You are on page 1of 1

FAEDAH BERJIMAT CERMAT

Berjimat cermat merupakan amalan mulia yang dituntut oleh setiap agama. Amalan
ini perlu dipupuk sejak kecil lagi supaya amalan ini sebati dalam diri. Terdapat banyak
faedah jika kita berjimat cermat.
Antara faedah berjimat cermat adalah kita bukan sahaja dapat melatih diri
daripada mengelakkan pembaziran bahkan melatih diri untuk menabung. Jika seseorang itu
selalu menabung, wangnya akan semakin bertambah seperti pepatah sedikit-sedikit, lama-
lama jadi bukit. Wang tabungan tersebut dapat digunakan untuk perkara-perkara
berfaedah seperti membeli barangan keperluan atau apabila melangkah ke menara gading
kelak.
Dalam situasi dunia sekarang di mana keadaan ekonomi yang tidak stabil, amalan ini
perlulah dititikberatkan. Contohnya, jika kita berjimat cermat dalam penggunaan tenaga
elektrik dan air akan dapat mengurangkan perbelanjaan untuk membayar bil bulanan. Wang
yang selebihnya dapat disimpan untuk kegunaan pada masa hadapan.
Di samping itu, berkongsi kenderaan ke tempat kerja juga adalah satu daripada
amalan yang dapat menjimatkan kos bulanan. Memandangkan harga bahan bakar yang kian
meningkat, amalan ini dilihat dapat mengurangkan perbelanjaan harian. Amalan ini bukan
sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan harian malahan dapat mengurangkan kadar
kesesakan di jalan raya akibat kenderaan yang banyak.
Selain itu, amalan berjimat cermat ini dapat menginsafkan diri akan penderitaan
orang lain seperti masalah kebuluran yang dialami oleh penduduk di benua Afrika. Apabila
membayangkan penderitaan mereka, sudah pasti kita tidak akan membazir makanan dan
minuman yang kita nikmati setiap hari. Jika ada peluang kita juga boleh menyumbangkan
sesuatu untuk meringankan penderitaan mereka.
Oleh itu, marilah kita amalkan sikap berjimat cermat kerana amalan ini menjadikan
kita seorang yang bertanggungjawab. Kita perlu sederhana dalam setiap perkara kerana
membazir itu adalah amalan syaitan.

You might also like