You are on page 1of 3

Talqin - Raudhatuth Tholibin

Amalan membaca talqin setelah mayat dikebumikan adalah satu amalan yang diterima
sebagai sunnat atau mustahab dalam mazhab Syafi'i. Dan amalan ini telah diamalkan
oleh umat Islam di Nusantara ini sejak awal kemasukan Islam lagi, tanpa ada yang
mempertikaikannya atau menolaknya. Maka kenapa kini amalan sebegini dijadikan sasaran
untuk menghukum orang lain sebagai pelaku bid'ah yang tidak mengikuti sunnah? Jika pun
tidak mahu bertalqin, maka sewajarnya berlapang dadalah kerana ianya termasuk dalam bab
khilafiyyah pada furu', di mana dalam mazhab Syafi'i ianya adalah sesuatu yang dihukumkan
sebagai sunnat atau mustahab. Imam an-Nawawi rhm. menulis dalam kitab "Raudhatuth
Tholibiin" seperti berikut:-





... Dan mustahab hukumnya mentalqinkan mayyit setelah dikebumi. Maka dikatakan: "Wahai
hamba Allah anak hamba perempuan Allah, ingatlah dengan apa yang atasnya engkau keluar
meninggalkan dunia, iaitu penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawasanya
Nabi Muhammad pesuruh Allah. Sesungguhnya syurga itu benar, neraka itu benar,
kebangkitan itu benar, hari kiamat pasti datang tanpa keraguan, dan Allah akan
membangkitkan sesiapa sahaja dari kubur. Sesungguhnya engkau telah redha Allah sebagai
Rab, Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi, al-Quran sebagai
panutan, ka'bah sebagai qiblat dan kaum mukminin sebagai saudara". Telah warid dengannya
hadits Junjungan Nabi s.a.w.








Selanjutnya Imam an-Nawawi meneruskan lagi:-




Inilah talqin yang dihukumkan mustahab oleh perhimpunan daripada sahabat kami (yakni
para ulama asy-Syafi'iyyah), antara mereka adalah al-Qadhi Husain, Shohibut Tatimmah,
Syaikh Nashr al-Maqdisi dalam kitabnya "at-Tahdzib" dan selain mereka. Qadhi Husain telah
menukilkan bahawa secara mutlak di sisi ulama Syafi'i, membaca talqin ini adalah mustahab .
Dan adapun hadits yang datang mengenai hukum talqin ini adalah dhoif, akan tetapi hadits-
hadits (dhoif) berkaitan keutamaan (fadhoil) adalah tidak mengapa untuk diamalkan di sisi
ahli ilmu daripada kalangan muhadditsin dan selain mereka. Dan telah diperkukuhkan
hadits mengenai talqin ini dengan kesaksian beberapa hadits yang shohih, seperti
hadits :

"Mohonlah kepada Allah baginya (yakni bagi si mati) akan ketetapan (yakni ketetapan dalam
menjawab fitnah kubur),"

dan wasiat Sayyidina 'Amr bin al-'Aash:
"Berdirilah kamu di sisi kuburku (walaupun hanya) selama kadar menyembelih seekor
sembelihan dan membahagi-bahagi dagingnya, sehingga aku dapat merasakan ketenangan
dengan kalian dan aku mengetahui dengan apa akan aku kembalikan utusan-utusan Tuhanku
(yakni Munkar dan Nakir)", sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam
shohihnya. Sentiasalah penduduk Kota Syam beramal dengan amalan talqin ini sejak zaman
permulaan Islam lagi, iaitu zaman di mana orang-orangnya dijadikan ikutan.


Maka berkata para sahabat kami (yakni ulama Syafi'i): " Dan duduklah orang yang membaca
talqin itu di sisi kepala kuburan si mati, dan adapun anak kecil yang belum baligh dan
seumpamanya, maka tidaklah ditalqinkan."

Oleh itu, janganlah memandang remeh urusan talqin mayyit setelah dikubur. Ianya adalah
amalan yang punya dalil dan asas dalam Mazhab Syafi'i. Bukan hanya kita di Malaysia yang
bertalqin zaman berzaman, Imam an-Nawawi rahimahullah telah menyatakan bahawa umat
Islam di Kota Syam turut mengamalkannya sejak dahulu lagi. Jauhilah sikap mempersenda-
sendakan amalan orang lain, apatah lagi jika ianya yang punya dasar, dan diamalkan oleh
para ulama dan awliya'. Negeri Sembilan Darul Khusus adalah negeri yang telah mewartakan
fatwa berhubung talqin. Di mana dalam Warta Kerajaan Jil. 50 No. 19 bertarikh 11
September 1997 mewartakan fatwa berikut:-

1. Talqin hukumnya adalah sunat dan masa talqin itu ialah semasa ihtidar (hampir mati) dan
atau selepas dikebumikan.

2. Semasa di dalam ihtidar (hampir mati) maka sunat diajarkannya mengucap kalimah
syahadah iaitu La ilaha illallah dan bagi mayat yang telah dikebumikan maka dikata di sisi
kuburnya, kata olehmu Tuhanku Allah, Agamaku Islam, Nabiku Muhammad S.A.W. hingga
akhir talqin.

3. Mana-mana orang atau kumpulan orang adalah dilarang -

(a) membid'ahkan mana-mana orang lain yang membacakan talqin kepada mayat.

(b) memegang, mengamal atau mengajarkan bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah
dilarang.

(c) menyiar, menyebar, menghebahkan atau mendedahkan dengan apa-apa cara pun bahawa
bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.

4. Mana-mana orang Islam adalah dilarang menjadi anggota, pemimpin atau penyokong
mana-mana orang atau kumpulan orang yang dilarang di dalam perenggan 3.

You might also like