You are on page 1of 19

STRATEGI PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA

KEPADA KANAK-KANAK PRASEKOLAH





Oleh:
Zailani Zakaria, Mohd Zafaren Zakaria, Zuraydah Zainal, Siti Hajar Saaidah &
Hamidah Misdar
Latihan Ilmiah untuk Program Sarjana Pendidikan Prasekolah
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor (2012)


ABSTRAK
Kertas konseptual ini membincangkan beberapa strategi pengajaran kemahiran membaca
kepada kanak-kanak prasekolah. Memandangkan isu ketidakbolehbacaan dalam kalangan
kanak-kanak prasekolah tidak pernah selesai, maka wajarlah isu ini dibincangkan secara
lebih mendalam bagi menambah baik stategi pengajaran yang sedia ada. Dua isu yang
diutarakan dalam kertas konseptual ini ialah berkenaan murid yang tidak minat
mempelajari kemahiran membaca dan masalah murid yang boleh membaca tetapi tidak
memahami maksudnya. Tiga strategi pengajaran kemahiran membaca turut dibincangkan
iaitu mengajar membaca melalui kaedah fonik, mengajar membaca melalui teori
kecerdasan pelbagai, dan mengajar membaca melalui penggunaan perisian multimedia.
Sehubungan itu, beberapa implikasi dan cadangan diutarakan bagi membantu para guru,
ibu bapa dan golongan yang terbabit dengan dunia awal kanak-kanak sebagai satu usaha
membantu mereka memilih strategi yang sesuai dan berkesan untuk mengajar kemahiran
membaca kepada kanak-kanak prasekolah.

Kata kunci: Strategi pengajaran, kanak-kanak prasekolah, kemahiran membaca.


Abstract

This conceptual paper discusses a few strategies pertaining to the teaching of reading skills
among preschoolers. Since the issue of illiteracy among these students has not been resolved,
this issue should be further discussed to improve the teaching and learning strategies. Two
main issues are discusses in this conceptual paper. The first one is regarding the pupils who
have no interest in learning how to read and the other is the problem of not understanding
what is read. Three teaching strategies pertaining to reading are discussed, which are;
teaching reading through phonics, teaching reading through multiple intelligence and
teaching reading through multimedia courseware. In connection with this, a few implications
and ideas have been proposed in this paper to help teachers, parents and those who are
involved in early childhood education. It is hoped that this paper would shed some light on
how to go about teaching reading skills to the preschoolers.

Keywords: Teaching Strategies, Preschool Children, Reading Skill.


PENGENALAN

Membaca merupakan aktiviti penting dalam kehidupan manusia. Maklumat yang diperolehi
melalui pembacaan dapat digunakan sebagai panduan dalam pelbagai aspek kehidupan
mereka (Tamam Timbang et al. 2010). Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada
aspek yang diberi tumpuan utama dalam Tunjang Komunikasi dalam Kurikulum Standard
Prasekolah Kebangsaan 2010 dan perlu dikuasai kanak-kanak sebelum mereka menamatkan
pendidikan prasekolah. Husin Fateh Din & Nazariyah Sani (2012) juga menerangkan
Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting
dalam proses pembelajaran bahasa dan merupakan lanjutan daripada kemahiran asas
mendengar dan bertutur. Yahya, Roselan & Naffi (2009) dalam Yahya Othman et al. (2012)
menyatakan bahawa belajar membaca merupakan asas penting dalam penguasaan kognitif
dan persekitaran sosial manusia.
Oleh kerana itu, setiap kanak-kanak prasekolah mesti menguasai kemahiran membaca
sebelum mereka melangkah ke alam pendidikan formal. Khairuddin Mohamad (2011)
berpendapat kemampuan murid membaca dan memahami sesuatu bahan sangat berkait
dengan kejayaan dan keberkesanan sistem pendidikan kita masa kini. Namun demikian, isu
membaca tidak pernah lapuk untuk diperkatakan biarpun masyarakat kita mengalami arus
perubahan dalam dunia globalisasi, serta bergelumang dengan dunia teknologi maklumat dan
perkomputeran, namun hakikat kepentingan membaca tidak boleh diabaikan Mohd Sofee
(2007) dalam Tamam Timbang et al. (2010). Menurut Khairuddin Mohamad (2011), masalah
ketidakupayaan kanak-kanak menguasai kemahiran membaca kini menjadi antara agenda
besar negara dalam Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan. Sebanyak 93 peratus rakyat
Malaysia celik huruf namun begitu negara masih berdepan dengan masalah literasi apabila
pada tahun 2008 terdapat 13 peratus daripada enrolmen murid tahun satu belum menguasai
kemahiran literasi.
Justeru itu, strategi pengajaran berkesan yang bersesuaian dengan tahap
perkembangan kanak-kanak hendaklah diaplikasikan semasa mengajar kanak-kanak
membaca. Menurut Yahya Othman et al. (2012), kemahiran membaca yang dikuasai di
sekolah membantu pelajar membaca dengan berkesan. Beliau juga menyatakan untuk
mencapai matlamat tersebut, kaedah mengajar yang sesuai perlu diamalkan oleh guru agar
proses penguasaan kemahiran tersebut dapat berlaku dengan mudah dan berkesan. Untuk
mencapai objektif agar semua murid mampu membaca dengan berkesan, maka pada
peringkat awal persekolahan kaedah membaca yang digunakan perlu sesuai dengan
kemampuan dan minat murid agar memberikan impak kepada proses pembelajaran.
Menurut Yahya Othman (2012) dalam kajiannya, kaedah fonik merupakan salah satu
kaedah mengajar asas membaca yang sesuai diaplikasikan pada peringkat prasekolah dengan
harapan memudahkan lagi penguasaan asas membaca dalam kalangan kanak-kanak
prasekolah.

