You are on page 1of 21

Bahagian Dua: Ayat

34 34
BAB 7
AYAT MAJMUK

Ayat majmuk terbahagi kepada tiga subgolongan iaitu:

7.1 AYAT MAJMUK GABUNGAN
Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang
dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut
dengan kata hubung antaranya seperti, dan, atau, tetapi dan sebagainya.
Contoh Ayat:
(i) Murid-murid berlari dan bernyanyi.
(ii) Abdullah kurus tetapi kakaknya gemuk.
(iii) Puan hendak ke sekolah atau ke pejabat?

Ayat majmuk gabungan juga boleh disambungkan tanpa kata hubung; kelihatan
bahawa ayat-ayat yang digabungkan itu dalam bentuk tulisan dipisahkan oleh tanda
baca (,). Apabila ini berlaku, nada suara berfungsi sebagai penanda, iaitu di
suarakan sebagai deretan penyataan.

Contoh Ayat :
(i) Aminah berdiri tegak, memerhatikan gerak-geri mereka.
(ii) Penari-penari itu sungguh santun, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan.

7.1.1 Pembentukan Ayat Majmuk Gabungan
Ayat majmuk gabungan merupakan contoh ayat majmuk yang dibentuk dengan
menggunakan kata hubung seperti, dan, lalu, lagi, serta, dan sebagainya. Contohnya
:
(i) Mira membaca buku dan Azizah menulis karangan.
(ii) Mereka bangun lalu turun ke serambi.
(iii) Menteri itu banyak pengalaman lagi besar pengaruhnya.
1. Ayat Majmuk Gabungan
2. Ayat Majmuk Pancangan
3. Ayat Majmuk Campuran

Bahagian Dua: Ayat


35 35








JADUAL 1

Ayat majmuk gabungan terdiri daripada (ayat 1) dengan (ayat 2) melalui kata
hubung.
Pembentukan ayat majmuk gabungan berdasarkan ayat Mira membaca buku dan
Azizah menulis karangan. Dapat dilihat seperti rajah 2 di bawah :













JADUAL 2

Kata hubung dalam ayat satu hingga ayat tiga di atas letaknya antara dua ayat yang
dihubungkan dan tidak berpihak kepada mana-mana ayat. Tugas kata hubung untuk
menghubungkan ayat-ayat dan menjadikannya satu ayat yang lebih besar.

7.1.2 Kesalahan Lazim dalam Ayat Majmuk Gabungan
(i) Ali pandai bermain bola dan Ali pandai bermain hoki.
Sekiranya ayat yang digabungkan itu mempunyai unsur yang sama dan
diulang maka bahagian yang sama itu boleh digugurkan. Iaitu:
Ayat
Ayat 1 Kata hubung Ayat 2
Ayat
Ayat 1 Kata hubung
Ayat 2
Mira membaca buku
dan Azizah menulis karangan

Bahagian Dua: Ayat


36 36
Ali pandai bermain bola dan hoki.

(ii) Tetamu itu tiba, lalu naik ke pentas.
Ayat yang sepatutnya tidak perlu diletakkan tanda (,).
Tetamu itu tiba lalu naik ke pentas.

Ayat-ayat tersebut biasanya tidak boleh dicampurkan jenisnya

Ayat-ayat yang dihubungkan adalah dari jenis yang sama

(i) Puteri rajin belajar dan tidur!
Ayat di atas tidak gramatis kerana ayat-ayat daripada ayat penyata, ayat
perintah atau tanya tidak boleh dicampuradukkan jenisnya.

(ii) Amin bermain bola dan adiknya bermain guli.
Amin bermain bola dan sekolah itu terbakar.
Ayat terbitan yang merupakan ayat-ayat yang digabungkan dengan kata
hubung dan perlu mempunyai hubungan makna untuk menjadikan ayat-ayat
tersebut gramatis.

(iii) Pada cuti sekolah yang lalu saya melawat datuk di kampung.
Pada cuti sekolah yang lalu saya melawat nenek di kampung.
Pada cuti sekolah yang lalu saya melawat pak cik di kampung.
Pada cuti sekolah yang lalu saya melawat mak cik di kampung.
Pada cuti sekolah yang lalu saya melawat saudara-mara di kampung.

Lima ayat tunggal di atas boleh dijadikan satu ayat majmuk dengan
menggugurkan empat frasa yang berulang-ulang iaitu Pada cuti sekolah yang lalu
saya melawat. Kehadiran dan yang berulang-ulang boleh dihilangkan.

(iv) Ibu memasak dan ayah membaca akhbar dan abang mendengar radio.
Sepatutnya Ibu memasak, ayah membaca akhbar dan abang mendengar
radio.
Hukumnya, kehadiran kata hubung dan yang berulang-ulang boleh
digugurkan.


Bahagian Dua: Ayat


37 37

7.1.3 Rumus
* Ayat majmuk gabungan ditandai dengan penggunaan kata hubung bagi
menghubungkan ayat satu dengan ayat dua untuk membentuk satu ayat majmuk
gabungan.
* Penggunaan (,) boleh menggabungkan dua ayat untuk membentuk ayat majmuk
gabungan.

