You are on page 1of 13

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ DAN

PENGAJARANNYA
Disediakan Untuk:
Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh:
Muhammad Nurhafiz Bin nashurudin

ABSTRAK
Dalam peristiwa Israk Mikraj yang dihadapi oleh Rasulullah SAW, kita akan dapat mengetahui
pelbagai peristiwa yang aneh dan ajaib yang telah dilihatnya ketika dinaikkan ke Sidratul Muntaha
dari langit pertama sehingga ke langit ketujuh. Selain itu, kita dapat buktikan adakah perjalanan
Rasulullah SAW ke langit ketujuh ini melalui roh atau jasadnya sahaja, mahupun kedua-duanya iaitu
roh dan jasad? Peristiwa Israk Mikraj ini dapat kita fahami dengan jelas dan melihat hikmah atau
pengajaran yang tersurat atau tersirat semasa peristiwa ini terjadi. Hasil kutipan daripada bahan-
bahan rujukan tentang Israk Mikraj didapati peristiwa ini merupakan satu peristiwa yang begitu
menguji keimanan umat Islam kerana Allah SWT telah menguji kepercayaan manusia dengan
kejadian Israk Mikraj ini dimana Rasulullah SAW melakukankan perjalanan dari Masjidul Haram,
Makkah ke Masjidul Aqsa, Baitul Maqdis yang dipanggil Israk manakala Mikraj ialah perjalanan
Rasulullah SAW dari Masjidul Aqsa, Baitul Maqdis ke Sidratul Muntaha ke langit ketujuh dan ramai
yang tidak mempercayai kata-kata Rasulullah tentang perjalanannya itu. Semasa perjalanan ke
langit ketujuh, Rasulullah SAW telah bertemu dengan nabi-nabi sebelumnya dan melihat kejadian-
kejadian yang terjadi kepada manusia yang hidupnya didunia membuat dosa dan dimurkai Allah
SWT. Menurut Haji Mohd Rashad Shamsuddin dalam bukunya Sirah Muhammad dalam subtopik
perbezaan pendapat di muka surat dua ratus dua menyatakan banyak pandangan ulama berkenaan
cara pengembaraan baginda ke langit ketujuh. Adakah melalui roh dan jasad? Jika perjalanannya
melalui roh atau mimpi maka semestinya Rasulullah memberitahu secara terus terang tanpa
berselindung lagi. Pada peristiwa ini juga Allah SWT telah memerintahkan makhluknya kewajipan
solat. Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang
diceritakan kembali setiap kali menjelang 27 Rejab. Adalah lebih penting untuk kita menghayati
pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara
yang mungkar. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh
pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut
kepada kekuasaan-Nya. Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati ,
kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan.
Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah mereka percaya atau tidak
dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Rasulullah SAW langsung tidak
mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi.

PENDAHULUAN
Pada setiap tanggal dua puluh tujuh Rejab tiba , kita akan selalu teringat suatu peristiwa yang
sangat luarbiasa , yang terjadi sejak lima belas abad yang silam, iaitu peristiwa perjalanan
Rasulullah SAW di waktu malam dengan menaiki buraq dari Masjidul Haram di Mekah ke Masjidul
Aqsa di Baitul Maqdis, terus naik ke langit ketujuh sampai ke Sidratul Muntaha , peristiwa ini lebih
dikenali dalam masyarakat kita hari ini iaitu Peristiwa Israk dan Mikraj Hebatnya peristiwa ini
sehingga mengundang sebahagian dari kaum Muslimin setiap pelusuk negara kita memperingatinya
dengan mengadakan pelbagai kegiatan khususnya di masjid-masjid, surau-surau, sekolah atau
pusat pengajian tinggi dan sebagainya semata-mata untuk meraikan sambutan peristiwa bersejarah
ini sehingga semangat ini terbawa-bawa walaupun bulan Rejab telah berlalu. Peristiwa Israk dan
Mikraj terjadi Cuma sekali sepanjang sejarah hidup Rasulullah SAW. Satu setengah tahun sebelum
berhijrah ke Madinah perkara yang berlaku ini terjadi kepada diri seorang manusia maksum dan
sungguh luar biasa sehingga tidak semua orang meyakini kebenarannya , kecuali orang yang benar
-benar beriman, yang mendapat hidayah dari Allah SWT . Bagi orang yang beriman kepada
keesaan Allah SWT dan hari Kiamat, mereka menerima dengan hati yang terbuka dan pasrah
kerana peristiwa ini merupakan satu perkara yang logic , apatah lagi peristiwa itu dihubungkan
sebagai salah satu mukjizat Rasulullah SAW, maka tidak ada masalah yang perlu diragui. Yang
jelas kebenaran peristiwa ini tidak mesti sesuai dengan hukum alam dan logik akal manusia, tanpa
juga mempercayai secara jasad dan roh, kecuali setelah diperoleh bekas-bekas yang nyata dari
peristiwa tersebut. Kita juga mesti beriman dengan Israk dan Mikraj iaitu ada perintah kewajipan
menunaikan solat lima waktu. Kewajipan inilah yang menjadi pokok keimanan dan hendaklah
dikerjakan bersungguh-sungguh serta tidak meninggalkannya. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku
setelah Rasulullah SAW menempuh tahun dukacita di mana baginda telah kehilangan orang yang
paling dikasihi dalam hidupnya, iaitu isteri baginda, Siti Khadijah, dan bapa saudara baginda, Abu
Talib. Mereka berdua adalah tokoh penting yang telah membantu usaha dakwah baginda di
peringkat awal. Bayangkanlah bagaimana remuk redamnya perasaan Nabi ketika itu. Hilang teman
hidup yang telah berkorban segala-galanya untuk Nabi dan perjuangan Islam. Di saat kesedihan
yang amat sangat itulah Jibril datang membawa pesan gembira untuk mengiringi Nabi untuk Israk
dan Mikraj bertemu Pencipta nya. Itulah hadiah yang paling bermakna ketika baginda
memerlukannya.

