You are on page 1of 14

1

PERBANDINGAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH DALAM


MATEMATIK DI MALAYSIA DENGAN SINGAPURA DAN HONG KONG
Nurhashimah binti Zaba
ABSTRAK
Pentaksiran untuk pembelajaran adalah misi kerajaan dalam melaksanakan sistem PBS di
sekolah. Kajian ini dijalankan untuk mengetahui perbandingan pentaksiran berasaskan
sekolah (PBS) yang dijalankan di Malaysia, Singapura dan Hong Kong. Kajian ini
mengandungi kaedah pelaksanaan PBS dan transformasi kurikulum sekolah di setiap negara.
Secara keseluruhannya, Singapura dan Hong Kong masih berorientasikan peperiksaan awam
di mana PBS menyumbang 15-40% daripada keseluruhan penilaian. Pentaksiran di Malaysia
harus mengalami transformasi agar penglibatan pelajar lebih optimum dalam usaha
memperbaiki pencapaian dan mengejar kemajuan negara. Perubahan dalam pentaksiran akan
menjadikan sistem pendidikan di Malaysia setanding dengan negara luar.

1.0 PENDAHULUAN
Malaysia yang merupakan sebuah negara sedang membangun giat berusaha dalam melakukan
kemajuan dari segala aspek dan komponen pembangunan. Pelbagai usaha telah dijalankan
bagi memperbaiki, mengekalkan dan meningkatkan kemajuan negara seiring dengan
perkembangan dunia pada masa kini dan tidak terkecuali dalam sistem pendidikan negara.
Pendidikan negara mempunyai impak yang besar ke atas pelbagai peluang kehidupan
manusia untuk memperolehi dan mengekalkan kualiti kehidupan. Menurut Noor Azreen Abd
Aziz (2010), pendidikan berperanan dalam membangunkan modal insan yang mempunyai jati
diri, berterampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Modal
insan yang ingin dilahirkan ini juga berupaya untuk berfikir secara kreatif dan kritis, dan
berkemahiran dalam menyelesaikan masalah.
Kerajaan Malaysia telah memikirkan usaha bagi memantapkan sistem pendidikan
negara. Dengan itu kerajaan telah merangka strategi pembaharuan terhadap struktur
kurikulum pendidikan dan sistem pentaksiran pendidikan kebangsaan. Fokus utama dalam
perlaksanaan sistem pendidikan kebangsaan adalah untuk meningkatkan keupayaan dan
penguasaan ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar serta memantapkan sistem pentaksiran
dan penilaian supaya menjadi lebih holistik. Ghafar (2011), mendefinisikan pentaksiran
2

adalah proses mengukur, proses penilaian, proses yang sistematik yang melibatkan
pengumpulan, penganalisisan dan penterjemahan keterangan tentang tahap pencapaian
pelajar terhadap objektif pengajaran. Justeru, pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah dan di
bilik darjah merujuk kepada proses pengumpulan, analisis, sintesis dan interprestasi
keseluruhan meklumat berkaitan pengajaran dan pembelajaran yang bertujuan membantu
pihak sekolah menilai keberkesanan pembelajaran seterusnya membuat penambahbaikkan
dalam pengajaran dan pembelajaran.
Dalam sistem pendidikan dahulu hingga kini, setiap pelajar dikehendaki menduduki
peperiksaan awam pada tahap tertentu dan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Demam peperiksaan ini sangat terasa di setiap sekolah sehingga baki hari sebelum
peperiksaan dihitung dengan cermat. Ini kerana, melalui keputusan peperiksaan awam inilah
yang menentukan kedudukan (ranking) sesebuah sekolah (Sidek, Majid, Sah, Mohamed, &
Hashim, 2012). Namun, penilaian seperti ini hanya menilai kebolehan dan pengetahuan
pelajar dalam tempoh masa yang ditetapkan dan sangat terhad. Pentaksiran yang diberikan
sebahagiannya hanya menguji kemampuan murid menghafal kandungan mata pelajaran yang
diajar. Situasi pembelajaran di dalam kelas juga sangat terpengaruh dengan sistem
peperiksaan. Sesetengah guru hanya memfokuskan beberapa subjek dalam satu-satu mata
pelajaran sebagai sasaran soalan peperiksaan pada tahun tersebut.
Perubahan pemikiran para pengkaji dalam bidang pendidikan ke arah pendidikan yang
lebih cemerlang mendorong kepada perkembangan dalam pendidikan terutama
perkembangan dalam cara pentaksiran atau penilaian pembelajaran para pelajar sekolah. Oleh
itu, sistem pentaksiran baru dalam pendidikan telah dibina menuntut penglibatan bersama
antara pihak sekolah, pendidik, ibu bapa dan pelajar. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
ialah satu kaedah pentaksiran baru yang dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia
(LPM) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang dirancang, ditadbir, diberi
pemarkahan dan dilaporkan oleh pihak sekolah. LPM telah menyelitkan perlaksanakan PBS
terhadap semua sekolah bagi sebahagian mata pelajaran dengan memasukkan penilaian kerja
kursus, amali, projek, modul dan ujian lisan dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR)
dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Sidek, Majid, Sah, Mohamed, & Hashim, 2012). LPM
meyediakan instrumen, piawai, kiteria, panduan dan peraturan perlaksanaan PBS bagi setiap
sekolah. Dalam kajian ini akan diterangkan dengan lebih lanjut mengenai PBS yang sedang
dan akan dijalankan di Malaysia dalam satu mata pelajaran dan perbandingan sistem
pentaksiran berasaskan sekolah dari negara lain iaitu Singapura dan Hong Kong.
3

