You are on page 1of 9

MINGGU KEDUA

21 Julai 2008 (Isnin)


Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.25 pagi 1.15 petang

Hari ini merupakan hari yang kedua aku akan diselia oleh guru pembimbingku iaitu En. Suzili bin
Mohamed. Walaupun pernah melalui pengalaman diselia kali pertama namun aku tetap berdebar juga
sehingga berpeluh-peluh terutamanya semasa melaksanakan sesi p & p di dalam bilik darjah. Aku cuba
mententeramkan diriku agar sentiasa bertenang dan alhamdulilah aku dapat melaksanakan segala
aktiviti pengajaran dengan lancar.

Namun disebabkan aku terlalu leka dengan memberi penerangan pada langkah pertama menyebabkan
pengurusan masaku untuk langkah-lanagkah seterusnya terpaksa dipendekkan. Walaupun begitu
objektif yang dirancangkan tetap tercapai dengan jayanya. Secara keseluruhannya aku berpuas hati
dengan kerjasama yang diberikan oleh murid-murid sepanjang proses p&p berjalan.

Setelah selesai penyeliaan aku sempat bertemu dengan guru pembimbingku untuk mendapatkan
komen-komen dari beliau. Ternyata anggapanku tepat iaitu kelemahan dari segi pengurusan masa.

Aku akan cuba menepati setiap masa yang telah aku ranacangkan pada sesi pengajaran dan
pembelajaran pada sesi akan datang.

22 Julai 2008 (Selasa)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.15 pagi 1.15 petang

Sepatutnya pada hari ini akau juga akan diseliakan oleh guru pembimbingku bagi kali pertama bagi
opsyen minorku iaitu mata pelajaran Bahasa Melayu. Seperti biasa aku menuggu guru pembimbingku
masuk ke kelas tetapi guru pembimbingku tidak masuk juga. Aku meneruskan sesi pengajaranku seperti
biasa walaupun persediaan telah dibuat.

Pada sesi p & p pada hari ini aku telah meracangkan pengajaran tajuk yang baru bagi unit yang ke
sembilan iaitu Tema Kebudayaan. Murid-murid begitu berminat dan seronok mendengar aku
memberikan penerangan tentang kepelbagaian jenis tarian yang terdapat di Malaysia. Objektif
pengajaranku pada hari ini adalah untuk mengajar murid-murid menyatakan isi tersurat dan juga isi
tersirat berdasarkan gambar rajah yang terdapat di dalam buku teks.

Secara keseluruhannya aku berpuas hati dengan pencapaian murid-murid yang dapat mencapai hasil
pembelajaran pada akhir sesi p & p. Sebagai menguji kefahaman mereka aku telah memberikan tugasan
kepada mereka untuk membuat ayat berdasarkan gambar yang dipaparkan dalam buku teks.

Aku pulang pada jam 1.30 petang.

23 Julai 2008 (Rabu)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.25 pagi 1.15 petang

Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba iaitu hari ini merupakan hari pertama aku akan diseliakan oleh
pensyarah pembimbingku iaitu Dr. Rashidah bt. O.A Rajak. Takut, gementar, malu dan semuanya
berkecemuk dalam diriku. Tak tergambar dalam hatiku seakan mahu terluruh jantungku...

Aku cuba menguatkan diriku..beristighfar kepada Allah Taala agar dapat menenangkan diriku. Mungkin
disebabkan aku tidak yakinkan diri untuk melaksanakan pengajaranku terutamanya semasa dalam kelas
5 Gigih yang aku rasakan susah untuk aku mengawal keadaan kelas tersebut. Ternyata pada permulaan
pengajaran aku begitu gugup dalam memberikan penerangan kepada murid-murid.

Satu kesilapan yang aku lakukan adalah semasa pembahagian tugasan kepada murid-murid di mana aku
telah meletakkan terlebih awal kad tugasan di dalam kotak menyebabkan murid-murid tidak lagi
mendengar arahan dariku..Ini merupakan percubaan pertamaku dalam pembahagian kad tugasan
kepada setiap kumpulan. Sebelum ini tidak aku lakukan pada mana-mana kelas. Namun pada kelas ini ku
lakukan sebagai menjimatkan masa dan dalam mengawal keadaan murid agar tidak bergerak ke sana ke
mari bertanya apa yang perlu dilakukan oleh mereka. Harapanku pada kelas ini agar mereka tidak
membuat bising dan merebut-rebut untuk mendapatkan kad soalanku.. Ternyata rancanganku menjadi
sebaliknya..