DEFINISI ISRAK DAN MIKRAJ

Merujuk buku yang berjudul Sirah Muhammad Rasulullah SAW, Israk dan Mikraj dapat didefinisikan
seperti berikut :

Israk ialah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidul Haram, Makkah ke Masjidul Aqsa, Baitul
Maqdis sementara Mikraj adalah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidul Aqsa, Baitul Maqdis ke
Sidratul Muntaha di langit ketujuh. Haji Mohd Rashad Shamsuddin(2002)

Secara umumnya, maksud Israk ialah perjalanan yang Allah SWT perlakukan kepada Rasulullah
SAW secara terhormat, bermula dari Masjid al-Haram di Makkah hingga ke masjid al-Aqsa, Baitul
Maqdis di Palestin. Sementara maksud Mikraj ialah kejadian yang berlaku ekoran dari peristiwa
israk, iaitu naik dari al-Aqsa kepada beberapa lapisan langit yang tinggi, sampai ke suatu peringkat
yang tertinggi iaitu suatu tempat bernama Sidratul Muntaha di mana ilmu dan akal manusia atau jin
tidak mampu sampai kepadanya. Peristiwa Israk Mikraj merupakan salah satu peristiwa penting
dalam rakaman sejarah kehidupan Rasulullah SAW . Peristiwa ini bukan sahaja penting kepada
Rasulullah SAW semata-mata, malah peristiwa ini amat penting sekali kepada seluruh Umat Islam.
Kepada Rasulullah SAW peristiwa ini juga adalah suatu anugerah tertinggi Allah kepada baginda
sebagai Nabi kekasih Allah, di mana berlakunya pertemuan yang begitu shahdu dan qudus di antara
baginda dengan Tuhannya(Allah).
Haji Mohd Rashad Shamsuddin(2002)
KRONOLOGI PERISTIWA ISRAK MIKRAJ

Sebelum Israk dan Mikraj

Peristiwa Isra dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang individu yang paling
rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta
Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Diceritakan sebelum peristiwa ni berlaku

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mikail.
Hati Baginda S. A. W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (alaqah) iaitu tempat syaitan
membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke nubuwwah. Pada suatu
malam, Jibril datang mengejutkan Muhammad SAW daripada tidurnya dan membawa Rasulullah
SAW menaiki binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar
biasa yang dinamakan Israk itu. Zulkifli Mohd Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman(2007).

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa)

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail. Tiba di
tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh
Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan
ialah Madinah, tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah , Turusaina iaitu tempat Nabi
Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah dan Bait Lehem (tempat Nabi `Isa A. S. dilahirkan). H.
Zainal Arifin Abbas(1970).

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW dipanggil oleh seorang perempuan tua duduk di
tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata
Jibrail:Teruskan pejalanan! Itulah adalah jelmaan syaitan yang tidak berputus asa untuk
menyesatkan manusia. Kemudian baginda terserempak dengan seorang perempuan dengan dulang
yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah
dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan
dunia daripada akhirat. Dalam perjalan itu juga baginda terserempak dengan seorang perempuan
bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail:Itulah gambaran umur
dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat. H. Zainal Arifin Abbas(1970).

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan
mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Merujuk buku Biografi Muhammad Bin Abdullah(Perjalanan Hidup Seorang Nabi) karya Zulkifli
Mohd. Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman dalam subtopik Israk Mikraj ada menulis:

Di Masjid al-Aqsa, sedang berlaku perhimpunan yang sangat luar biasa. Allah menghidupkan para
rasul dan para nabi untuk bertemu dengan Muhammad di Masjid al-Aqsa. Ulama menyebut jumlah
para rasul seramai 315 orang dan jumlah para nabi 24000 orang. Muhammad berkata, Semua rasul
dan nabi menunaikan haji di Mekah. Zulkifli Mohd Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman(2007).


