You are on page 1of 3

Obesiti Kanak-kanak: Dimanakah Peranan Ibu Bapa?

Credits to Norkumala bt. Awang



Kanak-kanak montel, mungkin dianggap comel tetapi pernahkah kita terfikir jika kemontelan
itu berterusan sehingga dewasa? Di tambah lagi, penyakit tidak berjangkit pada masa kini tidak
mengenal usia dan jantina. Bahkan ia terus bermaharajalela dalam masyarakat kita. Tidak
keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita sekarang sedang membentuk dan menyediakan
generasi yang gemuk dan berpenyakit pada masa akan datang.


Kanak-kanak obes kini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita tetapi senario ini tidak
dipandang sebagai satu masalah kesihatan awam. Bahkan ia menjadi sesuatu yang normal pada
pandangan masyarakat. Hakikatnya, masyarakat kita telah pun menyedari tentang peri penting
menjaga kesihatan tetapi kadangkala sikap dan tabiat gaya hidup yang tidak sihat diamalkan secara
tradisi menjadi ikutan. Lantas, ia menjadi satu kelaziman dan akhirnya pelbagai masalah yang
menyusup masuk dalam kehidupan mengundang bala yang tidak disedari. Lihat saja, berapa ramai
antara kita yang sihat, tiba-tiba meninggal dunia akibat penyakit pembunuh secara senyap? Berapa
ramai pula sekarang anak-anak telah pun mengidap penyakit diabetes sejak kecil dan
paling malang lagi di bangku sekolah telah mengambil suntikan insulin sebagai rawatan diabetes?
Siapakah yang harus ditunding jari ?


Secara asasnya, pendidikan pemakanan dibentuk oleh kedua ibu bapa, keluarga atau orang
yang menjaga anak-anak sejak dari kecil. Segala aspek bermula daripada pemilihan makanan, tabiat,
cara makan dan jenis makanan adalah dicedok daripada apa yang diberikan, dibentuk dan
ditunjukkan oleh ibu bapa. Kemudian barulah faktor-faktor luaran yang memainkan peranan dalam
membentuk tabiat pemakanan anak-anak. Jika di sekolah, mereka mungkin terpengaruh dengan
kawan-kawan dan juga persekitaran yang mereka lalui. Tetapi di rumah, ahli keluarga dan
persekitaran rumah adalah penting dalam mencorak pola pemakanan anak-anak.


Setiap ibu bapa mahu melihat anak-anak mereka membesar dengan sihat dan kuat. Justeru
itu, sudah pastilah anak-anak disediakan dengan makanan yang berkhasiat. Pada umur awal
tumbesaran, masalah pemakanan menjadi agenda utama dalam perkembangan mereka. Ini kerana
sesetengah kanak-kanak mungkin menjadi kurang berselera dan ada yang mempunyai selera yang
berlebihan terhadap sesuatu makanan. Ia adalah lumrah dalam perkembangan awal kanak-kanak.
Mungkin disebabkan faktor ini, ibubapa memanjakan anak-anak dengan memberi segala jenis
makanan dengan harapan agar mereka mendapat semua khasiat yang diperlukan. Akhirnya mereka
gagal untuk mengawal pemakanan malah anak-anak cenderung untuk mengambil makanan secara
berlebihan. Tidak mustahil, makanan tersebut juga tidak berkhasiat dan tidak sesuai untuk mereka
akhirnya akan menyumbang kepada masalah obesiti.


Walaupun faktor genetik atau keturunan tidak dapat dinafikan menyumbang kepada
masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak namun punca luaran atau persekitaran tidak boleh
dipandang sepi. Kanak-kanak cenderung menjadi obes apabila ibu bapa mereka juga obes. Walaupun
berlaku ketidakseimbangan genetik menyebabkan individu makan secara berlebihan namun faktor
ini tidak dapat diuruskan dalam kita menangani obesiti kanak-kanak. Namun, kita boleh melihat
corak pemakanan anak-anak juga dicontohi daripada ibu bapa. Ibu bapa yang tidak mempunyai
amalan pemakanan yang sihat boleh menyebabkan anak-anak mengikut acuan tersebut.






Dalam pada masa yang sama, kita tidak boleh menyalahkan lambakan satu-satu makanan
yang menyebabkan anak-anak kecil menjadi obes. Budaya semasa masyarakat yang gemarkan
makanan berkalori tinggi contohnya nasi lemak, roti canai, teh tarik dan makanan segera yang lain
juga menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Corak pemakanan sebegini
memberi contoh kepada anak-anak. Namun begitu, ia tidak menjadi satu-satunya punca kepada
permasalahan ini berlaku. Oleh itu, amatlah tidak wajar jika trend ini dipersalahkan sedangkan pokok
pangkal penyebabnya tidak diperbetulkan. Contohnya, jika makanan seperti nasi lemak mudah
didapati tetapi pengambilannya tidak dikawal, maka ia juga boleh menyumbang kepada masalah
obesiti disebabkan kekerapan pegambilannya. Pokok pangkalnya adalah pendidikan daripada ibu
bapa yang menentukan corak pemakanan mereka.


