You are on page 1of 7

PENDEKATAN, KAEDAH, TEKNIK DAN STRATEGI

KONSEP STRATEGI
o Kebijaksanaan memilih pendekatan
o Kecekapan merancang kaedah dan teknik
o Berdasarkan objektif / hasil pembelajaran
o Terdapar 4 strategi iaitu
Berpusat guru
berpusatkan murid
Berpusatkan tugasan
Berpusatkan bahan

PENDEKATAN
o satu set teori pembelajaran yang beraksiomatik dan diamalkan dalam pengajaran
sesuatu mata pelajaran berdasarkan kepada objektifnya.

PENDEKATAN BERSEPADU
o gabungjalin ilmu,bahan yang interaktif,penerapan nilai

INDUKTIF
o dimulakan dengan contoh-contoh,kaji,perhati, analisis dan barulah dibuat
generalisasi

DEDUKTIF
o dimulakan dengan memberikan teori,hukum, fakta,konsep,diikuti dengan contoh-
contoh

EKLEKTIK
o gabungan antara induktif dan deduktif

TEMATIK
o mengajar sesuatu mengikut tema yang diberikan

KAEDAH & TEKNIK
o cara untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
Siri tindakan guru yang sistematik
Berlandaskan pendekatan
Cara capai objektif
Rancangan langkah-langkah yang akan digunakan

o Berikut adalah contoh kaedah dan teknik
-Pembelajaran Melalui Permainan
-Main Peranan
-Sumbangsaran
-Bercerita
-Perbincangan
-Pembelajaran Masteri
-Tematik





STRATEGI, PENDEKATAN, KAEDAH DAN TEKNIK

STRATEGI

Strategi boleh diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-
kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta
kemudahan secara optimum. Dalam proses pengajaran pula, seseorang guru biasanya
menggunakan gabungan beberapa pendekatan serta kaedah mengajar tertentu dalam
usaha untuk mencapai objektif-objektif pengajaran. Rancangan gabungan pendekatan
dan kaedah serta turutan pendekatan dan kaedah itu dilaksanakan merupakan strategi
pengajaran. Konsep strategi pula merupakan kebijaksanaan memilih pendekatan serta
kecekapan merancang kaedah dan teknik dalam satu- satu pengajaran berdasarkan
objektif pelajaran yang telah ditelah ditentukan.

Dalam pengajaran pendidikan Seni Visual pula, guru-guru perlu bijak menggunakan
strategi pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat pelajar. Guru-guru perlu
membuat perancangan yang rapi, sistematik dan kreatif supaya pembelajaran tidak
membosankan dan objektif pengajaran akan tercapai. Dalam membuat dan merancang
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual, guru-guru perlu
mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam tentang strategi-strategi pengajaran
dan pembelajaran. Hal ini bertujuan untuk membolehkan guru-guru menjalankan
pengajaran mereka dengan berkesan, manakala pelajar pula merasa seronok belajar
pendidikan seni.

Beberapa jenis strategi pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan seni visual
boleh digunakan oleh guru-guru untuk memastikan pelaksanaan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan dalam bilik darjah. Di antaranya ialah :
1. Pembelajaran masteri
2. Kajian masa depan
3. Konstruktivisme
4. Belajar cara belajar
5. Kecerdasan pelbagai
6. Pembelajaran akses kendiri
7. Kemahiran berfikir
8. Teknologi komunikasi dan maklumat (ICT)
9. Pembelajaran konseptual
10. Pembelajaran Kontekstual

Guru-guru perlu bijak memilih strategi yang sesuai dengan keadaan dan pengetahuan
sedia ada pelajar-pelajar dalam kelas mereka. Melalui pemilihan strategi yang sesuai,
pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan lancar, seronok dan objektif akan
tercapai dengan mudah dan berkesan. Penggunaan strategi yang sesuai membolehkan
pelajar-pelajar memahami isi pelajaran dengan mudah dan berkesan yang seterusnya
memberi kebaikan kepada guru dan pelajar

Selain itu, guru-guru juga boleh menggunakan strategi berikut dalam menyampaikan
pengajaran kepada pelajarnya. Strategi tersebut ialah:
1. Mencari jalan ke arah aktiviti yang berguna dan menyeronokkan yang
membolehkan pelajar berkongsi idea serta dapat bercakap mengenainya.
2. Memahami dan menghormati idea, penerangan dan pemahaman pelajar-pelajar
dengan cara mendengar, melihat dan memberi maklum balas.
3. Meninggalkan paradigma lalu dengan menyoal diri kita dan belajar daripada
mereka melalui cara yang berbeza.
4. Melihat dan mendekati pelajar-pelajar ketika mereka sedang menjalankan aktiviti
amali di samping membantu mereka secara individu atau kumpulan.
5. Berkongsi tentang apa yang telah pelajar-pelajar hasilkan melalui pendekatan dan
personaliti mereka sendiri.

Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika guru mengajar pelajar-
pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat
yang berbeza-beza. Guru perlu merancang pendekatan dan kaedah yang digunakan
untuk mengajar kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Guru perlu memikirkan
strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi
keperluan semua kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan
serta rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan bilik
darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan murid yang berbeza. Lantaran itu,
seseorang guru bukan sahaja mesti menguasai berbagai-bagai kaedah mengajar tetapi
lebih penting ialah bagaimana mengintegrasikan serta menyusun kaedah-kaedah itu
untuk membentuk strategi pengajaran yang lebih berkesan dalam pengajarannya.

PENDEKATAN

Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk
menuju ke sesuatu sasaran. Pendekatan pengajaran pula merupakan haluan atau aspek
yang digunakan untuk memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, mata
pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-
pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan pelajar, cara-
cara fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan
pengajaran mata pelajaran lain. Terdapat beberapa ciri-ciri pendekatan dalam
pengajaran yang telah lama diamalkan dalam sistem pendidikan ini. Ciri-ciri tersebut
ialah:
a. Daripada konkrit kepada abstrak
b. Daripada mudah kepada kompleks
c. Daripada keseluruhan kepada bahagian
d. Daripada umum kepada spesifik (deduktif)
e. Daripada spesifik kepada umum (induktif)
f. Daripada diketahui kepada belum diketahui

Manakala pendekatan-pendekatan pengajaran ini juga terbahagi kepada beberapa
bahagian. Antaranya
(i) Pendekatan pengajaran berpusatkan guru
(ii) Pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar
(iii) Pendekatan pengajaran berpusatkan bahan
(iv) Pendekatan induktif
(v) Pendekatan deduktif
(vi) Pendekatan inkuiri
(vii) Pendekatan masteri

Setiap jenis pendekatan itu mempunyai kaedah pelaksanaannya yang tersendiri. Bagi
pendekatan berpusatkan guru, mereka boleh menggunakan kaedah-kaedah seperti
syarahan, demonstrasi, bercerita serta pengajaran secara kelas. Pendekatan ini tidak
memberi peluang kepada palajar untuk mengambil bahagian dalam sesi P&P. Mereka
hanya mendengar sahaja apa yang disampaikan oleh guru. Manakala pendekatan
berpusatkan pelajar lebih menarik dan berkesan. Dalam pelaksanaannya, pelajar
berpeluang untuk mengambil bahagian serta memberi pendapat dan idea berkenaan
dengan topik yang dipelajari. Pendekatan ini lebih berkesan kerana pelajar dapat
menyampaikan apa yang ada dalam fikiran mereka. Antara pendekatan yang boleh
digunakan ialah pendekatan kumpulan, pendekatan individu, kaedah lawatan, kaedah
penyelesaian masalah, kaedah projek, simulasi dan bermain. Pelaksanaan pendekatan
ini membuatkan pelajar lebih seronok kerana mereka mengalami sendiri pengalaman
terlibat dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran itu.
Bagi pendekatan pengajaran berpusatkan bahan pula memerlukan guru untuk lebih
kreatif dalam mencari dan menggunakan bahan-bahan pengajaran untuk menarik
minat pelajar. Antaranya ialah melalui penggunaan sudut atau ruang bilik darjah,
bahan pengajaran guru dan bahan pembelajaran pelajar. Guru-guru boleh
menggunakan bahan-bahan seperti video, gambar, kertas mahjung, dan sebagainya
bagi membuka minda serta menarik perhatian pelajar dalam menyampaikan isi
pelajaran. Melalui tayangan video contohnya, pelajar-pelajar akan berfikir mengenai
isi kandungan yang cuba disampaikan oleh guru mereka pada hari berkenaan.