Kemudian , selepas menunaikan sembahyang, Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu Jibrail
membawa dua bekas minuman yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu
diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai
umat baginda akan menjadi sesat. Zulkifli Mohd Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman(2007).

Semasa Mikraj (Naik ke Sidratul Muntaha Menemui Allah)

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas
tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia(Babul Hafazah). Rasulullah SAW diterima oleh
para malaikat dilangit dunia dengan ketawa dan kegembiraan serta mendoakan baginda dengan
yang baik-baik tetapi ada satu malaikat yang berjumpa dengan Rasulullah dan mendoakan yang
baik-baik kepadanya tetapi tidak ketawa, baginda tidak nampak kegembiraan padanya seperti mana
malaikat yang dijumpainya sebelum ini. Itulah malaikat Malik penjaga Pintu Neraka yang dikatakan
oleh malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW. Setelah diperintahkan oleh Jibril atas permintaan
Rasulullah, lalu Malik membuka tutupnya dan memancar-mancarlah api yang panas membara
memercik tinggi ke udara sehinggakan seperti boleh membakar apa sahaja yang boleh dilihat oleh
Rasulullah. Kemudian, baginda menyuruh Jibril memberitahu Malik supaya kembalikan api itu di
tempat asalnya lalu Jibril memberitahu Malik dan dia berkataTenangkanlah Nyalaanmu!, lalu
kembalilah api neraka itu ke tempat asalnya. Semasa dilangit pertama, baginda dapat menyaksikan
pelbagai peristiwa simbolik yang amat ajaib. Disana baginda melihat seorang lelaki duduk disana
sambil melihat roh-roh manusia keturunan Adam yang lalu di hadapannya. Roh yang baik datang
dari jasad yang baik, manakala kepada sesetengah yang lain dia akan berkataCis! Sambil
mengerutkan kening, Roh yang kotor datang dari jasad yang kotor. Selepas itu, rasulullah melihat
ada orang yang berenang dalam sungai darah. Apabila mereka sampai ke tepi, mereka ternganga
lalu para malaikat melontarkan api-api neraka ke dalam mulut mereka. Kata Jibrail: Itulah orang
yang memakan harta anak-anak yatim .

Kemudian, baginda melihat lelaki yang merangkak dengan perut seperti unta dalam kedahagaan,
semasa menuju ke neraka, mereka jalan mengesutkan badan mereka tetapi tidak terdaya. Jibril
berkata kepada baginda, itulah orang yang memakan riba!. Baginda juga melihat Satu kaum lelaki
dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi
mereka. Kata Jibrail Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan
perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami. Selain itu, baginda melihat perempuan
mengendung buah dadanya, kata Jibril kepada bagindamereka itu adalah perempuan
yang melahirkan anak bukan daripada suami mereka. Shamsuddin, Haji Mohd. Rashad(2002)

Di langit Kedua, baginda dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan
Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S. Kemudian , baginda dan Jibril naik ke langit ketiga dan bertemu
dengan Nabi Yusuf A. S. Setelah itu, baginda dan Jibril ke langit Keempat dan bertemu dengan Nabi
Idris A. S. Seterusnya, baginda dan Jibril naik tangga langit kelima lalu bertemu dengan Nabi Harun
A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil. Di Langit Keenam, Naik tangga langit keenam.
Baginda bertemu dengan Nabi Musa A. S. Kemudian baginda naik ke langit ketujuh dan berjumpa
dengan Nabi Ibrahim A. S. dan baginda dibawa memasuki syurga dan disana baginda terlihat
seorang gadis yang bibirnya merah-merah kehitaman lalu baginda bertanya kepadanya untuk
siapakah dia? Lalu dia menjawab, Untuk Zaid bin Harisah. Baginda pun mengembirakan Zaid akan
hal tersebut. H. Zainal Arifin Abbas(1970).
Dalam perjalanan ke lapisan hijab, ketika baginda memerhati sesuatu yang tidak tergambar dengan
hati dan fikiran, tidak terlihat dengan pandangan kasar:pandangan matanya tidak terdaya merenungi
kehebatan kejadian yang boleh membutakan mata kasar, maka itulah Allah SWT membuka mata
hati Rasulullah SAW dan mengizinkannya melihat suatu bentuk keindahan yang amat hebat sekali.
Shamsuddin, Haji Mohd. Rashad(2002)

Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan
yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan
dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau
kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan
angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta,
orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah SWT: aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira
dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu
sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku
kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku
berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku
berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku
kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-
panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang. H. Zainal Arifin
Abbas(1970).

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S.
yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan,
mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali
dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari
semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga. Yunus Ali Al-Muhdhor(1993).

