You are on page 1of 14

SEP30

Contoh Proposal
Posted on September 30, 2011 by cikgu aida
Standard
KEBERKESANAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM PENGAJARAN
DAN PEMBELAJARAN
KURSUS SIMPANKIRA DI KALANGAN PELAJAR
PROGRAM KEMAHIRAN HIDUP
(UPSI)
BAB 1
PENDAHULUAN
Pengenalan
Di dalam bab ini pengkaji akan membincangkan mengenai latar belakang sejarah penggunaan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam bidang pendidikan dan kepentingannya kepada para pelajar di
Institusi Pengajian Tinggi. Seterusnya pengkaji menjurus kepada penggunaan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan yang menjadi fokus kajian ini. Pernyataan
masalah bagi kajian ini diperjelaskan berserta dengan objektif kajian, Hipotesis Kajian, kepentingan kajian,
batasan kajian, kerangka konseptual, Defnisi Operasional dan Kesimpulan.
1.1 Latar Belakang Kajian
Perkembangan dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) kini dilihat semakin rancak berkembang
sejajar dengan perkembangan arus pemodenan dunia tanpa sempadan (globalisasi). Menurut Buyong
(2002), cabaran dunia pendidikan dalam meneroka dan mengaplikasikan ICT melalui pendekatan-
pendekatan yang berkesan telah membawa para pengajar dan pelajar mengenali dan seterusnya
mempraktikkannya mengikut kesesuaian bidang yang diingini. Keberkesanan TMK dalam pengajaran dan
pembelajaran (P&P) dapat dilihat seawal peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah
sehingga ke institusi pendidikan tinggi.
Di Malaysia perkembangan penggunaan TMK di kalangan masyarakatnya dilihat suatu yang positif di mana
ia telah menggalakkan semua lapisan masyarakat berlumba-lumba untuk melengkapkan diri dengan ilmu
TMK. Namun demikian masih ada golongan atau pihak yang memandang remeh dan tidak mengendahkan
perkara ini kerana mereka beranggapan penggunaan TMK tidak penting dalam kehidupan harian. Dalam
usaha mengikis tanggapan negatif segelintir masyarakat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah
seperti kempen satu rumah satu komputer serta membenarkan wang KWSP dikeluarkan untuk membeli
komputer. Ini bertujuan untuk memastikan masyarakat Malaysia tidak ketinggalan dalam arus teknologi yang
serba canggih.
Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah mengambil langkah awal dengan memperkenalkan
pelbagai program seawal sekolah rendah dalam usaha untuk memperkenalkan dan mendedahkan
penggunaan TMK di kalangan generasi muda. Antara program tersebut ialah Program PPSMI, sekolah
bestari, komputer dalam pendidikan, my-schoolnet, Pusat Akses, portal my-GFL (Malaysian Great For
Learning) dan portal EDUWEBTV. Ini kerana mereka merupakan generasi akan datang yang diharap dapat
menjadi generasi celik TMK yang cemerlang. Maka dengan itu, wujudlah istilah pendidikan dan TMK yang
sering dilaung-laungkan Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini dibuktikan dengan petikan kata-kata dari
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein:
kementerian ini sentiasa mencari jalan terbaik bagi menyahut hasrat kerajaan untuk memajukan bidang
teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam pendidikan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga dilihat telah banyak mengaplikasikan penggunaan TMK dalam
P&P. Secara umumnya, proses P&P yang dijalankan di UPSI masih menggunakan cara tradisional iaitu
kuliah syarahan dan tutorial namun TMK memainkan peranan penting sebagai alat bantu mengajar dan
belajar yang serba canggih dan lebih berkesan daripada pendekatan Paper & Chalk. Coleman dan J.
Nicholas et. al(1998), berpendapat teknologi yang digunakan adalah sebagai alat bantuan mengajar dan
bukannya sebagai pengganti guru, pensyarah, pengajar atau pelajar. Dengan ini jelaslah penggunaan TMK
dalam P&P bererti menggunakan teknologi maklumat secara efsien, terancang dan bersesuaian dengan
objektif pengajaran dan pembelajaran untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan P&P.
Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan membincangkan keberkesanan penggunaan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan
Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup di UPSI.
1.2 Penyataan Masalah
Teknologi Maklumat boleh memberikan impak signifkan terhadap keberkesanan, kecekapan dan produktiviti
di dalam aktiviti yang dijalankan. Pada pendapat pengkaji, faktor-faktor tertentu dapat mempengaruhi
keberkesanan tersebut. Antaranya ialah pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi.
Dalam faktor pengurusan, pengkaji memfokuskan kepada kecekapan pengurusan Fakulti Perniagaan dalam
mengendalikan kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan yang ditawarkan kepada pelajar Program
Kemahiran Hidup dan aktiviti yang lain bagi memastikan setiap pelajar Kemahiran Hidup mampu
memperoleh pengetahuan tentang teknologi maklumat. Menurut Nasrollah Ahadiat (2005) dalam jurnal
Factors that May Infuence or Hinder Use of Instructional Technology Among Accounting Faculty,
Association to Advance Collegiate Schools of Business menyatakan pentauliahan memerlukan teknologi
pengajaran yang bersesuaian yang disediakan oleh fakulti perniagaan.(AACSB International,1993).
Selain itu, penggunaan komputer yang meluas serta perkembangan sains dan teknologi maklumat hari ini
banyak memberikan manfaat kepada para pensyarah seperti mempelbagaikan alat bantu mengajar (ABM),
merekod serta menyimpan maklumat pelajar dan sebagainya. ABM yang berasaskan TMK dapat
meningkatkan minat pelajar di samping meningkatkan kefahaman pelajar. Namun, Norazen, Hassan dan
Mohd Ruzman dalam kajian Tahap Kompetensi Pensyarah Menggunakan ICT Dalam Pengajaran dan
Pembelajaran, menyuarakan terdapat satu cabaran penting yang perlu dihadapi iaitu kesediaan dan
kompetensi pensyarah mengaplikasi dan mengintegrasi teknologi maklumat dalam pengajarannya. Dalam
erti kata lain, faktor pengetahuan dan kemahiran pensyarah atau tenaga pengajar menyampaikan ilmu
pengetahuan turut menjadi ukuran kepada keberkesanan Teknologi Maklumat dan Komunikasi di kalangan
pelajar Program Kemahiran Hidup.
