You are on page 1of 34

Cabaran Bahasa Melayu Dalam Era Globalisasi

CABARAN BAHASA MELAYU DALAM ERA GLOBALISASI


Oleh Datuk Seri Utama Rais Yatim
[Disember 2004]
Dipetik dari: http://lokmandayat.blogspot.com/2008/11/bahasa-melayu-dalam-era-
globalisasi.html
[Edit dan buat tokok tambah untuk esei anda]

NEGARA TELAH melangkah ke alaf baru empat tahun lalu. Dan pada tahun 2020 Malaysia
dijangka menjadi sebuah negara maju, meninggalkan tarafnya sebagai negara membangun.
Perhitungan ini banyak disandarkan kepada pembangunan fizikal dan terlalu sedikit kepada asas-
asas jiwa dan penjiwaan, kualiti hidup dan jati diri bangsa.

Kita, misalnya, sentiasa mengukur pencapaian mengikut KDNK, pertumbuhan ekonomi sebenar,
ketinggian bangunan yang kita bina dan lain-lain pencapaian fizikal. Pada tahun 2020, iaitu
sekitar 15 tahun dari kini tentunya serba-serbi berjalan pantas. Kehidupan masyarakat Malaysia,
seperti yang diramal, akan dipenuhi pembaharuan demi pembaharuan. Teknologi informasi dan
komunikasi pada masa itu akan secanggih mungkin. Cara hidup kita di Malaysia dan juga di
merata dunia akan turut berubah.

Kita sedang diterap dan dicorakkan oleh nilai-nilai dan amalan dunia global dengan hebatnya.
Segala macam ilmu pengetahuan akan lebih pantas diperolehi. Cara berfikir, cara bertindak dan
cara hidup, semuanya akan berubah. Banyak penyakit yang tidak terubat pada masa ini mungkin
beroleh penawar yang mujarab di zaman itu. Atau sebaliknya, masyarakat Malaysia, khususnya
orang Melayu, akan lebih terdedah kepada unsur-unsur baru.

Unsur-unsur ini tidak semestinya membina jati diri atau yang membina bangsa yang dikehendaki
kerana proses yang ada pada masa itu ialah yang sesuai dipanggil osmosis di mana proses nilai
kuat lagi berpengaruh menyedut nilai lemah yang kurang berpengaruh. Salah satu yang bakal
disedut melalui proses osmosis itu nanti ialah menerusi pencabulan bahasa, kebudayaan dan cara
hidup yang mencorakkan sifat kemelayuan mereka. Pandangan yang cenderung ke arah
fenomena ini mungkin akan dipertikai tetapi pada amatan kebanyakan pemerhati ianya pasti
berlaku.

Seperti yang telah disaksikan kebelakangan ini, kesan kemajuan global telah banyak mengubah
cara hidup lama. Satu-satunya yang baru ialah hidup dengan komputer dan internet. Orang kini
mengirim berita pantas melalui e-mail dan sms dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian
perbendaharaan kata kita, dan sehubungan itu ramai yang berurus niaga melalui internet.
Perkataan terbaru sering memasuki perbendaharaan kata kita, kadangkala tanpa perlu ditapis atau
dihalusi terlebih dahulu. Istilah Infotenmen, misalnya, yang menimbulkan kontroversi dalam
penggunaan istilah bahasa Melayu juga merupakan satu istilah baru yang dipertikaikan walaupun
Menteri Penerangan telah menghujahkan alasan-alasan penggunaannya di Parlimen. Hiburan,
berita dan maklumat, kebanyakannya disajikan oleh media sampai terus ke bilik tidur dengan
nisbah yang lebih ketara daripada yang disajikan secara tempatan. Alat-alat canggih pengguna
dipasarkan secara meluas lalu menggantikan peralatan lama. Bahasa Melayu dituturkan separuh
Melayu separuh Inggeris, di kalangan sektor swasta pertuturan adalah lebih kurang 70% dalam
bahasa Inggeris dan hanya 30% dalam bahasa Melayu, itu pun adunan bahasanya dalam keadaan
lintang-pukang seolah-olah sekerat ular sekerat belut. Dan secara ketara, pendidikan negara
mulai disalut dengan kaedah-kaedah baru dengan perantaraan media baru iaitu bahasa Inggeris.
Nisbah perkataan baru yang di ceduk dari bahasa Inggeris lalu jadi sebahagian bahasa rojak kita.
Dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita. Bersediakah kita mempertahankan diri agar jati diri
dan kesinambungan bina bangsa terjamin? Sebenarnya soalan ini tidak akan dapat dijawab secara
tepat dan kalau dijawab pun ianya belum pasti akur kepada apa yang mungkin terjadi.

Jika diamati generasi muda Melayu di pusat-pusat Bandar, akan tersua amalan asas mereka.
Mereka leka dengan perkelilingan baru keluarga, hiburan, sukan, tempat kerja dan tumpuan-
tumpuan hidup yang lain lantas dipengaruhi unsur-unsur global yang telah dipopularkan melalui
media, dagangan antarabangsa dan hiburan muzik serta wayang gambar hollywood dan
bollywood. Mereka kian lama kian jauh dari apa yang dahulunya boleh dikesan sebagai belia
Melayu. Sementara itu golongan Korporat Melayu cuba berlumba-lumba mendapatkan hak
mereka dari kuih ekonomi yang ada, sekali pun tahap yang dicapai setakat ini masih di paras
18%. Jelaslah 12% lagi masih di awangan dan belum menepati janji serta aspirasi kita yang
digurindamkan pada tahun 1971 dahulu.

Dalam perkelilingan beginilah masyarakat Malaysia hidup di negara ini. Dan dalam
perkelilingan beginilah kita kembali memperkatakan nasib bahasa Melayu (BM). Cuma kali ini
ditambah sedikit dengan kaitannya dengan senario global. Sebenarnya memperkatakan tentang
bahasa Melayu hakikatnya ialah kita memperkatakan satu-satunya aspek asas orang Melayu itu
sendiri. Survival bahasa Melayu di peringkat yang maju dan beridentiti lantas juga
mencerminkan bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Cuma bangsa Malaysia
adalah igauan politik yang hendak dicapai tetapi Bangsa Melayu sudah ada dan nyata.

Kebelakangan ini sudah begitu banyak pihak memperkatakan tentang Bahasa Melayu. Tetapi
boleh dikatakan kesemuanya membuat rungutan atau dengusan yang negatif tentang keadaan
terumbang-ambing beberapa aspek bahasa Melayu itu. Dari tahun 1999 hingga 2003 terdapat
secara rambang sekitar 94 rencana utama termasuk kertas-kertas simposium dan konvensyen
yang memperkatakan tentang bahasa Melayu dari pelbagai sudut dan aspek. Tajuk-tajuk yang
digemari ialah masalah bahasa rojak; keupayaan bahasa Melayu dalam dunia moden, bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu, kemampuan bahasa Melayu sebagai lingua
franca di kepulauan Melayu, bahasa Melayu dalam konteks pembudayaan bahasa persuratan,
kelunturan bahasa Melayu dan pelbagai lagi tajuk pokok yang kesemuanya menyentuh tentang
pusaka perhubungan Melayu ini. Malangnya tiada satu pun di antara rencana-rencana itu yang
memuji atau memberi markah tinggi kepada usaha memperkasakan bahasa Melayu. Sebenarnya
usaha memperkasakan Bahasa Melayu semacam sudah dilupai, seolah-olah seperti bidalan
terpijak pergi terlanda pulang. Boleh juga dikatakan bahawa piel atau sikap yang ada ialah sikap
tangkap muat atau taking things for granted dalam kiasan bahasa Inggerisnya.

Bahasa Melayu dalam era global adalah suatu tajuk yang sangat mencabar dan penuh
permasalahan. Ia berkait rapat dengan soal jati diri orang Melayu dan bangsa Malaysia amnya. Ia
juga suatu masalah pembudayaan yang amat berat dan rumit. Tajuk ini walaupun pernah
dibincangkan dalam beberapa polemik yang terdahulu lebih banyak menimbulkan masalah
daripada jawapan. Ini adalah kerana bahasa Melayu itu sendiri sedang menghadapi cabaran dan
rintangan yang hebat di dalam negara sendiri. Bercakap pasal bahasa Melayu di era global
semestinya memerlukan kita membincangkan terlebih dahulu beberapa isu bahasa secara
domestik. Jika tidak, perbincangan kita semacam belum tegak sudah berlari.

Bahasa sebagai alat komunikasi antara manusia mempunyai berbagai-bagai fungsi. Ia berfungsi
mengungkapkan konsep, gambaran dan menjelmakan perbuatan. Ia berfungsi menyampaikan
kehendak mental. Ia berfungsi mengungkapkan perasaan, rasa hati dan gerak hati. Pendeknya
sesuatu yang bermain-main dalam fikiran kita dapat kita ungkapkan melalui bahasa.

Dengan bunyi glottal atau vokal manusia melahirkan bunyi itu. Pengalaman begini memakan
masa dan merentas zaman. Perkataan baru sebelum diterima pakai sebagai sebahagian bahasa
sesuatu masyarakat itu mengalami ujian penerimaan atau penolakan. Proses menerima atau
menolak ini bergantung kepada sekuat mana jati diri bangsa penuturnya. Jika lemah maka lebih
banyaklah kata-kata yang diimport sekalipun di dalam himpunan kata-kata bangsa sudah sedia
ada kata-kata sendiri.

Sesuatu yang bermain-main dalam fikiran secara umumnya disebut bayangan dan secara
khususnya disebut sebagai citra dalam Bahasa Sanskrit dan atau imej dalam alih Bahasa Inggeris.
Citra atau imej muncul dalam bentuk simbol atau perkembangan. Misalnya apabila kita berfikir
tentang kuda, kita menuturkan sebagai kuda atau menulisnya dalam istilah-kata "Kuda". Ertinya
setelah membayangkan konsep "kuda" dalam fikiran, kita jelmakan ianya dalam bentuk lisan
atau tulisan sebagai kuda.

Bahasa (kata istilah dan konsepnya) cukup penting dalam mengungkapkan tahap-tahap ilmu
yang tertentu. Dalam hierarki mempelajari sesuatu ilmu, wujud empat tahap keilmuan. Ilmu yang
terbawah ialah ilmu empirikal (misalnya - ilmu sains dengan berbagai-bagai cabang ilmunya),
diikuti tahap yang paling tinggi iaitu ilmu rasional ( ilmu falsafah dan ilmu pemikiran kreatif),
ilmu laduni (intuitive knowledge) iaitu ilmu terus daripada Allah dan ilmu tertinggi ialah ilmu
makrifat yakni ilmu tentang Ilahi yang merupakan ilmu yang tertinggi dalam hierarki ilmu.Setiap
tahap ilmu mempunyai kata, istilah dan konsepnya yang tersendiri. Misalnya bahasa yang di
ungkapkan pada tahap ilmu empirikal adalah bahasa saintifik. Bahasa saintifik membawa
pengertian bahasa yang logik yakni yang berfungsi dan bersifat tersendiri tetapi yang melibatkan
erti tepat. Dalam konteks inilah sayang sekali konsep tepat pengertian dan tepat penghasilan
tidak didalami sebelum kita mengaku kalah lalu bahasa Melayu tidak mampu menjadi wahana
sains dan matematik.

Isu-isu bahasa :
Pada amnya terdapat 7 isu pokok yang berkaitan bahasa Melayu dalam konteks bina bangsa
(nation building):i. Masalah penjiwaan bahasa Melayuii. Masalah bahasa rojakiii. Masalah
pemakaian dan keutamaan bahasa Melayuiv. Utiliti atau sifat perlu-guna bahasa Melayuv.
Unsur-unsur dan amalan yang merosakkan bahasa Melayuvi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963vii.
Perubahan dasar bahasa ilmui.

Penjiwaan bahasa: Bagi tempoh tahun-tahun 1960an Isu bahasa Melayu sebagai bahasa
Kebangsaan menjadi perkara hangat dan isu yang membakar semangat perjuangan orang Melayu
dan rakyat Malaysia. Bahasa Jiwa bangsa sesungguhnya sebahagian dari jiwa nasionalisme orang
Melayu. Begitu penting dan utama bahasa Melayu sehingga UMNO sendiri menerapkannya ke
dalam fasal 3 perlembagaannya tentang bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
Sementelahan pula istilah Melayu itu sendiri mengikut Perkara 160 Perlembagaan negara
mewajibkan seseorang itu berbahasa Melayu selain beragama Islam dan mengamalkan adat
istiadat Melayu sebelum layak diiktiraf sebagai seorang Melayu. Kempen Bahasa Kebangsaan
anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah pimpinan Tuan Syed Nasir Ismail masih diingati
sebagai yang terhebat dan berkesan.

Secara rambang keutuhan bahasa Melayu tidak banyak dipertikaikan sehingga 1986. Bahasa
Melayu itu sendiri mengalami edaran zaman dan evolusi. Sistem ejaan, kerjasama penyeragaman
Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia, penulisan novel, cerpen dan penyemarakan bahasa menjadi
amalan biasa sehingga apabila menjelang tahun 1985 penulisan novel, cerpen, sajak terus beroleh
tempat di kalangan pembaca. Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai semenjak 1959 hingga
awal 1980an terus menjadi kilang guru bahasa Melayu yang berkesan dan disegani. Kini ianya
cuma jadi sejarah. Penekanan kepada bahasa Melayu dari sudut perguruan khusus sudah kurang
mendapat perhatian.

