You are on page 1of 2

Terima kasih tuan pengerusi majlis. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tajuk syarahan yang menjadi pilihan saya hari ini ialah Agama Dapat Membantu Kita Mengatasi
Masalah Sosial Yang Wujud Dalam Masyarakat Serta Faktor Lain.
Pada hari ini, masyarakat kita mengharungi pelbagai masalah antaranya ialah masalah sosial,
bagi mengatasi masalah ini langkah berkesan telah digariskan iaitu memberikan pendidikan agama
kepada setiap individu sejak mereka masih kecil lagi. . Pendidikan agama amat penting untuk mendidik
seseorang agar menjadi manusia yang bermaruah dan mengamalkan budi pekerti mulia. Atas sebab itu
negara kita telah menetapkan rukun yang pertama dalam Rukun Negara kita ialah Kepercayaan kepada
Tuhan. Setiap agama mempercayai kewujudan Tuhan yang menuntut agar penganutnya mengamalkan
nilai hidup yang murni. Jika semua orang menghayati fahaman agama dan mengamalkan ajaran agama
dengan sepenuhnya, sudah tentu dunia ini akan aman.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Agama juga dapat menghindarkan kita daripada melakukan perbuatan yang keji. Ini kerana
menurut fahaman agama lain, segala perbuatan yang kita lakukan semasa di dunia ini akan dibalas
semasa di akhirat kelak. Jika baik amalan kita,maka baiklah balasan yang akan kita terima dan begitulah
sebaliknya. Kita juga percaya bahawa jika kita melakukan sesuatu perbuatan buruk, walaupun tidak ada
manusia lain mengetahuinya, tetapi Allah yang Maha Agung menyaksikannya. Hakikat ini tidak dapat
kita nafikan dan kepercayaan tersebutlah yang mendorong kita untuk tidak melakukan perbuatan buruk.
Melalui pendidikan agama juga kita difahamkan bahawa hayat kita di dunia ini tidaklah lama dan
kehidupan kekal kita adalah di akhirat nanti. Jadi, bagi mereka yang benar-benar menghayati ajaran
agama, perbuatan keji merupakan musuh mereka. Dengan demikian, segala masalah sosial dalam
masyarakat tidak akan timbul.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,
Selain pendidikan agama, langkah lain pula ialah melalui pendekatan akademik ataupun
pendidikan. Pendidikan merupakan elemen yang terpenting untuk membentuk masyarakat Malaysia
bebas daripada gejala sosial. Pendekatan ini boleh dilakukan melalui ko-kurikulum dan kurikulum.
Tujuan ini dilakukan agar perkembangan mereka seimbang dari segi jasmani, emosi dan intelek.
Pendidikan yang sempurna dari setiap aspek dapat membuka minda seseorang dan membentuk sikap
dan keperibadian yang lebih terbuka dan liberal. Hal ini penting untuk mewujudkan masyarakat yang
harmoni.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Strategi untuk mengatasi masalah ini yang terpenting juga adalah melalui peranan ibu bapa.
Peranan ibu bapa ini terlalu penting dan sebenarnya mempunyai tugas berat untuk membendung
masalah ini daripada terus berlarutan di kalangan anak-anak . ibu bapa seharusnya menjadi contoh
kepada anak. Walaupun anak-anak di hantar ke sekolah,tetapi tidak bermakna tanggungjawab sudah
terlaksana. Mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya daripada orang tua
mereka . Gejala sosial di kalangan remaja, umumnya berpunca daripada pengabaian ibu bapa terhadap
anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah dapat menyeimbangkan antara tugas mencari rezeki dengan tugas
mewujudkan keluarga bahagia. Jika keluarga yang menjadi asas pewujudan sesebuah masyarakat itu
dapat hidup dalam keadaan aman, maka masyarakat harmoni juga dapat dibentuk.
Hadirin sekalian,
Kita tidak dapat mengetepikan faktor lain untuk membendung masalah sosial daripada berleluasa.
Namun, bagi saya, pendidikan agama merupakan teras yang amat penting untuk membendungnya. Jika
kita berpegang teguh kepada ajaran agama, bererti kita dapat membina benteng yang kukuh yang dapat
menahan diri kita daripada mengalami keruntuhan akhlak. Pemahaman dan penghayatan terhadap
agama membantu kita membina ketahanan dan disiplin diri yang sukar diganggu-gugat.
Sebagai pengakhir kata, saya ingin memohon maaf jika ada kata-kata saya tadi,tidak manis didengar
atau telah menyinggung perasaan anda. Saya berharap agar kita sedar akan masalah berat yang kita
hadapi kini dan sama-samalah kita berusaha mengatasinya. Sekian, terima kasih.

You might also like