You are on page 1of 17

1

MENANGANI KEGELINCIRAN AKIDAH DI KALANGAN PELAJAR:


PERANAN GURU SAINS MENERUSI INTEGRASI SAINS DAN PRINSIP TAUHID

Shafiah Abdul Rashid
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Azman Yusof, Dr
MICET, Universiti Kuala Lumpur

Zanaton Hj Iksan, Dr
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia


Abstrak

Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sesebuah negara. Apa
yang dirangka dalam sistem persekolahan menjadi penentu utama kejayaan masa hadapan
generasi harapan bangsa. Melalui sistem pendidikan yang baik, individu berpeluang
meningkatkan kualiti hidup, menjadi ahli masyarakat yang berjaya dan mencapai taraf hamba
Allah yang diredhaiNya. Sebaliknya sistem pendidikan yang pincang akan melahirkan
individu yang tidak berkualiti, anggota masyarakat yang tempang dan gagal mencapai
keredhaan Allah. Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menegaskan keperluan prinsip
bersepadu dalam melahirkan insan yang harmoni jasmaninya, emosinya, rohaninya dan
inteleknya. Ia wajar dihayati dan diperkasakan memandangkan para sarjana pendidikan
telah mengiktiraf falsafah ini sebagai bersifat holistik serta bertunjangkan al-Quran dan al-
sunnah. Penulisan ini cuba memartabatkan prinsip bersepadu di dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan menerusi integrasi sains dan prinsip tauhid agar ia benar-benar mampu
mengembangkan potensi pelajar secara seimbang dan menyeluruh sekaligus membasmi
kegelinciran akidah di kalangan pelajar.

Kata kunci: Integrasi sains tauhid, pendidikan bersepadu, potensi pelajar.



1.0 Pengenalan

Pendidikan adalah salah satu agenda besar yang mampu mengubah kualiti dan ketamadunan
sesebuah bangsa di dunia. Manusia akan dianggap mundur sekiranya tiada pendidikan.
Individu dan keluarga yang berpendidikan dan meletakkan ilmu sebagai cara hidup akan
lebih mudah membuat satu keputusan yang tepat (Mohd. Khalid Nordin & Wan Hassan
2

2007). Ikatan silaturahim dalam keluarga dan perpaduan dalam masyarakat juga akan
menjadi lebih kukuh melalui sistem pendidikan.
Proses pendidikan berfungsi untuk membangunkan semua potensi yang ada pada diri
seseorang individu merangkumi potensi akal (cognitive), jasmani/tingkah laku
(psikomotor/behaviour), emosi dan rohani (spiritual) atau lebih popular dikenali sebagai
JERI (jasmani, emosi, rohani, intelek). Kesemua potensi ini sebenarnya berkembang dalam
kehidupan manusia bermula sejak dilahirkan dan diperkukuhkan menerusi sistem pendidikan.
Kesedaran terhadap keperluan sebuah falsafah yang mendasari sistem
pendidikan negara mula timbul berikutan berikutan laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji
Dasar Pelajaran (1979). Jawatankuasa ini mendapati kurikulum lama telah gagal membina
warganegara yang bersemangat patriotik dan berakhlak mulia (Siti Alia Zaharuddin et al.
2012; Abdul Rahim Hamdan & Siti Norashikin Moin 2007; Shahril @ Charil Marzuki &
Habib Mat Som 1999). Lantaran itu, rombakan besar-besaran telah dilakukan menerusi
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada 1983 diikuti Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM) bagi memastikan modal insan yang bakal meneraju negara mempunyai
keseimbangan aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (Yahaya Jusoh & Azhar Muhammad
2010; Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin 1988). Seterusnya FPK diistiharkan secara rasmi
pada 1987.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menukilkan bahawa;
Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi
intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
FPK dengan jelas dan nyatanya menekankan konsep pendidikan bersepadu
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Wujudnya unsur ketuhanan di dalam
falsafah ini telah menyebabkan asas sistem pendidikan di Malaysia menjadi berbeza dari
sistem pendidikan barat. Barat menggariskan bahawa ideologi intelek adalah bersifat
3