MENGAJAR MEMBACA MELALUI KAEDAH FONIK

Isahak Haron (1979) telah memperkenalkan kaedah gabungan bunyi kata. Perkataan
bunyi kata mutakhir ini kemudiannya telah ditukar kepada fonik. Dengan kerjasama
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, kaedah ini dijalankan secara rintis di beberapa
buah sekolah. Melalui kaedah ini secara amnya, kanak-kanak terus diperkenalkan kepada
bunyian suku kata seperti ba, bi, bu (Sabrina Abdul Rahim 2010). Kaedah ini juga
telah mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam dan diguna pakai
di seluruh prasekolah di negara tersebut. Guru-guru yang terlibat menyatakan lebih
berminat menggunakan kaedah tersebut berbanding kaedah abjad.
Bahasa Malaysia mempunyai banyak perkataan yang terbahagi kepada suku kata
tersendiri yang tidak menggunakan blending. Oleh itu, ramai guru dan pengkaji
menyarankan penggunaan kaedah bunyi suku kata untuk mengajar membaca di peringkat
awal (Isahak. 1979; Nooraihan. 1984; Nik Eliani. 1997; Sabrina Abdul Rahim. 2010;
Sheerman et al. 2006; Howard P. Parette et al. 2009). Melalui kaedah ini, kanak-kanak
akan lebih mudah mengenal huruf dan suku kata yang tersebut. Menurut Ishak Haron
(1976), kanak-kanak diperkenalkan kepada abjad sebelum diajar bunyian kepada abjad
tersebut. Kemudian mereka diajar bunyi kepada cara mengeja bagi hampir setiap suku
kata yang boleh dibentuk dari abjad tersebut. Seterusnya, barulah murid diperkenalkan
kepada perkataan yang menggunakan kombinasi ejaan suku kata tersebut, seperti buku,
kaki, kubu (Sabrina Abdul Rahim 2010) dan (Yahya Othman et al. 2012).
Kaedah fonik digunakan untuk melatih murid mengenal huruf melalui padanan
huruf dengan bunyi. Kaedah ini baru sahaja diperkenalkan dalam sistem guruan. Namun,
kaedah ini telah lama diperkenalkan dalam pengajaran bacaan bahasa Inggeris. Terdapat
pelbagai pendapat mengenai cara pelaksanaan pengajaran membaca menggunakan kaedah
fonik. Antaranya yang dikemukakan oleh Hasnah dan Habibah (2010), Othman dan Nik
Eliani (2009), Bielby (1999), Heilman (1993), Goswani dan Byrant (1990) dan Gunning
(1988). Hasnah dan Habibah (2010) menyenaraikan beberapa langkah pelaksanaan
kaedah fonik seperti berikut:
1. Pada asasnya kaedah ini adalah untuk mengajar murid-murid melihat hubungan
antara simbol (huruf) dan bunyi (hubungan fonem-grafem) supaya mereka dapat
membaca (membunyikan) perkataan-perkataan baharu yang mereka hadapi.
2. Murid diperkenalkan dengan bunyi huruf dan bukan nama huruf.
3. Jadi, lambang huruf terus dikaitkan dengan bunyinya. Misalnya a dibunyikan
aa..., t - teh, s - ss. u - uu..., z - zz... dan sebagainya. Murid-murid
akan dilatih membunyikan huruf secara terasing dan kemudiannya
menggabungkan dengan bunyi-bunyi huruf yang lain bagi membentuk suku kata
dan perkataan.
4. Apabila mereka sudah mengetahui hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, suku kata
pula dibina. Misalnya, ba, da, tu, ka, lu, mi dan sebagai.
5. Contoh lain seperti huruf a tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [a], dan
begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut
sebagai [ba] + [ta] dan seterusnya disebut sebagai [bata].
6. Kemudian baru digabung suku-suku kata ini menjadi perkataan-perkataan - dada,
batu, kata, lalu dan sebagainya. (Yahya Othman et al. 2012).
Menurut Othman dan Nik Eliani (2009), terdapat beberapa langkah asas mengajar
bunyi huruf. Langkah asas berasaskan objektif yang berkaitan. Objektif pertama
pengajaran ialah murid boleh menyebut bunyi dan mengenal pasti huruf berkaitan. Bagi
mencapai objektif tersebut beberapa aktiviti wajib telah dicadangkan untuk dilaksanakan,
antaranya ialah:
1. Perkenalkan bunyi huruf yang akan diajar (tanpa menunjukkan simbol/huruf
tersebut). Sebut bunyi dengan jelas beberapa kali.
2. Tanyakan murid bunyi yang didengar dan minta murid menyebut bunyi dengan betul.
Ulang sebut bunyi sehingga mantap.
3. Perkenalkan simbol/huruf yang diajar sambil menyebut: Ini bunyi. Jangan guna
perkataan huruf.
4. Ulang sebut bunyi sambil menunjukkan simbol beberapa kali.
5. Melakonkan aksi asas latihan asosiasi. Pastikan satu bunyi untuk satu aksi (Yahya
Othman et al. 2012) dan (Traci M. Cihon 2008)
Selain itu, aktiviti pilihan juga turut dicadangkan Traci M. Cihon (2008)
dan Howard P. Parette et al. (2009). Mereka menyarankan agar guru melakukan aktiviti
latihan asosiasi secara praktikal (bermain) dan rangsang pendengaran dengan gambar-
gambar bermula dengan bunyi yang diajarkan. Manakala dalam objektif kedua pula
diharapkan murid dapat mengecam bentuk huruf. Aktiviti wajib yang dicadangkan adalah
seperti berikut; sentuh huruf berpasir mengikut cara huruf ditulis, dan bentuk huruf
menggunakan plastisin, Manakala aktiviti pilihan pula seperti mewarna huruf, membuat
kolaj gunting huruf mengikut bentuk, membuat mozek menampal kertas warna atas
huruf, mengecat menggunakan jari, dan menulis. Kajian ini disokong oleh kajian Yahya
Othman et al. (2012) dan Mr Barry Sheerman Et al. (2006). Bagi objektif ketiga, murid
diharapkan dapat menggabung bunyi huruf. Antara aktiviti wajib yang dicadangkan
adalah: menunjukkan konsep gabungan huruf konsonan dan vokal, minta murid gabung
huruf secara praktikal melalui aktiviti lihat dan buat, dengar dan buat serta lihat dan baca
(Mr Barry Sheerman et al. 2006) dan (Noraidah Farah et al. 2010).
Bielby (1999) dalam kajiannya menyatakan semua guru perlu berbincang dengan
murid tentang cara menyesuaikan bunyi huruf dengan perkataan. Istilah mengajar fonik
digunakan secara umum untuk mengajar murid-murid di peringkat awal secara
bersistematik bagi membunyikan huruf secara rutin untuk mengekod perkataan. Murid
diajar membunyikan huruf secara lantang kemudian menggabungkan bunyi. Guru
mendengar apa yang dibunyikan oleh murid. Pendekatan ini membolehkan murid
membunyikan huruf baharu dengan mudah dan cepat. Menurut beliau lagi, fonik
memberikan cara yang positif dalam mengenal pasti bunyi huruf baharu dan boleh
mengembangluaskan kecekapan grafafonik. Kaedah fonik ini boleh diguna pakai dalam
jangka masa panjang. Kajian ini turut disokong oleh Yahya Othman et al. (2012).
Heilman (1993) dalam kajiannya menyatakan bahawa belajar untuk mengenal
pasti perkataan merupakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah mengenal
huruf. Oleh yang demikian, murid perlu mempelajari hubungan antara kiu visual (huruf)
dan bunyi yang diungkapkan (hubungan fonem-grafem). Setelah melalui latihan berulang
kali, maka perkataan pun dikenal pasti. Perkataan yang sudah dikenal pasti ini tidak lagi
memerlukan usaha murid untuk membuat pengecaman. Tahap ini disebut sebagai belajar
membaca. Belajar untuk membaca adalah tugas sukar kerana mempelajari gabungan
bunyi dan huruf sangat asing pada pengalaman lalu murid (Yahya Othman et al. 2012).
Goswani dan Byrant (1990) dalam kajian Campbell (1995) mengenai kesedaran
fonemik, menyimpulkan bahawa kemajuan dalam belajar membaca mungkin merupakan
faktor utama dalam menyedari fonem. Oleh yang demikian, kegiatan membaca dan
menulis menjadi penting. Murid pula boleh secara aktif membina pengetahuan mereka
tentang kaitan huruf dan bunyi (Yahya Othman et al. 2012).