Selain itu, pendekatan induktif, deduktif, inkuri dan masteri pula mempunyai maksud
yang tersendiri. Keempat-empat pendekatan itu dapat diterjemahkan sebagai:
(a) Pendekatan induktif merupakan satu proses penaakulan yang tinggi di mana
pelajar-pelajar tidak diajar sesuatu bahan pengajaran itu secara langsung, mereka
hanya diberitahu berhubung hal-hal berkaitan dengan pelajaran tersebut.
(b)Pendekatan deduktif merupakan satu pendekatan mengajar murid kepada hukum-
hukum tertentu dengan mengaplikasikan peraturan-peraturan yang telah diberikan
untuk menuju ke suatu fakta.
(c)Pendekatan inkuiri- pelajar akan menjalankan penyelidikan tentang masalah yang
hendak diselidiki. guru membimbing pelajar untuk mengutarakan soalan yang
jawapannya boleh diperolehi melalui aktiviti yang telah pun dirancang sebelumnya.
(d)Pendekatan masteri- ujian diagnos dijalankan untuk memastikan pelajar menguasai
sepenuhnya isi pelajaran, kemahiran atau sikap yang dinyatakan dalam objektif.



KAEDAH DAN TEKNIK

Menurut Kamus Dewan, kaedah bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu),
hukum atau prinsip. Sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang
sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat. Kaedah pengajaran pula
terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan tertentu.
Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan
perubahan tingkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang yang lain. Lantaran itu,
kaedah-kaedah pengajaran ini terbahagi kepada beberapa jenis. Ianya merangkumi:
Kaedah terus
Kaedah semulajadi
Kaedah askar atau tentera
Kaedah ajuk-hafaz
Kaedah linguistik
Kaedah oral-aural
Kaedah terjemahan
Kaedah psikologi
Kaedah kod-kognitif
Kaedah khusus

Menurut Salleh Mohd Akib (1975), kaedah terus ialah kaedah pengajaran secara
perbualan untuk memperkenalkan bahasa kedua kepada kanak-kanak. Menurut
Kamarudin Hj. Husin (1988), kaedah ini mengutamakan prinsip mengajar
berdasarkan psikologi pelajar. Kaedah ini disampaikan berdasarkan empat perkara
asas iaitu:
Perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan
fikiran atau sebaliknya.
Pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman sedia ada.
Timbulkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah
dirancangkan.
Mengutamakan bahasa lisan, tidak mempelajari undang-undang tentang bahasa
yang hendak dipelajari, mengutamakan sebutan yang betul, ulangan dan pengukuhan
harus dibanyakkan, dan mempelajari sesuatu yang mudah sebelum sesuatu yang
kompleks.

Kaedah Semulajadi pula hampir sama dengan kaedah Terus. Pengajaran dimulakan
dengan soalan-soalan yang berhubung dengan objek dan gambar. Perkataan-perkataan
yang baru diterangkan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang telah
diketahui oleh murid. Terjemahan tidak langsung digunakan dalam kaedah ini.
Manakala Kaedah Oral-Aural pula merupakan kaedah mendengar dan kemudiannya
bertutur dengan menggunakan dialog untuk dihafaz dan diikuti secara ajukan. Latih
tubi dan dialog dijalankan dalam cara yang realistic dengan memberi perhatian
kepada intonasi yang betul. Seterusnya kaedah Linguistik yang membolehkan murid-
murid menggunakan bahasa yang telah diketahuinya untuk mempelajari bahasa baru
dari segi bunyi. Aktiviti dimulakan dengan latihan pendengaran yang kemudiannya
diikuti oleh aktiviti menyebut. Pengajaran tatabahasa dilakukan mengikut pendekatan
Induktif (Kamarudin Hj. Husin,1988).