7.1.4 Latihan Pengukuhan
7.1.4.1 Mengenal Pasti Kesalahan dan Membetulkan Kesalahan
Bil Ayat Kesalahan

Ayat yang betul
1 Kalau sekiranya perut anda
selalu sakit, minumlah air
halia.

Ayat ini salah kerana kata
hubung kalau dan sekiranya
yang digunakan secara
berturutan, kerana kedua-
duanya mempunyai fungsi dan
maksud yang sama.
Kalau perut anda selalu
sakit, minumlah air halia.
atau
Sekiranya perut anda
selalu sakit, minumlah air
halia.

2

Adik mengambil makanan
apabila menggunakan
sudu.

Penggunaan kata hubung
apabila kurang tepat.
Sepatutnya kata hubung
dengan digunakan iaitu kata
hubung yang menunjukkan
keterangan cara.
Adik mengambil makanan
dengan menggunakan
sudu.
3 Bila terbau masakan itu,
saya berasa lapar.
Ayat ini salah kerana bila ialah
kata tanya. Kata hubung yang
tepat ialah apabila yang
menunjukkan keterangan
masa.
Apabila terbau masakan
itu, saya berasa lapar.
4

Rakyat Malaysia sekarang
tidak lokek berbelanja lebih
supaya menikmati hidangan
berkualiti.
Ayat ini salah kerana kata
hubung supaya menunjukkan
keterangan harapan. Kata
hubung yang betul ialah untuk
yang menunjukkan keterangan
tujuan.
Rakyat Malaysia sekarang
tidak lokek berbelanja lebih
untuk menikmati hidangan
berkualiti.
5

Rumah berwarna biru itu
rumah Pegawai Daerah
Kota Setar.
Ayat ini salah kerana dalam
ayat tersebut perlu ada yang
untuk menjadikannya
bermakna.
Rumah yang berwarna
biru itu rumah Pegawai
Daerah Kota Setar.




Bahagian Dua: Ayat


38 38
7.1.5 Menentukan Ayat yang Betul dan Salah
Bil Ayat Betul/Salah
1 Dia berniaga setiap hari kecuali pada hari Ahad.
2 Abangnya rendah sahaja tetapi adiknya tinggi sekali.
3 Sementara Lina dahaga, minumlah air mineral.
4 Kamal bukan sahaja bijak malahan berbudi luhur.
5 Mira melambaikan tangannya dengan tersenyum.
6 Orang itu tidak menjawab melainkan menangis teresak-esak.
7 Dia mengajak kita bekerja sebaliknya dia pula yang bermain-main.
8 Sila bawa buku, pensel manakala pemadam.
9 Razi bangun lalu bersalaman dengan tetamu itu.
10 Bayi itu ketakutan maka dia menangis.

7.2 AYAT MAJMUK PANCANGAN
Ayat majmuk pancangan ialah ayat yang terdiri daripada satu ayat induk dan sama ada satu
atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan dalam ayat induk dan menjadi sebahagian
daripada ayat induk itu.

7.2.1 Jenis-jenis Ayat Majmuk Pancangan
Dalam bahasa Melayu ada tiga jenis ayat majmuk pancangan, iaitu ayat relatif, ayat
komplemen, dan ayat keterangan.

7.2.2 Ayat Relatif
Ayat relatif ialah ayat yang terhasil daripada gabungan dua ayat dengan
menggunakan kata yang. Contohnya:
(i) Orang yang datang itu adik saya.
(ii) Kakak membeli baju yang berwarna merah.
(iii) Kereta api yang menuju ke utara itu terkandas di Ipoh.
Ayat tersebut asalnya terdiri daripada:
(i) Orang itu datang.
Orang itu adik saya.
(ii) Kakak membeli baju.
Baju itu berwarna merah.
(iii) Kereta api itu menuju ke utara.
Kereta api itu terkandas di Ipoh.

Bahagian Dua: Ayat


39 39
7.2.3 Ayat komplemen
Ayat komplemen ialah ayat-ayat yang digabungkan dengan kata hubung komplemen
iaitu bahawa dan untuk. Contohnya:

Ayat Majmuk Ayat Tunggal
Dia mengetahui bahawa Suhaimi telah
pergi.
Dia mengetahui. (sesuatu)
Suhaimi telah pergi.
Penduduk kampung menyedari bahawa
nasib mereka terancam.
Penduduk kampung menyedari. (sesuatu)
Nasib mereka terancam.
Untuk dia lulus dalam ujian itu amatlah
sukar.
Perkara itu amatlah sukar.
Dia lulus ujian.
Tidaklah mudah untuk kita mencapai
kejayaan.
Perkara itu tidaklah mudah.
Kita mencapai kejayaan.

7.2.4 Jenis-jenis Ayat Komplemen
Terdapat tiga jenis ayat komplemen iaitu ayat komplemen frasa nama, ayat komplemen
frasa kerja, dan ayat komplemen frasa adjektif.