Bila pengkhususan pengajaran bahasa berkeadaan sedemikian, maka hasil penjiwaannya juga
turut berkurangan. Sastera Melayu, penulisan kreatif Melayu, bahasa Indah Melayu dan pada
amnya pembudayaan bahasa Melayu turut merana. Bila jiwa sudah lemah dalam sesuatu amalan,
maka aspek praktisnya juga turut lemah. Lemahnya penjiwaan adalah terasas kepada tuntutan
perkelilingan. Lemah penjiwaan ini hanya dapat diatasi dan diperkukuh semula jika hala tuju
jiwa bangsa tadi bersedia memungut yang cicir, mencari yang hilang. Jika polemik hanya
tertumpu kepada hujah yang secara asasnya tidak yakin kepada bahasa ibunda sendiri sebagai
bahasa ilmu tentulah ubat yang dicari tidak akan menyembuhkan penyakit. Penyakit lama akan
hinggap kembali. Kini orang Melayu tak pandai sangat berkata halus lagi. Antara Hi dan
Hello dan showtime pepatah-petitih sudah dilupai. Apa khabar juga sudah dipulas oleh
Assalamualaikum. Perumpamaan Melayu semacam menjadi pusaka murah. Buku Kiliran Budi
dan Ilmu Mengarang Melayu karya Pendeta Zaba sudah disaluti habuk kerana tidak dirujuk lagi.
Kita menerpa dan melompat ke hadapan tanpa menyusun langkah. Di sinilah barangkali tepat
dikatakan: koyak baju kerana lenggang; pesuk songkok kerana lonjak. Kerosakan ini semua
adalah akibat badan yang buruk pinta. Rangkap lama mengingatkan kita:
Jangan disalai ciku kedondong
Salailah ikan atas para
Jangan salahkan ibu mengandung
Salahkan badan yang buruk pinta.
ii. Masalah bahasa rojakKini kita sudah diserang penyakit campur-aduk seperti yang disebutkan
di atas. Penyakit campur-aduk inilah yang menyebabkan berkembangnya bahasa rojak. Bahasa
rojak wujud dalam sesuatu ayat yang diselang-selikan dengan bahasa asing sehingga
campurannya itu semacam hidangan rojak. Hanya yang berbeza ialah rojak lebih sedap dimakan
tetapi bahasa rojak menyebabkan kita sakit telinga mendengarnya dan paling parah, bangsa
Melayu malu dipalunya.

Awal-awal lagi boleh diperakukan, mencedok perkataan asing untuk dimuatkan ke dalam sesuatu
ayat bahasa Melayu memang tidak dihalang, malah memang benar seperti kata-kata Pendeta
Zaba dalam buku klasiknya Ilmu Mengarang Melayu bahawa dalam bahasa Melayu sedia
terdapat sekian banyak perkataan yang asalnya adalah dari pelbagai punca: Sanskrit, Inggeris,
Portugis, Belanda, Parsi, Arab, Cina dan sebagainya. Tidak perlu bagi saya menyatakan
perkataan-perkataan itu kerana umum sudah pun mengetahuinya.
Paling mudah bagi kita mendengar melalui radio atau TV sekarang ungkapan-ungkapan seperti
e-mail, sms internet, software, hardware, ISDN, html, computer website dan
sebagainya. Sekarang pun kita secara harian mendengar dialog seperti berikut:
Hei, hari ini birthday I lah
Dalam hal ini you yang paling best
How are you today...harap OK lah
You dah breakfast kah
Hei, kawan-kawan, its showtime
Inilah showtime yang ori

Ungkapan-ungkapan dalam dialog ini dipetik dari siaran radio dan TV kita. Di kaki lima dan di
kedai kopi dialog generasi muda begitu juga. Warga emas juga diheret sama. Jelas tiada
pengawasan oleh pihak-pihak tertentu sehingga berterusan wujudnya bahasa rojak dalam
kehidupan kita sehari-hari. Di samping pengawasan di media barangkali boleh dilakukan, tetapi
ianya sukar dikuatkuasakan terhadap individu yang sudah memilih tatabahasa yang baru untuk
bercakap antara seorang dengan seorang yang lain. Jika diamati, contoh-contoh ini boleh dituruti
oleh ratusan contoh lain yang rata-rata membuktikan bahawa bahasa lisan kita sudah rosak
keunggulannya. Sebaliknya bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil tidak tertarik dengan amalan
campur-aduk ini ke tahap yang dialami bahasa Melayu. Yang merunsingkan ialah kepekaan dan
rasa prihatin masih belum tertera di pemikiran yang bertanggung jawab di bidang penggunaan
bahasa.

Ada beberapa petua sebelum masyarakat harus membenarkan bahasanya dirasuk bahasa rojak
yang tidak indah dan tidak mencerminkan jati diri. Pihak yang mengatakan bahawa apa salahnya
diambil perkataan asing, sedangkan perkataan-perkataan asing sudah pun dipinjam semenjak
beratus-ratus tahun dahulu lagi. Ini memang boleh diterima tetapi peminjaman itu berasas kepada
beberapa syarat dan ketertiban demi menjaga keutuhan bahasa Melayu:i. Istilah atau perkataan
baru itu bolehlah diambil jika tiada perkataan yang sama maksudnya dalam bahasa Melayu; Jika
dalam bahasa sendiri ada perkataan yang sesuai, kenapa kita perlu tiru hak orang? Dalam
pengertian ini, misalnya kita tak perlu ambil birthday sedangkan hari jadi atau hari kelahiran ada
dalam bahasa Melayu.
Showtime boleh diganti dengan masa persembahan atau saat persembahan; ori dengan asli;ii.
Peniruan atau pengambilan kata perbendaharaan orang lain harus menambah ilmu dan jati diri
kepada masyarakat.iii. Pihak pengembang dan pemaju bahasa ibunda harus bertindak dan
membetulkan sesuatu ungkapan atau perkataan yang dirasakan menceroboh bahasa sendiri.
Malangnya kuasa membetulkan ini tiada pada sesiapa atau mana-mana pihak pada masa ini.

Manakala siaran pantas dari satelit atau multimedia yang lain bertambah pesat, seperti yang
laksanakan Astro pada masa ini, kita dapat bayangkan betapa besar dan dahsyatnya
kemungkinan pencabulan berlaku di bidang-bidang lain kehidupan kita.
Secara amnya kita terdedah dan terlalu terbuka kepada anasir-anasir luar. Mekanisme penahanan
atau mengehadkan penerapan luaran ini tidak cukup ada pada kita sekalipun agama itu
tampaknya patut lebih berkesan sebagai penangkis.Apabila bahasa berubah dan diubah soalan
yang muncul ialah: siapa yang ubah dan kenapa? Jawabnya tentu terletak pada hakikat bahawa
ianya diubah sedemikian cara kerana penuturnya berasa bahasa ibundanya tidak lagi cukup untuk
melahirkan maksudnya sehingga ia terpaksa menggunakan perkataan-perkataan asing.
Sebaliknya mereka mungkin beranggapan bahawa imej yang mereka perolehi dengan
menyelitkan perkataan Inggeris di celah-celah ayat Bahasa Melayu akan meninggikan imej
mereka walaupun ini tentunya berupa pendekatan bersifat makjujad (hypocrite); atau dengan
bahasa Melayu rojak mereka berasa boleh mencapai kepuasan berkomunikasi; atau, dan ini
penting, mungkin asuhan bahasa Melayu mereka di sekolah tidak sampai ke tahap mantap. Juga
terdapat di beberapa kalangan, termasuk pemimpin yang tidak berpendidikan aliran Inggeris,
lantaran mereka rata-rata dianggap tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, mereka
cuba menyelitkan sepatah dua perkataan Inggeris dalam perbualan dengan tujuan supaya orang
menganggapnya boleh speaking atau tinggi tahap pendidikannya.
Walaupun gejala ini barangkali kecil bilangannya, boleh diperakukan bahawa ianya wujud nyata
di kalangan masyarakat kita.Sebenarnya ungkapan sekerat belut-sekerat ular tadi:
Hei, hari ini birthday I lah boleh dituturkan sebagai Hei, hari ini hari jadi saya (aku)lah.
Semua ungkapan di atas tadi boleh belaka dituturkan secara Melayu 100%. Tetapi kenapa tidak
dilakukan sebegitu? Ini semua adalah petanda yang bakal membawa kepada kelunturan. Ini
bukan sekadar ramalan seorang idealis atau yang semata-mata bersifat tulen tak menentu, tetapi
pandangan ini bertapak pada alam nyata:
Sekilat ikan di air, sudah tahu jantan betina
Kilat beliung ke kaki, kilat cermin ke muka.
Jika demikian cara dan kaedah yang paling berkemungkinan untuk menangani bahasa rojak yang
memuramkan imej bahasa kita ialah dengan menjayakan program-program latihan lisan yang
membina amalan komunikasi. Ia harus dijalankan di semua institusi persekolahan dan pengajian
tinggi.

Personaliti media utama, pemimpin, institusi kawalan kerajaan harus mengutamakan percakapan
bahasa Melayu yang betul. Gejala bahasa rojak tidak akan hapus kerana pembudayaan bahasa
ibunda belum wujud sepenuhnya di negara ini. Jati diri tidak dikaitkan dengan pentingnya bahasa
ibunda dipersadakan.iii. Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa MelayuDari segi bahasa,
bahasa Inggeris sudah nyata akan merobah cara berfikir dan juga cara bertindak di samping cara
menimba ilmu serta jenis ilmu yang bakal ditimba.
Akan wujud sekian ramai anak Melayu yang nanti berfikir dalam bahasa Inggeris kemudian
bercakap dalam bahasa Melayu. Malah bermimpi dalam bahasa Inggeris juga kebiasaan. Juga
akan ada anak-anak masyarakat Cina dan India Malaysia yang bercakap dalam bahasa Melayu
dan berfikir dalam bahasa Cina dan India. Sekarang pun kecenderungan ini sudah berlaku. Juga
tidak dapat dinafikan bahasa Mandarin dan Tamil akan beroleh tempat yang lebih signifikan
melalui langkah-langkah pembudayaan bahasa mereka.

Oleh kerana bahasa perisian pada masa itu rata-rata Inggeris, Bahasa Melayu akan disadur
banyak oleh terma-terma dan sintaksis Inggeris. Penutur bahasa Melayu mesti bersedia untuk
perubahan-perubahan ini. Mereka yang bersifat sebagai pengamal keaslian (purist) mungkin
akan berduka kerana bahasa lama akan secara perlahan menghilang, struktur dan gaya baru pula
akan muncul.Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dijamin di bawah Perkara 152
Perlembagaan Malaysia. Ia juga bahasa rasmi Parlimen Malaysia. Status ini tidak perlu
dipertikaikan lagi. Cuma kemajuan dan kepesatannya mungkin terjejas akibat dasar
mengglobalkan bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Melayu.

Bila ini berlaku, Bahasa Melayu tetap menyusul dari belakang kerana dari segi keutamaan global
bahasa Inggeris beroleh keutamaan. Peranan dan posisi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dari
sudut ini tidak akan meningkat tanpa peningkatan industri buku yang seharusnya
diperjuangkan.Bahasa Melayu, seperti yang telah diketahui, akan lebih terdedah kepada pelbagai
pindaan informal yang dicetuskan oleh dan melalui media elektronik, khususnya oleh pengaruh
komunikasi serta aliran alam siber. Dalam erti kata sebenar, cara hidup baru itu nanti bakal
merubah pemakaian tatabahasa Melayu.

Seharusnya, bibit-bibit budaya yang indah, yang halus, yang murni perlu dikekalkan tetapi
berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bermakna kita tidak minta dibuli atau dipijak.
Ini termasuklah asuhan Islam positif yang perlu dibudayakan terus-menerus. Khususnya dalam
hal ini nilai-nilai yang dijalin dan disajikan melalui Islam Hadhari akan lebih diminati. Amalan
Islam yang mengambil kira tamadun yang berevolusi, konsep dan amalan budi-bahasa, amalan
tradisi Melayu seperti sopan-santun, kekeluargaan, hormat-menghormati dan sebagainya akan
lebih membimbing. Pendeknya mesti diteruskan apa yang selama ini dikenali sebagai asuhan
budi. Barangkali falsafah Rukunegara yang membentuk masyarakat Dasar Ekonomi Baru
(DEB) boleh disemarakkan semula. Kejuruteraan sosial (social engineering) tidak boleh
dihentikan atau dicanai oleh pemikiran seseorang sahaja. Satu muafakat bangsa mesti diadakan.
Mewujudkan Kementerian Kebudayaan kesenian dan Warisan hanya sebahagian daripada usaha
ke arah itu. Di samping Bangsa Malaysia hendak diwujudkan, soal adab dan tamadun tidak harus
dikelasduakan. Bahasalah menjadi penjalin dan penjana bangsa.iv. Utiliti atau sifat perlu guna
bahasa Melayu adalah lumrah manusia iaitu jika sesuatu itu tidak berapa menepati tuntutan
kegunaan atau utilitinya, perkara atau barang itu akan kurang disimpan, kurang dipakai dan
kurang keperluannya.
Dalam satu aspek bahasa Melayu mungkin tergolong kepada keadaan ini jika bahasa ilmu terus
menerus disalur oleh bahasa Inggeris. Tetapi hakikat yang satu lagi ialah bahawa bahasa Melayu
masih diperlukan sebagai syarat lulus dan cukup syarat dalam peperiksaan dengan kelulusan
dalam bahasa Melayu. Lagipun sebagai lingua franca negara ini BM akan tetap digunakan
sebagai wahana komunikasi. Sebagai bahasa ilmu BM dikhuatiri tidak akan terlalu membangun
kecuali dasar pembukuan negara diubah dengan erti kata semua teks ilmu moden dan usang
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Tetapi soalnya, sekalipun buku-buku aeronautik, kimia,
kaji cuaca, kejuruteraan, elektronik dan lain-lain diterjemahkan, siapa akan baca lantaran buku-
buku ini dengan mudah diperolehi dalam bahasa Inggeris, bahasa yang dipelajari di sekolah
untuk menimba ilmu. Di sini sudah jelaslah kedudukan BM sebagai bahasa ilmu.

Sebaliknya pula jika anak-anak Melayu tidak berlumba-lumba pula untuk menguasai bahasa
Inggeris, mereka akan tercicir terus dalam usaha menimba ilmu semasa. Keadaan serba-salah ini
sebenarnya tidak harus digusarkan. Ini adalah kerana jika zaman moden dunia hendak disertai
oleh warga Malaysia melalui kebangkitan global, bahasa Inggeris tidak dapat dinyahkan lagi. Ini
bererti sekian banyak istilah bahasa Inggeris akan menerpa masuk kepada perbendaharaan kata
BM. Bahasa rojak akan berterusan dituturkan dan dilaungkan.

