Tajuk : Ulasan Jurnal Kanak-kanak Berkeperluan khas Masalah Disleksia
Berdasarkan pembacaan saya dalam Jurnal pendidik dan pendidikan, Jil. 23, 151-162, 2008 yang ditulis oleh Lee Lay Wah(USM), Manisah Mohd Ali dan Norani Salleh(UKM) yang bertajuk PEMBINAAN DAN PENGESAHAN UJIAN MEMBACA PERKATAAN DAN UJIAN MENGEJA UNTUK TUJUAN MENGENAL PASTI DISLEKSIA : SATU UJIAN RINTIS, saya berpendapat bahawa masalah disleksia secara umumnya selalu berlaku pada kanak-kanak yang mana tidak dapat mengimbangi daya mengingati huruf dengan perkataan dan menghadapi masalah mengingati bentuk huruf, bunyi huruf dan gabungan perkataan. Murid juga mengalami kekeliruan dalam mengenal pasti huruf serta kekeliruan dalam membunyikan huruf dan mereka lebih cenderung menterbalikkan perkataan. Menurut penulis murid yang mengalami disleksia ini mempunyai masalah dalam menguasai kemahiran membaca dan mengeja. Oleh itu penulis telah menjalankan kajian ini untuk menentukan ciri-ciri psikometri kebolehpercayaan dan kesahan ujian dalam mengenal pasti masalah disleksia. Penulis telah menggunakan kajian yang terdiri daripada 46 orang murid tahun satu yang berbangsa Melayu. Sememanganya disleksia ini berlaku pada murid di awal persekolahan terutamanya yang berumur 4-9 tahun. Dalam kajian yang telah dilaksanakan oleh penulis didapati bahawa hasil kajian bagi kedua ujian yang digunakan adalah memenuhi kriteria ciri psikometri kebolehpercayaan dan kesahan. Dalam kajian ini penulis menggunakan kemahiran membaca dan mengeja dalam mengukur dan menentukan kebolehpercayaan serta kesahan ujian ini boleh mengenal pasti murid yang bermasalah disleksia. Kemahiran membaca dan mengeja yang biasanya diuji menggunakan senarai perkataan tunggal yang disusun mengikut kesukaran. Oleh yang demikian, dalam kajian ini penulis menggunakan item-item untuk ujian membaca perkataan serta ujian mengeja merujuk kepada sistem fonologi serta sistem morfologi Bahasa Melayu. Dalam pembinaan ujian membaca perkataan yang digunakan oleh penulis item yang dipilih adalah terdiri daripada perkataan terbitan dengan imbuhan awalan, akhiran dan apitan manakala ujian mengeja perkataan pula item yang dipilih mengandungi antara satu sehingga empat bilangan suku kata. Berdasarkan analisis yang diperolehi , kedua-dua ujian yang telah dibina menunjukkan korelasi yang tinggi dengan ujian pencapaian Bahasa Melayu di sekolah. Ini menunjukkan bukti bahawa kesahan serentak kedua-dua ujian tersebut sah digunakan untuk mengukur pencapaian dalam Bahasa Melayu. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa terdapat korelasi yang positif, tinggi dan signifikan antara ujian membaca perkataan dengan ujian mengeja pada tahap p<0.01. Keputusan kajian ini juga telah menyokong hasil kajian Bahasa Ingeris oleh Fitzgerald dan Stanahan pada tahun 2000 yang bermaksud bahawa seseorang yang bermasalah dalam kemahiran memabaca juga mengalami masalah dalam kemahiran mengeja. Jestru itu, menurut penulis dalam mengenal pasti masalah disleksia, guru boleh menggunakan kedua-dua ujian ini untuk menangani masalah dalam kemahiran membaca dan kemahiran mengeja pada murid yang bermasalah seperti ini. Masalah disleksia yang berlaku pada murid sememangnya akan menganggu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas kerana pembelajaran tidak dapat diteruskan sekiranya murid tidak dapat menguasai sesuatu kemahiran disebabkan terdapatnya permasalahan ini.