Selepas Israk dan Mikraj

Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang
Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Orang pertama yang dijumpainya ialah
Abu Jahal. Dia seakan-akan mengetahui akan ada sesuatu yang ingin baginda katakan lalu dia
bertanya kapada baginda, Apakah yang yang bermain di fikiranmu wahai Muhammad?lalu baginda
menceritakan peristiwa Israk Mikraj itu kepada Abu Jahal dan dia mentertawakan baginda lalu
mengajak dan mengumpul penduduk mekah mendengar cerita Muhammad SAW. Abu Bakar yang
mendengar cerita Muhammad itu daripada Abu Jahal tanpa keraguan membenarkan kata-kata
baginda. Dari sinilah Abu Bakar mendapat gelaran As-Siddiq yang bermaksud membenarkan kata-
kata Rasulullah SAW. Penduduk mekah tidak mempercayai kata-kata Rasulullah sama ada kafir
Quraisy mahupun Umat Islam yang lemah imannya. Ramai umat Islam yang murtad ketika itu.
Untuk memalukan Rasulullah SAW, Abu Jahal meminta baginda untuk menggambarkan ciri-ciri
struktur binaan Masjidil Aqsa. Abu Jahal terdiam apabila baginda menjelaskan ciri binaan masjidil
Aqsa dengan sangat terperinci. Gambaran baginda diakui oleh mereka yang telah pergi ke sana. H.
Zainal Arifin Abbas(1970).

Perbezaan Pendapat Mengenai Perjalanan Israk Mikraj Rasulullah SAW

Terdapat pelbagai pendapat yang menyatakan bagaimana baginda SAW melalui perjalanan Israk
Mikraj ini. Adakah melalui roh atau jasadnya sahaja?atau roh dan jasad sekali dinaikkan semasa
perjalanan itu.

Dari sudut logik akal pada zaman Rasulullah, pengembaraan beribu kilometer ke ruang angkasa
dalam satu malam adalah tidak masuk akal dan tidak diterima oleh masyarakat dimasa itu. Maka
penentuan yang menyatakan roh sahaja yang dinaikkan semasa pengembaraan baginda adalah
jalan terbaik untuk meyakini pengembaraan baginda Rasulullah SAW. menurut Aisyah, jasad
baginda tidak lenyap di muka bumi ini dan yang di Mikrajkan itu hanyalah rohnya. Selain itu, ada
segolongan yang lain berpendapat bahawa pengembaran Israk Mikraj itu hanyalah mimpi Rasulullah
SAW. Shamsuddin, Haji Mohd. Rashad(2002).

Berdasarkan pendapat ulama-ulama, perjalanan baginda ketika Israk Mikraj adalah melalui roh dan
jasad. Hal ini berdasarkan peristiwa baginda menaiki Burak untuk ke langit ketujuh. Jika hanya
melalui roh, tidak perlulah burak untuk ditunggang oleh baginda kerana roh tidak diperlukan untuk
naik ke langit. Selain itu, ini dapat dibuktikan lagi apabila baginda memilih untuk meminum susu
daripada arak yang diberikan oleh Jibril. Roh tidak boleh minum, ini membuktikan pengembaraan
baginda ini melalui roh dan jasad sekali. Syaikh Abul Hasan `Ali al-Hasani an-Nadwi(2005) .

PENGAJARAN
Berdasarkan kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperolehi pelbagai pengajaran berharga yang
terkandung di dalamnya untuk direnungi serta dihayati. Antara pengajaran berguna tersebut ialah
manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan
mahupun di kala mendapat kesenangan. Selain itu, manusia sebagai hamba Allah harus menjauhi
perkara mungkar dan maksiat. Selain daripada itu, semasa Israk Mikraj, baginda ditunjukkan
berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat
daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Pengajaran yang
terpenting ialah perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan
ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat
dan haji. Pengajaran yang seterusnya ialah, manusia harus mengakui dan tunduk kepada
kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di
jiwa manusia. Di samping itu, manusia digalakkan memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj,
Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Kita juga mestilah
mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan
seorang nenek tua. Pengajaran terakhir ialah kita mestilah berwaspada dengan rayuan dan tipu
daya iblis, di mana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi syaitan yang menyamar sebagai
perempuan cuba menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan baginda. H. Zainal
Arifin Abbas(1970). Syaikh Abul Hasan `Ali al-Hasani an-Nadwi(2005)Yunus, prof H.
Mahmud(1979).

