You are on page 1of 7

Proses Persediaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Di Tapak Projek

Peringatan : - Bahan ini tidak mewakili pendapat mana-mana pihak lain kecuali
pengarangnya. Ianya tidak harus dilihat sebagai dokumen perundangan, perniagaan,
atau nasihat pengurusan risiko kepada mana-mana pihak. Pengarang tidak boleh
diletakkan sebarang tanggungjawab keatas ketepatan maklumat yang dipaparkan
mahupun ianya akan menjamin ketinggian kualiti dalam keselamatan dan kesihatan
pekerjaan atau 'imuniti' terhadap tindakan undang-undang. Pembaca/Pengamal OSH
perlu menghubungi pengarang terlebih dahulu jika terdapat sebarang pertanyaan.

Bagi siri-siri OHSAS 18000, tidak ada perkataan ISO dimasukkan bersama
(c) 2000 - Hakcipta Terpelihara - Nik Zafri Abdul Majid- Sebarang
penyalinan/penggunaan kembali harta intelek di Internet/Laman Web Penulis Nik Zafri
Online 2000 dalam apa juga bentuk sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah menyalahi
undang-undang.

Sepanjang tempoh pembinaan projek, aktiviti kerja dan tapak adalah berubah-ubah.
Banyak suasana berbahaya timbul pada setiap fasa baru. Ini akan memberikan cabaran
kepada pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Pengurusan projek perlu
menyediakan kaedah perancangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang sesuai
terutamanya sebelum setiap projek pembinaan atau sesuatu fasa baru. Perancangan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan memastikan pengurangan risiko dengan
mengambilkira kos, penjadualan, kualiti dan lain-lain yang berkaitan. Sekiranya ini tidak
menjadi sebahagian daripada elemen pengurusan projek, pastinya faktor keselamatan
dan kesihatan pekerjaan akan terancam semasa pembinaan ataupun memasuki fasa
baru.
Ramalan Pengiraan
Pastikan anda mempunyai maklumat dokumen tender/kontrak yang mencukupi semasa
proses pemilihan kontraktor/sub-kontraktor. Disinilah bermulanya perancangan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Sebutharga yang dimajukan mestilah melibatkan
sejumlah peruntukan untuk keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Pengurus/Eksekutif/Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang
kompetan/trampil perlu menyediakan belanjawan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Dengan pengalaman dalam menguruskan projek yang lalu, pastinya belanjawan ini
dapat dikemukakan dengan tepat. Adalah penting untuk mengetahui seramai manakan
sumber manusia - kakitangan/pekerja yang diperlukan supaya masa dan kos yang
bersabit dengan latihan dan pembangunan keatas perkara-perkara berhubung dengan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan dapat diambilkira. Rekabentuk juga perlu disemak
kembali bagi menentukan kos tambahan keatas keselamatan dan kesihatan pekerjaan
yang mungkin dicetuskan oleh faktor-faktor rekabentuk. Jika terdapat jadual projek,
kos-kos tambahan keselamatan dan kesihatan pekerjaan juga dapat ditentukan. Kos-kos
yang dijangka adalah peralatan perlindungan diri, peralatan keselamatan dan lain-lain
data, dokumen dan rekod yang diperlukan dalam belanjawan keselamatan dan kesihatan
pekerjaan.
Penyelenggaraan belanjawan pengurusan projek adalah suatu kerja yang amat
mencabar. Sekiranya belanjawan keselamatan dan kesihatan pekerjaan tidak
dimasukkan bersama, pastinya kerumitan akan dialami semasa pembinaan projek.
Mesyuarat Perancangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Mesyuarat perlu bermula serta merta terutamanya dikalangan ahli-ahli jawatankuasa
induk yang terpilih selepas dianugerahkan kontrak dan sebelum projek bermula.
Mesyuarat ini perlu digunakan untuk mendiskusikan program keselamatan dan kesihatan
pekerjaan secara keseluruhan, menentukan tugas dan tanggungjawab. Perancangan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu didokumenkan terutamanya dalam dasar
keselamatan dan kesihatan pekerjaan, strategi pengurusan dan peraturan/tatacara.
Pengurusan dokumen, data dan rekod yang sempurna diperlukan semasa dan selepas
mesyuarat ini dijalankan. Antara agenda yang biasa dibincangkan ialah strategi
pengurusan, kawalan suasana berbahaya, keperluan subkontraktor, analisa kerja yang
melibatkan suasana berbahaya dan pembelian.
