You are on page 1of 8

1

PERUTUSAN HARI GURU 2012


KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI
PENDIDIKAN NEGARA









2


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi
sekalian,

1. Semenjak tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah diiktiraf begitu
signifikan dan diabadikan menerusi ungkapan tema Hari Guru yang
diraikan pada 16 Mei setiap tahun. Guru dipandang tinggi sebagai
pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas
kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru
yang melengkapi diri dengan kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui
mampu menjamin keberhasilan negara, antaranya guru yang inovatif dan
kreatif teras kejayaan wawasan, guru berkesan pendidikan cemerlang,
guru berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru cemerlang negara
terbilang.
2. Pada tahun ini, tema Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi
Pendidikan Negara telah dipilih sebagai galakan kepada guru
menyuburkan inovasi. Tema ini selaras dengan pengisytiharan oleh Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia bahawa tahun 2012
3

merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional. Sehubungan itu,
amat wajarlah bagi para pendidik mempersiap diri membudayakan inovasi
dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti koakademik serta
kokurikulum di dalam dan di luar bilik darjah.

3. Sebagai golongan profesional yang menjana dan menjuarai
perubahan, kita perlu peka dan bersedia memperlengkapi diri menjadi
guru yang inovatif. Guru yang inovatif berupaya menjana idea, konsep atau
strategi baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam
menyampaikan ilmu kepada generasi anak didik. Guru yang inovatif juga
berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur
dan sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen sintesis
yang memudah dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, seorang guru yang inovatif juga mempunyai tahap ketekunan
yana tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun dan mengurus idea
secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan
pengetahuan baharu. Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan yang
berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam mempermajukan
teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan
seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea.
4

Warga pendidik yang diraikan sekalian,

4. Kesinambungan sistem pendidikan negara dimanifestasi melalui
transformasi yang berbentuk dinamik dan progresif yang akan
direalisasikan oleh para guru yang inovatif, proaktif, berdedikasi, dan
berdaya saing. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah
melaksanakan program bina upaya untuk meningkatkan amalan
profesionalisme keguruan bagi menyokong usaha melaksana transformasi
pendidikan secara keseluruhan. Objektif Pelan Pembangunan
Profesionalisme Pegawai Perkhidmatan Pendidikan secara khususnya
bermatlamat melahirkan para pendidik yang berwatak profesional,
berkompeten dan berkesanggupan memikul amanah yang lebih besar.

Warga pendidik sekelian,

5. Pelbagai ganjaran disediakan dan inisiatif direncana oleh pihak
kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin.
Keprihatinan kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha, misalnya
melalui pemberian dan penganugerahan kepada warga guru seperti dalam
aspek perjawatan dan perkhidmatan. Anugerah dan beberapa
5

penambahbaikan dalam skim perkhidmatan guru menggambarkan
keprihatinan kerajaan kita. Sesungguhnya perkara ini diharapkan menjadi
sebagai satu inspirasi dan dorongan kepada guru untuk terus memberikan
perkhidmatan yang effisyen dan cemerlang dalam dunia pendidikan yang
berkembang pesat di samping melengkapkan diri bagi menghadapi
cabaran global.

6. Pihak kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan beban
tugas guru yang semakin bertambah dan rencam. Sehubungan itu,
bermula pada tahun 2012, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu
Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) telah memberikan tumpuan kepada lima
fokus utama bagi menangani isu beban tugas guru iaitu menambah baik
pelan operasi latihan tahunan untuk mengelakkan pertindihan kursus;
menambahkan staf sokongan untuk tugas perkeranian; mengurangkan
bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah; mengurangkan bilangan
ujian/peperiksaan dan meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan
sekolah dan pengajaran dan pembelajaran.

7. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili semua
warga pendidik di negara ini untuk menyatakan setinggi penghargaan dan
6

ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan yang
tidak pernah meminggirkan kebajikan para guru. Keprihatinan berterusan
oleh kerajaan ini merupakan suntikan semangat agar warga pendidik
terus gigih, inovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas
tanggungjawab melahirkan generasi masa depan yang berjati diri,
berdaya saing, bertanggungjawab, berpegang teguh kepada ajaran
agama serta mengamalkan nilai sejagat.

Anak-anak murid yang disayangi sekelian,

8. Saya yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh para
guru di samping tekanan yang dihadapi sedikitpun tidak melunturkan rasa
kasih dan sayang kepada anak-anak didik semua. Semua guru yang ada
di hadapan murid-murid semua adalah guru penyayang. Kehadiran murid
ke sekolah tentulah dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu
dan mempertingkat kualiti diri. Setiap murid di mata dan hati seorang
guru adalah permata yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan
tersendiri. Jika digilap dan dikembangkan potensinya nescaya akhirnya
mereka dapat menjadi individu dan warganegara yang berdaya saing,
berfikiran kreatif dan kritis, berbudi pekerti mulia dan sedar akan
7

kepentingan amalan berterima kasih. Sekiranya ada antara murid-murid
yang ditegur oleh guru, janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri
kurang disayangi. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah
yang sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk
murid-murid semua.

9. Akhir kalam, besarlah harapan saya agar warga pendidik yang
dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi penuh
dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan.
Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses
transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik mempunyai
kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Marilah kita teruskan amalan budaya kerja cemerlang, sikap
kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat mujahadah setiap
daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa.
Sebagai penutup, ingin saya titipkan mutiara kata Syeikh Muhammad
Abduh, seorang tokoh pendidikan di Mesir, Kemuliaan ialah membangun
umat yang telah binasa, membuka selubung kebodohan mereka,
memberi peringatan dan petunjuk (hidayah), menuntut hak yang
terampas, mengingatkan akan kemuliaan yang hilang, membangun umat
8

dari tidur dan kelalaian mereka, serta menyatukan suara untuk
memperbaharui gerak langkah.

WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN
TERIMA KASIH CIKGU SELAMAT HARI GURU!



DATO SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Perutusan Hari Guru 2012

You might also like