7.2.4.1 Ayat Komplemen Frasa Nama
Frasa nama boleh menduduki empat tempat dalam ayat iaitu sebagai subjek, predikat, objek
tepat dan objek sipi. Namun demikian ayat jenis ini hanya menduduki dua tempat sahaja
iaitu sebagai frasa nama subjek dan objek tepat.
Contoh:
(i) Bahawa rancangan itu gagal tidak benar. (frasa nama subjek)
(ii) Guru menjelaskan bahawa peperiksaan itu akan berlangsung pada bulan hadapan.
(frasa objek tepat)

7.2.4.2 Ayat Komplemen Frasa Kerja
Frasa kerja dalam ayat boleh terdiri daripada kata kerja tak transitif iaitu yang diikuti bukan
oleh frasa nama objek tetapi oleh keterangan lain yang bertujuan melengkapkan frasa
tersebut. Contoh:
(i) Kerajaan bersetuju bahawa projek itu wajar dilaksanakan.
(ii)Ibu Ali beranggapan bahawa anaknya telah berjaya.

7.2.4.3 Ayat Komplemen Frasa Adjektif
Frasa adjektif boleh menjadi unsur predikat sesuatu ayat. Namun demikian, ayat komplemen
adjektif boleh terdiri daripada ayat komplemen adjektif iaitu yang merupakan ayat kecil yang
dipancangkan ke dalam ayat induk. Walau bagaimanapun jumlah ayat jenis ini dalam
bahasa Melayu terhad.

Bahagian Dua: Ayat


40 40
Contoh:
(i) Saya sangat yakin bahawa dia akan berjaya.
(ii) Mereka sangat insaf bahawa mereka sangat daif.

7.2.5 Ayat Keterangan
Ayat keterangan ialah ayat yang terdiri daripada satu ayat induk dan satu ayat kecil atau
lebih yang berfungsi sebagai keterangan kepada predikat. Ayat majmuk pancangan
keterangan terdiri daripada 9 jenis seperti yang berikut:
Keterangan musabab
Keterangan syarat
Keterangan akibat
Keterangan waktu
Keterangan pertentangan
Keterangan harapan
Keterangan cara
Keterangan tujuan
Keterangan perbandingan

Contoh ayat keterangan adalah seperti yang berikut:
Ayat Majmuk Ayat Tunggal Catatan
Saya tidak dapat hadir kerana
saya kurang sihat.
Saya tidak dapat hadir.
Saya kurang sihat.
Keterangan
musabab
Andai kata musuh menyerang kita
akan bertahan bermati-matian.
Musuh menyerang.
Kita akan bertahan bermati-matian.
Keterangan
syarat
Budak itu bersorak hingga serak
tekaknya.
Budak itu bersorak.
Serak tekaknya.
Keterangan
akibat
Mereka tiba setelah mendapat
maklumat tentang kejadian itu.
Mereka tiba.
Mereka mendapat maklumat
tentang kejadian itu.
Keterangan
waktu
Sungguhpun badannya letih, dia
tetap menghadiri majlis itu.
Badannya letih.
Dia tetap menghadiri majlis itu.
Keterangan
pertentangan
Kita mesti bertolak ansur agar
semua pihak berpuas hati.
Kita mesti bertolak ansur.
Semua pihak berpuas hati.
Keterangan
harapan
Ramlan memecahkan rumah itu
dengan menggunakan besi.
Ramlan memecahkan rumah itu.
Ramlan menggunakan besi.
Keterangan cara
Dua atom hidrogen dan satu atom
oksigen bergabung bagi
membentuk satu molekul air.
Dua atom hidrogen dan satu atom
oksigen bergabung.
Gabungan ini membentuk satu
molekul air.
Keterangan
tujuan
Dia kebingungan bagai rusa
masuk kampung.
Dia kebingungan.
Rusa masuk kampung.
Keterangan
perbandingan



Bahagian Dua: Ayat


41 41
7.2.6 Kesalahan Lazim Penggunaan Ayat Majmuk Pancangan
Terdapat beberapa jenis kesalahan yang telah dikenal pasti dan sering kali dilakukan oleh
murid. Antaranya :-
(a) Penggunaan perkataan yang sebagai kata komplemen. Contohnya:
(1) Dia mengetahui yang Ahmad telah pergi.
(2) Penduduk kampung itu menyedari yang nasib mereka terancam.
Nota: Ayat-ayat di atas tidak boleh diterima sebagai bahasa persuratan kerana tiap-
tiap satu ayat di atas terdiri daripada dua ayat iaitu satu ayat induk dan satu ayat
komplemen yang dipancangkan seperti berikut:-
(1) Dia mengetahui bahawa Ahmad telah bersara.
(a) Dia mengetahui (sesuatu)
(b) Ahmad telah bersara.
Kata komplemen: bahawa

(2) Penduduk kampung itu mengetahui bahawa nasib mereka terancam.
(a) Penduduk kampung itu menyedari (sesuatu)
(b) Nasib mereka terancam.
Kata komplemen: bahawa

(b) Penggunaan bahawa pada permulaan ayat.
Disebabkan kekurangan pengetahuan dan pendedahan tentang kehadiran kata komplemen
bahawa pada permulaan ayat,maka kehadiran perkataan ini sering kali dianggap salah.
Contoh:
(i) Bahawa Islam menjamin keadilan memanglah jelas.
(ii) Bahawa setiap peserta akan menerima hadiah adalah muktamad.
Nota: Kehadiran perkataan bahawa boleh diterima pada permulaan ayat sebagai kata
komplemen jenis frasa nama subjek.
(c) Penggunaan untuk pada permulaan ayat. Contoh:
(i) Untuk Ali melakukannya sangat sukar.