antroposenik, iaitu kepusatan manusia semata-mata. Ideologi barat malahan memutuskan
hubungan individu dengan Tuhan (Maimun Aqsha Lubis et al. 2013; Khalijah Mohd. Salleh
et al. 2011; Muhammad Naquib 1989). Barat menggariskan intelek sebagai bersifat sekular
yang terdiri daripada enam bahagian sahaja iaitu kognitif, mental, pemprosesan maklumat,
berasaskan biologi, perkembagan kognitif dan interaksi sosial.
Sedangkan jika ditinjau dari perspektif Islam, seorang yang dikatakan intelektual
perlu memiliki unsur hikmah iaitu ilmu yang sebenar. Ia berdasarkan daya pemikiran yang
inovatif, logikal, analitis dan ilmu yang bermanfaat. Nik Aziz Nik Pa dan Noraini (2008)
menjelaskan dalam perkembangan daya intelek, kita tidak harus mengenepikan unsur agama
Islam dalam pendidikan. Ini disebabkan manusia adalah mahluk ciptaan Tuhan yang paling
istimewa dan lahir dengan segala macam keistimewaan dan anugerah. Menurutnya,
berdasarkan pendekatan tauhid, terdapat tujuh perkembangan intelek iaitu, hakikat teori
kecerdasan, hakikat metafona kecerdasan, mitos tentang kecerdasan, hakikat insan, hakikat
pintar cerdas, fungsi perkembagan individu, dan fungsi pembangunan keluarga.
Malangnya, apabila ditinjau perjalanan sistem persekolahan Malaysia kini, jelas
kelihatan konflik di mana walaupun FPK telah menggariskan secara jelas keperluan
pengembangan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu berdasarkan kepercayaan
dan kepatuhan kepada Tuhan namun dari segi perlaksanaan, ia masih berkiblatkan sistem
pendidikan barat yang bersifat sekular. Ilmu dan agama diasingkan secara total di mana
agama hanya diajar di dalam matapelajaran Pendidikan Islam sedangkan di dalam
matapelajaran lain, perkataan Allah tidak ditemui.
. Akibat pengasingan ilmu dari agama ini jelas kelihatan pada senario hari ini di mana
remaja sekolah tidak lagi mempunyai pegangan akidah yang mantap. Realiti ini dizahirkan
oleh statistik keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja sekolah yang semakin meningkat.
Pendidikan di sekolah telah semata-mata menjadi satu cara untuk mendapatkan ilmu yang
boleh menghasilkan imbuhan material sahaja sedangkan seharusnya sistem persekolahan
mampu mendidik pelajar menjadi insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan
inteleknya (Yahaya Jusoh & Azhar Muhammad 2010; Sidek Baba 2010; Shaharir 2009)
Di sebalik kebimbangan ini, tidak dinafikan dari satu aspek sistem persekolahan
Malaysia telah menempa beberapa kejayaan dalam melahirkan beberapa institusi dengan
kemantapan jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti MRSM Ulul Albab, Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Kelas Aliran Agama (KAA), Sekolah Menengah
4

Sains Integrasi, Sekolah Menengah Sains Agama, Maahad Tahfiz Kerajaan Negeri dan
sebagainya. Namun begitu, sekolah-sekolah ini bersifat elit di mana hanya pelajar terbaik
akademik dan kokurikulumnya sahaja diterima masuk. Maka bagaimanakah nasib jutaan lagi
pelajar-pelajar yang berada dalam sistem persekolahan arus perdana?

2.0 Peranan Sekolah Dalam Mendidik Pelajar

Sekolah merupakan organisasi pendidikan formal yang pertama dilalui oleh seseorang
selepas melalui pendidikan tidak formal di rumah. Berlainan dari suasana rumah, sekolah
memiliki budaya dan sosialnya yang tersendiri. Oleh itu kajian mengenai sahsiah pelajar di
sekolah mestilah melihat sekolah sebagai suatu organisasi sosial yang mempunyai struktur
pentadbiran yang tersendiri. Selain itu, meskipun sekolah adalah sebuah organisasi yang
formal, sekolah juga merupakan sebuah organisasi tidak formal yang wujud akibat daripada
berlakunya interaksi sosial iaitu proses di mana manusia bertindak atau bertindakbalas
dengan orang lain antara individu atau kumpulan dalam organisasi itu (Sharifah Alawiyah
Alsagof 1986).
Menurut Paul B. Horton (1964) sistem interaksi di sekolah boleh dilihat sekurang-
kurangnya dari dua perspektif iaitu interaksi antara pelajar di dalam sekolah tersebut dengan
pelajar sekolah lain atau interaksi antara pelajar dalam sekolah yang sama. Melalui kegiatan
atau aktiviti di sekolah yang sentiasa dipenuhi oleh interaksi sosial, komunikasi dan
kerjasama antara ahli-ahli akan membantu pembentukan sahsiah dan emosi yang sihat di
samping peningkatan potensi intelek dan jasmani dalam organisasi sekolah tersebut.

