You are on page 1of 12

1. Apa itu kebimbangan matematik?

Kebimbangan matematik merupakan perasaan takut dan bimbang apabila seseorang


berdepan dengan situasi yang mana melibatkan nombor dan permasalahan matematik.
Kebimbangan matematik merupakan masalah emosi yang boleh mengganggu keupayaan
seseorang untuk mempelajari matematik dan akhirnya menjurus kepada permasalahan dari segi
intelek. Hal ini adalah kerana kebimbangan matematik merupakan satu tindak balas emosi
terhadap matematik berdasarkan pengalaman lalu yang tidak menyenangkan yang mana akan
memudaratkan pembelajaran seseorang di masa hadapan Menurut Lazarus (1974), fenomena
kebimbangan matematik ini juga dikenali sebagai mathophobia memandangkan rasa takut
yang tidak rasional terhadap matematik (Marzita ,2002:14).

Ketakutan yang tidak rasional terhadap matematik boleh terdiri daripada rasa
ketidakselesaan yang dikaitkan dengan operasi berangka bagi mengelakkan jumlah matematik
dan juga kelas matematik. Menurut Morris (1998), kebimbangan matematik ini tidak semestinya
berkaitan dengan kebimbangan umum. Kebimbangan matematik mempunyai akarnya tersendiri
dalam pengajaran dan guru-guru dan ianya telah terikat dengan prestasi akademik pelajar yang
lemah serta keberkesanan pengajaran guru-guru. Kebimbangan matematik ini bukan sahaja
menyebabkan seseorang berasa sangat takut malah mereka juga sedaya-upaya mengelakkan diri
dari berhadapan dengan apa-apa jua situasi atau perkara yang melibatkan matematik.

Sesetengah orang membandingkan kebimbangan matematik kepada peringkat ketakutan.
Fenomena ini membolehkan seseorang lupa akan ilmu yang telah dipelajari. Hal ini adalah
kerana otak telah mengehadkan kemampuannya untuk bekerja dan ia boleh melumpuhkan
pemikiran seseorang di mana seorang pelajar tidak lagi berkeupayaan untuk melengkapkan
permasalahan matematik walaupun dia telah memahami bagaimana untuk berbuat demikian.
Situasi ini dapat diumpamakan seperti seorang pelakon yang mengalami ketakutan yang teramat
sangat mungkin akan melarikan diri dari naik ke pentas walaupun dia sudah tahu dan hafal
semua baris-baris ayat dalam skrip yang dipertanggungjawabkan. Rumusan ini telah dibuat oleh
Mark Ashcraft iaitu seorang pakar psikologi dari Universiri Nevada, Las Vegas.
http://www.edaransalindah.com/main/kebimbangan-matematik/. Menurut Tobias (1978),
kebimbangan matematik juga boleh menyebabkan seseorang hilang keyakinan diri apabila
berhadapan dengan permasalahan matematik (Marzita, 2002:2). Mereka merasa tidak berupaya
atau tidak semangat untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan matematik.


2. Mengapakah kebimbangan matematik ini berlaku?


Kebimbangan matematik boleh berlaku apabila seseorang tidak benar-benar memahami
dan menguasai sebahagian topik yang terdapat dalam mata pelajaran matematik (Marzita,
2002:15). Hal ini akan menyebabkan mereka berasa takut dan gelisah untuk menjawab atau
menyelesaikan sesuatu masalah yang berkaitan dengan matematik. Selain itu, kebimbangan
matematik juga berkait rapat dengan pencapaian seseorang dalam subjek tersebut (Marzita,
2002:73). Hal ini adalah kerana pencapaian menunjukkan tahap kefahaman dan penguasaan
seseorang dalam sesuatu bidang. Seandainya seseorang itu acap kali mendapat keputusan yang
rendah dalam mata pelajaran matematik, tahap kebimbangannya terhadap matematik akan tinggi.
Situasi ini juga akan menyebabkan mereka menyalahkan diri sendiri atas ketidakpandaian
mereka dalam matematik dan akhirnya menyebabkan mereka hilang minat terhadap matematik.