Komen-komen dari pensyarah pembimbingku aku jadikan pedoman dan panduan kepada rakan
seperjuanganku yang akan diseliakan pada keesokan harinya agar tidak melakukan kesilapan yang sama.
Pengalaman pertama diselia oleh pensyarah dan juga nasihat yang diberikan akan aku terapkan bagi
mengatasi segala kelemahanku sebelum ini dan akan kujadikan segala komen-komen yang membina
dari pensyarah pembimbingku sebagai panduan untuk aku merancang dan melaksanakan p &p pada sesi
pengajaran yang akan datang.


24 Julai 2008 (Khamis)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi 2.15 petang

Kelasku pada hari ini bermula pada jam 12.35 tengahari iaitu waktu terakhir sekali sebelum sesi
pembelajaran pada hari tersebut tamat. Pada waktu pagi yang senggang itu aku cuba menambah sedikit
sebanyak dalam penyediaan bahan-bahan sumber yang akan digunakan pada sesi p & p di dalam kelas
nanti.

Murid-murid begitu seronok untuk berlakon. Berebut-rebut mereka apabila aku meminta beberapa
orang murid untuk melakonkan watak yang telah aku rangkakan. Boleh dikatakan secara
keseluruhannya objektif pengajaran pada hari ini mencapai objektif yang diingini.

Pada hari ini juga selepas waktu sekolah aku telah dijemput untuk menghadirkan diri dalam sesi
mesyuarat yang akan diadakan di bilik gerakan. Mesyuarat diadakan untuk membincangkan berkenaan
dengan peranan dan tugas-tugas ahli jawatankuasa sempena sambutan Israk Mikraj yang akan diadakan
pada 30hb Julai ini dan juga Khemah Ibadah dan Motivasi Anak Soleh yang akan diadakan pada 2hb Ogos
sehingga 3hb Ogos ini. Keterlibatan semua guru termasuk aku dan rakanku juga perlu dalam menjayakan
lagi program ini.

Aku pulang jam 2.15 petang setelah mesyuarat tamat.

26 Julai 2008 (Sabtu)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi 1.15 petang

Hari ini kelas ganti diadakan bagi menggantikan hari persekolahan yang diambil sempena cuti
menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan Oktober nanti. Kelas ganti pada hari ini akan menggunakan
jadual pada hari Isnin. Kelas pada hari berjalan seperti biasa walaupun ada segelintir murid-murid yang
seakan tidak bersemangat untuk belajar pada hari cuti minggu. Pengajaranku pada hari ini adalah di
kelas 5 Gigih bagi mata pelajaran Kajian Tempatan dan kelas 5 Harmoni bagi mata pelajaran Pendidikan
Sivik dan Kewarganegaraan.

Pencapaian objektif menjadi keutamaanku bagi kedua-dua kelas tersebut. Walaupun masa yang singkat
bagi pengajaran Kajian Tempatan bagi kelas 5 Gigih lantaran kelas bermula selepas waktu rehat dan
murid-murid mengambil masa yang lebih sebelum masuk ke kelas. Masa pengajaran hanya tinggal cuma
15 hingga 20 minit sahaja. Namun begitu aku cuba juga untuk membolehkan murid-murid dapat
memahami isi pelajaran yang diajar.

Manakala kelas 5 Harmoni merupakan kelas yang tiada masalah bagi diriku untuk mengawal keadaan
kelas. Kerana mereka semuanya agak berdisiplin semasa di dalam bilik darjah. Pengajaranku berjalan
dengan lancar dan semua aktiviti yang telah aku rangka dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya.

1. Masalah
Masalah kali ini adalah berkisar kepada disiplin bilik darjah di mana murid-murid selalu membuat bising
ketika saya sedang melaksanakan sesi p & p di dalam bilik darjah.

2. Analisis
Masalah ini timbul kerana murid tidak mendengar arahan guru semasa berlangsungnya proses p & p di
dalam bilk darjah. Selain itu, masalah ini mungkin juga berpunca dari p & p yang saya rancangkan di
dalam bilik darjah tidak sesuai dengan minat murid menyebabkan mereka tidak menumpukan perhatian
kepada pengajaran saya di dalam kelas. Selain itu faktor persekitaran kelas juga mungkin memainkan
peranan dalam mempengaruhi murid-murid seperti keadaan murid yang terlalu ramai di dalam
sesebuah bilik darjah menyebabkan murid bertambah bising kerana meraka tidak selesa dengan
keadaan kelas yang menjadi sempit dan menggangu proses pembelajaran mereka.