Perkembangan jasmani, emosi, rohani dan emosi pelajar sekolah merujuk kepada
aspek perubahan pada diri pelajar itu sendiri samaada perubahan itu positif atau ke arah
negatif. Seandainya perubahan itu wujud ke arah positif maka ianya akan berusaha agar dapat
berdikari dengan segala nilai positif yang murni (Mohd Khalid & Wan Hassan 2007; Wan Azmi
Ramli, 1992). Dengan itu sekolah berfungsi sebagai tempat untuk membentuk masyarakat
pelajar yang sentiasa bersedia untuk menghadapi perubahan dan pembaharuan.

Menurut Nik Aziz Nik Pa & Noraini (2008), kehidupan remaja banyak dipengaruhi
oleh budaya sekolah dan amalan bilik darjah. Duke (1989) menyatakan bahawa organisasi
5

sekolah mempunyai kaitan dengan pembentukan disiplin dan kepimpinan sekolah berperanan
untuk membentuk sekolah yang mempunyai disiplin yang tinggi.
Amran (1993) dalam dapatan kajiannya menyatakan bahawa faktor utama
kemerosotan akhlak remaja adalah kurang pengetahuan agama atau tiada didikan agama.
Dapatan ini selari dengan kajian Rosmawaty (2002) yang mendapati apabila semakin tinggi
kadar penghayatan Islam seseorang pelajar, semakin tinggi nilai akhlaknya dan begitulah
sebaliknya.
Jika dilihat dari perspektif Islam, kecerdasan emosi sebenarnya merujuk kepada
pembersihan hati. Kemestian untuk memelihara hati agar tidak busuk dan tidak rosak sangat-
sangat dituntut dalam agama. Dengan hati yang baik, maka lahirlah nilai kecerdasan emosi
yang baik. Hati akan jadi kotor apabila manusia melakukan dosa sehingga jadilah hati itu
hitam dan gelap. Akibatnya, manusia yang tidak belajar apa-apa dari hidupnya dikatakan
seperti telah mengalami kebutaan pada mata hatinya, malahan telinga juga pekak kerana tidak
mahu mendengar ajaran-ajaran yang baik. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,
Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging,apabila ia baik, maka baiklah
badan seluruhnya dan apabila ia rosak,rosaklah sekeliannya. Itulah hati.
Rumusannya, kecerdasan emosi amat berkait rapat dengan nilai keagamaan. Begitu
juga dengan kecerdasan rohani. Kedudukan kecerdasan rohani sebenarnya berada di aras
paling tinggi kerana ia membawa manusia menjaga hubungan dengan Allah SWT, manakala
kecerdasan intelek dan emosi pula membawa manusia untuk menjaga hubungan dengan
dirinya sendiri, manusia lain dan alam sekitar. Oleh yang demikian, sebuah sekolah yang
berkesan adalah sekolah yang berjaya menerapkan nilai-nilai keagamaan yang kukuh dalam
diri warganya.
Menurut Abdullah Nashih Ulwan (1994), pembinaan potensi diri yang seimbang
terdiri daripada empat unsur dasar iaitu pembinaan akidah (kepercayaan), ibadah (ritual),
akhlak (etika dan moral) dan penampilan (mazhar) . Bagi Imam al-Nawawi pula beliau
melihat pembangunan potensi manusia terangkum dalam lapan aspek yang utama iaitu aspek
pembangunan akhlak kepada Tuhan, akhlak sesama insan, sosial, adab kehidupan,
ibadat,jihad, ilmu dan pengetahuan batasan agama (Kamarul Azmi & Abdul Halim Tamuri
2007) .
Berlainan pula persepsi pengkaji Barat seperti Mark, Weber dan Maslow di mana
mereka berpendapat pembangunan manusia bermaksud perjuangan memenuhi keperluan
6

jasmani manusia itu sendiri seperti memenuhi keperluan fizikal dan psikologi manusia,
meningkatkan status kuasa dan agama di samping meningkatkan kelas sosial ekonomi yang
menjadi tunjang dalam menentukan pembentukan dan perkembangan struktur sosial
masyarakat manusia (Kamarul Azmi & Abdul Halim Tamuri 2007). Oleh yang demikian,
aspek keagamaan tidak dilihat penting oleh barat dan tidak perlu dimasukkan ke dalam
kurikulum matapelajarannya.