Kurang keyakinan terhadap matematik juga boleh menyebabkan seseorang mengalami
kebimbangan matematik (Marzita, 2002:44). Mereka merasakan bahawa mereka tidak
mempunyai kekuatan dan keyakinan diri yang cukup untuk membolehkan mereka menyelesaikan
permasalahan yang diberi walaupun hanya untuk mencuba. Di samping itu, kelembapan
seseorang dalam memahami apa yang diajarkan oleh guru juga turut menyebabkan berlakunya
kebimbangan matematik (Marzita, 2002:44). Hal ini adalah kerana terdapat guru yang mengajar
subjek matematik dengan cara yang laju. Situasi ini menyebabkan pelajar akan ketinggalan
dalam memahami bahagian-bahagian yang penting dalam mata pelajaran matematik. Apabila hal
ini terjadi, pelajar akan merasa susah untuk menyelesaikan masalah matematik yang diberikan
dan akhirnya mereka menjadi malas untuk membuat latihan yang berkaitan dengan matematik.

3. Bilakah kebimbangan matematik berlaku?

Kebimbangan matematik ini boleh berlaku dalam pelbagai situasi. Antaranya ialah ianya
boleh berlaku semasa seseorang bakal menghadapi peperiksaan. Bagi pelajar-pelajar yang sering
kali mengalami kegagalan dalam subjek matematik, mereka akan merasa gelisah dan risau
tatkala perlu menduduki peperiksaan matematik terutamanya semasa peperiksaan di peringkat
yang lebih tinggi seperti Sijil Penilaian Menengah (SPM). Hal ini telah dibuktikan oleh Prof. Dr.
Marzita Puteh (2002:49) dalam kajian beliau dengan menyatakan bahawa Peperiksaan Nasional
seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil
Penilaian Menengah (SPM) memberikan impak yang besar kepada seseorang dan sering dilihat
sebagai punca utama yang menyebabkan seseorang tidak suka kepada mata pelajaran matematik.
Oleh itu, pelajar-pelajar yang menghadapi kebimbangan matematik ini akan cuba meminimakan
subjek matematik semasa mereka berada di tahap menengah atas dengan hanya mengambil
subjek matematik moden. Penyataan ini dikukuhkan lagi dengan kajian yang dilakukan oleh Ng
(1971) terhadap kebimbangan sekolah dan pencapaian pelajar dan didapati bahawa terdapat
hubungkait di antar kebimbangan dan pencapaian (Marzita, 2002:22).

Selain itu juga, fenomena ini juga berlaku apabila seseorang pelajar dipanggil ke hadapan
kelas untuk menyelesaikan masalah matematik yang diberikan oleh guru. Berdasarkan kajian
yang dijalankan oleh Prof. Dr. Marzita Puteh (2002:54) berpendapat bahawa memandangkan
terdapat jumlah pelajar yang ramai di dalam sesuatu kelas, guru merasakan dengan memanggil
nama atau memilih pelajar secara rawak untuk menunjukkan jalan kerja di depan kelas adalah
antara cara untuk menunjukkan tahap pemahaman pelajar di dalam kelas secara keseluruhan.
Apabila pelajar yang dipanggil ke hadapan kelas untuk menunjukkan jalan kerjanya tidak dapat
menyelesaikan soalan matematik yang diberi atau terdapat kesalahan dalam menyelesaikannya,
pelajar tersebut akan berasa rendah diri dan malu terhadap teman-teman sekelasnya. Hal ini akan
menyebabkan pelajar tersebut sentiasa berada dalam keadaan risau dan takut semasa berlakunya
proses pengajaran dan pembelajaran matematik di dalam kelas.