Seperti yang kita sedia maklum pelajar Universiti merupakan kumpulan pelajar yang perlu menghasilkan
pelbagai bentuk tugasan yang ditentukan oleh pensyarah sepanjang pengajian mereka. Pelajar Program
Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan juga tidak terkecuali
menghadapi situasi sebegini. Dalam jangka masa yang terhad mereka perlu menyiapkan setiap tugasan
yang diberikan oleh pensyarah. Pada hari ini, sekiranya para pelajar menggunakan teknologi komputer,
khususnya perisian seperti Microsoft Word, Excel, PowerPoint Presentation, SPSS, UBS Accounting dan
sebagainya sudah tentu tugasan mereka dapat disiapkan dengan cekap, pantas dan tepat. Dalam kajian
Computer Based Accounting Education Techniques: A Response to A Dynamic Information Technology
Environment oleh Kathie Cooper dan Vivienne Coomb (2004), teknologi Computerized Assessment dalam
Computer Managed Learning (CML) membolehkan pelajar merekodkan urusan kemasukan jurnal, lembaran
kerja dan penyata kewangan. Justeru itu, faktor teknologi juga dilihat mampu memainkan peranan yang
penting dalam memastikan keberkesanannya di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup yang mendaftar
kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan.
Berdasarkan kepada apa yang dinyatakan di atas maka satu kajian mengenai keberkesanan penggunaan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan
Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup perlu dijalankan. Kajian ini perlu dijalankan bagi
memastikan keempat-empat faktor yang dinyatakan benar-benar dapat meningkatkan keberkesanan
penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira /
Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup.
1.3 Objektif Kajian
Di dalam objektif kajian ini, pengkaji ingin melihat sejauhmana faktor-faktor yang terlibat dapat
mempengaruhi keberkesanan penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira /
Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup. Kajian ini dijalankan berdasarkan
kepada objektif-objektif berikut :
1.3.1 Untuk mengenalpasti peranan TMK dalam keberkesanan pengajaran dan pembelajaran kursus
Simpankira / Pendidikan Perakaunan.
1.3.2 Untuk mengenalpasti sejauhmana penggunaan TMK dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan
yang ditawarkan kepada pelajar Kemahiran Hidup oleh Fakulti Perniagaan.
1.3.3 Untuk melihat hubungan di antara penggunaan teknologi maklumat dengan keberkesanannya dalam
kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan.
1.3.4 Untuk menilai tahap pengetahuan pelajar dalam bidang teknologi serta korelasinya dengan
penggunaan TMK di kalangan pelajar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan bagi Program Kemahiran
Hidup.
1.3.5 Untuk melihat adakah kemahiran penggunaan teknologi yang mencukupi di kalangan pelajar
Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan dapat menyumbang kepada
keberkesanan penggunaan TMK dalam pembelajaran.
1.4 Hipotesis Kajian
Beberapa hipotesis telah dibangunkan bagi menjawab persoalan yang akan dikaji untuk mengetahui
keberkesanan penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran Kursus Simpankira / Pendidikan
Perakaunan di kalangan pelajar UPSI:
1.4.1 Pengurusan fakulti yang efsien dan sistematik akan memberi kesan positif terhadap keberkesanan
penggunaan TMK di kalangan pelajar.
1.4.2 Pengetahuan yang mencukupi dalam bidang TMK akan membantu meningkatkan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran.
1.4.3 Kemahiran yang ada dalam penggunaan TMK dapat meningkatkan keberkesanan pelajar khususnya
dalam mengendalikan peralatan teknologi.
1.4.4 Teknologi dapat memudah dan meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.
1.5 Kepentingan Kajian
Menurut Amir Hassan Dawi (2006), kepentingan kajian bermaksud apakah kajian berkenaan berguna
kepada mana-mana pihak. Setiap kajian yang dijalankan selalunya mempunyai motif-motif tertentu atau
untuk kepentingan pihak tertentu. Kajian ini dijalankan bagi mengkaji faktor yang mempengaruhi
keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran
dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam kajian ini, faktor yang dikaji adalah meliputi aspek pengurusan,
pengetahuan, kemahiran dan teknologi. Aspek-aspek ini dianggap sebagai tunjang utama kepada pengkaji
bagi mengukur sejauh mana keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kursus
Simpankira / Pendidikan Perakaunan khususnya di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup dapat
ditingkatkan. Justeru itu, dengan adanya kajian seumpama ini, diharapkan ia dapat menarik pihak-pihak
yang terlibat seperti Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia, pihak Institusi Pengajian Tinggi, pensyarah dan
pelajar bagi bersama-sama memperbaiki kelemahan di samping mempertingkatkan lagi kecekapan yang
ada bagi mempersiapkan diri pelajar yang bakal menempuh alam pekerjaan yang lebih kompetitif dan
mencabar pada masa hadapan.
Dalam pada itu, kajian ini juga berguna kepada pihak institusi pendidikan untuk memberi penekanan kepada
beberapa ciri-ciri utama bagi setiap aspek bagi mengoptimumkan penggunaan TMK seperti yang
diharapkan oleh semua pihak. Seterusnya, kajian ini juga diharapkan dapat mewujudkan kesedaran di
kalangan pensyarah, pelajar dan institusi pendidikan tinggi tentang betapa pentingnya TMK untuk di
aplikasikan dalam kehidupan seharian. Akhir sekali, hasil kajian ini diharapkan dapat memberi gambaran
dengan jelas serta dapat dijadikan garis panduan yang berguna kepada semua pihak untuk meningkatkan
lagi prestasi pengajaran dan pembelajaran serta mutu perkhidmatan dengan berbekalkan kemudahan dan
kecanggihan teknologi yang ada bagi memastikan tahap keberkesanan dan kompetensi dapat
dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa bagi manfaat pada masa hadapan.
1.6 Batasan Kajian / Skop Kajian
Menurut Amir Hasan Dawi (2006), batasan kajian memberitahu tentang had-had atau kekurangan kajian.
Dalam kajian ini, penyelidik membataskan kajian kepada perkara-perkara tertentu sahaja supaya skop kajian
tidak terlalu luas. Batasan-batasan kajian meliputi tempat kajian, sampel kajian, aspek kajian yang dipilih
serta masa kajian yang digunakan. Tempat kajian yang dilakukan adalah di Universiti Pendidikan Sultan
Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak. Kajian ini hanya terbatas kepada pelajar-pelajar Program Kemahiran
Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan sahaja bagi semester empat. Bagi
semester tersebut, pengkaji akan memilih 60 orang pelajar daripadanya secara rawak untuk dijadikan
sampel kajian. Oleh itu, jumlah keseluruhan sampel kajian adalah sebanyak 60 orang responden sahaja.
Selain itu, terdapat faktor lain yang boleh digunakan bagi mengukur tahap keberkesanan penggunaan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan. Akan tetapi, kajian
ini hanya memfokuskan kepada beberapa aspek iaitu aspek pengurusan, pengetahuan, teknologi, dan
kemahiran.