3.0 Prinsip Pendidikan Bersepadu Dan Isu Yang Melingkarinya

Banyak pihak telah memberikan takrifan yang pelbagai berkenaan prinsip bersepadu.
Menurut Shaharir (2009), istilah Pendidikan Bersepadu atau Integrated Education atau
Integrated Curriculum yang diamalkan di pelbagai negara di dunia membawa sekurang-
kurangnya lapan maksud. Pertama, pendidikan yang tidak memisahkan kaum-kaum dan
kelompok misalnya antara kulit hitam dengan kulit putih, atau antara penganut Katholik
dengan Protestan. Kedua, pendidikan yang tidak memisahkan subjek-subjek sains dari pelajar
misalnya Alam dan Manusia dalam KBSR Darjah 4-6 dan Sains Paduan. Ketiga, pendidikan
untuk pelajar kurang upaya (OKU). Keempat, pendidikan perubatan yang tidak memisahkan
peringkat klinikal dengan bukan klinikal. Kelima, pendidikan yang menyatukan ilmu dengan
teknologi dan keperluan semasa. Keenam, pendidikan yang menggabungkan dua atau lebih
bidang yang terpisah misalnya gabungan sains dengan sastera. Ke tujuh, pendidikan sains
yang berfokus kepada pelajar, di mana guru hanya bertindak sebagai pemudahcara, dan
kelapan, pendidikan yang tidak mengabaikan nilai-nilai agama seperti Kristian dan Islam.
Dalam konteks Malaysia, prinsip pendidikan bersepadu yang dihasratkan dalam
FPK ini adalah merujuk kepada maksud ke (viii) di mana, nilai-nilai agama yang dipilih
adalah mengikut kerangka ajaran Islam sebagai agama persekutuan di dalam perlembagaan
negara. Kenyataan ini diakui oleh sarjana-sarjana pendidikan di Malaysia misalnya;
Pendidikan bersepadu ialah pendidikan yang bersumberkan, berpaksikan, dipimpin dan
berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Ia adalah sebuah konsep pendidikan yang
diperkenalkan bagi mengatasi pengaruh sekularisme ke atas sistem pendidikan Islam.
(Hj. Awang Mahmud Saedon 2003)
7

Pendidikan bersepadu adalah pendidikan yang berteraskan ilmu wahyu, disepadukan ke
arah disiplin-disiplin ilmu dan akal ke arah pembangunan komuniti ummah berteraskan
aqidah.
(Tajul Ariffin dan Noraini 2006)
Pendidikan bersepadu adalah pendidikan yang menyatukan jiwa dan raga, dunia dan
akhirat yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah, dilandasi oleh semangat tauhid, serta
keserasian antara iman, ilmu dan amal.
(Gamal Abd. Nasir 2003)
Rentetan dari Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran
(1979) maka pada 1983, cubaan untuk mengaplikasikan prinsip bersepadu ini telah
diutarakan menerusi strategi penerapan nilai-nilai murni. Konsep pendidikan bersepadu
menerusi penerapan nilai-nilai murni ini dianggap penting kerana dengannya diharap dapat
dibentuk peribadi dan sahsiah diri yang utuh, kental dan padu (Nik Zaharah 2007; Lilia
Halim 2008).
Malangnya realiti yang berlaku adalah guru-guru hanya diminta menerapkan enam
belas nilai murni ke dalam aktiviti PdPnya merangkumi nilai baik hati, berdikari, hemah
tinggi, hormat menghormati, kasih sayang, keadilah, kebebasan, keberanian, kebersihan
fizikal dan mental, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional dan
semangat masyarakat. Justeru timbul persoalan adakah penerapan enam belas nilai murni ini
benar-benar merupakan manifestasi kepada prinsip bersepadu mengikut takrifan sebenarnya?
Juga adakah guru selaku pihak pelaksana FPK memahami hasrat sebenar yang terkandung di
dalam prinsip bersepadu FPK tersebut? Penerimaan guru dalam sesuatu inovasi pendidikan
adalah penting memandangkan guru adalah pemain peranan terpenting dalam menentukan
kejayaannya. Dalam inovasi penerapan nilai murni, kejayaan tidak akan tercapai tanpa
dokongan guru yang berwibawa dan berdedikasi (Tajul Ariffin Nordin 2006).
Selain dari itu menurut Shaharir (2009), konsep asal sains bersepadu yang
diperjuangkan oleh beliau dan rakan-rakannya sejak 1980an telah terpinggir disebabkan
kurangnya kefahaman di kalangan penggubal kurikulum dan pelaksananya. Beliau
menegaskan bahawa sorotan kepada pendidikan perlu dilakukan semula bagi memastikan
pendidikan bersepadu berada di landasan yang betul mengikut prinsip dan gagasan yang
8