MENGAJAR MEMBACA MELALUI TEORI KECERDASAN PELBAGAI

Menurut teori kecerdasan pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner, setiap
individu mempunyai kecerdasan yang berlainan. Menurut Howard Gardner (1983),
kecerdasan adalah kebolehan menyelesaikan masalah atau mencipta produk yang dihargai
oleh sesuatu budaya. Menurutnya setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya tujuh
kebolehan mental yang berasingan atau bebas iaitu kecerdasan. Sehingga kini beliau
mengenal pasti sembilan jenis kecerdasan yang antaranya ialah, kecerdasan pertuturan
atau linguistik, kecerdasan logikal atau matematik, kecerdasan visual atau spatial,
kecerdasan muzikal atau irama, kecerdasan bodily atau kinestetik, kecerdasan
interpersonal, kecerdasan intrapersonal, kecerdasan naturalist dan kecerdasan
existentialist (Zainiah Mohammed Isa 2004) dan (Johari Bin Hassan dan Nur Aimi
Binti Mohd 2008).
Johari Bin Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd (2008) dalam kajiannya menyatakan
Friedrich Froebel (1782-1852) telah mengasaskan program taman asuhan kanak-kanak
kerana percaya bahawa pembelajaran yang paling berkesan adalah sesuatu yang berlaku
dalam keadaan yang menggembirakan. Froebel menyatakan bahawa kanak-kanak akan
merasa gembira dan lebih mudah untuk belajar sekiranya mereka belajar sambil bermain.
Melalui aktiviti yang disediakan, secara tidak langsung kanak-kanak berpeluang melatih
kemahiran yang sedang berkembang. Ini membuktikan corak aktiviti yang dijalankan
kepada kanak-kanak boleh membantu mereka memahami dan memperolehi sesuatu
kemahiran tertentu daripada persekitaran mereka. Melalui cara yang sedemikian, potensi
kanak-kanak akan dapat dipupuk sama ada dari aspek kognitif, psikomotor, afektif dan
nilai-nilai kerohanian. Kenyataan ini di sokong oleh kajian Zulkifli Mohamed Irpow
(2003 ).
Bagi menerapkan kecerdasan pelbagai ini dalam kaedah mengajar membaca, guru
perlu mengetahui jenis kecerdasan yang cenderung dikuasai oleh kanak-kanak dan
menyediakan kaedah pengajaran yang berasaskan kecenderungan kanak-kanak tersebut.
Perkara ini disokong oleh kajian Spiegal (1998) dan Zainiah Mohammed Isa (2004)
bahawa program literasi yang seimbang ialah guru memilih cara dan tugasan yang sesuai
untuk setiap kanak-kanak serta fleksibel terhadap keperluan kanak-kanak.

Kecerdasan Linguistik

Menurut Gardner (1980) dan Zainiah Mohamamed Isa (2004), kanak-kanak yang
kekuatannya terletak kepada linguistik, kebolehan mereka adalah menggunakan bahasa
untuk melahirkan idea atau pendapat dan menghargai serta memahami bahasa yang indah.
Guru boleh menggalakkan kanak-kanak menulis buku ceritanya atau jurnalnya sendiri.
kanak-kanak boleh membawa gambar atau melukis gambar pada sehelai kertas bagi
tujuan penceritaan. Guru akan menuliskan apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak
mengenai gambar tersebut jika kanak-kanak belum boleh menulis. Sudah tentu bahan
yang dihasilkan sendiri seperti ini akan merangsang kanak-kanak untuk belajar membaca
hasil karyanya dan jika bahan tersebut dipamerkan di bilik darjah akan menggalakkan
kanak-kanak lain untuk turut membaca.

Kecerdasan Visual Spatial

Menurut Johari Bin Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd (1980), kanak-kanak yang
cenderung kepada visual spatial berkebolehan melihat, menggambarkan atau
membayangkan sesuatu gambar dan objek. Mereka lebih mudah mengingati gambaran
objek dalam pemikiran mereka (Zainiah Mohammed Isa 2004).Bagi kanak-kanak visual
spatial ini pengajaran huruf menggunakan kad imbasan boleh dilaksanakan. Bagi kaedah
abjad yang mempamerkan benda-benda yang bermula dengan sesuatu abjad tertentu serta
kaedah pandang dan sebut di mana gambar tersebut akan dilabelkan dengan ejaan bagi
membolehkan kanak-kanak membayangkan huruf dan objek tersebut di layar ingatan
mereka.
Gambar-gambar yang dilabelkan sepatutnya sentiasa dipamerkan di bilik darjah
kerana ini dapat membantu kanak-kanak membaca. Begitu juga perabut dan alat-alat di
dalam bilik darjah dilebalkan dengan terang dan mudah dilihat pada aras mata kanak-
kanak akan menggalakkan pembelajaran bacaan yang spontan (Zainiah Mohammed Isa
2004). Persekitaran yang kaya dengan percetakan ini patut digalakkan sehingga ke
peringkat rendah dan menengah kerana ini amat membantu kanak-kanak spatial untuk
mempelajari sesuatu.
Begitu juga buku-buku bergambar yang menggunakan warna yang menarik perlu
disediakan di peringkat awal bagi menarik minat kanak-kanak terhadap pembacaan.
Teknik rebus di mana gambar kecil akan diletakkan di atas perkataan bagi memberi
akan mempercepatkan pembacaan. Teknik rebus ini juga turut dinyatakan dalam kajian
Howard P. Parette et al. ( 2009) tetapi dengan nama yang lain. Selain dari itu, penggunaan
buku-buku bersifat interaktif dapat menggalakkan kanak-kanak belajar membaca secara
berdikari kerana program-program ini mampu membimbing kanak-kanak untuk membaca
secara berdikari.

