You are on page 1of 6

KEMAHIRAN KAUNSELING KELOMPOK

KEMAHIRAN KAUNSELING KELOMPOK


Pelbagai jenis kelompok telah dikemukakan sebagai satu pendekatan spesifik bagi
menangani masalah yang boleh dirawat melalui kaunseling kelompok. Antaranya
ialah Terapi Kelompok Alderian yang telah digunakan oleh Rudolf Dreikus bagi
menangani masalah kanak-kanak. Carl Rogers pula telah mengenengahkan
Kaunseling Kelompok yang mengguna pendekatan terapi Pemusatan Perorangan.
Albert Ellis dengan kelompok terapinya telah menerapkan Terapi Rasional Emotif
Perlakuan. Robert Carkhuff pula giaenjalankan Latihan Perkembangan Sumber
Insan dan Arnold Lazarus menerapkan Teknik Terapi Pelbagai Modal dalam
Kelompok Terapi Perlakuan

Asas Pengendalian Kelompok
Seorang kaunselor mesti sedar tentang elemen yang mempengaruhi personaliti
dalam pengendalian kelompok. Kaunselor mestilah menunjukkan sikap yang
bersungguh-sungguh semasa menjalankan tugasnya. Sikap penyayang juga
dikehendaki agar boleh dicontohi oleh ahli. Kaunselor juga perlu tabah dengan
cabaran yang dihadapi semasa mengendalikan kelompok. Ianya berkait dengan
pengendalian yang bersifat terbuka dan telus tanpa emosi, pemikiran dan perlakuan
yang terselindung.

Pembentukan kelompok perlu disediakan secara rasional dan rapi serta perlu selari
dengan jenis kelompok yang akan diselenggarakan. Perkara ini mesti difikirkan
secara mendalam oleh kaunselor yang mengetuai perjalanan kelompok yang
dibentuk itu. Sehubungan itu kejayaan penyelenggaraan kelompok juga akan
bergantung kepada keperluan yang dikehendaki oleh bakal ahli yang akan
menganggotai kelompok tersebut.

Sebagai seorang yang mengetuai kelompok kaunselor mesti dapat menjalinkan
kepercayaan dengan semua ahli dalam kelompok tersebut. Cara pengendalian
setiap kaunselor atau fasilitator adalah berbeza tetapi perkara yang penting ialah
mesti mendapat kerjasama yang erat dan keyakinan daripada semua ahli kelompok
ke arah pencapaian matlamat. Kemungkinan juga wujud ahli yang akan menguji
kecekapan kaunselor sebagai fasilitator dan mengajukan pelbagai kerenah yang
rumit. Dalam keadaan demikian ketabahan kaunselor akan tercabar dan dia wajar
menerapkan segala kemahirannya dengan mengguna pelbagai teknik kaunseling
dan perhubungan antara insan.

Kemahiran Dalam Mengendalikan Kaunseling Kelompok
Untuk memimpin sesuatu kumpulan Kaunseling Kelompok memerlukan beberapa
kemahiran tertentu supaya matlamat dan tujuan kumpulan itu tercapai. Kaunselor
atau fasilitator menjadi penggerak utama dalam perkembangan tiap-tiap ahli dalam
kumpulan. Memimpin Kaunseling Kelompok adalah lebih sukar daripada menjadi
kaunselor dalam Kaunseling Individu. Kaunselor memerlukan persediaan yang lebih
rapi kerana interaksi dalam kumpulan lebih luas dengan bilangan ahli yang ramai
dan personaliti yang berbeza-beza. Dengan lain perkataan kaunselor perlu
menguasai beberapa kemahiran tertentu.

Kemahiran Mengenalpasti, Melabel dan Menjelas
Mengenalpasti, melabel, menjelas dan menerangkan kembali maklumat yang telah
diberi oleh ahli. Kaunselor perlu memahami maksud yang dinyatakan secara terus
atau tidak langsung oleh ahli. Ada tiga jenis maksud yang akan dikeluarkan oleh ahli
kelompok iaitu berkenaan dengan perasaan dan emosi, perlakuan dan kognitif.
Kaunselor perlu sedar tentang maklumat-maklumat yang kurang jelas pada dirinya
dan ahli-ahlinya atau reaksi ahli untuk mengelak dari berbincang tentang hal-hal
sensitif berkenaan emosi. Kaunselor akan menggalakkan proses mengenalpasti,
menjelas dan menggambarkan kembali perasaan supaya ahli faham dan sedar apa
yang sedang berlaku di antara mereka. Jika ahli-ahli dapat melihat dengan jelas
peranan kaunselor dalam aspek ini, mereka akan lebih yakin dan percaya kepada
proses terapi kumpulannya.