2.0 PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) DI MALAYSIA
Perlaksanaan PBS telah dilaksanakan di Malaysia pada tahun 2011 bagi murid tahun satu di
semua jenis sekolah rendah manakala pada tahun 2012, pelajar tingkatan satu bagi semua
jenis sekolah menengah. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu pentaksiran
yang bersifat holistik iaitu menilai aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani selaras dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tidak seperti sistem penilaian dahulu yang hanya
menumpukan kepada peperiksaan umum yang amat terhad, PBS menilai pelajar melalui
penglibatan mereka dalam bidang akademik dan bukan akademik. Kedua-dua bidang ini
memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif
dan sumatif yang berasaskan sekolah.

Rajah 2.1: Komponen dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
PS dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru. Contoh
instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai
semak, laporan tugasan rumah dan ujian. Bagi PP pula ditadbir, diperiksa dan dilapor di
peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang
dikeluarkanoleh LPM dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran. Pentaksiran
Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan
ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian pelajar
dalam aktiviti jasmani dan kesihatan dan aktiviti ekstrakurikulum. Pentaksiran Psikometrik
pula dilaksanakan di peringkat sekolah atau pusat untuk mengukur kebolehan semulajadi
pelajar, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat kecenderungan, sikap
dan personaliti pelajar.
4

Dokumen Standard Prestasi (SP) telah dikeluarkan oleh LPM sebagai panduan untuk
pentaksir iaitu guru menambah baik Pentaksiran Sekolah (PS) sejajar dengan pelaksanaan
Pentaksiran Rujukan Standard. SP merupakan satu penyataan yang menerangkan tentang
pencapaian seseorang individu atau pelajar dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam
satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda aras yang telah dikenalpasti.
Jadual 2.1: Kerangka Standard Prestasi
BAND STANDARD
1 Tahu
2 Tahu dan Faham
3 Tahu, Faham dan Boleh Buat
4 Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab
5 Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji
6 Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Berdarab Mithali
Jadual 2.2: Tafsiran Band
BAND TAFSIRAN
1 Murid tahu perkara asas atau boleh melakukan kemahiran asas atau
memberikan respon kepada perkara yang asas
2 Murid menunjukkan kefahaman menukar bentuk komunikasi ata
menterjemah serta menjelaskan apa yang telah dipelajari
3 Murid menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran
dalam satu-satu situasi
4 Murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab, iaitu pengikut
prosedur atau secara sistematik
5 Murid melaksanakan sesuatu kemahiran dalam situasi baru, dengan
mengikut prosedur atau secara sistematik, serta tekal dan bersikap positif
6 Murid mampu menzahirkan idea yang kreatif dan inovatif, mepunyai
keupayaan membuat keputusan untuk mengadaptasi permintaan serta
cabaran dalam kehidupan seharian serta boleh berbicara untuk mendapatkan
dan menyampaikan meklumat menggunakan ayat yang sesuai bertatasusila
dan menjadi contoh secara tekal.
5

Dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Malaysia, guru dan
pelajar memainkan perana utama bagi memastikan ianya berkesan dan ,mencapai objektif
yang ditetapkan. Guru berperanan sebagai motivator, pemudahcara, membuat pemerhatian ke
atas tugasan pelajar, mendapatkan maklumat daripada aktiviti dan tugasan yang dilaksanakan
oleh pelajar dan akhir sekali memberi maklum balas. Secara keseluruhannya, guru perlu
membantu memperbaiki pembelajaran murid berdasarkan maklumat yang diperoleh
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2010).
Pelajar pula diajar dan dipupuk oleh guru untuk berfikir secara kritis dan
mengaplikasikan ilmu yang dipelajari. Pelajar perlu mengetahui apa dan bagaimana sesuatu
perkara itu hendak dipelajari, seterusnya melaksanakan tugasan yang diberikan supaya guru
boleh mengetahui kemahiran pelajar dan boleh dibuat ditaksir. Dengan melaksankan PBS,
seseorang pelajar itu dinilai berdasarkan hasil tugasan yang lebih jelas dan berterusan dalam
jangka masa yang lebih panjang. Kesimpulannya, pelajar ditaksir dengan mencapai kejayaan
dalam mendapatkan ilmu, kemahiran dan amalan nilai murni serta sikap yang terpuji (Noraini
Idris, 2005).
PBS bertujuan untuk seseorang guru itu memperbaiki mutu pengajaran dan
pembelajaran di samping cara pentaksiran dilakukan (Hwa Tee Yong & Lim Chap Sam,
2008). Melalui PBS, pencapaian pelajar ditaksir sama ada tinggi atau rendah, meningkat atau
tidak, dan keputusan dibuat sama ada pelajar memerlukan pengayaan atau pemulihan. Lebih
Proses pentaksiran hendaklah dijalankan dengan mengumpul maklumat secara sistematik
supaya dapat meningkatkan mutu serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Guru
perlu jujur dalam menilai pelajar dan tiada unsur berat sebelah Sesungguhnya mengetahui
seseorang pelajar itu memahami sesuatu konsep adalah suatu matlamat penting dalam proses
pengajaran dan pembelajaran bukan ranking pelajar tersebut di dalam kelas. Melalui
pentaksiran guru mampu mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pelajar dan merancang
tindakan susulan bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
2.1 PBS dalam Subjek Matematik di Malaysia
PBS Matematik telah dijalankan untuk pelajar Tahun 1 bermula 2011 dan pelajar Tingkatan 1
bermula 2012 bagi menggantikan Peperiksaan UPSR dan PMR. Sebagai contoh bagi PBS
Matematik tingkatan satu ini dinamakan Pelaporan Standard Menengah Rendah (PSMR).
Pelajar tingkatan satu ini dikategorikan sebagai kohort pertama 2012-2014. Dengan itu
seratus peratus markah dari PSMR pada tahun 2014 nanti adalah dari PBS.
6