Kebimbangan matematik ini juga boleh berlaku ketika pelajar diberi permasalahan
matematik yang sukar dan perlu diselesaikan dalam jangka masa yang singkat. Pelajar akan
merasa tertekan semasa menyelesaikan masalah bahkan mereka akan berasa bodoh sekiranya
tidak dapat menjawab soalan yang diberikan. Situasi ini akan menyebabkan terjadinya gangguan
dari segi emosi mereka yang mana akan menjurus kepada kebimbangan matematik (Marzita,
2002:55). Menurut kajian yang dilakukan oleh Prof. Dr. Marzita Puteh (2002:55), keadaan ini
berlaku apabila pelajar sedaya upaya menyembunyikan kelemahan dan kekurangan diri mereka
dari diketahui oleh orang lain. Oleh yang demikian, seandainya seorang pelajar itu tidak dapat
menyelesaikan soalan yang diberikan, mereka merasakan itu adalah perkara yang mengaibkan
dan mungkin ditertawakan oleh rakan-rakan sekelas yang lain.

4. Siapakah atau apakah faktor-faktor yang menyebabkan terjadinya kebimbangan
matematik?

Kebimbangan Matematik boleh disebabkan oleh faktor-faktor yang berlainan. Antara
faktor dominan yang menyebabkan berlakunya gejala ini adalah berpunca dari pengalaman
negatif seseorang yang melibatkan matematik (Marzita, 2002:19). Kebimbangan matematik ini
lebih cenderung dalam pengalaman seseorang secara individu. Pengalaman negatif ini mungkin
disebabkan oleh guru, ibu bapa atau rakan-rakan sebaya.

Personaliti seorang guru yang mengajar subjek matematik di dalam kelas memainkan
peranan yang penting dalam menggelakkan berlakunya fenomena kebimbangan matematik ini.
Menurut Prof. Dr. Marzita Puteh (2002:70), terdapat tujuh sikap seseorang guru yang
menyebabkan berlakunya situasi ini iaitu guru menyebabkan pelajar takut untuk bertanya atau
meminta bantuan bagi menyelesaikan masalah, guru menyalahkan pelajar kerana tidak faham
apa yang telah diajarkan, guru memperkecil-kecilkan pelajar atau mencemuh pelajar apabila
mereka bertanya soalan, guru terlalu garang dan tegas, guru menggunakan paksaan dan ancaman
kepada pelajar, guru tidak menunjukkan minat di kalangan pelajar mereka serta gaya pengajaran
guru yang lebih berfokuskan kepada pemindahan maklumat dan rutin kepada pelajar dan hanya
memberi sedikit perhatian kepada gaya pembelajaran pelajar. Sikap seorang guru seperti inilah
yang membuatkan pelajar tidak suka kepada subjek ini.

Selain dari personaliti seseorang guru, gaya pengajaran guru di dalam kelas juga turut
menyumbang kepada berlakunya fenomena ini. Hal ini adalah kerana melalui gaya pengajaran
guru, seseorang pelajar akan berminat dan suka kepada subjek matematik atau sebaliknya.
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, kebanyakan rasa tidak puas hati yang dilahirkan
adalah berkenaan gaya pengajaran guru yang mana dilihat memberi kesan kepada tahap ketidak-
sukaan pelajar terhadap subjek tersebut (Marzita, 2002:68). Gaya pengajaran guru yang
membosankan menyebabkan pelajar berpendapat bahawa subjek matematik adalah
membosankan dan sukar untuk difahami. Namun begitu, gaya pengajaran guru jugalah
membolehkan pelajar berpendapat sebaliknya.