Namun kaunselor juga perlu prihatin untuk mempertimbangkan perkara yang perlu
dihormati dan tidak wajar diluahkan oleh ahli sebagai klien dalam kelompok bagi
menjaga martabat dan kehormatannya, melainkan ahli yang terlibat benar-benar
bersetuju dan berani mengambil risiko kesan pada dirinya
Corey dan Corey (1977) mengatakan, seseorang ketua harus dapat bertindak balas
secara sensitif dan simpati terhadap setiap individu dalam kelompoknya serta
berkomunikasi dengan reaksi ahli-ahlinya. Mereka juga seharusnya menyaksikan
kelompok dinamik melalui kemahiran-kemahirannya memproses interaksi yang
kompleks dalam kelompoknya. Seorang ketua kelompok yng berkesan adalah
benar-benar diasuh dan dilenturkan mengikut mesej kliennya dan bertindak balas
cepat daripada cuma berkata-kata tentang dunia luas sahaja atau tidak fokus.

Dalam menguasai kemahiran ini kaunselor harus mempunyai daya memerhati yang
kuat serta nampak apa yang sedang berlaku dalam kumpulannya. Pemerhatian
yang dibuat haruslah diterangkan kepada ahli-ahli supaya mereka sedar tentang
perlakuan dan reaksi mereka dalam kumpulan. Kaunselor tidak dapat menolong ahli
mengubah perlakuan jika kaunselor sendiri tidak sedar apa yang berlaku dalam
kumpulannya. Kaunselor juga mesti faham tentang budaya berinteraksi antara
berlainan jantina dan umur.

Kemahiran mendengar
Kaunselor memerlukan kemahiran mendengar yang tinggi kerana ini adalah
kemahiran yang paling asas dan penting. Mendengar bukan satu kemahiran mudah
tetapi perlu mendengar dengan berkesan terutama untuk mendengar maklumat
yang dikeluarkan oleh beberapa orang. Dari proses mendengar kaunselor
menunjukkan kepada ahli kualiti kaunselor yang berkesan iaitu dengan mendengar
dengan teliti apa yang disebutkan oleh ahli dan tidak membuat prejudgemental.
Kaunselor seterusnya memberi peluang kepada ahli menceritakan pandangan
mereka tanpa mengecil atau mempermainkan mereka.

Kaunselor menyatakan semula perasaan ahli dan menunjukkan tanda empati serta
menunjukkan minat terhadap pendapat dan pandangan ahli. Menurut Mahler (1969)
dan Dinkmeyer (1971) ketua kelompok berinteraksi sesama ahlinya dengan
berkongsi pengalaman, perasaan dan pengetahuan. Ia juga membantu penyertaan
menjadi lebih rancak, bermoral dan perasaan yang positif, di mana penyertaan ahli-
ahli akan mewujudkan penerimaan perasaan ahli oleh ketua itu.

Mewujudkan Suasana Teraputik
Kemahiran ini penting terutama dalam masa perbincangan berlaku percanggahan
pendapat yang dikeluarkan secara agresif. Akhirnya perselisehan faham atau
pergaduhan akan berlaku di antara ahli. Kaunselor harus berhati-hati supaya
keadaan yang tidak menyenangkan tidak berlaku. Namun kaunselor tidak
seharusnya menyekat dan mengenepikan keinginan ahli untuk mengeluarkan
pendapat. Suasana tegang tidak dibiarkan dan kaunselor harus masuk campur
terutama apabila ahli mula berbelah pihak dan menjadi agresif semasa berinteraksi.
Perhatikan sekiranya ada ahli yang menjadi sasaran kumpulan atau tedapat ahli
yang menjadi tertekan atau tegang dan kaunselor perlu mewujudkan suasana
teraputik dengan mengawal situasi atau mengunakan strategi masuk campur.
Strategi ini harus diibuat dengan diplomasi supaya ahli-ahli tidak menjadi ragu-ragu
terhadap keberkesanan kaunselor dalam sesi itu.

Walau bagaimanapun kaunselor jangan keterlaluan sehingga terlihat terlalu memuji
atau mengkritik ahli atau menasihat ahli. Walaupun usaha ini mungkin untuk
mententeramkan suasana tetapi ahli-ahli akan menjadi tidak puas hati. Kaunselor
harus menjadi penghubung kepada perbincangan supaya setiap ahli dapat
mengeluarkan pendapat dan interaksi mereka bertambah meluas.

Kemahiran Menghadapi Kesenyapan
Kesenyapan mungkin berlaku semasa sesi Kaunseling Kelompok dijalankan dan
kaunselor perlu memahami dan bersedia menghadapi keadaan tersebut.
Kesenyapan lebih baik daripada ahli berbual kosong dalam kumpulan. Memahami
mengapa kesenyapan berlaku dalam kumpulan adalah penting. Ahli-ahli dalam
kumpulan tidak biasa bercakap tentang diri mereka. Mereka memerlukan masa
untuk berfikir samada mereka telah sedia untuk menghadapi pendedahan diri.
Kaunselor harus membebaskan diri dari rasa terdesak dan panik apabila kumpulan
menjadi senyap.