Bahagian Dua: Ayat


42 42
(ii) Untuk dia lulus ujian itu amatlah senang.
Nota: Kehadiran untuk pada permulaan ayat boleh diterima sebagai ayat komplemen jenis
frasa nama subjek.
(d) Penggunaan yang pada permulaan ayat.
Contoh: (i) Yang tinggi itu bangunan Bank Bumiputera.
(ii) Yang berjuang menentang Malayan Union dahulu itu sentiasa dikenang.
Nota: Kehadiran yang pada permulaan ayat adalah tidak salah kerana dalam bahasa
Melayu, perkataan yang bukan sahaja digunakan sebagai penanda relatif tetapi digunakan
juga sebagai pengganti nama yang digugurkan daripada frasa nama + yang.

7.2.7 Rumus
BIL JENIS AYAT MAJMUK
PANCANGAN (AMP)
KATA HUBUNG
1 AMP Relatif yang
2 AMP Komplemen bahawa, untuk
3 AMP keterangan
(a) Musabab

kerana, lantaran, oleh sebab
(b) Akibat hingga, sehingga
(c) Syarat sekiranya, andai kata, jikalau, jika, kalau
(d) Waktu sejak, semenjak, setelah, sewaktu, sementara,
tatkala, ketika
(e) Pertentangan walaupun, meskipun, kendatipun, biarpun, walau
bagaimanapun, namun sekalipun, sedangkan.
(f) Harapan supaya, agar, semoga, moga-moga, kalau-kalau.
(g) Cara dengan
(h) Tujuan untuk, demi, bagi
(i) Perbandingan macam, seolah-olah, seakan-akan, ibarat,
bagaikan, bak.











Bahagian Dua: Ayat


43 43
7.2.8 Latihan Pengukuhan
Latihan 1
Kenal pasti dan garisi kata hubung yang terdapat dalam ayat majmuk pancangan di bawah.

1. Orang itu menafikan bahawa barang-barangnya telah hilang.
2. Sekiranya saya lulus peperiksaan ini, saya akan berpuasa sepuluh hari.
3. Andai kata mereka menyerang, kita akan bertahan bersungguh-sungguh.
4. Lelaki yang berbaju biru itu ialah abang saya.
5. Pemimpin-pemimpin itu akan terus berjuang jika mereka mendapat sokongan rakyat.
6. Sungguhpun badannya letih, Ali tetap menghadiri majlis perayaan itu.
7. Kita mestilah bertolak ansur agar semua pihak berpuas hati.
8. Hatinya hancur seperti kaca terhempas ke batu.
9. Kanak-kanak itu mencebik bibirnya seakan-akan hendak menangis.
10. Mereka menyatakan bahawa mereka tetap akan memulaukan majlis itu.
11. Adalah mustahil untuk Ayu melanjutkan pelajaran ke luar negara.
12. Banjir besar berlaku setelah hujan lebat turun selama dua jam.
13. Beliau yang baru bertugas di sekolah ini telah dilantik sebagai guru penolong kanan.
14. Cuba bertanya pada orang tua itu kalau-kalau dia hendak mengikut mereka ke
Pulau Pangkor.
15. Dengan memberanikan hati, pasukan polis itu telah menyerbu tempat
persembunyian pengganas.
16. Mereka ke sekolah untuk mendalami ilmu pengetahuan.
17. Budak yang menolong saya itu baik hati.
18. Masyarakat Malaysia harus menyedari bahawa menjaga kesihatan itu amat penting.
19. Anak kecil itu menangis kerana dia lapar.
20. Tatkala hujan mula turun, emak masih di sawah.
21. Saya belum berkunjung ke rumah Amin semenjak ia berpindah ke sana.
22. Pemuda itu datang dengan menaiki kereta api.
23. Demi menyatukan rakyat yang berbilang kaum, sebuah jabatan khusus telah
ditubuhkan.
24. Rumah yang besar itu milik Datuk Rosman.
25. Jika diizinkan Tuhan, kami akan datang lagi pada tahun hadapan.
26. Ariff sedar bahawa dia perlu taat kepada kedua-dua orang tuanya.
27. Mustafa tidak menghadiri majlis itu kerana badannya tidak sihat.
28. Banyak orang melawat masjid yang baru siap dibina itu.
29. Agak sukar untuk Datuk Azmi memenangi pilihan raya kecil itu.
30. Sungguhpun Amri anak orang berada, dia tidak sombong.

Bahagian Dua: Ayat


44 44
Latihan 2
Garisi kesalahan kata hubung yang terdapat dalam ayat majmuk pancangan di bawah. Tulis
kata hubung yang sesuai pada ruang yang disediakan.
BIL AYAT JAWAPAN
1 Mereka hidup senang-lenang bahawa mereka bekerja
dengan tekun.

2 Banjir besar berlaku walaupun hujan lebat turun selama dua
jam.

3 Tatkala murid itu tekun belajar, dia telah mencapai kejayaan
yang cemerlang.

4 Mereka sampai kalau majlis sudah tamat.
5 Walaupun Pak Rahman berusia 17 tahun, ibu bapanya
meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.