1. Strategi
Pengalaman saya dalam sektor pembinaan projek mega negara dan mendapat persijilan
ISO 9000 telah menunjukkan bahawa terdapat satu latihan yang sering dilupakan oleh
pengurusan projek. Selain, latihan luaran dan dalaman atau latihan semasa kerja, saya
telah mendefinisikan satu lagi bentuk latihan dalam definisi prosedur "Latihan" iaitu
"Latihan yang diwajibkan oleh Undang-Undang"; samada disukai atau tidak disukai oleh
majikan. Apabila saya maksudkan latihan yang diwajibkan undang-undang, saya banyak
merujuk kepada latihan teknikal dan latihan bersabit keselamatan dan kesihatan
pekerjaan yang diperlukan oleh Akta. Perkara ini juga perlu dipertimbangkan oleh
pengurusan projek semasa penyediaan belanjawan.
Latihan dan pembangunan adalah aspek yang terpenting dalam perancangan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Ianya bermula dengan orientasi pekerja baru
yang melibatkan penyebaran maklumat am kepada mereka umpamanya corak dan aliran
komunikasi semasa kecemasan dan induksi harian. Selain itu, latihan boleh diserapkan
kedalam mesyuarat mingguan "toolbox". Sesetengah pekerja mungkin memerlukan
latihan kemahiran khusus seperti memasang scaffolding dan tatacara pembinaan dalam
konteks struktur dan sivil. Kursus ini banyak disediakan oleh pihak Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Institut Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan, Universiti
Teknologi Malaysia, MARA dan lain-lain.
Selain itu, program memeriksa sendiri bagi mengenalpasti/memperbetulkan/mencegah
suasana tidak selamat dan tindakan yang boleh diambil, juga perlu diwujudkan.
Penguatkuasaan keatas sebarang ketidakpatuhan mestilah diketahui oleh semua
peringkat organisasi menerusi dasar. Kaunseling dan tunjukajar boleh digunakan untuk
kesalahan yang kecil.
Dari kajian, pengalaman dan pemerhatian saya, banyak bahagian/unit sumber manusia
dan keselamatan/kesihatan pekerjaan, kualiti mahupun alam sekitar tidak menyedari
perkara-perkara berikut :-
a. Tidak perlu memo/surat peringatan/amaran kedua atau ketiga bagi kesalahan yang
serius walaupun kali pertama dilakukan dan latihan telah diberikan secukupnya.
Contoh 1 :
Jika seorang pemandu kren tidak "melipatkan" boom semasa beralih kearah lain, dan tiba-tiba boom
berkenaan telah terkena tiang elektrik berdekatan dan akibatnya tiang berkenaan rosak. Pemandu kren
yang terlatih sepatutnya mengetahui bahawa boom mestilah dilipat semasa beralih ketapak kerja yang
lain.
Apakah logik jika pemandu berkenaan hanya diberikan memo/surat peringatan/amaran pertama atau
kedua atas dasar 'implied' atau 'expressed' Akta Pekerjaan 1955 atau Akta Perhubungan Industri.
Disinilah apa yang dimaksudkan sebagai Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan "prevails above
other laws"
Jika pemandu diberikan surat peringatan/amaran/memo, bagaimanakah jika beliau membuat
kesalahan yang kali kedua dan kali ini menyebabkan "kematian" atau "kecederaan" atau "kerosakan loji
dan peralatan"? Jika diteruskan sehingga ke peringkat "domestic inquiry" sekalipun, kes akan menjadi
lebih rumit yang menyebabkan implikasi perundangan industri pula.
Pengalaman saya menunjukkan pemandu berkenaan perlu ditamatkan perkhidmatan
serta-merta kerana sebelum ini, malah dalam kontrak perkhidmatan dan undang-undang
syarikat telah jelas, beliau dilantik kerana didapati memenuhi syarat-syarat seperti
terlatih/mahir dan berpengalaman dan/atau akan dilatih oleh pengurusan.
Contoh 2 :
Jika seorang pekerja melemparkan batu dari tingkat atas bangunan dan tiba-tiba ianya telah
mencederakan pekerja lalu-lalang dibawahnya (ada kes yang menyebabkan terbunuh) Rasa saya,
pembaca dan pengamal OSH pun mengetahui "laws of physics" mengenai objek yang jatuh.
