You are on page 1of 3

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu `alaikum W.B.T.



Terima kasih kepada Pengerusi Majlis. Yang dihormati barisan panel hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru, rakan-rakan, hadirin dan hadirat, muslimin dan muslimat yang
diRahmati Allah S.W.T. sekalian.

Pada hari ini, saya ingin menyampaikan sebuah kisah yang bertajuk Nabi Sulaiman dan
keistimewaannya.

Nabi Sulaiman bin Daud adalah satu-satunya Nabi yang memperoleh keistimewaan
daripada Allah S.W.T., sehingga boleh memahami bahasa binatang. Dia boleh berbicara
dengan burung Hud Hud dan juga boleh memahami bahasa semut. Di dalam al-Quran,
dalam surah an-Naml ayat 16 adalah contoh daripada sebahagian ayat yang
menceritakan akan keistimewaan Nabi yang sangat kaya raya ini.

Yang maksudnya :

Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata, Hai manusia, kami telah diberi
pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya
(semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata.

Kawan-kawan nak tahu? Nabi Sulaiman itu tenteranya daripada golongan jin, manusia
dan burung, lalu mereka itu diatur dengan tertib dalam sebuah barisan sehingga apabila
mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, Hai semut-semut, masuklah
ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan tenteranya,
sedangkan mereka itu tidak menyedari.

Maka Nabi Sulaiman pun tersenyum dan tertawa kerana mendengar perkataan si semut
itu. Kata Nabi Sulaiman, sebagaimana di dalam surah an-Naml ayat 19 yang
maksudnya:

Maka dia tersenyum dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Dan dia
berdoa : "Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat- Mu yang telah
Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk
mengerjakan amal saleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu
ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh.

Kisah semut ini disebutkan sebagai contoh tauladan bagi umat manusia supaya mereka
memahami keadaan makhluk-makhluk, dan bagaimana semut itu bersatu-padu untuk
menyelamatkan diri daripada kebinasaan, demikian juga mereka bersatu-padu untuk
mencari kebaikan bersama. Sesungguhnya setiap makhluk itu mempunyai kelebihan dan
kekurangan masing-masing. Justeru itu, kita hendaklah menghormati setiap kelemahan
dan kelebihan agar kita tidak merasa bahawa diri kitalah yang paling sempurna dan
hebat. Yang sempurna dan hebat itu hanya Allah S.W.T. sahaja.

Kawan-kawan nak tahu lagi tentang Nabi Sulaiman? Menurut sejumlah riwayat, pernah
suatu hari Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut, Wahai semut! Berapa
banyakkah engkau memperoleh rezeki daripada Allah S.W.T. dalam waktu satu tahun?

Sebesar biji gandum, jawab si semut.

Kemudian, Nabi Sulaiman pun memberi si semut itu sebiji gandum lalu memeliharanya
di dalam sebuah botol. Setelah genap satu tahun, Nabi Sulaiman membuka botol
tersebut untuk melihat nasib si semut. Namun, didapatinya si semut hanya memakan
sebahagian daripada biji gandum itu.

Mengapa engkau hanya memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya? tanya Nabi
Sulaiman.

Dahulu aku bertawakal dan pasrah diri kepada Allah S.W.T., jawab si semut. Dengan
tawakal kepada-Nya aku yakin bahawa Dia tidak akan melupakanku. Ketika aku
berpasrah kepadamu, aku tidak yakin apakah engkau akan ingat kepadaku pada tahun
berikutnya sehingga boleh memperoleh sebiji gandum lagi atau engkau akan lupa
kepadaku. Kerana itu, aku harus tinggalkan sebahagian daripada biji gandum itu sebagai
bekal untuk tahun berikutnya.