Kecerdasan Kinestetik

Menurut Gardner (1980) dan Zainiah Mohammed Isa (2004), kanak-kanak yang
berkecerdasan kinestetik boleh memanipulasi objek dan berkebolehan menggunakan
pelbagai kemahiran fizikal. Kanak-kanak ini belajar dengan mudah melalui membuat dan
suka menggunakan anggota badannya untuk melakukan sesuatu. Bagi memenuhi
keperluan kanak-kanak berkecerdasan kinestetik ini,bilik darjah sepatutnya menyediakan
banyak bahan-bahan yang bersifat terbuka untuk dimanipulasikan oleh kanak-kanak
seperti bahan menulis, melukis, bahan kraf dan playdoh, blok mainan dan juga alat-alat
manipulatif yang lain.
Penggunaan setiap anggota badan dan deria semasa melakukan aktiviti-aktiviti
akan menambahkan pemahaman dan menyebabkan proses pembelajaran akan lebih
menarik. Kanak-kanak boleh diminta membentuk huruf menggunakan anggota badan
mereka. Belajar mengingati bahasa berirama dan lagu sambil melakukan aksi-aksi
pastinya menarik dan bermakna kepada mereka. Aktiviti melakonkan semula cerita dalam
bahasa isyarat dan penggunaan bahasa badan amat berkesan kepada kanak-kanak
kinestetik. (Howard P. Parette et al. 2009). Begitu juga aktiviti-aktiviti pergerakan seperti
tarian, pergerakan berirama, senaman dan sukan juga perlu diberi keutamaan. Aktiviti-
aktiviti permainan yang melibatkan kanak-kanak bergerak di dalam bilik darjah seperti
mencari huruf tersembunyi, mencari objek yang bermula dengan sesuatu huruf dan
sebagainya juga amat menyeronokkan kanak-kanak.
Tidak ketinggalan latihan menulis semula ejaan tertentu akan mengukuhkan
ingatan kanak-kanak kinestetik terhadap ejaan seperti kajian yang dijalankan oleh
Edwards L.(2003), mendapati kanak-kanak tahun satu yang diajar ejaan melalui latihan
menulis perkataan-perkataan dapat mengeja lebih banyak perkataan dengan betul
berbanding kanak-kanak yang berlatih menyusun huruf atau kanak-kanak yang berlatih
mengeja dengan menaip di komputer. (Zainiah Mohammed Isa 2004). Cara ini berkesan
kerana kanak-kanak menggunakan anggota badannya untuk mempelajari sesuatu atau
dikatakan sebagai belajar dengan melakukan.

Kecerdasan Muzikal
Kanak-kanak berkecerdasan muzikal atau irama pula peka kepada muzik, suka
menyanyi dan bermain alat muzik (Gardner 1980; Zainiah Mohammed Isa 2004). Bagi
kanak-kanak yang berkecenderungan kecerdasan muzikal ini, penggunaan pantun-pantun
tradisional dan bahasa berirama akan mendapat perhatian mereka. Mereka sepatutnya
digalakkan mencipta lagu-lagu mereka sendiri dan tuliskan lagu-lagu tersebut untuk
dibaca oleh mereka. Guru perlu menyediakan buku-buku yang mengandungi bahasa
berirama untuk dibaca oleh kanak-kanak di masa lapang mereka.
Koleksi rakaman pantun-pantun, lagu-lagu ataupun bahasa berirama boleh
disediakan kepada kanak-kanak untuk dimainkan di dalam kelas. Aktiviti nyanyian dan
bahasa berirama akan merangsang kanak-kanak untuk membaca bahan bercetak yang
berkenaan. Kanak-kanak muzikal juga amat gemar bermain alat-alat muzik dan mencipta
irama dan lagu mereka sendiri. Mereka sepatutnya diberikan galakan untuk mencipta
irama dan lagu mereka sendiri. Ini akan memberi kepuasan bagi mereka kerana memberi
peluang kepada kanak-kanak ini untuk melahirkan idea dan kreativiti mereka (Zainiah
Mohammed Isa 2004).

Kecerdasan Matematikal
Kanak-kanak yang bercerdasan matematikal suka melakukan kajian, menyelesaikan
masalah, bertanyakan soalan, meneroka corak geometri dan berkebolehan menggunakan
serta mengaplikasikan nombor (Gardner 1980; Zainiah Mohammed Isa 2004).
Armstrong (1994) dan Zainiah Mohammed Isa (2004) menyatakan, kanak-kanak
bercerdasan matematikal menyukai buku yang mengandungi pengulangan dan
persamaan. Bagi kanak-kanak seperti ini pengulangan perkataan yang sama atau
penggunaan perkataan yang boleh ditekannya akan menggalakkan pembacaan. Begitu
juga penggunaan gambar yang menjadi petunjuk atau pembayang bagi cerita amat baik
untuk menggalakkan pembacaan kanak-kanak.
Oleh sebab kanak-kanak logikal matematikal gemar meneka dan menyelesaikan
masalah, teknik bacaan yang berasaskan phonetik boleh diperkenalkan bagi kanak-kanak
ini. Kanak-kanak ini ini akan gemar mencantumkan konsonan dan vokal bagi membentuk
perkataan. Pengulangan dan penambahan daripada huruf serta perkataan yang telah biasa
dipelajari memudahkan kanak-kanak membentuk perkataan serta ayat yang akan
mempercepatkan pembelajaran bacaan mereka (Johari Bin Hassan dan Nur Aimi Binti
Mohd 2008).
Program komputer yang menyediakan latihan mengeja serta memperkenalkan
huruf dan perkataan dapat menarik minat minat kanak-kanak ini untuk belajar membaca.
Mereka memang sukakan cabaran dan biasanya program tersebut disediakan secara
bertahap-tahap yang mampu mencabar kebolehan kanak-kanak dan pada masa yang sama
memberikan rasa kejayaan pada kanak-kanak tersebut. Pernyataan ini disokong oleh
kajian Rohaty Majzub dan Kamisah Buang (2010). Seterusnya permainan huruf seperti
teka silang kata, Sahiba dan lain-lain permainan bahasa juga akan menarik minat kanak-
kanak yang logikal matematikal ini.

Kecerdasan Interpersonal
Kanak-kanak yang mempunyai kecerdasan interpersonal boleh memahami dan
berinteraksi secara berkesan dengan orang lain. (Gardner 1980) dan (Zainiah Mohammed
Isa 2004). Oleh itu, membaca bagi kanak-kanak interpersonal lebih merupakan aktiviti
pergaulan sosial. Mereka lebih gemar membaca bersama-sama rakan atau mengajar
kanak-kanak yang lain membaca perkataan yang mereka tahu. Menurut Johari Bin Hassan
dan Nur Aimi Binti Mohd (2008), kanak-kanak ini hendaklah digalakkan membaca
bersama rakan yang lain atau tugaskan mereka membaca dengan kanak-kanak yang masih
lemah dalam pembacaan. Mereka akan gembira melakukan tugasan yang diberi ini.
Melalui program ini sipembaca akan mendapat manafaat daripada
pembacaaan manakala yang mendengar bacaan pula berasa lebih selesa membaca dengan
rakan dan lebih mudah belajar membaca melalui rakan mereka.
Dengan memberi kebebasan menggunakan alat-alat penulisan pula, kanak-kanak
interpersonal ini akan suka menulis pesanan dan bertukar-tukar nota dengan rakan. Satu
sudut di papan kenyataan boleh digunakan sebagai tempat kanak-kanak meninggalkan
pesan atau mendapat maklumat mengenai apa-apa peristiwa yang berlaku kepada rakan-
rakan didalam kelas seperti harijadi, rakan-rakan yang tidak sihat, dan kejayaan-kejayaan
kanak-kanak di dalam kelas. Ini sudah tentu akan memeriahkan suasana disamping
menggalakkan komunikasi dan pembacaan (Zainiah Mohammed Isa 2004).