KESIMPULAN

Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru, Pelbagai
pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya
dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan
ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan,
terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini. Seandainya peristiwa dalam Israk dan
Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya
daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji
umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-
baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj ini juga merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau
kekuasaan Allah SWT. Allah SWT telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya
kepada Baginda SAW. Yang menjadi agenda utama sempena peristiwa ini adalah perintah wajib
sembahyang lima waktu sehari semalam, baik untuk peribadi baginda s. a. w. mahupun untuk
umatnya dengan waktu yang telah ditetapkan. Justeru, ini dapat dilihat bahawa betapa pentingnya
sembahyang di dalam kehidupan seseorang Muslim , maka marilah kita tanamkan pendidikan Islam
secara umum dam pendidikan agama secara khusus kepada anak-anak kita . Kita mesti ada
perancangan terutama yang berkaitan masa depan anak-anak dengan dibekalkan mereka dengan
pengajaran agama, supaya nanti mereka tidak lupa dan salah faham mengenai agama Islam, tidak
lagi yang tidak tahu Rukun Islam dan Rukun Iman dan ia akan menyedarkan mereka untuk
menguasai seluruh kehidupan dengan amalan baik dan sempurna. Jadikan pengajaran dan iktibar
dari peristiwa Isra dan Mikraj sebagai langkah untuk membersihkan serta membentuk sahsiah diri
kita dengan kembali ke jalan Allah dan meninggalkan perbuatan keji yang sia-sia. Kita sebagai
hamba Allah , tugas kita bukan sahaja memperingati peristiwa Israk Mikraj ini malah kita haruslah
mempraktikkan apa yang patut diambil berdasarkan pengajaran daripada peristiwa Israk Mikraj ini
untuk mendapatkan keredaan daripada Allah SWT. Hasil daripada pengabdian yang ikhlas kepada
Allah SWT yang Maha Esa dan Maha Berkuasa, maka akan lahirlah insan yang teguh iman dan
ehsan kepada-Nya semata-mata untuk mencari keredaan-Nya.


Rahsia tersirat Israk dan Mikraj
Agama
by Editor

ISRAK dan Mikraj atau perjalanan Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Baitulmaqdis dan naik ke Sidratul Muntaha,
kemudian kembali ke Mekah dalam waktu singkat merupakan peristiwa yang sukar diterima oleh akal yang rasional
kecuali melalui pendekatan iman. Satu perjalanan spiritual yang paling tinggi yang tidak pernah dialami oleh mana-
mana Nabi pun. Ia dianggap mukjizat kedua terbesar setelah al-Quran.
Para ulama banyak berselisih pendapat tentang bilakah terjadinya Israk dan Mikraj. Sebahagian ulama berpendapat
ia terjadi pada malam 7 Rabiulawal, sebahagian yang lain pula menyatakan 27 Rabiulawal dan ada yang
mengatakan pada 29 Ramadan. Namun sebahagian besar ulama antaranya seperti Al-Allamah Al-Manshufury
berpendapat Israk dan Mikraj terjadi pada malam 27 Rejab.

Demikian juga perselisihan pendapat tentang jumlah atau berapa kali terjadinya Israk dan Mikraj, tentang bagaimana
terjadinya iaitu adakah dengan tubuh kasar (jasmani) atau tubuh halus (rohani) atau rohani sahaja, apakah ia
termasuk mukjizat Nabi atau tidak dan sehinggalah dalam menentukan tempat menjadi titik tolak perjalanan Israk itu.

Selepas pelbagai penafsiran dan pendapat mengenai cara bagaimana Israk dan Mikraj itu terjadi, peristiwa ladunity
(Ilahi) itu diakui kebenarannya oleh segenap umat Islam. Dalam kaitan masalah tersebut, kenyataan menunjukkan ia
benar-benar berlaku meskipun hanya hadis yang membicarakan peristiwa Israk dan Mikraj. Penyebutannya dalam al-
Quran dapat dikatakan amat sedikit. Kerana itu wajarlah jika timbul pelbagai pendapat dan pentafsiran. Yang perlu
kita ketahui adalah cara al-Quran dalam mengemukakan suatu peristiwa sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w tidak
sama dengan cara yang ditempuh oleh para penulis kitab-kitab Sirah, atau buku-buku sejarah yang lainnya. Ia
merupakan salah satu ciri-ciri khas al-Quran.

Penjelasan al-Quran mengenai peristiwa-peristiwa yang terjadi, baik yang ringkas mahupun yang panjang, memang
berbeza sekali dari penjelasan yang lazim diberikan oleh penulis buku. Al-Quran tidak mengutamakan besar atau
kecilnya skala kejadian, tetapi lebih mengutamakan kandungan hikmahnya yang dikehendaki Allah s.w.t.

Keimanan

Penyajian yang ringkas ini mungkin bermaksud menguji keimanan, mana yang mantap dan mana yang goyah di
kalangan para pengikut Rasulullah s.a.w, yakni kaum Muslimin. Ia ditunjukkan oleh kenyataan bahawa beberapa
orang yang pada masa itu telah memeluk Islam terus menjadi murtad setelah mendengar berita tentang Israk dan
Mikraj. Itulah yang menjadi dasar pentafsiran yang menegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan ujian
bagi kaum Muslimin.

Sejauh mana hikmah yang dikehendaki Allah s.w.t dalam peristiwa besar itu, kita tidak dapat menjangkaunya, akan
tetapi dengan disebut peristiwa itu di dalam al-Quran telah memberi dorongan kepada kita untuk berfikir dan
merenungkan kekuasaan Allah s.w.t Yang Maha Mutlak.

Sebenarnya adalah tidak wajar diberi tempat untuk perdebatan yang berlarutan yang timbul di zaman dahulu dan
sekarang mengenai hakikat peristiwa Israk dan Mikraj yang nyata berlaku dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. Jarak
di antara Israk Mikraj dengan roh, jasad, atau jarak di antara melihat dalam masa tidur atau melihat dalam masa jaga
adalah jarak yang tidak jauh.