3. Cadangan untuk memperbaiki
Terdapat beberapa cadangan boleh dilaksanakan untuk memperbaiki masalah yang wujud iaitu:
(a) Strategi p & p akan saya rangka sejajar dengan minat dan kebolehan murid di dalam sesebuah bilik
darjah.
(b) Saya juga akan lebih tegas dengan murid-murid semasa proses p & p berjalan.
(c) Saya juga akan merangka aktiviti pengajaran harian yang lebih menarik agar dapat menarik minat
murid-murid belajar dan terus seronok mengikuti sesi p & p sehingga ke akhir pembelajaran.
(d) Saya juga akan mmeberikan lembaran kerja yang sesuai dengan tahap kebolehan setiap murid agar
mereka tidak membuat bising ketika di dalam bilik darjah.

4. Tempoh masa
Saya akan berusaha mengatasi masalah ini secepat yang mungkin. Hal ini penting kerana ia akan
menentukan kelancaran proses P & P saya pada minggu-minggu yang seterusnya.


5. Penilaian kejayaan
Saya telah berjaya mengawal tingkah laku murid-murid di dalam bilik darjah dan juga melaksanakan
aktiviti p & p dengan lebih menarik minat murid-murid dari sebelumnya.


6. Tindakan susulan
Saya akan cuba mengatasi segala masalah saya dengan bersungguh-sungguh. Di mana saya akan cuba
mencari maklumat-maklumat untuk mendapatkan ide yang menarik dalam merancang aktiviti di dalam
bilik darjah agar pengajaran saya akan jadi lebih menarik lagi. Di harapkan saya akan berjaya mengatasi
masalah ini.


MINGGU KETIGA

28 Julai 2008 (Isnin)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi 1.30 petang




Proses p & p pada hari ini berjalan seperti biasa di kedua-dua kelas iaitu kelas 5 Gigih dan kelas 5
Harmoni. Bagi kelas 5 Gigih objektif yang dirancangkan sesuai dengan masa yang dirangka. Boleh
dikatakan objektif yang ingin dicapai telah tercapai dengan jayanya, walaupun tidak banyak aktiviti
berkumpulan dapat dilaksanakan ekoran masa yang singkat iaitu tidak sampai setengah jam ekoran
kelambatan murid-murid yang masuk lambat ke kelas selepas waktu rehat.

Manakala bagi kelas 5 Harmoni sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan
menyeronokkan di mana kedua-dua objektifnya tercapai. Suasana dan keadaan murid yang cerdik dan
mudah mendengar arahan memudahkan aku untuk mengawal keadaan bilik darjah dan ini sekaligus
melancarkan lagi proses p & p berjalan dengan lancar.

Boleh dikatakan saya berpuas hati dengan sesi p & p pada hari ini.


29 Julai 2008 (Selasa)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi 1.30 petang


Pada hari ini saya tidak mempunyai rancangan p & p ekoran aku telah menukarkan jadual dengan guru
pembimbingku, cikgu Suzili kerana bagi memudahkan kepada pensyarah pembimbingku untuk datang
menyeliaku bagi matapelajaran minorku iaitu Bahasa Melayu. Biasanya matapelajaran Bahasa Melayu
pada hari Selasa, kali ini aku telah menukarkannya pada hari Khamis.

Namun begitu, masa yang ada aku gunakan sebaik mungkin untuk merangka rancangan pengajaran
pada keesokkan harinya.


30 Julai 2008 (Rabu)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi 2.00 petang

Pada hari ini bermula jam 8.00 pagi bertmepat di dewan terbuka Sek. Seksyen 6 Kota Damanasara telah
diadakan satu majlis sambutan sempena Israk mikraj yang jatuh pada hari Rabu bersamaan dengan 27
Rejab 1429 iaitu tarikh berlakunya peristiwa israk dan mikraj ini. Semua murid dari tahun 1, 4, 5 dan 6
terlibat dalam mendengar ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Kelas bagi proses p & p di 5 Gigih tidak dapat dilaksanakan
ekoran murid-murid terlibat dengan majlis tersebut sehingga jam 9.35 pagi.

Namun begitu masa yang tinggal cuma 10 minit aku gunakan untuk mengawal keadaan murid yang tidak
terkawal ketika baru memasuki ke kelas sementara menunggu guru seterusnya masuk ke kelas tersebut.
Pada hari itu juga aku telah dijemput oleh anak muridku untuk menghadiri majlis sambutan hari lahir
dirinya. Terasa diri ini disayangi dan disukai oleh murid kerana sudi menjemputku dan merupakan
antara tiga guru yang dijemput hadir untuk memeriahkan majlis sambutan kecil harijadi di dalam kelas
sewaktu waktu rehat.