1.7 Kerangka Konseptual
Rajah 1 : Modifkasi Faktor yang Mempengaruhi Penggunaan Teknologi Instruksional
Berdasarkan kepada rajah di atas, empat faktor diatas menjadi fokus dalam kajian ini, iaitu faktor
pengurusan, faktor kemahiran, faktor teknologi dan faktor pengetahuan. Pernyataan masalah dan Objektif
kajian berdasarkan kepada rajah diatas. Faktor diatas akan diterangkan dalam bab seterusnya.
1.8 Defnisi Operasional
Merujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), keberkesanan ditakrifkan sebagai perihal berkesan, atau
berkesannya sesuatu tindakan atau perubahan; sesuatu tindakan itu dapat dilihat daripada hasil yang
diperoleh sesudahnya. Manakala, penggunaan pula didefnisikan sebagai perihal perbuatan atau kegiatan
menggunakan sesuatu. Selain itu, menurut Kamus Dewan juga pengajaran bermaksud perihal mengajar,
segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar seperti cara atau sistem mengajar.
Ahmad Fuad (2003), dalam kajian Kesan Efkasi Kendiri Guru Sejarah Terhadap Amalan Pengajaran
Berbantukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) oleh Azwan Ahmad, Abdul Ghani, Mohamad Zohir
et al (2005), menyatakan dalam konteks pendidikan, teknologi maklumat merupakan satu rangkaian
elektronik untuk mencari, mengumpul, menyimpan, memproses, menyalur dan menyampai maklumat secara
efektif, pantas dan banyak bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
Ting Kung Shing (2007) dalam kajian Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar
Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor pula,
menyatakan pembelajaran elektronik atau lebih dikenali sebagai e-learning adalah merupakan penggunaan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi bagi memudahkan cara pembelajaran. Dalam kajian itu juga
pembelajaran ditakrifkan sebagai sebarang perubahan tingkah laku hasil daripada pengalaman yang
menyebabkan seseorang menghadapi situasi sesudah itu dengan cara yang berlainan (Gagne, 1970).
Dalam kajian yang sama juga Morgan (1995) mendefnisikan pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku
dari segi perasaan, pemikiran dan tindak balas kesan daripada pengalaman yang berlaku pada pelajar
melalui sistem pendidikan secara formal di sekolah. Seterusnya, Eh (1994) dalam kajian tersebut,
berpendapat pembelajaran dikatakan telah berlaku apabila seseorang individu telah berjaya mengaitkan
pengetahuan baru dengan pengetahuan yang sedia ada padanya.
Selain itu, Ting Kung Shin (2007) dalam kajian Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan
Pelajar Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor,
mentakrifkan E-pembelajaran sebagai pendekatan pembelajaran di mana pendidikan, latihan dan maklumat
yang berstruktur disepadukan dan disampaikan oleh komputer melalui Internet khususnya web, atau dari
cakera keras, CD ROM, storan mudah alih berkeupayaan tinggi atau melalui sistem jaringan organisasi
(Jamaludin Mohaiadin, 2000). Seterusnya dalam kajian yang sama Victor Jeurissen (2004) mendefnisikan
e-pembelajaran sebagai penggunaan teknologi berinovasi dan model pembelajaran yang dapat menukarkan
cara seseorang dan juga organisasi memperolehi kemahiran dan menambah pengetahuan yang baru. Bagi
beliau pembelajaran merupakan satu kerja secara berkumpulan yang melibatkan pertukaran penggunaan
maklumat iaitu berinteraksi secara perseorangan atau di dalam kumpulan.
1.9 Kesimpulan
Di dalam bab ini pengkaji telah menjelaskan latar belakang Teknologi Maklumat dan komunikasi dalam
bidang pendidikan di Malaysia serta hubungan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dengan
pengajaran dan pembelajaran di kalangan pelajar IPT. Seterusnya, beberapa isu yang wujud dalam
mempengaruhi keberkesanan penggunaan teknologi turut dikemukakan bagi menyokong permasalahan
kajian ini. Tumpuan diberikan kepada empat faktor utama yang menyumbang kepada keberkesanan
penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira /
Pendidikan Perakaunan iaitu pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi. Akhir sekali pengkaji
mengemukakan pernyataan masalah, objektif kajian, hipotesis kajian, kepentingan kajian, batasan yang
dihadapi dan kerangka konseptual. Pengkaji turut menjelaskan beberapa istilah dalam kajian ini supaya
tidak berlaku kesilapan tafsiran terhadap beberapa perkataan dalam tajuk penyelidikan ini.
BAB 2
TINJAUAN PUSTAKA
Pengenalan
Di dalam bab ini, pengkaji membuat tinjauan kajian-kajian lepas berkenaan dengan faktor-faktor yang
mempengaruhi keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan
pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup.
Tinjauan kajian memberi tumpuan kepada empat faktor utama iaitu pengurusan, pengetahuan, kemahiran
dan teknologi. Di samping itu, pengkaji juga cuba mengenal pasti faktor-faktor lain yang dapat menyumbang
kepada fokus kajian yang dijalankan.
2.1 Kajian Keberkesanan Penggunaan TMK Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran
Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran bermaksud
menggunakan TMK secara efsien, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Pada abad ke 21, kepentingan menguasai kemahiran TMK
dilihat sebagai satu perkara yang amat penting kepada sesebuah institusi terutamanya institusi pendidikan.
Keupayaan setiap individu dalam menguasai penggunaan TMK dapat membantu mengharungi dunia
ledakan maklumat yang semakin pantas. Justeru, pendedahan kepada alam perkomputeran perlu dilakukan
pada peringkat awal secara sistematik dan terancang agar budaya perkomputeran dapat dibina dalam
suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih positif. Bagi menyahut cabaran ledakan TMK, semua
pihak tidak terlepas untuk merealisasikan cabaran ini kerana penggunaan TMK yang efektif akan dapat
menyumbang kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Oleh yang demikian,
pengkaji berpendapat terdapat faktor-faktor utama yang dapat membantu meningkatkan keberkesanan
penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini dibuktikan melalui pembacaan kajian-kajian
penyelidik yang lepas yang mana faktor-faktor keberkesanan itu adalah terdiri daripada pengurusan,
pengetahuan, kemahiran dan teknologi.