Ia tidak sedikit pun menjejaskan hakikat peristiwa ini sebagai satu peristiwa yang telah mendedah dan membuka
kepada Rasulullah s.a.w tempat-tempat dan alam yang amat jauh dalam sekilas masa yang pendek sahaja. Orang
yang memahami sesuatu daripada hakikat kudrat Ilahi dan hakikat nubuwah, tidak sedikit pun memandang ganjil
kepada peristiwa itu.

Segala kerja yang kelihatan berbeza-beza dari segi mudah dan payah pada pandangan manusia mengikut ukuran
kudrat dan pemikiran mereka atau mengikut apa yang dibiasakan dan difikirkan mereka adalah sama sahaja di
hadapan kudrat Ilahi. Sesuatu kebiasaan yang dilihat di alam manusia itu tidak boleh dijadikan hukum dalam
penilaian segala perkara dibandingkan dengan kudrat Allah.

Hakikat nubuwah pula ialah perhubungan dengan al-Malaul-Ala, iaitu perhubungan yang bukan menjadi ukuran atau
kebiasaan kepada insan-insan yang lain (daripada para Rasul). Kebolehan menjelma di tempat atau di alam yang
jauh atau kebolehan sampai di tempat yang jauh dengan wasilah yang diketahui umum dengan wasilah yang tidak
diketahui umum bukanlah sesuatu perkara yang lebih pelik daripada perhubungan dengan alam al-Malaul-Ala dan
menerima wahyu darinya.

Abu Bakar telah berkata benar apabila dia memulangkan perkara yang dirasakan pelik dan ganjil oleh kaum
Musyrikin kepada hakikat yang mudah dan biasa dengan katanya: Aku percayakan beliau lebih dari itu lagi, iaitu aku
telah percaya bahawa baginda membawa wahyu dari langit (Allah)!

Kebenarannya

Di antara perkara yang menarik perhatian sehubungan dengan peristiwa ini, yang mana kebenarannya ternyata
kepada kaum Musyrikin dengan bukti fizikal yang dipinta mereka, iaitu bukti kafilah (dalam perjalanan balik ke
Mekah) dan sifat-sifatnya, ialah Rasulullah s.a.w tidak mendengar nasihat Ummu Hani yang menyatakan
kebimbangannya bahawa baginda akan didustai oleh kaum Musyrikin kerana peristiwa itu sangat ganjil.

Kepercayaan Rasulullah s.a.w kepada kebenaran yang dibawa olehnya dan kebenaran yang berlaku kepadanya
membuat baginda sanggup menceritakannya kepada mereka dengan terus terang tanpa mempedulikan apa sahaja
pendapat mereka terhadap dirinya. Sesetengah mereka telah bertindak keluar dari Islam dan sesetengah pula
menggunakan peristiwa itu sebagai bebanan ejekan dan menanamkan keraguan, tetapi semua itu tidak dapat
mematahkan keazaman Rasulullah s.a.w untuk mengumumkan secara lantang kebenaran yang dipercayainya.

Ini adalah menjadi contoh teladan kepada para pendakwah agar sanggup menerangkan dakwah yang benar itu
dengan berterus terang tanpa menaruh kebimbangan terhadap kesannya di dalam hati manusia, tanpa mengampu-
ampu untuk mengambil hati mereka dan tanpa berusaha mencari titik-titik kebenaran yang hendak dikemukakan
kepada mereka.

Satu perkara lagi yang menarik perhatian ialah Rasulullah s.a.w tidak menggunakan peristiwa ini sebagai mukjizat
untuk membenarkan kerasulannya sedangkan kaum Musyrikin mendesak beliau supaya menunjukkan mukjizat-
mukjizat. Dan kini sekurang-kurangnya telah terbukti kepada mereka kebenaran peristiwa Israk itu. Ini kerana
dakwah Islam tidak bergantung kepada mukjizat, malah bergantung kepada tabiat dakwah dan kepada cara dakwah
itu sendiri yang diambil dari fitrah manusia yang lurus, yang sesuai dengan daya-daya pemikiran mereka setelah ia
dibetulkan.

Pengumuman peristiwa ini yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dengan terus-terang itu bukanlah terbit kerana
beliau berpegang kepadanya untuk membuktikan sesuatu daripada kerasulannya, malah ia merupakan
pengumuman hakikat yang diyakini benar oleh baginda, iaitu pengumuman semata-mata kerana ia adalah benar.
Oleh Mohd Shauki Majid


Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda
Rasulullah s.a.w. Ia juga dianggap salah satu komponen daripada 'Sirah Nabawiyyah', yang
bermaksud: Sirah Nabawiyyah adalah pelaksanaan Islam secara praktikal dan contoh tepat
dalam menegakkan sebuah negara Islam - Syeikh Munir Muhammad al-Ghadban / Al-
Manhaj al-Haraki Li as-Sirah an-Nabawiyyah, juzuk 1, Maktabah al-Wafa', Mansoorah, Mesir
1986.

