You are on page 1of 4

SUAMI YANG CEREWET

Soalan

SAYA lelaki yang sangat cerewet dalam memilih pasangan. Gadis idaman saya
mestilah cantik dan berkulit cerah. Perkenalan saya dengan Su yang pada asalnya
hanya kawan menjadi semakin intim sehinggakan kami terlanjur.

Atas rasa tanggungjawab, saya melamar Su. Kedua-dua keluarga merestui dan
akhirnya kami sah menjadi suami isteri. Sebenarnya, Su bukan gadis idaman saya. Dia
berkulit gelap, tetapi manis dan sentiasa ceria.

Kelebihan Su ialah dia sentiasa membuatkan orang di sekelilingnya tertarik untuk


mendengar keletahnya. Mungkin sebab itu saya tertarik untuk berkawan dengannya
pada awal perkenalan kami.

Selepas dua tahun berkahwin, saya ditukarkan ke selatan tanah air. Di sana saya
bertemu Anis, gadis yang memiliki ciri-ciri idaman. Orangnya cantik, berkulit cerah dan
pemalu. Untuk memikatnya, saya mengaku masih bujang.

Saya tidak bertepuk sebelah tangan kerana dia juga menyukai saya. Tanpa berfikir
panjang serta dalam keadaan mabuk cinta, saya menghantar SMS cerai kepada Su.
Kelam kabut keluarga Su dan keluarga saya mencari saya.

Dalam perbincangan tegang, saya berterus terang akan melamar Anis dan melepaskan
Su supaya tidak terluka. Semoga ada lelaki lain boleh membahagiakan Su
memandangkan kami belum ada anak.

Berulang kali Su menelefon saya, tetapi saya tidak menjawabnya. Banyak SMS yang
dia hantar bertanyakan apakah salahnya, tetapi saya tidak membalasnya. Akhirnya Su
tidak lagi menghubungi saya dalam tempoh proses perceraian kami.

Selepas enam bulan bercerai dengan Su, saya dan Anis disatukan dalam majlis
sederhana. Lima bulan bersama Anis, saya mula merasai kekurangan. Walaupun
memiliki ciri-ciri gadis idaman saya, dia terlalu pendiam. Sepatah saya tanya, sepatah
dijawab.

Anis juga sangat cemburu, menyebabkan saya menjadi rimas. Saya mula merindui
keletah Su. Sepanjang dua tahun bersama Su, saya tidak pernah berasa sunyi
dengannya. Satu perkara lagi yang menyebabkan saya sangat merindui Su ialah
prestasi hebatnya di ranjang.

Berbanding Su, Anis sangat pemalu dan tidak dapat memberi kepuasan maksimum
kepada saya. Berulang kali saya mengajarnya dengan memberi bahan bacaan yang
berkaitan, tetapi jawapan Anis ialah dia malu.
Ada beberapa kali saya menghubungi Su melalui telefon dan dia tetap melayan saya
dengan baik, seolah-olah tiada rasa benci dalam nada suaranya.

Setiap kali menghubungi Su, saya rasa tenang dan lega kerana celotehnya membuat
saya terhibur.

Bagaimanapun, saya tahu jauh di sudut hati Su dia terluka dengan perbuatan saya
kerana banyak kali dia memberi alasan sibuk jika saya mahu berbual panjang
dengannya.

Baru-baru ini saya mendapat tahu Su dipinang seorang jejaka yang juga kenalan saya.
Saya menjadi cemburu dan yang paling menyakitkan ialah saya tidak dapat menerima
hakikat suaminya nanti akan mendapat layanan hebat daripada Su.

Kini, saya menyesali tindakan lalu. Baru saya sedar kecantikan luaran bukan kayu ukur
kepada kebahagiaan. Bantulah saya menyelesaikan masalah ini kerana saya benar-
benar merindui dan mencintai Su serta mahu kembali kepadanya.

Hamba yang daif: ZK

Jawapan

Hakikatnya, tidak banyak yang Dang Setia mahupun saudara boleh lakukan untuk
menjadikan keadaan memihak kepada saudara atau lebih tepat lagi untuk
membolehkan Su menjadi kembali milik saudara. Apa yang saudara alami kini menepati
bidalan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Maaf, Dang Setia tidak bermaksud menyakitkan hati atau menambah kekecewaan
saudara, namun mahu mendidik saudara supaya bersikap lebih matang, belajar
memperbaiki kelemahan diri dan menerima baik serta buruk kehidupan ini dengan
seadanya.