asalnya iaitu sebelum KBSM diperkenalkan lagi. Ini disebabkan gagasan pendidikan
bersepadu lahir hasil dari gelombang kebangkitan semula Islam yang melanda seluruh dunia
pada era 1970an. Al-Attas (1999) telahpun mengingatkan bahawa kekeliruan dalam
memahami konsep dan pengertian ilmu akan menjadikan proses penyampaian PdP tidak
bermakna bahkan boleh membawa kepada kerosakan kepada keseluruhan sistem pendidikan
Islam.
Seharusnya pelajar yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan inteleknya adalah
pelajar yang memiliki pencapaian akademik yang cemerlang dan ditunjangi dengan pegangan
akidah yang mantap. Pembangunan rohani dan intelek mereka perlu saling melengkapi
antara satu sama lain bagi menjamin kualiti hidup yang cemerlang di dunia dan akhirat
(Maimun Aqsha Lubis et al. 2008). Pembangunan rohani yang dimaksudkan di sini tidak
terhad kepada enam belas nilai murni semata-mata. Ia juga tidak seharusnya diterapkan di
dalam kelas matapelajaran Pendidikan Islam semata-mata sebaliknya perlu dizahirkan secara
merentas kurikulum di dalam semua matapelajaran di sekolah.

4.0 Menangani Kegelinciran Akidah Menerusi Matapelajaran Sains

Allah berfirman dalam surah al-Imran;
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih
bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang
yang berakal iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil
berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka
memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (sambil berkata):
Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia.
Maha suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka.
(al-Imran: 190-191)
Ilmu sains merupakan alat untuk mencari jawapan kepada rahsia alam semesta. Al-
Quran mengajar manusia untuk menggunakan akal fikirannya bagi mempelajari dan
memerhatikan alam dan peraturannya supaya lebih mendekatkan diri dengan Tuhan selepas
9

menegetahui dan memahami rahsia keagungannya. Hal ini disokong oleh kata-kata Einstein
(1949) yang mashyur dalam bukunya World As I See iaitu;
Agama tanpa sains itu buta, sains tanpa agama itu cacat.
Sains merupakan ilmu pengetahuan yang diperolehi daripada pengkajian dan
penyelidikan terhadap alam tabii secara teratur dan bersistem (Wan Mohd. Aimran 2012;
Syed Naquib Al-Attas 2007; Mohd. Sani Badron 2006). Sedangkan alam yang teratur dan
bersistem ini dimiliki oleh Allah yang Esa. Sifat Allah yang Esa ini membayangkan
ketunggalan Allah dan menafikan segala yang menyekutukannya (Syed Muhammad Naquib
al-Attas 2007). Justeru seorang guru sains muslim seharusnya mampu memberi gambaran
kepada pelajarnya bahawa pembelajaran sains merupakan suatu proses menyerap, memupuk
dan menjelmakan adab sains yang berteraskan tauhid, iaitu sains adalah kajian alam tabii
yang terpadu dengan konsep mengEsakan Allah.
Menurut Syed Naquib al-Attas (1989), Islam menggunakan kaedah tauhid dalam
bidang pendidikan di mana semua pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang bersesuaian
boleh digunakan tanpa membuat garis pemisah antara domain spiritual, intelektual dan
saintifik seperti membaca, berdiskusi, melakukan eksperimen, berdoa, bercerita bermetafora
dan lain-lain. Pendidikan sains berteraskan tauhid ini merupakan salah satu dari strategi
operasi yang mampu membekali ilmu dan membina keterampilan sains berteraskan konsep
tauhid (Jawiah Dakir 2012; Khalijah Mohd. Salleh 2010; Lilia Halim 2008; Nik Zaharah
Nik Yaacob 2007).
Oleh yang demikian, guru harus memainkan menyatukan prinsip tauhid dengan
fakta-fakta saintifik di dalam kelas dan makmal sains. Hal ini menuntut inisiatif dan
kreativiti yang tinggi dari pihak guru sendiri memandangkan pihak Kementerian Pendidikan
tidak ada menyediakan modul, model atau bahan bantu mengajar melibatkan pendidikan
sains berteraskan tauhid. Justeru, pelaksanaan hasrat ini menuntut kebijaksanaan seluruh
barisan dan angkatan pendidikan untuk melakukan muhasabah terhadap pegangan dan
amalan pendidikan yang digunakan selama ini bagi membolehkan potensi pelajar dapat
dikembangkan dengan lebih menyeluruh.


10

5.0 Contoh Integrasi Sains dan Prinsip Tauhid Dalam Matapelajaran Kimia
Berikut ini disertakan contoh ringkas ayat-ayat al-Quran yang dapat digunakan oleh
para guru dalam matapelajaran kimia tingkatan empat berdasarkan dokumen Huraian Sukatan
Pelajaran Kimia Tingkatan Empat (KPM 2004). Sebahagian contoh penggunaan ayat-ayat al-
Quran dipetik dari kajian Nik Zaharah Yaacob (2007) , Khalijah Salleh (2011) dan Mohd.
Arip Kasmo (2001). Walaubagaimanapun ia hanyalah sebagai panduan para guru. Kreativiti
guru adalah diperlukan bagi mengembangkan kaedah pengajarannya agar apa yang
disampaikan dapat menyerap dengan baik di hati pelajar.

