You are on page 1of 9

Konsep etnik, budaya dan masyarakat.

Masyarakat

Kamus Dewan : Masyarakat (society) dapat didefinisikan sebagai kumpulan individu
yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu.

Jaringan perhubungan antara individu dalam sesebuah masyarakat khususnya
melalui hubungan bersemuka yang berulangkali akan membina kesepaduan
masyarakat sebagai satu unit sosial.

Seterusnya perhubungan yang erat tersebut akan membentuk sistem sosial seperti
berkongsi kebudayaan, adat, nilai, undang-undang dan sebagainya, contoh : budaya
gotong royong, nilai ziarah menziarahi, sama-sama merayakan hari kebesaran dan
sebagainya.

Jelasnya, masyarakat adalah sekumpulan insan yang berkongsi budaya,
memduduki satu-satu kawasan dan kewujudan mereka adalah sebagai satu entiti
yang bersatu padu.
Dari keterangan di atas dapatlah dikatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara
yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa atau masyarakat majmuk.

Masyarakat Majmuk

Istilah masyarakat majmuk dipelopori oleh J.S Furnivall menerusi kajiannya
mengenai masyarakat Indonesia dan Myanmar.

Menurut beliau masyarakat majmuk ialah masyarakat yang terdiri dari pelbagai etnik.
Masing-masing mempunyai agama, kebudayaan, bahasa dan adat resam. Walau
pun mereka hidup di bawah satu sistem politik, namun mereka menjalani kehidupan
secara berasingan. Interaksi di antara mereka adalah amat sedikit dan amat
terbatas. Interaksi wujud hanya dalam bidang ekonomi seumpama ketika proses jual
beli di pasar sahaja. Seterusnya pemisahan tersebut berlarutan sehingga di bidang
pekerjaan, di mana bidang pekerjaan adalah mengikut etnik atau kaum tertentu.

Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk.
Penduduknya terdiri dari pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau,
Iban dan sebagainya. Pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia adalah
disebabkan oleh perkembangan industri bijih timah dan getah yang pesat di sekitar
abad ke 19.

Walau pun etnik ini tinggal di dalam sebuah negara dan di bawah satu sistem politik
(pemerintahan penjajah British), namun masing-masing tetap dengan tradisi, identiti,
adat resam, budaya, agama mereka. Senarion ini dapat dilihat dalam sambutan hari
kebesaran etnik masing-masing hari ini.

Ciri-Ciri Masyarakat

Berkelompok
Masyarakat tidak akan wujud tanpa kehidupan secara berkelompok. Adalah mustahil
seseorang individu mampu menyediakan keperluan hidupnya tanpa bergantung
pada individu lain. Oleh itu kehidupan berkelompok membolehkan satu anggota
masyarakat berinteraksi dengan anggota yang lain dan bergantung hidup dengan
anggota masyarakat yang lain.

Berbudaya
Interaksi antara anggota masyarakat akan melahirkan budaya, umpamanya budaya
makan dengan tangan bagi orang Melayu. Budaya ini akan diperturunkan dari satu
generasi kepada satu generasi.

Berinteraksi
Syarat utama wujudnya sesebuah masyarakat ialah terdapatnya perhubungan,
interaksi dan bekerjasama di antara anggota masyarakat. Perhubungan, interaksi
dan bekerjasama ini boleh berlaku secara lisan atau tidak lisan.
Mengalami perubahan
Sesebuah masyarakat adalah tidak statik dan pasti mengalami perubahan.
Perubahan tersebut belaku disebabkan faktor-faktor yang berasal dari masyarakat
itu sendiri. Sebagai contoh penemuan ubat-ubatan moden kini telah merubah
kepercayaan dan amalan masyarakat Melayu dari perubatan tradisional kepada
perubatan moden.

Mempunyai kepimpinan
Setiap masyarakat mesti wujud sistem politik dan kepimpinan. Ia wujud di pelbagai
peringkat sama ada kepimpinan peringkat rendah, sederhana mahupun tinggi.
Sebagai contoh bapa adalah pemimpin keluarga, penghulu adalah pemimpin
kampung dan Perdana Menteri pemimpin negara.