Tentu tidak adil dan bukan tindakan bijak untuk saudara kini bertungkus lumus
berusaha memiliki semula Su dalam keadaan diri saudara menjadi suami Anis dan Su
pula bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya.

Jika saudara masih cuba berjuang untuk mendapatkan Su, itu bermakna saudara sekali
lagi mengulangi kesilapan sebelum ini iaitu bertindak terburu-buru mengikut nafsu yang
besar kemungkinan mencetuskan masalah lain pada masa depan.

Yang ingin Dang Setia tekankan di sini ialah, satu kelemahan atau kesilapan saudara
sehingga mencetuskan permasalahan sekarang ialah melakukan tindakan tanpa berfikir
panjang atau terlalu mengikut kata hati serta nafsu.
Buktinya jelas. Pertama, saudara mengatakan Su bukan wanita yang memiliki ciri-ciri
pilihan saudara, tapi disebabkan dorongan hawa nafsu, anda berdua akhirnya terlanjur
hingga akhirnya terpaksa berkahwin.

Kedua, selepas menemui Anis, saudara terus lupa diri. Disebabkan kemaruk asmara,
saudara tanpa berfikir panjang terus menceraikan Su hanya dengan cara menghantar
SMS.

Ketiga, akibat tindakan saudara itu keluarga Su dan keluarga saudara kelam kabut.
Mereka datang memujuk saudara, tapi sekali lagi saudara tidak mahu berfikir panjang,
sebaliknya hanya mengikut hati dan nafsu. Pujukan mereka saudara tolak, malah
cubaan Su untuk menghubungi saudara juga tidak dilayan.

Akibat sikap tidak berfikir panjang dan bertindak terburu-buru itu, saudara akhirnya
terhimpit dalam masalah yang dialami kini.

Oleh itu, bagi Dang Setia, saudara tidak boleh menyalahkan orang lain di atas apa yang
berlaku kerana segala-galanya disebabkan kesilapan sendiri. Atas sebab itu Dang Setia
berharap kali saudara dapat bersikap lebih matang.

Maksudnya, disebabkan saudara bersalah, saudara perlu reda menerima hukuman di


atas kesalahan itu. Dalam situasi begini, tindakan paling wajar ialah muhasabah diri dan
berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki kelemahan diri.

Selepas apa yang berlaku, sewajarnya saudara menginsafi kesilapan ketika memilih
isteri sebelum ini iaitu menjadikan kecantikan fizikal sebagai kriteria utama, bukan
kepatuhan terhadap agama sebagaimana disyariatkan Islam.

Yakinlah apabila Allah menyarankan kita melakukan sesuatu, pasti ia untuk kebaikan
kita dan kita tidak akan rugi jika mengikut saranan Allah.

Ini termasuk dalam soal memilih isteri. Jika kita memilih isteri dengan mengutamakan
kepatuhan agamanya dan bukan atas dasar kecantikan atau harta, rumah tangga kita
akan lebih sempurna.

Selain itu, kita harus percaya jika kita mengutamakan ajaran Islam dengan
menjadikannya garis panduan dalam apa jua yang kita lakukan, hidup kita lebih berkat
untuk memperoleh kejayaan bukan saja di dunia tetapi juga akhirat.

Justeru, dalam situasi saudara pada masa ini, Islam mengajar kita supaya reda
menerima apa yang berlaku, mensyukuri apa yang kita ada dan jangan bersikap
cemburu atau dengki dengan kenikmatan yang diperoleh orang lain.

Maksudnya di sini, saudara harus melupakan kisah silam kehidupan bersama Su.
Saudara kini memiliki Anis sebagai isteri yang sah, jadi layari kehidupan berumah
tangga sebagai mungkin dengannya.
Jangan jadikan nafsu sebagai pengukur utama kebahagiaan rumah tangga. Memang ia
penting, tapi ia bukan satu-satunya penentu kebahagiaan.

Dang Setia bimbang, jika selepas ini saudara mencari isteri lain yang hebat di ranjang,
tiba-tiba saudara dapati dia lemah pula dalam soal lain, seperti mengurus rumah tangga
dan sebagainya.

Jadi, atasi masalah kedinginan seksual isteri saudara dengan bijak. Jika perlu, saudara
dan isteri boleh merujuk masalah isteri anda kepada doktor pakar untuk mendapat
kaedah atau pendekatan lebih.

Wallahualam.

Saudara boleh beri pandangan sedikit bagaimana mengatasi masalah klien ini.
Berilah nasihat padanya semuga rumah tangga keduanya selamat.

You might also like