Kelas yang kedua bagi p&p yang seterusnya adalah di kelas 5 Jujur bagi mata pelajaran Kajian Tempatan.
Proses p & p berjalan dengan lancar dengan objektif tercapai dan murid-murid tekun dalam mendengar
penerangan dariku berkenaan dengan sejarah pembukaan Kerajaan Melayu Melaka. Begitu juga dengan
aktiviti berkumpulan yang dijalankan ternyata murid-murid seronok berbincang bersama-sama rakan
mereka. Bagiku apa yang penting murid-murid seronok belajar dan objektif dapat dicapai dengan
jayanya.

30 Julai 2008 (Khamis)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi 1.30 petang


Kelasku pada hari ini bermula pada jam 8.15 pagi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di kelas 5
Harmoni. Pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa. Bagiku perancangan yang dirangka untuk
mata perlajaran Bahasa Melayu berbeza dengan mata pelajaran Kajian Tempatan dan juga Pendidikan
Sivik dan Kewarganegaraan. Di mana Bahasa Melayu memerlukan ketig-tiga kemahiran bahasa
diterapkan kesemua bagi satu sesi p & p iaitu kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca
dan juga kemahiran menulis. Aku cuba menerapkan kesemua kemahiran bahasa ini dalam kelas 5
Harmoni dan diharapkan kesemua murid mendapat kesemua kemahiran tersebut. Secara
keseluruhannya objektif yang dirangka mencapai objektif yang telah dirangkakan.

Kelas yang terakhir ialah kelas bagi mata pelajaran Kajian Tempatan di kelas 5 Gigih. Murid-murid seperti
tidak dapat dikawal lantaran mereka tidak sabar-sabar untuk pulang ke rumah maklumlah waktu
terakhir pembelajaran menyebabkan keadaan mereka tidak terkawal. Aku cuba mengawal dan
mententeramkan keadaan pelajar. Setelah itu barulah sesi p & p dapat dilaksanakan walaupun seketika
cuma.

Aku pulang pada jam 1.30 tengahari.

1 Ogos 2008 (Jumaat)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi 12.15 Tengahari

Pada hari Jumaat jadual saya tidak mempunyai sebarang kelas pengajaran dan pembelajaran. Masa yang
terluang aku ingin memanfaatkan sebaik mungkin dengan melakukan aktiviti penyediaan bahan-bahan
bantu mengajar yang akan ku gunakan pada pengajaran yang akan datang.

Pagi itu juga kami berdua berbincang dalam merangka rancangan pengajaran harian bagi mata pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran untuk minggu hadapan.

Sesi pembelajaran pada hari Jumaat tamat pada jam 12.00 tengahari bagi memberi laluan kepada guru-
guru lelaki untuk menunaikan solat Jumaat.

1. Masalah
Masalah kali ini adalah berkisarkan kepada gangguan semasa sesi p & p berjalan di mana terdapat
segelintir murid yang suka keluar masuk bilik darjah.


2. Analisis
Masalah ini timbul kerana semasa saya mengajar murid-murid selalu meminta izin dengan saya untuk
bertemu guru, menghantar buku dan juga mahu ke koperasi sekolah untuk membeli peralatan alat tulis
dan sebagainya. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh saya kurang tegas dengan murid-murid semasa
mengajar dan juga ketika berada di dalam kelas. Oleh sebab itulah murid-murid mengambil kesempatan
ke atas ketidaktegasan saya semasa berada di bilik darjah.

3. Cadangan untuk memperbaiki
Terdapat beberapa cadangan boleh dilaksanakan untuk memperbaiki masalah yang wujud iaitu:-
(a) Saya akan lebih tegas dengan murid-murid semasa sesi p & p berjalan.
(b) Saya juga perlu lebih prihatin dengan tingkah laku murid-murid.


4. Tempoh masa
Saya akan mengatasi masalah ini secepat yang mungkin dalam masa 1 minggu. Hal ini penting bagi
memastikan kelancaran proses p & p saya nanti.


5. Penilaian kejayaan
Di dapati beberapa hari ini kelihatan tingkah laku murid yang kerap meminta izin untuk keluar telah
berkurangan semasa saya sedang menjalankan sesi p & p.


6. Tindakan susulan
Saya akan cuba mengatasi segala masalah saya dengan bersungguh-sungguh. Diharapkan segala
masalah seperti gangguan yang timbul semasa sesi p & p berlangsung akan dapat saya atasi dengan
sepenuhnya.

You might also like