Dalam hal sebegini, kesibukan ibu bapa menyebabkan pemilihan makanan yang berkhasiat
agak terhad. Ibu bapa yang sibuk cenderung memilih makanan segera sebagai hidangan untuk
keluarga disebabkan kekangan masa. Akhirnya ia menjadi satu budaya dalam sesebuah keluarga.
Begitu juga dengan pengaruh persekitaran seperti rakan sebaya dan media massamemainkan
peranan penting dalam menyumbang kepada permasalahan obesiti kanak-kanak.


Jika di sekolah, anak-anak di luar pengaruh dan kawalan ibu bapa, maka rakan sebaya dan
persekitaran menjadi contoh utama mereka dalam memilih sesuatu makanan. Di sekolah, pemilihan
makanan yang berkhasiat juga terhad malah kebanyakan makanan yang disediakan tidak cukup
seimbang, berkalori tinggi, tinggi gula, garam dan juga kolesterol. Kewujudan dan kemudahdapatan
snek dan minuman manis seperti "vendor machine" di sekolah juga menyebabkan anak-anak
cenderung untuk mengambil gula secara berlebihan. Apatah lagi, jika pembekal makanan di sekolah
lebih suka menjual makanan rapu atau "junk food" yang menjadi kesukaan kanak-kanak.


Seharusnya pihak tersebut tidak mementingkan keuntungan semata-mata dengan menjual
makanan yang tidak berkhasiat. Hal ini demikian kerana makanan ringan akan menyumbang lebih
banyak kalori malah menyebabkan pengguna menjadi cenderung untuk mengambilnya lebih banyak
dan mengehadkan pengambilan makanan berkhasiat lain. Senario ini kerap berlaku dalam kalangan
kanak-kanak, dan mereka lebih cenderung untuk menghabiskan wang belanja harian semata-mata
untuk membeli makanan ringan berbanding makanan berkhasiat yang lain seperti hidangan nasi dan
sebagainya. Pengambilan kalori yang tinggi, gula dan garam berlebihan akan menyumbang kepada
masalah obesiti kanak-kanak. Seharusnya, permasalahan sebegini diberi perhatian serius oleh ibu
bapa, pihak sekolah dan juga pembekal makanan di sekolah. Kawalan dan pemantauan terhadap
bekalan makanan ringan dan minuman yang tidak baik untuk kesihatan harus dipertingkatkan malah
makanan yang tidak berkhasiat ini perlu dihadkan atau diberhentikan penjualannya.


Kanak-kanak yang obes akan cenderung menjadi obes apabila dewasa kelak ataupun
mengalami berat badan berlebihan sepanjang hayat mereka jika tidak dirawat dan dipantau. Di
samping pelan pemakanan yang sihat, anak-anak juga perlu diterapkan latihan fizikal yang mantap.
Bukan sekadar menghabiskan masa terluang di hadapan televisyen dan komputer. Ibu bapa yang
memiliki anak-anak obes perlu tahu bahawa mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat
badan unggul adalah satu perkara yang sukar. Justeru, ia memerlukan kefahaman yang mantap
tentang permasalahan ini dan menekankan tabiat pemakanan yang sihat. Bukan setakat diterapkan
kepada anak-anak malah perlu dilakukan bermula daripada diri sendiri. Barulah ia mempunyai
sinergi yang cukup kuat dalam menyediakan kanak-kanak yang sihat dan generasi tidak obes pada
masa akan datang.




Kesimpulannya, kita perlu mengamalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubat. Kita
perlu mencegah penyakit yang bakal timbul akibat keobesan generasi masa kini dengan menerapkan
amalan pemakanan sihat dan berbudaya hidup sihat. Semuanya bermula daripada ibu bapa sebagai
pasak utama dalam pendidikan pemakanan anak-anak. Sejajar dengan saranan dalam surah Isra'
ayat 7 yang bermaksud "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan
adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik
kepada diri kamu juga...". Jika kita tidak berkorban untuk anak-anak pada hari ini bermakna kita
menyediakan generasi yang tidak sihat pada masa akan datang. Ayuh, perkasakan peranan ibu bapa
dengan menilai pelan pemakanan sihat anak-anak pada hari ini.

You might also like