6 Azlan menjelaskan yang dia ialah anak orang kaya itu.
7 Dia yang kelihatan itu masih terbaring di bawah pokok
walaupun kawan-kawannya telah masuk ke padang.

8 Ayah memberitahu Zahid agar mereka terpaksa bermalam di
rumah kawannya.

9 Encik Hassan berjaya menjawat jawatan ini hingga dia
berpelajaran tinggi.

10 Dengan cuaca baik, perlawanan bola itu akan berjalan lancar.
11 Untuk bulan jatuh ke riba, maka cerahlah masa depanku.
12 Mereka datang ke sekolah demi menunggang motosikal.
13 Mak Munah berdoa untuk anaknya selamat di perantauan.
14 Pesakit itu berusaha mengubati penyakit kulitnya tatkala
sembuh.

15 Pak Hamid sanggup bertungkus-lumus walaupun
kebahagiaan keluarganya.

16 Pasangan pengantin itu sama cantik agar pinang dibelah
dua.

17 Johari mengupas buah kelapa jika menggunakan sebilah
parang.

18 Adik terpaksa memakai tali pinggang sungguhpun seluar
yang baru dibelinya ketat.

19 Agar Mashitah tidak berjaya dalam pertandingan itu, dia tetap
akan mencubanya lagi.

20 Ayah menasihati abang bahawa tidak memandu kereta
dengan laju.








Bahagian Dua: Ayat


45 45
Latihan 3
Tandakan (/) pada ayat majmuk pancangan yang betul dan (x) pada ayat majmuk
pancangan yang salah.
BIL AYAT JAWAPAN
1 Baginda menasihati pembesar negeri bahawa sentiasa
amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.

2 Kerajaan menyediakan pelbagai jenis kemudahan awam
untuk orang ramai.

3 Hassan memberitahu Ah Meng bahawa negara mereka
banyak mempunyai tempat menarik untuk dilawati.

4 Pameran Kebaya Nyonya yang diadakan di hotel itu
mendapat sambutan hangat.

5 Produk itu lebih mahal daripada produk yang lain demi
mempunyai dwifungsi.

6 Iskandar suka makan nasi goreng tetapi adiknya lebih suka
makan nasi lemak.

7 Lulus mata pelajaran Bahasa Melayu menjadi salah satu
prasyarat untuk memasuki Tingkatan Enam.

8 Saya amat terkejut serta mendapat berita tentang
kemalangan yang menimpa abang saya.

9 Puan Sarah gigih berusaha membesarkan anak-anaknya
kerana ia seorang ibu tunggal.

10 Puan Mariam menasihati anaknya supaya sentiasa
menghormati orang yang lebih tua daripadanya.

11 Azmin dimarahi oleh ibunya apabila dia malas belajar.
12 Pihak polis akan membuat siasatan yang rapi setelah
memastikan keamanan sentiasa terpelihara

13 Razali mengurangkan makanan bergula supaya dia tidak
mendapat penyakit kencing manis.

14 Kalau bernasib baik mereka akan selamat, kalau bernasib
malang mereka akan menerima kecelakaan.

15 Pokok itu mati manakala akarnya terputus.
16 Insentif akan diberikan oleh syarikat kepada pekerja yang
menunjukkan prestasi cemerlang.

17 Rose lari lintang-pukang maka dikejar oleh budak-budak
nakal.

18 Pihak majikan dikerah kendatipun menyediakan pusat jagaan
kanak-kanak kepada ibu-ibu yang bekerja.

19 Cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti belum
tercapai lagi oleh kerana kesempitan hidup.

20 Kereta yang dipandu oleh Hasnul terbabas ketika dia
membelok di selekoh yang tajam itu.






Bahagian Dua: Ayat


46 46
SKEMA JAWAPAN
Latihan 1
Kenal pasti dan garisi kata hubung yang terdapat dalam ayat majmuk pancangan di bawah.
1. Orang itu menafikan bahawa barang-barangnya telah hilang.
2. Sekiranya saya lulus peperiksaan ini, saya akan berpuasa sepuluh hari.
3. Andai kata mereka menyerang, kita akan bertahan bersungguh-sungguh.
4. Lelaki yang berbaju biru itu ialah abang saya.
5. Pemimpin-pemimpin itu akan terus berjuang jika mereka mendapat sokongan rakyat.
6. Sungguhpun badannya letih, Ali tetap menghadiri majlis perayaan itu.
7. Kita mestilah bertolak ansur agar semua pihak berpuas hati.
8. Hatinya hancur seperti kaca terhempas ke batu.
9. Kanak-kanak itu mencebik bibirnya seakan-akan hendak menangis.
10. Mereka menyatakan bahawa mereka tetap akan memulaukan majlis itu.
11. Adalah mustahil untuk Ayu melanjutkan pelajaran ke luar negara.
12. Banjir besar berlaku setelah hujan lebat turun selama dua jam.
13. Beliau yang baru bertugas di sekolah ini telah dilantik sebagai guru penolong kanan.
14. Cuba bertanya pada orang tua itu kalau-kalau dia hendak mengikut mereka ke
Pulau Pangkor.
15. Dengan memberanikan hati, pasukan polis itu telah menyerbu tempat
persembunyian pengganas.
16. Mereka ke sekolah untuk mendalami ilmu pengetahuan.
17. Budak yang menolong saya itu baik hati.
18. Masyarakat Malaysia harus menyedari bahawa menjaga kesihatan itu amat penting.
19. Anak kecil itu menangis kerana dia lapar.
20. Tatkala hujan mula turun, emak masih di sawah.
21. Saya belum berkunjung ke rumah Amin semenjak ia berpindah ke sana.
22. Pemuda itu datang dengan menaiki kereta api.
23. Demi menyatukan rakyat yang berbilang kaum, sebuah jabatan khusus telah
ditubuhkan.
24. Rumah yang besar itu milik Datuk Rosman.
25. Jika diizinkan Tuhan, kami akan datang lagi pada tahun hadapan.
26. Ariff sedar bahawa dia perlu taat kepada kedua-dua orang tuanya.
27. Mustafa tidak menghadiri majlis itu kerana badannya tidak sihat.
28. Banyak orang melawat masjid yang baru siap dibina itu.
29. Agak sukar untuk Datuk Azmi memenangi pilihan raya kecil itu.
30. Sungguhpun Amri anak orang berada, dia tidak sombong.