Mungkin dalam bahasa tulisan sedikit sagu hati akan diperolehi kerana nahu semasa akan terus
digunakan. Sebagai perbandingan, bahasa Arab juga menghadapi permasalahan yang sama.
Mereka belum mampu menimba ilmu moden dengan bahasa ibunda mereka. Justeru saban tahun
sekitar 20,000 mahasiswa dalam pelbagai jurusan sains mengaji di universiti dan institusi
pengajian tinggi Barat yang bahasa pengantarnya ialah Inggeris.

v. Unsur-unsur yang merosakkan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu yang dituturkan pada hari ini, selain melalui ucapan, ialah bahasa yang ditulis
dan dijadikan sebagai wahana komunikasi surat-menyurat. Sementara keadaan bahasa Melayu
lisan boleh dikatakan dalam keadaan kurang memuaskan berbanding BM tulisan, beberapa sebab
dapat diperhatikan:

a. kurang latihan pertuturan yang baik yang melibatkan anak-anak sekolah, mahasiswa dan
petugas awam.
b. Kurangnya asuhan melibatkan bahasa indah dan cara berfikir objektif dalam pembahasaan dan
pertuturan.
c. Kurangnya asuhan bahasa baik, bahasa indah.
d. Kurangnya latihan atau mata pelajaran berkaitan karya-karya besar sastera bangsa sendiri.
e. Pembelajaran dalam bidang the Arts yang tidak disaring dan dikemas.
f. Kurangnya tenaga pengajar yang komited dengan pembudayaan bahasa atau pembahasaan
sebagai satu bidang kajian atau mata pelajaran.

Sementara itu amalan-amalan di peringkat pimpinan, kepegawaian dan urusan-urusan rasmi juga
dilihat orang sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi dan merumitkan penggunaan BM yang
baik. Jika bahasa mesyuarat juga bercampur-aduk dengan selingan bahasa rojak, bagaimana
penggunaan bahasa baik dapat dicapai? Sementara itu akhbar Utusan Melayu berkeadaan mati
segan hidup tak mahu lantaran orang Melayu sendiri bersikap dingin terhadap tulisan Jawi.
Menurut pihak berkuasa di syarikat Utusan, akhbar yang pada satu masa dulu berfungsi sebagai
pencetus nasionalisme Melayu kini sudah jadi edisi sekali seminggu. Itu pun dengan jualan yang
kurang dari 7,000 naskhah seminggu. Ini memalukan. Jika dicari di mana hilangnya, jika dipintas
di mana hanyutnya, puncanya ialah pembelajaran bangsa.

vi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963Cinta rakyat kepada Bahasa Kebangsaan meluap-luap
sehingga mereka yang mulanya memperleceh Bahasa Kebangsaan akhirnya diam dan mula
segan dan hormat terhadap bahasa ibunda orang Melayu itu. Pada tahun 1963 Akta Bahasa
Kebangsaan diluluskan Parlimen. Akta itu hanya sekadar mengisytiharkan peruntukan Perkara
152 perlembagaan Persekutuan. Ia tidak memperuntukkan sebarang provisi penalti terhadap
sesiapa yang mencabul bahasa atau yang tidak mengamalkan penjiwaan bahasa, umpamanya.
Malah jika terdapat penggunaan bahasa pada iklan papan tanda, Dewan Bahasa dan Pustaka,
misalnya, tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menasihatkan pihak yang berkenaan.
Apabila Singapura merdeka dari Persekutuan Malaysia pada 1965 Bahasa Melayu lantas
dijadikan bahasa rasminya. Banyak pihak beranggapan bahawa Akta bahasa Kebangsaan 1963
adalah tulang belakang kepada maju atau mundurnya bahasa Melayu. Pada satu hakikat ini
mungkin benar tetapi pada pengertian khususnya Akta ini hanya bersifat deklatori, yakni
menyatakan apa yang sudah jelas dan nyata daripada hal bahasa Melayu itu. Sebaik-baiknya
beberapa pindaan harus dilakukan dalam usaha memberi sedikit kuasa penguatkuasaan kepada
satu-satunya agensi bahasa di negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Penguatkuasaan yang dihajati benar ialah apabila disuai penggunaan yang telah disalahgunakan,
DBP tidak boleh berbuat apa-apa sedangkan di Perancis, misalnya, Biro Bahasa Perancis di
bawah Kementerian Kebudayaan berkuasa membetulkan sesuatu penyelewengan bahasa
Perancis. Fenomena pencapaian dan kecapaian pada tahun 1996 seharusnya boleh diatasi
dengan segera oleh DBP tetapi lantaran ketiadaan peranan yang jelas dari segi membetulkan
bahasa yang disalahgunakan, anggota masyarakat bermaharajalela dengan pembahasaan salah.
Kesalahan bahasa papan tanda juga sedemikian.
vii. Perubahan dasar:
Benarkah ia melemahkan Bahasa Melayu?Pada suatu hakikat memang boleh diterima bahawa
dasar 2002 yang mewajibkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran matematik dan sains
merobah satu lagi pancang seri yang selama ini menjadi kebiasaan dalam pengajaran kedua-dua
mata pelajaran tersebut di Sekolah Kebangsaan.
Tetapi realiti perkara ini memerlukan penilaian objektif dan bukan subjektif. Sebelum anjakan
dasar ini dibuat dua tahun lalu, keciciran anak-anak Melayu dalam Bahasa Inggeris, Matematik
dan Sains memang ketara sedangkan penguasaan sains dan matematik di kalangan bukan Melayu
berada di tahap baik. Ini adalah kerana pengajaran bahasa Inggeris di SRJK lebih mantap dan
berkesan sedangkan di Sekolah Rendah Kebangsaan adalah di sebaliknya. Pencapaian sains dan
matematik di sekolah-sekolah berbahasa Mandarin, sebaliknya, terus meningkat. Ini disebabkan
kualiti pengajaran menyumbang kepada pencapaian anak-anak di SRJK.
Justeru sampai kini sekolah-sekolah ini enggan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengajaran sains dan matematik. Tetapi pencapaian mereka di bidang-bidang berkenaan terus
meningkat sekalipun pencapaian bahasa Inggeris mereka cuma di peringkat sederhana.Apa akan
berlaku jika amalan lama tidak dianjak? Pertama anak-anak Melayu akan terus berada di tahap
lama, mereka akan terus lemah pencapaian B Inggeris, sains dan matematik.

Sekurang-kurangnya bahasa Inggeris mereka selepas ini akan bertambah baik lantas secara
teorinya mereka akan lebih profisyen dan boleh menimba ilmu lain dengan lebih mudah. Tetapi
ini bergantung kepada kualiti pengajaran bahasa itu kepada murid-murid. Ini bergantung kepada
kualiti para guru itu sendiri. Jika kualiti pengajarannya melonjak maka pencapaian di kedua-dua
subjek itu juga akan turut melonjak. Dalam hal ini pendekatan paling baik ialah mewujudkan
kumpulan pengajar yang fasih dan berilmu tinggi.

Peranan Maktab Perguruan Bahasa tidak boleh dipandang ringan.Juga akan berlaku ialah bahasa
Melayu akan kekurangan peranan dalam pengajaran dua ilmu tersebut. Dari satu sudut ini
kenampakan sebagai suatu kerugian tetapi dari segi sebenar jika diimbangi ia boleh menjadi
rangsangan baru. Tetapi bahasa Melayu tidak boleh dianggap bahawa lantaran bahasa Inggeris
dipilih untuk menyegarkan pengajian matematik dan sains maka BM akan terus lemah dan
menghilang. Ini merupakan sikap mengalah dan pesimis.

Rumusan TindakanTampak sebagai penting iaitu penggunaan bahasa Melayu perlu dijana
semula dan dikempenkan semula. Para pengucapnya mesti dalam keadaan sedar (conscious)
selalu supaya megah dan berasa senang berbahasa Melayu dengan baik. Sekolah, universiti,
agensi-agensi Kerajaan, NGO dan kumpulan-kumpulan lain harus bersekutu dan bekerjasama
memperjuangkan kembali perkara nasional yang amat penting ini.Banyak bidang yang boleh
terus diperjuangkan: meningkat dan memperhebatkan dasar buku nasional; menerbitkan buku-
buku bermutu dunia dan serantau; meningkatkan kerjasama bahasa serantau; mengamalkan dasar
cintakan bahasa sastera, sesungguhnya bermacam-macam projek bahasa boleh diteruskan.
Dengan lain pengertian, pembudayaan bahasa perlu diusahakan terus-menerus.

Kesimpulan boleh dibuat pada peringkat ini, iaitu kita tidak harus terus berasa hilang tenaga
dalam menghadapi cabaran global. Untuk menghalang bahasa Melayu daripada diselangi
perkataan dan nilai luar secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang penting
ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada dan memperkayakannya dengan bimbingan,
hala tuju dan apresiasi yang berterusan.

Asas pendidikan kita harus kuat. Pendekatan kita demi BM zaman depan mesti bersandar kepada
situasi menang. Untuk itu pembudayaan bahasa harus nyata.Di plaza tol lebuh raya kini terdapat
bahasa tanda yang berbunyi, Lorong Touch n Go. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak
rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Inilah juga kerja yang
memalukan bangsa. Kenapa tidak dipakai saja istilah Lorong pacu segera atau Lorong tekan
& pacu Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-
wenang menggunakan touch n go Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk
menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan
dipanggil bangsa touch n go. Tepuk dada, tanya selera.
http://bmpmrspm.blogspot.com/2009/08/cabaran-bahasa-melayu-dalam-era.html




MASA DEPAN DAN CABARAN BAHASA MELAYU
PENGENALAN
Bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu mula-mula disarankan dalam Laporan Razak 1956 dan
kemudian diperkukuh dalamLaporan Abdul Rahman Talib 1960. Terbukti kini bahawa Bahasa
Melayu mampu menjadi bahasa ilmu apabila digunakan sepenuhnya di institut pengajian tinggi
awam di Malaysia. Apakah dengan pencapaian tersebut mencerminkan masa depan yang
gemilang bagi Bahasa Melayu? Jawapannya mungkin ya atau mungkin tidak, bergantung kepada
persepsi individu yang melihat persoalan ini.
Terkadangnya kedengaran suara sumbang yang mengatakan Bahasa Melayu tidak mampu
menjadi bahasa ilmu. Pada hakikatnya orang itu sendiri yang tidak mampu menguasai Bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu bukan sebaliknya. Bahasa yang canggih dikatakan bahasa ilmu,
bahasa bagi budaya tinggi, dan lebih tegas lagi bahasa bagi sains dan teknologi. Peningkatan
ilmu dan profesionalisme dalam sesuatu bidang itu haruslah seiring dengan peningkatan
ketrampilan wahana itu sendiri, yakni bahasa. Banyak orang berfikir bahasa itu jatuhnya di
tempat kedua dan pertamanya ilmu itu. Persepsi ini perlu diubah. Bahasa itu juga satu ilmu dan
sejarah membuktikan banyak ahli yang melahirkan pemikiran dan ciptaan baru menguasai ilmu
dan bahasa sebagai satu entiti yang terpadu. Kita sebenarnya memiliki bahasa yang berkembang
dan dinamis dalam menghadapi apa juga cabaran yang bakal datang. Seharusnya tidak timbul
lagi krisis kepercayaan terhadap Bahasa Melayu. Perbincangan topik ini akan menumpukan
kepada persoalan cabaran yang dihadapi oleh Bahasa Melayu, iaitu: kewujudan masyarakat yang
dwibahasa; Bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Negara; Bahasa Melayu dalam teknologi
maklumat dan komunikasi; dan akhirnya Bahasa Melayu dalam era globalisasi.
5.1 KEDWIBAHASAAN
Kedwibahasaan berlaku dalam kalangan masyarakat yang menggunakan banyak
bahasa. Kedwibahasaan atau bilingualisme ialah penguasaan dua bahasa seperti penutur bahasa
asli. Penggunanya menggunakannya sebagai bahasa komunikasi, yakni menggunakan satu
bahasa rasmi untuk berkomunikasi, dan bahasa ibunda untuk hubungan lain misalnya orang Cina
dan India yang menggunakan Bahasa Melayu untuk komunikasi rasmi tetapi bahasa ibunda di
rumah. Kedwibahasaan yang sempurna ialah penguasaan sepenuhnya dua bahasa oleh penutur.
Kedwibahasaan sepenuhnya jarang berlaku kerana jarang sekali seseorang individu dapat
menguasai lebih dari satu bahasa dengan baik. Terdapat negara yang mempunyai dua bahasa atau
lebih (bilingual atau multilingual) sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan. Negara Kanada
dan Belgium misalnya mengamalkan bilingual, manakala Switzerland pula mengamalkan
multilingual. Sesebuah negara itu tidak dapat dikatakan bilingual kecuali sebahagian besar
daripada rakyatnya bertutur dalam dwibahasa. Menurut Mario Pei pula, kedwibahasaan ialah
kualiti atau kebolehan seseorang bertutur dalam dua bahasa. Kedwibahasaan majmuk ialah
individu yang memperoleh dua bahasa semasa kecil.
Kedwibahasaan kordinat pula berlaku apabila individu tersebut memperoleh salah satu bahasa
tersebut sebagai bahasa pertama dan bahasa kedua pula diperoleh kemudian. Kedua-dua sistem
tersebut disepadukan dan disimpan secara berasingan.
Kedwibahasaan lahir dalam masyarakat majmuk yang pelbagai budaya, etnik, agama, bangsa,
kaum dan lain-lain. Hubungan budaya dengan budaya asing biasanya berlaku di bandar-bandar
besar dan pusat perdagangan yang mempunyai pelbagai ragam manusia dan budaya. Penjajahan
juga membawa masuk unsur budaya baru dan bangsa asing yang menggunakan dan memaksa
rakyat pribumi menggunakan bahasa mereka dalam sistem pemerintahan, khususnya pendidikan
dan ekonomi misalnya penjajah Inggeris di Tanah Melayu. Hartmann (1976) mengatakan
bahawa kedwibahasaan melibatkan penggunaan dua bahasa oleh penutur atau masyarakat
pengguna bahasa. Penutur dwibahasa tidak semestinya penterjemah yang baik sebab kemahiran
menukar kod dari satu bahasa ke bahasa yang lain diperoleh secara berasingan dan individu
tersebut mestilah mahir dalam perbualan kedua-dua bahasa dalam semua keadaan. Malaysia
merupakan sebuah negara yang multibahasa dan terdapat individu yang dapat memahami dua
bahasa atau lebih, sama ada Melayu-Inggeris, Cina-Melayu-Inggeris, atau India-Melayu-
Inggeris, dan sebagainya. Individu yang berpengetahuan dalam kedua-dua bahasa tetapi yang
satu lagi tidak pernah dilahirkan dalam bentuk ujaran atau tulisan, bahkan cuba disembunyikan
atas sebab-sebab tertentu dinamakancovert bilingual atau dwibahasa terlindung. Individu
dwibahasa tidak akan mempunyai pengetahuan kedua-dua bahasa yang sama baik. Kadang-
kadang individu tersebut hanya memahami sahaja tetapi tidak boleh menulis atau bertutur
dengan baik.
Kedwibahasaan wujud di negara-negara yang menjadikan dialek sebagai bahasa rasmi seperti di
Perancis. Keadaan dwibahasa yang memperlihatkan penutur mengamalkan dialek masing-
masing dalam kehidupan seharian tetapi menggunakan dialek utama yang telah dijadikan bahasa
rasmi. Sama juga halnya dengan Malaysia yang menggunakan dialek Melayu-Johor sebagai
bahasa rasmi tetapi menggunakan dialek masing-masing di rumah misalnya dialek Kelantan,
Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan sebagainya.
Kedwibahasaan berlaku akibat bahasa tempatan dijadikan bahasa rasmi tetapi bahasa lain
digunakan sebagai bahasa penyatuan. Di Rusia misalnya, bahasa Rusia dijadikan bahasa
penyatuan tetapi rakyat tempatan boleh menggunakan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi
seperti bahasa Ukraine dan Estonia. Kedwibahasaan juga berlaku akibat berpegang kepada idea
bahawa penggunaan satu bahasa asing yang dipupuk di samping bahasa ibunda terus digalakkan
dalam pembelajaran untuk tujuan mendapat pengiktirafan setaraf dengan bangsa lain. Mengikut
ideologi ini, pembelajaran satu bahasa asing dalam keadaan tertentu akan membentuk individu
yang mempunyai cara pemikiran baru untuk menghapuskan permusuhan dalam kalangan rakyat
misalnya di Singapura.