Ini sebenarnya bukan kes disiplin...ianya merupakan kes jenayah kelas kedua/ketiga.
Jadi apa yang perlu pengurusan lakukan ialah melaporkan kepada pihak berkuasa dan
tindakan akan diambil dari segi jenayah "tidak sengaja/tidak berniat" dan bukannya
menjadi kes industri yang berpanjangan.
Apa yang saya cuba jelaskan ialah, tidak ada istilah "senda-gurau" semasa bekerja
ditempat-tempat kritikal.
Semua kesalahan yang serius perlu mengakibatkan penamatan perkhidmatan.
Penguatkuasaan dan disiplin adalah perlu bagi memastikan individu/pekerja/kakitangan
yang sengaja melanggar undang-undang keselamatan dan prosedur dikenakan tindakan
yang sewajarnya. Saya memuji sesetengah pengurusan yang amat "tegas" dalam
pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Saya juga pernah memberikan panduan kepada pengurusan sumber manusia untuk
meninggikan kualiti aspek penilaian semasa temuduga calon. Aspek ini akan
menentukan calon yang benar-benar berdisiplin dan menjaga peraturan keselamatan
dan kesihatan pekerjaan - "jangan sampai terhantuk baru nak tergadah" dan "mencegah
adalah lebih baik dari berubat".
Penyiasatan kemalangan adalah perlu bagi mengenalpasti punca kemalangan supaya
tindakan pembetulan dan pencegahan dapat diambil bagi memastikan perkara yang
sama tidak berulang. Sekali lagi saya terpanggil untuk menegur pengamal OSH supaya
menyenaraikan "trend" kemalangan, suasana merbahaya dan kecederaan untuk
memudahkan klasifikasi "major" atau "minor non-conformance". Ianya juga
memudahkan perhatian yang serius dan tindakan susulan diambil terhadap trend
"major" dan penurunan kes "minor" yang berpotensi menjadi kes "major" jika dibiarkan.
Laporan yang cepat bagi setiap insiden/kemalangan adalah perlu bagi membantu
kebekerkesanan penyiasatan. Pusat perubatan ditapak projek perlu disediakan supaya
mangsa mendapat rawatan segera atau rawatan awal sebelum dihantar/dirujuk ke
hospital jika perlu.
Program rehabilitasi juga perlu kepada mangsa yang mungkin bukan sahaja kehilangan
"anggota/pancaindera" tetapi juga "semangat. Semasa saya berkhidmat dengan sebuah
firma OSH ternama Australia, terapi ini harus melibatkan meletakkan mangsa
berdekatan dengan tempat kemalangannya supaya sebarang "phobia" dapat
diminimakan. Selain itu, mangsa juga harus diberikan kerja yang mudah dan mampu
dilakukan olehnya. Disini, kita dapat lihat elemen "kebajikan pekerja" telah terjaga
dengan sendirinya.
Mereka yang dikenalpasti mestilah diberikan latihan yang secukupnya. Papan-papan
pengumuman perlu diadakan di hampir kesemua lokasi strategik dalam tapak
pembinaan. Ianya perlu memaparkan poster keselamatan, no. telefon semasa
kecemasan, dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan, arahan memakai peralatan
perlindungan diri, rekod keselamatan "manhours"/dan/atau kemalangan sifar, trend
suasana berbahaya, insiden/kemalangan dan sebagainya.
Program insentif dan motivasi penyelia/pekerja seperti anugerah "pekerja bintang", t-
shirt, upah, sijil dan lain-lain juga boleh diwujudkan bagi menggalakkan penjagaan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Insentif ini akan ditentukan berdasarkan prestasi
individu dan kumpulan atau manhours.
Seperti yang dinyatakan diatas, jawatankuasa dalaman induk keselamatan dan
kesihatan pekerjaan wajib diwujudkan. Ada juga yang mencadangkan jawatankuasa
adhoc atau fungsi silang diwujudkan. Walau apa pun caranya, tanggungjawab ahli
jawatankuasa adalah menjurus kearah meninggikan penyelesaian isu dan cadangan
meningkatkan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Elemen-elemen lain ialah
pemeriksaan berkala, semakan penyiasatan kemalangan/insiden dan analisa data.