Ibu bapa dan ahli keluarga juga merupakan antara sebab berlakunya kebimbangan
matematik dalam kalangan pelajar. Kekurangan sokongan yang betul dan sesuai serta perhatian
yang diberikan oleh keluarga terhadap prestasi matematik mereka seolah-olah telah banyak
menyumbang kepada sikap negatif terhadap subjek ini (Marzita, 2002:94). Terdapat ibu bapa
yang terlalu menaruh harapan yang tinggi terhadap anak-anak mereka untuk memperoleh
keputusan yang cemerlang dalam mata pelajaran matematik memandangkan subjek ini
merupakan antara kunci bagi seseoarng itu untuk melanjutkan pelajaran mereka ke tahap yang
lebih tinggi dalam bidang-bidang yang profesional seperti doktor dan jurutera. Situasi ini akan
menyebabkan pelajar berasa risau dan tertekan untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan.

Selain itu, rakan sebaya turut menyumbang kepada berlakunya fenomena ini (Marzita,
2002:85). Pada peringkat umur ini, kawan merupakan pengaruh yang terbesar dalam hidup
seseorang pelajar. Berdasarkan hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asyari, Diumpamakan
rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi
dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda
membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan
rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk . Berdasarkan hadis ini, apabila
seseorang pelajar bijak memilih kawan yang baik, sikap yang baik itu akan turut menjadikan
mereka baik tetapi jika mereka salah dalam memilih kawan, ia akan memberi kesan yang buruk.
Begitu juga dalam situasi ini. Seandainya kawan yang mereka berkawan itu adalah yang suka
kepada matematik, mereka boleh saling tolong-menolong antara satu sama lain agar semuanya
dapat memahami dan menguasai subjek tersebut tetapi seandainya kawan yang dipilih tidak suka
kepada subjek matematik, seseorang itu akan turut terpengaruh untuk tidak suka. Kurang galakan
daripada rakan sebaya turut menyumbang kepada gejala ini. Sebagai contohnya, sekiranya
pelajar diminta untuk mengadakan perbincangan di dalam kumpulan, namun tiada seorang pun
ahli kumpulan yang berminat terhadap subjek matematik, maka perbincangan yang berlaku
adalah tidak efektif.

Di samping itu, suasana persekitaran turut menyumbang kepada berlakunya fenomena
ini. Menurut Byrd (1982), persekitaran yang mendorong berlakunya kebimbangan matematik ini
adalah berdasarkan faktor sosiologi seperti status sosio-ekonomi, faktor ibu bapa dan peranan
sosialisasi jatina (Marzita, 2002:18-19).






5. Dari manakah punca fenomena ini berlaku?

Bagi sesetengah orang, fenomena kebimbangan matematik ini berlaku semasa
pemindahan seseorang dari sekolah rendah kepada sekolah menengah. Namun begitu, ramai
yang berpendapat bahawa kebimbangan matematik ini berlaku semasa pemindahan seseorang
dari menengah rendah kepada menengah atas iaitu dari tingkatan tiga kepada tingkatan empat
setelah menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Hal ini adalah kerana
semasa mereka berada di tahap menengah rendah, mereka tidak perlu menunjukkan jalan kira
atau langkah-langkah pengiraan yang logik dalam menyelesaikan masalah matematik
memandangkan format peperiksaan PMR lebih menitik beratkan jawapan berbanding jalan kerja.
Pelajar hanya perlu memilih jawapan yang betul dari jawapan objektif yang diberi. Namun
begitu, apabila mereka berada di tahap menengah atas, maereka dikehendaki menunjukkan
langkah pengiraan yang tepat bagi mendapatkan jawapan. Oleh itu, kebanyakan pelajar
merasakan sukar untuk menyesuaikan diri dengan cara pemikiran dan cara menjawab matematik
yang baru.
(Marzita, 2002:48)
Penyataan ini dikukuhkan lagi dengan laporan yang dibuat oleh Cockcroft Committee (1982)
yang menyatakan bahawa kebimbangan terhadap matematik ini didapati selalunya wujud dalam
kalangan pelajar sekolah menengah (Marzita, 2002:21).