Perdagangan memainkan peranan utama apabila bahasa merupakan wahana untuk
berkomunikasi dan berinteraksi untuk urusan jual-beli. Penerokaan dunia baru juga memerlukan
individu memahami dunia yang dilawati untuk memahami budaya bangsa merentasi pelbagai
negara. Pengembangan agama oleh mubaligh Kristian dan Islam membawa masuk bahasa asing
ke alam Melayu, iaiatu Bahasa Inggeris, Belanda, Portugis, dan Arab. Dasar pendidikan
sesebuah negara mencerminkan masyarakat yang lahir misalnya Malaysia yang menjadikan
Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam sistem pendidikan negara akan melahirkan penutur
dwibahasa. Dasar bahasa negara juga melahirkan penutur dwibahasa. Malaysia telah menetapkan
bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tetapi menjadikan Bahasa
Inggeris sebagai bahasa kedua; manakala Brunei Darussalam menetapkan Bahasa Melayu dan
Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Satu lagi unsur yang mewujudkan kedwibahasaan ialah
perkahwinan campur dalam masyarakat majmuk yang melahirkan kanak-kanak yang
berdwibahasa sejak dari lahir lagi. Pemerolehan dua bahasa serentak berlaku apabila kedua ibu
dan bapa menggunakan kedua-dua bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian.
Kesan yang paling ketara akibat kedwibahasaan ini ialah berlakunya penukaran kod atau
pertukaran kod yang dikenali sebagai code switching. Berlakunya penukaran daripada satu
bahasa kepada satu bahasa yang lain disebabkan oleh perubahan tajuk atau pertukaran siapa yang
disapa. Fenomena ini begitu meluas dalam kalangan penutur di Malaysia. Misalnya pelajar
Melayu berbahasa Inggeris dengan kawan berbangsa Cina tetapi menukar kodnya semula ke
dalam Bahasa Melayu apabila bercakap dengan ibunya yang tidak fasih berbahasa Inggeris.
Kesan yang selanjutnya ialah percampuran kod atau code mixing. Ini berlaku apabila seseorang
menukarkan kod apabila berbicara secara berganti-ganti untuk satu tajuk yang sama dalam ujaran
mereka. Misalnya seorang pelajar bangsa Melayu bercakap dalam Bahasa Inggeris untuk
membincangkan sesuatu tajuk tetapi kemudiannya mencampuradukkan dengan Bahasa Melayu
kerana sesuatu hal seperti tidak tahu perbendaharaan kata yang sesuai digunakan atau
sebagainya. Fenomena percampuran kod menggambarkan keadaan bahasa sebenar dalam tempoh
pemerolehan bahasa kanak-kanak. Namun begitu, dengan berlakunya peredaran masa dan
penambahan perbendaharaan kata, ciri ini mungkin luput apabila kanak-kanak berupaya
menggunakan kata dalam bahasa kedua untuk menyampaikan maksud. Namun demikian, di
Malaysia dengan latar pendidikan dwibahasa yang diamalkan di sekolah-sekolah dan luar
persekitaran yang didedahkan dengan Bahasa Inggeris seperti media elektronik, kanak-kanak
telah didedahkan dalam situasi dwibahasa pada peringkat awal lagi. Malah, percampuran kod
bukan sesuatu yang asing lagi dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini.
Pemindahan bahasa juga berlaku akibat kedwibahasaan. Ini berlaku apabila terdapat penggunaan
unsur-unsur bahasa pertama dalam bahasa kedua. Terdapat dua jenis pemindahan bahasa, iaitu
pemindahan negatif atau gangguan dan kedua, pemindahan positif. Pemindahan negatif
melibatkan pola bahasa natif yang menyebabkan kesilapan dalam bahasa sasaran. Pemindahan
positif pula melibatkan pemindahan yang memudahkan pembelajaran dan berlaku dalam kedua-
dua bahasa natif dan bahasa sasaran yang mempunyai unsur persamaan.

Kita juga dapat melihat bentuk pengasimilasian bahasa berlaku dalam kedwibahasaan. Proses ini
melibatkan penerimaan bahasa secara beransur-ansur oleh generasi kedua sehingga akhirnya
tidak menggunakan bahasa ibunda mereka. Kesan lain ialah kelahiran bahasa pijin dan bahasa
kreol. Bahasa pijin memperlihatkan unsur kedua-dua bahasa bercampur sehingga melahirkan
bahasa baru, namun tidak boleh diklasifikasikan sebagai bahasa asal. Bahasa kreol pula ialah
bahasa pijin yang menjadi bahasa ibunda atau bahasa pertama masyarakat penuturnya akibat
pertembungan dua bahasa.
http://bahasamelayudnisenu.blogspot.com/2010/07/masa-depan-dan-cabaran-bahasa-
melayu.html
http://www.slideshare.net/nazarinanawawi/masa-hadapan-bahasa-melayu

