You are on page 1of 9

BELAJAR CARA BELAJAR (BCB)

BELAJAR CARA BELAJAR (BCB)


Belajar cara belajar (BCB) merupakan satu bentuk kemahiran
memperoleh teknik pembelajaran secara efektif dengan atau
tanpa guru. Pelajar perlu belajar cara belajar supaya mereka
dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan dalam proses
pembelajaran sama ada di dalam kelas atau luar kelas dan
seterusnya berusaha untuk mencari jalan untuk mengatasi
kelemahan dan menggunakan kelebihan atau kekuatan yang ada
untuk memaksimumkan pencapaian dalam pelajaran.
Penguasaan kemahiran BCB amat penting bagi pelajar lantaran
masa pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas adalah
amat terhad. Hal ini menyebabkan ilmu pengetahuan yang
diterima oleh pelajar juga terhad. Oleh itu, pelajar harus belajar
cara untuk memperoleh maklumat tambahan dan meningkatkan
penguasaan mereka dalam mempelajari sesuatu. Dalam erti kata
lain, BCB akan membantu pelajar supaya mampu dan berupaya
untuk belajar sendiri tanpa guru.Dengan menguasai kemahiran
BCB, pelajar juga mampu menilai tahap pembelajarannya sendiri
dan seterusnya membuat sesuatu untuk meningkatkan
prestasinya dalam pelajaran.
Kemahiran belajar meliputi keseluruhan kemahiran yang biasanya
cuba diterapkan oleh guru Bahasa Melayu ( sama ada peringkat
sekolah rendah mahupun sekolah menengah) dalam P&P mereka
(terkandung dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu) iaitu
meliputi kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran
membaca, kemahiran menulis dan mencatat nota dan kemahiran
menghafal
1. Kemahiran Mendengar dan Bertutur
Kemahiran mendengar dan bertutur merujuk kepada keupayaan
murid memahami perkara yang didengar dan menyampaikan
maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif
secara lisan dalam pelbagai situasi pengucapan sama ada dalam
perbualan harian atau situasi formal. Kemahiran mendengar dan
bertutur sememangnya saling berkaitan.
Kemahiran mendengar dan bertutur merupakan kemahiran
utama yang perlu dikuasai oleh pelajar. Malangnya, pelajar sering
mengabaikan penguasaan kemahiran ini kerana menganggap
kemahiran mendengar kurang relevan dalam meningkatkan
penguasaan dalam pelajar. Begitu juga pelajar kurang melibatkan
diri secara aktif dalam perbincangan di dalam atau di luar bilik
darjah. Sangkaan tersebut ternyata meleset.
Sebenarnya, mendengar dan bertutur merupakan elemen penting
dalam proses komunikasi yang berkesan antara manusia. Dalam
komunikasi yang efektif, pelajar perlu menjadi pendengar yang
baik. Pelajar perlu mendengar dengan teliti dan memberi
perhatian terhadap perkara yang disampaikan. Selepas itu,
pelajar juga harus mampu mengeluarkan pendapat atau
pandangan terhadap sesuatu isi pelajaran yang dipelajari
Tujuan kita mendengar sesuatu adalah untuk mendapat
maklumat, fakta atau pengetahuan daripada perkara yang
didengar. Tidak kira siapapun penyampainya, yang pentingnya
ialah orang tersebut mampu memberikan maklumat, memberi
penjelasan tentang sesuatu yang bermakna kepada kita supaya
kita lebih memahami hal terebut..
Begitu juga halnya dalam P&P di bilik darjah. Pelajar perlu
memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap perkara yang
disampaikan oleh guru. Caranya, pelajar perlu mendengar dan
memandang ke arah guru serta memberi fokus terhadap perkara
yang diajarkan oleh guru. Amat perlu untuk pelajar mendengar
penjelasan guru tentang sesuatu perkara yang dipelajari supaya
pelajar dapat memahami isi pelajaran.
Sekiranya ditanya oleh guru, pelajar harus berkemampuan untuk
memberi jawapan. Begitu juga halnya ketika pelajar tidak jelas
atau memahami sesuatu isi pelajaran. Dalam hal ini pelajar
berupaya mengaju soalan kepada guru atau rakan-rakan bagi
memperoleh maklumat yang dikehendaki.
2. Kemahiran Membaca
Pelajar perlu menguasai kemahiran membaca untuk memperoleh
infomasi , ilmu pengetahuan dan maklumat tentang sesuatu
perkara. Membaca juga merupakan satu bentuk komunikasi iaitu
komunikasi antara pembaca dan penulis.
Terdapat 4 tahap kemahiran membaca iaitu:
a. Skimming
Skimming merupakan satu bentuk kemahiran membaca untuk
mendapat gambaran keseluruhan atau idea utama dalam sesuatu
bahan atau teks bacaan . Misalnya, apabila kita membaca surat
khabar, tentunya kita tidak akan membaca perkataan demi
perkataan, sebaliknya kita akan melakukan imbasan terhadap
petikan yang terdapat dalam surat khabar tersebut.
Skimming dilakukan 3 atau 4 kali lebih cepat daripada
pembacaan normal. Kebanyakan orang melakukan pembacaan
secara skimming apabila mereka mempunyai banyak bahan yang
perlu dibaca dalam masa yang terhad. Kemahiran skimming
wajar dikuasai pelajar supaya pelajar dapat menjimatkan masa
ketika mencari maklumat atau informasi tertentu melalui
pembacaan artikel di internet atau bacaan buku rujukan.
Skimming amat berguna kepada pelajar terutamanya ketika
pelajar ingin mencari informasi melalui internet. Pelajar perlu
membuat pembacaan secara skimming untuk melihat sama ada
sesuatu bahan tersebut memenuhi keperluan pelajar atau
berkaitan dnegan maklumat yang ingin diperoleh oleh pelajar.