Bahagian Dua: Ayat


47 47

Latihan 2
Garisi kesalahan kata hubung yang terdapat dalam ayat majmuk pancangan di bawah. Tulis
kata hubung yang sesuai pada ruang yang disediakan.
BIL AYAT JAWAPAN
1 Mereka hidup senang-lenang bahawa mereka bekerja dengan
tekun.
kerana
2 Banjir besar berlaku walaupun hujan lebat turun selama dua
jam.
kerana/ setelah
3 Tatkala murid itu tekun belajar, dia telah mencapai kejayaan
yang cemerlang.
oIeh sebab
4 Mereka sampai kalau majlis sudah tamat. ketika/ setelah
5 Walaupun Pak Rahman berusia 17 tahun, ibu bapanya
meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.
sewaktu/ ketika
6 Azlan menjelaskan yang dia ialah anak orang kaya itu. bahawa
7 Dia yang kelihatan itu masih terbaring di bawah pokok
walaupun kawan-kawannya telah masuk ke padang.
tetapi
8 Ayah memberitahu Zahid agar mereka terpaksa bermalam di
rumah kawannya.
bahawa
9 Encik Hassan berjaya menjawat jawatan ini hingga dia
berpelajaran tinggi.
kerana
10 Dengan cuaca baik, perlawanan bola itu akan berjalan lancar. Jika
11 Untuk bulan jatuh ke riba, maka cerahlah masa depanku. sekiranya/jika/
kalau
12 Mereka datang ke sekolah demi menunggang motosikal. dengan
13 Mak Munah berdoa untuk anaknya selamat di perantauan. agar/ supaya
14 Pesakit itu berusaha mengubati penyakit kulitnya tatkala
sembuh.
sehingga/ hingga
15 Pak Hamid sanggup bertungkus-lumus walaupun kebahagiaan
keluarganya.
demi/ untuk/ bagi
16 Pasangan pengantin itu sama cantik agar pinang dibelah dua. bagai/ seperti
17 Johari mengupas buah kelapa jika menggunakan sebilah
parang.
dengan
18 Adik terpaksa memakai tali pinggang sungguhpun seluar yang
baru dibelinya ketat.
kerana
19 Agar Mashitah tidak berjaya dalam pertandingan itu, dia tetap
akan mencubanya lagi.
sungguhpun/
walaupun
20 Ayah menasihati abang bahawa tidak memandu kereta dengan
laju.
agar/ supaya






Bahagian Dua: Ayat


48 48
Latihan 3
Tandakan (/) pada ayat majmuk pancangan yang betul dan (x) pada ayat majmuk
pancangan yang salah.
BIL AYAT JAWAPAN
1 Baginda menasihati pembesar negeri bahawa sentiasa
amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
X (agar/ supaya)
2 Kerajaan menyediakan pelbagai jenis kemudahan awam
untuk orang ramai.
/
3 Hassan memberitahu Ah Meng bahawa negara mereka
banyak mempunyai tempat menarik untuk dilawati.
/
4 Pameran Kebaya Nyonya yang diadakan di hotel itu
mendapat sambutan hangat.
/
5 Produk itu lebih mahal daripada produk yang lain demi
mempunyai dwifungsi.
X (kerana/ oleh
sebab)
6 Iskandar suka makan nasi goreng tetapi adiknya lebih suka
makan nasi lemak.
/
7 Lulus mata pelajaran Bahasa Melayu menjadi salah satu
prasyarat untuk memasuki Tingkatan Enam.
/
8 Saya amat terkejut serta mendapat berita tentang
kemalangan yang menimpa abang saya.
X (apabila/ setelah)
9 Puan Sarah gigih berusaha membesarkan anak-anaknya
kerana ia seorang ibu tunggal.
X (walaupun)
10 Puan Mariam menasihati anaknya supaya sentiasa
menghormati orang yang lebih tua daripadanya.
/
11 Azmin dimarahi oleh ibunya apabila dia malas belajar. X (kerana/ oleh
sebab)
12 Pihak polis akan membuat siasatan yang rapi setelah
memastikan keamanan sentiasa terpelihara
X (untuk)
13 Razali mengurangkan makanan bergula supaya dia tidak
mendapat penyakit kencing manis.
/
14 Kalau bernasib baik mereka akan selamat, kalau bernasib
malang mereka akan menerima kecelakaan.
/
15 Pokok itu mati manakala akarnya terputus. X (kerana/ oleh
sebab)
16 Insentif akan diberikan oleh syarikat kepada pekerja yang
menunjukkan prestasi cemerlang.
/
17 Rose lari lintang-pukang maka dikejar oleh budak-budak
nakal.
X (kerana/ oleh
sebab)
18 Pihak majikan dikerah kendatipun menyediakan pusat jagaan
kanak-kanak kepada ibu-ibu yang bekerja.
X (agar/ supaya)
19 Cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti belum
tercapai lagi oleh kerana kesempitan hidup.
X (kerana/ oleh
sebab)
20 Kereta yang dipandu oleh Hasnul terbabas ketika dia
membelok di selekoh yang tajam itu.
/