Identiti Masyarakat dan Budaya Melayu
Identiti Individu
Sebagai individu setiap orang mempunyai identiti sendiri yang membezakan dirinya daripada
individu-individu lain dalam masyarakatnya. Seorang itu dapat membina image atau identiti diri
dengan berbagai cara berasaskan kemampuan masing-masing. Pengenalan diri yang berasaskan
identiti boleh diteliti kepada pakaian, gaya perlakuan, suaranya, cara berjalan, dan berbagai
perkara.
Seseorang individu itu boleh membina image atau identiti, yang menunjukkan ciri-ciri
pengenalannya dengan berbagai cara. Image atau identiti seseorang yang popular dan dikenali
ramai dalam masyarakat itu selalunya ditiru atau cuba diikuti orang lain pula. Misalnya, identiti
seorang penyanyi popular dengan mudah pula dapat mempengaruhi peminat-peminatnya.
Identiti di peringkat individu itu merupakan pengenalan image yang dibina secara sedar atau
tidak sedar, sebagai menyatakan kedudukannya sebagai individu dan anggota masyarakat.
Individu dan Budaya
Seorang itu sebagai anggota masyarakat dipengaruhi nilai-nilai sosial, yang memupuk nilai-nilai
itu bagai membolehkannya hidup dalam masyarakatnya. Oleh itu, individu itu mempelajari dan
menerima budayanya. Nilai-nilai sosial sebagai teras budaya memainkan peranan penting dalam
menyatakan identiti sesuatu budaya itu. Image atau identiti yang dibina oleh individu itu adalah
tidak terpisah daripada budayanya.
Walau bagaimanapun individu turut memainkan peranan dalam menyumbangkan nilai-nilai
sosial dalam membina identiti itu. Dengan kata lain, individu itu sebagai anggota masyarakat
dapat membawa perubahan atau memperkukuhkan identiti masyarakat dan budayanya.
Identiti masyarakat dan budaya itu dibina oleh individu. Anggota-anggota masyarakat
mempunyai tanggungjawab penting dalam menentukan identiti masyarakat dan budayanya.
Sebaliknya berasaskan identiti yang dibina itu selalunya menerngkan sifat-sifat anggota
masyarakat. Melaluinya juga sesuatu masyarakat dan budaya dikenali umum.
Identiti individu dan masyarakat itu turut menyatakan nilai-nilai sosial. Pengenalan diri yang
melibatkan perasaan atau nilai-nilai individu dan nilai-nilai sosial dibina demikian sehingga
terbina image atau identiti masyarakat dan budaya.
Identiti dan Perubahan Budaya
Anggota-anggota masyarakat dipupuk nilai dan norma sosial melalui proses sosial atau proses
sosialisasi. Melaluinya identiti masyarakat dan budaya dapat dipertahankan. Individu sebagai
anggota masyarakat menyedari identiti masyarakat dan budayanya yang berbeza daripada
masyarakat dan budaya lain.
Dalam masyarakat itu terdapat pula kelompok-kelompok sosial yang membina image dan identiti
tersendiri. Sebagai anggota kepada kelompok sosial itu, dalam membina kesedaran rasa kekitaan,
maka ia berusaha mempertahankan image atau identiti kelompoknya. Berbagai kelompok sosial
dalam sesuatu masyarakat itu membina sub budaya yang membina kesatuan di peringkat
masyarakat dan budaya yang lebih luas. Sub budaya yang berbagai dalam masyarakat Melayu itu
merupakan khazanah yang menyatakan kekayaan budaya Melayu itu.
Masyarakat berusaha mempertahankan identitinya yang menyatakan dengan jelas kekuatan
masyarakat itu. Identiti itu mahu dipertahankan selama-lamanya. Di samping itu, anggota-
anggota masyarakat mahukan perubahan. Perubahan yang berlaku itu menyatakan dengan jelas
tentang budaya itu dinamis. Tetapi perubahan yang berlaku itu tidak pula menghilangkan identiti
yang diwarisi sejak sekian lama. Dalam perubahan yang berlaku masih boleh diteliti identiti yang
dipertahankan. Budaya Melayu yang dinamiks, berkemampuan menerima dan menyesuaikan
dengan perubahan, tetapi mempertahankan identiti Melayu sejak sekian lama. Dengan tu dapat
dikatakan, tidak Melayu hilang di dunia.
Identiti dan Prasangka
Identiti masyarakat dan budaya yang dibina itu diakui dan disedari anggota-anggota masyarakat.
Mereka berbangga dengan identiti budaya yang mereka warisi dan mereka bina sekian lama.
Malahan mereka berusaha menonjolnya, untuk dikenali sehingga ke peringkat global. Tradisi
yang diwarisi itu mempunyai nilai-nilai yang tinggi yang ingin dipertahankan.
Dalam membina identiti seperti di atas itu bermakna anggota-anggota masyarakat melihat dan
menilai ke dalam masyarakat dan budaya sendiri yang sentiasa dipandang tinggi. Sebaliknya
mereka juga melihat keluar, iaitu melihat masyarakat dan budaya lain. Dalam melihat keluar atau
orang luar melihat budaya Melayu, kerapkali melibatkan prasangka, iaitu melihat identiti budaya
lain berasaskan sentiman, misalnya memandang rendah masyarakat dan budaya lain dalam
konteks mengagongkan budaya sendiri. Adakala prasangka itu tidak berasaskan realiti, tetapi
semata-mata timbul dari sentiman yang terbina dalam masyarakat. Adakala prasangka itu dibina
berasaskan kepentingan tertentu.
Malaysia yang terdiri daripada berbagai kumpulan ethnik, boleh menimbulkan prasangka antara
satu dengan yang lain dan seterusnya boleh membawa kesan dalam hubungan antara kumpulan
ethnik itu. Oleh itu usaha dilakukan oleh kerajaan bagi mengurangkan prasangka buruk antara
satu dengan yang lain.
Orang luar yang melihat orang Melayu secara luaran, sebagaimana yang pernah ditulis oleh
orang-orang barat masa lalu, adakala menggambarkan orang Melayu sangat buruk. Mereka tidak
memahami masyarakat dan budaya Melayu. Pandangan mereka berasaskan budaya mereka, dan
inilah yang dikatakan ethnocentric.
Kelompok majoriti dan kelompok minoriti
Kelompok majoriti, seperti orang Melayu di Malaysia mewarisi tradisi budaya dan berusaha
mengekalkan identiti Melayu dalam berbagai lapangan. Tradisi budaya memainkan peranan
penting dalam menyatakan lambang identiti yang diperturunkan dari satu generasi kepada
generasi berikut. Kelompok majoriti itu menentukan identiti. Walaupun perubahan berlaku,
tetapi kelompok itu berusaha mengekalkan identiti.
Kelompok Melayu minoriti, terutama di luar alam Melayu ini didapati tidak mampu untuk
mempertahankan identiti Melayu seperti kelompok majoriti itu. Kelompok minoriti itu selalunya
dipengaruhi masyarakat dan budaya majoriti sehingga kelompok itu tidak mampu untuk
mengekalkan identiti. Apabila generasi baru mengambil tempat dalam kelompok minoriti itu,
maka kaitan dengan identiti itu didapati semakin lemah dan dalam jangka masa yang lama
identiti Melayu yang asal itu boleh hilang. Bandingkan dengan kelompok Melayu di Afrika
Selatan, Sri Lanka dan lain-lain.
Krisis Identiti
Dalam masyarakat Melayu yang pesat mengalami proses perubahan, terutama tekanan daripada
peradaban asing dan proses globalisasi, anggota-anggota masyarakat menghadapi masalah dalam
mempertahankan tradisi. Mereka menghadapi krisis dalam mempertahankan tradisi sebagai
menyatakan lambang identiti masyarakat dan budaya Melayu. Dalam menghadapi perubahan itu,
selalunya unsur-unsur budaya tradisi diketepikan, dan gaya hidup moden menjadi pilihan. Dalam
keadaan menghadapi krisis identiti itu, terdapat pula gerakan oleh kumpulan-kumpulan tertentu
yang mempertahankan identiti, terutama unsur-unsur budaya tradisi yang diwarisi sekian lama.
Krisis identiti juga turut dialami di peringkat individu. Dalam pesatnya perubahan yang melanda
orang-orang Melayu, turut membawa kesan kepada individu, dalam menentukan bahawa
perubahan yang berlaku itu tidak ketinggalan, maka ia juga menghadapi krisis dalam
mengekalkan tradisi.
Krisis identiti ini turut dialami individu yang ibu atau bapanya bukan Melayu. Ia menghadapi
masalah dalam menentukan identiti, sebelah ibunya atau sebelah bapanya. Dalam keadaan ini
selalunya identiti yang lebih dominan mempengaruhi seseorang itu.
Mencari dan Mengenali Identiti
Dalam membina identiti sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini dapat dilakukan secara
luaran, melalui rupa bentuk fisikal dan sesuatu yang dihasilkan dalam melambangkan identiti itu
berasaskan kepada struktur luaran. Selain itu, identiti itu juga melibatkan secara dalaman, iaitu
jiwa Melayu itu. Oleh itu dalam mengenali identiti itu perlu juga difahami aspek dalamannya,
iaitu struktur dalaman sebagaimana yang dinyatakan oleh anggota-anggota masyarakat.
Kelompok-kelompok sosial dalam masyarakat itu adakala berusaha membina identiti sendiri
sebagai melambangkan kekuatan kelompok sosial itu. Dalam membina identiti itu berbagai cara
pernah dilakukan, misalnya melalui agama kelompok sosial itu menyatakan lambang-lambang
tersendiri, di samping memupuk nilai-nilai sosial yang berkaitan. Ada kelompok pula amat
terpengaruh dengan kemodenan barat dan menyatakan identiti berasaskan nilai-nilai itu. Walau
bagaimanapun kelompok-kelompok sosial itu tidak terpisah daripada masyarakat dan budaya
Melayu yang dianggap dominan.
Identiti Sosial dan Identiti Budaya
Masyarakat membina identiti berasaskan berbagai-bagai aspek kehidupan, termasuk aspek sosial
dan budaya. Dengan berbagai-bagai aspek kehidupan itu secara keseluruhan dalam konteks yang
lebih luas masyarakat itu membina identiti.
Antara aspek atau sistem yang memberikan sumbangan kepada pembinaan identiti itu adalah
seperti dinyatakan di bawah:
(1)Kekeluargaan dan perkahwinan termasuk dalam menyusur galur keturunan.
(2)Sistem sosial struktur sosial, meliputi aspek hiraki sosial, status sosial tradisi dan moden.
(3)Sistem kepimpinan dan politik kedudukan pemimpin.
(4)Agama dan kepercayaan termasuk simbol/lambang yang berkaitan seperti masjid.
(5)Sistem ekonomi termasuk demografi. Kegiatan cari makan, budaya kerja dan sebagainya.
Penempatan kampung bandar.
(6)Simbol status/kelas sosial. Kekayaan, kekuasaan.
(7)Pakaian, makanan.
Berasaskan identiti budaya pula termasuklah nilai dan norma sosial, adat, dan seumpamanya,
atau dalam konteks visual dan bukan kebendaan.
Melihat kepada perkara-perkara yang diterangkan di atas itu, identiti masyarakat dan budaya itu
meliputi keseluruhan aspek kehidupan masyarakat.
Pandangan Orang Luar tentang Orang Melayu
Isabella Bird, (The Golden Chersonese, Oxford University Press) seorang pengembara Inggeris
telah menceritakan tentang orang Melayu Perak semasa beliau melawat negeri itu pada abad ke
19. Beliau menerangkan orang Melayu tinggal di kampung menumpukan kepada pekerjaan
bertani dan menangkap ikan. Mereka tidak suka tinggal di bandar. Rumah dan perkampungan
mereka di tepi hutan dan di tepi sungai. Mereka sukakan kebebasan untuk bergerak. Rumah
mereka dibina agak berjauhan antara satu dengan yang lain. Rumah dibina di atas tiang, dinding
rumah diperbuat dari kayu yang telah diketam, bumbung rumah dari daun nipah yang disirat.
Bumbung rumah agak tinggi dan curam. Rumah orang miskin dan orang kaya tidak jauh berbeza,
kecuali tangga rumah orang miskin dibina dari kayu dan rumah orang kaya dari batu. Rumah
mereka tidak banyak ruang, didapati ruang tamu juga digunakan sebagai tempat tidur. Dalam
rumah tidak banyak perabot. Tikar digunakan sebagai tempat duduk. Lantai rumah pula dipasang
renggang supaya udara dapat beredar ke dalam rumah dan sampah dan sisa makanan boleh
disapu ke bawah rumah tuntuk dimakan oleh ayam. Pada waktu malam nyamuk di keliling dapat
dihalau dengan memasang unggun api di bawah rumah.
Didapati rumah Melayu itu membela monyet yang digunakan untuk memetik kelapa. Seterusnya
Bird juga menerangkan lelaki Melayu bersifat pendiam, cemburu, curiga dan pembelot.
Perempuan pula berbadan kecil, pembersih dan bergiat dalam aktiviti ekonomi seperti
menganyam tikar dan bakul. Pakaian mereka dari sutera atau kain kapas yang menutup bahagian
lutut hingga leher.
Rupa paras Melayu berkulit sawo matang, kening mereka rendah, tulang pipi tinggi, hidung
leper, mulut lebar dengan bibir tebal. Rambut hitam berkilat dan rambut perempuan pula disiput.
Perempuan Melayu dikatakan malas bekerja, hasil jualan tikar dan buahan mereka membeli kain
baju. Perempuan suka memakai sarung berwarna merah dan berjalur-jalur. Baju kebaya
dikenakan kerongsang yang diperbuat dari perak, emas atau permata. Sanggul rambut atau siput
rambut disematkan pin sanggul. Kain yang dipakai perempuan diikat dengan tali pinggang yang
diperbuat dari perak atau emas bertatahkan permata. Bagi lelaki pula memakai sarung dan baju
Melayu dan di kepala mereka memakai destar.
Undang-undang mereka adalah berteraskan undang-undang Islam. Bird juga memetik pendapat
seorang pegawai Inggeris yang bernama Capt. Shaw, yang menyatakan orang Melayu itu lembut,
halus, lurus dan peramah, serta mementingkan harga diri. Mereka sensitif dan sanggup
membunuh untuk menjaga dan mempertahankan harga diri dan keluarga. Mereka beragama
Islam dan cita-cita utama mereka ialah untuk menunaikan haji ke Mekah. Ada di kalangan
mereka yang telah ke Mekah beberapa kali. Di sekeliling rumah ditanam dengan pokok buahan
seperti nangka, durian, sukun, mangga, pisang dan lain-lain. Mereka menghabiskan masa dengan
mendengar muzik, cerita atau mengadakan ritual keagamaan. Setiap masjid ada kariahnya dan
setiap kariah terdapat 44 buah rumah. Kalau ada kampung yang hendak membina masjidnya
sendiri mesti ada 44 buah rumah. Hal-hal ugama diserahkan kepada Imam yang juga
melaksanakan tugas-tugas berkaitan perkahwinan dan kematian. Kenduri sering diadakan seperti
pada masa kelahiran, memotong jambul, perkhatanan dan perkahwinan. Dan pada waktu kenduri
ini lazimnya disembelih kerbau. Dari segi kepercayaan, orang Melayu amat percaya kepda hantu,
pawang, bomoh dan tanda-tanda baik-buruk. Sebagai contoh, orang Melayu percaya adanya
hantu, harimau jadi-jadian dan sebagainya. Orang Melayu juga percaya kepada keujudan pelesit,
polong dan lain-lain. Burung pungguk dikatakan burung hantu. Penanggalan pula dalam bentuk
wanita, kepalanya boleh ditanggalkan dan meninggalkan badan untuk pergi mencari darah
perempuan yang baru bersalin. Orang Melayu juga percaya kesan azimat yang dipakai pada
badan mereka. Bagi Bird, yang paling penting untuk menjelaskan identiti orang Melayu ialah
keris dan konsep amuk. Keris dilihat sebagai senjata dan simbol diri atau kejantanan lelaki
Melayu. Amuk juga dikaitkan dengan hargadiri. Orang mengamuk sekiranya harga dirinya
dicemuh atau diperendahkan, ataupun dirinya dan keluarganya diaibkan. Mereka mengamuk
kerana pandangan mereka menjadi gelap dan tidak tahan menanggung malu dan celaan tersebut.
Orang Melayu mengikut F. Swettenham (The Real Malay) dalam Stories and Sketches by Sir
F. Swettenham; selected and introduced by William Roff, Oxford University Press) adalah
sebagaimana berikut ini:
Untuk memahami orang Melayu dengan mendalam, Swettenham berpendapat, seseorang itu
perlu tinggal di kalangan mereka, menghormati agama dan kepercayaan mereka, meminati
kecenderungan mereka, perlu bersifat toleransi dan jangan memandang serong terhadap prejudis
mereka, bersimpati dan membantu mereka ketika mereka dalam kesusahan dan kalau boleh
bukan sahaja berkongsi keseronokan mereka tetapi juga risiko yang mereka hadapi. Hanya
dengan cara ini sahaja seseorang itu boleh memperolehi kepercayaan dan keyakinan orang
Melayu. Melalui keyakinan ini sahaja seseorang itu akhirnya boleh memahami hati budi orang
Melayu, terutama bersifat batiniah itu.
Orang Melayu yang sebenarnya, adalah pendek, berbadan tegap dan gempal. Rambutnya lurus
hitam, kulit sawo matang, hidung dan bibirnya tebal dan matanya cerah dan nampak cerdik.
Tingkahlakunya lemah lembut dan mudah untuk didampingi. Orang Melayu bersifat curiga
terhadap orang luar tetapi tidak menunjukkan sikap tersebut secara terbuka. Orang Melayu
berani dan boleh dipercayai menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Walau bagaimanapun
dia bersifat boros dan suka meminjam wang tetapi lambat membayarnya balik. Dia petah dan
bijak bercakap, pandai berkias (dan mungkin juga menyindir), sering memetik peribahasa dan
kata-kata hikmah, pandai melawak dan berjenaka dan sukakan kepada jenaka yang baik. Orang
Melayu suka ambil tahu hal orang lain, terutama jirannya. Oleh itu orang Melayu dikatakan kuat
gosip atau suka menjaga tepi kain orang lain. Orang Melayu beragama Islam dan pada pendapat
Swettenham ini menyebabkan mereka bersifat fatalistik, iaitu percaya kepada qada dan qadar
(nasib dan rezeki ditentukan Allah). Tetapi pada masa yang sama mereka juga percaya kepada
perkara-perkara karut dan tahyul yang bertentangan dengan Islam. Dia tidak minum arak dan
jarang sekali menghisap candu tetapi dia amat minat berjudi, sama ada menyabung ayam ataupun
permainan-permainan yang ada elemen pertaruhan.
Secara semulajadi orang Melayu adalah ahli sukan. Mereka suka dan berminat menangkap dan
menjinakkan gajah. Mereka juga merupakan seorang nelayan atau penangkap ikan yang cekap.
Dari satu segi orang Melayu konservatif, bangga dan megah terhadap negerinya dan
masyarakatnya. Mereka menyanjung adat dan tradisi lama masyarakat Melayu. Mereka takut
kepada Raja, hormat dan tunduk kepada kuasa. Orang Melayu memandang rendah kepada
sebarang pembaharuan dan seboleh-bolehnya akan menolak sebarang pengenalan kepada
perubahan secara mendadak. Sebaliknya, jika mereka diberi masa untuk memeriksa dan
menelitinya dan perubahan tersebut tidak dipaksa ke atas mereka, mereka boleh diyakinkan
tentang keuntungan dan faedah yang boleh dicapai melalui pembaharuan-pembaharuan tersebut.
Orang Melayu cepat mempelajari ilmu yang diajar kepadanya. Bagi Swettenham, sekiranya
orang Melayu ingin dan juga bercita-cita tinggi dia boleh menjadi seorang mekanik yang baik.
Walau bagaimanapun orang Melayu malas. Dia tidak mempunyai sebarang perancangan yang
teratur di dalam hidupnya. Dia tidak tahu tentang ketepatan masa termasuk juga waktu
makannya. Padanya waktu itu tidak penting. Rumah orang Melayu tidak tersusun dan kotor
tetapi dia mandi dua kali sehari. Dia juga suka berhias dan memakai pakaian yang kemas. Orang
Melayu tidak toleran kepada sebarang penghinaan. Baginya malu yang diterima hanya boleh
dibersihkan dengan darah. Dia akan masam muka dan memendam rasa apabila kewibawaannya
dan maruahnya tersentuh atau terguris sehingga dia dirasuk oleh perasaan hendak membalas
dendam. Jika dia tidak dapat membalas pada orang berkenaan atau berkaitan dia akan
mengancam orang pertama yang ditemuinya, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda.
Inilah yang dikatakan amuk. Semangat kesukuan kuat di kalangan orang Melayu. Dia taat dan
setia kepada Raja, Penghulu dan pemimpin. Pemberian kurnia oleh Raja kepada rakyat dan
pemberian hadiah dari rakyat kepada Raja adalah satu amalan yang biasa.
Walaupun orang Melayu beragama Islam dan sanggup dipaku hidup-hidup dari menolak
agamanya, orang Melayu bukannya menganggap agama orang lain rendah. Dia juga bukan
seorang hipokrit. Kehidupannya akan menghadapi kitaran hidup berikut:
Pada masa kecil dia dijaga dengan baik, dia tidur bila dia suka dan makan apabila dia merasa
lapar (elemen masa tidak penting). Dia jarang dipukul atau dirotan, oleh itu dia jarang menangis.
Pada umur 15 atau 16 tahun dia rajin belajar dan dihantar mengaji Qoran walaupun mengaji
dalam bahasa yang dia tidak faham. Pada umur di antara 16 hingga 25 tahun dia harus dielakkan
kerana pada peringkat umur ini dia suka bersuka-sukaan, berfoya-foya, boros, pemurah, suka
berjudi, banyak terikat dengan hutang, sering terlibat dalam melarikan isteri jirannya dan suka
menonjol-nonjolkan dirinya. Selepas itu jika dia tidak meneruskan dengan perangai buruknya,
dia akan cuba, dengan bantuan orang-orang yang lebih tua darinya, berusaha memantapkan
kedudukan sosialnya. Jadi, apabila dia mencecah umur 40 tahun dia akan menjadi seorang
manusia yang bijak (dan berpengalaman). Anak perempuan pula dibiarkan hidup bebas sehingga
umur 5 tahun dan kemudian diberi pakaian yang sempurna. Sejak itu dia dididik dan diasuh
dalam membantu kerja-kerja rumah dan dapur. Dia juga diajar turun ke sawah. Tujuannya untuk
menyediakan menjadi seorang isteri dan ibu yang baik. Pada peringkat umur 15/16 tahun dia
sukakan pakaian yang cantik dan juga sudah tahu memakai barang-barang kemas. Gadis yang
belum kahwin diasuh dan diajar bagi mengelakkan dari mengadakan hubungan dengan lelaki
yang tidak ada tali persaudaraan dengannya. Selepas berkahwin orang perempuan Melayu
mendapat kebebasan yang seluas-luasnya. Orang Melayu amat mementingkan bangsa dan
keturunan. Lelaki Melayu boleh kahwin empat dan boleh menceraikan isteri/ isteri-isteri dan
menggantikan mereka dengan isteri yang baru. Sekiranya dia mampu dia akan menggunakan
kesempatan ini tetapi lelaki Melayu jarang-jarang mempunyai empat orang isteri pada satu masa.
Orang Melayu mengikut pandangan Hugh Clifford (The Pople of the East-Coast dalam buku,
In Court and Kampung) diterangkan di bawah ini.
Clifford adalah Residen di Pahang dan beliau menceritakan tentang negeri-negeri Pantai Timur
iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Walaupun negeri-negeri ini berdekatan tetapi rakyat
negeri-negeri ini jauh berbeza, sama ada dari segi rupa, pakaian, dialek, watak mahupun adat
resam. Orang Pahang, mengikut Clifford, hanya menggunakan fikiran dan minda mereka untuk
mencari jalan berkelahi, bergaduh, berasmara dan bercumbu dan berjudi, yang mereka tahu dan
sedar dilarang sama sekali oleh agama Islam. Orang Pahang, jelasnya, adalah seorang penyabung
ayam dan pejudi yang sering terlibat dalam pergaduhan. Dia mempunyai perasaan bangga
dirinya, bangsanya dan negaranya. Dia kurang arif, kurang ugama dan kurang daya
keintelektualannya sehingga dibuat orang Melayu lain bidalan tentang mereka: kecek anak
Melaka; bual anak Minangkabau; tipu anak Rembau; bidaah anak Terengganu; penakut anak
Singapura; pencelok anak Kelantan dan sombong anak Pahang. Namun demikian, orang Pahang
juga banyak kualiti yang baik. Mereka jantan dan berani mati. Kelemahan mereka adalah di
permukaan sahaja dan mereka jarang mahu menyurukkan kelemahan ini. Mereka sombong!
Mereka berpakaian segak dan sebagai kaki judi sering boros. Mereka juga suka bertindak
mengikut nafsu tanpa berfikir panjang tentang hasil atau kesan tindakan mereka. Mereka juga
amat taat dan setia kepada Raja. Begitu juga taat setia mereka kepada seseorang atau sesiapa
yang dipercayainya, tidak berbelah bagi. Hubungan ini adalah berasaskan saling mempercayai di
antara satu sama lain. Mereka sentiasa bergembira dan suka melawak dan berjenaka dan bahan
ketawa mereka adalah orang lain (suka mengusik dan mempermainkan orang lain). Mereka tidak
suka membaca atau bekerja. Mereka juga tidak boleh dipaksa membaca Koran. Mereka juga
hanya akan sembahyang setelah dipaksa. Mereka menghadiri sembahyang Jumaat kerana takut
kena denda. Kalau boleh orang Melayu tidak mahu bekerja dan tidak akan melakukan sebarang
kerja walapun dibayar gaji atau upah yang tinggi dan lumayan. Dia akan melakukannya (kerja)