Strategi yang boleh digunakan ialah mengelakkan diri dari menjadi orang yang mula-
mula memecahkan suasana kesenyapan setiap kali dengan bertanya, mengeluarkan
komen dan pendapat. Gunakan masa kesenyapan untuk memerhati gerak laku ahli-
ahli seperti rasa bosan, gelisah , cemas, ingin bercakap tetapi takut dan reaksi-
reaksi lain lagi. Masa itu digunakan untuk memerhati dan dan mengumpul data
tanpa bahasa dari ahli. Sekiranya kaunselor tidak yakin menghadapi kesenyapan
mungkin menyebabkan kaunselor mengeluarkan komen yang menjejaskan
penerimaan ahli.

Kemahiran Berkomunikasi Dengan Jelas
Kemahiran berkomunikasi dalam kumpulan sangat penting. Kaunselor perlu
memahami tahap pemikiran atau kematangan ahli-ahlinya dan menggunakan
bahasa-bahasa yang difahami oleh orang biasa. Menunjukkan diri sebagai seorang
yang terlalu intelektual akan menakutkan ahli. Tanda-tanda ahli tidak memahami
atau kaunselor mempunyai kemahiran komuikasi yang kurang baik ialah apabila
terdapat ahli yang bertanya maksud kata-kata kaunselor berulang-ulang. Jika ini
berlaku ahli mungkin enggan bertanya lagi kerana malu, takut atau mungkin bosan
dan akhirnya ahli menjadi pengikut tanpa soal jawab.

Satu cara yang baik untuk mengatasi keadaan ini ialah dengan mengetahui sedikit
bahasa sehari-hari ahli supaya perbincangan tidak menjadi terlalu formal. Elakkan
dari bercakap terlalu panjang dan berbelit-belit. Tentangan mata juga adalah
sebahagian daripada komunikasi yang menunjukkan anda memberi perhatian dan
berminat

Kemahiran Konfrantasi
Kemahiran yang memerlukan ahli-ahli menghadapi persoalan diri sendiri yang
mereka secara sedar mengelakkan diri dari menerimanya. Menggunakan teknik ini
harus berhati-hati kerana ahli boleh merasa terancam apabila belum bersdia untuk
menerima hakikat diri mereka. Kemahiran ini berguna untuk memperbetulkan dalih
atau ketidakseimbangan kenyataan atau maklumat yang diberi oleh ahli. Dengan
cara ini ahli akan menjadi lebih bertanggungjawab terhadap peranan dan tindakan
mereka.

Teknik ini berkesan digunakan dalam kumpulan yang telah mencapai kepercayaan
dan keyakinan di antara ahli. Masalah timbul kepada kaunselor untuk menggunakan
teknik ini kerana budaya dan cara hidup masyarakat khususnya Melayu mengajar
bahawa bersemuka dan berterang-terangan adalah tidak sopan dan tidak
bertimbang rasa. Kaunselor dalam masa yang sama harus mengekalkan rasa
penerimaan dan rasa hormat daripada ahli. Untuk itu kaunselor perlu mengenal pasti
perlakuan-perlakuan yang bercanggah samada dari segi tingkah laku, perasaan dan
pemikiran. Percanggahan ini hendaklah dibentangkan supaya ahli nampak dan
sedar tetapi tidak sampai menunjukkan rasa menghukum, menyalah atau menuduh.

Kemahiran Intervensi
Kemahiran menggunakan teknik menghalang adalah penting kepada kaunselor
untuk mengendalikan sesi kelompok. Kaunselor mesti sentiasa sedar untuk
perkembangan proses Kaunseling Kelompok menuju matlamat kumpulan
seluruhnya. Oleh itu jika dalam proses perkembangan kelompok ahli-ahli memberi
maklumat yang tidak berfaedah bagi kumpulan untuk mencapai matlamat, kaunselor
perlu menghalang dan mengalihkan kembali perbincangan kepada tajuk yang
berkaitan. Teknik ini jika digunakan dari awal pada masa-masa yang sesuai dapat
memberi contoh kepada ahli bagaimana berbincang untuk faedah bersama

Kaunselor perlu mempunyai keyakinan untuk menghalang atau intervensi apabila
berlaku keadaan-keadaan tersebut. Apabila ini berlaku perkembangan kelompok
akan terbantut dan menjadi lembab. Kaunselor harus sentiasa sedar hala tuju
kelompoknya dan sentiasa menjalankan peranannya.

Kemahiran Meneroka
Kemahiran menggunakan teknik ini adalah untuk mengenalpasti dengan lebih
mendalam tentang masalah, peranan dan tindak tanduk mereka. Ahli sebenarnya
ragu-ragu untuk meneliti sendiri perlakuan mereka tanpa bimbingan aktif dari
kaunselor. Namun kaunselor jangan memaksa ahli memberi respon sebaliknya
memberi kebenaran kepada ahli mendiamkan diri jika dilihat ahli merasa terancam.
Teknik ini perlu digunakan dengan diplomasi supaya ahli tidak menganggap
kaunselor menjaga tepi kain orang lain. Kaunselor boleh mengemukakan soalan-
soalan terbuka dan tertutup. Sebutkan nama mereka ketika memberi respon

You might also like