Bahagian Dua: Ayat


49 49
7.3 AYAT MAJMUK CAMPURAN
Ayat Majmuk Campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, iaitu
daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan berbagai-bagai jenis
ayat majmuk.

Contoh 1: Ahmad sedang membaca buku tetapi kawan-kawannya yang sudah letih
lesu telah lama tidur.
Ayat ini terdiri daripada ayat majmuk gabungan yang disambungkan dengan
kata hubung tetapi. Ayat pertama ialah Ahmad sedang membaca buku sementara ayat
yang kedua ialah kawan-kawannya yang sudah letih lesu telah lama tidur. Ayat yang
kedua ini merupakan ayat majmuk juga kerana terdapat ayat relatif iaitu yang sudah
letih lesu, dipancangkan ke dalamnya.

Contoh 2: Mereka mendaftarkan kanak-kanak yang lahir dalam tahun 2002, yang
telah menerima suntikan tersebut.
Dalam ayat di atas, terdapat dua ayat relatif yang dipancangkan ke dalam
ayat induk, iaitu yang lahir dalam tahun 2002 dan yang telah menerima suntikan
tersebut. Subjek ayat majmuk ini ialah mereka, kata kerjanya mendaftarkan dan objek
tepat kanak-kanak. Kedua-dua ayat relatif itu merupakan penerang kepada objek
tepat.

Contoh 3: Murid-murid itu mengetahui bahawa peraturan itu penting dan mereka
menyedari bahawa walaupun mereka tidak senang hati dengannya,
peraturan itu meati dipatuhi.
Ayat majmuk ini terdiri daripada dua ayat yang digabungkan dengan kata
hubung dan, iaitu murid-murid itu mengetahui bahawa peraturan itu penting dan
mereka menyedari bahawa walaupun mereka tidak senang hati dengannya,
peraturan itu mesti dipatuhi.

Kedua-dua ayat ini pula merupakan ayat majmuk juga, iaitu yang pertama
terdiri daripada ayat induk dengan ayat komplemen objek tepat, iaitu murid-murid itu
mengetahui (sesuatu) ayat induk, dan bahawa peraturan itu penting ayat
komplemen sementara ayat kedua pula terdiri daripada ayat induk dengan
komplemen objek tepat. Ayat induk ialah mereka menyedari (sesuatu), sementara
ayat komplemen ialah bahawa mereka tidak senang hatinya dan peraturan itu mesti
dipatuhi.

Bahagian Dua: Ayat


50 50

Contoh 4 : Kereta baharu anak guru besar Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu
telah terlanggar seekor lembu jantan di hadapan pejabat pos pada hari
Jumaat yang lalu.
Ayat di atas ialah ayat tunggal. Subjek ialah Kereta baharu anak guru besar
Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu sementara predikat ialah telah terlanggar
seekor lembu jantan di hadapan pejabat pos pada hari Jumaat yang lalu. Kata kerja
ialah terlanggar, bahagian lain dalam predikat terdiri daripada objek tepat iaitu seekor
lembu jantan, keterangan tempat ialah di hadapan pejabat pos dan keterangan waktu
ialah pada hari Jumaat yang lalu. Subjek pula terdiri daripada frasa nama utama
kereta baharu dengan keterangan kepunyaan anak guru besar yang diberi keterangan
tambahan Sekolah kebangsaan Kampung Baharu.

Contoh 5 : Kereta yang sentiasa rosak itu dibaiki lalu dijual olehnya.
Ayat yang pendek seperti di atas juga merupakan ayat majmuk. Ada tiga ayat
kecil dalam ayat majmuk tersebut, iaitu:
(a) Kereta itu dibaiki olehnya.
(b) Kereta itu dijual olehnya.
(c) Kereta itu sentiasa rosak.

Ayat (a) dan (b) digabungkan dengan kata hubung lalu, sementara ayat (c)
dipancangkan melalui proses relatif ke dalam ayat induk.

