You are on page 1of 3

Bismilahhiramannirahim

Kalau tidak kerana bintang,


Tak akan bulan kelihatan tinggi ,
Kalau tidak kerana pidato,
Tak akan saya berada disini.

Datang bahtera dari Medan ,
Singgah sebentar di laluan Kerai,
Salam satu Malaysia saya hulurkan ,
Kepada warga dewan pembuka tirai.

Assalamualikum W.B.H
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang arif lagi
bijaksana yang sedang menjunjung mahkota keadilannya ,penjaga masa yang
sentiasa peka dengan detak jamnya, para perserta yang saya kagumi serta hadirin
dan hadirat yang saya hormati.

Jauh berlayar si pedagang Cina ,
Singgah di Melaka menjual sutera .
Bahasa melayu bahasa perantara ,
Tonggak utama perpaduan negara

Hadirin dan hadirat yang dihormati
Cogan kata Hidup Muafakat Membawa Berkat merupakan antara cogan kata
yang dicipta untuk menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya muafakat dalam
kehidupan masyarakat yang berbilang kaum seperti di negara kita. Kata orang,
permuafakatan bererti perpaduan. Situasi ini dapat dihuraikan oleh bidalan bersatu
teguh bercerai roboh. Keadaan ini membawa kebaikan dan kejayaan kepada seluruh
anggota masyarakat berkenaan. Sesungguhnya, negara yang memiliki masyarakat
majmuk seperti Malaysia berpaksikan pada perpaduan untuk meneruskan
kelangsungan keharmonian di dalam negara. Saya yakin bahawa perpaduan penting
dalam sesebuah negara. Dalam usaha melonjak status negara berpendapatan tinggi
dan bagi merealisasikan dasar transformasi kerajaan, soal perpaduan tidak boleh
dipandang enteng kerana bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan
mendaulatkan maruah bangsa. Usaha membina negara bangsa yang bersatu padu
ini sebenarnya boleh dilakukan jika setiap rakyat mengerti akan kepentingan bahasa
kebangsaan sebagai tonggak perpaduan setiap rakyat di Malaysia. Oleh itu, izinkan
saya untuk menjelaskan dengan lebih terperinci tentang wacana ilimiah kita pada
hari ini yang bertajuk Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia.

Hadirin yang dirahmati,
Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, adalah baik jika kita
menelusuri akar-akar cerucuk sejarah sebelum terbentangnya hamparan indah
negara Malaysia. Apabila memorabilia ini membawa kita ke ratusan tahun yang
lampau, nyatalah bahawa Bahasa Melayu sudah berfungsi sebagai lingua franca yang
didefinisikan sebagai bahasa perantaraan antara masyarakat pada zaman itu.Hal ini
dapat dibuktikan dengan jelas apabila kita meneliti catatan ilmuwan Inggeris seperti
R.O. Winsted yang menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai
bahasa perdagangan yang mengeratkan hubungan masyarakat yang berkunjung ke
Melaka ketika itu. Daripada golongan pendeta sehinggalah ke golongan biasa, setiap
insan di Melaka ketika itu berkomunikasi dengan bahasa tercinta kita yang tidak
lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Tidak lain dan tidak bukan,sudah tentulah
Bahasa Melayu. Nah, apa lagi yang kita pertikaikan tentang kemampuan bahasa
kebangsaan kita sebagai wadah perpaduan? Berdasarkan perkara ini, jelaslah
bahawa hamparan sejarah jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu
menjadi bahasa perpaduan yang cemerlang di dunia.