Tugasan PBS Matematik terbahagi kepada dua iaitu Pentaksiran Pusat (PP) dan
Pentaksiran Sekolah (PS). Tugasan PP adalah soalan dari Lembaga Peperiksaan Malaysia
(LPM) dan hanya dilakukan sekali setahun. Jenis-jenis tugasan PP adalah seperti kerja
kursus, kajian, persembahan, pameran, folio, jurnal, rekacipta dan lain-lain. Manakala,
tugasan PS perlu dijalankan sepanjang tahun dan semua eviden atau soalan dari guru atau
pihak sekolah. Bagi PSMR, semua guru Matematik tingkatan satu perlu menbina soalan
eviden mengikut zon sekolah dari topik pertama hingga topik akhir, mengumpulkannya untuk
digunakan oleh para guru Matematik tersebut.
Guru Matematik perlu menyediakan fail perkembangan individu pelajar dan juga fail
showcase. Fail perkembangan individu pelajar adalah fail yang merekodkan semua eviden
dari semua mata pelajaran yang telah dilakukan oleh pelajar dan dimasukkan di dalam fail.
Setipa orang pelajar perlu mempunyai satu fail perkembangan individu pelajar dan fail ini
disimpan oleh pihak sekolah. Fail showcase pula mengandungi semua eviden terbaik pelajar
dari semua mata pelajaran. Namun, hanya satu fail showcase bagi setiap kelas.
Bahan-bahan yang perlu ada bagi seseorang guru Matematik yang menjalankan PBS
adalah: a) Dokumen Standarad Prestasi(DPS), b) Senarai Semak Kelas, c) Senarai Semak
Individu, dan d) Eviden (Buku Panduan Pengurusan PBS di Malaysia, 2011). Eviden di sini
ialah bahan atau sebarang bentuk bukti yang dapat ditunjukkan oleh pelajar yang
melaksanakan sesuatu tugasan dalam bentuk produk atau proses. Antara contoh evidens ialah
tulisan, bahan cetakan, persembahan, foto, grafik, artifak, laporan dan sebagainya. Sebagai
contoh eviden seperti soalan-soalan Matematik, eviden-eviden tersebut perlu diperbanyakkan
dan diberi kepada pelajar-pelajar untuk pentaksiran. Jenis-jenis eviden yang hendak
digunakan adalah terpulang kepada citarasa guru tersebut. (Yong & Sam, 2008). Selepas
mentaksir semua eviden, guru perlu mentaksir pencapaian pelajar mengikut DSP pelajar.
Jadual 2.3: contoh draf (DSP Matematik Tingkatan 2, 2012)
BAND PENYATAAN
STANDARD
DESKRIPTOR EVIDEN
1 B1
Tahu
pengetahuan
asas matematik
BID1
PENGENALAN
KUASA DAN
PUNCA KUASA
B1D1E1
Menyatakan suatu nombor yang didarab dengan
nombor yang sama sebagai kuasa dua nombor
tersebut dan sebaliknya.
B1D1E2
Menyatakan suatu nombor yang didarab dua kali
dengan nombor yang sama sebagai kuasa tiga
nombor tersebut dan sebaliknya
7

Sekiranya pelajar ada melakukan kesalahan dalam melakukan tugasan, guru perlu
membuat pengajaran sekali lagi dan mengulangi eviden yang sama sehingga pelajar dapat
menjawab dengan betul sebelum guru menyimpan eviden tersebut di dalam Fail
Perkembangan Individu pelajar. Seterusnya, guru perlu menandakan band pelajar dalam
Senarai Semak Kelas sebelum merekodkannya di dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran PBS
(SPPBS). Eviden yang telah direkodkan boleh dilupuskan dengan mengembalikan kembali
kepada pelajar tersebut manakala eviden yang terbaik dan terkini perlu disimpan dalam fail
pelajar.

3.0 PBS DI SINGAPURA DAN HONG KONG
3.1 PBS di Singapura
Seperti juga di Malaysia, sistem persekolahan di Singapura terdiri daripada enam tahun
sekolah rendah, lima tahun sekolah menengah dan peringkat pengajian tinggi. Para pelajar
menghadiri sekolah rendah bermula usia tujuh tahun sehingga berakhir dengan mengambil
peperiksaan nasional iaitu Primary School Leaving Examination (PSEL). Selepas sekolah
rendah, pelajar biasanya menghadiri sekolah menengah selama lima tahun. Pada akhir
sekolah menengah, para pelajar mengambil peperiksaan Singapore-Cambridge GCEO
Level, dan keputusan daripada peperiksaan tersebut menentukan jenis laluan yang dikejar
oleh mereka. (Kementerian Pendidikan Singapura, 2006).
Kementerian Pendidikan Singapura telah menetapkan objektif pendidikannya untuk
menghasilkan pelajar yang berkeyakinan tinggi, mampu berkomunikasi dengan efektif dan
berdikari. Oleh itu Program Pembelajaran Aktif (Programme for Active Learning PAL)
diperkenalkan. Pentaksiran ini lebih melihat potensi pelajar dengan mengukur kemampuan
mereka dan melihat pembangunan keyakinan diri dalam melaksanakan tugasan dan aktiviti
(Berinderjeet Kaur, 2005). Maka dengan ini pendidikan di Singapura diperkenalkan dengan
Subject Based Banding (SBB) bermula pada tahun 2008 bagi menggantikan EM1, EM2 dan
EM3 (English and Mother Tongue at 1
st
, 2
nd
and 3
rd
langue) stream di seluruh sekolah rendah
di Singapura. SBB diperkenalkan untuk memastikan bahawa pelajar dinilai berdasarkan
keupayaan diri mereka sendiri bergantung kepada minat dan kecenderungan tersendiri. Ini
adalah bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar merealisasikan potensi diri mereka.
Dalam SBB, para pelajar sekolah rendah di Singapura diberi pilihan untuk mengambil
subjek standard atau subjek asas, bergantung kepada kekuatan pelajar tersebut. Sebagai
8