BAB 1: PENGENALAN KEPADA KIMIA
1. Pernyataan:
Kimia merupakan satu cabang ilmu sains yang mengkaji kepelbagaian bahan yang
terdapat dalam alam semesta.

Ayat Quran yang relevan:
Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah ia (air) di
lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang
mengambang. Dan dari apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat
perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti (buih arus) itu. Demikianlah Allah
membuat perumpamaan tentang yang benar dan yang batil. Adapun buih, akan hilang
sebagai sesuatu yang tidak ada gunanya; tetapi yang bermanfaat bagi manusia , akan
tetap ada di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan.
Ar-Rad (17)

2. Pernyataan:
Langkah-langkah penyelidikan saintifik adalah:
Membuat pemerhatian, membuat inferens, membuat hipotesis, mengenalpasti dan
mengawal pembolehubah, merancang kaedah penyiasatan, mengumpul data,
menganalisis dan mentafsir data, membuat kesimpulan, menyediakan laporan.

Ayat al-Quran yang relevan:
Yang menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Tidak akan kamu lihat sesuatu yang
tidak seimbang pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pengasih. Maka lihatlah sekali lagi,
adakah kamu lihat sesuatu yang cacat?
Al-Mulk (3)
11

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan
siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal iaitu orang-orang yang mengingati
Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka
memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (sambil berkata): Ya Tuhan kami,
tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah
kami daripada seksa neraka.
Al-Imran ( 190-191)

3. Pernyataan:
Seorang saintis mesti memiliki sikap saintifik dan nilai murni.

Ayat al-Quran yang relevan:
Dan langit telah ditinggikanNya dan Dia ciptakan keseimbangan,agar kamu jangan
merusak keseimbangan itu, dan tegakkanlah keseimbangan itu dengan adil dan
janganlah kamu mengurangi keseimbangan itu.
Ar-Rahman (7-9)

BAB 2: STRUKTUR ATOM
1. Pernyataan:
Bahan terdiri dari tiga rupabentuk jirim iaitu pepejal, cecair dan gas. Ketiga-tiga
rupabentuk ini saling berubah menerusi proses pendidihan, pemelowapan, penyejatan,
kondensasi dan pembekuan.

Ayat al-Quran yang relevan :
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menjadikan awan bergerak perlahan,
kemudian mengumpulkannya, lalu Dia menjadikannya bertumpuk-tumpuk, lalu
engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, dan Dia (juga) menurunkan (butiran-
butiran) ais dari langit , (iaitu) dari (gumpalan-gumpalan awan seperti ) gunung-
gunung, maka ditimpakanNya (butiran-butiran ais) itu kepada siapa yang Dia
kehendaki dan dihindarkanNya dari siapa yang Dia kehendaki. Kilauan kilatnya
hampir-hampir menghilangkan penglihatan.
Annur (43).

2. Pernyataan:
Teori zarah jirim menyatakan bahawa jirim terdiri daripada zarah yang halus dan
diskrit.

12

Ayat al-Quran yang relevan:
Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan berkelompok-kelompok,
untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) semua perbuatannya. Maka barangsiapa
mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan
barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)
nya.
Al-Zalzalah (6-8)

3. Pernyataan:
Neil Bohr (1913) mencadangkan bahawa elektron-elektron bergerak mengelilingi
nukleus dalam orbit tertentu. Pergerakan ini dapat dianalogikan seperti pergerakan
bumi mengelilingi matahari atau bulan mengelilingi bumi.

Ayat al-Quran yang relevan:
Dan telah kami tetapkan tempat peredaran bagi bulan, sehingga (setelah ia sampai ke
tempat peredaran yang terakhir) kembalilah ia seperti bentuk tandan yang tua.
Tidaklah mungkin bagi matahari mengejar bulan dan malampun tidak dapat
mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarnya.
Yaasin (39-40)

4. Pernyataan:
Elektron-elektron di dalam atom disusun di dalam petala mengikut urutan nombor
tertentu, misalnya 2.8.8.2 atau 2.8.16.8.2 dan sebagainya. Setiap unsur mempunyai
urutan nombornya yang tersendiri.