Kecerdasan Intrapersonal
Menurut Gardner (1980) dan Zainiah Mohammed Isa (2004), kanak-kanak intrapersonal
boleh memahami diri dan pemikirannya sendiri dan menggunakan pengetahuan ini dalam
merancang dan menentukan halatuju dirinya sendiri.Bagi kanak-kanak yang intrapersonal
pula, guru hendaklah menyediakan bahan-bahan bacaan yang mereka minati dan tempat
yang agak tersorok dan senyap bagi mereka membaca. Biarkan mereka membaca secara
selesa mengikut tahap kebolehan mereka sendiri dan bantu mereka dengan perkataan
yang agak sukar apabila diminta. Dengan kebebasan yang diberi kanak-kanak
intrapersonal biasanya boleh mengajar diri mereka sendiri membaca (Armstrong 1994).
Begitu juga faktor pemilihan buku yang sesuai dan menarik minat kanak-kanak
adalah kunci bagi menggalakkan pembacaan kanak-kanak intrapersonal khasnya, dan
kepada semua kanak-kanak amnya. Buku-buku yang sesuai dan menarik minat ini juga
dapat menyemaikan nilai-nilai estetik dalam diri kanak-kanak dan seterusnya
menanamkan minat kanak-kanak kepada buku serta tabiat membaca yang berterusan (
Johari Bin Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd. 2008).

MENGAJAR MEMBACA MELALUI PENGGUNAAN PERISIAN
MULTIMEDIA.

Menurut Auzar (2012), penggunaan komputer dalam pembelajaran membaca
menunjukkan keberkesanan yang signifikan berbanding dengan pembelajaran membaca
secara tradisional. Penggunaan perisian dalam pembelajaran membaca juga berjaya
meningkatkan kemahiran membaca murid-murid secara signifikan. Menurut Zamri Mahamod
dan Nur Aisyah Mohamad Noor (2011), strategi pengajaran menggunakan perisian
multimedia dapat membantu pelajar menguasai pembelajaran secara dua hala tanpa
bergantung sepenuhnya kepada guru. Dengan bantuan media, pelajar mampu belajar secara
aktif, kendiri dan anjal. Melalui strategi pembelajaran aktif, proses pengajaran menggalakkan
penglibatan aktif pelajar melalui hubungan dua hala dengan perisian. Hal ini kerana pelajar
terlibat secara aktif melalui aktiviti membaca, menyelesaikan masalah dan penaakulan.
Zoraini Wati Abas (1993) menyatakan bahawa kaedah pembelajaran
berbantukan komputer berorientasikan penggunaan aplikasi multimedia guruan berpotensi
untuk merangsang dan menarik minat murid untuk mendekati sesuatu mata pelajaran. Murid
bukan sahaja terpegun kepada kecanggihan pembinaan komputer itu sendiri, malah tertarik
kepada paparan grafik, interaktif, warna, persembahan dan kesan bunyi yangmengasyikkan.
Pelbagai kajian di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kigdom telah
menunjukkan bahawa pengajaran berbantukan komputer atau Computer Assisted Learning
(CAL) dan Computer Language Learning (CALL) telah membantu dalam menarik minat
kanak-kanak dalam pembelajaran literasi (Chapelle 1997; Chun 1997; Ehsani 1998;
Hegelheimer & Chapelle 2000; Kramsch 1999; Zehapi 1993).

Howard P. Parette et al (2009) menyatakan dalam kajiannya bahawa guru
juga boleh menghasilkan perisian sendiri. Antara perisian yang paling sering digunakan oleh
guru ialah Microsofft Power Point. Ini adalah kerana ia dapat mempersembahkan
pengajaran dalam keadaan menarik melalui paparan grafik yang boleh ditambah dengan
kesan bunyi dan aktiviti yang interaktif (Jewitt 2009). Langkah perisian yang dicadangkan
oleh Howard P. Parette adalah seperti berikut:
1. Guru hendaklah mengajarkan perkataan dengan menggunakan bantuan gambar yang sesuai.
Pemilihan gambar mestilah tepat dan biasa dilihat oleh kanak-kanak agar boleh membantu
mereka mempelajari perkataan baru.
2. Paparan slaid pertama sepatutnya hanyalah perkataan yang ingin diperkenalkan. Contohnya,
slaid memaparkan perkataan ibu. Guru akan menyebut, ini perkataan ibu
3. Kemudian dalam slaid yang sama, di bawah perkataan ibu akan muncul gambar ibu secara
perlahan-lahan.
4. Seterusnya, guru akan berkata semua murid lihat di sini pada slaid ke-2, langkah 3
akan diulang sekali lagi.
5. Seterusnya, pada slaid ke-3, perkataan ibu dan gambar ibu akan muncul serentak. Guru
akan menyebut, ini perkataan ibu
6. Slaid ke-4, perkataan ibu dan gambar ibu akan muncul serentak tetapi gambar ibu semakin
kabur. Guru akan menyebut, ini perkataan ibu
7. Slaid ke-5, perkataan ibu dan gambar ibu akan muncul serentak tetapi gambar ibu
semakin lebih kabur. Guru akan menyebut, ini perkataan ibu
8. Slaid ke-6, hanya perkataan ibu sahaja yang muncul dan tiada gambar ibu. Guru akan
menyebut, ini perkataan ibu
9. Pada slaid ke-7, guru akan mengulang langkah 3.
10. Seterusnya guru akan berkata sekarang giliran kamu pula, cuba sebut ini perkataan apa?,
slaid ke-8 ini memaparkan perkataan ibu dan gambar ibu yang kabur tetapi masih boleh
dilihat oleh kanak-kanak.
11. Apabila kanak-kanak dapat menjawab dengan betul, guru hendaklah berkata betul, ini
perkataan ibu sambil memberikan pujian. Untuk kanak-kanak yang tidak dapat menjawab
dengan betul, guru hendaklah berkata ini perkataan ibu
12. Seterusnya, slaid ke-9 memaparkan perkataan ibu dan gambar ibu yang terang. Guru akan
bertanya sekali lagi, ini perkataan apa?. Seterusnya langkah 11 akan diulang oleh guru.
13. Pada slaid ke -10, hanya paparan perkataan ibu tanpa gambar ibu. Guru akan berkata ini
perkataan apa?. Sekiranya murid dapat menjawab dengan betul, pujian hendaklah diberikan.
14. Seterusnya, guru bolehlah meneruskan dengan mengajar perkataan yang hampir serupa
seperti ubi dan abu. Ini membolehkan kanak-kanak membezakan perkataan dan
mengenalpasti perbezaannya.