contoh, jika seseorang pelajar itu mempunyai kelebihan dalam subjek Bahasa Inggeris dan
Matematik tetapi sangat lemah dalam Bahasa Ibunda dan Sains, pelajar tesebut boleh
memilih untuk mengambil dua mata pelajaran yang kukuh di peringkat standard dan dua
mata pelajaran yang lemah di peringkat asas sahaja. Dengan itu, pelajar tersebut boleh
menumpukan mata pelajaran yang kuat manakala membina asas-asas dalam mata pelajaran
yang lemah.Markah dalam mata pelajaran asas ditaksir lebih rendah daripada mata pelajaran
standard sebagai markah keseluruhan PSLE kerana mengambil kira perbezaaan kandungan
pembelajaran dalam subjek standard dan subjek asas. Subjek peringkat asas merangkumi
kira-kira 75% daripada kurikulum standard sekolah.
Dua kategori pentaksiran diperkenalkan di Singapura ialah penilaian berterusan atau
Continuous Assessment (CA) dan penilaian semester atau Semester Assessment (SA) (Kaur,
2005):

a) Penilaian berterusan (CA)
- Mengumpul maklumat dari pelajar tentang kesesuaian kaedah pengajaran yang
digunakan dan keberkesanannya.
- Mengenalpasti kesukaran pembelajaran di kalangan pelajar agar guru boleh
merancang pengubahsuaian yang lebih efektif
- Mendapat tindak balas dari pelajar

b) Penilaian semester (SA)
- Penilaian semester berbentuk sumatif yang diadakan di akhir semester atau pada
akhir tahun.
- Tujuan penilaian semester ialah untuk mengenalpasti tahap pencapaian pelajar bagi
keseluruhan tajuk yang telah pelajar pelajari sepanjang penggal.

3.2 PBS di Hong Kong
Sistem persekolahan di Hong Kong agak berlainan daripada sistem persekolahan di Malaysia.
Sekolah rendah di Hong Kong adalah selama 6 tahun mulai dari umur 6 hingga 11 tahun.
Pelajar sekolah rendah diajar enam subjek iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Matematik,
Pengajian Am, Muzik, Seni Visual dan pendidikan fizikal. Seterusnya, pelajar akan
memasuki sekolah menengah selama 7 tahun pada umur 12 hingga 18 tahun. Dalam
menengah rendah, pelajar diajar mata pelajaran tambahan seperti sejarah, geografi dan sains
9

dan mata pelajaran lain. Manakala, menengah atas lebih selektif, dan pelajar boleh memilih
aliran dan bilangan subjek yang dikehendaki.
Sejak dari tahun 2000, kerajaan Hong Kong telah membuat pembaharuan pertama
dalam perlaksanaan sistem pendidikan secara besar-besaran dengan memperkenalkan budaya
baru dalam sistem pentaksiran. Ini kerana, sistem pendidikan dahulu lebih bersifat kompetitif
dan selektif telah mendapat kritikan hebat dari orang ramai (Yu, Kennedy, Fok, & Chan,
2006). Oleh itu, Sistem pentaksiran berasaskan sekolah telah diperkenalkan dengan satu
pendekatan yang dipanggil core-competence (kecekapan teras) iaitu satu pendekatan di mana
kemahiran asas dan pengetahuan akan dijadikan rujukan untuk pentaksiran pembelajaran para
pelajar. Guru digalakkan untuk mempelbagaikan mod pentaksiran yang berbeza untuk
memberi kesesuaian kepada tujuan pembelajaran para pelajar di sekolah. Antaranya ialah
pemerhatian prestasi pelajar dalam bilik darjah, pentaksiran kendiri dan rakan sebaya,
perlaksanaan potfolio atau penyertaan kerja projek untuk menggalakkan pembelajaran dalam
cara yang lebih fleksibel.