Lihatlah kawan-kawan. Semut yang kecil pun pandai untuk mengamalkan sifat berjimat-
cermat, kerana sesungguhnya berjimat-cermat itu merupakan suatu amalan yang mulia.
Hidup kita ini umpama roda. Kadang-kadang hidup kita sentiasa di dalam kesenangan,
namun ada ketikanya Allah S.W.T. menguji kita untuk merasai kesusahan. Dengan
mengamalkan sifat berjimat-cermat, ia akan melatih diri kita untuk sentiasa berwaspada
dan bersedia menghadapi saat-saat kesusahan, dan sentiasa bersyukur dengan nikmat
kurniaan Allah S.W.T. Kata orang, Beringat sebelum kena.

Namun, apa yang dapat kita lihat, masyarakat pada hari ini kurang menitik-beratkan
tentang amalan berjimat-cermat. Lihat sahajalah ketika kita mengunjungi bazaar
Ramadan ataupun membeli-belah di pasaraya. Kebanyakannya lebih suka membeli
tanpa membuat sebarang perancangan. Akhirnya, berlaku pembaziran. Kan pembaziran
itu amalan syaitan. Mereka lebih suka mengikut hawa nafsu daripada kata hati berpandu
akal yang sentiasa mengingatkan agar sentiasa berpada-pada di dalam membuat
perbelanjaan. Sesungguhnya manusia tidak pernah merancang untuk gagal, tetapi
manusia sentiasa gagal untuk merancang.

Kawan-kawan nak tahu? Betapa besarnya kerajaan Nabi Sulaiman sehinggakan angin
menjadi kenderaannya, manusia dan jin sebagai tenteranya, burung sebagai pembantu
dan teman-teman bercakapnya, binatang-binatang buas sebagai buruhnya dan para
malaikat sebagai utusannya. Semua yang Nabi Sulaiman perolehi ini, adalah satu
kurniaan daripada Allah S.W.T. atas doa yang dipohon olehnya sendiri. Namun, ini bukan
bermakna Nabi Sulaiman seorang yang gilakan kuasa dan cintakan dunia. Tetapi, semua
ini dipinta adalah semata-mata untuk memudahkan usaha penyebaran dakwah di atas
muka bumi ini dan menentang kezaliman serta kemungkaran yang dilakukan oleh umat
manusia.

Hal ini menunjukkan bahawa Nabi Sulaiman mempunyai sebuah kerajaan yang sangat
hebat, sehingga bukan hanya manusia menjadi kekuatannya, tetapi turut ditunjangi oleh
makhluk-makhluk lain. Ini membuktikan bahawa seorang pemimpin yang baik itu,
adalah pemimpin yang sentiasa mendapat kerjasama daripada orang bawahannya.
Kerana pemimpin dan yang dipimpin itu saling memerlukan. Pemimpin yang baik itu
disukai oleh semua orang, bukan kerana kekayaan dan kehebatannya, tetapi disukai
kerana keprihatinan dan kesungguhannya untuk membela nasib orang bawahan.

Bukan seperti segelintir daripada masyarakat hari ini, apabila mereka memperoleh
kuasa, mereka merasakan diri mereka terlalu hebat, sedangkan mereka tidak mendapat
kerjasama yang sepenuhnya daripada orang bawahan. Ini adalah kerana, apabila
mereka mendapat kuasa, mereka sudah lupa akan baiah yang telah mereka lakukan
iaitu berjanji untuk menjadi pemimpin semata-mata untuk memperjuangkan nasib orang
yang dipimpin. Mereka mengabaikan tanggungjawab, melakukan penyelewengan dan
sebagainya lagi. Akhirnya, kepimpinan mereka akan menghadapi masalah kerana tidak
lagi mendapat sokongan dan mandat daripada orang bawahan. Inilah akibatnya apabila
seseorang itu mahukan kuasa hanya untuk kepentingan diri dan hawa nafsunya sahaja.

Oleh yang demikian marilah kita sama-sama mengambil teladan dari pada kisah yang
saya sampaikan tadi agar kita tergolong di dalam golongan yang diredhai oleh Allah
Subhanahuwataala. InsyaAllah...


Sekian sahaja, terima kasih. WabilLahit taufiq wal hidayah. Wassalamu `alaikum W.B.T.
Ilal liqo wa maas salamah.

You might also like