Fenomena ini juga berlaku apabila pelajar mengambil berat terhadap mitos-mitos
matematik yang negatif. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Prof. Dr. Marzita Puteh
(2002:36-37), antara mitos-mitos matematik yang acap kali diperkatakan ialah matematik
hanyalah pengiraan yang mana berkait dengan nombor, simbol dan oleh yang demikian ianya
membosankan dan mengelirukan, matematik ialah penyelesaian masalah dan oleh itu ianya
susah, matematik terlalu abstrak dan tidak berkaitan dengan kehidupan seharian, matematik ialah
kaedah-kaedah dan mengingat formula dan ia mempunyai cara yang betul untuk melakukannya,
matematik mengukur tahap IQ dan kreativiti seseorang serta matematik memerlukan seseorang
melakukan banyak latihan dan memberi konsentrasi sepenuhnya. Mitos-mitos ini akan
menyebabkan pelajar berasa takut untuk belajar matematik walaupun mereka belum lagi
mencuba. Hal ini kerana otak mereka telah disetkan dengan mitos-mitos terrsebut dan akhirnya
menyebabkan mereka merasa susah apabila berdepan dengan subjek matematik.

6. Bagaimanakah cara untuk mengurangkan masalah ini?

Bagi mengurangkan fenomena ini berlaku, antara cara yang boleh dilakukan adalah
dengan memberi kefahaman yang jelas kepada pelajar mengenai idea-idea matematik bagi
meningkatkan pengetahuan dan menghilangkan kekeliruan yang wujud ke atas kandungan dan
konsep-konsep matematik (Marzita, 2002:20). Oleh itu, guru memainkan peranan yang penting
dalam menyampaikan maklumat secara berkesan.

Selain itu, sokongan moral yang betul daripada ibu bapa dan ahli keluarga juga mampu
meminimakan gejala ini (Marzita, 2002:80). Ibu bapa haruslah memainkan peranan dalam
memastikan pelajaran anak-anak mereka cemerlang. Mereka haruslah sentiasa memberi
dorongan dan membantu anak-anak mereka sedaya yang boleh dalam menyelesaikan masalah
matematik yang dihadapi jika anak-anak mereka buntu untuk menyelesaikannya. Ibu bapa juga
harus elakkan dari membandingkan anak-anak mereka. Sebagai contoh, jika anak sulung mereka
sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan namun anak kedua mereka
adalah sebaliknya, janganlah kerap membandingkannya kerana hal ini akan menyebabkan anak
kedua mereka berasa rendah diri dan menyalahkan diri di atas ketidakpandaiannya. Ibu bapa juga
janganlah memarahi anak-anak jika mereka mendapat keputusan yang tidak cemerlang dalam
matematik sebaliknya menasihati mereka dan mendekati mereka untuk mengetahui masalah
sebenar. Ahli keluarga lain juga perlu memainkan peranan dengan memberi kata-kata
perangsang dan tunjuk ajar. Janganlah memarahi mereka apabila mereka meminta pertolongan
bagi menyelesaikan soalan matematik. Situasi ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan rasa
kebimbangan mereka terhadap matematik.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Prof. Dr. Marzita Puteh (2002:94), peperiksaan
umum seperti SPM juga merupakan antara faktor yang menyebabkan berlakunya kebimbangan
matematik ini memandangkan gred keseluruhan adalah berdasarkan markah yang diperolehi
dalam peperiksaan dan hanya 30 peratus adalah berdasarkan kerja kursus mereka. Beliau
mencadangkan agar peratusan di antara peperiksaan secara bertulis dan kerja kursus adalah sama
rata iaitu 50:50. Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan rasa kebimbangan pelajar
dalam mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam subjek matematik.

7. Bagaimanakah cara untuk mengatasi fenomena ini?

Terdapat beberapa cara bagi mengatasi masalah kebimbangan matematik dalam kalangan
pelajar. Antaranya ialah berfikiran positif terhadap matematik. Elakkan dari menerima stereotaip
negatif berkenaan matematik. Yakinkan diri bahawa jika anda mahir atau bijak dalam mana-
mana kemahiran, maka anda juga boleh bijak dalam matematik. Jika anda mahir dalam penulisan
atau bahasa asing, misalnya, itu membuktikan anda juga boleh bijak dalam matematik.