Ada terdapat beberapa strategi yang boleh dilakukan ketika
skimming. Pelajar boleh membaca tajuk, sub-tajuk atau melihat
gambar rajah atau carta. Pelajar boleh membaca perenggan
pendahuluan dan penutup seuatu teks. Selain itu, baca juga
hanya ayat pertama setiap perenggan. Biasanya ayat pertama ini
memberi idea utama yang ingin disampaikan oleh penulis.
Cara bacaan ini adalah lebih sesuai sekiranya pelajar ingin
mencari maklumat tertentu bukannya untuk pemahaman teks.
Paling sesuai sekiranya pelajar ingin mengetahui tentang sesuatu
tarikh, nama, tempat dan maklumat-maklumat yang spesifik
seperti data atau fakta ringkas. Malah skimming boleh digunakan
untuk melihat graf, jadual atau carta.

b. Scanning

Scanning atau imbasan ialah kemahiran membaca untuk
mendapatkan informasi yang lebih terperinci daripada bacaan
skimming. Biasanya, melalui kemahiran membaca secara
scanning pelajar mampu mencari jawapan kepada pelbagai
persoalan yang timbul dalam sesuatu topik pelajaran. Dalam erti
kata lain, dalam kebanyakan situasi, pelajar tahu perkara yang
ingin dicari. Lantaran itu, fokus pembacaan ialah mencari kata-
kata kunci yang tertentu dalam mencari jawapan tersebut.
Membaca secara imbasan melibatkan tindakan menggerakkan
anak mata dengan cepat untuk mencari perkataan khusus atau
frasa-frasa tertentu.

Sebenarnya, pembacaan secara scanning atau imbasan ini
merupakan satu kaedah cepat untuk mendapatkan fakta tertentu
dalam buku teks atau buku rujukan. Scanning juga merupakan
satu langkah awal bacaan kerana melalui cara ini, pelajar boleh
mengetahui istilah-istilah baru dan seterusnya mencari maknanya
dalam kamus atau glossari dan menjimatkan masa ketika
membuat pembacaan sebenar atau bacaan berat untuk
pemahaman.

Menguasai kemahiran membaca secara scanning melibatkan
masa yang tidak lebih daripada beberapa minit. Hal ini membantu
pelajar menjimatkan masa dan dalam masa yang sama mendapat
jawapan kepada persoalan-persoalan yang berkaitan. Hanya
selepas itu, pelajar boleh membuat keputusan dalam menentukan
tahap kepentingan sesuatu istilah, konsep dan bahagian dalam
teks atau buku teks mahupun buku rujukan yang memerlukan
perhatian khusus ketika pelajar membuat ulang kaji atau
membaca untuk belajar

c. Baca Laju

Kemahiran bacaan laju merupakan kemahiran membaca secara
cepat tetapi dalam masa yang sama memahami bahan yang
dibaca. Dalam bacaan laju, tumpuan utama kepda idea utama
atau isi-isi penting dalam sesuatu bahan bacaan. Penguasaan
kemahiran bacaan laju banyak membantu pelajar menggunakan
masa yang terhad secara optimum. Hal ini disebabkan oleh
pemerolehan maklumat atau fakta yang diperlukan oleh pelajar
dapat dilakukan dalam masa yang singkat dan dengan kadar
yang cepat.

d. Bacaan berat atau bacaan intensif

Bacaan berat atau bacaan intensif ialah kemahiran membaca
untuk mendapatkan informasi secara terperinci. Bacaan intensif
memerlukan fokus yang mendalam dan penelitian terhadap
bahan atau teks yang dibaca. Dalam menguasai kemahiran
membaca intensif ini , pelajar perlu memiliki ketekunan dalam
pembacaan yang tinggi. Pelajar juga perlu memperuntukan masa
yang panjang untuk melakukan bacaan berat kerana bacaan
berat melibatkan masa yang lebih lama supaya pelajar boleh
mendapat maklumat dan memahami teks atau bahan bacaan
secara jitu dan mantap.