Mempunyai aturan sosial
Setiap masyarakat mesti mempunyai aturan sosial yang berupa peraturan dan
undang-undang. Ia berfungsi menunjuk ajar dan mengawal pergerakan anggota
masyarakat.

1.2.2 Budaya
Budaya atau kebudayaan (daripada perkataan Sanskrit buddayah, yang merupakan
kata jamak bagi perkataan buddhi, yang bermaksud budi pekerti atau akal) secara
amnya membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal manusia. Di dalam
pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan
oleh manusia, berlawanan dengan "perkara semula jadi"' yang bukan diciptakan
atau boleh diubah oleh manusia.

Kamus Dewan (2005) Budaya adalah kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir),
berkelakuan dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005).

Menurut Edward B. Taylor, budaya adalah satu konsep menyeluruh yang
mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-
undang, adat resam dan lain-lain kebolehan serta kebiasaan yang diperolehi oleh
manusia sebagai anggota masyarakat.

Jelasnya di sini budaya adalah suatu cara hidup yang diamalkan oleh satu-satu
kumpulan insan. Ia merangkumi sistem politik, ekonomi, sosial, kepercayaan, adat,
nilai dan sebagainya.

Ciri-ciri budaya:

Boleh dipelajari
Ia tidak lahir dengan sendiri, oleh itu mesti dipelajari. Ibu bapa mengajar anaknya
bagaimana cara makan, minum, berkomunikasi dengan orang yang lebih tua dan
sebagainya.

Boleh diwarisi
Ia boleh diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi. Budaya rakyat
Malaysia (Melayu, Cina dan India) hari ini merupakan warisan dari nenek moyang
mereka dahulu.

Boleh dikongsi
Ia bukan dihadkan kepada satu-satu etnik sahaja, tetapi boleh diamalkan juga oleh
etnik lain. Umpamanya makan nasi lemak, roti canai, nasi ayam yang sudah menjadi
budaya rakyat Malaysia.

Boleh berubah-ubah
Budaya adalah tidak statik, tetapi berubah-ubah mengikut kesesuaian zaman, masa
dan tempat. Sebagai contoh sebelum merdeka kebanyakan rumah beratap nipah,
dan berubah kepada atap genting dewasa ini. Dulu ekonomi masyarakat Malaysia
kebanyakannya berteras ekonomi sara diri dan telah berubah kepada ekonomi
kapitalis.

Bersifat sejagat
Ia wujud dalam semua kelompok manusia, umpamanya budaya menghormati alam
sekitar. Walau bagaimana pun budaya ini berbeza antara satu etnik dengan etnik
lain disebabkan oleh nilai setempat, pengaruh luar, agama dan sebagainya

Mempunyai unsur simbolik
Unsur-unsur berupa imej (bendera, warna, logo, lambang dan sebagainya), bunyi
(siulan, bunyian alat muzik ), isyarat, ( isyarat tangan, muka dan sebagainya)
mempunyai makna tertentu kepada anggota masyarakatnya.

1.2.3 Etnik

Etnik : kelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam. Ini
termasuk adat resam, kegiatan ekonomi, bahasa dan pakaian.

Ras : ras adalah merujuk kepada kelompok manusia yang mempunyai ciri
persamaan dari segi fizikal seperti warna kulit dan sifat-sifat biologi.

Pengkaji barat, Carl von Linne mengkategorikan manusia kepada:
a) Caucasoid (putih)
b) Negroid (hitam)
c) American (merah)
d) Mongoloid (kuning)
1.2.4 Bangsa

Bangsa : Merujuk kepada kelompok manusia yang mempunyai asal usul atau
keturunan yang sama.
Biasanya konsep bangsa digunakan untuk menggambarkan bilangan anggota etnik
yang besar dalam satu-satu kelompok. i.e. bangsa Cina, Melayu, India dan lain-lain.

Pada peringkat lebih tinggi dalam konteks Malaysia, bangsa menggambarkan
anggota etnik yang lebih besar yang mana di bawahnya terdapat kelompok etnik. i.e
Melayu, Cina, India dsb.

Sistem Nilai Yang Lahir Dari Konsep Asas Hubungan Etnik

Etnisiti : Rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik. Sejarah, nilai, sikap dan tingkah
laku yang sama yang menyatukan mereka.