7.3.1 Kesalahan Lazim
(i) Ibu kemaskan dan bersihkan bilik tidur adik sejak tadi lagi.
(ii) Dia urus dan mengendalikan syarikat itu dengan bantuan keluarganya.
(iii) Asraf bukan sahaja cemerlang dalam mata pelajaran Sains dan juga dalam
semua mata pelajaran.
(iv) Bila tiba waktunya dia akan pulang ke kampung.
(v) Dia menyatakan dia tidak dapat hadir kerana dia terpaksa menziarahi
neneknya di kampung..

7.3.3 Rumus
Campuran ayat tunggal dan ayat majmuk atau deretan pelbagai ayat majmuk boleh
membentuk ayat majmuk campuran.


Bahagian Dua: Ayat


51 51
7.3.4 Latihan Pengukuhan
7.3.4.1 Mengenal Pasti Kesalahan dan Membetulkan Kesalahan
Bil Ayat Kesalahan

Ayat yang betul
1 Banyak pelajar terlibat
dalam kegiatan membuli
pelajar lebih muda daripada
mereka.
Ayat ini salah kerana tidak ada
kata hubung pancangan relatif
yang ialah kata yang berfungsi
menghubungkan ayat utama
dengan satu ayat kecil yang
lain.
Banyak pelajar terlibat
dalam kegiatan membuli
pelajar yang lebih muda
daripada mereka.
2

Kami tekun menulis dengan
kami berjaya menghasilkan
buku penulisan PMR.
Ayat ini salah kerana kata
hubung yang digunakan tidak
berfungsi menghubungkan
klausa yang menjadi
keterangan pada satu klausa
utama.
Kami tekun menulis hingga
kami berjaya menghasilkan
buku penulisan PMR.
3

Bila tiba waktunya dia akan
pulang ke kampung.

Ayat ini salah kerana
menggunakan kata tanya bila
yang menunjukkan waktu.
Seharusnya ayat ini
menggunakan kata hubung
apabila.
Apabila tiba waktunya dia
akan pulang ke kampung.

4 Dia menyatakan dia tidak
dapat hadir kerana dia
terpaksa menziarahi
neneknya di kampung.
Ayat ini salah kerana tidak
menggunakan kata komplemen
bahawa.
Dia menyatakan bahawa dia
tidak dapat hadir kerana
terpaksa menziarahi
neneknya di kampung.

7.3.4.2 Membina Ayat Majmuk Campuran
Arahan : Bina ayat majmuk campuran daripada kumpulan ayat-ayat tunggal yang berikut.
1. (a) Kerusi antik itu besar.
(b) Kerusi antik itu kamu pesan.
(c) Kerusi antik itu akan tiba esok.
(d) Kerusi antik itu akan tiba lusa.
___________________________________________________________________
___________________________________________________________________

2. (a) Joshua baru menamatkan persekolahannya.
(b) Joshua membantu ayahnya.
(c) Ayah Joshua berkebun.
(d) Ayah Joshua berternak.
(e) Joshua menunggu keputusan peperiksaannya.

Bahagian Dua: Ayat


52 52
___________________________________________________________________
___________________________________________________________________

3. (a) Kucing itu mencuri ikan.
(b) Kucing itu lari.
(c) Kucing itu dipukul oleh ayah.
(d) Kucing itu dihambat oleh ayah.
___________________________________________________________________
__________________________________________________________________





























Bahagian Dua: Ayat


53 53
SKEMA JAWAPAN
Menentukan ayat yang betul dan salah
Bil Ayat Betul/Salah

1 Dia berniaga setiap hari kecuali pada hari Ahad.

/
2

Abangnya rendah sahaja tetapi adiknya tinggi sekali. /
3 Sementara Lina dahaga, minumlah air mineral. X (Jika)
4

Kamal bukan sahaja bijak malahan berbudi luhur. /
5 Mira melambaikan tangannya dengan tersenyum X (sambil)
6 Orang itu tidak menjawab melainkan menangis teresak-esak. /
7 Dia mengajak kita bekerja sebaliknya dia pula yang bermain-
main.
/
8 Sila bawa buku, pensel manakala pemadam. X (serta)
9 Razi bangun lalu bersalaman dengan tetamu itu. /
10 Bayi itu ketakutan maka dia menangis. /

7.3.4.3 Membina Ayat Majmuk Campuran
Arahan: Bina ayat majmuk campuran daripada kumpulan ayat-ayat tunggal yang berikut.
1. (a) Kerusi antik itu besar.
(b) Kerusi antik itu kamu pesan.
(c) Kerusi antik itu akan tiba esok.
(d) Kerusi antik itu akan tiba lusa.

Kerusi antik besar yang kamu pesan itu akan tiba esok atau lusa.
2. (a) Joshua baru menamatkan persekolahannya.
(b) Joshua membantu ayahnya.
(c) Ayah Joshua berkebun.
(d) Ayah Joshua berternak.
(e) Joshua menunggu keputusan peperiksaannya.

Joshua yang baru menamatkan persekolahannya itu membantu ayahnya
berkebun dan berternak sementara menunggu keputusan peperiksaannya.

3. (a) Kucing itu mencuri ikan.
(b) Kucing itu lari.

Bahagian Dua: Ayat


54 54
(c) Kucing itu dipukul oleh ayah.
(d) Kucing itu dihambat oleh ayah.

Kucing yang mencuri ikan itu lari apabila dipukul dan dihambat oleh ayah.

You might also like