You are on page 1of 2

Dewasa ini kita sering didedahkan dengan pelbagai masalah salah laku pelajar.

Antaranya ialah
gejala ponteng sekolah dan ponteng kelas yang semakin meruncing di negara kita. Ponteng
merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Seseorang pelajar
dianggap memonteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang dibenarkan pada
hari-hari persekolahan. Sejak akhir-akhir ini masalah ini didapati semakin menjadi-jadi dan
telah sampai ke peringkat yang agak serius. Pihak media juga sering menyiarkan berita tentang
masalah ini sehingga pada masa ini pihak guru serta ibu bapa berasa sesuatu tindakan yang
tegas perlu dilakukan segera sebelum gejala negatif ini sampai ke peringkat yang lebih kronik
lagi. Menurut laporan yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, peratus pelajar
yang terbabit dengan gejala ponteng didapati semakin meningkat dari semasa ke semasa
terutama bagi sekolah-sekolah di kawasan bandar. Berikut adalah beberapa artikel daripada
akhbar Utusan Malaysia yang berkaitan dengan gejala ponteng.
Artikel 1
Artikel 2
Artikel 3

Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan para pelajar terlibat dengan gejala ponteng.
Faktor yang pertama ialah faktor sekolah dan faktor yang kedua ialah faktor luar sekolah.
Faktor luar sekolah pada kebiasaannya di luar kawalan sekolah untuk menanganinya.
Sungguhpun begitu, disamping tugas kita memberi tumpuan kepada faktor di dalam sekolah
usaha yang lebih berkesan kepada kedua-dua faktor tersebut perlu dilakukan supaya masa
depan generasi pelajar kita lebih baik.

Jika dilihat faktor yang pertama iaitu faktor sekolah, antara punca pelajar ponteng yang
dikenal pasti ialah kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah. Keadaan ini
mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran kita yang banyak memberikan
tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti mata pelajaran
sejarah, geografi, pendidikan Islam dan sebagainya. Di samping itu, pelajar juga kurang
berminat kerana mereka mungkin tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna
kerana ketinggalan akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan
berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan dengan
pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah berputus asa. Mereka kebanyakannya
datang ke sekolah semata-mata kerana menurut kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap
ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar akibat tidak dapat memberikan saingan
kepada rakan-rakan pelajar yang lebih cerdas.

Selain daripada faktor dalam sekolah, faktor luar sekolah juga boleh mempengaruhi pelajar
untuk ponteng. Antaranya pelajar ponteng mungkin kerana mereka lebih mementingkan
keseronokan daripada pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di kalangan pelajar yang ponteng
dengan tujuan untuk melepak atau berkumpul di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan
video, dan taman-taman rekreasi. Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk
menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang
membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan. Pelajar seperti ini juga tidak mempunyai
kesedaran tentang kepentingan pelajaran bagi menjamin masa depan mereka. Oleh itu, mereka
lebih mengutamakan unsur-unsur hiburan yang tidak terdapat di sekolah.

Terdapat juga para pelajar yang memberikan alasan yang tidak munasabah seperti takut
didenda, guru yang garang, malu, dan sebagainya. Pelajar yang berkenaan mengambil
keputusan untuk ponteng kerana mereka takut didenda kerana tidak sempat menyiapkan kerja
sekolah mereka yang diberikan oleh guru. Terdapat juga pelajar yang datang lewat lalu
mengambil keputusan untuk ponteng kerana takut didenda kerana kesalahan mereka itu.

Pelajar yang berasa malu sekiranya didenda dan dimarahi guru itu biasanya akan ponteng dan
bersembunyi atau melepak di kawasan-kawasan yang sukar dikesan. Kumpulan pelajar ini juga
menyalahkan pihak sekolah yang mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan
hukuman yang pada pendapat mereka terlalu berat bagi kesalahan yang kecil.

Biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan
kesalahan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan kepada
waris atau ibu bapa itu kadang-kadang tidak mendapat respon yang diharap-harapkan. Ibu bapa
yang terlalu sibuk dengan urusan harian mereka tidak dapat hadir untuk berbincang dengan
pihak sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga
pelajar yang berkenaan langsung tidak mengambil berat akan hal-ehwal anak-anak mereka.
Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan untuk terus
memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya. Oleh itu bolehlah
dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak mengambil berat akan amaran pihak sekolah turut
menyumbang ke arah masalah ini.

Selain itu, terdapat juga pelajar yang ponteng kerana bekerja secara sambilan. Oleh sebab
taraf ekonomi keluarga yang rendah, terdapat pelajar yang bekerja secara sambilan sebagai
kedi di padang golf, dan tidak kurang pula yang bekerja sebagai buruh di tapak binaan. Malah
masih ramai di kalangan pelajar yang bekerja secara sambilan di pasar raya dan mereka terlalu
keletihan sehingga tidak berdaya untuk bangun awal terutamanya yang bekerja pada waktu
malam.

Sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan kadar segera, peratus pelajar ponteng pasti akan
meningkat dan akan menggugat cita-cita pihak kerajaan untuk mewujudkan rakyat yang
berpendidikan tinggi, cerdas, dan pintar. Sekali gus masalah ini akan membantutkan kemajuan
negara kita. Peranan ibu bapa, pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan amat penting untuk
memastikan gejala ini tidak berterusan sehingga menjadi lebih serius.
http://sitiazami.blogspot.com/2009/11/gejala-pelacuran-di-kalangan-pelajar.html

You might also like