You are on page 1of 1

MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

KATA ALU-ALUAN

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia.

Sesungguhnya, sistem pendidikan di Malaysia telah banyak menyumbang kepada kemajuan
dan kemakmuran negara selama ini. Namun penambahbaikan secara berterusan adalah
diperlukan bagi memastikan mutu pendidikan negara kita setanding dengan pendidikan di
negara-negara maju. Melalui kajian semula sistem pendidikan secara menyeluruh, kita
berupaya memahami kekuatan, kelemahan serta cabaran sistem sekolah di Malaysia, selain
memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan standard dan merapatkan jurang
pencapaian di setiap peringkat. Ini kerana matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara maju amat bergantung kepada keupayaan negara dalam menyediakan
pendidikan yang berkualiti kepada rakyat.

Usaha berterusan kerajaan di dalam memastikan akses pendidikan yang berkualiti untuk
setiap lapisan masyarakat diharapkan berupaya memberi kesan berganda yang positif
kepada pembangunan pendidikan secara menyeluruh. Ianya juga mampu membantu
meningkatkan daya saing negara, melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan sekaligus
menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi. Kelangsungan
pembangunan pendidikan negara turut diperkukuhkan melalui usaha pemantapan
infrastruktur serta peningkatan kemudahan fizikal di institusi-institusi pendidikan di bawah
dasar perancangan pembangunan pendidikan Rancangan Malaysia Ke-10.

Sebagai nadi utama dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang akan memacu
kemajuan negara di masa hadapan, Kementerian Pelajaran akan terus berusaha untuk
menggarap potensi murid secara menyeluruh dalam bidang akademik serta pelbagai bidang
lain selain akademik. Saya berharap agar seluruh warga pendidik dan para pelajar dapat
bersama-sama menguatkan tekad dan usaha bagi memastikan bidang pendidikan negara
kita terus relevan dan cemerlang. Semoga lebih banyak jalinan kerjasama dapat diusahakan
dengan semua pihak bagi tujuan penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan
negara.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan matlamat menyediakan
pendidikan yang berkualiti kepada rakyat serta mewujudkan sistem pendidikan bertaraf
dunia di negara kita. Akhir kata, tahniah dan syabas diucapkan kepada Sidang Redaksi serta
semua pihak yang telah berusaha gigih bagi merealisasikan penerbitan majalah sekolah ini.

SELAMAT MAJU JAYA

TAN SRI DATO HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

You might also like