Ayat al-Quran yang relevan:
Maha suci Allah yang telah menurunkan al-Furqan (al-Quran) kepada hambaNya
(Muhammad) , agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam (jin dan
manusia), yang memiliki kerajaan langit dan bumi, tidak mempunyai anak, tidak ada
sekutu bagiNya dalam kekuasaan (Nya) , dan Dia menciptakan segala sesuatu, lalu
menetapkan ukuran-ukurannya dengan tepat.
Al-Furqan (1-2)


13

5. Pernyataan:
Ahli sains telah mengemukakan berbagai teori atom. Banyak di antaranya telah
dibuktikan sebagai tidak benar.

Ayat al-Quran yang relevan:
Katakanlah (Muhammad), sekiranya laut menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-
kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-
kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).
Al-Kahf (109)


5.0 Penutup

Pelajar sekolah hari ini merupakan bakal pemimpin masa hadapan. Kejayaan atau kegagalan
didikan guru hari ini hanya akan dapat dilihat kesannya beberapa tahun setelah mereka
meninggalkan bangku persekolahan. Dalam kegairahan mengejar kemajuan sains dan
teknologi, kita sudah tentu tidak ingin melihat generasi masa hadapan memiliki jiwa yang
kosong terhadap penciptanya. Justeru, kesedaran tentang Allah Yang Esa sebagai pencipta
alam semesta harus sentiasa ditegaskan dan dinyatakan bukti-buktinya menerusi PdP
sains. Oleh yang demikian guru sains harus bersikap proaktif dalam melengkapi diri dengan
ilmu dan strategi bagi mengintegrasikan sains dengan prinsip tauhid. Adalah diharapkan
dengan ini prinsip bersepadu dalam falsafah pendidikan kebangsaan akan dapat diperkasakan
dan impian melahirkan sebuah negara bangsa yang unggul akan berjaya dicapai.

.







14

RUJUKAN

Al-Quran. 2010. Terbitan Khazanah Rabbani Publisher. Bangi.
Abdul Rahim Hamdan & Siti Norashikin Moin. 2010. Tahap Perpaduan Pelajar Pelbagai
Kaum Dalam Matapelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu. [Atas talian] Muat turun 3
Disember 2013, dari http://eprints.utm.my/10727/1/

Abdullah Nasih Ulwan. 1995. Pendidikan Kanak-kanak Dalam Islam. Terj. Syed Ahmad
Semait, Singapura: Pustaka Nasional

Amran Kasimin. 1993. Masalah Sosial Dan Hubungannya Dengan Didikan Agama. Kuala
Lumpur: Dinic Publisher.
Awang Mahmud Saedon. 2003. Jejak-jejak Akademi Pengajian Brunei, Brunei
Darussalam.

Duke, D.L. 1989. School Organisation, Leadership and Student Behaviour. Educational
Research And Improvement.
Gamal Abdul Nasir Zakaria. 2003. Mohammad Natsir Pendidik Ummah. Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jawiah Dakir. 2012. Sains Tauhidik: Menyingkap Pendidikan Berteraskan Tauhid. Seminar
Serantau Maqasid al-Quran. Singapura.
Kamarul Azmi Jasmi & Abdul Halim Tamuri. 2007. Pendidikan Islam Kaedah Pengajaran
dan Pembelajaran. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2001. Falsafah Pendidikan Kebangsaan: Matlamat dan
Misi. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.
Khalijah Mohd. Salleh, Mohd. Yusof Hj. Othman, Shadidan Radiman, Jawiah Dakir, Abdul
Halim Tamuri, Nor Hayati Alwi, Muhammad Hafizuddin Jumali, Lilia Halim &
Mastura Badzis. 2011. Teachers Concerns, Perception and Acceptance Toward
Tauhidic Science Education. Kyoto Bulletin of Islamic Area Studies. 4-1&2: 124-155.
15

Khalijah Mohd. Salleh. 2010. Pendidikan Sains Tauhidik: Ke arah Pembentukan Jati Diri
Kebangsaan. Seminar Jati Diri 1 Malaysia Peringkat Kebangsaan.
Lilia Halim. 2008. Ilmu Pedagogi Kandungan Sains Untuk Pendidikan Bersepadu.
Pendidikan Sains Berteraskan Tauhid. 149-166.
Maimun Aqsha Lubis, Ramlee Mustapha & Muhammad Nazir Muhammed Khalid. 2013.
Integrated Islamic Education: Philosophical Issues and Challenges. Proceeding 3
rd

International Conference of Asean Studies on Integrated Education in Islamic Studies
and Civilisation, Songkla Thailand.