apabila dia dikerah, iaitu atas permintaan dan suruhan orang-orang besar ataupun raja. Kerja-
kerja kerah tidak dibayar upah dan di dalam kebanyakan kes mereka terpaksa membawa
makanan sendiri. Kerja Raja dikelek sedangkan kerja sendiri diabaikan. Mereka akan
mengerjakan kerja-kerja kerah ini tanpa sebarang rungutan seolah-olah itu adalah tugas hakiki
mereka. Clifford melihat ini sebagai satu sifat yang bertentangan dengan jiwa orang Melayu itu.
Dari satu segi, secara sukarelanya, orang Melayu malas bekerja walaupun ganjaran yang dibayar
lumayan tetapi dari satu segi yang lain dia sanggup pula dipaksa bekerja dan menyerahkan
tenaganya secara percuma.
Orang Terengganu pula jauh berbeza daripada orang Pahang. Paling utama, mereka sukakan
keamanan dan keharmonian. Kegiatan dan minat mereka ialah kepada perniagaan dan
perdagangan. Apa yang mereka mahu ialah kebenaran dan kebebasan untuk mencari rezeki tanpa
diganggu. Namun demikian, mereka tidak menunjukkan sikap taksub dan taat setia membabi
buta seperti yang ditunjukkan oleh orang Pahang, yang akhirnya (iaitu orang Pahang) terpaksa
menanggung bermacam kerenah, helah dan juga bencana dari Raja dan kerabat Diraja mereka
sendiri. Bagi Clifford, orang Terengganu hanya berminat untuk belajar, berdagang dan
bertukang. Sejak kecil lagi dia dibesarkan dalam suasana buku, duit dan tawar menawar
perniagaan dan perdagangan. Dikatakan dia tahu memuji dan mengangkat tinggi nilai dan mutu
barang-barang yang hendak dijualnya dan menawar atau menurunkan harga barangan yang
hendak dibelinya sebaik sahaja dia pandai bercakap. Orang Terengganu dilahirkan dalam dunia
perniagaan dan perdagangan. Dia boleh dan sanggup berbohong semasa berniaga, tanpa segan
dan silu ataupun malu sehingga mereka terkenal ataupun dikenali sebagai pembohong yang
paling terkenal di Tanah Melayu.
Sekiranya seorang kanak-kanak Pahang dibesarkan dalam suasana perang atau khabar angin
tentang peperangan, dan dia pula akan bercita-cita apabila besar nanti mahu menjadi seorang
pahlawan terbilang, tetapi berlainan pula dengan kanak-kanak Terengganu. Walaupun lelaki
Terengganu memakai senjata tetapi dia kurang tangkas menggunakan senjata tersebut. Keris
yang dipakai hanya sebagai pelengkap pakaian lelaki sahaja. Keadaan ini berlaku kerana
masyarakat Terengganu memberi sanjungan yang lebih dan memandang tinggi mereka yang
berpendidikan atau yang mempunyai kemahiran-kemahiran yang tertentu. Jelasnya orang
Terengganu memuliakan mereka yang berpelajaran dan berilmu sama ada yang menguntungkan
mereka di dunia mahupun akhirat. Bagi Clifford, orang lelaki Terengganu dibesarkan sebagai
pengecut tetapi mereka tidak mahu mengakui hakikat ini. Pandangan Clifford ini mungkin tidak
adil kerana mencintai keamanan dan tidak suka bergaduh bukanlah sifat orang yang pengecut.
Sebaliknya ia menggambarkan seseorang yang ingin tinggal di dalam sebuah masyarakat yang
madani.
Walau bagaimanapun prestasi dan imej orang Melayu Terengganu adalah lebih baik dari orang
Melayu lain, bukan sahaja di Pantai Timur tetapi juga di Semenanjung Tanah Melayu.
Umumnya, seseorang anak Terengganu itu telah tamat membaca Koran sebelum akil baligh lagi.
Pada masa yang sama mereka juga tahu menulis dan membaca jawi. Jadi masyarakat Terengganu
adalah masyarakat yang mementingkan ilmu. Namun demikian, orang Terengganu lebih terkenal
kerana kemahiran mereka dalam bidang kraftangan. Hasil tangan seperti barangan tembaga,
senjata dan juga pertukangan kayu mereka adalah yang terbaik, tercantik dan terhalus di
kalangan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Begitu juga dengan hasil tenunan kain
dan songket mereka. Mereka juga dikatakan pandai membuat barang-barang tiruan, contohnya,
serban yang diekspot setiap tahun ke Mekah dan dijual di sana sebagai barangan tempatan yang
dihasilkan oleh Arab Saudi sendiri. Dari segi pakaian, pakaian orang Terengganu jauh berbeza
dari orang Pahang. Kita boleh kenal orang Terengganu sebelum dia membuka mulutnya. Walau
bagaimanapun Clifford tidak menjelaskan apakah yang dimaksudkannya. Namun begitu,
sekiranya kita hendak buat andaian mungkin pakaian orang Terengganu itu lebih kemas sesuai
dengan kerja mereka sebagai peniaga dan pedagang.
Orang Kelantan juga mempunyai ciri-ciri mereka tersendiri. Bagi mereka yang berjumpa dengan
orang Kelantan buat kali pertamanya mungkin tidak akan faham tentang tutur-katanya. Orang
Kelantan juga tidak faham bahasa orang lain kecuali dialeknya sendiri. Rupa atau paras orang
Kelantan serupa sahaja; tidak begitu bersih baik dari segi rupa mahupun perangai. Walau
bagaimanapun dia mempunyai temperamen yang baik dan sentiasa bergembira. Orang Kelantan
kuat dan gagah. Mengikut Clifford, ada orang Kelantan yang boleh memecahkan pintu dengan
kepalanya. Contohnya, seorang lelaki yang diberi gelaran Awang Kepala Keras. Selain itu, dia
juga boleh memikul beban yang berat, mengayuh perahu untuk beberapa jam dan boleh
melakukan kerja lebih dari orang Melayu lain. Tingkahlaku orang Kelantan agak kasar dan tidak
sensitif seperti orang Melayu lain. Mereka kurang prihatin terhadap perasaan orang lain. Orang
Kelantan berani tetapi beraninya membabi buta tanpa memikirkan akan bahaya yang mungkin
dihadapi. Bagi masyarakat lain di Pantai Timur (orang Pahang dan Terengganu) watak baik
orang Kelantan ditenggelami oleh reputasi orang Kelantan sebagai pencuri, perompak atau
penceluk. Semasa merompak mereka dikatakan menggunakan senjata tajam yang dikenali
sebagai parang jengok. Perempuan Kelantan lebih menonjol dari wanita-wanita lain di Tanah
Melayu. Mereka sering kelihatan di pasar sama ada meniaga atau membeli. Mereka senang
bertutur mesra dengan semua orang dan tidak menunjukkan sifat-sifat malu yang lazim
ditunjukkan oleh perempuan Melayu yang lain. Ada kalanya kemesraan mereka khusus dengan
pelanggan lelaki bersifat `flirtatious atau kemanja-manjaan. Di Kelantan, lelaki dan perempuan,
lain cara berpakaian mereka jika dibandingkan dengan orang Melayu lain. Orang lelaki Kelantan
tidak memakai baju atau seluar sebaliknya mereka lebih selesa memakai sarung. Kain sarung
diikat singkat hingga ke lutut dan apabila duduk lutut mereka terdedah. Orang perempuan
Kelantan pula suka berkemban dan bahagian bahu dan dada sering terdedah. Cara berpakaian
begini membuat orang lain menganggap orang Kelantan tidak beradat dan beradab sopan.
Sebelum tahun 1888 orang Kelantan takut ke Pahang kerana orang Pahang menganggap orang
Kelantan itu hanya layak untuk menajamkan matakerisnya sahaja. Dalam perkataan lain orang
Kelantan itu baik dibunuh sahaja. Seperti orang Melayu lain di Pantai Timur, orang Kelantan
juga suka berjudi sama ada berlaga ayam, kambing atau kerbau.
Pada keseluruhannya bagaimanakah agaknya cara hidup orang Pantai Timur? Mengikut Clifford,
di Kelantan, Terengganu dan Pahang, cara hidup mereka hampir serupa. Di kawasan pendalaman
rakyatnya lebih lurus dan amanah, lebih rajin, mengalami prubahan yang sedikit dan hidup
mereka sehari-hari berkisar kepada saraan hidup semata-mata. Mereka juga cepat tua. Mereka
bangun pagi, bekerja atau rehat pada waktu siang dan tidur sebaik sahaja hari malam. Hidup
mereka mudah dan sudah pasti membosankan. Hidup mereka sederhana dan kebanyakan mereka
tidak mampu untuk kahwin lebih dari satu. Penduduk yang tinggal di tepi pantai pula berbeza.
Gosip dari istana, cerita-cerita tentang keberanian pahlawan, perbincangan tentang ilmu dan
sebagainya memenuhi masa hidup mereka. Bagi golongan remaja lelaki, dayang-dayang dan
gundek-gundek Raja keadaan dan pergaulan yang bebas menambahkan lagi kenakalan remaja
mereka. Walaupun risikonya tinggi, golongan remaja ini jarang-jarang mahu melepaskan
peluang tersebut. Mereka yang didapati berkendak dengan gundek Raja bolah dihukum bunuh.
Orang Melayu mengikut pandangan Munshi Abdullah (Kisah Pelayaran Abdullah :
diselenggarakan oleh Kassim Ahmad). Pelayarannya ke Kelantan, Abdullah telah sempat juga
singgah di Pahang (Pekan) dan Terengganu (Kuala Terengganu). Sebagai seorang etnografer dia
telah mencatatkan dengan detail apa yang dapat diperhatikannya di ketiga-tiga buah negeri di
Pantai Timur ini. Catatannya ini menarik jika kita bandingkan perbezaan dan persamaan
pandangan tersebut dengan apa yang ditulis oleh Hugh Clifford. Mengikut Abdullah, negeri
Pahang seperti sebuah dusun, penuh dengan tumbuh-tumbuhan yang menghijau. Tidak terdapat
sebarang pasar, kedai atau lorong untuk orang ramai berjalan kaki. Abdullah percaya negeri
Pahang kaya dengan hutan sebab penduduknya malas. Sekiranya hutan-hutan ini ditanam dengan
pokok-pokok yang boleh mendatangkan hasil usaha tersebut pasti berjaya kerana tanah Pahang
subur. Mengikut pemerhatian Abdullah, dari 100 orang penduduknya hanya 10 orang sahaja
yang nampak berkerja. Yang lainnya, sama ada lalai, miskin atau suka berbuat jahat (mungkin
maksud Abdullah, mencuri atau menjadi samseng kampung). Setiap lelaki Pahang ada sekurang-
kurangnya 4-5 jenis senjata yang tidak bercerai dari tubuhnya. Tabiat lelaki Pahang ialah suka
melawar sahaja. Gemar memakai seluar dan kain-baju yang bagus-bagus sahaja tetapi malas
bekerja atau tidak mahu berusaha. Kebanyakan mereka kurus kering keana mereka juga suka
menghisap madat atau candu. Jelasnya ramai orang Melayu Pahang yang ketagih candu. Rumah
mereka rumah atap. Bergantung kepada taraf hidup, rumah mereka ada yang kecil dan ada yang
besar. Kesemua rumah tersebut didirikan di atas darat. Namun demikian, kawasan keliling rumah
mereka semak-samun. Kampung orang Melayu Pahang tidak tersusun kerana rumah-rumah yang
didirikan tanpa perancangan dan peraturan. Terdapat sebuah rumah di sini dan sebuah rumah di
sana. Ada rumah yang dibina dalam hutan dan yang didirikan di tepi pantai. Ada kawasan rumah
yang dipagar dan ada yang tidak dan dibiarkan begitu sahaja. Kawasan di bawah rumah
selalunya kotor. Di bawah rumah, biasanya di bawah rumah dapur akan terdapat kelimbahan atau
lopak air yang bertakung dan menjadi dalam apabila dicakar dan disudu oleh ayam dan itik yang
mencari sisa-sisa makanan yang dibuang ke dalamnya selepas pinggan mangkuk makan dibasuh.
Kawasan ini dan juga rumah berbau busuk kerana tidak terdapat longkang untuk mengalirkan air
yang bertakung itu. Di bawah rumah juga terdapat banyak sampah sarap yang disapu dari atas
rumah. Setiap malam unggun api akan dipasang di bawah rumah untuk menghalau nyamuk.
Asap sering naik ke rumah menyebabkan mata menjadi pedih dan berair. Pakaian di atas rumah
juga akan menjadi hitam disebabkan asap dan jelaga. Tanaman yang banyak ditanam di
sekeliling rumah ialah pokok nyiur dan pinang. Harga 8 buah nyiur ialah seringgit. Terdapat juga
sayur-sayuran seperti keladi, ubi, keledek, tebu, pisang dijual tetapi hasil kebun ini datangnya
dari kawasan hulu negeri. Orang Pahang juga memelihara ternakan seperti kambing, kerbau,
lembu, ayam dan itik. Jelasnya, cara hidup orang Pahang adalah cara hidup masyarakat tani
(peasang) atau masyarakat kampung yang di samping bercucuk tanam dan berternak untuk
saradiri juga menghasilkan tanaman kontan. Oleh kerana kawasan persekitaran kampung kotor
dan tidak tersusun cara pembuangan sampahnya, maka kawasan ini menjadi kawasan kegemaran
gagak yang tertarik dengan kekotoran dan bangkai-bangkai yang bersepah. Hasil dagangan
Pahang yang terbesar ialah emas dan timah. Ada juga penduduk yang menghasilkan sutera. Ada
juga antara mereka yang ke hutan mencari kayu kemuning, damar dan rotan. Wang yang
digunakan di Pahang dikenali sebagai tampang. 16 tampang = 1 ringgit.
Dari segi sistem sosialnya, terdapat ramai golongan Sayid (Syed) di Pahang. Kononnya mereka
adalah keturunan nabi. Maka cucu-cicit mereka juga memakai gelaran Syed pada awal nama
mereka. Di Pahang terdapat juga golongan yang dikenali sebagai golongan Sheikh. Gelaran ini
juga dipakai turun-temurun. Bahasa yang digunakan oleh orang ramai apabila bercakap dengan
golongan ini serupa seperti mereka bercakap dengan golongan Raja-Raja. Mereka bertengku dan
berhamba Tengku. Pekerjaan golongan ini berniaga. Di kalangan ini lebih ramai yang kaya dari
yang miskin. Rumah-rumah mereka lebih baik dan cantik dari rumah orang Melayu. Nampak
jelas bahawa golongan ini wujud sebagai satu kelas yang nyata. Mereka mengamalkan cara
hidup dan status yang jauh lebih baik dari rakyat Pahang yang lain. Penempatan atau
perkampungan mereka jauh berbeza dari perkampungan orang Melayu. Mereka tinggal di tepi
pantai dan di kawasan perkampungan itu terdapat sebuah masjid. Anak-anak mereka dihantar
mengaji di masjid tersebut walaupun mereka tidak faham tentang apa yang mereka baca. Namun
demikian kebanyakan rakyat biasa tidak tahu membaca dan sekiranya keadaan ini dibiarkan
nescaya akan merosakkan generasi orang Melayu yang akan datang. Di Pahang, seperti di
negeri-negeri Melayu yang lain, terdapat juga golongan istana atau Raja yang merupakan
pemerintah negeri. Mengikut Abdullah, anak-anak Raja Pahang menaruh berpuluh-puluh hamba
Raja. Hamba Raja wujud apabila orang yang bersalah melakukan jenayah bunuh mengadap
Sultan dan di samping memohon maaf di atas perbuatannya menyerahkan juga dirinya kepada
sultan untuk dijadikan hamba Raja. Status dan kedudukan hamba raja tinggi dan ditakuti oleh
orang ramai. Di dalam kebanyakan hal mereka menjadi tukang pungut hutang dan tukang pukul
anak-anak raja. Mereka bolehlah dianggap sebagai samsing kampung. Mereka sering digunakan
oleh pihak raja dan anak-anaknya untuk mengganggu anak-isteri orang. Oleh kerana mereka
dilindungi raja maka ditakuti dan boleh melakukan apa-apa sewenang-wenangnya. Sekiranya
mereka dibunuh sultan akan menuntut tujuh nyawa kerabat orang yang membunuh hamba raja
tadi. Terdapat dua cara hukuman bunuh dilaksanakan di Pahang, iaitu cara sula dan salang. Sula
dilaksanakan dengan menikam dubur pesalah dengan pucuk nipah hingga sampat ke perutnya.
Salang pula ialah membunuh dengan menggunakan keris panjang yang dikenali juga sebagai
keris penyalang. Keris tersebut digunakan untuk menikam jantung melalui tulang selangka, iaitu
kawasan di antara bahu dengan leher sebelah kiri. Keris akan dicabut dan kawasan luka itu akan
ditekap dengan kain untuk menghalang darah dari memancut. Rakyat Pahang dikatakan takut
hendak mengubah cara hidup mereka, terutama taksub kepada golongan raja kerana takutkan
daulat Raja. Abdullah mengimbas semula tentang negeri Pahang. Dahulu Pahang mashur tetapi
sekarang negeri tersebut kesunyian dan miskin. Kemiskinannya bukanlah kerana ia diserang dan
ditawan musuh dari luar atau disebabkan oleh perompak dan penyamun yang mengganggu dan
menjejaskan perniagaannya ataupun oleh kerana tanahnya yang tandus kerana terbukti hutannya
hidup subur menghijau. Bagi Abdullah, Pahang miskin kerana kezaliman rajanya. Rakyat takut
dan juga tidak mahu berusaha dan menghasilkan lebihan untuk simpanan kerana akhirnya akan
diminta oleh raja. Kalau tidak diberi akan dirampasnya juga. Maka keadaan ini mematahkan
semangat rakyat untuk membuat harta, menabung dan sebagainya.
Di Terengganu (Kuala Terengganu) Abdullah menerangkan terdapat pasar yang dibuka pada
waktu petang. Raja menduduki tempat dan hiraki yang istimewa dalam masyarakat Melayu.
Apabila melalui istana dan perkampungan raja, rakyat biasa dilarang memakai payung sama
sekali. Golongan rakyat juga dilarang memakai baju kasa, kasut dan pakaian serba kuning.
Abdullah menganggap larangan ini sebagai kolot dan bodoh. Dia bertanya, mengapa tidak
dilarang burung terbang di atas istana, atau nyamuk memakan darah raja atau pijat-pijat
menggigit raja dan sebagainya. Sebaliknya mengapa tidak dilarang penjualan dan penghisapan
madat atau candu yang berleluasa bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga raja. Sepatutnya
raja menjadi contoh, teladan dan role model untuk rakyat tetapi di Pahang dan Terengganu
sebaliknya berlaku. Golongan raja tidak menampakkan ciri-ciri orang yang dianggap berbangsa,
bangsawan dan berdarjat mulia. Jadi jika golongan raja tidak berakhlak mulia bagaimanakah
pula dengan rakyat biasa? Orang yang menjadi penagih madat jarang mementingkan kebersihan
dirinya. Pakaian mereka kotor dan berdaki. Kadang-kadang pakaian tersebut 4-5 bulan tidak
dibasuh. Baju mereka penuh dengan tuma. Kebanyakan kanak-kanak Terengganu tidak
bersekolah. Mereka asyik bermain-main sahaja sepanjang hari. Jalan-jalan dan lorong-lorong di
sekitar pekan didapati kotor dan penuh dengan sampah sarap. Jalan dan lorong tersebut juga
sering becak. Perkampungan dan rumah mereka congkah-mangkih, iaitu tidak tersusun dan tidak
sama. Masing-masing penghuni membina rumah ikut suka hati. Ada rumah yang membelakangi
jalan ada yang mengiring jalan dan terdapat juga lorong-lorong yang sempit yang hanya muat
untuk seorang lalu sahaja. Rumah dipagar tetapi pagar yang dibina bengkang-bengkok. Atap
rumah pula dipasang tinggi. Keliling rumah kotor dan di bawah rumah terdapat banyak sampah
sarap. Di bawah rumah dapur pula terdapat kelimbahan. Kebanyakan rumah terdapat banyak
sabut yang diperun pada waktu malam untuk menghalau nyamuk. Di kawasan kampung ditanam
banyak pokok kelapa. Pada tiap-tiap kampung terdapat sebuah madrasah. Di pasar terdapat ramai
peniaga barang-barang makanan tetapi kesemua mereka perempuan. Barangan makanan yang
dijual adalah penganan, cucur, pisang rebus, keladi rebus, penganan talan dan sebagainya.
Terdapat perbezaan di antara rumah orang kaya dengan orang miskin. Rumah orang kaya dibuat
dari batu dan bangunan rumah adalah seperti rumah orang Cina. Rumah tersebut diberi tembok
tetapi dinding tembok penuh dengan kesan ludah sirih dan juga lumut. Di Terengganu juga
banyak ditanam pokok limau yang dijual di pasar. Lembu, kambing dan biri-biri murah
harganya. Harga seekor kambing seringgit. Walaupun daging murah orang ramai tidak suka
memakannya. Sebaliknya mereka lebih suka makan makanan yang busuk-busuk seperti
tempoyak, pekasam, petai, jering, ulam dan sebagainya. Di Terengganu juga tiada tempat atau
sekolah orang mengajar Bahasa Melayu tetapi terdapat 6/7 buah rumah tempat kanak-kanak
belajar mengaji. Abdullah menceritakan juga tentang dialek Terengganu di mana perkataan yang
berakhir dengan n dibunyikan ng. Contohnya, ikan = ikang, tuan = tuang, bulan = bulang, makan
= makang dll. Walau bagaimanapun apabila mereka menyurat betul pula ejaannya. Di
Terengganu, raja dan hamba raja bermaharajalela. Setiap orang dikatakan ada 4-5 campak buang
(lembing?), sebilah keris dan sebilah chenangkas (pedang panjang). Mereka tidak bekerja kecuali
memikul senjta-senjata ini ke hulu ke hilir. Orang lelakinya malas tetapi orang perempuannya
rajin-rajin terutamanya di dalam bidang perniagaan. Di Terengganu juga rakyat takut hendak
mengumpulkan harta atau menghasilkan lebihan takut nanti diminta atau dirampas atau
dirompak oleh golongan raja. Abdullah risau sekiranya kaum ibu yang bekerja dan berniaga,
anak-anak di rumah akan terbiar dan tidak terurus pakaian dan makan minum mereka. Apa yang
akan jadi pada generasi akan datang?
Di Kelantan lelakinya juga banyak memakai senjata. Setiap orang ada 6/7 batang campak buang
di samping parang lading atau chenangkas atau pedang. Sebilah keris juga lazimnya tersisip di
pinggang. Ada juga di kalangan mereka yang membawa senapang. Warna kulit mereka
semuanya hitam. Tanah perkampungan orang Kelantan subur dan ditanam penuh dengan nyiur,
durian dan buah-buahan tempatan yang lain. Terdapat juga binatang ternakan seperti lembu, dan
kerbau yang gemuk-gemuk. Di pasar penuh dengan perempuan yang berniaga. Seperti di
Terengganu, di pasar terdapat juga makanan busuk-busuk yang disukai orang tempatan seperti
budu, ikan asin, siput asin dll. Orang tempatan tidak banyak makan daging tetapi sebaliknya suka
makan ikan yang banyak terdapat di perairan negeri itu. Abdullah disuruh makan timun tetapi
apa yang dipanggil oleh orang Kelantan timun itu adalah tembikai. Kenderaan Raja Kelantan
adalah gajah. Abdullah menghadap raja, dikeluarkan tempat sirih dahulu dan dia disuruh makan
sirih sementara menunggu raja santap. Raja Kelantan pada waktu itu berwajah rendah, hitam
manis, tubuhnya gempal, mukanya bulat dan hidungnya mancung. Rambutnya mencecah bahu.
Pada pinggangnya tersisip sebilah keris. Keadaan kampung tidak tersusun. Sampah-sarap
berselerakan menyebabkan alam persekitaran berbau busuk. Orang Kelantan, sama ada raja
mahupun rakyat tidak memakai kasut. Di Kelantan terdapat ramai perempuan jalang yang
dikenali sebagai orang bujang. Apabila waktu petang mereka datang menghampiri perahu.
Mereka datang berkemban dan memakai sanggul lintang. Pada rambut mereka diletakkan bunga
melor yang telah dikarang. Bagi orang Kelantan pekerjaan ini tidak dianggap hina. Mengikut
Abdullah, adat dalam negeri tiada menjadi hina pekerjaan itu. Kebanyakan orang Kelantan
juga suka menyabung dan berjudi. Mengikut Abdullah, dari 100 orang hanya 2 sahaja yang
mengikut perintah Allah seperti sembahyang. Rakyat taat kepada sultan. Apabila sultan
berperang sama sendiri (perang saudara kerana berebut takhta) rakyat dikerah untuk berlawan.
Mereka membuat kubu dan terpaksa membawa bekalan makan sendiri kerana raja tidak
menyediakan makanan untuk mereka. Anak bini di rumah dibiar mencari nafkah sendiri. Rakyat
yang dikerah berperang juga terpaksa bawa senjata sendiri kerana raja juga tidak membekalkan
mereka dengan sebarang senjata. Peperangan ini biasanya memakan masa berbulan-bulan kerana
masing-masing pasukan akan hanya melepaskan beberapa das tembakan dari kubu mereka setiap
hari. Peperangan ini menguji ketahanan mental dan juga bekalan makanan masing-masing
pasukan. Apabila makanan habis rakyat yang dikerah akan balik ke rumahnya untuk
menyediakan bekalan makanan bagi jangka masa berikutnya. Di Sabak (sebuah perkampungan
nelayan di tepi pantai) rakyat rata-rata miskin. Kain baju mereka compang-camping. Kepala
mereka gondol. Pekerjaan penduduk ialah memukat dan bertanam padi. Tempat tinggal mereka
merupakan pondok, atap dan dindingnya dibuat dari daun nipah. Lantai pula jongkang-jongkit.
Kawasan rumah busuk, bau ikan dan sampah sarap yang bertimbun-timbun. Sawah mereka luas
dan bersih. Di sawah terdapat beratus-ratus ekor kerbau dan lembu. Raja Kelantan disifatkan
zalim oleh Abdullah. Rakyat sering dianiaya. Rakyat sehari-hari mengerjakan pekerjaan raja
tetapi makan minum rakyat tersebut laki-bini tidak diberi. Sebaliknya, perahu, tanaman dan
ternakan akan diambil (rampas) oleh raja mengikut sesuka hatinya. Begitu juga dengan anak-
anak perempuan yang cantik akan diambil oleh raja untuk menjadi gundeknya.
zanas
gurun, kedah, malaysia

