You are on page 1of 3

TENAGA KERJA (STAFFING)

Umumnya aktiviti-aktiviti dalam sesebuah organisasi dijalankan oleh tenaga kerja yang berkebolehan
dan berkeupayaan dalam mencapai matlamat atau objektif organisasi berkenaan.

Dalam hal ini sebelum seseorang itu dilantik dalam sesebuah organisasi, pengkajian mengenai
pengimbangan di antara aktiviti yang perlu dilakukan dengan keperluan tenaga kerja.

Maklumat mengenainya perlu dianalisis secara teliti sebelum penghasilan spesifikasi kerja yang
diperlukan dalam sesebuah organisasi.
Format yang umum digunakan untuk menulis spesifikasi kerja seperti yang berikut:

Nama jawatan: Nama jawatan yang dipilih mestilah ringkas, mudah dan menerangkan tugas jawatan
tersebut.

Ringkasan kerja: Bidang tugas diterangkan dengan ringkas, jelas dan tepat.

Senarai tugas: Senarai tugas disusun mengikut keutamaan.

Dalam pemilihan tenaga kerja, sesebuah organisasi perlulah memilih seseorang yang menunjukkan
minat dan berketrampilan (competent) dalam bidang tugasnya.

Proses pengambilan tenaga kerja baharu yang bersesuaian dengan matlamat atau objektif organisasi
adalah satu proses yang penting kerana kejayaan organisasi pada masa akan datang, bergantung
kepada keupayaan tenaga kerjanya.

922/3 B: Pengurusan: Penstafan Sejarah Melayu
Konsep penstafan dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)


Konsep penstafan dalam ilmu pengurusan adalah meliputi proses memilih tenaga kerja dalam
sesebuah organisasi. Organisasi yang boleh dikaitkan dalam Sejarah Melayu adalah merujuk kepada
pemerintahan dalam kerajaan di negeri Melaka.Terdapat beberapa kaedah tertentu yang khsusus
telah diamalkan dalam sistem pemerintahan Melaka ketika melantik seseorang bagi menjawat
jawatan tertentu. Amalan ini mungkin bersifat tradisional, namun ia adalah amalan pengurusan yang
telah termaktub diamalkan pada zaman tersebut dan dianggap sesuai dengan sistem feudal yang
diamalkan. Jawatan dalam sesebuah negara telah ditentukan oleh sistem feudal sedia ada, maka
proses pengisian jawatan tersebut akan diisi apabila wujud kekosongan perjawatan tersebut.
Kekosongan jawatan adalah dengan sebab kematian penjawat jawatan berkenaan atau penjawat
jawatan itu meletakkan jawatan.

1. Pembahagian Tugas.
Pemerintahan negeri telah mengamalkan pembahagian tugas dan mewujudkan skim perjawatan
tertentu. Terdapat jawatan utama negara seperti Bendahara, Temenggung, Laksamana, Penghulu
Bendahari dan sebagainya. Setiap jawatan itu mengamalkan konsep pengasingan kuasa dan tugas.
Oleh itu tidak akan wujud soal pertindihan kuasa dan kecelaruan tugas. Semua perjawatan tersebut
pula dikawal dan dipantau oleh Sultan yang menjadi ketua negara.

2. Pengkhususan Tugas.
Amalan pengkhususasn tugas adalah diberikan kepada golongan yang pakar dalam bidangnya.
Mereka diberikan kepercayaan kerana dianggap lebih tahu bidang tugas tersebut. Contohnya
seorang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang agama akan diberikan tugas sebagai seorang
kadi sebagaimana Kadi Yusuf. Bagi mereka yang mahir dalam ilmu pahlawan maka dilantik menjadi
Laksamana sebagaimana Hang Tuah. Amalan pengkhsusan tugas ini adalah bagi memastikan
pentadbiran Melaka dapat ditadbir dengan cekap dan berkesan.

3. Lantikan jawatan berdasarkan keturunan.
Amalan penstafan berdasarkan keturunan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan pada zaman
pemerintahan kerajaan Melaka. Amalan ini dilihat terutamanya dari aspek perlantikan raja atau
sultan. Biasanya pengganti sultan adalah terdiri daripada anak-anak raja. Terdapat juga perlantikan
bendahara yang dilihat dari aspek keturunannya.

4. Lantikan mengikut kelebihan akal.
Seseorang individu yang mempunyai kepandaian akal adalah ciri kedua penting bagi mengisi
perjawatan negeri Melaka. Tun Perak dilihat sebagai insan yang dinilai kelayakannya mengisi
jawatan bendahara berdasarkan kebolehan akalnya yang tinggi. Kebolehannya menghalang
serangan Siam pada kali pertama dan keupayannya berfikir melebihi pegawai lain telah menarik
perhatian Sultan Muzafar Shah untuk menaikkan pangkat beliau daripada seorang Penghulu
sehingga menjadi Bendahara Melaka. Tun Perak juga sangat pandai berhujah dengan orang lain
sepertimana ketika berhujah dengan Sri Amerta.

5. Lantikan berdasarkan ciri fizikal.
Sebahagian tugas ditentukan berdasarkan kebolehan fizikal seseorang. Seseorang yang tangkas dan
hebat dalam ilmu persilatan tentunya lebih sesuai untuk dilantik menjadi laksamana, askar dan
pengawal istana. Perlantikan Hang Tuah dan rakan-rakan adalah dipilih berdasarkan kebolehannya
mempertahankan raja dan negeri Melaka, walaupun pada awalya mereka hanya menjadi biduanda
raja sahaja. Akhirnya setelah Hang Tuah membuktikan kebolehan fizikalnya, baharulah beliau
dilantik menjadi Laksamana.

6. Lantikan berdasarkan keperluan tugas.
Setiap individu yang dilantik oleh pemerintah biasanya mempunyai kebolehan tersendiri. Hal ini
dapat dibuktikan melalui perlantikan pegawai diplomatik seperti Tun Jana Putra dan Tun Perpatih
Putih. Kebolehan berbahasa dan menulis surat adalah ciri paling penting bagi tujuan diplomatik
disamping ciri lain termasuk kebijaksanaan.

Kesimpulannya, walaupun teori pengurusan moden belum lagi diamalkan, namun pemerintahan
negeri Melaka telah mengamalkan konsep penstafan yang dinamik dan tersusun. Perlantikan
jawatan tertentu adalah berdasarkan ciri-ciri tertentu yang telah diamalkan supaya pentadbiran
Melaka sentiasa baik dan negara menjadi maju. Oleh itu tidak hairan jika Melaka telah terkenal dan
menjadi tumpuan para pedagang kerana mengamalkan pengurusan staf yang terbaik.

You might also like