2.1.1 Keberkesanan Dari Aspek Pengurusan
Merujuk kepada artikel Applications Of Technology In Accounting Education And Analysis Of Its Use Among
Faculty yang ditulis oleh Nas Ahadiat, terdapat sebilangan badan-badan professional yang telah meminta
supaya pihak fakulti menggunakan teknologi dalam kursus yang disediakan. Berdasarkan The Association to
Advance Collegiate Schools of Business (1993), di dalam artikel ini juga meminta pihak fakulti menyediakan
serta menggunakan teknologi instruksional yang bersesuaian. Penggunaan TMK juga didapati boleh
mengesan sebarang kesilapan human errors. Ini bukan sahaja membolehkan tugastugas perakaunan
dilakukan dengan cekap, malah lebih tepat dan jitu.
Walau bagaimanapun, hasil kajian jurnal Factors that May Infuence or Hinder Use of Instructional
Technology among Accounting Faculty oleh Nasrollah Ahadiat (2005) mendapati pihak fakulti kurang
memberi penekanan berkaitan penggunaan teknologi. Ini adalah berpunca daripada kekurangan masa dan
minat terhadap teknologi, bahan kursus yang tidak relevan, ketiadaan peralatan serta perisian teknologi
yang terkini, kurangnya sokongan dari aspek pentadbiran dan aspek teknologi. Maka, pentadbiran universiti
atau pengarah program harus berikhtiar mencari langkah-langkah yang terbaik untuk memberikan
kemahiran komputer dan teknologi keseluruhannya kepada semua pihak seperti staf akademik dan pelajar.
Di samping itu, sokongan dari pihak pentadbiran juga amatlah penting dalam menyalurkan tahap teknologi
yang sebenarnya kepada pihak fakulti.
Manakala, kajian yang dijalankan oleh Rohaila, Faridah dan Norasmah (2007) dalam jurnal Kesan Strategi
Pembelajaran Pengalaman Terhadap Pembangunan Kompetensi: Perspektif Pendidikan Perakaunan,
mendapati kelemahan graduan dalam mempamerkan kompetensi yang diharapkan terhadap diri mereka
menyebabkan banyak pihak yang menuding jari kepada pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Justeru itu,
adalah menjadi tanggungjawab pihak fakulti supaya inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran diberikan
perhatian sewajarnya agar pembangunan kompetensi pelajar dijadikan sebagai agenda utama. Bidang
pendidikan yang dianggap tunjang dalam pembangunan modal insan perlu diberi perhatian. Induk kepada
pendidikan iaitu amalan pengajaran dan pembelajaran haruslah menjurus ke arah menyediakan pelajar agar
dapat menjadi tenaga kerja yang bertaraf antarabangsa dalam semua bidang kerjaya dan mampu bersaing
dalam pasaran kerja tempatan dan global.
Di samping itu, Suryanti Awang (2008) dalam jurnal ICT: Senario dan Cabaran Dalam Pendidikan,
menjelaskan bahawa terdapat juga universiti di Malaysia yang menyediakan nota atas talian (online notes)
kepada pelajarnya. Para pelajar perlu ke laman yang disediakan dan memuat turunkan nota berkenaan.
Sesetengah universiti membenarkan sesiapa sahaja yang melayari laman berkenaan untuk mencapai nota
yang disediakan dan ada juga yang hanya boleh dicapai oleh para pelajar mereka sahaja dengan
menyediakan kata laluan dan kata kunci. Terdapat laman web yang menyediakan perkhidmatan secara
percuma untuk membaca buku elektronik atau nota atas talian. Laman tersebut juga menyediakan nota
pensyarah secara percuma. Pengguna boleh memasuki laman tersebut untuk melihat kandungan buku
elektronik berkenaan dan memuat turunnya dalam bentuk PDF.
Berdasarkan kajian-kajian lepas di atas, penggunaan TMK dapat membantu meningkatkan keberkesanan
sesebuah pengurusan kerana TMK dikatakan sebagai alat pemudah komunikasi yang membolehkan pelajar
dan pihak tertentu daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat yang
pelbagai bentuk.
2.1.2 Keberkesanan Dari Aspek Pengetahuan Dan Kemahiran
Merujuk kepada artikel Tahap Kompetensi Pensyarah Menggunakan ICT Dalam Pengajaran dan
Pembelajaran oleh Norazen, Hassan Ash dan Mohd Ruzman pula, pengetahuan dan kemahiran mengguna
serta mengintegrasikan TMK dapat membantu meringankan beban tugasan di kolej. Kelebihan seseorang
pensyarah dalam menyepadukan alat teknologi pendidikan seperti komputer di dalam pengajaran, bukan
sahaja dapat menarik minat dan rangsangan pelajar untuk menguasai pelajarannya dengan lebih mudah,
malah dapat memotivasikan pelajar berfkir secara kreatif di samping menambahkan keseronokan kepada
pensyarah itu sendiri dalam proses pendidikan (Budin, Kendall & Lengel, 1986). Pengkaji berpendapat
adaptasi TMK dalam proses pengajaran pensyarah dapat meringankan beban tugas pensyarah yang
semakin mencabar dewasa ini. Justeru itu, inovasi dalam pendidikan adalah merupakan agenda penting
yang perlu direalisasikan oleh para pensyarah selaras dengan apa yang terkandung di dalam misi reformasi
pendidikan negara.
Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dari segi pengajaran memerlukan perancangan yang
cekap dan efsien supaya ilmu pengetahuan dapat disampaikan kepada setiap pelajar mengikut gaya
pembelajaran masing-masing. Teknologi maklumat dan komunikasi yang digunakan dalam pengajaran juga
dapat memberi peluang pembelajaran yang lebih dinamis, menarik minat serta meningkatkan ilmu
pengetahuan yang relevan dan berguna kepada pelajar. Oleh yang demikian, bagi melaksanakan tugas ini
pensyarah seharusnya bijak dan kreatif mendidik serta merancang pelbagai strategi, kaedah dan
pendekatan dengan jayanya melalui bantuan TMK ini.
Berdasarkan kajian Tahap Kompetensi Pensyarah Menggunakan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
oleh Norazen, Hassan Ash dan Mohd Ruzman, pensyarah atau tenaga pengajar perlu menguasai seberapa
banyak pengetahuan dan kemahiran seiring dengan keperluan semasa mengikut kesesuaian pelajar dan
persekitaran masa kini. Kajian ini menunjukkan kebanyakan pensyarah mempunyai sikap positif terhadap
komputer dan ICT apabila hasil kajian yang diperolehi memberikan perbezaan min yang ketara iaitu 0.81
berbanding 0.00. Justeru itu, pengetahuan dan kemahiran pensyarah adalah kompeten terhadap
penggunaan komputer. Menurut Gage dan Berliner (1984) dalam kajian ini juga sikap positif terhadap
penggunaan komputer merupakan faktor penting dalam meningkatkan motivasi pengajaran dan
pembelajaran.