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan ketetapan tarikh berlakunya peristiwa
penting itu. Menurut Ibn Ishaq ia berlaku selepas 10 tahun baginda dilantik menjadi Rasul.
Az-Zuhri pula berpendapat ia berlaku setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah iaitu
pada bulan Rabiul Awal, sementara as-Saddi menegaskan ia berlaku pada bulan Rabiul
Awal, 16 bulan sebelum baginda berhijrah. Ada pun al-Hafiz Abdul Ghani Ibn Surur al-
Maqdasi berpendapat ia berlaku pada 27 Rejab sebelum penghijrahan baginda ke Madinah.

Sementara Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat, bahawa riwayat mengenai
peristiwa Israk dan Mikraj terdapat banyak pembohongan dan riwayat palsu yang boleh
menggugat kedudukan iman Muslim, kerana peristiwa tersebut tidak berlaku pada bulan
Rejab berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani, di mana ia tidak berlaku
pada malam 27 Rejab kerana ia tidak disokong dengan hadis-hadis Sohih atau pun kata-
kata Sahabat yang Sohih.

Itulah juga pendapat Imam an-Nawawi daripada mazhab Imam as-Syafie dan Imam Abu
Ishaq yang berpendapat bahawa Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rabiul Awal. Justeru
tiada nas yang menyebut keistimewaan beramal pada hari tersebut, sama ada dengan
ibadat puasa atau yang lain, kerana puasa pada hari yang tidak jelas bila berlaku peristiwa
itu adalah sebahagian daripada perkara bidaah, kerana tiada nas yang jelas menyuruhnya,
tetapi jika kebetulan ia jatuh pada hari Isnin atau Khamis, puasa yang dilakukan itu
dibolehkan kerana Nabi sering melakukannya.1

Tetapi apa yang penting diambil iktibar daripada peritiwa itu, ialah pengajaran mengenai
perjalanan baginda dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan mikraj Rasul hingga ke
langit ketujuh (Sidratul Muntaha).2

Adapun berpuasa sunat pada bulan Rejab secara umumnya adalah sesuatu digalakkan
berdasarkan satu hadis do'if yang disebut oleh Imam as-Suyuti daripada Ibnu Abbas,
baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, dia
bagaikan berpuasa satu bulan, sesiapa yang berpuasa tujuh hari, maka dia tidak akan
dimasukkan ke dalam neraka (kerana ia telah ditutup buatnya), sesiapa yang berpuasa
sepuluh hari, maka segala kejahatannya diganti dengan segala kebaikan." 3

Adakah Israk berlaku dengan roh dan jasad Nabi?

Musuh-musuh Islam terutamanya di kalangan Orientalis barat, telah meletakkan jarum-
jarum mereka dalam penulisan buku-buku sejarah dan sirah baginda Rasulullah s.a.w. Ia
bertujuan agar umat Islam yang membacanya akan terkeliru dengan fakta sebenar
mengenai perjalanan Israk dan Mikraj.

Mereka berpendapat, bahawa peristiwa Israk dan Mikraj hanya berlaku dalam mimpi
baginda, iaitu hanya dengan roh sahaja dan tidak dengan jasad sekali, itu hanya dakwaan
Muhammad semata-mata.

Namun bagi para ulama pula, mereka sepakat menyatakan bahawa Israk dan Mikraj yang
berlaku ke atas baginda Rasulullah s.a.w. dengan roh dan jasad sekali, tidak hanya dengan
roh seperti yang didkawa oleh musuh-musuh Islam.

Ini kerana mereka berpendapat, bahawa ungkapan perkataan 'hamba-Nya' dalam ayat
pertama mengenai Israk merangkumi roh dan jasad pada diri seorang insan khususnya Nabi
Muhammad s.a.w., sedangkan ia berlaku hanya dengan roh sahaja adalah berdasarkan
riwayat-riwayat palsu yang sengaja untuk melemahkan keperibadian Rasulullah.

Sedangkan terdapat riwayat menunjukkan bahawa baginda menerima pensyariatan ibadat
solat lima waktu secara langsung daripada Allah SWT adalah dengan roh dan jasad, itulah
satu-satu ibadat khusus yang diberikan Allah secara langsung kepada baginda berbeza
dengan ibadat-ibadat lain.

Program masjid ke masjid menjadi ukuran hiburan baginda

Peristiwa Israk dan Mikraj berdasarkan penjelasan para ulama berlaku sebelum
penghijrahan baginda ke bumi Madinah. Ia sebagai satu pendekatan Allah untuk
menghiburkan Nabi-Nya yang kehilangan dua tonggak kekuatan dakwah baginda, iaitu bapa
saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta iaitu Sayidatina Khadijah.