Pada akhir sesi pembelajaran, penilaian ke atas kanak-kanak perlu
dilakukan. Perkataan ibu, ubi dan abu akan di paparkan tanpa gambar pada slaid. Guru
akan bertanya yang mana satukah perkataan ibu?. Murid akan memilih perkataan yang
ditanya dengan menunjukkan menggunakan jari pada slaid. Pujian hendaklah diberikan untuk
jawapan yang betul dan guru akan meminta murid menyebut perkataan yang ditunjukkan.
Paivio (1986) menyatakan bahawa kanak-kanak yang diajar dengan
menggunakan perisian multimedia sebenarnya telah didedahkan kepada dua
mod pembelajaran iaitu melalui visual dan verbal. Mod ini akan dapat
meningkatkan ingatan dan kefahaman kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak
telah diberi peluang membina makna apa yang dibaca menerusi penghasilan
gambaran visual. Namun demikian menurut Weinstein dan Mayer (1986) dan
Carreker (2002), kanak-kanak tidak berupaya secara efektif menghasilkan
gambaran visual jika tidak dibantu oleh guru menerusi galakkan atau
pendedahan menggunakan strategi pembelajaran ini.

ISU-ISU DALAM PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA

Membaca adalah suatu medan ilmu yang perlu dikuasai untuk memenuhi keperluan
pembelajaran kanak-kanak. Menurut Husen Fateh Din et al. (2011), Murid-murid yang boleh
membaca sebelum menjejakkan kaki ke alam persekolahan lagi selalunya dianggap sebagai
bijak. Sebenarnya kebolehan ini bukan petanda awal tentang kebijaksanaan kanak-kanak itu.
Namun persepsi masyarakat selalunya begitu. Mampu membaca dan mahir membaca
merupakan perkara yang berbeza. Noraidah Farah Sazuanee Awang (2010) pula menyatakan,
membaca membawa maksud membunyikan huruf-huruf yang ditulis serta melihat dan
memahami apa-apa yang tertulis. kemahiran membaca adalah merujuk kepada keupayaan
seseorang membaca dengan sebutan, intonasi, jeda dan kelancaran yang betul. Secara
ringkasnya tujuan utama seseorang kanak-kanak perlu menguasai kemahiran membaca
supaya mereka dapat mengenal dan membezakan setiap huruf dan perkataan seterusnya dapat
membaca serta memahami pelbagai bahan bacaan yang dibaca (Husen Fateh Din et al.
(2010).

Isu pertama: Apakah cara untuk mengatasi masalah kanak-kanak tidak minat belajar
membaca?
McGee dan Richgels (1990) dalam Rahimi Md Saad (2006) menyatakan bahawa
membaca dan menulis adalah kemahiran sukar dikuasai dan bukan semulajadi untuk
dipelajari. Proses membaca memerlukan kesediaan untuk mempelajarinya. Isunya di sini,
disebabkan proses membaca dilihat sebagai aktiviti yang sukar oleh kanak-kanak, maka
bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah kanak-kanak tidak minat untuk belajar
membaca?
IRA & NAEYC (1998) menyatakan,
........kebanyakan cara mengajar membaca di peringkat awal adalah tidak bersesuaian
dengan tahap umur dan perkembangan kanak-kanak tadika, malah cara yang digunakan lebih
sesuai untuk mengajar kanak-kanak yang lebih tua ataupun orang dewasa yang semestinya
tidak memberi kesan kepada kanak-kanak di peringkat awal

Perkara ini turut disokong oleh Stanford, P.( 2003) seperti berikut,
Di dalam bilik darjah yang tradisional, guru-guru berdiri mengajar di depan kelas, menulis
di papan hitam, menyoal murid-murid mengenai kerja-kerja yang diberikan dan menunggu
murid-murid menyiapkan kerja-kerja bertulis mereka
Zainiah Mohamed Isa (2004) dalam kajiannya menyatakan penggunaan kaedah
pengajaran yang tidak sesuai kepada kanak-kanak, akan menimbulkan rasa bosan, tertekan
dan seterusnya hilang keyakinan diri. Sebaliknya, sekira kanak-kanak merasa seronok dengan
proses pengajaran yang dijalankan, mereka akan meneruskan aktiviti kerana merasa yakin
dengan kejayaan diri sendiri dan ini tentunya akan memudahkan proses pembelajaran
berlaku. Dengan ini, kaedah pengajaran yang digunakan terhadap kanak-kanak mestilah
bersesuaian dengan tahap umur, perkembangan serta tahap kebolehan individu. Gardner
(1983) menyatakan keperluan individu yang berlainan dari segi tahap perkembangan dan
kecenderungan perlu diambil kira dalam membuat perancangan pengajaran. Menurutnya lagi,
setiap individu mempunyai kecenderungan kecerdasan yang berbeza. Stanford, P. (2003) pula
menyatakan pengajaran menggunakan kecerdasan pelbagai menyediakan pelbagai peluang
untuk kanak-kanak untuk belajar. Jika hanya satu kaedah pengajaran digunakan untuk
membaca, maka kita telah menyekat kanak-kanak belajar mengunakan kaedah-kaedah yang
mereka telah mahir dan ini amat merugikan.
Tidak dapat dinafikan penggunaan teori kecerdasan pelbagai sesuai untuk digunakan
mengajar membaca di dalam bilik darjah dan ianya memberi kesan yang mendalam terhadap
proses pembelajaran kanak-kanak. Ini bersesuaian dengan kenyataan Amstrong (1987),
Apabila kanak-kanak melalui pengalaman yang menyeronokkan yang melibatkan rasa
kejayaan semasa peringkat awal belajar membaca, mereka juga turut memperolehi kejayaan
dalam akademik yang berterusan dalam kehidupan mereka .
Oleh yang demikian, adalah penting bagi guru mengambil kira kecenderungan kecerdasan
kanak-kanak di dalam perancangan kurikulum bagi pengajaran membaca. Kaedah belajar
sepatutnya datang dari kanak-kanak dan bukan guru yang menentukan sesuatu kaedah.


Isu kedua : bagaimanakah cara mengatasi murid yang boleh membaca perkataan,
namun tidak memahami maksud perkataan tersebut?