Etnosentrisme : Kepercayaan dan kebanggaan yang wujud di kalangan anggota
sesebuah kelompok bahawa kehebatan cara hidup, budaya warisan serta etnisiti
mereka adalah jauh lebih baik dari kelompok lain.

Kepercayaan begini akan membawa beberapa implikasi:
a) Menolak apa-apa yang baik yang terdapat dalam budaya lain
b) Mencetuskan persengketaan senyap kerana budaya etnik lain dianggap
mengganggu dan meruntuhkan martabat manusia
c) Sukar untuk mewujudkan persefahaman antara etnik kerana sikap ego dan
kebanggaan yang melulu
d) Menjadikan cara hidup dan kebudayaan sendiri sebagai piawai untuk mengukur
cara hidup dan budaya etnik lain
e) Enggan mengetahui cara hidup dan budaya etnik lain sehingga menjadikan
mereka seperti katak di bawah tempurung.

Rasisme : Pandangan pemikiran dan kepercayaan negatif sesuatu kelompok
terhadap kelompok lain berdasarkan fizikal atau biologi.

Diskriminasi : Perbuatan membezakan seseorang individu atau kelompok
berasaskan ciri-ciri etnik.

Prejudis : Pandangan negatif terhadap kelompok lain. Ianya dibuat berdasarkan
generalisasi dan prasangka sahaja.

Dalam konteks hubungan etnik ianya berlaku apabila satu etnik memandang rendah
terhadap etnik lain. Kesan prejudis dapat dilihat bilamana satu etnik berlumba untuk
mendapat sesuatu yang terhad baik dari segi politik, ekonomi, sosial dan
sebagainya.

Streotaip : Ia terbentuk daripada sikap prejudis terhadap etnik-etnik lain. Walau pun
sesuatu perlakuan itu dilakukan oleh sekumpulan kecil etnik, tetapi kerana sikap
prejudisnya maka ia dianggap seluruh etnik tersebut mempunyai perlakuan yang
sama.

Oleh itu stereotaip bolehlah didefinisikan sebagai gambaran berlebih-lebihan tentang
perlakuan samada ianya positif mahupun negatif terhadap satu-satu kumpulan.

Contohnya penulis barat mengatakan: kekayaan yang dimiliki oleh orang Cina
kerana kerjas keras mereka, manakala kemiskinan orang Melayu adalah kerana
sikap malas dan boros mereka. Pandangan streotaip orang Melayu terhadap orang
Cina: Orang Cina adalah pengotor,

1.2 Konsep perpaduan dan integrasi.

Definisi integrasi: Satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional di kalangan
kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial, ekonomi dan
petempatan dalam sesebuah unit politik.

Integrasi sosial adalah proses menyatu padukan berbagai kelompok dalam
masyarakat melalui satu identiti bersama dengan menghapuskan perbezaan identiti
masing-masing.

Jelasnya bahawa integrasi akan wujud dalam sesebuah masyarakat apabila ahlinya
menerima ciri ahli yang lain tanpa merujuk kepada identiti dan asal usul ras mereka.
Ianya akan melenyapkan sikap prasangka, diskriminasi terhadap satu sama lain.

Istilah integrasi sosial ini adalah cetusan idea seorang ahli sosiologi British David
Lockwood di dekad 1950an dalam usaha beliau mencari formula keamanan dan
keharmonian bagi sesebuah masyarakat yang berbilang etnik.

Menurut Shamsul Amri integrasi etnik dapat diklasifikasikan kepada beberapa Jenis,
antaranya:
a) Integrasi wilayah : Mengurangkan jurang perbezaan antara wilayah dalam
konteks ekonomi, politik, sosial dsb.
b) Integrasi ekonomi : Mengurangkan jurang ekonomi antara kumpulan etnik
c) Integrasi kebudayaan : Usaha menyatukan budaya pelbagai etnik sehingga
menjadi budaya kebangsaan.
d) Integrasi sosial : Usaha menyatupadukan rakyat melalui program-program
sosial.
e) Integrasi pendidikan : Usaha menyatupadukan rakyat melalui program-program
pendidikan.
f) Integrasi politik : Usaha menyatupadukan rakyat melalui kerjasama politik dan
melalui konsep pembahagian kuasa.
g) Perpaduan : Satu proses menyatupadukan seluruh anggota masyarakat dan
negara melalui ideologi negara supaya setiap anggota masyarakat dapat
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan
tanah air.
Jelasnya perpaduan adalah melibatkan penyatuan masyarakat dalam semua aspek
kehidupan baik fizikal, ekonomi, politik dan sosial.

