You are on page 1of 5

PENULISAN JURNAL MINGGU KETIGA

NAMA : SITI AISHAH NABIHAH BINTI OTHMAN


TARIKH : 9 FEBRUARI 2014 13 FEBRUARI 2014
TAJUK : PENGURUSAN MASA DALAM PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN

PERMASALAHAN
Alhamdulillah sepanjang minggu ketiga ini, masalah pengurusan bilik darjah
yang dihadapi pada minggu lepas sedikit sebanyak berjaya diatasi. Minggu ketiga
merupakan minggu penyeliaan kali pertama yang telah dijalankan oleh pensyarah
pembimbing subjek major Kemahiran Hidup. Sepanjang minggu ini, saya
menghadapi masalah dari segi pengurusan masa ketika sesi pengajaran dan
pembelajaran dijalankan di dalam bilik darjah. Masalah pengurusan masa ini secara
tidak langsung boleh menjejaskan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang.

ANALISIS
Terdapat beberapa faktor yang telah dikenal pasti menjadi punca kepada
berlakunya masalah pengurusan masa sepanjang minggu ketiga sesi pengajaran
dan pembelajaran dilaksanakan di dalam bilik darjah. Antaranya adalah seperti, saya
menjalankan sesi pengajaran tanpa mengikut perancangan waktu yang telah
ditetapkan. Sebagai contoh, langkah pertama saya cepat dihabiskan tanpa mengikut
perancangan waktu di dalam buku Rancangan Pengajaran Harian. Memandangkan
pada hari itu merupakan kali pertama saya diselia oleh pensyarah pembimbing,
maka perasaan berdebar yang menyelubungi diri telah menyebabkan saya tidak
sedar bahawa pelaksanaan langkah pertama berlaku dalam masa yang singkat
sahaja. Selain itu, penerangan yang ringkas tentang sesuatu perkara turut
menyebabkan masa pelaksanaan menjadi pendek dan tidak seperti yang
diharapkan.
Seterusnya faktor yang kedua adalah masa pengajaran dan pembelajaran
sedikit terganggu apabila terdapat program yang dijalankan sebelum waktu
pengajaran dan pembelajaran bermula. Sebagai contoh, semasa saya hendak
diselia oleh pensyarah pembimbing pada hari Khamis minggu lepas bagi subjek
Kemahiran Hidup Tahun 5, terdapat program Seni Tari secara beramai-ramai di
Dewan Wawasan. Program tersebut mengambil masa sedikit lama dan telah
menggangggu waktu pengajaran dan pembelajaran. Hal tersebut juga telah
menyebabkan saya terpaksa masuk ke kelas sedikit lewat dari masa yang
sepatutnya.
Semasa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral
Tahun 3 pula, saya telah melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih dari
30 minit. Hal ini disebabkan oleh kekhusyukan yang terlampau ketika
mengendalikan aktiviti terhadap murid. Justeru, keadaan ini turut menyebabkan saya
terambil masa yang lebih dan telah mengganggu masa guru lain yang akan
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mereka selepas kelas Pendidikan
Moral.

CADANGAN UNTUK MEMPERBAIKI
Pengurusan masa adalah proses peribadi dan mestilah sesuai dengan gaya
dan keadaan diri sendiri. Bagi menguruskan masa secara berkesan, seseorang itu
harus mempunyai diri yang teguh. Kaedah seperti ini sahaja yang akan
membolehkan seseorang itu mencapai hasrat yang diingininya. Menurut Webber
(1972), masa ialah sesuatu yang tidak terbalik, sentiasa bergerak dengan cara yang
tertib, tertentu serta berperingkat-peringkat. Pergerakannya tidak boleh diubah dan
diberhentikan. Masa jika diuruskan dengan baik akan menghasilkan sesuatu yang
efektif dan berfaedah.
Tifla (1989) dalam kertas kerjanya tentang pengurusan masa telah
mengatakan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran atau
sebarang kerja yang dihadapi, seseorang itu selain daripada mempunyai azam dan
motivasi yang tinggi perlu juga tahu mengurus masa dengan berkesan. Pengurusan
masa yang baik bermaksud kemampuan mendisiplinkan diri dalam menentukan
keutamaan serta melaksanakan keputusan yang dibuat.