Sebagai manusia, baginda juga merasa sedih dan pedih dengan kematian dua orang
penting yang banyak berjasa dalam mengembangkan sayap-sayap Islam di Makkah, namun
Allah SWT mahu baginda terus berhubung kepada-Nya dalam keadaan yang penuh dengan
kesedihan dan kemurungan.

Maka Allah Yang Maha Bijaksana telah merancang satu program berbentuk keagamaan,
iaitu program masjid ke masjid, iaitu daripada Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa
di Palestin, inilah contoh terbaik satu bentuk hiburan bagi menghilangkan perasaan gundah
gulana yang dialami baginda selepas kematian dua tokoh terpenting.

Ia berlaku dalam semalaman sahaja yang menandakan bahawa Allah mampu bertindak
demikian, walaupun ramai di kalangan manusia tidak mempercayainya malah
menafikannya, sehingga pada waktu itu datang Abu Bakar as-Siddiq tanpa mengambil masa
panjang terus mengiyakan peristiwa berkenaan.

Hasil daripada program masjid ke masjid

Yang paling penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj, ialah baginda menerima kewajipan
solat lima waktu yang dijemput Allah secara langsung di langit yang ketujuh.

Walaupun pada peringkat awal, Allah mewajibkan 50 waktu solat yang dijangkakan bahawa
umatnya tidak mampu untuk melakukannya atas nasihat Nabi Musa a.s, maka baginda
terus melakukan tawar menawar dengan Allah agar dikurangkan kepada jumlah yang
sedikit.

Baginda berjumpa dengan Allah dengan merayu kepada-Nya supaya ia dikurangkan,
dengan perasaan malu baginda tetap berjumpa Allah sehingga ia dikurangkan kepada lima
waktu, itulah pengorbanan dan ingatan baginda terhadap umatnya.

terdapat di kalangan umatnya tidak berterima-kasih kepada baginda kerana sanggup
meninggalkan solat fardu berkenaan, walaupun kita hanya melakukan lima waktu, tetapi
diganjari dengan lima puluh pahala, berbeza dengan umat terdahulu, lima puluh waktu solat
hanya diganjari satu pahala setiap solat. Inilah kelebihan kita sebagai pengikut dan umat
Nabi Muhammad, tetapi mengapa masih ramai yang mengabaikan tanggungjawab ini,
sedangkan solat adalh perkara pertama yang ditanya oleh Allah pada hari Qiamat, tidak
yang lain.

Baginda mengimamkan solat nabi-nabi sebelum dimikraj

Baginda Nabi Muhammad s.a.w. sebelum berangkat dengan 'Buraq' untuk menuju langit
ketujuh, menjadi imam solat kepada nabi-nabi terlebih dahulu, antaranya Nabi Musa a.s., ia
berdasarkan sebuah hadis, di mana baginda bersabda: "Jika Musa bin Imran diutus di
kalangan kamu, maka tiada sebab dia menjadi salah seorang pengikutku."

Suasana solat berjemaah yang diimamkan oleh baginda nabi Muhammad s.a.w. itu
menunjukkan bahawa para nabi semuanya akur terhadap kedudukan baginda sebagai Rasul
terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah.

Mereka bersalaman antara satu sama lain sebagai tanda kesyukuran dan simbolik
menyerahkan tugas kerasulan kepada Nabi Muhammad s.a.w., ia juga sebagai satu petanda
betapa hubungan antara Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa begitu intim dan akrab,
apatah lagi majoriti para nabi di kalangan Bani Israil yang merupakan kiblat pertama umat
Islam di muka bumi ini, selain menjadi syiar agama Islam terdahulu.

Ia juga menunjukkan bahawa kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w sebagai Nabi terakhir
diperakui oleh Allah, sebagaimana yang ditegaskan menerusi beberapa ayat al-Quran
mengenainya.4

Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh
fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan
hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah
kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh,
tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa?

Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para Anbiya terlebih dahulu bagi
menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu
baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT
seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.

Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para
Anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat
global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang
terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah
dalam mencipta makhluk bernama manusia.5

Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim
yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa
adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke
hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam
membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan
dengan persoalan akidah mereka.

Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat
solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya,
kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau
apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya
yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia
ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas.

Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah
sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali
sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan
tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.6

1 Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, soal jawab dalam Islamonline.net 17/8/06 (Puasa pada 27
Rejab)

2 Ibid - soal jawab dalam Islamonline.net 9/7/08 (Benarkah Israk berlaku pada malam 27
Rejab.

3 Syeikh Atiah Saqar. soal jawab agama di Islamonline 17/7/2007 (Puasa pada bulan
Rejab)

4 Syeikh Jaafar Ahmad at-Talhawi. soal jawab agama dalam Islamonline.net 30/8/04
(Kepimpinan baginda Rasulullah terhadap para Anbiya pada malam Israk dan Mikraj).

5 al-Qaradawi. soal jawab agama dalam islamonline.net 8/8/07 (Pengajaran penting
daripada peristiwa penting Israk dan Mikraj).
6 Ibid.

You might also like