Di samping itu, menurut Hawa binti Rahmat, Rohaidah Mashudi dan Noor Watee Rahman (2008) dalam
artikel Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Melalui IT Di Peringkat Universiti, mendapati hasil
kajian yang dijalankan melalui temu bual dengan responden (di kalangan pensyarah) dalam keberkesanan
penggunaan IT dapat dilihat berdasarkan kepada Academic Evaluation System (AES). Melalui AES
pensyarah akan dinilai oleh pelajar mereka pada setiap semester dan penilaian tersebut akan diakui sah
sekiranya jumlah pelajar melebihi daripada 100 orang maka peratus penilai haruslah lebih 50 peratus.
Seramai 70 peratus daripada 30 responden menyatakan bahawa AES mereka semakin menunjukkan
kemajuan hasil penggunaan IT di dalam kelas.
Menurut Campeau dan Higgins (1995), dalam kajian Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di
Kalangan Pelajar Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri
Johor yang ditulis oleh Ting Kung Shiung (2007), pengguna yang mempunyai tahap kecekapan diri yang
tinggi akan kurang mengalami halangan ketika menggunakan e-pembelajaran. Menurut Eastin & LaRose
(2000) dalam kajian tersebut juga seseorang yang memiliki tahap kecekapan diri terhadap Internet yang
kurang akan merasa tidak yakin terhadap kebolehan beliau mengakses Internet dan tidak cekap dalam
menggunakan kemahiran tersebut dalam kehidupan.
Pengetahuan juga memainkan peranan yang penting untuk meramalkan kecekapan diri seseorang
menggunakan komputer. Tsai et al. (2001) dalam kajian Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di
Kalangan Pelajar Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri
Johor oleh Ting Kung Shiung (2007), mendapati pengetahuan sedia ada seseorang menggunakan Internet
akan mempengaruhi sikap seseorang pelajar terhadap internet. Pelajar yang berpengetahuan menggunakan
internet mempunyai sikap yang positif terhadap Internet begitu juga dengan penggunaan komputer. Menurut
Tsai et al. (2001) dalam kajian tersebut, pengetahuan membantu pengguna mempunyai sikap yang lebih
positif terhadap Internet terutama kepada seseorang yang mempunyai sikap bimbang dan kurang
berkeyakinan terhadap Internet.
Menurut Tina dan Lim Swee Kim (2004) dalam kajian bertajuk Kesan Efkasi Kendiri Guru Sejarah Terhadap
Amalan Pengajaran Berbantukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang ditulis oleh Azwan
Ahmad, Abdul Ghani, Mohamad Zohir et al (2005), pula mendapati penggunaan ICT dalam P&P
membolehkan pelajar bersikap aktif dalam pencarian maklumat dan membina pengetahuan daripada
maklumat yang diperolehnya serta berpeluang menghubungkait pengetahuan merentas mata pelajaran
tanpa disekat oleh masa dan jarak.
2.1.3 Keberkesanan Dari Aspek Teknologi
Menerusi kajian Aplikasi Tm Dalam Pembelajaran Penulisan Ilmiah: Tinjauan Dari Aspek Kemahiran dan
Persepsi Pelajar oleh Nasariah Mansor, Nafsah Mahmud dan Faizah Ahmad, Hansman dan Wilson (1998)
mengatakan bahawa komputer merupakan alat yang membolehkan para pelajar menguasai proses
penulisan dengan lebih mudah berbanding kertas dan pen. Walaupun pada peringkat permulaan, komputer
berfungsi sebagai mesin taip untuk menaip draf akhir sahaja, lama-kelamaan komputer menggantikan pen
dan kertas sebagai alat menulis. Komputer dikatakan sebagai alat menulis dan dapat membantu
mewujudkan suasana kerjasama sama ada dalam menulis atau belajar menggunakan teknologi.
Menurut Nasariah Mansor, Nafsah Mahmud dan Faizah Ahmad dalam kajian Aplikasi Tm Dalam
Pembelajaran Penulisan Ilmiah: Tinjauan dari Aspek Kemahiran dan Persepsi Pelajar, Hansman dan Wilson
(1998) berpendapat komputer juga amat berguna dalam pencarian maklumat atau bahan. Para pelajar
dapat menggunakan komputer untuk mencari artikel dan jurnal-jurnal tertentu melalui pangkalan data
perpustakaan online. Merujuk kajian ini juga Caverly (2000) menyatakan keadaan ini akan dapat
menjimatkan masa kerana mereka tidak perlu lagi ke perpustakaan untuk mendapatkan maklumat. Nor
Hafdah (2002) dalam kajian yang sama turut menjelaskan bahawa selain pelajar, guru-guru juga
menggunakan komputer, khususnya Internet bagi tujuan mencari bahan untuk pengajaran dan pembelajaran
seperti mencari bahan-bahan rujukan.
Selain itu, kajian Tahap Kompetensi Pensyarah Menggunakan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
oleh Norazen, Hassan Ash dan Mohd Ruzman, mendapati bahawa penggunaan alat bantu mengajar dapat
meningkatkan minat serta merangsang minda para pelajar dan diakui sebagai pemangkin kepada proses
pengajaran dan pembelajaran (Kamps,1994; Slavin,1995; Jonassen,1996; Mackenzie & Jansen,1998;
Heinich et al,1999). Antara teknik yang boleh digunakan bagi mempelbagaikan penyampaian ialah
penggunaan perisian Ms PowerPoint Presentation yang dapat dipersembahkan dalam pelbagai bentuk
grafk, animasi, warna, suara dan video. Alat-alat teknologi yang digunakan secara efsien dan efektif bukan
sahaja dapat menarik minat dan rangsangan pelajar untuk menguasai pelajaran dengan mudah malah
dapat memotivasikan mereka untuk berfkir secara kreatif (Budin, Kendall & Lengel, 1986).
Pada masa yang sama juga, kajian oleh Abdul Razak (2005) yang bertajuk Penggunaan Perisian Komputer
dan LCD Sebagai Bahan Bantu Mengajar dan Pemudahcara, turut menyatakan bahawa penggunaan
teknologi seperti perisian komputer iaitu PowerPoint dan Excel serta penggunaan LCD sebagai bahan bantu
mengajar perlu diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat pelajar untuk
menguasai kemahiran IT. Melalui hasil kajian itu, beliau telah dapat mengenalpasti keberkesanan
penggunaan perisian komputer dan LCD dalam subjek tersebut. Ini dibuktikan dengan berlakunya
peningkatan kemahiran pelajar setelah mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan
perisian serta LCD dalam merekod dokumen perniagaan.