Hadirin yang dihormati,
Melalui bahasa Melayu, sebarang konfrantasi, buruk sangka dan salah faham
antara kaum dapat dikikis dengan mudah. Saya suka untuk meminjam kata-kata
pujangga pendeta Zaaba yang berbunyi bahasa menunjukkan bangsa. Apabila kita
melihat masyarakat bertutur dalam bahasa Melayu, sudah terang lagi bersuluh
bahawa mereka ialah bangsa Malaysia. Daripada kata-kata hikmat tersebut, saya
sangat percaya bahawa bahasa Melayu sedikit sebanyak akan mengurangkan
semangat kecinaan, kemelayuan ataupun keindiaan.
Haiya, ini balang mana ada halga, dia punya bau saya macam mau pengsan
ah
Tambi, itu worang mau roti satu, kari ikan kapla satu
Pelatlah dengan pengaruh bahasa natif,asalkan setiap kaum di Malaysia dapat
bermesra dan bertukar-tukar maklumat dan fikiran hanya dengan menggunakan
bahasa Melayu. Langkah Dewan Bahasa memasukkan entri perkataan baharu setiap
kali edisi baharu terbit merupakan langkah yang patut dipuji kerana perkataan
pinjaman daripada bahasa Cina dan India yang mengalami proses kemalaysiaan
sememangnya dapat mewujudkan perpaduan. Apa yang penting, setiap kaum di
Malaysia tidak akan kekok untuk berbicara dalam bahasa kebangsaan. Apabila tidak
kekok berbicara, sudah tentulah juga tidak kekok untuk bermesra. Apabila sudah
bergaul mesra, nyatalah bahawa perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk itu
akan terbina kukuh di bawah payung Satu Malaysia. Berdasarkan hujah ini, nyatalah
bahawa bahasa Melayu itu merupakan medium untuk mewujudkan perpaduan dalam
kalangan masyrakat di Malaysia.

Hadirin yang dikasihi,
Dalam lautan ilmu yang memenuhi pustaka di Malaysia, sudah tentulah
bahasa Melayu turut menjadi bahasa penyebaran ilmu pengetahuan. Berdasarkan
data yang saya peroleh daripada Arkib Negara, saya amat kagum dengan pencapaian
bahasa Melayu kerana hampir 800 buah buku ilmiah ditulis dalam bahasa Melayu
oleh rakyat Malaysia sendiri. Untuk pengetahuan hadirin, ilmu pengetahuan
merupakan perkara yang sangat penting untuk memupuk perpaduan. Masarakat
yang tidak berilmu ibarat masyarakat yang tidak bertamadun. Apabila tidak
bertamadun, sudah tentulah masyarakat bertindak membuta-tuli mengikut hati dan
naluri. Oleh itu, sudah tentulah kucar-kacir akan menodai keamanan sesebuah
negara. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan
terima kasih dan segunung pernghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia
kerana mengembalikan mandat kepada bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan
Matematik. Sesungguhnya, langkah ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara
murid-murid di luar bandar dan di kawasan bandar. Dalam soal keharmonian, sudah
tentulah kita tidak mahukan sebarang jurang bertatah di dalam kehidupan
masyarakat. Pada pendapat saya, jurang itu boleh memecahbelahkan perpaduan.
Apabila bahasa Melayu kembali dalam pengajaran subjek kritikal ini, sudah tentulah
jurang itu dapat dirapatkan. Ketika jurang pendidikan itu dirapatkan, sudah tentulah
perpaduan dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi. Selain dasar baharu itu, usaha
Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program Memartabatkan Bahasa
Melayu, memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMBMI) dilihat sebagai wahana yang
sangat utama untuk menjadi tonggak perpaduan. Pengisiannya jelas menunjukkan
bahawa betapa prihatinnya pihak kerajaan terhadap kedaulatan bahasa Melayu dan
betapa arifnya kerajaan tentang peranan bahasa Melayu sebagai tonggak
perpaduan.

Hadirin yang dirahmati,
Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin
mengingatkan kepada khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan bahasa
kebangsaan akan merosakkan perpaduan yang kita kecapi selama ini. Tidak
keterlaluan saya katakan bahawa insan inilah anasir yang menodai kebahagiaan kita
di bawah berkat Satu Malaysia. Oleh itu, sayangilah bahasa Melayu kita, hormatilah
bahasa kebangsaan kita kerana bahasa Melayu tonggak perpaduan bangsa.

Sekian, terima kasih.

You might also like