Perpaduan adalah penting bagi mewujudkan kestabilan politik yang mana akan
merangsang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

1.3 Kepelbagaian etnik di Malaysia.
1.3.1 Pendahuluan
Masyarakat merupakan kelompok manusia yang mempunyai budaya dikongsi
bersama dan berbeza dengan budaya lain serta mempunyai kawasan geografi
tersendiri, bersepadu sebagai satu kelompok dan melihat diri mereka berbeza
berbanding orang lain. Umumnya, masyarakat saling berinteraksi dan berkongsi
wilayah sama serta terlibat atau mengamalkan budaya yang sama. Terdapat tiga
kumpulan etnik utama di Malaysia iaitu Melayu (pribumi Semenanjung Malaysia,
Sabah dan Sarawak), Cina dan India.

1.3.2 Masyarakat Pribumi (Melayu, Sabah dan Sarawak)
Konsep pribumi secara umum merujuk kepada kumpulan etnik yang naif/naive
(setia) kepada wilayah dituntut dan dipertahankan sepenuhnya oleh sesebuah
negara. Konsep pribumi secara khusus pula merujuk kepada penduduk asal
Malaysia yang terdiri daripada orang melayu dan orang asli di Semenanjung
Malaysia serta kumpulan etnik pribumi di Sabah dan Sarawak. Pada tahun 2000,
penduduk Pribumi meliputi 65 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia dan
dianggarkan sebanyak 14.35 juta mengikut komposisi penduduk Malaysia. Pada
tahun 2005, jumlah penduduk Pribumi telah bertambah kepada 65.9 peratus
daripada jumlah penduduk Malaysia dan dianggarkan sebanyak 16.06 juta.

1.3.3 Masyarakat Pribumi Semenanjung Malaysia
Masyarakat Pribumi di Semenanjung Malaysia meliputi orang Melayu dan orang asli.
Orang asli terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu
Asli atau Melayu-Proto. Kumpulan Negrito terdiri daripada suku bangsa Kinsui,
Kintak, Lanoh, Jahai, Mendrig dan Bateq. Kumpulan Senoi terdiri daripada suku
bangsa Temiar, Semai, Semoq Beri, Che Wong, Jah Hut dan Mahmeri. Kumpulan
Melayu Asli dan Melayu-Proto terdiri daripada suku bangsa Temuan, Semelai,
Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala, Orang Seletar dan Orang Laut.

1.3.4 Masyarakat Pribumi di Sabah
Masyarakat di Sabah terdiri daripada empat kelompok utama seperti Kadazan
Dusun mewakili 24.8 peratus daripada jumlah populasi masyarakat Sabah diikuti
kategori pribumi lain sebanyak 20.6 peratus, Bajau 18.5 peratus dan Melayu 18.5
peratus. Masyarakat Pribumi di Sabah dikatakan berasal daripada Tanah Besar Asia
yang bertutur dalam kelompok bahasa Austronesia. Masyarakat Pribumi di Sabah
adalah Kadazan / Dusun, Murut, Lun Dayeh, Bisaya, Bajau, Kedayan, Orang
Sungei, Melayu Brunei, Iranun dan Suluk.

1.3.5 Masyarakat Pribumi di Sarawak
Di Sarawak etnik Dayak, Melayu dan Melanau berjumlah 73.2 peratus daripada
2.181 juta orang penduduk Sarawak. Etnik Dayak mewakili 44.3 peratus daripada
jumlah penduduk diikut oleh etnik Melayu sebanyak 23.2 peratus dan Melanau
sebanyak 5.7 peratus. Masyarakat Pribumi di Sarawak adalah Bidayuh, Iban,
Melayu, Kayan, Kenyah, Kelabit, Murut dan Lun Bawang, Punan, Penan, Melanau,
Kedayan dan Bisayah.