Kajian Computer Based Accounting Education Techniques: A Response to A Dynamic Information
Technology Environment yang ditulis oleh Kathie Cooper dan Vivienne Coomb (2004) pula melihat kepada
beberapa teknik dalam penggunaan teknologi kepada para pelajar. Sebagai contoh, salah satu teknik dalam
Computer Managed Learning (CML) iaitu computer based assignment membolehkan pelajar kursus
Simpankira / Pendidikan Perakaunan menyiapkan tugasan seperti penyediaan jurnal, pengeposan ke lejar,
imbangan duga, kunci kira-kira dan penyata kewangan.
Irfan Naufal Umar (2004) menerusi kajian Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar
Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor oleh Ting Kung
Shiung (2007) pula mendapati penggunaan TMK dalam proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan
bilik darjah bertemu dengan dunia nyata serta membolehkan pelajar-pelajar sendiri mencari maklumat dan
bahan asal; memudahkan kolaboratif dan perbandingan global; serta membolehkan bahan-bahan
multimedia dicipta dan disebarkan dengan mudah.
Hasil kajian Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar Jurusan Pendidikan Teknik dan
Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor oleh Ting Kung Shiung (2007) terhadap 306
orang responden menunjukkan bahawa terdapat sebanyak 81.4% responden menyatakan bahawa e-
pembelajaran adalah berguna untuk pengajian mereka. Sebanyak 15.4% orang responden tidak pasti sama
ada e-pembelajaran berguna atau sebaliknya terhadap pengajian mereka. Manakala, hanya 3.3%
responden yang mengatakan e-pembelajaran tidak berguna untuk mereka. Ini bermakna e-pembelajaran
telah diperkenalkan sebagai satu strategi baru untuk menyokong kelemahan yang terdapat dalam sistem
pendidikan yang lama.
Menurut Wallace (1999) dalam jurnal Technology Readiness, Internet Self-Efcacy and Computing
Experience of Professional Accounting Students yang ditulis oleh Ming-Ling Lai (2008), menjelaskan
bahawa mata pelajaran yang lebih menekankan kepada pembacaan dan pemahaman seperti dari jabatan
social and Human Science (SAHS) yang merangkumi, Psikologi, Moral dan Etika, Pengajian Islam, Malaysia
Studies, dan pembangunan Manusia, 75 peratus memberikan reaksi positif terhadap keputusan AES
mereka apabila mereka menggunakan banyak gambar dan animasi di dalam kelas berbanding hanya
menggunakan white board dan juga transparensi sahaja. Di samping itu juga, komen daripada pelajar
melalui AES menyatakan mereka sangat berpuas hati sekiranya pensyarah atau pengajar dapat
menggunakan pendekatan IT di dalam kelas. Ini disebabkan oleh persembahan yang berwarna warni dan
penuh emosi bukan sahaja dapat membantu penghayatan pelajar, bahkan juga cara penyampaian
pensyarah menjadi lebih yakin dan bersemangat.
Menurut Hawa binti Rahmat, Rohaidah Mashudi dan Noor Watee Rahman (2008), dalam artikel yang
bertajuk Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Melalui IT di Peringkat Universiti, hasil daripada
pemerhatian dan temu bual ke atas pensyarah yang tidak mengkhusus di dalam bidang IT juga turut
memberikan reaksi yang positif (70 peratus) terhadap kemahiran mereka mengendalikan komputer, aplikasi
komputer dan internet. Para pensyarah boleh memuat naik nota mereka ke dalam MMLS sendiri. Mereka
tidak perlu menggunakan khidmat juruteknik atau pensyarah komputer untuk memuat naik nota-nota
mereka. Nota-nota tersebut bukan hanya dalam bentuk Ms words bahkan juga menggunakan perisian terkini
seperti fash. Dengan kemudahan MMLS juga mereka boleh berbual melalui chat room dengan pelajar dan
memuat naik markah.
Dalam jurnal Technology Readiness, Internet Self-Efcacy and Computing Experience of Professional
Accounting Students oleh Ming Ling Lai (2008), Wallace (1999) melihat kesan teknologi kepada para pelajar
iaitu mereka tidak perlu beratur di bilik pensyarah atau merasa kecewa pensyarah yang ditunggu tiada di
bilik. Ini berikutan 80 peratus memberikan respon positif ke atas kecanggihan IT pada masa sekarang yang
membantu para pelajar menggunakan talian komunikasi sebagai alat hubungan untuk mendapatkan
informasi mengenai pembelajaran mereka. Sebagai contoh khidmat General Packet Radio Service (GPRS)
membolehkan pelajar menerima data seperti gambar, email, penggunaan Internet dan Intranet.
Menurut Suryanti Awang (2008), dalam jurnal yang bertajuk ICT: Senario dan Cabaran Dalam Pendidikan,
kaedah pembelajaran e-Pembelajaran memberikan beberapa impak kepada keberkesanan dalam
penyampaian ilmu dan maklumat kepada pengguna. Antara kesan yang positif dari kaedah pembelajaran ini
ialah penjimatan masa, lokasi dan kos, capaian maklumat yang tidak terhad disebabkan maklumat yang di
arkibkan serta mempunyai potensi tinggi untuk meningkatkan bilangan pelajar apabila ia di sebarkan melalui
Internet. Pendidikan di Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan e-Pembelajaran selaras
dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat yang celik IT. Kebanyakan universiti terutamanya Universiti
Multimedia menggunakan e-Pembelajaran sebagai satu kaedah pembelajaran di mana semua maklumat
berkaitan pembelajaran dimasukkan ke dalam e-Pembelajaran bagi memudahkan pelajar mencapai
maklumat yang diperlukan sama ada nota, tutorial ataupun mendapatkan markah.
Bates (1997) dalam jurnal ICT: Senario dan Cabaran Dalam Pendidikan oleh Suryanti Awang (2008) pula
percaya terdapat empat tujuan utama yang menyebabkan penggunaan teknologi di Institusi Pendidikan
Tinggi, antaranya termasuk membaiki kualiti pembelajaran, membaiki pengaksesan kepada pendidikan dan
latihan, mengurangkan kos pendidikan serta membaiki kos efektif bagi pendidikan. Walaupun begitu,
penggunaannya yang meluas dalam bidang pendidikan adalah dipengaruhi oleh iklim atau persekitaran
tempat seseorang itu belajar, institut atau kampusnya, kelompok dan juga masyarakatnya.