Maimun Aqsha Lubis. 2008. The implimentation of Integrated Islamic Education. Bangi:
National Universiti of Malaysia
Mohd. Khalid Hj Nordin,Dr Wan Hassan Wan ahmad (2007). Mendidik anak Dari Jiwa Yang
Tenang. Seremban: Tripple Power Consultant.

Mohd. Arip Kasmo. 2001. Pemantapan Akidah Menerusi Penghayatan Mujizat Sains Dalam
al-Quran.Tesis PhD. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd. Sani Badron. 2006. Adab dan Taadib: Masalah Dalaman Kaum Muslimin dan
Beberapa Isu Pendidikan Islam. http://abechique.blogspot.com/2006/04/adab-tadib-
masalah-dalaman-kaum. html. Akses 1 Jun 2013.
Muhammad Naquib al-Attas. 1989. Islam and The Philosophy of Science. Kuala Lumpur:
International Islamic University.
Nik Aziz Nik Pa & Noraini. 2008. Perjuangan Memperkasakan Pendidikan di Malaysia:
Pengalaman 50 Tahun Merdeka. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distribution
Sdn. Bhd.
Nik Zaharah Nik Yaacob. 2007. Kajian Penerapan Nilai Murni Menerusi Pengajaran
Bermodul. Tesis Doktor Falsafah, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan malaysia.
Paul B. Horton & Chester L. Hunt. 1964. Sociology. New York: Mc Graw Hill Publication.
16

Pusat Perkembangan Kurikulum. 2004. Huraian Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah Kimia Tingkatan Empat. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Rosmawaty Ibrahim. 2002. Proses Pembentukan Akhlak Dalam Menangani Masalah
Disiplin. Tesis Sarjana Pendidikan yang tidak diterbitkan. Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Shaharir Mohammad Zain. 2009. Kemajuan Pendidikan Sains Terkamir di Malaysia dengan
Penekanan Khas Kepada Sains Matematik. Dlm Ahmad M.S & NasirM.M.T 2009.
Pembudayaan Ilmu Membina Jatidiri Ketamadunan. Kolej Dar al-Hikmah: 206-243
Shahril & Charil Marzuki & Habib Mat Som. 1999. Isu Pendidikan di Malaysia: Sorotan dan
Cabaran. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Sharifah Alawiyah Alsagoff (1986). Ilmu pendidikan: pedagogi. Kuala Lumpur:
Heinemann,cetakan 4.
Sidek Baba (2010).Kehidupan Sejahtera Terbina Atas Pendidikan Bersepadu. Pendidik Bil
73/Jun 2010., ms 57.
Siti Alia Zaharudin, Tini Vitaningtyas, Suzana Salleh & Nurul Shida Kamaruzaman. Kesan
Tamadun Islam Terhadap Perkembangan Pendidikan Islam di Malaysia. Prosiding 3
rd

International Conference of ASEAN Studies on Integrated Education in Islamic Studies
and Civilisation, Songhla, Thailand.
Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1999. The Concept of Education in Islam. Edisi ke-3.
Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).
Syed Muhammad Naquib al-Attas. 2007. Tinjauan Ringkas peri Ilmu dan Pandang Alam
Islam. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. 2-7.
Tajol Ariffin Nordin dan NorAini Dan. 2006. menobatkan paradigma al-Quran Sebagai
Realiti Pendekatan Bersepadu. Prosiding Wacana Pendidikan Islam (Siri 5):
Pendidikan Islam dan Bahasa Arab Pemangkin Peradaban Ummah. Bangi: Fakulti
Pendidikan Universiti Pendidikan Malaysia.
17

Tajul Ariffin Nordin. 2006. Kepentingan Bangsa: Evolusi Pemikiran Bersepadu. Kertas kerja
dibentangkan dalam Kongres Kepentingan Bangsa. Johor Bahru.
Wan Azmi Ramli. 1998. Petaka Abad ke-21. Kuala Lumpur: Golden Books Centre. Cetakan
Pertama.
Wan Mohd. Aimran. 2012. Beberapa Saranan Pengukuhan Bagi Kursus STPD 2143
Pengenalan Sains Tauhidik. Fakulti Sains Teknologi. Bangi: Universiti kebangsaan
Malaysia.
Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin. 1993. Pengisian Wawasan Pendidikan. Kertas Kerja yang
Dibentangkan Dalam Seminar Pendidikan Nasional Peringkat Negeri Pulau Pinang,
Yahaya Jusoh & Azhar Muhammad. 2010. Kesepaduan Falsafah Sains al-Quran Dalam
Kurikulum Sekolah Rendah Sebagai Asas Pembentukan Masyarakat Hadhari di
Malaysia. Jurnal Hadhari (3): 23-41.

You might also like