2. Kawalan Suasana Berbahaya
Kawalan suasana berbahaya adalah bergantung diatas skop projek dan jenis aktiviti
pembinaan yang dijalankan. Antara yang melibatkan kawalan suasana berbahaya ialah
:-
Letupan
Pemampatan Udara
Kerja-Kerja Konkrit
Ruangan Terhad
Kren
Elektrik & Mekanikal
Pelan Kecemasan dan Bencana Alam
Excavations/Trenching/Shoring
Perlindungan daripada jatuh
Pencegahan/Perlindungan Kebakaran
Pertolongan Cemas
Komunikasi
Sisa Lebihan Bahaya/Toksik
Jentera Berat
Kebersihan
Tangga
Lampu
Lock Out/Tag Out
Penstoran dan Pengendalian Bahan
Kebisingan
Peralatan Perlindungan Diri
Alat Pernafasan
Keperluan Sanitari
Scaffolding
Penggunaan dan Penyelenggaraan Peralatan
Kawalan Trafik
Papan tanda Amaran, Isyarat dan Barricade
Kimpalan dan Pemotongan
Senarai ini tidaklah lengkap, tetapi ianya boleh digunakan sebagai panduan am bagi
membantu pengamal OSH menentukan mana-mana keperluan tambahan yang relevan
dengan projek pembinaan.
3. SubKontraktor
Projek pembinaan selalunya memerlukan pekerja daripada kontraktor yang berlainan
pada masa yang sama. Aktiviti pekerja dari sebuah firma kontraktor kadangkala
berpotensi membahayakan pekerja-pekerja kontraktor lain yang berdekatan.
Kebanyakan OSHA dan syarat kontrak didunia telah menentukan kontraktor terutama
akan memikul tanggungjawab dan tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan
sebarang masalah yang timbul berpunca daripada aktiviti subkontraktor.
Perjanjian/kontrak dengan subkontraktor perlu melibatkan klausa penjagaan peraturan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan oleh subkontraktor termasuk apa-apa yang
melibatkan OSHA dan apa-apa kod amalan/piawai yang berkaitan. Kesemua program
keselamatan dan kesihatan pekerjaan subkontraktor perlu dimajukan dan ianya mestilah
konsisten dengan keperluan kontraktor terutama dan klien. Pastikan penelitian dan
semakan yang rapi keatas program yang disediakan oleh subkontraktor sebelum
memulakan kerja. Penilaian prestasi subkontraktor juga akan ditentukan dari segi
keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Ini dapat diluahkan semasa mesyuarat dengan
wakil-wakil subkontraktor samada mingguan atau bulanan. Klien juga diperlukan hadir
bagi menguatkan kedudukan kontraktor dan jaminan lisan/tulisan dari subkontraktor.
4. Analisa Kerja yang melibatkan Suasana Berbahaya
Suatu lagi amalan yang baik ialah mengenalpasti terlebih dahulu apa-apa peralatan
keselamatan atau kaedah mengendalikan suasana berbahaya bagi mempastikan
keberkesanan kerja dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Pertimbangan
teliti perlu diberikan keatas suasana berbahaya yang berkaitan dengan egronomik
seperti pergerakan berulang, getaran, suhu yang terlalu tinggi atau terlalu rendah dan
pengubahsuaian/penyesuaian peralatan. Dengan merancang terlebih dahulu secara
proaktif, penangguhan kerja atau pemberhentian mengejut dapat diminimakan. Analisa
Kerja yang melibatkan Suasana Berbahaya (Job hazard analysis) adalah proses
mengenalpasti suasana berbahaya yang berkaitan dengan kerja atau fasa sesuatu
pekerja. Pembangunan analisa ini akan membantu menyelesai atau meminimakan
suasana berbahaya yang berkaitan dengan aktiviti kerja-kerja tertentu. Pilihan keatas
aktiviti kerja-kerja tertentu yang diketahui kemerbahayannya perlu dilakukan.
Cara penyediaan analisa ini biasanya melibatkan :-
1. Pemilihan kerja untuk analisa.
2. Memecahkan tugas menjadi komponen individu atau aktiviti.
3. Mengenalpasti suasana berbahaya.
4. Membangunkan prosedur keselamatan.
5. Mengaplikasikannya terhadap kerja berkenaan.
Analisa ini boleh digunakan bagi menerapkan nilai-nilai murni dan sikap mengamalkan
kerja yang selamat. Ianya juga boleh menjadi panduan latihan bagi pekerja baru dan
mengenalpasti punca kemalangan sekiranya ianya berlaku. Setiap analisa perlu disemak
dalam tempoh-tempoh tertentu bagi meningkatkannya secara berterusan.