2.2 Kesimpulan
Berdasarkan kajian-kajian lepas yang telah dibincangkan, dapatlah disimpulkan bahawa aspek pengurusan,
pengetahuan, kemahiran dan teknologi adalah faktor-faktor yang dapat meningkatkan keberkesanan
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira /
Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup. Maka, pengkaji terdorong untuk
mengadakan kajian terhadap empat faktor tersebut ke atas pelajar kursus Simpankira / Pendidikan
Perakaunan di Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi memastikan faktor-faktor tersebut mempunyai
hubungan signifkan yang amat positif dengan keberkesanan penggunaan TMK dalam pengajaran dan
pembelajaran.
BAB 3
METODOLOGI KAJIAN
Pengenalan
Metodologi penyelidikan merujuk Nasariah Mansor, Nafsah Mahmud & Faizah Ahmad (2002), merupakan
suatu kajian yang berbentuk deskriptif dengan menggunakan kaedah tinjauan untuk mendapatkan
maklumat. Pengumpulan maklumat melibatkan proses yang memerlukan tempoh masa yang agak panjang,
rumit serta mahal. Oleh itu, kegagalan menggunakan kaedah pengumpulan data secara efsien akan
menghasilkan maklumat yang kurang relevan serta akan meningkatkan perbelanjaan sesuatu penyelidikan.
Sehubungan itu, bab ini akan membincangkan reka bentuk untuk kajian yang telah dijalankan, populasi dan
sampel yang terlibat dalam kajian yang telah dijalankan, instrumen kajian yang telah digunakan dalam
kajian, prosedur-prosedur dalam menjalankan kajian ini serta penganalisisan data iaitu bagaimana data
dianalisis selepas kerja lapangan dijalankan.
3.1 Reka Bentuk Kajian
Reka bentuk sesuatu penyelidikan adalah teknik dan kaedah tertentu untuk memperoleh maklumat yang
diperlukan untuk menyelesaikan masalah. Khususnya, rekabentuk sesuatu penyelidikan membincangkan
bagaimana untuk mencapai sesuatu objektif penyelidikan. Rekabentuk merupakan keseluruhan rangka
projek penyelidikan yang menyatakan apakah corak jenis kajian yang hendak dilaksanakan, jenis maklumat
yang perlu dikumpul, daripada mana sumber maklumat boleh didapati dan dengan kaedah apa maklumat
boleh diperolehi. Sekiranya penyelidikan direkabentuk dengan berhati-hati, reka bentuk akan memastikan
bahawa maklumat yang diperolehi adalah sesuai dengan persoalan masalah yang ingin diselesaikan. Di
samping itu, maklumat yang dikumpul akan diperolehi dengan kaedah yang paling berkesan (Mohd. Majid
Konting, 2005). Reka bentuk kajian ini dibuat dengan cara mengumpulkan maklumat atau data-data tentang
penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di
kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup.
Menurut Mohd. Majid Konting (2005), reka bentuk kajian ini adalah bersifat kuantitatif dan mempunyai
kebolehpercayaan dan kesahan yang merujuk kepada ketekalan maklumat yang diperolehi daripada
responden. Selain itu, kaedah ini juga lebih cepat dari segi masa pengutipan data serta penyiapan tinjauan.
Dalam menjalankan kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah tinjauan dan deskriptif. Kaedah tinjauan
adalah satu cara yang spesifk untuk mengumpulkan maklumat mengenai populasi. Kaedah tinjauan sering
dijalankan dalam penyelidikan pendidikan. Dua jenis tinjauan yang penting dan sering dilakukan dalam
bidang pendidikan ialah tinjauan sekolah dan tinjauan komuniti (Mohd. Majid Konting, 2000). Kaedah
tinjauan digunakan kerana kajian ini memfokus kepada pemboleh ubah yang dianggap boleh diukur. Selain
itu, data yang akan perolehi adalah bersifat empirikal. Melalui kaedah tinjauan, dengan melibatkan
sekumpulan elemen yang kecil dan terperinci, maka maklumat yang banyak boleh dikumpul dan direkodkan.
Walau bagaimanapun data yang lengkap atau mendalam jarang sekali dapat dihasilkan namun data yang
dikumpulkan adalah tepat. Strategi tinjauan ini juga sesuai digunakan kerana penyelidikan yang dijalankan
ini hanyalah untuk membuat kenyataan umum tentang sesuatu populasi (Mohamad Najib Ghafar, 1999).
Justeru, pengkaji menyelaraskan teknik tinjauan terlebih dahulu untuk menentukan cara dan alat
penyelidikan yang sesuai dengan praktikal dengan mengambil kira beberapa kriteria seperti faktor masa, kos
dan peraturan-peraturan organisasi tempat kajian dijalankan.
Penyelidikan deskriptif pula merupakan penyelidikan yang bermatlamat untuk menerangkan sesuatu
fenomena yang sedang berlaku. Bagi mendapatkan maklumat mengenai sesuatu peristiwa yang sedang
berlaku, kaedah deskriptif digunakan. Seringkali juga penyelidikan deskriptif bermatlamat untuk menerokai
sesuatu bidang yang belum atau kurang dikaji. Sekiranya penyelidikan bermatlamat untuk menerokai
sesuatu bidang, penyelidikan yang dijalankan adalah berbentuk penerokaan. Kaedah penyelidikan deskriptif
tidak memerlukan usaha mengawal sesuatu olahan. Ini adalah kerana penyelidikan tidak menentukan
terlebih dahulu faktor-faktor yang mendatangkan kesan ke atas sesuatu peristiwa (Mohd Majid Konting,
1993:96).
Sungguhpun setiap penyelidikan akan menentukan teknik masing-masing, secara umumnya boleh
dibezakan antara teknik yang dipilih oleh penyelidikan kualitatif dan penyelidikan kuantitatif. Dalam
penyelidikan ini borang soal selidik digunakan telah digunakan untuk mengambilkira keberkesanan
penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di
kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup yang mana ia menjurus kepada objektif kajian ini. Amir Hasan
Dawi (2006), berpendapat teknik menggunakan borang soal selidik mempunyai kelebihan dan kekurangan.
Teknik soal selidik dapat merangkumi jumlah sampel yang ramai, lebih cepat dan sesuai untuk soalan-
soalan yang sensitif. Namun penyediaan soalan-soalan mungkin memakan masa, tidak dapat mencungkil
data secara mendalam dan kemungkinan sampel tidak mengisi borang soal selidik berkenaan.
3.2 Populasi Dan Persampelan
Sebelum memilih sampel, populasi kajian ditentukan terlebih dahulu. Populasi ialah satu kumpulan perkara
yang mengandungi unsur, objek, individu atau ciri-ciri yang dipertimbangkan dalam suatu kajian yang ingin
di ambil oleh penyelidik (Azhar Harun dan Nawi Abdullah, 2004:52). Dalam kajian ini pengkaji telah memilih
kaedah persampelan rawak mudah (Simple Random Sampling). Dalam kaedah ini kebiasaannya dengan
menggunakan nombor rawak atau angka rawak sama ada bercetak atau digunakan secara elektronik.