http://zanas.wordpress.com/pembinaan-bangsa-dan-negara-malaysia-yang-berdaulat/identiti-
masyarakat-dan-budaya-melayu/
Tajuk Perbincangkan kita pada kali ini ialah mengenai Bahasa, Apa itu bahasa, semua orang
mengetahui apa itu bahasa, bila ditanyakan kepada remaja kita pada hari ini mengenai konsep
bahasa ada yang menjawab, "alah bahasa lah, bahasa untuk berkomunikasi sesama kita" ada juga
yang menjawab sambil ketawa kecil, " emm.. bahasa lah, budak kecik pon tahu, bahasa melayu
bahasa komunikasi, ." Ya ada benarnya jawapan-jawapan yang diberikan oleh remaja-remaja
tersebut, tetapi bagi pengkaji-pengkaji bahasa mereka bukan sahaja memberi takrif bahasa
daripada segi alat sebagai komunikasi, malah bahasa merupakan sistem lambang-lambang yang
bersifat arbitrari dan berfungsi sebagai alat komunikasi dan untuk mengindentifikasikan diri
mereka (Zulkifley Hamid: 2007). Apabila kita menyifatkan bahasa sebagai arbitrari maksudnya
sifat ini yang membezakan bahasa manusia daripada sistem perhubungan lain yang bersifat
ikonik, iaitu reaksi yang bersifat alamiah seperti, menjerit, mengaduh sakit dan mendengus
marah.
Peranan bahasa sangat penting bagi masyarkat antara peranan yang dimainkan oleh bahasa ialah,
menyampaikan sesuatu maksud atau perasaan hati kepada orang lain (Othman Sulaiman : 1960).
Selain itu, bahasa juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarkat, hal ini disebabkan
bahasa mempunyai kebolehan mendukung, meneruskan dan mengekalkan sesuatu identiti
masyarakat tersebut. sehubungan dengan itu, bahasa dianggap sebagai gambaran jiwa bangsa dan
budaya seseorang individu tersebut (Teo kok Seong : 1999). hal ini terbukti, apabila kita melihat
negara kita Malaysia yang berbilang kaum dan mempunyai kepelbagaian bahasa, dengan secara
tidak langsung kita akan terbayang seperti rajah di bawah :