Sistem pentaksiran di sekolah menengah di Hong Kong juga turut mendapat beberapa
pembaharuan. Peperiksaan Hong Kong dan Lembaga Penilaian atau Hong Kong Examination
dan Assessment Authority (HKEAA) telah menukar sistem pentaksiran dahulu kepada sistem
pentaksiran yang baru. Pada sistem pendidikan dahulu, sekolah menengah mempunyai dua
peperiksaan awam iaitu Hong Kong Certification of Education Examination (HKCEE) dan
Hong Kong Advanced Level Examination (HKALE). HKCEE diambil apabila pelajar berada
di tingkatan 5 (17 tahun) manakala HKALE bagi para pelajar tingkatan 7 (19 tahun).
Pendidikan Hong Kong telah memansuhkan kedua-dua peperiksaan ini dan menggantikannya
dengan Hong Kong Diploma of Secondary Education Examination (HKDSE) di mana para
pelajar tingkatan empat tahun 2009 adalah menjadi kumpulan pertama pada masa itu.
Peperiksaan HKDSE direka untuk menilai pencapaian calon dengan kebolehan yang berbeza,
yang diambil dari tingkatan 4 hingga tingkatan enam sekolah menengah. Dengan itu, para
pelajar akan tamat pengajian dan boleh menyambung pengajian ke peringkat yang lebih
tinggi setahun lebih awal. Antara pentaksiran selama 3 tahun dalam HKDSE adalah aktiviti
membaca, kerja kursus, penyertaaan pelajar dalam kerja berkumpulan dan penyediaan kerja
projek. (HKDSE, 2009)


10

4.0 PERBANDINGAN DAN PERBINCANGAN
Secara keseluruhan, konsep dan cara pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
bagi Malaysia, Singapura dan Hong Kong mempunyai bentuk pentaksiran yang lebih kurang
sama tetapi menggunakan strategi dan pendekatan yang berbeza. Bagi negara Malaysia,
markah PBS bermula bagi tahun 1 sekolah rendah sehingga melangkah ke tahun 6 dan
menyumbangkan 40% ke dalam UPSR. PMR dimansuhkan dengan menggunakan seratus
peratus markah PBS manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih dikekalkan. Pentaksiran
penilaian dilakukan melalui pemerhatian semasa di dalam kelas,keupayaan dan kesungguhan
melaksanakan tugasan yang diberi dan penglibatan murid sesi soal jawab. Singapura juga
menjalankan PBS melalui pemerhatian di dalam kelas,komunikasi lisan, penulisan tugasan,
ujian dan tugasan penyiasatan. Markah menyumbangkan sebanyak 40% dan peperiksaan
PSLE. Negara Hong Kong pula memperuntukkan 15% markah PBS dalam peperiksaan
HKDSE (HKDSE, 2009). Kaedah pentaksiran pula merangkumi kerja kelas,amali ,potfolio
dan projek.Ini menunjukkan Malaysia, Singapura, dan Hong Kong masih mangamalkan
sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan tetapi masih melaksanakan PBS.
Ketiga-tiga negara ini menggalakkan pentaksiran yang bersifat formatif daripada
pentaksiran yang bersifat sumatif. Pentaksiran formatif di sini bermaksud satu pentaksiran
yang berterusan yang berlaku semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah
(Callingham, 2010) (Stiggins, 2005). Ia bertujuan memberikan maklum balas yang lebih tepat
dan segera mengenai pencapaian pelajar dan membantu meningkatkan pembelajaran mereka.
Walaubagaimanapun, pentaksiran sumatif masih dianggap penting dan digunapakai di
sekolah-sekolah di ketiga-tiga negara ini. Pentaksiran sumatif adalah pentaksiran yang
berlaku selepas selesai sesi pengajaran bertujuan untuk melihat hasil pembelajaran terhadap
setiap pelajar (Callingham, 2010). Dengan itu, ketiga-tiga negara masih melaksanakan
peperiksaan awam di setiap sekolah.
Dalam kelebihan menjalankan PBS di Malaysia, PBS juga mempunyai
kekurangannya. Antara kekurangannya ialah perlaksanaan PBS agak kompleks dan memakan
masa yang panjang selain memerlukan koordinasi dan kepimpinan yang sesuai dalam
mengendalikan PBS. Selain itu, faktor guru yang mempunayi tahap pengetahuan dan
kemahiran yang sederhana tinggi dalam melaksanakan PBS juga menyumbang kepada
kekangan ini. Masalah yang dihadapi oleh guru-guru ialah mereka tidak mempunyai masa
yang mencukupi untuk menyelia dan membimbing pelajar dan menganggap proses
11

melaksanakan pentaksiran mengganggu tugas-tugas yang lain (Noor Azreen Abd Aziz &
Sulaiman Yamin, 2010). Dengan adanya guru-guru yang terlatih, semua bentuk yang bersifat
alternatif dan tulen seperti kerja kursus, projek, persembahan, kegiatan jasmani, ko-
kurikulum, sahsiah, budi pekerti dan jati diri pelajar boleh dilaksanakan.