5. Pembelian
Pengurusan Projek perlu merancang pembelian peralatan keselamatan dan kesihatan
pekerjaan. Pembekal perlu diperiksa bagi memastikan bekalan secukupnya dan harga
yang berpatutan (tanpa membelakangkan kualiti). Saya teringat konsep "Dacing Risiko
dan Kos" yang terbukti dapat membantu pengurusan projek dalam aspek pembelian
atau perbelanjaan. Pastikan pembelian dalam kuantiti yang tinggi mendapat diskaun
yang baik. Pengurusan projek mungkin perlu membuat pembelian pelbagai bagi
mempastikan peralatan perlindungan diri adalah sesuai dan selesa digunakan mengikut
jenis kerja yang dilakukan. Mungkin juga pembekal dapat mengubah rekabentuk
mengikut fesyen semasa (tetapi tidak membelakangkan elemen keselamatan) untuk
menarik perhatian pembeli. Kesemua faktor keselamatan perlu dikenalpasti dan
didokumenkan keatas mana-mana peralatan yang melibatkan penggunaan kuasa. Jika
perlu disewa, pastikan penyewa selaku pembekal menentukur segala peralatan
keselamatan dan kesihatan pekerjaannya.
Nota Pengarang
Sekiranya terdapat sebarang piawai/kod amalan yang khusus atau umum keatas faktor
keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pastikan ianya sesuai dengan jenis skop industri
khususnya jenis kerja yang dijalankan. Walaupun tidak jelas dalam OSHA, namun piawai
ini mampu menjadi pelaksana kepada OSHA (dimana OSHA merupakan payungnya).
Untuk mengamalkannya, sebarang klausa; selagi praktikal; perlu didokumenkan dalam
manual dan prosedur keselamatan kerja.
Jika tidak ada sebarang rujukan keatas sesuatu kerja dan memerlukan khidmat pakar
atau berkonsepkan "best practice", maka sebarang dokumen yang digunakan (teknologi
prototaip) perlu disahkan oleh mereka yang kompetan atau daripada pihak jabatan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan/atau Kementerian Sumber Manusia dengan
kerjasama CIDB, Institut Jurutera Malaysia, NIOSH, badan-badan persijilan tempatan-
antarabangsa/jabatan standard tempatan-antarabangsa dan lain-lain. Biasanya amalan
baru (prototaip) ini akan menjadi "aras" kepada pihak penguatkuasaan atau mungkin
menjadi piawai yang baru.
Walaupun demikian, ada juga kes ketidakpatuhan terhadap piawaian akan menyebabkan
ketidakpatuhan kepada OSHA. Dan ada juga kes amalan piawaian (samada baru atau
lama) tidak membebaskan pengurusan daripada sebarang penguatkuasaan. Malah ada
juga piawaian yang didokumenkan dalam manual atau prosedur dijadikan bahan kes
Mahkamah. Paling malang ialah amalan piawaian baru/teknologi prototaip tidak
diberikan jaminan insuran pembinaan.
Kesimpulan
Sekiranya pengurusan projek melibatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam
proses perancangan, hasil yang positif biasanya menyusul. Pengurangan perulangan dan
tahap kemerbahayaan dalam kemalangan/insiden boleh meninggikan produktiviti,
mengurangkan kos insuran dan meningkatkan sudut dayasaing serta imej korporat
sebuah firma pembinaan.
Dalam suasana K-Ekonomi, pengurusan projek juga perlu mempelajari cara-cara
penyelidikan aktuarial bagi mengenalpasti kos tidak nyata atau konsep "tip of an
iceberg". Ini juga berkaitan dengan apa yang dikenali sebagai "kos kualiti" atau "kos
yang tidak dijangka" Bagi pengurusan projek yang mempunyai hasrat melabur ke atas
teknologi maklumat, pertimbangan perlu diberikan kepada pembangunan perisian
komputer sistem maklumat keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OHSIS) yang
melibatkan elemen-elemen e-audit, e-manhours calculation, e-kos
perubatan/insuran/pampasan yang berkaitan dengan jenis insiden/kemalangan dll. Tidak
ketinggalan yang berkonsepkan internet & intranet.

You might also like