Selain itu, Morris (1981) dalam artikel beliau mencadangkan agar guru membina teknik
dan strategi yang berkesan bagi membantu pelajar mengatasi masalah ini. Antara teknik yang
dicadangkan adalah dengan mewujudkan suasana bilik darjah yang menyokong, memahami
tekanan yang wujud semasa proses pembelajaran, menghilang mitos matematik dalam minda,
mewujudkan pengalaman baru yang positif terhadap matematik, menggunakan bahan yang
bersifat konkrit sebagai alat bantu mengajar dan memastikan pelajar memahami setiap konsep
yang diajar sebelum meneruskan pengajaran ke topik lain.
(Marzita, 2002:63)
Dengan wujudnya strategi dan teknik yang dicadangkan, tekanan dan kerisauan yang dihadapi
oleh pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dapat dikurangkan. Guru
juga haruslah menggunakan pendekatan yang mudah dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar
mengikut tahap pemikiran mereka. Hal ini adalah kerana tahap pemikiran pelajar adalah berbeza
mengikut tahap umur mereka.

Selain itu, guru juga mestilah mengamalkan sikap-sikap yang positif dalam diri mereka
seperti sabar, mengambil berat, sentiasa memberi galakan dan dorongan serta sentiasa membantu
pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sedang berlaku (Marzita,
2002:67). Justeru ianya juga dapat mengatasi pengalaman buruk yang dihadapi oleh pelajar
semasa sesi pembelajaran matematik yang melibatkan sikap guru.

Gaya pengajaran guru yang menyeronokkan juga boleh membantu mengatasi gejala ini.
Guru mestilah membuka minda pelajar dengan mengaitkan setiap topik yang terdapat dalam
subjek matematik dengan kehidupan sebenar. Dengan ini, pelajar merasakan bahawa
pembelajaran mereka dalam matematik adalah bermakna dan dapat diaplikasikan dalam
kehidupan seharian. Apabila sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas menyeronokkan,
secara tidak langsung, ia mampu mewujudkan perasaan suka dalam diri pelajar terhadap
matematik.

Di samping itu, dengan melakukan latihan yang kerap terutamanya ketika menghadapi
kesukaran dalam menyelesaikan sesuatu masalah matematik dalam sesuatu topik merupakan
antara cara yang boleh digunakan untuk mengatasi kebimbangan matematik dalam diri
seseorang. Jangan hanya membaca nota tanpa membuat latihan.
http://math.about.com/od/reference/a/anxiety.htm. Pepatah Inggeris ada mengatakan Practice
makes perfect . Oleh itu, apabila seseorang sentiasa melakukan latihan yang melibatkan
permasalahan matematik, dia akan berasa lebih yakin apabila berdepan dengan soalan-soalan
matematik yang lain. Namun begitu, pelajar tersebut mestilah benar-benar memahami apa yang
dilakukannya.

Rujukan

Marzita Puteh (2002). Factors Associated with Mathematic Anxiety. Tanjong Malim:
Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Kebimbangan Matematik (2011). Diperoleh pada November 13, 2011 daripada
http://www.edaransalindah.com/main/kebimbangan-matematik/

Overcoming Math Anxiety (2011). Diperoleh pada November 13, 2011 daripada
http://math.about.com/od/reference/a/anxiety.htm.



















Kebimbangan Matematik
Pengajaran, teknologi dan penaksiran 1
(EDu 3046/kpd 3016)



Disediakan oleh : IJLAL BINTI MOHD DIAH
No. matrik : D20091036006
SEM : 5 SESI 2011/2012

Nama pensyarah : prof. dr. marzita puteh

You might also like