You are on page 1of 3

Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi

Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Pada era dotcom ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan
bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia
tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia
atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750
kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi
atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan
MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati.
Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas
mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi media. Seluruh
dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini.
Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas.
Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah
dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata
dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan
melalui iklan di suratkhabar baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi,
Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke
rumah anda! Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan
komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan
teknologi multi media dalam bidang pendidikan.
Hadirin yang budiman.
Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien
dengan adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga atau e-
commerce, cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti
cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat
laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa
Melayu sebagai emel!). Kini www.sesuatu.com.my bukan lagi satu perkara yang baru.
Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam
negara malah dari seluruh pelosok glob ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan
dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di suratkhabar yang
mengkhabarkan seorang surirumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel!
Justeru, jelas bahawa perkembangan multi media membawa kesan positif dari aspek
perniagaan.
Hadirin yang dimuliakan.
Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran
industri kita. Perkembangan multi media secara langsung atau tidak membantu meningkatkan
produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan
kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya emel, sesuatu maklumat dapat
dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi
maklumat kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap
sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi
tumpuan kepada pembangunan multi media. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates
(Microsoft Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling
serius dalam membangunkan pusat multi medianya. Beliau menambah, di luar Amerika
Syarikat pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti
bahawa pembangunan multi media membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan
duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan.
Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara rakyat
Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar
negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan
sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-
mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat
membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel
elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh
lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya
pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat
persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan
berbagai-bagai kaum. Bukankah multi media satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?
Hadirin sekalian.
Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi
negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di
Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan
internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin
bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang
disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan
dan kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar
dibendung oleh sesiapa.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Seterusnya, internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di
kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan
daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan
sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut
keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan
mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di
kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan
kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada
ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi
keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di
kalangan remaja dan belia. Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti
merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-
anak.
Hadirin yang dikasihi.
Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh
melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu
perkauman dan agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat
untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan
kepada negara kita sendiri. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif
tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi menwujudkan huru-hara di
dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat
ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan
negatif multi media yang boleh mengheret rakyat ke kancah perang sivil dan kaum wajiblah
dielakkan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang
sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi
tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Sekian, terima
kasih.

You might also like