Teknik ini dipilih kerana jumlah populasi yang sedikit dan mempunyai variasi yang kecil di antara unit-unit
dalam populasi. Ini bermakna perbezaan yang terdapat antara ahli dengan ahli yang lain adalah tidak
ketara. Oleh itu, mana-mana ahli yang dipilih sebagai sampel mampu mewakili ciri-ciri populasinya. Tiap-tiap
ahli dalam populasi berkenaan mempunyai kebarangkalian yang sama untuk dipilih sebagai sampel.
Dalam kajian ini, pengkaji telah memilih untuk menjalankan kajian ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Tanjong Malim, Perak. Populasi kajian adalah pelajar yang mengambil kursus Simpankira / Pendidikan
Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup di universiti tersebut dan sampel kajian terdiri
daripada pelajar Program Kemahiran Hidup yang berada dalam semester empat yang pernah mengambil
kursus Simpankira / Pendidikan Perakauan. Saiz sampel bagi kajian ini adalah 60 orang pelajar yang dipilih
secara rawak dalam semester yang dinyatakan. Maka, jumlah keseluruhan responden dalam kajian ini ialah
60 orang pelajar dari Program Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan
Perakaunan.
3.3 Instrumen Penyelidikan
Instrumen penyelidikan yang digunakan dalam penyelidikan ini ialah soalan soal selidik yang ditadbirkan
kepada 60 orang pelajar Program Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan
Perakaunan di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Sebanyak 60 set soal selidik diedarkan kepada responden.
Soal selidik merupakan alat untuk mengumpul data bagi penyelidik sains sosial. Soal selidik sebenarnya
tidak lebih daripada satu borang yang dibentuk khusus untuk mengisi maklumat yang diberikan oleh setiap
responden dalam temu bual (Ahmad Mahdzan Ayob, 2005). Bagi satu-satu kajian, satu soal selidik yang
sama hendaklah digunakan untuk semua responden. Ini bagi memastikan keseragaman dalam jawapan
yang diberikan. Keseragaman bermaksud semua mereka memberi jawapan yang sama, tetapi jawapan itu
diletakkan di ruang yang sama bagi membolehkan pemprosesan data melalui komputer. Soalan itu juga
dikemukakan mengikut urutan yang sama (Ahmad Mahdzan Ayob, 2005).
Dalam kajian ini, soal selidik yang dibuat adalah diambil daripada soalan-soalan yang terdapat di dalam
jurnal dan kajian yang dikaji oleh pengkaji. Soal selidik tersebut terdiri daripada empat bahagian. Bahagian
A mengandungi maklumat responden yang terdiri daripada 4 soalan yang berbentuk nominal iaitu yang
berkaitan diri responden mengikut jantina dan opsyen. Bahagian B, C dan D ialah soal selidik berkenaan
empat faktor yang diandaikan oleh pengkaji yang dapat mempengaruhi keberkesanan penggunaan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan
Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup seperti pengurusan, pengetahuan, kemahiran
dan teknologi.
Bahagian B soal selidik ialah bagi faktor yang pertama iaitu pengurusan oleh fakulti dalam meningkatkan
keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi di kalangan pelajar Progaram Kemahiran
Hidup. Bahagian ini adalah soalan berbentuk checklist di mana pelajar dikehendaki memberikan jawapan
sama ada Ya atau Tidak bagi setiap pernyataan yang telah diberikan. Bahagian C pula adalah soalan-
soalan berkaitan faktor kemahiran dan pengetahuan. Di bahagian ini pengkaji ingin melihat tahap
pengetahuan kemahiran dan pengetahuan para pensyarah serta pelajar terhadap penggunaan TMK dalam
pengajaran dan pembelajaran kursus ini. Dalam kajian soal selidik bahagian C ini pengkaji menggunakan
kod skala Likert, dan sebagai contoh respon yang disediakan ialah :
Sila bulatkan nombor jawapan. Pilihan anda mengikut skala berikut sekiranya anda:
Sangat
tidak setuju Tidak setuju Tidak pasti Setuju Sangat setuju
1 2 3 4 5
Jadual 1 : Kod skala likert
Akhir sekali, dalam bahagian D terdapat 14 soalan yang berkisarkan faktor teknologi. Di bahagian ini
responden perlu membuat pilihan berdasarkan penyataan yang diberikan sama ada teknologi menjadi
penghalang atau tidak kepada mereka untuk menggunakan TMK.
3.4 Kaedah Analisis Data
Bagi kaedah analisis data ia bermula di mana borang soal selidik akan diedarkan untuk mendapatkan
maklumat-maklumat yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan. Sebelum memulakan analisis, borang-
borang soal selidik akan ditapis dahulu bagi memastikan hasil yang diperolehi adalah tepat dan menjawab
persoalan kajian.
Untuk soal selidik, data-data yang diperolehi akan dikumpul dan dianalisis secara prosedur statistik
deskriptif. Skor-skor mentah akan dianalisis menggunakan kekerapan, peratus, min dan sisihan piawai untuk
menentukan keberkesanan penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira /
Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup.
3.5 Prosedur Kajian
Prosedur kajian ialah langkah-langkah kajian yang perlu diambil oleh pengkaji untuk melaksanakan kajian
dari awal hingga kajian berakhir. Ini termasuklah menyediakan cadangan penyelidikan, melaksanakan modul
dan menganalisis data serta menyediakan laporan akhir penyelidikan. Segala prosedurnya perlu
diperjelaskan secara terperinci dan satu persatu. Untuk menjalankan kajian ini, prosedur-prosedur kajian
adalah seperti berikut:
i. Menyediakan kertas cadangan penyelidikan iaitu proposal.
ii. Mengenal pasti masalah dan menyatakan objektif
iii. Mencadangkan hipotesis
iv. Menyediakan instrumen kajian
v. Memproses dan menganalisis data yang melibatkan pemprosesan maklumat daripada soal selidik yang
diedarkan.
vi. Menulis laporan akhir kajian.
3.6 Kesimpulan
Secara keseluruhannya pengkaji menjelaskan tentang kaedah penyelidikan yang digunakan dari segi reka
bentuk kajian, pemilihan populasi dan sampel, instrumen penyelidikan, kaedah menganalisis data dan
prosedur kajian. Semua kaedah ini dilakukan secara berturutan bagi memudahkan pengkaji mencapai
objektif kajian ini.
http://smkrmmten.wordpress.com/2011/09/30/contoh-proposal/

You might also like