Goodman (1981), Linda B Gambrell, Cathy Collin Block dan Michael Pressley
(2002) menyatakan bahawa matlamat akhir pengajaran dan pembelajaran membaca yang
utama ialah kefahaman. Laporan kajian Belize Development Trust (2002) menunjukkan 92%
kanak-kanak boleh membaca tetapi 50% atau lebih daripadanya kurang faham dengan apa
yang dibaca. Keadaan ini disahkan pula dengan laporan Snow Catherine E (2002) yang
menyatakan salah satu masalah yang kini dipandang serius dan menjadi topik perbincangan
di kalangan penyelidik di Amerika ialah pelajar sekolah rendah, menengah dan peringkat
tertinggi tidak mempunyai kemahiran atau kecenderungan membaca dengan faham terhadap
bahan yang mereka pelajari. Berikutan itu kajian terbaru (ibid) dalam pengajaran membaca
menunjukkan secara signifikan bahawa keadaan ini boleh diperbaiki semasa pengajaran awal
kanak-kanak dan didapati pengajaran membaca faham perlu diajar kepada kanak-kanak bagi
membekalkan mereka dengan pengetahuan asas membaca-faham.
Rio Sumarni et al ( 2003) menyatakan dalam kajiannya bahawa keupayaan membaca-
faham jelasnya memang memerlukan kemahiran yang pelbagai. Faktor yang menyumbang
kepada membaca-faham dapatlah diringkaskan kepada beberapa komponen yang besar
seperti keupayaan kognitif (memori, tumpuan dan keupayaan visualisasi), kemampuan
linguistik (perbendaharaan kata, pengetahuan sedia, strategi pembelajaran, keupayaan
memahami bahasa pertuturan dan mentafsir perkataan), motivasi dan kaedah pengajaran.
Kesemua faktor yang tersebut sukar untuk diatasi kerana beberapa perkara berikut:
1. pengajaran dan pembelajaran membaca di kalangan kanak-kanak prasekolah tidak
menekankan aspek pemahaman berlaku kerana bagi guru apa yang penting ialah kanak-kanak
di prasekolah boleh membaca dengan lancar. Hakikat ini disokong oleh Sally Rings (1994)
yang menyatakan bahawa pendekatan behavioristik dalam pembelajaran membaca di sekolah
adalah merupakan pedagogi yang terlalu dominan.
2. Pengajaran dan pembelajaran membaca secara tradisi yang sedang berlaku di bilik darjah
hari ini juga mengabaikan keupayaan membentuk gambaran visual di kalangan kanak-kanak
dan sebaliknya menekankan pembelajaran mengenal simbol dan kemahiran membaca
mengikut urutan. Oleh kerana kanak-kanak tidak didedahkan dengan penggunaan strategi
pembelajaran membaca secara gambaran visual ini maka hasil pembelajaran membaca di
prasekolah hanya mampu membaca dengan lancar dan tidak faham.
Rio Sumarni et al. (2003) dalam kajiannya, penggunaan perisian
multimedia dilihat boleh mengatasi atau sekurang-kurangnya dapat memperbaiki faktor
penyumbang masalah keupayaan membaca dan memahami perkataan. Membaca dan
memahami perkataan boleh dibantu menerusi multimedia kerana bahan dipersembahkan
bukan sahaja dalam bentuk teks tetapi juga dalam bentuk visual (input visual) atau
audiotori (input verbal) atau kombinasi antara keduanya. Hubungan di antara teks dan
imej sebagai elemen dalam proses membaca yang diketengahkan oleh teori dual koding.
Paivio (1986) memberi penjelasan bahawa kanak-kanak yang didedahkan dengan dua
mod pembelajaran (melalui visual dan verbal) akan dapat meningkatkan ingatan dan
kefahaman. Kanak-kanak yang diberi peluang membina makna apa yang dibaca menerusi
penghasilan gambaran visual. Namun demikian menurut Weinstein dan Mayer (1986) dan
Carreker (2002) kanak-kanak tidak berupaya secara efektif menghasilkan gambaran
visual jika tidak dibantu oleh guru menerusi galakan atau pendedahan menggunakan
strategi pembelajaran ini.

IMPLIKASI
Kemahiran membaca sangat penting dikuasai oleh kanak-kanak kerana melalui
pembacaan mereka dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam pelajaran, meluaskan
pengetahuan, mencari dan mengumpul maklumat-maklumat yang diperlukan dan lain-lain
lagi (Howard P. Parette 2010). Faktor yang mempengaruhi kemahiran membaca adalah
dengan meningkatkan kemahiran kognitif dan juga umur kanak-kanak mula belajar
membaca. Ini kerana pendedahan awal kanak-kanak tentang kemahiran komunikasi dan
literasi memberi kesan terhadap kesediaan kanak-kanak untuk belajar membaca (Mr Barry
Sheerman et al. 2005).
Antara kaedah yang berjaya meningkatkan kemahiran membaca adalah kaedah
fonik (Mr Barry Sheerman et al. 2005; Traci M. Cihon 2008; Sabrina Abdul Rahim 2010;
Yahya Othman et al 2012), kaedah mengajar kecerdasan pelbagai, (Spiegal 1998; Zainiah
Mohammed Isa 2004; Johari Bin Hassan 2008) dan mengajar menggunakan perisian
multimedia (Rio Sumarni et al 2003; Rohaty Majzub & Kamisah Buang 2010; Howard P.
Parette et al 2009).
Guru memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap kemahiran
membaca kanak-kanak prasekolah. Oleh itu, guru perlu mempelbagaikan kaedah dan teknik
pengajaran bacaan supaya kemahiran membaca dapat dikuasai dengan baik. Spiegal (1998)
dan Zainiah Mohammed Isa (2004) menyatakan bahawa program literasi yang seimbang
ialah guru memilih cara dan tugasan yang sesuai untuk setiap kanak-kanak serta fleksibel
terhadap keperluan kanak-kanak tersebut. Justeru, guru perlu mengenal pasti jenis kecerdasan
yang cenderung dimiliki oleh kanak-kanak dan menyediakan kaedah pengajaran berasaskan
kecenderungan kanak-kanak tersebut. Ini kerana dengan mengambil kira kecenderungan
murid, bermakna guru telah menyediakan pembelajaran mengikut kebolehan dan keupayaan
murid yang pelbagai. Dengan pengajaran yang kreatif dan menarik, sesuai dengan keperluan
murid serta bantuan bahan yang bersesuaian pembelajaran akan menjadi lebis berkesan.

CADANGAN

Amstrong (1987) menyatakan bahawa apabila kanak-kanak melalui pengalaman yang
menyeronokkan yang melibatkan rasa kejayaan semasa peringkat awal belajar membaca,
mereka juga turut memperolehi kejayaan dalam akademik yang berterusan dalam kehidupan
mereka. Justeru, kanak-kanak mestilah didedahkan dengan cara pengajaran dan pembelajaran
yang sesuai dan berkesan dengan mengambil kira kemampuan dan kecenderungan mereka.
Hasil analisis daripada kajian lepas, terdapat tiga strategi pengajaran kemahiran
membaca yang dilihat sesuai digunakan untuk mengajar murid prasekolah iaitu kaedah
fonik, kaedah teori kecerdasan pelbagai dan penggunaan perisian multimedia.
Barry Sheerman et al. (2006) menjelaskan bahawa fonik ialah satu kaedah
yang penting dalam pengajaran membaca kanak-kanak. Yahya Othman et al. (2012) pula
menegaskan tahap kemahiran mengajar kaedah fonik bagi guru-guru peringkat prasekolah
perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, guru masih perlu untuk
mempelbagaikan gaya pengajaran seperti corak interaksi dalam kalangan kanak-kanak.
Rohaty Majzub dan Kamisah Buang (2010), Noraida Farah Sazuanee (2010) dan Sabrina
Abdul Rahim (2010), pula menjelaskan perisian Bacaan Mudah seharusnya digunakan
kepada kanak-kanak yang berada pada peringkat permulaan dan pengenalan dalam
pembacaan. Kanak-kanak juga boleh dilibatkan dalam proses pembinaan bahan yang ingin
diguna pakai dalam usaha meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan
mereka. Adalah penting bagi guru untuk mengambilkira kecenderungan kecerdasan kanak-
kanakdalam perancangan kurikulum bagi pengajaran membaca. Menurut Zainiah Mohamed
Isa (2004), kecerdasan pelbagai bukan sahaja memberikan cara-cara yang menarik untuk
kanak-kanak belajar mengikut kecenderungan masing-masing bahkan kanak-kanak akan turut
mendapat keyakinan diri dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru. Kajian
oleh Johari Bin Hassan (2008), mendapati rata-rata guru mengajar kemahiran membaca
menggunakan kaedah kecerdasan pelbagai.

