pakaian yang sebaikbaiknya. Kedua-dua pintu rumah panjang juga perlu digalang dengan dua batang alu. Mereka percaya, jika perkara ini tidak dilakukan, hantu si mati akan membawa pulang roh si mati. Kemudia mayat diletakkan di tengagh-tengah rumah panjang dan dilingkungi dengan pua kumbu yang dipanggil sapat.

Semua barang yang mahu dibekalkan bersama-sama mayat disediakan. Barangbarang itu dianggap sebagai bekalan si mati di dunia keduanya kelak (dunia selepas mati). Mayat itu juga tidak boleh ditinggalkan bersendirian. Seterusnya, seorang wanita yang mahir ditugaskan membaca doa. Dengan doa itu, roh si mati dipercayai dapat dibawa ke syurga tanpa sebarang halangan. Doa itu akan dibaca berterusan sehinggalah mayat dibawa keluar dari rumah panjang. Sepanjang malam sebelum pengebumian dijalankan, orang tua-tua akan berbincang tentang jangkamasa berkabung dan berpantang. Apabila mayat itu dimasukkan ke dalam keranda, mayat itu disuakan makanan menggunakan pinggan. Kemudian pinggan itu dipecahkan dan dibuang ke tanah melalui celahan lantai. Mayat itu kemudiannya ditaburi beras supaya petara tidak menyiksa mayat itu. Keranda itu diperbuat daripada kayu yang baik oleh tukang mahir di kampung itu. Keranda itu biasanya dihias dengan ukiran yang mempunyai motif tradisional.

You might also like