Manakala teknik pengajaran pula adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang
terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru tidak dapat menguasai teknik-
teknik yang terdapat dalam sesuatu kaedah, kemungkinan matlamat kaedah itu tidak
akan berhasil. Terdapat pelbagai teknik yang boleh diamalkan oleh seoarang guru
dalam sesi P&P. antaranya ialah:
Teknik main peranan
Teknik permainan bahasa
Teknik latih tubi
Teknik bercerita
Teknik inkuiri
Teknik perbahasan
Teknik kuiz
Teknik sumbangsaran
Teknik soal jawab
Teknik simulasi
Teknik drama
Teknik perbincangan

Bagi teknik perbincangan, ianya berbentuk perbualan dan dilakukan dalam kalangan
pelajar di bawah penyeliaan dan kawalan guru. Teknik brainstorming ialah teknik
yang berbentuk perbincangan yang mana pelajar digalakkan untuk berfikir secara
kreatif dan aktif bagi menghuraikan pendapatnya. Seterusnya teknik soal jawab yang
merupakan teknik yang kerap digunakan oleh guru. Ia mewujudkan interaksi antara
guru dengan pelajar-pelajarnya. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru
bertanyakan soalan dan pelajar akan menjawab soalan tersebut. Setiap soalan yang
ditanya mempunyai aras kesukaran yang tertentu. Bagi teknik main peranan pula,
ianya melibatkan gambaran-gambaran pelajar terhadap sesuatu situasi atau keadaan
dan melakonkannya tanpa sebarang bantuan skrip. Hal ini berlaku secara spontan
yang mana pelajar-pelajar perlu bijak dalam memainkan peranan mereka semasa sesi
ini berlangsung.

Teknik bercerita pula membawa maksud guru memilih cerita yang sesuai dengan
pelajar dan isi pengajaran yang hendak disampaikan. Guru bercerita dalam keadaan
yang selesa dan berikan penekanan kepada aspek-aspek bahasa yang hendak diajarkan.
Manakala teknik tunjuk cara sesuai digunakan terutama dalam proses pengajaran yang
memerlukan pelajar bertutur dengan menggunakan ayat-ayat yang betul dan sempurna.
Di samping menunjuk cara, pelajar-pelajar juga diminta untuk menerangkannya
melalui bahasa yang baik. Sebelum pelajar menunjuk cara, guru perlulah
menerangkan maksud tunjuk cara tersebut dan perkara-perkara yang harus dicakapkan.
Seterusnya adalah teknik penyelesaian masalah di mana teknik ini dilaksanakan di
bawah penyeliaan guru. Pelajar-pelajar diberi masalah dan cuba menyelesaikan
masalah tersebut. Teknik latih tubi pula merupakan pengulangan fakta-fakta yang
telah dipelajari. Tujuannya adalah untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran
tersebut dan di samping untuk menjamin pengekalannya. Teknik terakhir ialah teknik
permainan bahasa iaitu guru membentuk satu situasi yang memerlukan pelajar
menggunakan bahasa yang ada pada mereka untuk menyelesaikan tugas-tugas
permainan yang diberi.

Rumusan :
Terdapat pelbagai kaedah, pendekatan, teknik serta strategi yang boleh
diaplikasikan oleh guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di
sekolah. Para guru seharusnya bijak menggunakan kemahiran mengajar berpandukan
elemen-elemen tersebut untuk menarik minat pelajar untuk menimba ilmu
pengetahuan seperti yang terdapat dalam sukatan pelajaran yang ditetapkan. Para guru
juga seharusnya memainkan peranan penting dalam menyusun proforma atau
rancangan pengajaran supaya setiap sukatan dipelajari oleh pelajar dengan jayanya.
Hal ini bermakna para guru tidak seharusnya hanya mengajar bermatlamatkan untuk
menghabiskan silibus semata tanpa menghiraukan hasil yang diterima pelajar.
Seharusnya, sukatan pelajaran perlu dihabiskan seiring dengan pelajar dapat
memahami dan menjadi pakar dalam setiap silibus yang telah dipelajari.
Para guru juga seharusnya bijak mengawal atau mengetahui keadaan serta
keperluan semasa pelajar agar proses pengajaran dan pembelajaran tidak akan
dilaksanakan dalam keadaan bosan. Para guru seharusnya menggunakan kemudahan
teknologi seperti pertunjukan video, atau memasang lagu diawal kelas dan
penghujung kelas agar murid tidak merasa bosan dan supaya mereka berasa seronok.
penggunaan alat teknologi ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar untuk berfikir
lebih kreatif dan mengasah bakat mereka untuk berkarya lebih dinamik dan tidak
terikat dengan teknik atau hasil yang sama. Kesimpulannya, para guru seharusnya
mengaplikasikan setiap teknik, pendekatan, kaedah mahupun strategi yang terkini dan
berkesan untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan
demi mencapai matlamat yang terkandung dalam dasar pendidikan negara.

You might also like