KESIMPULAN
Berdasarkan kajian yang dijalankan didapati strategi-strategi pengajaran yang
dibincangkan dalam kertas konseptual ini memberi gambaran yang jelas bahawa golongan
pendidik awal kanak-kanak hendaklah bijak memilih strategi pengajaran berkesan yang boleh
membantu kanak-kanak prasekolah menguasai kemahiran membaca sebelum melangkah ke
alam pendidikan yang lebih formal. Yahya Othman et al. (2010) menyatakan bahawa kaedah
fonik yang dilaksanakan oleh guru Bahasa Melayu dalam pengajaran membaca dalam
kalangan kanak-kanak prasekolah didapati sangat berkesan.Menurutnya lagi, kaedah ini juga
didapati berupaya mempercepatkan proses kemahiran membaca berbanding penggunaan
kaedah suku kata dan seterusnya meningkatkan motivasi dan minat murid untuk membaca
pelbagai jenis bahan bacaan.
Dari Aspek pandangan Zainiah Mohamed Isa (2004), adalah penting bagi
guru untuk mengambilkira kecenderungan kecerdasan kanak-kanak di dalam perancangan
kurikulum bagi pengajaran membaca. Menurutnya lagi, kecerdasan pelbagai bukan sahaja
memberikan cara-cara yang menarik untuk kanak-kanak belajar mengikut kecenderungan
masing-masing bahkan kanak-kanak akan turut mendapat keyakinan diri dan
keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru. Prose pembelajaran juga menjadi lebih
menarik dan berkesan bagi menyediakan kanak-kanak untuk mencapai potensi diri masing-
masing.
Rohaty Majzub dan Kamisah Buang (2010), merumuskan pengajaran
menggunakan modul bacaan berasaskan multimedia boleh membantu meningkatkan
penguasaan dalam kemahiran membaca dengan lebih cepat berbanding belajar membaca
tanpa menggunakan modul bacaan yang khusus. Kementerian Pendidikan Malaysia melalui
transformasi kurikulum dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan 2010
menyatakan bahawa bahan yang digunakan dalam pengajaran kemahiran bahasa perlu
bersesuaian dengan peringkat perkembangan kanak-kanak. Justeru itu, guru perlulah bijak
dan kreatif dalam memilih strategi pengajaran yang berkesan dan mampu menarik minat
untuk mempelajari kemahiran membaca. Kesimpulannya, apa-apa juga kaedah yang
digunakan untuk mengajar kanak-kanak membaca, perlulah memberi inspirasi berkekalan
dan membaca juga harus menjadi satu matlamat utama dalam pengajaran di sekolah (Mr
Barry Sheerman, 2006).


RUJUKAN

Husin Fateh Din & Nazariyah Sani. 2012. Bahasa Melayu II Akademik. Puchong: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.

Husin Fateh Din, Nazariyah Sani, Mastura Mohamed Barawi & Siti Hajar Idrus. 2012. Literasi
Bahasa Melayu. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

House Of Common Education And Skills Committee. 2005. Teaching Children to Read. Eighth
Report of Session 2004-2005. London: The Stationery Office Limited.

Howard P. Parette, Howard P. Parette, Craig Blum, Nichole M. Boeckmann, Emily H. Watts. 2009.
Teaching word recognition to young children who are at risk using microsoft powerpoint TM
coupled with direct instruction. Early Childhood Education Journal 36(5): 393-401.

Johari Bin Hassan. 2008. Kecerdasan pelbagai di kalangan kanak-kanak prasekolah serta strategi
pengajaran yang digunakan untuk mengajar kanak-kanak prasekolah. Suatu kajian kes.
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2010. Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Khairuddin Mohamad. 2011. Literasi Bahasa Melayu. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Noraidah Farah Sazuanee binti Awang. 2010. Meningkatkan kebolehan membaca dalam
kalangan kanak-kanak melalui pendekatan kaedah fonik menggunakan perisian
"bacaan mudah. Prosiding Kajian Tindakan Prasekolah 2010, hlm.34 - 43.

Rio Sumarni Shariffudin, Abdul Hafidz Hj. Omar, Dayang Hjh. Tiawa Awang Hj. Hamid. 2003.
Reka Bentuk dan Keberkesanan Perisian Multimedia Membaca-Faham Berasaskan
Gambaran Visual bagi Kanak-kanak Prasekolah. Prosiding Seminar Memperkasakan Sistem
Pendidikan. (Unpublished).

Rohaty Majzub & Kamisah Buang. 2010. The development and testing of preschool bahasa
Malaysia reading intervention module using multimedia. Prosiding World Conference on
Learning, Teaching and Administration, hlm. 595 598.

Sabrina Abdul Rahim. 2010. Keberkesanan kaedah gabungan bunyi dan kata dalam meningkatkan
kemahiran membaca kanak-kanak prasekolah. Prosiding Kajian Tindakan Prasekolah
2010, hlm. 148-157.

Shahariah Zainal. 2011. Pendekatan bermain dalam kemahiran mengenal huruf kecil bagi
pendidikan prasekolah. Kertas Konseptual. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor
Darul Ehsan.

Tamam Timbang, Zamri Mahamod, Nik Mohd. Rahimi Yusoff & Jamaludin Badushah. 2010.
Masalah membaca murid-murid sekolah rendah kerajaan di Brunei Darussalam: Satu kajian
kes. Jurnal Pendidikan Malaysia 35 (2): 77-85.

Traci M. Cihon. 2008. Using visual phonics as a strategic intervention to increase literacy behaviors
for kindergarten participants at-risk for reading failure. Journal of Early and Intensive
Behavior Intervention 5(3): 138-155.

Yahya Othman, Aisah Md Daud, Azmey Othman, Dk.Siti Ardiah Pg.Mohiddin & Maszuraimah
Muizz Sulaiman. 2012. Pelaksanaan pengajaran membaca menggunakan kaedah fonik
peringkat prasekolah di Brunei Darussalam. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 2(1): 93-109.

Zainiah Mohamed Isa. 2004. Mengajar membaca bagi peringkat awal kanak-kanak melalui
teori kecerdasan pelbagai. Prosiding Seminar Antarabangsa UPSI dan
UPI.http://www.scribd.com/doc/55872978/Mengajar-Membaca-Bagi-Peringkat-Awal-
Kanak-kanak-Melalui-Teori-Kecerdasan-Pelbagai [23 Mac 2012].

You might also like