Menurut Korweit (1989), pengurusan masa guru adalah pengurusan masa
dalam kawalan guru iaitu penggunaan masa yang berkesan dalam bilik darjah.
Beliau juga turut menyatakan bahawa jika terlalu sedikit masa yang digunakan
dalam pengajaran subjek tersebut sukar dipelajari. Oleh hal yang demikian, lebih
banyak masa yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran, lebih banyak
kesan positif dalam pencapaian pelajar.
Menurut Gorden (1982), pengurusan masa yang cekap sahaja akan dapat
membantunya menyesuaikan diri dengan pelbagai tuntutan dan kebuntuan kerja
yang dihadapi sewaktu melaksanakan tugas sebagai pemimpin pengajaran dan
pembelajaran.
Pengurusan masa seseorang guru dapat digunakan melalui analisis dan
perancangan. Perancangan ini adalah penting untuk memastikan masa yang ada
dapat digunakan dengan tepat dan berkesan. Perancangan masa yang baik dapat
mengelakkan diri daripada berlakunya pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
yang tidak bersistem.
Bagi konteks pengajaran dan pembelajaran, pengurusan masa guru adalah
salah satu faktor yang sangat penting supaya proses pengajaran dan pembelajaran
dapat dijalankan dengan baik dan berkesan. Perancangan yang sistematik amat
perlu bagi memastikan objektif pembelajaran tercapai dan proses pengajaran dapat
berjalan dengan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.

TEMPOH MASA
Saya akan cuba mengatasi masalah ini dengan secepat mungkin agar
masalah yang sama tidak berulang lagi pada sesi pengajaran dan pembelajaran
yang berikutnya. Pengurusan masa dan pengawalan bilik darjah yang baik adalah
sangat penting dalam memastikan kelancaran proses aktiviti pengajaran dan
pembelajaran supaya setiap objektif pengajaran dapat di capai seperti perancangan.
Kepekaan dan ketelitian dalam menyediakan soalan latihan juga perlu diberi
perhatian yang wajar dan serius supaya kesilapan dapat dielakkan dengan sebaik
mungkin.

PENILAIAN KEJAYAAN
Keberkesanan cara mengatasi masalah ini akan dinilai pada minggu yang
berikutnya untuk mengetahui sama ada guru mampu mengurus masa pengajaran
dan pembelajaran dengan lebih sistematik serta efektif atau sebaliknya. Penilaian
kejayaan terhadap masalah pengurusan masa ini juga akan dilihat dari segi
pelaksanaan aktiviti yang dirancang itu mampu dilaksanakan mengikut perancangan
masa yang telah ditetapkan dalam rancangan pengajaran harian atau pun tidak.

TINDAKAN SUSULAN
Perkara seperti ini adalah normal bagi seseorang guru praktikal yang
menjalani latihan praktikum tentang masalah pengurusan masa. Namun begitu,
masalah ini bukanlah bersifat kekal jika kita sebagai seorang guru mampu untuk
mengatasinya. Sudah menjadi lumrah bagi seorang manusia kerana masa itu adalah
amat berharga bagi mereka semua. Salah satu tindakan yang perlu diambil untuk
menangani masalah ini ialah mengawal aktiviti yang dijalankan dengan cara melihat
jam dan sentiasa mengingatkan diri tentang waktu penamatan masa bagi setiap
aktiviti tersebut.

KESIMPULAN
Secara keseluruhan, saya mendapati, masalah pengurusan masa semasa
proses pengajaran dan pembelajaran dapat diatasi sekiranya guru bersikap lebih
prihatin dan peka. Oleh itu, guru mengambil inisiatif dengan secepat mungkin untuk
mengatasi masalah ini dengan sentiasa menambah baik keperluan diri agar berjaya
menjadi guru yang adil, peka serta prihatin terhadap keperluan anak murid.



Disemak oleh Guru Pembimbing

Tandatangan :
Nama :
Tarikh :
Disemak oleh Pensyarah Pembimbing

Tandatangan :
Nama :
Tarikh :

You might also like