Professional Documents
Culture Documents
dibuli akan berasa takut datang ke sekolah. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan
mangsa buli biasanya bersaiz lebih kecil dari segi fizikal jika dibandingkan dengan
pembuli. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu melawan kerana takut dengan pembuli.
Pembuli biasanya akan menyuruh mereka melakukan sesuatu untuk kepentingan
pembuli sendiri. Jika mereka membantah, mereka akan dipukul dan didera. Terdapat
sesetengah pembuli yang membawa kawan-kawannya untuk membelasah pelajar yang
dibuli. Bagi pelajar-pelajar perempuan pula, mereka suka menyindir dan mengutuk
sesama sendiri. Perbuatan ini boleh menyebabkan mangsa tertekan dan ketakutan. Ini
menyebabkan pelajar yang dibuli akan berasa takut dan tidak berani datang ke sekolah
lagi. Jelaslah bahawa kadar ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang dibuli akan
meningkat disebabkan mereka takut datang ke sekolah.
Selain itu, kesan lain yang tidak boleh dikesampingkan ialah mangsa buli tidak dapat
memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran. Kejadian kes buli secara tidak
langsung telah menyukarkan mangsa untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini demikian kerana mereka sentiasa memikirkan
tentang hal tersebut. Mereka juga sering ketakutan dan sentiasa memikirkan perkara
yang dilakukan oleh pembuli ke atas diri mereka. Mereka akan menjadi pasif dan tidak
ceria. Mereka tidak berani berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka.
Mereka lebih suka menyendiri sambil memikirkan nasib mereka yang malang. Hal ini
demikian kerana mereka telah diugut supaya tidak melaporkan kejadian mereka dibuli
kepada ibu bapa dan guru. Jika mereka melaporkan pembuli mengancam akan
melakukan sesuatu yang lebih buruk ke atas diri mereka. Akibatnya, mereka selalu
ponteng sekolah untuk mengelakkan diri daripada dibuli. Ini menyebabkan prestasi
akademik mereka merosot dan akhirnya mereka gagal dalam peperiksaan.
Selanjutnya, gejala buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli bertindak
untuk membunuh diri bagi menamatkan penderitaan yang mereka tanggung. Sudah
terang lagi bersuluh, mangsa buli biasanya akan mengalami trauma dan ketakutan
sepanjang masa. Berdasarkan kajian dan bukti yang diperoleh, terdapat kes-kes yang
tragik di mana mangsa buli telah membuat keputusan bahawa satu-satunya cara untuk
menghentikan kesengsaraan mereka adalah dengan membunuh diri sendiri. Sebagai
contohnya, Vijah Singh yang berumur 13 tahun telah membunuh diri di dalam rumahnya
di Manchester, England. Di dalam diarinya dia telah mendedahkan kesengsaraannya
akibat dibuli. Diari tersebut mencatatkan bahawa wangnya dirampas pada hari Isnin,
hari Selasa dia dipersendakan, hari Rabu pula baju uniform dikoyakkan, hari Khamis
badannya disimbah dengan darah, dan, hari Jumaat semuanya telah berakhir. Hari
Sabtu dia telah mendapat kebebasan. Perkara ini menggambarkan bahawa kes buli
yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli hilang pertimbangan dan kewarasan
sehingga tergamak untuk menamatkan nyawa mereka sendiri.
Gejala buli tidak boleh dibiarkan berleluasa. Sebelum nasi menjadi bubur, beberapa
langkah yang pragmatik dan sistematik untuk mengatasi masalah ini hendaklah
dilakukan. Antara langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi gejala buli di sekolah
adalah dengan memperkukuh peranan ibu bapa. Ibu bapa hendaklah menerapkan
ajaran agama, moral dan nilai murni kepada anak-anak sejak kecil lagi. Ibu bapa harus
mendidik anak-anak mereka mengamalkan sikap saling menghormati dan bertolenransi
pada setiap masa. Kasih sayang dan perhatian yang secukupnya akan membantu
anak-anak mereka membesar dengan sempurna. Anak yang berkeperibadian terpuji
merupakan anak-anak yang membesar dalam sebuah keluarga yang bahagia. Mereka
tidak akan tergamak untuk menyakiti dan membuli orang lain kerana ibu bapa telah
menyemai ajaran-ajaran yang baik dan berguna di jiwa mereka sejak kecil, bak kata
pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Seterusnya, peranan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah hendaklah diperhebat.
Hal ini demikian kerana di sesetengah sekolah, guru kaunseling sibuk membuat kerja
lain daripada berjumpa dengan pelajar bermasalah untuk menyelesaikan masalah
mereka. Pelajar pula tidak mahu berjumpa dengan guru kaunseling kerana mereka
tidak yakin dengan kemampuan dan kebolehan guru tersebut. Oleh itu, guru bimbingan
dan kaunseling harus memainkan peranan lebih aktif. Mereka hendaklah mengesan
dan memberikan kaunseling motivasi kepada pelajar yang selalu dibuli. Biasanya,
mangsa buli tidak mahu berkongsi masalah mereka dengan orang lain kerana takut.
Dengan ini, guru bimbingan dan kaunseling dapat memulihkan semangat mangsa buli.
Mereka juga akan lebih yakin untuk melaporkan kes yang hadapi. Akhirnya, pihak
sekolah dapat mengambil tindakan yang tegas kepada pelajar-pelajar yang terlibat.
Selanjutnya, tindakan disiplin dan undang-undang ke atas pembuli hendaklah dikaji dan
dimurnikan semula. Hal ini demikian kerana tindakan yang dikenakan ke atas mereka
pada masa sekarang tidak menakutkan mereka untuk meneruskan perlakuan buli.
Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mungkin boleh bekerjasama dengan pihak polis
untuk menangani masalah ini. Pembuli yang ditangkap mungkin boleh dipenjarakan
atau disuruh melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama beberapa tempoh tertentu.
Tujuannya adalah untuk menakutkan pembuli yang lain. Setiap pembuli sewajarnya
dikenakan hukuman yang setimpal seperti hantar pembuli ke pusat pemulihan akhlak
atau digantung persekolahan untuk memberikan kesedaran dan pengajaran kepada
pelaku dan orang ramai. Hal ini demikian kerana terdapat kes buli yang berakhir
dengan kematian. Ini menggambarkan betapa kes buli amat serius jika dibiarkan tanpa
tindakan yang sewajarnya. Si pembuli akan terus bermaharajalela mencari mangsanya.
Tindakan mengampunkan pembuli dengan alasan mereka masih muda dan tidak
sesuai dikenakan hukuman penjara haruslah dikaji semula bagi kes-kes buli yang
ekstrem kerana zaman berubah dan musim berbunga.
Kesan Buli
Pembuli
Kesan:
Menjadi satu amalan dan berkemungkinan besar akan menjadi penjenayah apabila
dewasa kelak. Bertindak agresif apabila dewasa seperti merogol, merompak, atau
menjadi seorang pendera terhadap isteri.
Dibuli
Kesan luaran:
Mereka akan membalas dendam kepada orang lain. Tujuannya untuk mengembalikan
harga diri yang hilang akibat dibuli. Mereka akan mengalami kecederaan dan mungkin
juga kematian.
Kesan dalaman:
Hilang keyakinan diri, membiarkan diri diperlakukan apa sahaja, sanggup melakukan
sesuatu demi membahagiakan orang lain, tidak mahu ke sekolah, dan sebagainya.
Sehinggakan ada yang sanggup mencederakan diri sendiri kerana merasakan diri
mereka tidak berguna.