Dengan contoh yang diberikan di atas dapat mengukuhkan lagi pendapat yang menyatakan "
bahasa juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarkat, hal ini disebabkan bahasa
mempunyai kebolehan mendukung, meneruskan dan mengekalkan sesuatu identiti masyarakat
tersebut" (pada perenggan diatas). dengan kata mudahnya bahasalah yang mengekalkan sesuatu
identiti kaum sesuatu masyarakat. Oleh itu, Negara Malaysia telah mengambil langkah awal
dengan memperkenalkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bagi mengekalkan identiti
masayarakat Malaysia Berbilang kaum. Buktinya dapat dirujuk dalam peruntukan perkara 152
perlembagaan Malaysia :

Tujuan perkara 152 yang diperuntukan dalam perlembagaan Malaysia bukan hanya kepentingan
kepada Kaum Melayu sahaja tetapi untuk kepentingan bersama. Cuba kita fikir sejenak, jika
perkara 152 tidak diperuntukkan bagai mana keadaan Malaysia sekarang? apabila tiada bahasa
rasmi atau bahasa kebangsaan yang menjadi tonggak dalam pemerintahan, pendidikan dan
daripada segi aktiviti sosial masyarakat??.. Baiklah cuba bayangkan jika peruntukan 152 tidak
wujud Pentadbiran akan kucar-kacir, contohnya jika pelbagai bahasa digunakan dalam
pentadbiran tidak kiralah diperingkat pusat mahupun negeri akan menyebabkan arahan dan
undang-undang menjadi lemah. Lemah kenapa? kerana berkemungkinan besar sesetengah rakyat
tidak memhami apa yang disampaikan dan akan menyebabkan percangahan di antara kaum dan
juga apa yang dirancangkan tidak akan berhasil contoh yang lebih mudah difahami adalah seperti
berikut; jika kita ambil satu contoh jabatan kerajaan iaitu ;
JPN (Jawatan Kuasa Perancang Negeri)
Ahli jawatankuasa :



Jika pelbagai bahasa yang digunakan dalam urusan pentadbiran maka jadilah seperti diatas. okey
kita lihat pula dalam aktiviti sosial masyarakat jika setiap kaum menggunakan bahasa mereka
sendiri seperti India dengan bahasanya, Cina dengan bahasanya, itu tidak mengapa jika mereka
berada dalam komuniti mereka, tetapi cuba bayangkan jika tiada satu bahasa diterapkan sebagai
bahasa kebangsaan untuk menjadi perantaraan kepada komuniti lain, dan mereka haya dapat
bercakap dengan komuniti mereka sahaja dan tidak memahami apa yang di tuturkan oleh
komuniti lain, daripada sinilah timbul perasaan tidak senang dan Syak Wasangka atau (berburuk
sangka) hal ini akan menyebakan perpecahan dan perbalahan diantara kaum.
Kenapa Bahasa Melayu Dipilih? Kenapa tidak bahasa lain?



Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bukan disebabkan bahasa-
bahasa lain di Malaysia tidak bagus, tetapi kita mestilah melihat pada sejarah, bilangan
kefahaman. jika kita lihat daripada segi sejarah penggunaan bahasa Melayu di Semenanjung
Malaysia dapat dibuktikan dengan kewujudan prasasti Melayu tertua ditulis dalam bentuk
ortografi bahasa Arab yang dikenali sebagai tulisan jawai dalam bahasa melayu moden. Bahasa
Melayu yang tertua ini dijumpai pada tahun 1303 di desa hulu sungai Terengganu, kira-kira 60
KM ke pedalaman dari timur laut pantai Semenanjung Malaysia (James T. Collins : 2005).
Tulisan tersebut dalam bentuk Naskah Bahasa Melayu Jawi yang diukir di atas sebuah batu.
Tulisan ini mencatat hukum-hukum alam di seluruh kekuasaan kerajaan Terengganu. Antara
Contoh kata yang diguankan dalam naskah tersebut ialah :
Derma
Axara
Bumi
Keluarga
Denda
Merdeka
Menteri
Seri Paduka
Suami
Raja
Bicara
Atau
Agama
Bendara
Isteri
Kemasukan Imigran Cina Dan India Ke Tanah Melayu . Apa kaitannya Dengan Sejarah Bahasa
Melayu Di semenanjung??
Sejak abad ke-15, orang Cina telah datang ke Tanah Melayu. Pembukaan Melaka dan hubungan
perdagangan di antara Melaka dengan negara China menggalakkan kedatangan orang Cina.
Penghijrahan orang Cina semakin bertambah menjelang awal abad ke-19. Orang Cina telah
berhijrah ke Negeri-negeri Selat akibat perkembangan perdagangan di Pulau Pinang dan
Singapura serta dasar pemerintahan British di Pulau Pinang dan Singapura yang longgar
memudahkan lagi kemasukan imigran Cina. Orang Cina berhijrah ke Johor pada masa
pemerintahan Temenggung Ibrahim (1825-1862) untuk membuka ladang gambir dan lada hitam.
Penghijrahan masuk orang Cina meningkat lagi pada pertengahan abad ke-19. Mereka berhijrah
secara beramai-ramai untuk bekerja sebagai buruh di lombong bijih timah dan ladang lada hitam.

Manakala, Orang India datang ke Tanah Melayu sejak abad yang pertama. Mereka dipercayai
datang sebagai pedagang. Pedagang-pedagang India ini menggelarkan Tanah Melayu sebagai
Suvarnabumi atau Tanah Emas. Orang India hanya berhijrah secara beramai-ramai pada
penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 akibat perkembangan perusahaan getah yang telah
meningkatkan keperluan tenaga buruh yang murah dan ramai. Pada awal abad ke-19, bilangan
orang India yang berhijrah akibat pembukaan Pulau Pinang (1786) dan Singapura (1819).
Selepas penubuhan Negeri-negeri Selat (1826), pihak British membawa masuk buruh-buruh dan
banduan-banduan India untuk membina bangunan awam dan jalan raya di Negeri-negeri Selat.
Keperluan buruh India meningkat berikutan perkembangan perusahaan getah. Hampir semua
orang yang berhijrah masuk ke Tanah Melayu berasal dari India Selatan terutamanya dari
wilayah Madras (Tamil Nadu) dan India Utara dari Punjab.



Sebenarnya tiada kaitan, yang cuba diterangkan namun renungaan dan penghayatan diperlukan,
sekali lagi cuba kita fikir sejenak, Bahasa Melayu telah digunakan di Semenanjung Tanah
Melayu sebegai lingua franca Berabad-abad lamanya. Manakala, imigran daripada Cina dan
India datang ke tanah Melayu sepenuhnya pada abad ke 19. Mereka pada mula tidak memahami
bahasa Melayu. Namun begitu perkara ini tidak begitu penting bagi mereka kerana mereka
datang ke tanah Melayu semata-mata ingin mencari rezeki, lama kelaman mereka sebati dengan
bahasa Melayu dan sehinggalah lahir generasi baru yang fasih dan mahir berbahasa Melayu.
Oleh itu, Memang Wajarlah bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa
rasmi negera. hal ini adalah kerana, Bahasa Melayu telah lingua franca sejak berabad-abad
lamanya dan yang paling penting semua maysrakat di Malaysia memahmi bahasa Melayu
setereusnya menjadikan Bahasa Melayu sebegai bahasa perantaraan untuk berkominikasi
diantara semua kaum.

Oleh itu, kita sebgai rakyat Malasyia seharusnya mepertahankan bahasa kebangsaan kita, tidak
kiralah daripada kaum apa sekalipun. Jangan sampai bahasa kebangsaan kita diperkotak-katikkan
oleh segelintir masyarkat tidak berpuash hati dengan perkara 152, yang menyatakan perkara 152
harus dimansuhkan kerana tidak releven katanya. habis bahasa apa yang releven untuk dijadikan
sebagai bahasa rasmi? Urdu? Cantonese? jawa? murut? atau pun bahasa semai? , artikel saya
bukanlah untuk menimbulkan kemarah daripada mana-mana pihak, tetapi ingin menyedarkan
bahawa kalau bukan bahasa Melayu, bahasa Apa lagi nak guna?, Ke nak gantikan bahasa
kebangsaan kepada bahasa Urud? faham ke kaum Melayu?, faham ke kaum Cina? dan macam
manapula kaum-kaum dan etnik-etnik yang lain?.. jadi kata terakhir daripada Saya Sayangilah
Bahasa Kebangsaaan kita, Kerena daripada Bahasa Kebangsaan ini lah bermulanya akar
perpaduan yang utuh. Asalamualaikum, Selamat Beramal...


Karya : Mofizputra
Tarikh disipakan : 29/122010.
Hari : Rabu
Masa : 3.54 pagi.
http://mofizputra.blogspot.com/2010/12/salamualaikum.html

You might also like