1.3.6 Masyarakat Cina
Menurut sejarah, Masyarakat Cina mula bertapak di Malaysia pada zaman
Keagungan kerajaan kerajaan Melayu Melaka. Petempatan awal orang Cina adalah
di Melaka. Pada tahun 1403, Laksamana Yin Ching mengetuai rombongan di
Melaka membawa permintaan Parameswara kepada Maharaja China memohon
untuk bernaung di bawah perlindungan negara China. Pada tahun 1405, utusan dari
China diketuai Laksamana Cheng Ho membawa perutusan pengiktirafan
Parameswara sebagai pemerintah kerajaan Melaka oleh maharaja China. Melaka
terus berkembang sebagai pusat perdagangan yang masyhur.

Kegemilangan Melaka menyebabkan maharaja China menghantar puterinya iaitu
Puteri Hang Li Po untuk dikahwinkan dengan sultan Melaka iaitu Sultan Mansur
Syah. Puteri Hang Li Po bersama pengikutnya kira-kira 500 orang telah disambut
baik oleh sultan Melaka dan kesemuanya memeluk agama Islam. Dipercayai Puteri
Hang Li Po dan pengikutnya menetap di suatu tempat dalam daerah Melaka yang
dihadiahkan oleh sultan. Kawasan petempatan dinamakan Bukit Cina. Perkahwinan
sekufu dan silang budaya masyarakat Cina telah meningkatkan hubungan diplomatik
di antara negara China dengan Melaka serta mewujudkan masyarakat Cina terawal
di Melaka khasnya dan di negara ini amnya.

Mengikut catatan sejarah, masyarakat Cina di Malaysia berasal dari China Selatan
iaitu dari wilayah Fukien, Kwangtung dan Kwangsi. Kelompok utama etnik Cina
adalah Hokien, Kantonis, Hakka, Teochew dan Hailam. Kemasukan etnik Cina di
Malaysia dipercayai melalui sistem Kontrak yang diperkenalkan sejak tahun 1848
hingga 1914. Selepas tahun 1914, majoriti kemasukan orang-orang Cina adalah
secara persendirian. Etnik Cina aktif sebagai pekerja lombong (di kawasan Kuala
Lumpur, Ipoh, Taiping, Ampang, Seremban dan lain-lain) dan membuka kedai runcit.

1.3.7 Masyarakat India
Mengikut catatan sejarah, masyarakat India di Malaysia berasal dari India Selatan
(Tamil Nadu). Kelompok utama etnik India adalah Tamil, Malayani, Telugu dan Sikh.
Kemasukan etnik India di Malaysia dipercayai melalui sistem Kontrak yang
diperkenalkan sejak tahun 1880an hingga 1910. Pada tahun 1891, terdapat 75,000
orang India di Tanah Melayu dan jumlah ini telah meningkat kepada 471,536 orang
pada tahun 1921. Etnik India aktif sebagai buruh ladang getah dan pekerja
kemudahan asas (buruh pembinaan) seperti membina jalanraya dan keretapi.
1.4 Pluraliti menurut perspektif Islam.

Menurut Islam, manusia walaupun berlainan bangsa, kulit, bahasa dan agama
adalah berasal dari keturunan yang sama iaitu Adam a.s. Ini dinyatakan oleh Allah
swt:

Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri
mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami
telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta
Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk
Yang telah Kami ciptakan. (al Isra:70)

Dalam Islam, Islam juga tidak membezakan antara seseorang dengan seseorang
yang lain berdasarkan warna kulit, etnik dan sebagainya. Sabda Rasulullah saw:

Tidak ada kelebihan bangsa Arab ke atas bangsa Ajam dan tidak ada kelebihan
bangsa Ajam ke atas bangsa Arab.

Sehubungan dengan itu Rasulullah pernah memarahi Abu Zarr apabila Abu Zarr
menghina Bilal dengan mengatakan wahai anak hitam. Sabda Rasulullah saw
Apakah engkau menghinanya kerana ibunya?, sesungguhnya pada diri mu itu
terdapat sifat-sifat jahiliyah (Sahih Bukhari)

Seterusnya Islam menganjurkan supaya umat Islam mewujudkan hubungan yang
mesra antara umat manusia sepertimana firman Allah: Hujurat : 13

Terjemahan: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu
dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan
bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu
Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang
Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya
(akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Hujurat : 13).

You might also like