3. Kemahiran Menulis dan Mencatat Nota

BCB tidak sahaja memerlukan pelajar itu menguasai kemahiran
bertutur, mendengar dan membaca tetapi yang lebih penting
ialah menguasai kemahiran menulis terutama kemahiran menulis
nota dan menulis cepat.

Kemahiran mencatat nota melibatkan aktiviti merekodkan data,
maklumat, informasi, fakta atau isi-isi penting daripada sesuatu
bahan sama ada bahan yang dibaca, didengar atau dilihat.
Cataran nota akan membantu pelajar untuk lebih memahami isi
pelajaran. Selain itu, nota tersebut berguna sebagai bahan
rujukan dalam mengulang kaji pelajaran pada masa-masa
mendatang.

Kemahiran menulis cepat ialah kemahiran menulis dengan kadar
yang laju dan cepat dalam tempoh masa yang terhad. Walau
bagaimnapun, tulisannya mestilah boleh dibaca dan difahami.
Penguasaan kemahiran menulis cepat akan membantu pelajar
menulis sebanyak mungkin maklumat dalam jangka masa yang
terhad dan hal ini membantu peljar menjimatkan masa. Selain
itu, seseorang yang menguasai kemahiran ini akan mampu
memberikan jawapan yang mengandungi banyak isi ketika
menjawab soalan peperiksaan.

4. Kemahiran Mengingat atau Menghafal

Mengingat dan menghafal merupakan satu bentuk kemahiran
yang perlu dikuasai oleh pelajar jika ingin berjaya dalam
pelajaran. Kemahiran mengingat atau menghafal merupakan
kemahiran mengingati semula isi-isi pelajaran dan fakta-fakta
yang telah dipelajari sebelum ini.
Faktor penting yang membantu proses mengingat atau
menghafal ialah kefahaman tentang sesuatu bahan yang dibaca
dan dipelajari. Kemahiran mengingat atau menghafal banyak
dibantu oleh deria pendengaran dan penglihatan yang baik.
Dalam hal ini, maklumat atau informasi diterima daripada deria
dan disimpan dalam otak. Kemahiran mengingat dan menghafal
membantu informasi yang diterima disimpan dalam ingatan kekal
dan mampu digunakan semula pada masa yang diperlukan.

5. Kemahiran Mengumpul Maklumat

Kemahiran maklumat merupakan satu aspek kemahiran BCB
yang paling utama. Dalam hal ini, pelajar bukan sahaja mampu
mengenal pasti maklumat yang perlu dicari, tetapi juga mampu
mengumpul, mengurus dan mengolah maklumat supaya
maklumat tersebut dapat digunakan bagi memenuhi keperluan
dalam pembelajaran.

Kemahiran ini perlu dikuasai pelajar supaya pelajar mampu
memperoleh maklumat tambahan dalam pelajaran. Hal ini
disebabkan pelajar tidak boleh semata-mata bergantung kepada
maklumat yang diberikan oleh guru-guru. Apabila pelajar
menguasai kemahiran maklumat, bermakna pelajar berupaya
mengenal pasti sumber pembelajaran, kaedah atau teknik
mendapatkan maklumat sama ada melalui rujukan buku, rujukan
kamus atau rujukan melalui sumber internet.

Tuntasnya, dengan menguasai kemahiran cara belajar sama ada
dengan atau tanpa kehadiran guru, pelajar dapat
memaksimumkan usaha dan mengoptimumkan pemerolehan ilmu
pengetahuan . Dalam masa yang sama, penguasaan kemahiran
cara belajar mampu membantu pelajar menggunakan masa
secara berkesan. Bukan sahaja pelajar dapat mengenal pasti
kelemahan dan kekuatan dalam proses pembelajaran pelajar
sendiri serta cuba untuk mengatasinya namun yang lebih penting
pelajar mampu membuat pembelajaran kendiri secara efektif
bersesuaian dengan penekanan aspek pembelajaran sepanjang
hayat oleh Kementerian Pelajaran.




Posted by cikgu aniza-kemahiran belajar at 8:53 PM
Labels: TEKNIK BELAJAR

You might also like