5.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKKAN PBS DI MALAYSIA
PBS di Malaysia masih terlalu baru. Oleh itu, langkah pertama untuk perlaksanaan PBS yang
sistematik adalah dengan memberikan pendedahan yang khusus buat para pendidik terutama
guru sekolah supaya mereka telah betul-betul memahami tujuan PBS dan cara
perlaksanaannya. Dengan itu, PBS dapat dijalankan dengan baik, konsisten dan berterusan
kerana mempunyai guru-guru yang berpengetahuan, berkemahiran dan sikap tanggungjawab
yang tinggi.
SBB yang diperkenalkan di Singapura adalah satu perlaksanaan yang baru di negara
itu dan boleh dicontohi dalam pendidikan di Malaysia. Ini kerana pelajar ditaksir mengikut
keupayaan sendiri mengikut subjek yang tertentu. Dengan mencontohi SBB ini, Malaysia
akan melahirkan pelajar yang mempunyai pengetahuan yang berkualiti bagi satu-satu subjek
daripada melahirkan pelajar yang mempunyai kuantiti subjek yang banyak tetapi kurang dari
segi kualitinya.
(Begun & Farooqui, 2008) dalam kajiannya telah menemukakan beberapa cadangan
bagi memastikan pentaksiran dijalankan dengan betul dan adil dan boleh dipraktikkan dalam
PBS di Malaysia. Beberapa cadangan mereka ialah:
pemantauan perlu dilakukan oelh penyelia akademik sekolah;
guru besar perlu mengadakan mesyuarat dan memeriksa rekod guru-guru setiap
penggal;
satu jawatankuasa perlu ditubuhkan di setiap sekolah bagi memeriksa rekod PBS
ibu bapa boleh membuat aduan kepada guru besar sekiranya mengesyaki anak-anak
mereka menjadi mangsa kepada guru;
guru besar perlu mengatur perjumpaan bersama ibu bapa selepas setiap penggal bagi
menyelesaikan segala aduan ibu bapa; dan
12

satu elemen bimbingan dan kaunseling boleh diperkenalkan untuk membantu guru-
guru yang mempunyai masalah dalam perlaksanaan PBS.
Dalam usaha untuk merealisasikan pentaksiran yang bercorak formatif seperti yang di
tekankan di Hong Kong, guru perlu memainkan peranan yang penting dalam merancang
strategi pengajaran dengan kawalan dari pihak atasan juga. Menurut Noor Azreen Abd Aziz
(2010), gambaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik dapat diberikan dengan
menggunakan pelbagai pentaksiran dalam bilik darjah. Antaranya ialah:
Pentaksiran prestasi yan mengkehendaki pelajar untuk mencipta sesuatu produk dan
merumuskan dengan kefahaman tentang konsep yang diajar
Pemerhatian guru terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti dan perlaksanaan tugas
dan merekodkannya
Pentaksiran untuk pembelajaran di mana guru berinteraksi dengan pelajar untuk
menilai kemajuan pelajar
Pentaksiran sendiri iaitu pelajar menilai sendiri kerja yang dilakukannya
Pentaksiran kerja kursus atau portfolio iaitu kerja pelajar merekodkan koleksi bahan-
bahan pembelajaran dalam cara yang teratur dan sistematik.
Yong & Sam (2008) dalam kajiannya mereka telah membuat kerangka kerja mengenai
perlaksanaan pentaksiran pemikiran matematik (Mathematical Thinking Assessment) yang
melibatkan empat kompenan: a) pentaksiran persembahan, b) skala penilaian metacognitif, c0
Pembawaan Skala Penilaian Matematik dan d) Pemikiran Matematik Rubrik Pemarkahan.
6.0 KESIMPULAN
Kesimpulanya, perlaksanaan PBS di Malaysia masih di tahap percubaan. Jika dibandingkan
dengan negara Singapura dan Hong Kong, masing-masing telah berjaya dalam usaha
menaiktarafkan sistem pentaksiran sekolah. Malah dalam akhbar BBC (British Broadcasting
Corporation), sistem pendidikan di Singapura dan Hong Kong dalam kedudukan ke-lima dan
ke-tiga di mata dunia (Coughlen, 2012). Walaupun kedua-duanya masih mengamalkan
penilaian markah untuk peperiksaan awam, tetapi dengan menyelitkan pemarkahan untuk
PBS, sistem pentaksiran menjadi lebih tepat dan adil.
Para guru harus percaya akan keberkesanan perlaksanaan PBS di sekolah ini bakal
merubah masa depan dan kualiti pembelajaran para pelajar. Pentaksiran yang dilaksanakan
13

berasaskan sekolah memberi peluang pelajar untuk tetap berkeyakinan bahawa mereka boleh
terus belajar pada tahap produktif sekiranya usaha berterusan untuk belajar dilakukan (Mok,
2009). Pelajar perlu dihargai oleh guru dan rakan sebaya dalam persekitaran pembelajaran
yang membina. Melalui pentaksiran juga, guru berupaya mengenalpasti kekuatan dan
kelemahan seseorang pelajar dan merancang tindakan susulan bagi mempertingkatkan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

7.0 RUJUKAN
Aziz, N. A., & Yamin, S. (2010). Pentaksiran Alternatif: Menuju ke Arah Transformasi
Sistem Pentaksiran di Malaysia. Fakulti Pendidikan: Universiti Tun Hussien Onn Malaysia.
Begun, M., & Farooqui, S. (2008). School Based Assessment: Will it Really Change the
Education Scenario in Bangladesh? International Education Studies , 1(2), 45-53.
Buku Panduan Pengurusan PBS di Malaysia (2011)
Callingham, R. (2010). Mathematics assessment in primary classrooms: Making it count.
Crown Conference (pp. 39-42). Melbrourne: Crown Conference Centre.
Coughlen, S. (2012, November 27). UK education sixth in global ranking. Retrieved Mac 20,
2013, from News Education & Family: http://www.bbc.co.uk/news/education-20498356
FU, T.-w., & NG, K.-m. (2012). Developement of Assessment Framework of Applied
Learning Subject in Hong Kong . Hong Kong: HKEAA.

Ghafar. (2011). Pembinaan dan Analisis Ujian Bilik Darjah (2nd ed.). Skudai: Penerbit UTM
Press.
HKDSE. (2009). Information on School-based Assessment. Hong Kong: HKEAA.
Kaur, B. (2005). Assessment of Mathematics in Singapore Schools. ICMI Regional
Conference (pp. 1-8). Shangai: ICMI.
Kementerian Pendidikan Singapura (2006). Primary Mathematics Syllabus. Singapura:
Perancangan Kurikulum dan Visi Pembangunan.
Mok, S. S. (2009). Falsafah dan Pendidikan di malaysia. Selangor: Multimedia Sdn. Bhd.
14

Sidek, S., Majid, N. A., Sah, N. E., Mohamed, H., & Hashim, M. N. (2012). The role of the
Teachers in School-Based Assessment of Vocational Electives Subjects at Sekolah Menengah
Kebangsaan Dato' Onn, Batu Pahat, Johor. Batu Pahat: Sekolah Menengah Kebangsaan
Dato' Onn.
Stiggins, R. (2005). From Formative Assessment to Assessment FOR Learning: A Path to
Success in Standard-Based Schools. Phi Delta Kappan , 87(4):324-328.
Yong, H. T., & Sam, L. C. (2008). Implementing School -Based Assessment: Mathematical
Thinking Assessment (MATA) Framework. In Koleksi Bahan Seminar Inovasi Pedagogi (pp.
73-88). Kuching: Institut Perguruan Batu Lintang.
Yu, W. M., Kennedy, K. J., Fok, P. K., & Chan, K. S. (2006). Assessment Reform in Basic
Education in Hong Kong: The emergence of Assessment for Learning. Annual Conference of
the International Association for Educational Assessment (pp. 1-12). Singapore: Quality
Education Fund.

You might also like